[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]
MUTAKHIR - 8 Jan - Berikut adalah jawapan Sdr HishamH pemilik blog Economics Malaysia.
“Hafiz is correct, you've misrepresented what I've posted. The excerpts from my blog post come from YB Rafizi Ramli, not myself (links to his blog are provided in the post). Perhaps I wasn't as clear as I should have been, but in no way do I agree with Rafizi's analysis or conclusions.”
Jawapan penuh beliau dalam ruang komen. Saya ambil maklum dan mohon maaf kepada beliau, kepada pembahas dan pengunjung. Terima kasih.
POSTING ASALADA pembahas yang mengherdik saya kerana mengkritik Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengenai pengurusan ekonomi tetapi tidak memberi nasihat dan tunjuk ajar.
Saya rasa pembahas berkenaan tidak terbaca "nasihat" saya yang berjela-jela kepada Mohd Najib dan kerajaan melalui blog ini dan dalam tulisan saya di tempat-tempat lain berkaitan pengurusan ekonomi, mata wang, percukaian dan sebagainya.
Kadang-kadang, bila kita membincangkan isu ekonomi, banyak orang tidak peduli atau mudah bosan. Tetapi kalau kita tidak bincang, mereka kata kita hanya pandai kritik.
Sejak tahun 2006 lagi, apabila kerajaan Abdullah Ahmad Badawi membuat potongan drastik subsidi petroliam sehingga menyebabkan harga minyak dan gas naik mendadak dan dengannya harga barang dan perkhidmatan, saya menulis beberapa buah rencana mengingatkan kerajaan mengenai kesan buruk tindakan itu dan bagaimana mengurangkan beban pengguna.
Pada 28 Februari 2006 saya menyiarkan dalam blog ini rencana bertajuk “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak” (kalau berminat baca arkib ini.)
Bukan tugas saya memberi tunjuk
ajar terperinci kepada kerajaan mengenai pengurusan ekonomi. Itu tugas
kementerian, jabatan, agensi dan para penasihat Perdana Menteri yang sangat
ramai, hebat dan tersohor.
Tugas saya adalah memberi maklum
balas dan membuat kritikan. Malangnya ada pihak menganggap kritikan sebagai
penentangannya. Inilah akibatnya apabila masyarakat tidak berfikiran kritis
ditambah pula oleh sikap partisan yang melampau.
Saya berulang kali berkata
subsidi tidak lestari (unsustainable), mengherotbenyotkan (distort) ekonomi dan
menyebabkan pergantungan terhadap kerajaan.
Tetapi saya mempertikaikan cara
kerajaan, khasnya pada zaman Abdullah dan Mohd Najib, menguruskan subsidi,
memantau dan mengawal kenaikan harga, mengagihkan penjimatan subsidi dan
mengurangkan pembaziran sumber kewangan negara.
Tidak Cekap Urus Kewangan
Saya menuduh pentadbiran
Abdullah dan Mohd Najib boros dan cemerkap menguruskan kewangan negara dan tidak
sensitif terhadap perasaan rakyat jelata.
Ketika rakyat dilanda banjir,
Abdullah sibuk ke Perth, Australia untuk merasmikan pembukaan kedai makan.
Beliau pulang sebentar menjenguk mangsa banjir di Johor dan terbang semula ke
luar negara.
Mohd Najib pula dua tahun
berturut-turut bercuti di luar negara ketika tahun baru dan kali ini, pada saat
tahun baru menjanjikan khabar buruk kepada rakyat jelata akibat dasar beliau
memansuhkan dan mengurangkan subsidi
secara serentak.
Apakah salah saya dan sesiapa juga
menegur dan mengkritik Mohd Najib dan para penasihat beliau yang bernilai
berbilion ringgit itu?
Adakah beliau raja berkuasa
mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?
Atau adakah dia keramat hidup
yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?
Mohd Najib dan kerajaannya wujud
kerana rakyat jelata yang memilih mereka. Lagipun bukan rakyat jelata yang berjanji
dan berikrar tidak menaikkan harga malah mengurangkannya. Yang berjanji tidak
menaikkan harga adalah Mohd Najib dan para perancang Bilik Perang pilihan raya
beliau. Sekarang siapa yang mungkir?
Ada Masalah Lain Selain Subsidi
Sebenarnya, bukan subsidi dan
kenaikan harga saja yang wajar kita bahaskan. Banyak lagi isu yang bercanggah
dengan dakwaan yang diuar-uarkan melalui media arus perdana.
Contohnya nilai ringgit yang
terus merosot berbanding dengan dolar Amerika dan mata wang utama lain
sedangkan ekonomi kita lebih kukuh daripada ekonomi Amerika.
Kenapa defisit belanjawan dan
hutang negara semakin meruncing sedangkan kita dilambakkan dengan berita bahawa
ekonomi kita mantap, hasil kerajaan meningkat dan pengurusan kewangan berhemah?
Tetapi adakah orang yang
mengherdik saya kerana mempertikaikan pengurusan ekonomi Mohd Najib sedar
bahawa ada rancangan untuk menjual aset negara bagi mengatasi masalah kewangan
kerajaan?
Ini bukan cerita khayalan rekaan saya. Bukan fitnah.
Ini adalah kata Bank Dunia yang kita menjadi anggotanya. Saya ambil ringkasan
dari “Malaysia Economic Monitor: December 2013” ( muka surat 10) seperti
berikut:
“… the government reaffirmed its headline deficit target for 2013 (4.0% of GDP vs 4.5% in 2012). This target will be achieved through additional tax revenues (Figure 13). Of the additional RM11.8 billion in revenues expected to be raised compared to budgeted estimates, RM7.4 billion originated from non-tax sources, including RM1.4 billion of proceeds from asset sales and RM4.2 billion from the securitization of government mortgages…”
Ringkasnya Pentadbiran Mohd Najib telah, sedang atau akan menjual harta negara dan mengubah gadaian kerajaan menjadi saham untuk dijual kepada orang ramai bagi menampung defisit belanjawan. Perniagaan "derivatives" macam inilah yang membawa kepada krisis kewangan dunia pada tahun 2008 dan 2009.
Blog ekonomi “Economics Malaysia” dalam rencana bertajuk “Debt, Deficits, and Government Assets” pada 26 Disember 2013, antara lain mengulas:
“Ini adalah pendedahan yang cukup mengejutkan kerana pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta-harta negara (melalui securitization of government mortgages) untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaannya.”
Pemilik blog itu menambah:
“Saya syak rancangan menjual aset negara ini telah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal. Ini bermakna, harta-harta negara ini telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara….” (Baca di sini).
Pendek kata, masalah kita sebenarnya
tidak terhad kepada kesan-kesan negatif rasionalisasi subsidi sahaja. Ada
banyak isu dan masalah lagi yang membimbangkan. Kita perlu terus bertanya,
menegur dan mengkritik.
Tetapi kalau ada orang yang
berasa itu salah kerana mereka terlalu sayangkan Perdana Menteri, saya rasa
tidak perlulah kita bersusah payah mengadakan pilihan raya untuk memilih
kerajaan. Kita hapuskan demokrasi dan lantik saja kerajaan yang ada sekarang sebagai pemerintah
seumur hidup. Habis cerita. Wallahuaklam.












Bagi sayalah Sdr Dr langitbiru Penang, saya cukup bersetuju dgn pendapat Sdr Kampungman yg menasihati Dato’ Kadir supaya kurangkan gossip yg mengarah kepada fitnah, dan Sdr. Mustapha Ong serta Professor Dr Muhaya tentang rasional kenaikan harga barang. Begitulah contoh cara org-org beriman kepada Allah dan dianugerahi otak yg bergeliga berfikir.
Jadinya, saya berasa cukup KESIAN bila standard artikel Dato’ Kadir sekarang hampir menyamai standard Din Melaka. Kalau tulisan Din Melaka penuh dgn sampah dan fitnah, saya mengharapkan Dato’ lebih bertanggung jawab di atas artikel Dato’ di dunia dan akhirat. Akhir kata, saya menasihati Dato’ supaya mengikut nasihat dari Sdr Kampungman. W/pun blog ini Dato’ yg punya. apa salahnya kita sama-sama berpesan kearah kebaikan. Sekian TQ."