A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account,
OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]
MUTAKHIR,
7 Dis - PRESIDENT Umno Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan mandat (amanat?) yang cukup bererti
kepada 3.4 juta anggotanya apabila beliau menuntut kesediaan mereka untuk
berkorban demi memastikan kelangsungan parti, agama, bangsa dan negara, lapor Berita Harian Online (baca disini).
MUTAKHIR - LIMA ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku Peguam Negara, Abdul Gani Patail, oleh Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Mat Zain Ibrahim yang, antara lain, mengaitkan Abdul Gani dengan kekalahan kes Pulau Batu Puteh. Soalnya adakah perwakilan Umno berani membahaskan isu ini atau mereka akan mengutuk pembangkang kerana membuat laporan berkenaan?
Posting AsalTAJUK berita akhbar The Star pada 3 Disember berbunyi “Najib: We must be the people’s party”. Dalam bahasa Melayu “Najib: Kita wajib menjadi parti rakyat”. “Kita” dalam ayat di atas merujuk kepada Umno.
Soalnya, sejak bila pula Umno
bukan parti rakyat? Atau, jadi benarlah seperti didakwa oleh sesetengah pihak
bahawa Umno sudah menjadi parti orang bangsawan, parti “warlords” dan parti
laki-bini.
Itulah yang terserlah ketika
Pilihan Raya Umum (PRU) 5 Mei lalu apabila Mohd Najib begitu menguar-uarkan
undi Cina dan India sebagai pemangkin kemenangan Barisan Nasional (BN).
Tetapi yang akhirnya
menyelamatkan beliau daripada dihanyutkan oleh tsunami Cina adalah orang Melayu
dan Bumiputera di kampung-kampung.
Umno Dahulukan Rakyat?
Berita Harian pula, pada hari
yang sama, memetik beliau sebagai berkata kepemimpinan parti “perlu beri
isyarat jelas bahawa Umno sentiasa dahulukan rakyat.”
Dalam Mohd Najib berikrar,
berjanji mendahulukan rakyat, muka depan The Star memuatkan berita bertajuk
“Painful but necessary” (sakit tapi diperlukan) yang merujuk kepada kenaikan
14.89 peratus tarif elektrik bagi Semenanjung dan 16.9 peratus bagi Sabah mulai
1 Januari ini.
Tarif tidak naik di Sarawak
kerana negara itu memilih untuk melaksanakan autonominya dengan tidak menurut
jejak kerajaan pusat. Sarawak menjana dan mengedarkan sendiri keperluan
elektriknya.
BN Sarawak pun tidak serupa
dengan BN pusat. Ia terdiri sepenuhnya daripada parti-parti politik negeri.
Baru-baru ini, Johor pun menggunakan juga autonominya yang terhad untuk
mengembalikan cuti hujung minggu daripada Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan
Sabtu.
Apakah perhimpunan Umno akan
menutup mata kepada keingkaran sivil yang sedang dipamerkan oleh negeri-negeri,
termasuk yang diperintah oleh BN, terhadap kuasa kerajaan pusat?
Negeri-negeri jelas tambah
berani mengambil kesempatan daripada kelemahan kerajaan pusat berikutan PRU 5
Mei lalu untuk melakukan hal-hal yang mereka tidak berani lakukan sebelum ini.
Berubah atau business as usual?
Soalnya, adakah para pembesar
Umno dan perwakilan yang berhimpun di PWTC untuk persidangan tahunan parti itu
sekarang sedar akan perubahan yang sedang melanda mereka atau bagi mereka,
“it’s business as usual”?
Apakah slogan rakyat didahulukan
akan terus menjadi pemanis kata dan perwakilan akan memberi ‘standing ovation”
kepada setiap patah perkataan yang Presiden ucapkan?
Kalau benar seperti kata Ketua
Pemudanya, Khairy Jamaluddin bahawa persidangan Pemuda Umno perlu memberi fokus
kepada isu rakyat dan kepada peranan kerajaan, melalui agensinya untuk
menangani masalah rakyat serta kepentingan Melayu, adakah beliau tahu apakah
isu-isu yang mengacau fikiran rakyat?
![]() |
Adakah Pemuda sedang menyusuri laluan yang sama dengan Wanita? |
Adakah beliau berani bertindak
membanteras rasuah, penyalahgunaan kuasa, pembaziran serta kefoya-foyaan
pembesar Umno, anak bini dan konco-konco mereka?
Adakah beliau berani menghurai
mengapa 1MDB, sebuah syarikat milik negara menghantar RM7 bilion ke syurga
cukai (tax haven) Cayman Islands sedangkan kita mempunyai tax haven sendiri di
Labuan?
Atau adakah Khairy juga sudah disedut
ke dalam lubang hitam (black hole) politik yang tidak ada jalan keluar
melainkan kemusnahan dan Pemuda Umno sedang
menyusuri laluan yang sama yang menjadikan Pergerakan Wanita bahan senda kawan
dan lawan?
Dan adakah Pergerakan Puteri sekadar penyeri majlis sahaja atau menjadi suara lantang generasi baru wanita Malaysia?
Dan adakah Pergerakan Puteri sekadar penyeri majlis sahaja atau menjadi suara lantang generasi baru wanita Malaysia?
Adakah isu mendesak seperti
inflasi, pengangguran graduan, rundingan Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) yang diilhamkan
oleh Amerika, ekonomi Bumiputera yang makin terumbang-ambing dan diskriminasi
sektor swasta terhadap pekerja Bumiputera akan mendapat tempat dalam
perbahasan?
![]() |
Cintakan Bangsa, Agama dan Negara atau Cintakan PM? |
Wallahuaklam.














