Saturday, March 07, 2020

Janji Nak Kuatkan Bersatu Tapi Nampak Tak Menentu



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.


Rayuan Dr Mahathir upama curah air ke daun keladi

CERITA ini panjang kerana mustahil boleh diceritakan dengan ringkas.

Jalan cerita atau naratif penyokong Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari lalu mengandungi beberapa elemen. Antaranya:

1. Bersatu mesti menjadi parti Bumiputera-Melayu terbesar di Malaysia dengan mengambil alih peranan Umno yang sudah rosak;

2. Bersatu tidak boleh menarik sokongan Bumiputera-Melayu selagi bekerjasama dengan DAP dalam PH dan sedikit sebanyak dengan PKR kerana ia mempunyai perwakilan bukan Melayu yang besar;

3. Bersatu wajib keluar PH bagi menyelamatkan Dr Mahathir daripada dihina oleh penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu beliau segera menyerahkan kuasa kepada idola mereka; dan

4.DAP tidak boleh dipercayai untuk menyokong dan mempertahankan Dr Mahathir.

Oleh sebab ramai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mentah dalam politik tetapi bercita-cita tinggi atau tamak (atau kedua-duanya sekali), mereka percaya kepada naratif di atas.

Maka dalam mesyuarat MPT 23 Februari, mereka tidak peduli lagi penjelasan dan rayuan tuan tubuh, iaitu Tun Dr Mahathir, bahawa beliau mempunyai sokongan Majlis Presiden PH.

Oleh sebab itu, Dr Mahathir meraya agar ahli MPT tidak tergesa-gesa mengambil keputusan keluar PH.

Penjelasan beliau mengenai keputusan Majlis Presiden PH dalam mesyuarat 21 Februari yang memberikan sepenuh mandat dan kepercayaan kepada beliau untuk mentadbir sehingga selepas Sidang Kemuncak APEC dan menyerahkan kepada beliau menentukan tarikh peralihan kuasa selepas itu, tidak diendahkan. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Hakikat bahawa Dr Mahathir tidak berbohong atau memberikan interpretasi yang salah semakin terbukti selepas Bersatu keluar PH dan kerajaan PH roboh.

Beberapa orang pemimpin PH telah mula bercerita di media massa bagaimana, menjelang tengah malam 29 Februari, apabila Dr Mahathir kembali menjadi calon PM, telah diputuskan yang Anwar bersedia untuk tidak menyertai Kabinet dan Lim Guan Eng sama ada digugurkan atau tidak lagi menjadi Menteri Kewangan.

Maksudnya, terdapat tolak ansur yang luas di kalangan pemimpin PH di mana Dr Mahathir diberikan ruang untuk bertindak supaya PH terus mempunyai majoriti di Parlimen.

Hari Pengkhianatan

Tapi penjelasan Dr Mahathir kepada MPT Bersatu pada 23 Februari umpama mencurah air ke daun keladi.

Maka terpahatlah tarikh itu sebagai hari pengkhianatan, mabuk kuasa dan strategi hambar oleh majoriti ahli MPT.

Rayuan Dr Mahathir pada mesyuarat itu mudah saja: “Jangan paksa saya langgar prinsip saya. Jangan halang saya tunaikan janji saya.” Itu pun tidak dihiraukan.

Seolah-olah dirasuk syaitan, majoriti ahli MPT menekan dan membantah sehingga Setiausaha Politik Dr Mahathir ketika itu, Muhammad Zahid Mat Arip, menepuk meja dan berkata “buat kali pertama saya menyokong Tan Sri Muhyiddin.”

Adalah diketahui umum bahawa Zahid bukan saja tidak sukakan Muhyiddin malah sering mempersendakan Presiden Bersatu itu.

Selapas Bersatu keluar PH, adakah ia lebih kuat dan dihormati? Adakah orang Melayu berduyun-duyun menyertainya? Adakah Umno yang rosak itu kini hancur lebur?

Apakah penyingkiran Adun Bersatu, Sahruddin Jamil, sebagai Menteri Besar Johor dan digantikan oleh Adun Umno tanda kekuatan dan kejayaan Bersatu selepas keluar PH?

Atau memang strategi Muhyiddin dan para penyokongnya hendak menyerah balik Johor kepada Umno?

Kuat dan Berani?

Kalau Bersatu kuat dan “Perikatan Nasional” kuat mengapakah tidak umumkan berapa orang ahli Dewan Rakyat yang tandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin?

Kalau kuat kenapa takut ke Parlimen sehingga memaksa sidang ditunda daripada 9 Mac kepada 18 Mei?

Kalau Bersatu kuat dan dihormati, mengapakah Adun Bersatu ditendang macam anjing kurap oleh Umno di Melaka?

Nampaknya Umno tetap Umno – hegemonik – dan Bersatu jadi lembu dicucuk hidung. Kalau orang Umno mengenang budi, tentulah mereka iktiraf jasa bekas Adun Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen, yang bermati-matian mahu Bersatu keluar PH sehingga ada orang berkata kerana dia dijanjikan jawatan Ketua Menteri oleh Umno.

Rafiq (duduk kanan sekali) kena main dengan Umno
Di Perak belum tentu apa akan jadi. Buat masa ini Bersatu telah hilang kerusi MB. Adun tunggal Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yang menjadi MB sejak PH menang, juga mahu Bersatu keluar PH.

Tapi dia main kayu tiga. Sehingga saat akhir, iaitu pagi Ahad, 1 Mac dia masih kelihatan di kediaman Dr Mahathir di Mines, Sungai Besi. Tetapi selepas itu hilang dan tidak lagi muncul bersama Dr Mahathir. Dia ini juga “budak” Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Bersatu.

Rupa-rupanya dia mengidamkan atau dijanjikan jawatan menteri pusat kerana dia juga ahli Parlimen. Sekarang khabarnya nama dia tidak ada dalam senarai Kabinet maka dia pun cuba berjalan balik ke Ipoh. Ini pemimpin PH Perak yang bagi tahu.

Jadi Bersatu yang dijanjikan akan lebih kuat setelah keluar PH sudah hilang jawatan MB Johor (negeri Presiden Bersatu), Adunnya di Melaka dibuat macam sampah, hilang jawatan MB Perak dan belum tahu lagi apa akan terjadi di Kabinet dan di negeri-negeri lain.

Dulu, walaupun tidak menang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Bersatu dapat juga banyak jawatan Kabinet, Exco dan MB. Hal ini bukan kerana Bersatu kuat, tetapi parti itu dihormati di bawah pimpinan Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri.

Sekarang bukan Ahli Parlimen, Exco dan Adun Bersatu sahaja yang rugi akibat perbuatan cetek akal ini, tetapi semua orang yang dilantik oleh Bersatu dan PH ke pelbagai jawatan juga mungkin hilang kedudukan kepada orang Umno dan Pas.

Tak tahulah kalau Muhyiddin dan ahli MPT yang beria-ia sangat mahu Bersatu keluar PH ada jampi azimat ala tikar terbang “zam zam alakazam” Almarhum P Ramlee untuk terbang ke angkasa lepas.

Atau mereka sangka apabila pintu gua terbuka dengan jampi “niat insun mata aji semar ngiseng” maka bertimbun harta karun yang boleh dikaut untuk memuaskan nafsu tamak haloba.

Satu saja mereka kena ingat. Silap-silap yang mereka temui ialah "ngiseng" (najis air besar).

Wallahuaklam. Terima kasih.

 

20 comments:

Anonymous said...

Seingat saya dato, selepas mengetahui tun letak jawatan, dap dan amanah dengan pantas telah mengeluarkan kenyataan tetap menyokong tun. Tapi PKR tidak berbuat demikian. Setelah tun umum cadangan UG beliau, amanah dan dap menarik balik sokongan mereka pd tun dan sebaliknya menyokong anwar jadi PM. Tentulah ni kerana pujukan Anwar yg berjaya yakinkan mereka yg dia ada cukup nombor dlm parlimen. Di hari PH menenumui Agong, mereka senyum lebar dan nampak begitu yakin akan kembali berkuasa dgn Anwar sebagai PM. Tapi bila tiba hari jumaat kepercayaan mereka ternyata meleset. Mereka terpaksa kembali melutut kepada tun dan sanggup berbuat apa saja, seperti yg dato nyatakan, asalkan tun setuju kembali bersama PH. Ni sedikit sebanyak membenarkan sangkaan pemimpin2 bersatu selama ni yg sokongan dap, amanah dan anwar pd tun tidak sekuat mana pun.

OKJ said...

Salam Dato’ Kadir

Harap harap saya menjadi orang pertama yg komen ye. Hehehe………….

Macamnilah Dato’. Kalau Dato’ betul-betul sayangkan Tun Mahathir, suruhlah beliau pencen. Al Quran dah menyatakan bahawa orang yang berjaya adalah orang yg beroleh syurga di akhirat nanti. Bukannya mengejar keduniaan lagi atau nak jadi PM kali ke 3 pulak. Biarlah Tun mendapat kejayaan yg hakiki di akhir usianya. Nak kejar apa lagi.

Saya malas nak ungkit tapi Dato’ ni buat-buat terlupa pulak dah. Itu saya geram ni. Pertama, Tun ni suka bergaduh dengan orang sebenarnya dari muda sampai ke tua. Masa muda muda bergaduh dgn Tuanku Abd Rahman, kemudian dgn Tun Hussein Onn, lepas tu dgn Tg Razaleigh, dgn Tun Musa Hitam, dgn Ketua Hakim Negara, lepas tu dgn Agong masa beliau jadi PM, kemudian bergaduh dgn Anwar Ibrahim sampai Anwar dipecat. Kemudian bergaduh dgn Pak Lah, lepastu bergaduh dgn Najib dan yang terakhir bergaduh dgn Muhyiddin Yassin. Takkan Dato’ tak perasan kot.

Bila beliau bergaduh dgn Kuli, Semangat 46 muncul, bergaduh dgn Anwar PKR muncul, bergaduh dgn Najib BERSATU muncul. Tapi bila tanya Tun Mahathir, semuanya salah orang lain belaka. Beliau seorang je yg betul. Dia cakap Melayu makin lemah sebab dah berpecah-belah. Yg peliknya dia sendiri yg menyumbangkan pepecahan orang Melayu dia tak perasan pulak.

Selama 22 tahun beliau menjadi PM yang ke4, berapa banyak Timbalannya yg bertukar ganti. Musa Hitam, Ghafar baba, Anwar Ibrahim. Apa tandanya tu. Akhirnya, beliau sendiri yg melantik Pak Lah tapi beliau sendiri juga yg mengkritik Pak Lah selumat lumatnya. Dan terakhir beliau mengajak TSMY menubuhkan Bersatu, tapi sekarang beliau jugalah yg kata TSMY mengkhianatinya.

Tun sepatutnya ikutlah majority masa meeting 23 hb tu. Bila majority Majlis tertinggi sokong TSMY, itu menandakan Tun dah kena berundurlah. Apa yg susahnya. Ke Tun ni ala-ala dictator, setiap orang mesti dengan cakap dia je. TSMY pun bukannya bodoh sangat nak bekerjasama dgn kleptocrat. Itu masalahnya, Tun yg suka memadang rendah kpd orang lain. Tun pun bukannya ikhlas sangat nak pilih penggantinya dari dulu, kini dan ………. Macamlah orang Melayu tak tahu.

Saya harap, tulisan saya ni sedikit sebanyak ni akan membuka mata Dato’ Kadir ye untuk melihat Tun Mahathir dari sudut yg lain pula. Kita sayangkan Tun tetapi kita lebih sayangkan bangsa, agama dan negara. Biarlah dia mendapat kejayaan yg sebenar disisi Allah. “Cukup-cukuplah Tun Mahathir”; kata isterinya Tun Siti Hasmah sambal memeluk Tun Mahathir. Sekian TQ.

Anonymous said...

The most important thing right now is to prevent ppbm from being swallowed and destroyed by umno. There may be disagreements between the 2 sides, but if ppbm is destroyed both sides will lose. So what's the use? It makes no sense. Let's cast aside the disagreements and differences and ensure that the party survives. That must be the first aim and priority for everybody.

Melayu hampa said...

Salam dato,

I wouldnt call dap and anwar succumbing to pressure leading for so called wide negotiation room as something good. And tht too, because bersatu finally make good of their word to withdraw from pakatan. I think tht bersatu should be much bigger than just any one person. And tht just because the members disagrees and acted on it shouldnt be painted as treasonous act. Even tun was once a maverick within umno.

Truth is dap and anwar were prepare to backstab tun and it is an open secret to all. Looks like you are still insisting on handing the power to Anwar. This alone shows tht u r far detached from the people. Whtever plot tht you might have to oust anwar, we no longer have trust in tht.

It seems tht you misunderstood us. When we voted, we wanted najib and his goons gone. We never wanted anwar back. Yes now we have to compromise with some goons. But like i said, it was never a black and white situation. How is taking anwar back as pm a good thing for malaysians ?

Wht u stated so far is only an early observation. Im waiting for the cabinet to materialized. Muhidin can always resign and state tht the goons insist on power. Therell be snap election. And just maybe this time bersatu will get some votes. Bersatu while in ph was never gonna get any votes.

If this too is a no go, then we will vote again. It is always a dynamic system. Parties and mps shouldnt be too comfortable with their positions. We shouldnt have to listen to parties. Parties should listen to us. The time for blind loyalty towards party is gone. We will vote according to wht we want.

Abitpusher said...

Bersatu keluar PH sebab x nak bagi Anwar jadi PM. Kalau Bersatu tak keluar PH dan bagi Anwar jadi PM,Bersatu jadilah parti nyamuk. Takde nilai. Mudah kena pijak dan sepak. Haha.

kusufian write said...

Salam DAKJ
Bila KuLi tolak jadi TPM dulu lucutlah haknya. Tun DrM letak jawatan luputlah kewaliannya..
Meme kene telan bersatu....

Jidin said...

Assalamualaikum Datuk...pepatah mengatakan 'orang tamak selalu rugi'...kemungkinan besar inilah yang akan terjadi pada mereka yang beria ia hendakkan kuasa!

Zaharuddin Abdullah said...

Baru timbul cerita sebenar.
Tq Dato

Shahrizal Kamal said...

Assalamu'alaikum Datuk,

Mungkin pedih rasa hati Tun Dr. Mahathir apabila kewibawaan dan kepimpinan beliau dipersoalkan oleh ahli-ahli partinya sendiri.

Mungkin juga itulah juga dirasakan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman apabila Tun Dr. Mahathir mempersoalkan kepimpinan Almarhum suatu ketika dahulu.

Naratif yang dijaja oleh Tun Dr. Mahathir ketika itu lebih kurang sama dengan naratif yang dipegang oleh rata-rata MPT PPBM ketika ini, pada pendapat saya.

Maafkan saya jika saya terkasar bahasa. Wallahu 'alam.

Unknown said...

Salam, pretty strange you can comment on weaknesses of Bersatu but not when Johor had to endure 2 MBs in 22months and was chosen by your Bersatu which were not capable and cause Rakyat Johor to suffer. Talk is cheap sometimes.

Anjang Utara said...

Orang2 muda yg tak mau dgr ckp org tua mmg patut dibiarkan belajar melalui kesilapan dan penderitaan yg mtk sendiri cari. Org utara kata 'ketegag tak bawak ke mana'. Biarkan sj siluncai dgn labu2nya. Saya percaya masih ada lagi pengikut yg jujur dan beramanah. Alhamdulillah ada baiknya keadaan terjadi supaya yg tinggal nanti 'the cream of the crop' insyaallah !!

wansee c said...

Gembira melihat Tun cegas berbasikal dan giat menjalankan aktiviti seperti biasa meskipun terpaksa terima tamparan pengkhianatan daripada perbuatan orang sendiri. Perjuang yang ada jati diri dan harga diri serta berprinsip seperti Tun ini tidak akan mudah mengalah walau apa sekalipun rintangan yang membentang di hadapannya. Saya yakin, selagi nyawanya dikandung badan dan kudratnya mengizinkan, selagi itulah Tun akan berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan Bersatu daripada dirampok licin oleh gerombolan lanun yang sebangsa dan seagama dengannya. Laungan "Hidup Tun" yang bergema di sana sini membuktikan negarawan yang terulung ini cukup disanjungi dan dihormati.

BSP said...

kadir .....tak payah la nak menulis lagi...
kau ajer yg betul...org lain salah...
Baca dan fahamkan betul2 naratif tu....bukan tuduh org lain mentah dalam politik dan tamak..

Siapa yg tamak dan siapa yg mentah???

Tun M sepatutnya menyokong Muhyiddin dan bersama dgn semua ahli BERSATU berkerjasama dengan BN/UMNO dan Muafakat Nasional serta GPS...

Alasan Tun M tak nak bekerjasama sebab UMNO perompak, kleptokrasi bla bla bla....

Siapa yg sebenarnya perompak?????
Kleptrokrasi??? benar kah?
Siapa MO1 dan MO2 dlm laporan DOJ??? Tak mengikuti perbicaraan najib ke??
MO1 sebenarnya ialah Executiev director 1MDB Casey Tang
MO2 sebenarnya ialah Dato shahrul
Dalam perbicaraan yg sedang berjalan pun tak ada tanda2 Najib bersalah..

Mereka ni mangsa perdakwaan politik...
Kenapa Mustapha Mohamad, Ermiyati, Hamzah Zainuddin dan yg lain tu tak didakwa jugak???
Adakah sebab mereka dah masuk PPBM, maka mereka jadi suci...

Inilah Rule of law yg Tun M dan kerajaan PH yg mereka laungkan....
pemimpin2 korup dan yang melanggar undang2 dibebaskan sebab mereka adalah geng mereka

Malaysia hanya akan aman jika TIADA 3 BENDA NI:
1. DAP
2. Tun M
3. Anwar

Percayalah....

sila siarkan kalau kadir kau anak jantan yg tidak berselindung disebalik freedom of speech...

Unknown said...

Sallam Dato,

Yang paling penting sekali kita nak tanya adalah apa masalah orang melayu dan rakyat?

Dia nak buat parti gabungan tak ada DAP. Selama ini daripada merdeka mana ada DAP dalam kerajaan federal?

Selama ini, bukan parti melayu yang perintah?

Masalahnya adalah rasuah, kleptokrasi , salah guna kuasa.

Adakah parti bersatu keluar akan selesaikan masalah ini?

Apa tujuan Parti Bersatu ditubuhkan?

Seperti kata Tun M, parti politik adalah “a means to an end”, maknanya parti politik adalah satu alat perkakas untuk sampai kepada satu hajat.

Tujuannya apa? Kalau hendak bergabung dengan UMNO kenapa tak bergabung dari dulu?

Ini mengelirukan rakyat.

Sekarang ini kita adalah masalah Corona virus. Disebabkan virus ini merebak Luas ke seluruh dunia, masalah Kita sekarang adalah masalah kesihatan. Wabak penyakit juga menyebabkan gangguan ekonomi dan perdagangan.

Kita mahukan mereka ini, rakyat pun tak tahu lagi siapa selesaikan masalah ini.

Kita kena balik semula, tanya apa dia masalah sebenar?

sorbani anak jati kedah said...

NAMPAK SANGAT KADIAQ JASIN NI MAU KEMARUK KUASA BAGI PIHAK JUAK2 PEMIMPIN DIA. WOI KADIAQ....BELANG HANG AMAT TERSERLAH KAMI NAMPAK. PIIIRRRRAAAAAHHHHHH.

Lanbudakbaik said...

Kuasa, jawatan dan harta. Kepentingan melayu islam? Hurmm.. Dunia dah nak kiamat marilah kita sama-sama bertaubat dan bertawakkal.

Aku said...

Kadiag, السلام عليكم ,
Ikut tulihsan hang kali ni,
jalan cerita atau naratif geng muapo ialah:
1. Geng UMNO tak bulih diharap untuk bela orang melayu sebab rosak sakan,
2. Geng muapo tak bulih tarik orang melayu sebab kalu dok dlm PH yg jugak dianggotai DAP & PKR,
yg ramai bukan melayu,
3. Nak selamatkan PM Interim (PMI) dari dimalukan oleh geng Anwar, dan
4, PMI tak bulih begantung harap sokongan DAP.

Kalu ‘naratif’ hang betoi,
tak keruannya semakin nampak pasai kalu UMNO tak mampu bela melayu, yg geng muapo
kenun2nya nak bela, pi terima UMNO buat apa...?
Kalu nak jadi parti rasis, jalan mudah ialah dgn menjahatkan cina, (‘demonization’).
Tapi yg jahatnya, cina Malaya saja,
khusus cina DAP, cina MCA dan cina Gerakan tak pa.
Ini tak temasok jugak cina Singapor,
pasai tak salah aku, kepala geng muapo dapat rawatan kanser dia di Singapor, di hospital mount Elizabeth.
Tak salah aku jugak, kepala agama dari kelantan yg dolunya pon dirawat di hospital Singapor.
Akiag sekali, pd pandangan aku, yg memalukan PMI semau maunya bukan geng Anwar atau cina jahat DAP,
tapi geng muapo.

Maghap no.
Aku

Seri said...

Natatif datuk mereka2 ni akakn hilang kuasa, pangkat dan kekayaan bila keluar dr ph. Mmng betul tp apakah ini harga yg mereka sanggup bayar? Mungkin inilah harga yg mereka sanggup bayar atas penghinaan ahli pkr dan ahli2 dap yg x sedar di untung. Kami pilih ph pun sbb kena tipu dgn dato. Dan juga sbb sayang dan hormat tun M. B

wansee c said...

Sambungan..... Love your last three paragraphs to bits. You are indeed the best narrator. Just a touch of sarcasm enough to smack their faces burned with shame. There would be aplenty to expect if they finally come to terms with "ngiseng boon" due to their stupidity and naivety. Lest the Big Brothers would swallow them all alive without mercy before long.

John Doe said...

Salam Pak Kadir yang dihormati.

Saya seorang Pro-Tun sama dengan TSMY dan Pak Kadir sendiri yang sentiasa menyokong Tun di dalam segala hal dan di dalam setiap keputusan mahupun pertempuran yang ia ketuai.

Walaubagaimanapun di dalam hal ini saya berpendapat kedua-dua pihak di dalam PPBM baik pihak yang menyokong Tun kekal sebagai PM ataupun yang bersetuju TSMY mengambil alih kedua-duanya memiliki hujah yang sama kuat. Maka sokongan saya kepada kedua-dua kumpulan ini dan tidak akan menentang jauh sekali untuk mengecam mana-mana kumpulan yang satu lagi.

Kesemua ahli-ahli parlimen PH yang berpaling tadah tempohari baik daripada PKR mahupun PPBM mempunyai satu kehendak yang sama iaitu tidak mahu melihat sebuah kerajaan yang di dalamnya ada PKR+DAP+PAN yang diketuai oleh seorang bekas banduan pesalah liwat yang diampunkan. Sedang kesemua mereka tiada masalah dan malahan menyokong penuh kepimpinan Tun sebagai PM di dalam kerajaan yang sama, mereka melihat ada keperluan untuk selamatkan negara daripada berPMkan seorang bekas banduan pesalah liwat yang diampunkan yang di belakangnya ada PKR+DAP+PAN disebabkan masa yang semakin suntuk.

Penyokong dan pendokong Tun dan PPBM hanya mempunyai dua pilihan yang jelas. Tidak ada jalan tengah di antara keduanya. Dua pilihan itu ialah:-

1. Terus kekalkan kerajaan PH dengan risiko bekas banduan pesalah liwat yang diampunkan benar-benar mengambil alih tampuk kerajaan apabila tiba masanya Tun perlu berundur seperti yang Tun sendiri akui.

2. Bersekutu dengan UmNO dan PAS tetapi dengan kuasa PM kekal di tangan PPBM, dan demikian apabila pemilihan jemaah menteri dibuat, golongan penyamun dan penunggang agama boleh diketepikan daripada senarai.

Golongan yang mengikut TSMY berpaling tadah adalah orang-orang yang berpendapat pilihan kedua itu lebih selamat dan lebih rendah risikonya ke atas keselamatan bangsa dan negara daripada kebinasaan.

Mereka tidak membelakangkan Tun. Malahan dengan jelas mereka mahukan Tun yang mengetuai mereka, tetapi Tun telah menolak dengan alasan 'jangan paksa saya langgar janji saya kepada Anwar' yang secara mafhum berbaliknya bermaksud 'mereka yang lain tiada sebarang janji peribadi kepada Anwar'

Mereka semua ini adalah juga Pro-Tun sama seperti Pak Kadir sendiri dan merekalah yang telah mempertahankan Tun apabila Tun dibelasah oleh sekumpulan yang lain di dalam PH yang mahukan Anwar segera mengambil alih.

Malah pengakuan Tun dan Pak Kadir sendiri bahawa Tun telah mengungkapkan permintaan supaya jangan memaksa ia melanggar janjinya kepada Anwar. Ia adalah satu pengakuan bahawa Tun mengakui tangannya terikat dengan janji peribadi dan demikian dia tidak boleh melakukan apa-apa lagi di dalam upayanya untuk menghalang seorang pesalah liwat memegang tampuk pentadbiran kerajaan. Dia hanya mampu 'berserah' mengikut arus, dan TSMY telah membawa arus itu jauh daripada risiko negara berPMkan seorang bekas banduan pesalah liwat yang diampunkan.

Di dalam hal ini saya melihat kedua-dua kumpulan yang bebeza pendapat di dalam PPBM ini mempunyai hujah yang seimbang, dan kedua-duanya adalah benar.

Apakah persamaan kedua-dua kumpulan ini? Kedua-duanya memandang Tun sebagai ayah mereka dan negarawan ulung yang tiada tandingan.

Bezanya kumpulan pertama mengambil arahan Tun secara literal 'jangan paksa saya langgar janji saya' sebagai arahan seorang bapa yang tidak boleh dilanggar sedang kumpulan kedua melihatnya sebagai alasan si bapa bahawasanya dia tidak boleh melakukannya sendiri kerana terikat kepada janji tetapi tiada halangan untuk anak-anaknya melakukannya kerana mereka tidak terikat dengan janji tersebut.

Bukankah mereka ini yang melihat sendiri bagaimana ahli-ahli Majlis Presiden PH yang lain berlaku biadab dengan Tun dan menerima cabaran mereka supaya PPBM benar-benar keluar PH dan demikan mengakibatkan kerajaan PH tumbang?

Setakat hari ini saya kekal menyokong 3M yang kesemua mereka telah menjalankan tugas mereka yang sepatutnya berdasarkan ruang lingkup kemampuan dan keterbatasan masing-masing.

Wallahu a'lam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).