A Kadir Jasin
﷽
ALHAMDULILLAH, satu peluang
keemasan terbuka kepada pihak-pihak yang berpengetahuan mengenai skandal
raksasa 1MDB untuk menyatakan kebenaran.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak
akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama
samaran.]
Kini, demi mempertahankan diri
daripada satu tuduhan yang sangat serius, mereka terpaksa memberitahu polis apa
yang mereka tahu mengenai skandal itu dan pelaku-pelakunya.
Mereka yang saya maksudkan
adalah bekas Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PSRM) (Tan Sri) Abu Kassim Mohamed dan
bekas Gebenor Bank Negara, (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz.
Mereka telah dituduh dalam satu
laporan polis oleh Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun,
terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri, (Datuk
Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak dan
kerajaan yang sah.
Naik Ketua Pemuda Umno Malaysia dakwa konspirasi terhadap Najib |
Ini adalah satu dakwaan yang sangat berat yang boleh ditakrifkan sebagai penderhakaan terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Jadi wajib disiasat rapi.
Saya tidak tahu apa tujuan
tersirat si pembuat laporan. Tetapi secara tersurat, ia nampak seolah-olah satu
lagi kegiatan puji ampu oleh pemakan-pemakan dedak Umno.
Namun saya berterima kasih
kepada Khairul Azwan kerana akibat laporan beliau itu, ketiga-tiga tokoh yang
dituduh boleh memberi keterangan mengenai apa yang mereka tahu berkaitan
skandal 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan "derma Arab" RM2.6 bilion yang selama ini terpaksa mereka rahsiakan.
Banyak yang boleh mereka
ceritakan kepada polis bagi menafikan tuduhan Pemuda Umno itu.
Misalnya mereka boleh
menjelaskan sama ada benar atau tidak ura-ura bahawa Mohd Najib di ambang
tangkapan dan pertuduhan di mahkamah pada akhir Julai tahun lalu bersabit kes
pecah amanah duit SRC International Sdn Bhd.
Abdul Gani sendiri boleh
mengesahkan sama ada betul atau tidak jawatannya sebagai Peguam Negara
ditamatkan secara mendadak pada 28 Julai lalu kerana beliau sedang bersiap sedia
menangkap dan menghadapkan Mohd Najib ke mahkamah bersama-sama dengan Nik
Faizal Ariff Kamil dalam kes penipuan SRC International.
Zeti boleh menjawab mengenai
hasil penyiasatan ke atas pengaliran keluar-masuk duit 1MDB dan kaitannya
dengan “derma” RM2.6 bilion yang masuk akaun peribadi Mohd Najib di
AmBank.
Ambank telah pun mengaku salah
atas pembabitannya dalam pemindahan wang tersebut dan membayar denda RM53.7
juta kepada Bank Negara November lepas.
Abu Kassim pun macam itu juga.
Dia terpaksa menafikan tuduhan itu dengan menceritakan kepada polis apa yang
SPRM telah temui dalam siasatannya ke atas SRC International, 1MDB dan derma
RM2.6 bilion.
Rakyat Malaysia yang tidak
keracunan dedak percaya bahawa SPRM telah membina kes yang cukup kuat yang
melibatkan Mohd Najib dan Nik Faisal dalam pengalihan haram duit SRC
International sebanyak RM42 juta.
Kempen dedak pertahankan Mohd Najib |
Hanya dengan mendedahkan
maklumat-maklumat ini untuk dirakamkan oleh pihak polis barulah mereka dapat
mempertahankan diri daripada tuduhan Pemuda Umno itu.
Saya yakin banyak lagi maklumat
yang ada dalam kepala mereka mengenai siasatan ke atas 1MDB, SRC International dan derma RM2.6 bilion yang boleh mereka
ceritakan kepada polis demi membela diri.
Polis, khususnya pegawai
penyiasat, tentu tidak berani main kayu tiga dengan tiga orang ternama ini
kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas di segi undang-undang dan pasti
akan diwakili oleh peguam yang cekap.
Abdul Gani sendiri adalah peguam
cergas setelah membuka khidmat guamannya sendiri selepas dibuang kerja kononnya
beliau sakit teruk. Itulah tahap propaganda pemakan dedak.
Mahkamah Pendapat Umum
Di segi pendapat umum pula,
simpati adalah bersama mereka yang dituduh oleh Pemuda Umno itu. Dalam mahkamah pendapat umum, juri rakyat memihak kepada mereka.
Jadi saya hairan apa maksud
tersirat Pemuda Umno membuat laporan polis dengan tuduhan yang sangat berat
itu.
Perbuatan mereka boleh menjadi
senjata yang menikam ketua nombor satu mereka – Mohd Najib - sendiri.
Saya tidak berani mengatakan ada
konspirasi halus oleh Pemuda Umno terhadap Mohd Najib melalui laporan atau ia
sekadar publisiti murahan kelas pemakan dedak.
Mungkin juga ini adalah cetusan
idea gilang-gemilang Pemuda Umno untuk mengalihkan pandangan umum daripada
saman sivil KARI (Kleptocracy Asset Recovery Initiative) di Amerika Syarikat yang melibatkan ahli keluarga dan
sahabat akrab "Pegawai Nombor Satu Malaysia".
Wallahuaklam.