Wednesday, August 12, 2020

Ganti Rugi Yang Merugikan


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.
 
contoh
Kenapa agaknya GS berpesta selepas bayar ganti rugi?
 

GANTI rugi AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) oleh bank pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs (GS) berkaitan penyelewengan 1MDB yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kejayaan adalah sebenarnya keputusan yang merugikan negara.

 

Ia adalah akibat sikap terlalu tergesa-gesa Kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Mohd Yassin dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

 

Mereka sepatutnya meneruskan tindakan undang-undang ke atas GS yang dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa bulan selepas menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018.

 

Skandal 1MDB adalah kempen utama PH bagi menjatuhkan pemerintahan kleptokrasi BN pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak. Kleptokrasi ertinya kerajaan yang mencuri duit rakyat jelata.

 

Jadi yang lebih tahu mengenai tuntutan ke atas GS ini adalah Kerajaan PH bukan kerajaan tebuk atap PN yang baru berusia enam bulan. Label tebuk atap adalah ciptaan Presiden Pas merangkap Duta Khas Bertaraf Menteri ke Timur Tengah, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Sesiapa saja yang menghalusi dan memahami tuntutan dan tindakan undang-undang ke atas GS itu tentu mengakui bahawa penyelesaian AS$3.9 bilion itu lebih berupa “ego trip” Kerajaan PN daripada penyelesaian sebenar.

 

Malah pihak-pihak yang terlibat dalam rundingan belakang tabir dengan GS dan pihak Arab di negara-negara Teluk menyifatkan penyelesaian itu sebagai tergesa-gesa.

 

Akibatnya, kata salah seorang daripada mereka, kerajaan sanggup kehilangan AS$5 bilion semata-mata kerana mahukan penyelesaian segera.

 

Bagi GS, penyelesaian ini adalah ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Yang ditakuti oleh GS bukanlah ganti rugi tetapi tindakan mahkamah oleh Kerajaan Malaysia dan penyiasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ).

 

Dengan penyelesaian itu, terlepaslah mereka daripada dua tindakan mahkamah oleh Kerajaan PH. Yang pertama pada bulan Disember 2018 terhadap eksekutif dan bekas eksekutif serta agen GS, iaitu Tim Liessner, Roger Ng, Jasmine Loo dan Jho Low.

 

Mereka dituduh menipu Kerajaan Malaysia dalam pengeluran tiga bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion yang dijamin oleh kerajaan Malaysia.

 

Kedua, pada bulan Ogos 2019 terhadap 17 ahli dan bekas ahli lembaga pengarah tiga buah anak syarikat GS, termasuk warganegara Amerika.

 

Pendakwaan inilah yang sangat mereka takuti kerana silap-silap mereka akan dijatuhkan hukuman penjara dan denda. Walaupun hukuman itu mungkin susah hendak dikuatkuasakan, namun mereka boleh diisytiharkan sebagai “fugitive” (pelarian jenayah).

 

Ini akan memalukan mereka, menyekat pergerakan mereka dan menjatuhkan imej syarikat mereka. Mereka tentulah tidak mahu menjadi “fugitive” macam Jho Low dan konco-konconya.

 

Mereka juga takut diharamkan daripada bergiat dalam industri kewangan seperti yang telah berlaku kepada rakan mereka, Leissner.

 

Jadi sebab itulah sebaik saja kerajaan PH dijatuhkan, mereka cepat-cepat bersetuju dengan Kerajaan PN untuk membayar ganti rugi AS$3.9 bilion tersebut. Bagi mereka, duit boleh dicari asalkan imej mereka tidak tercemar.

 

Tetapi Muhyiddin dan Menteri Kewangan amaturnya, Tengku Zafrul mungkin tidak nampak atau tidak peduli permainan licik GS ini kerana matlamat mereka adalah untuk menunjukkan kepada rakyat jelata bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan satu masalah besar.

 

Bagi GS, apalah sangat ganti rugi sekali lalu sebanyak AS$3.9 bilion apabila keuntungannya bagi tahun 2019 saja adalah AS$8.47 bilion. Yang lebih penting adalah nama baik dan terlepas daripada beban tindakan undang-undang. Tidak hairanlah mereka berpesta selepas penyelesaian itu.

 

Wakil khas yang dilantik oleh Kerajaan PH bagi membantu proses itu berkata, GS amat kedekut tetapi apabila dituduh di mahkamah kita, mereka mula berlembut.

 

Mereka tidak berani datang ke Malaysia untuk berunding kononnnya takut ditangkap. Tahu pula mereka takut.

 

Mereka bukan saja takut kepada mahkamah dan undang-undang kita, tetapi mereka lebih takut kepada tindakan kerajaan mereka sendiri. Mereka amat takut dikenakan tindakan oleh DoJ.

 

Wakil khas itu berkata, kalau mereka mempunyai kes yang kuat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan, mengapakah mereka hendak berunding dengan kita?

 

Dia amat yakin daripada beberapa siri rundingan yang dihadirinya di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan GS dan pihak Arab bahawa Malaysia boleh mendapat ganti rugi yang lebih besar jika Kerajaan PN bersabar dan meneruskan tindakan yang diasaskan oleh Kerajaan PH.

 

Usaha mendapatkan balik duit 1MDB ini bermula sebaik saja Kerajaan PH mengambil alih. Ia melibatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi, Tun Daim Zainuddin, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas serta wakil-wakil SPRM, PDRM, GIACC dan beberapa agensi lain.

 

Kerajaan PH menuntut ganti rugi AS$9.6 bilion kerana itulah anggaran kerugian yang telah dan akan ditanggung oleh kerajaan dan rakyat jelata akibat penjualan tiga bon 1MDB oleh GS itu.

 

Kerajaan PH tidak bersedia menerima sebarang penyelesaian kurang daripada AS$4.8 bilion dan yakin matlamat ini boleh dicapai. Tetapi kerajaan PN “bergumbira” dengan hanya AS$3.9 bilion.

 

Kerajaan PH juga menuntut ganti rugi atau penyelesaian melibatkan AS$4.3 bilion daripada pihak-pihak Arab yang terlibat dengan “pelaburan atas angin” 1MDB.

 

Jumlah AS$3.9 bilion yang diterima dengan gembira oleh Kerajaan PN itu tidak pun cukup untuk menampung separuh beban hutang yang Najib dan Jho Low lambakkan ke atas kita semua.

 

Ganti rugi AS$9.6 bilion yang Kerajaan PH tuntut itu terdiri daripada ASS$493.18 juta komisen yang dibayar kepada GS, AS$2.07 bilion faedah pinjaman dan AS$7.7 bilion bayaran pokok.

 

Jumlah yang dituntut itu adalah akibat daripada pinjaman AS$6.5 bilion yang diatur oleh GS. Ia tidak termasuk aset dan wang tunai milik 1MDB yang diperoleh semula daripada pihak-pihak yang mencurinya.

 

Tetapi Zafrul nampaknya memasukkan hasil “asset recovery” ke dalam kiraan bagi memberi gambaran bahawa Kerajaan PN telah berjaya mendapat ganti rugi yang besar.

 

Natijahnya kalau Muhyiddin yang pernah menjadi anggota kanan Kerajaan PH meneruskan kaedah “recovery” yang diasaskan oleh PH, jumlah ganti rugi yang mungkin diperoleh adalah jauh lebih besar.

 

Tetapi nampaknya dia lebih percaya kepada nasihat “wunderkinder” (budak cerdik)Tengku Zafrul daripada hati kecilnya sendiri atau dia cuba meyakinkan rakyat jelata yang dia lebih hebat daripada Dr Mahathir dan Kerajaan PN lebih berjaya daripada PH.

 

Realitinya sama ada AS$3.9 bilion yang dipersetujui oleh Kerajaan PN atau AS$9.6 bilion yang dituntut oleh Kerajaan PH, semua ini tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan kleptrokasi BN tidak ditumbangkan oleh Kerajaan PH dengan sokongan rakyat pada 9 Mei 2018.

 

 

Wallahuaklam.

 

6 comments:

Pewaris Melayu said...

Ini kes berat. Macamana amatur boleh jadi menteri kewangan din? Ini sudah jadi tikus membaiki labu. Din din ku sangka dikau cherdik membela kepentingan negara terbukti untung tidak malahan rugi.

Oh ya saya dapat informasi lanun bugis ada yatch besar di Raffles Marina Club di Singapura. Kalau benar ini mungkin salah satu asset yang harus disiasat dan jika ini juga salah satu hasil money laundering maka harus dikembalikan kepada rakyat.

OKJ said...

Salam Dato’ A Kadir Jasin

Lama betul Dato tak menulis. Rindu pulak nak mendengar buah tangan Dato’. Saya tahu Dato’ amat kecewa dgn perkembangan terkini tapi hidup macamtulah Dato’, ada kala kita di atas dan dibawah.

Berbalik kpd Golman Sachs (GS) tu, Dato’ kena ingat yg kesalahan 1 MDB tu bukannya 100% atas GS saja tapi juga atas kepimpinan Malaysia yg lalu. OKlah tu bila GS bayar dekat 50% daripada yg kita minta. Kenapa nak jadi tamak sangat. Lagi setengah tu, kita minta dgn Najib la pulak. Handbag, jam, duit dlm rumah dia je dekat satu billion. Kita jangan jadi macam anjing dan bayang-bayang sudahlah.

Ketiga, saya rasa tindakan terbaik sebenarnya bila Dato resign dari Bersatu. Dato’ lebih sesuai tak join mana-mana parti sebenarnya. Macam parti Tun anak beranak yg akan ditubuhkan nanti, apa tujuan sebenarnya. Tun kata orang Melayu berpecah sbb banyak sangat parti politik, tapi Tun juga yg nak buat parti baru. Tun kata tak nak kronisme tapi parti Tun, dia pengerusi dan anak dia presiden. Elokla tu. Tun kata tak nak salah guna kuasa, tapi di parlimen baru ini orang dedahkan Tun sebaliknya. Orang suruh Tun jangan resign dulu sbg PM7, Tun resign pulak. Agong pujuk suruh jangan letak jawatan, Tun letak jawatan jugak sbb Tun nak jadi PM lagi tanpa parti politik. Bila tak disokong dan TSMY dilantik PM, Tun mula mengamuk dan salahkan TSMY pulak sekarang.

Akhir kata, saya rasa eloklah kerajaan tak luluskan penubuhan parti Tun yg baru ini sbb tak ada apa-apa faedah untuk orang Melayu pun. Eloklah Tun join DAP ke Amanah ke atau mana-mana parti yg ada sekalang lebih molek rasanya. Dan lebih baik jika Dato’ dapat nasihatkan Tun untuk berundurlah dari politik dan kurangkan bercakap dan menyalahkan orang lain. Biarlah rakyat Malaysia mengenali Tun Mahathir hanya sebagai Bapa Permodenan Malaysia bukan yg lainnya. Sekian TQ.

kusufian write said...

Yang bodohkan MenWang n PM8 adalah PM7. Lrrrniiii nak jadi PM9 pulerrr... Manyak Cantik Muka...
Khalayak perlu tahu n faham bila TunDrM letak jawatan, luputlah haknya selaku wali pemerintah. Berapa ahli Bersatu, Amanah... Pejuang?
Lebih bijak join UMM-I....
AA n gangs punggg bolih join sekali. Serupa umpas dalam kerajaan, tolak PN tetapi sokong PM8..
Kurang belanja, kerenah n kerja.

RD. said...

Ehmm... 'Ganti-rugi Yang Merugikan'... sudah tentu, bagi Rakyat atau Negara yang dipimpin Melayu-Islam.

Kemungkinan tidak bagi gerombolan yang dilantik berunding bagi pihak Rakyat atau Kerajaan.

Maklumlah... sama seperti hukuman lebih berat yang bakal dikenakan kepada pemandu-mabuk... demi mengelak dari hukuman, pesalah akan lebih terdesak beri-rasuah berlipat-kali ganda kepada anggota penguat-kuasa.

Begitu juga dengan GS... Dengar cerita, secara tersirat, mereka memang telah sediakan peruntukkan USD10 Billion demi 'menyelesaikan' permasalahan berbangkit dari 'kaedah' atau 'cara' mereka meraih keuntungan bagi syarikat, termasuk komisen bagi pegawai yang mengendali sesuatu urusan.
Oleh yang demikian, bayaran USD3.9 Billion kepada Rakyat Malaysia adalah merupakan kejayaan bagi Sayrikat milik Yahudi itu. Sebab itu mereka masih punyai lebihan-lumayan untuk berpesta meraikan kejayaan itu.

Lebih kurang sama dengan gelagat Jho Low... dengan 'duit terpijat', ikhsan Kepala-Bapak orang Melayu... pelarian itu langsung tidak hairan ketika berbelanja arak berharga RM70,000 sebotol, sambil bergomol dengan simbol-sex tersohor Amerika, Paris Hilton.

Unknown said...

Singkat cerita kenyataannya politik Malaysia telah rosak disebabkan manusia yang telah hanyut dengan pangkat dan harta. Mandat yg diperolehi dari rakyat jelata dalam PRU14 yg lalu telah di tongsampahkan. Kerosakkan politik membawa kesan kepada penyelesaian dengan GS yg merugikan negara. Malang sungguh bangsa melayu mendapat gabungan pemimpin penyamun, pembohong dan pengkhianat.

Alif Amir said...

Salaam DKJ
Biasa dgn ungkapan "gerak hati"? Atau mat salleh sebut instinct. Tanya PM4&7 bagaimana sebhg keputusan penting negara telah diputuskan suatu masa dulu-dulu

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).