A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan. Sila
guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama
samaran.]
KITA pun tidaklah terlalu tidak
cerdik untuk mengetahui bahawa melantik anggota Kabinet adalah hak dan budi
bicara Perdana Menteri.
Orang macam kita tidak ada hak
dan bukan “prerogative” kita melantik anggota Kabinet. Tetapi, sebagai rakyat
jelata, pengundi dan pembayar cukai, kita ada hak dan “prerogative” kita
memberi pandangan, menegur dan mengkritik Perdana Menteri.
Atas dasar dan semangat itulah,
saya akan memberi nasihat yang tidak diminta dan, boleh jadi juga,
sangat-sangat tidak disenangi oleh Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak,
yang kita semua tahu mempunyai banyak penasihat, perunding dan pegawai khas,
termasuk lima yang kalah PRU 5 Mei lalu.
Pembaca dan pembahas pun bebas
bersetuju dan tidak bersetuju dengan saya, dan bebas juga membuat cadangan.
Berikut adalah pemikiran dua sen
saya mengenai Kabinet yang bakal Perdana Menteri tubuhkan.
1. Ia hendaklah jangan terlalu
besar. Kita tidak perlu sampai 30 orang Menteri. Yang kita mahu bukan kuantiti
tetapi kualiti. Maksimum mungkin 25 sahaja.
2. Mohd Najib perlu jadi Perdana
Menteri sahaja. Seperti sudah berbuih mulut saya katakan, Perdana Menteri tidak
boleh jadi Menteri Kewangan atau Menteri lain kerana beliau adalah “adjucator
of last resort”. Lagipun tugas Perdana Menteri sudah cukup berat.
3. Wajib beri keutamaan kepada
calon yang menang pilihan raya, tetapi mereka perlulah bersih dan dilihat
bersih oleh rakyat jelata.
4. Hanya calon tewas yang luar
biasa kebolehannya dan besar jasanya kepada negara sahaja boleh
dipertimbangkan. Dalam konteks ini, saya setuju dengan Lim Kit Siang supaya
Abdul Ghani Othman, bekas Menteri Besar Johor yang beliau kalahkan di Gelang
Patah, diberikan jawatan Kerajaan Pusat.
5. Tambah bilangan Menteri dan
Timbalan Menteri di kalangan YB muda dan wanita. Saya ulangi cadangan agar YB
Khairi Jamaluddin diberikan jawatan menteri penuh dan diberikan portfolio Luar
Negeri. Dia Ketua Pemuda Umno, pintar dan petah berhujah dalam bahasa Inggeris.
Kalau YB Mukhriz Mahathir yang kalah pertandingan Pemuda diberikan jawatan
Timbalan Menteri dan kini Menteri Besar Kedah, adalah tidak adil meminggirkan
Khairi.
6. Wanita Umno wajib diberikan
semula jawatan Menteri yang hilang apabila ketua mereka, Shahrizat Abdul Jalil,
terpaksa berundur akibat kontroversi yang membabitkan suami beliau. Dalam PRU
kali ini, Pergerakan Wanita tawar hati dan nyata tidak 100% komited kepada
parti kerana kurang pengiktirafan kepada mereka dalam pelantikan calon.
Lagipun, perwakilan wanita dalam dewan perundangan di negara kita adalah antara
yang terhambar di dunia.
7. Hidupkan semula Kementerian
Keselamatan Dalam Negeri (sekarang Kementerian Dalam Negeri) kerana keselamatan
negara nyata sangat membimbangkan dengan jenayah semakin berleluasa dan lantik
seorang penjawat yang benar-benar berwibawa, tegas dan berwawasan. Tolonglah.
8. Hidupkan semula Kementerian
Pembangunan Usahawan yang pada masa hayatnya (sebelum ditamatkan oleh Mohd
Najib) sangat berguna kepada usahawan kecil dan sederhana, khasnya Bumiputera
yang kurang modal, kepakaran dan pasaran. Berani mengaku silap adalah tanda
orang berhemah. Ular menyusur akar tidak hilang bisanya.
9. Kementerian Sumber Manusia perlu
dinaikkan taraf dan diberikan kepada seorang Menteri yang kreatif dan boleh
berunding secara berkesan dengan negara-negara jiran yang membekalkan pekerja
kepada kita. Masalah kita dengan Indonesia dalam hal pekerja adalah kerana kita
menghantar Menteri “junior” berunding dengan mereka. Menteri Melayu/Bumiputera
lebih sesuai untuk kementerian ini.
10. Tamatkan amalan mengekhaskan
Kementerian tertentu kepada kaum atau parti tertentu. Jangan kosongkan
Kementerian atau buat pemangkuan semata-mata kerana parti dan kaum tertentu
tidak diwakili.
11. Berikan keutamaan yang lebih
besar kepada Sarawak dan Sabah melalui pelantikan Kabinet (dan jawatan-jawatan
pusat yang lain) kerana menyelamatkan BN daripada kekalahan dengan mengakui
bahawa kedudukan kaum dan agama di dua buah negeri itu adalah unik.
12. Dan boleh lantik perwakilan Cina dan
India dari kalangan bukan politik, misalnya perniagaan, profesional dan
akademik, tetapi mereka bukanlah wakil orang Cina dan India sebaliknya berkhidmat
atas kapasiti individu.
Itulah yang terlintas dalam fikiran
saya buat masa ini. Wallahualam.






