A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan.
Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama
samaran.]
SAMBIL menanti hansard sesi
kedua Kedai Kopi Assembly (KKA) siap, izinkan saya menyebut sikit mengenai
bola sepak tanah air.
Sebelum itu, saya perlu jelaskan
yang saya bukan kaki bola atau peminat tegar sukan. Namun saya baca mengenai
sukan kerana sejak lebih sedekad, tabiat saya adalah membaca akhbar dari
belakang ke hadapan. Sukan, antarabangsa dan ekonomi. Kalau ada semangat yang
kuat barulah baca berita di hadapan yang sering memeningkan.
Daripada apa yang saya baca,
tonton dan dengar dari media massa dan diceritakan oleh kaki bola, nampaknya
macam-macam sudah dilakukan bagi menaikkan taraf bola sepak negara. Tahniah
kepada semua pihak terlibat.
Kerajaan sudah beri bantuan.
Kaki bola (Khairy Jamaluddin) sudah jadi Menteri Belia dan Sukan. Pemain dan
pelatih luar sudah diimport. Gaji pemain bola lumayan. Persekutuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) sudah pecat-memecat. Pintu stadium sudah dirempuh dan padang
bola sudah ditakluki.
![]() |
Menteri Bola Wajib Bukti Prestasi - sayasukamalek.blogspot |
Saya dimaklumkan oleh seorang
kawan yang dua tahun jadi sukarelawan Harimau Muda bahawa itulah satu-satunya
harapan masa depan bola sepak Malaysia yang menunjukkan harapan. Jadi jangan
rosakkan mereka dengan politik bola dan sogokan.
![]() |
Jangan Rosakkan Mereka Dengan Sogokan |
Mengapa Mutu Bola Terus Hambar?
Malaysia masih “jaguh kampung”.
Dalam penarafan (ranking) terbaru FIFA (2013), Malaysia jatuh nombor 158 (ya satu
ratus lima puluh lapan) daripada 207 negara dan wilayah di dunia yang
menjadi ahli FIFA (baca di sini). Kalau di Asia, hanya
Vietnam, Indonesia, Laos, Sri Lanka, Pakistan, Taiwan, Mongolia, Brunei, Macau
dan Bhutan lebih teruk daripada kita.
Jadi kalau macam-macam Malaysia
sudah buat, tapi mutu bola sepak masih half past six, apakah sebabnya?
Fikir punya fikir, saya rasa ada
satu saja sebab. KITA ABAIKAN BOMOH BOLA. Bomoh ada macam-macam bomoh. Ada
bomoh yang kita boleh percaya sebab mereka guna kaedah Islam atau yang tidak
bercanggah dengan akidah. Tapi majoriti buat kerja-kerja bidaah.
Saya bukan sekali-kali peminat
bomoh kelas dunia. Tapi bagi bola sepak Malaysia, nampaknya yang belum dibuat
atau, kalau sudah buat, tapi sembunyi-sembunyi adalah memperkasakan bomoh bola.
![]() |
Negeri Mana Dah Main Bomoh Ni? - Faizsaaid.com |
Justeru itu, boleh jadi kaki
bola hendak cadangkan kepada FAM dan persatuan negeri supaya lantik bomoh bola.
Zaman saya remaja dulu, kaki
bola amat hormat kepada bomoh bola. Lagi-lagilah bila pasukan yang dia jadi
bomoh, menang. Tabik spring.
Bomoh bola sama naik dengan
pawang buaya. Atas daripada bomoh guna-guna dan lebih dihormati daripada bomoh
nombor ekor.
Kalau kita kekurangan bomoh bola
sebab sudah lama diabaikan, FAM boleh benarkan pasukan bola import bomoh bola
asing sebagai langkah sementara.
Kawan saya, Zainol Fakir, bekas
pengarang Mastika beritahu saya, bomoh Siam hebat. Tapi ada yang kata bomoh
dari India, Burma, Indonesia dan Afrika pun hebat juga. Kalau bomoh Afrika,
kemungkinannya mereka amalkan voodoo.
Ikut cerita, orang yang kena
jampi bomoh voodoo boleh jadi zombi (mayat hidup). Bayangkan Malaysia lawan
Singapura. Bomoh voodoo kita jampi pemain Singapura jadi zombi macam dalam
drama TV “The Walking Dead”. Fuyoo! Atau Kelantan buat pemain Pahang kembung
perut.
![]() |
Jangan Buat Lawan Jadi Macam Ini |
Zainal kata, bomoh Siam boleh
buat perut kembung sampai meletup. Dia kata, ada beberapa orang pencuri lembu di
Sik, Kedah meletup perut kena jampi bomoh Siam yang diupah oleh tuan lembu.
Tidak kiralah bomoh tempatan
atau bomoh import, asalkan tidak langgar peraturan FIFA. Tapi kalau FIFA
tidak benarkan, jangan cuba sebab takut kena gantung atau dipecat terus.
Tapi sebelum FAM terima cadangan
saya ini, elok tanya Ustaz Kazim dan mana-mana ustaz moden yang faham hal bomoh
dan bola. Kita tidak mahu langgar akidah.
Maju Sukan Kerana Negara!
Wallahuaklam.

















