A Kadir Jasin
Pemilihan Umno: Pengekalan Status
Quo
[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan. Sila
guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama
samaran.]
MELAYU mudah lupa, kata Tun Dr
Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri. Oleh sebab Melayu mudah lupa,
termasuklah Melayu dalam Umno, eloklah saya nyatakan yang Dr Mahathir adalah Perdana
Menteri Malaysia antara 1981 dan 2003.
Bukan saja Melayu mudah malah banyak yang kurang berminat menerokai ilmu. Justeru itu, saya tidak hairan kalau banyak Melayu dalam Umno sudah
lupa kepada Sulaiman Palestin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad.
Saya masih ingat kepada mereka. Ini membuatkan saya ingin bertanya, adakah lagi pejuang dan idealis seperti Sulaiman
Palestin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad dalam Umno?
Kalau masih ada (yang saya
curiga), adakah mereka akan muncul dalam pemilihan kepemimpinan Umno kali ini yang
diuar-uarkan sebagai demokratik dan terbuka?
Kita tidak perlu tunggu lama.
Pada 7 September ini, semua yang berminat menawarkan diri bertanding jawatan dalam MajlisTertinggi Umno wajib mendaftarkan diri dengan ibu pejabat Umno
negeri masing-masing.
Pada saat itu, kita akan tahu
sama ada wujud atau tidak pewaris kepada Sulaiman Pelestin, Harun
Idris dan Hang Tuah Arshad.
Kepada yang sudah lupa atau tidak tahu, Sulaiman Palestin membuat kejutan besar dengan bertanding melawan Pemangku Presiden
Umno Tun Hussein Onn dalam pemilihan tahun 1978. Walaupun beliau dianggap sebagai calon
“outsider” namun berliau berjaya mendapat 250 undi berbanding 898 yang
dimenangi oleh Hussein.
Dua tahun kemudian, pada tahun
1980, giliran Datuk Harun pula membuat kejutan apabila beliau bertanding dari
Penjara Pudu bagi menentang anak saudaranya, Ketua Pemuda Umno ketika itu,
Suhaimi Kamaruddin. Turut bertanding adalah ahli perniagaan Hang Tuah Arshad yang lulus dari Universiti Nanyang, Singapura dan fasih Mandarin.
Walaupun beliau tidak dapat
berkempen, Harun memperoleh 153 undi berbanding 198 yang dimenangi oleh Suhaimi.
Hang Tuah Arshad mendapat tujuh undi.
Bertanding dari penjara untuk jawatan Ketua Pemuda |
Bagi Hang Tuah Arshad, moto
beliau adalah lawan tetap lawan. Pada tahun 1982, dalam perlawanan hebat antara
Suhaimi dan Anwar Ibrahim, beliau menjadi calon ketiga. Anwar mendapat 183
undi, mengalahkan Suhaimi dengan 10 undi, manakala Hang Tuah Arshad mendapat
tiga undi.
Antara Status Quo Dan Cabaran
Oleh sebab tidak ada lagi
watak-watak seperti Sulaiman Pelestin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad dalam
Umno, maka kita bolehlah membuat andaian yang menjelang 7 September ini, Mohd
Najib Abdul Razak akan “disahkan” sekali lagi sebagai Presiden Umno dan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.
Kalau Ahmad Zahid Hamidi boleh diterima sebagai jurucakap Naib Presiden, makan kita sudah pun tahu yang ketiga-tiga Naib Presiden – Ahmad Zahid, Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal – akan mempertahankan jawatan - tetapi mungkin dicabar oleh beberapa yang lain.
Saya menjangka Khairy Jamaluddin akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda (yang berupa jawatan Naib Presiden ex-officio) dan berkemungkinan menang tanpa bertanding.
Kalaupun ada cabaran terhadap Khairy, saya tidak menjangka ia akan datang daripada Mukhriz Mahathir yang beliau tewaskan dalam pemilihan lalu. Sebaliknya, Menteri Besar baru Kedah itu berpotensi menjadi calon Naib Presiden, tetapi saya tidak menjangka beliau akan mencubanya. Beliau mungkin berpuas hati bertanding kerusi biasa MT dengan harapan mendapat undi yang banyak. Pelantikan beliau sebagai Ketua Perhubungan Kedah baru-baru ini memperkukuhkan harapan beliau dipilih menduduki MT.
Seorang ahli MT yang layak bertanding jawatan Naib Presiden dan berpotensi menang adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian Mustafa Mohamad, seorang teknokrat yang telus dan bersih. Beliau adalah satu-satunya pemimpin Umno Kelantan yang berpotensi merampas balik negeri itu daripada PAS. Tetapi Mustafa terlalu merendahkan diri untuk “mencalonkan” diri.
Pemimpin akar umbi yang boleh mencabar Naib-Naib Presiden yang ada sekarang adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam. Malah ada yang meramalkan bahawa beliau berkemungkinan mencabar jawatan Timbalan Presiden. Mohd Ali mempunyai rangkaian akar umbi yang kuat hasil pembabitan beliau yang panjang dan dedikasi dalam pergerakan belia.
Shahrizat Lwn Azalina
Buat masa ini, hanya Pergerakan Wanita yang akan menyaksikan perebutan jawatan teratas. Bekas Ketua Puteri, Azalina Othman Said, telah pun menyatakan hasratnya bertanding jawatan itu yang kini dipegang oleh bekas Menteri Wanita, Shahrizat Abdul Jalil.
Azalina tidak akan rugi apa-apa kerana beliau bukanlah “inner circle” kepada kelompok yang berkuasa dalam Umno dan kerajaan sekarang. Malah beliau dianggap sebagai orang luar dan “maverick” (pengingkar). Shahrizat pula amat akrab dengan Mohd Najib dan isi rumahnya.
Azalina boleh mengharapkan sokongan bekas pemimpin dan ahli Puteri yang kini menganggotai Pergerakan Wanita.
Puteri Umno juga perlu memilih ketua baru kerana penyandang, Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sudah melepasi usia sebagai ahli Pergerakan Puteri. Gerakan itu akan dipimpin oleh muka-muka baru kerana calon-calon pemilihan lalu sudah melepasi usia Puteri.
Gerakan Pemuda, Wanita dan Puteri akan mengundi pada 28 September. Pengundian untuk jawatan Majlis Tertinggi adalah pada 5 Oktober. Perhimpunan agung akan berlangsung antara 2 dan 7 Disember.
Kekangan Aspirasi dan Realiti
Mungkin berlaku kekangan antara aspirasi dan realiti dalam pemilihan kali ini. Aspirasi dalam dan luar Umno adalah agar sistem pemilihan baru ini mencetuskan perlumbaan yang hangat dan demokratik. Tetapi realitinya status quo yang lebih mencengkam mungkin berlaku.
Oleh sebab kaedah baru itu memerlukan calon menawarkan diri, mungkin banyak yang berasa malu, segan dan teragak-agak untuk mendaftar diri untuk bertanding – takut dituduh hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
Di bawah sistem lama, calon tidak perlu membuat deklarasi kerana mereka dicalonkan oleh cawangan dan selepas itu bahagian. Selepas pencalonan ditutup, barulah mereka wajib menyatakan pendirian sama ada akan tertanding atau menarik diri. Sekarang hatta Mohd Najib terpaksa mendaftar diri di pejabat Umno negeri untuk mempertahankan jawatan Presiden.
Kalau ahli dan pemimpin Umno betul-betul ikhlas mahu memperluaskan demokrasi melalui kaedah pemilihan baru ini, elok sekiranya semua kerusi dipertandingkan supaya sesiapa saja yang ingin bertanding, sama ada penyandang atau calon baru, boleh mengambil peluang manakala pemilih pula mempunyai pilihan yang lebih luas dan pelbagai. Wallahualam.