Friday, September 27, 2019

Maladi Utusan: Mengapa Cari Dr Mahathir?


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Daripada mengutuk Dr Mahathir kepada merayu bantuan
PADA mulanya saya tidak mahu mengulas cadangan meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, campur tangan menyelamatkan syarikat Utusan Melayu.

Bagi saya, cadangan itu tidak masuk akal dan tidak kena tempatnya. Saya katakan begitu kerana, pertama Utusan adalah harta keramat milik parti keramat Umno dan kedua, Umno menggunakan Utusan untuk membelasah Dr Mahathir kaw kaw ketika beliau berusaha membebaskan Malaysia daripada kleptokrat, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Ketiga, adalah dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjamin kebebasan media. Jadi memohon campur tangan Perdana Menteri dalam isu dalaman Utusan adalah bertentangan dengan dasar tersebut.

Bagaimanapun, saya tergerak untuk mengulas sedikit setelah menerima pesanan WhatsApp (bukan wassap atau wasap) daripada seorang “anak buah” yang mewakili Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan.

Saya membalas: “Umno, Najib dan sidang pengarang Utusan wajib ambil tanggungjawab. Mereka yang menyebabkan maladi Utusan hari ini. Utusan hentam Tun kaw kaw.”

Ini adalah amalan zaman Najib dan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila media massa arus perdana terpaksa akur kepada “wahyu” dari Putrajaya.

Sidang pengarang Utusan dan sesetengah wartawannya bukan sekadar membenarkan akhbar ikonik itu diperalatkan malah dengan sukarela menerima arahan dari luar.

Sekarang ada pemimpin NUJ Utusan yang memberitahu saya bahawa "kerja-kerja penulisan politik adalah atas tindakan bos-bos pengarang dan mereka ini menerima imbuhan dan bayaran khas."

Kalau itulah keadaannya maka lagilah tidak wajar mengharapkan Dr Mahathir campur tangan menyelamatkan Utusan. 

Dari dulu hingga kini Utusan adalah milik Umno. Malah daripada apa yang saya dengar, Umno tidak mahu jual Utusan macam ia jual sahamnya dalam Media Prima Berhad.

Jadi kalau Umno tidak mahu jual, macam mana Dr Mahathir atau mana-mana pihak juga hendak campur tangan membantu Utusan?

Jawabnya Umno tidak mahu campur tangan luar. Ini diperkukuhkan oleh tindakan parti itu memberi bantuan modal RM1.6 juta kepada Utusan bulan lalu.

Tidak Mahu Utusan Mati

Saya tahu Dr Mahathir tidak mahu Utusan terkubur. Tetapi selagi Umno berkeras mengekalkan kawalannya ke atas Utusan, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh sesiapa pun.

Jadi soal kakitangan bawahan Utusan bersedia untuk bekerjasama dengan “bos pengarang baru” jika Dr Mahathir sedia membantu, tidak timbul.
Kita pun tidak mengharapkan apa-apa daripada media massa selain bagi mereka bersikap adil, profesional dan berkecuali.

Dr Mahathir tentulah tidak mahu Utusan mati kerana untuk sekian lama Utusan Melayu (jawi) dan Utusan Malaysia adalah akhbar bahasa Melayu pilihan beliau. Bagi bahasa Inggeris beliau membaca New Straits Times.


Kalau tidak silap saya hanya bermula zaman Abdullah beliau berhenti memberi keutamaan kepada Utusan dan NST kerana dua akhbar itu dan akhbar-akhbar lain juga digunakan secara terang-terangan untuk membunuh legasi beliau dan memburuk-burukkan beliau.

Saya pun mempunyai sentimen yang sama. Saya tidak mahu Utusan terkubur. Sejak kecil saya membaca Utusan Melayu dan kemudian Utusan Malaysia. Malah saya kerap menulis dalam Utusan Malaysia hatta ketika menjadi pengarang NST.

Mungkin banyak orang, termasuk pengamal media, tidak tahu bahawa pada zaman pentadbiran pertama Dr Mahathir lah jualan akhbar mencapai angka tertinggi.

Pada penghujung pentadbiran beliau tahun 2003, pengedaran Utusan Malaysia mengatasi 320,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia lebih setengah juta.

Jadi saya tidak nampak logiknya membabitkan Dr Mahathir dalam sebarang usaha menyelamatkan Utusan. Hanya Umno boleh menentukan hidup atau mati Utusan.

Atau boleh jadi juga Umno sebenarnya sudah hilang pegangan dan kawalan ke atas Utusan tetapi tidak mengakuinya dengan berpura-pura seolah-olah ia masih memiliki kumpulan media itu.

Wallahuaklam.

7 comments:

herman adnan said...

Pada pandangan saya pula
Pihak berkepentingan dan pemegang taruh ( the stakeholders ) cuba buying the time & testing the water
3. Pada masa yang sama, ini free marketing untuk mereka.
4. Bayangkan semasa saya cuba buat Social Experiment di kedai 7E untuk kejiranan Bukit Bandaraya dan Gasing Indah, berlaku peningkatan jualan untuk akhbar utusan biarpun harga naik sedikit
KESIMPULAN:
kreatif dan berinovasi jugak mereka ni...

ah pan tik said...

dh madir yg bekukan aset umno dan duit umno..nk running cmne utusan..xkn nk mintk tolong lu..dh tua pon bodoh

Aku said...

Kadiag, السلام عليكم ,
Aku ingat ramai orang telebih maglum apa yg hang senarai, yagni :
“1. Utusan adalah harta milik parti Umno
2. Umno menggunakan Utusan untuk membelasah Dr Mahathir kaw kaw ketika beliau berusaha membebaskan Malaysia daripada kleptocrat, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) ....
dan,
3. adalah dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjamin kebebasan media. Jadi memohon campur tangan Perdana Menteri dalam isu dalaman Utusan adalah bertentangan dengan dasar tersebut.”
Macam mana pon, kalu betoi depa mintak tulong PM, munkin ini petanda tahap kecelaruan dan tedesaknya kumpolan manusia ni...
Na’uzubillah.
Aku.


malaysia dilanggar todak said...

Kau patut jadi PM.

budak jawa said...

Aslm dakj,

Utusan dah jadi penyebar fitnah dan mempertahankan penyamun sebelum ini. Tiada nilai ilmiah, ekonomi apatah lagi komersial untuk menjadi santapan minda orang melayu khasnya dan rakyat malaysia amnya. Hanya menjadi penghasut dan perosak minda dan jiwa. Pengkhianat. Mereka yang bersekongkol dengan pemimpin kerajaan yang lepas adalah pengkhianat. Sepertimana nasib kerajaan BN begitulah nasib utusan melayu. Selagi tiada model perniagaan baharu, kandungan bernilai baharu dan peneraju baharu,tiada keperluan untuk utusan malaysia wujud.

Budak jawa.

wansee c said...

Utusan Malaysia memang muka tembok. Dah belasah Tun cukup-cukup, kini melutut dengan meminta bantuannya? Jangan nak haraplah. Pun begitu, bengang dengan seorang manusia yang kemaruk kuasa, saban hari melepaskan seekor demi seekor 'anjing' belaannya untuk menyerang Tun. Serangan seperti ini sebenarnya sudah berlarutan genap setahun, semenjak bulan September tahun lalu. 'Anjing-anjingnya' yang tak terlatih itu terdiri daripada tua, muda, betina dan jantan. Akan tetapi, serangan kali ini begitu bertubi-tubi dan langsung tidak berasas. Kenapalah tuan punya 'anjing' itu berasa dirinya begitu tidak yakin dan gelabah setiap kali Tun menyentuh isu peralihan kuasa apabila ditanya wartawan? Kegelojohan ini menampakkan dia sememangnya bukan seorang pemimpin yang berkemampuan dan jauh sekali setanding dengan Tun, bagai bumi dengan langit. Jika dia berjiwa besar, seharusnya membiarkan Tun terus menerajui negara sehingga habis penggal. Dengan itu, kestabilan negara akan terjamin dan proses pemulihan negara pun dapat dilaksanakan dalam kadar yang pantas tanpa sebarang gangguan yang tidak sepatutnya. Perkara yang menyedihkan kita buat sekarang ini adalah sedangkan manusia-manusia di luar sana menyanjung tinggi dan menghormati PM kita yang merupakan tertua di dunia, ini terdapat segelintir makhluk senegara dengan Tun, membelasahnya kaw-kaw seperti mana yang pernah dilakukan Utusan Malaysia suatu ketika dahulu. Saranan saya kepada tuan punya 'anjing-anjing' itu, cermin-cerminlah diri dulu sebelum menuntut apa yang kononnya telah dimeterai dalam konsensus itu. Nyatakan dengan jelas kepada umum apa intipati yang terkandung di dalamnya tanpa pengeliruan. Berdasarkan sejarah hitam lampau yang dipegang itu, layak ke awak dinobatkan jawatan PM yang mulia dan penuh amanah ini? Rakyat sangsi.....teramat sungguh.

Mak Na said...

"Dia" tu bila takde Kat "luar" politik negara kita takde huru hara tak kalut..bila dia Kat "luar" Inilah jadi nya...24/7 politicking...no benefits to the rakyat.....manyak siok sendili punya olang...

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).