Sunday, May 12, 2019

Perihal Belanda Minta Tanah dan Tanah Kurnia


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Bukit Persekutuan:Tanah kerajaan bernilai premium
KES pengurniaan terbalik tanah kepada Sultan Johor dan mungkin juga kepada raja-raja lain mengingatkan saya kepada peribahasa “Belanda minta tanah”.

Kalau setakat tanah kerajaan negeri bertukar hak milik menjadi harta raja, rasanya bukankah berita yang mengejutkan lagi.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Yang menimbulkan kegusaran lebih besar adalah tanah Kerajaan Persekutuan tiba-tiba menjadi milik raja.  

Tetapi sebelum saya bercerita lebih lanjut mengenai amalan dan ancaman Belanda minta tanah ini, izinkan saya memperjelaskan ungkapan pengurniaan terbalik.

Selalunya yang mengurniakan tanah atau sesuatu yang berharga adalah raja dan yang menerimanya orang yang kedudukannya di bawah daripada raja.

Tetapi dalam kes pengurniaan tanah di Johor Darul Takzim, yang mengurniakan tanah adalah Kerajaan Negeri dan yang menerimanya adalah Sultan. Pelik tapi benar.

Kalau hal ini berlaku pada zaman pemerintah Barisan Nasional (BN) ia tidak menghairankan sangat. Amalan engkau garu belakang aku, aku garu belakang engkau adalah perkara biasa.

Ia adalah lazim bagi seorang pemimpin kerajaan yang lemah atau banyak rangka bergantungan di dalam almari sehingga terpaksa menyogok atau tunduk kepada tekanan pelbagai pihak untuk kekal berkuasa.

Anehnya, apa yang berlaku di Johor itu dikatakan atau didakwa berlaku juga dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Inilah yang membimbangkan.

Semua pihak boleh nafi kalau tak betul. Saya akan siarkan penafian mereka sepenuhnya kerana blog kita ini mengamalkan hak menjawab (right of reply).

Saya harap dakwaan ini akan disiasat dan disahkan oleh Menteri Besar baru, Sahruddin Jamal, sebab dia tentulah tidak mahu mengulangi kesilapan lampau dan menderita nasib yang serupa dengan pendahulunya.

Kita bagilah dia sedikit masa sebab dia pun baru dilantik. Cuma saya hendak beritahu dia yang kita akan memasang telinga dan membeliakkan mata mendengar dan melihat apa dia lakukan.

Belanda Minta Tanah

Berbalik kepada peribahasa Belanda minta tanah, saya terbaca sebuah rencana Berita Harian atas talian (online) bertarikh 25 Januari 2018 yang mengatakan ungkapan itu mempunyai bukti sejarah.

Laporan tersebut memetik Pensyarah Leiden Institute for Area Studies (LIAS), Universiti Leiden, Belanda, Dr Surya Suryadi sebagai berkata, Syarikat India Timur Belanda (Dutch Vereenigde Oost-Indische Compagnie) meminta sedikit tanah daripada Kerajaan Buton di Sulawesi, tetapi mengambil lebih daripada apa yang diberikan.

Tembok pertahanan Kesultanan Boton 1332-1960
Nampaknya tipu helah cara ini tidak bermula dan berakhir dengan Belanda saja. Ia masih berterusan, sama ada atas dasar kurnia, permohonan atau pengambilan paksa menggunakan Akta Pengambilan Tanah.

Cara ketiga ini sedang berlaku di Melaka ke atas tanah milik anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB), iaitu Sime Darby Plantations, tetapi sedang digagalkan. PNB adalah agensi amanah Bumiputera dan berjuta orang melabur dengannya.

Tanah SDP yang cuba diambil alih dengan harga murah itu adalah untuk syarikat dari Taiwan. Malah ada bukti tersurat yang mendakwa bahawa Sultan Kelantan sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong terlibat dengan permohonan tanah ini.

Kalau tidak betul sila nafi dan saya dahulukan dengan permohonan maaf. Tetapi apa yang jelas ialah SDP telah mengemukakan kes itu kepada mahkamah.

Kerajaan Melaka sekarang dipimpin oleh PH dan Ketua Menteri, Adly Zahari sudah dimaklumkan berkaitan sentimen Putrajaya mengenai hal itu.

Pada zaman pemerintahan kleptokrasi Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak, banyak permohonan tanah dan projek oleh raja-raja.

Ada permohonan ini menyerupai Belanda minta tanah, diberi betis hendak paha.

Ini mungkin kerana Najib seorang aristokrat dan berupa salah seorang Orang Besar Berempat Pahang. Jadi dia bagi keutamaan apabila raja minta. Ikut cerita, bukan raja saja, isteri raja pun ada yang tumpang sekaki.

Atau boleh jadi juga disebabkan dia sendiri menganggap harta dan duit ringgit negara sebagai milik peribadinya maka dia tidak berasa apa-apa untuk “mengurniakan” tanah kerajaan, projek dan konsesi kepada raja-raja.

Buat masa ini saya tidak berhasrat merumitkan jalan cerita jadi saya tumpukan kepada satu kes yang saya tahu dengan agak jelas.

Ceritanya lebih kurang macam ini. Seorang raja telah meminta tanah Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur seluas hampir 14,000 meter persegi dengan penilaian hampir RM30 juta.

Tapi premium atau harga jualan tidak sampai RM6 juta atau diskaun sekitar 80 peratus.

Kemudian macam Belanda, raja itu minta tambah hampir 10,000 meter persegi lagi yang penilaiannya kira-kira RM45 juta tetapi premium yang dikenakan hanya RM4.5 juta atau diskaun 90 peratus.

Jadi untuk tanah seluas lebih kurang enam ekar, raja itu hanya bayar kira-kira RM10 juta.

Pengurniaan dan penjualan tanah dengan harga di bawah nilai pasaran ini berlaku secara berleluasa pada zaman pemerintahan Najib, termasuk tanah milik tentera.

Ini adalah antara legasi buruk yang ditinggalkan oleh Najib. Dia percaya bahawa duit dan harta kekayaan adalah raja.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyelamatkan harta negara maka Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusaha mereformasi institusi dan mencegah rasuah, wajib bertindak ke atas legasi buruk Najib ini.

Dalam keadaan di mana negara semakin kekurangan tanah dan ramai rakyat jelata tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana nilai hartanah yang melambung maka adalah amat tidak patut tanah milik kerajaan dikurniakan atau dijual dengan harga murah kepada mana-mana pihak sekali pun.

Wallahuaklam.

26 comments:

SUZALIE said...

Tanah Kerajaan semakin berkurangan, kalau untuk tujuan kolektif tidak mengapa, tapi kalau utk individu tertentu itu sudah keterlaluan. Teringat, di Sabah dan Sarawak juga begitu ceritanya, Tanah Adat/Native yang juga sepatutnya kekal sebagai tanah adat telah dipindahmilik menjadi tanah komersial pertanian/perladangan tanpa menggantikan saiz yang telah diambil oleh pihak kerajaan. Tanah-tanah adat ini ada yang diambil melalui permohonan oleh Syarikat Besar ataupun pengambilan paksa menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk tujuan pembangunan anak negeri.
Namun, pada asasnya pemohon yg korup itu melihat tanah-tanah adat sebagai lubuk wang kerana hutan dara ditumbuhi dengan pokok-pokok balak berharga. Setelah tanah dipohon dan dianugerahkan atas dasar membangunkan tanah adat utk meningkatkan taraf hidup Natives, tanah tesebut digondolkan, balak dikeluarkan, selepas itu disulam dengan tanaman sawit. Akhirnya Natives masih berada dalam keadaan miskin tegar, tanah adat pun semakin pupus. Malangnya semuanya dibuat atas undang-undang.

AzrinTaufik said...

Orang Melayu dulu-dulu ada berkata: "Siapa pun jadi Raja, tangan rakyat ke dahi jua"

Mohon Datuk terus membongkarkan kebenaran untuk rakyat menilai

Peter said...

Tahniah dato, teruskan bongkar atas prinsip kebenaran dan kedaulatan undang2. I give u 10 likes.

Pak Yop said...

Yer ke nii..mcm ceeita dongeng 1001 malam jer

Rakyat Marah said...

Pengkhianat rakyat wajib digantung sampai mati.

Hakimi Abdul Jabar said...

SEJAK BERZAMAN LINTAH-LINTAH PENGHIRUP DARAH YANG MENYUSAHKAN - TIADA GUNANYA KEWUJUDANNYA
Dewasa kini, ramai golongan miskin bandar yang kebanyakan menetap rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di beberapa lokasi di ibu negara lebih-lebih lagi bagi penempatan semula setinggan dan untuk memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dengan jumlah pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

Realiti kehidupan penduduk di PPR adalah sukar dan ada yang hidupnya boleh diibaratkan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ditambah pula kebanyakan mereka memiliki ramai anak.

Kemiskinan yang diwariskan daripada datuk, bapa hingga ke anak menjadikan mereka golongan yang ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan mahupun sosial umpama kitaran warisan kemiskinan yang sukar dihentikan dan jika trend itu berterusan, ia akan menjejaskan agenda membentuk negara maju disebabkan mempunyai ramai penduduk miskin.

Anees Khan said...

Assalamualaikum DAKJ,

tidak pernah terlintas di fikiran saya yang suatu masa negara kita akan dapat kembali ke jalan yang lebih baik setelah bengkok sekian lama.

Tidak mungkin isu sebegini mendapat ruang untuk dibentangkan kepada pengetahuan rakyat marhaen macam saya sebelum ini. Konsep 'nobody is above the law' ini yang sebenarnya masyarakat nak tengok dipraktiskan.

Sindrom 'King is next to God' seolah-olah benar pada masyarakat Malaysia agaknya.

Syabas kepada kepimpinan Malaysia Baru dan Syabas kepada Datuk juga.

Amu said...

Salam sejahtera... Tak sangka perkara sebegini telah berlaku dan sedang berlaku... Terima kasih untuk menulis kebenaran...

Quantum Metal Consultant said...

Melihat ISU ini http://www.rockybru.com.my/2019/05/nungsaris-single-operator-poser-and.html
Dan ini
http://lifeofaannie.blogspot.com/2019/05/the-one-that-daim-cant-stand.html

IA lebih serious untuk diberi keutamaan.

Agenda inI memaksa rakyat kembali kepada PAS Dan UMNO serta Istana until membetulkan keadaan apabila DAP sudah beraja di hati bersultan di mana.

ISU Najib sudah selesai di tangan undang² tetapi ISU terbaru in menunjukan Tun begitu lemah.

Kekuatan Melayu mesti dihimpunkan semula dengan APA jua cara, politically Will's.. penyatuan UMNO, PAS, AMANAH Dan BERSATU.

Ini cabaran untuk Tun..soal manifesto, ekonomi boleh di kompromi Demi Masa.
Soal DAP, tiada tangguhan sebelum terlewat.

bumi-non-malay said...

Melayu tulin asli tak letih bertindak keatas kezaliman...melayu Arab IS taliban semua mula letih...sebab Ramadan...itu saja kesimpulan!!..tapi dedak, korrupsi akan diteruskan.....ini amalan melayu Arab yang belainan rentak hidup mereka zaman 2019!!

Aku Bukan Blogger said...

"Ikut cerita, bukan raja saja, isteri raja pun ada yang tumpang sekaki"

Ikut cerita. Sekarang zaman bukti Datuk. Kalau ikut cerita Datuk dulu, malaysia ni nak bankrup.doa Datuk termakbul. Alhamdulillah. Inilah naratif yg Datuk nak sangat. Lelabur semua angkat kaki.

Cuba campak bukti sikit. Letih la ikut2 cerita.

A KADIR JASIN said...

Assalamualaikum para pembahasan dan pengunjung sekalian,

1. Terima kasih pembahas Aku Bukan Blogger. (a). Alhamdulillah dengan adanya kerajaan baru Pakatan Harapan, Insya-Allah kemungkinan negara kita muflis dapat dielakkan. Kewangan negara dan kewangan kerajaan pusat sedang diperkuhuhkan. Rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa sedang diambil tindakan.

(b). Jangan bimbang. Saya tidak akan menulis tanpa bukti. Ungkapan ikut ceria itu adalah gaya bahasa saya. Dalam hal tanah yang dikurniakan oleh Kerajaan Barisan Nasional era Najib ini bermula tahun 2011 dan selesai menjadi harta peribadi raja berkenaan pada tahun 2015. Sekarang kita tahulah pasal apa raja itu cukup kuat sokong Najib ketika PRU lalu.

2. Saudara kluangman, tidak tahulah saya kekuatan dan keselamatan apa yang orang Melayu boleh peroleh dan harapkan daripada Umno dan PAS kerana merekalah yang bersekongkol merosakkan Melayu dengan menggunakan sentimen bangsa dan agama tetapi berkongsi habuan wang ringgit di belakang tabir.

Wallahkiaklam. Terima kasih.

Kelapa Matag said...

Aiseyman kluangman, engkau lari tajuk daa..

rahman2 said...

Salam Datuk

Pursuant to your point No.2, till to date I fail to comprehend as to why certain NGOs in particular ISMA continue to put up an outcry that Islam is under threat.

Pre pru14 this sentiment was played quite openly viz najib's 1MDB scandal. When BN/umno lost and PH started to act on istitutions like KWAP TH Felda etc the sentiment of islam under threat has been trumpeted indiscriminatingly. All these alleged and perceoved threat could have been quashed had the muftis and other religious learned men spoke without fear or favour. Unfortunate they went mute blind and deaf.

My view is this perceived threat was becauae of muslims ourselves who failed to project ourselves as law abiding musims. You have all best civil and syariah law on paper we muslims on the contrary. Respect is earned not imposed...

Wallahuaklam

raj raman said...

Belanda minta tanah - di panggil Paku Belanda Pak Kadir.( Peribahasa Melayu ).
Sekarang tak da dah peribahasa Melayu,yang ada peribahasa Pak Arab.Tak faham saya Pak Arab punya peribahasa.

rajraman666.Sekarang Baju Kuning dan suku sakat keturunan Politik tumpang semangkuk,Kuali dan piring.Sama2 loh.

A KADIR JASIN said...

Assalamuaikum dan salam sejahtera para pembahas dan pelawat sekalian.

1. Pembahas Suzalie, inilah amalan salah guna kuasa yang sedang Kerajaan Pakatan Harapan cuba banteras dengan mereformasi institusi dan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasinoal (GIACC) di Jabatan Perdana Menteri.

2. Saya faham betapa meluasnya pembolotan harta negara dan peluang ekonomi oleh golongan atasan.

3. Sama ada maklumat bahawa pengurusan ladang kecil tidak sampai 500 hektar milik agensi kerajaan negeri pun dibolot oleh anggota keluarga di-raja. Ini adalah kerana dalam ladang itu ada bijih berharga.

4. Dengan bantuan dan sokongan semua yang mahu mencegah kemungkaran, Insya-Allah kita akan berusaha mendapatkan harga yang lebih berpatutan bagi tanah-tanah yang telah dijual murah oleh kerajaan dahulu.

5. Kita telah pun mendakwa bekas Menteri Wilayah kerajaan dahulu, Adnan Mansor, yang banyak menjual tanah kerajaan kepada swasta atas tuduhan rasuah.

Wallahuaklam. Terima kasih.

raj raman said...

Maaf Pak Kadir,
Paku Belanda tak bisa ditawar.Dia mau dia ambil.Harga ditetapkan olih baju kuning dan penyamun.

rajraman666.Harga tetap,ikut saja perintah bagi free,dibawah harga pasaran yang di tentukan olih Payung Kuning.

raj raman said...

https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/05/14/woman-extradited-to-thailand-because-were-a-good-neighbour-says-dr-m/

rajraman666.Good Pak Mahathir.Lidah bercabang.Kesian warga Thailand.

wansee c said...

Finally, the full import of the matter becomes clear to us, the reasons behind their unwavering support to BN during GE14, and the incessant attacks on Tun. Like the old Chinese saying, the guilty one always reacts first, to build a defensive wall to shield all wrongdoings. This is exactly yet another form of kleptomania, scraping clean people's wealth for personal fortune, leaving the nation and its people poor and backward. No wonder they were so reluctant to allow but delayed Tun's swearing-in in the very first place, as all of them were nervy in agony and caught them off guard, unexpectedly. Now, everything was unearthed and perhaps more revelations to come. So, actions and punishments must be taken in accordance with the rule of law, regardless of whoever the individual is, while Tun is still around.

Kasim Patalon said...

Assalamualaikum DAKJ,

1. Semasa di bawah BN dan tahun-tahun sebelum DSN menjadi PM, amalan pemberian tanah kepada insan yang mempunyai pengaruh politik sudah berleluasa dan bukan amalan baru. Semasa di bawah PH juga akan ada tanah yang diberi kepada konsensus syarikat-syarikat tertentu. Cuma tukar orang sahaja dan modus operandi yang sedikit berbeza tapi rupanya sama sahaja Datuk.

2. Contohnya Taman Maluri. Begitu juga tanah-tanah tempat dibina kampus Unimap di negeri Perlis. Ini bukti bahawa amalan tersebut bukan berlaku di negeri Johor sahaja. Ada banyak contoh-contoh lain.

3. Walaupun negara sekarang tidak muflis dan bankrap seperti yang dicanang sebelum pilihanraya, ekonomi kita juga tidak pulih. Bahkan performance ekonomi sebelum PRU jauh lebih baik daripada sekarang. Walaupun tidak ada GST tapi tiada harga barang yang turun. Dengan sistem cukai SST, pendapatan kerajaan semakin berkurang. Cukai pula ada di mana-mana dengan kadar yang pengguna sendiri tidak tahu kerana tiada had ditetapkan.
Harap Datuk sedar akan hakikat ini.

4. Kami cuma berharap bahawa masa depan untuk generasi muda dan belia menampakkan sinar yang positif.

Aku said...

Kadiag : السلام عليكم assalāa/mu/ 'alaikum (salaam untuk hampa sekelian),
Aku dok turut jugak ‘coretan’ hang yg tebaru yg teraihnya pasai
sesetengahnya sisa2 feudal dan qaum ‘elit’ atau aristokrat dok tibai reta rakyat,
dlm satu keh kenunnya sampai lupa (‘in a fit of forgetfulness’).
Pekara ni dah belarut lama dah, dah berulang banyak kali dah... ada orang kata macam tebe’at
sebab kenunnya keturunan lanun....
Tapi munkin jugak asainya dari perangai firaun dan al malak dia,
munkin macam dlm cerita Nabi Musa a.s. beguru dgn Qidir, seorang hamba Allah diantatara hamba2Nya
dlm suroh alKahfi:
فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا
65. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.
Dlm dok bejalan dua orang tu, depa naik satu perahu atau bahtera, lepaih tu Nabi Musa tekejut sakan pasai Qidir pi bocogkan,
tebok kulit atau
dinding bahtera tu, sampainya tepancut petanyaan pasai apa pi buat lagu tu (dlm keadaan Nabi Musa dah betekad tak mau tanya),
dan diakiag pejalanan depa, Qidir pon bagitau :
أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا
79. Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku bertujuan merusakkan bahtera itu, karena di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera. (dari tafsir Quraish Shihab “Perahu yang aku bocorkan itu," kata sang hamba menerangkan, "adalah milik orang-orang lemah dan miskin yang mereka gunakan untuk bekerja di laut mencari rezeki. Aku ingin memperlihatkan bahwa kapal itu tidak bagus, karena di belakang mereka ada raja yang selalu merampas setiap kapal yang bagus."

Aku said...

(Bersambong dari Aku)
Tu nak habag mai dudoknya benda ni munkin dah beribu tahun dah, munkin sejak zaman Nabi Musa a.s.
yg hidop di zaman firaun dan haman...., yg buat aku menyirap bulih pulak mengaku kepala agama depa ni,
bawah sikit pada firaun kod, yg tegamak mengaku “Ana robbukumul a’la”, yg lebih korang bemaksod
‘Aku tuhan kalian, maha tinggi’. wallahua’lam.
Terima kasih banyak, maghap dan ampun ataih salah silap, dan selamat beposa dan selamat beraya. Kirim Salam no
kalu bulih kad member hang tu.
Aku du’a usaha hampa dan PM untuk Malaya baru yg lebih insani akan bejaya, InsyaAllah!
Aku

(Tafsir ayat2 kebanyakkan dari Tafsirq.com.)

Jojo said...

Datuk,

1. Ambil tanah sesuka hati tak boleh dilakukan oleh sesiapa pun baik raja mahupun rakyat marhein.

2. Saya juga harap SPRM siasat semua pejabat tanah di Malaysia.

3. Ke mana hilangnya tanah rizab melayu ? Ke mana hilangnya hutan simpan ?

4. Tidak kira raja mahupun rakyat biasa, semua ini perlu disiasat.

-----
Cerita lain,

1. Saudara kluangman, jika betul2 mahu berjuang kerana bangsa, agama dan tanahair, YB2 yang baik sikit daripada umno, pas & parti baru tu eloklah bersama parti bersatu berjuang dari dalam.

2. Saudara Kasim Patalon, jika biar pada pemimpin kleptokrat perampuk wang negara sebelum ini memang akan bankrupt lah. Ini dah diselamatkan apa pula nak bankrupt nya ?

Rris Ana said...

Assalamualaikum tuan tuan.

Saya orang Johor.
Lahir di Johor dan IC nombor 01.

Situasi pengambilan tanah oleh raja, adalah amat parah sejak bermula projek mega wilayah Iskandar sekitar tahun 2007 lagi.

Kami sebagai orang Johor bertaraf rakyat jelata hanya boleh pandang dan bergosip sebelum PRU14.

Kasim Patalon, anda tidak akan faham masalah penjualan dan pemilikan tanah atas dasar pilih kasih politik, melainkan anda bercampur dengan masyarakat dari Johor Bahru hingga ke Mersing. Kami melihat dengan mata sendiri, akan perkara batil yang berlaku setiap tahun di Johor.

Setakat membaca blog dan media yang memberi serba sedikit info, itu TIDAK mencukupi.

Syukur pihak TNB negeri Johor tidak tunduk kepada tekanan raja dan ini menyelamatkan simpanan tanah di bawah rizab TNB.

Johor Bahru kini penuh dengan rumah apartment berharga RM300 ribu hingga RM500 ribu.

Masyarakat Melayu Johor bergaji paling tidak RM1200 sebulan. Jadinya, siapakah golongan yang disasarkan untuk membeli rumah rumah sarang burung yang amat mahal ini?

Adakah wujud golongan bangsawan yang hendak memberikan diskaun 90% supaya kami yang miskin ini, dapat membeli rumah berharga RM300 ribu tersebut?

Jika bukan kerana prihatin pihak TPIJ membina rumah pangsa kos rendah. Saya yakin dan pasti pada tahun 2030 bakal menyaksikan anak anak Melayu Johor hidup merempat di bawah jambatan Danga Bay.

Tak cukup kah dengan kekayaan peribadi yang nilainya berbilion dollar US?

Masih lagi nak membolot pemilikan tanah di negeri kami?

Terima kasih kerajaan PH kerana berani bertindak walaupun berdepan berbagai propaganda yang cuba menjatuhkan usaha yang benar bagi melindungi aset milik orang Melayu Johor.

corporateGovernance said...

Maaf cakap Datuk......

Harap dapat dibuktikan proses reform melalui penubuhan Pusat Governans serta Jawatankuasa Khas Tadbir Urus Korporat dalam agensi GLIC dan GLC bukan sekadar retorik.

Kami yang berada dalam agensi-agensi berkenaan setakat ini tidak melihat apa apa perubahan. Orang utara kata "pi mai pi mai tang tu"

Teacher Adam said...

As salam w.b.t Datuk Kadir Jasin.

Saya ni sebagai anak muda amat mengagumi Datuk sebab keberanian mendedahkan salah laku raja. Sebagai anak muda saya dah muak dengan ketidakadilan ni semoga ada anak muda yang berfikiran open minded.

Teruskan berjuang.
Terima kasih

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).