بِسْمِ اللهِ
الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Sidang Khas 2 Mac: Harap sinar akan terus menerangi kita |
MENGAMBIL berkat hari Jumaat yang mulia ini dan dengan lafaz بِسْمِ
اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ izinkan saya bercerita mengenai beberapa
perkara berkaitan negara kita sekarang.
Negara kita berada dalam
suasana perubahan yang sangat radikal, pantas dan kompleks. Dalam masa lebih
kurang 10 hari perubahan luar biasa telah dan akan berlaku.
Kita mohon kepada Tuhan
agar memberikan kita petunjuk, kekuatan dan perlindungan.
Mula-mula mengenai kerajaan
perpaduan nasional yang Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad cadangkan.
Sama ada beliau menang
atau kalah dalam perbahasan sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan Isnin, 2
Mac ini bergantung kepada sama ada cadangan kerajaan perpaduan dalam
acuan beliau sendiri itu diterima atau tidak.
Konsep kerajaan perpaduan
yang Dr Mahathir cadangkan mungkin berbeza daripada kerajaan perpaduan yang
dikenali umum.
Seperti yang beliau terangkan
secara ringkas di sidang media ketika melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020
semalam (Khamis, 27 Februari) adalah lebih kurang begini:
1. Pemilihan anggota
Kabinet tidak diasaskan daripada parti politik;
2. Calon terdiri daripada
orang perseorangan yang menyertai Kabinet sebagai individu;
3. Mereka akan dipilih
sebagai individu berasaskan budi pekerti dan kepakaran. (Ertinya penyangak,
penyamun, pencabul kehormatan, perasuah dan orang kena tuduh (OKT) tidak
termasuk dalam senarai); dan
4. Calon boleh datang
daripada parti politik tetapi mereka duduk di dalam Kabinet sebagai orang
perseorangan.
Mengapakah Dr Mahathir memilih
kaedah ini yang sekali gus mungkin mengurangkan harapan beliau mendapat
sokongan daripada wakil parti-parti politik di dalam Dewan Rakyat?
Jawapannya adalah beliau
tidak lagi mahu atau berasa mampu menjadi Perdana Menteri yang bergantung
kepada parti-parti politik.
Bukan tujuan beliau hendak
menjadi diktator atau autokrat, tetapi untuk mentadbir dengan lebih tenang dan
berkesan tanpa gangguan politik kepartian.
Malah kaedah ini boleh
menjadikan Malaysia lebih demokratik kerana kerajaan terdedah kepada pemantauan
oleh parti-parti politik di dalam dan luar dewan.
Dalam bahasa yang mudah, cadangan
Dr Mahathir ini boleh juga dilihat sebagai percubaan terakhir beliau memenuhi
aspirasi dan matlamat menyelamatkan Malaysia yang beliau asaskan pada tahun
2016.
Kempen Selamatkan Malaysia
yang memungut lebih 1.4 juta tandatangan rakyat jelata adalah jalan pulang
beliau ke arena politik selepas bersara pada tahun 2003.
Alhamdulillah, melalui Pakatan
Harapan (PH) yang beliau pimpin negara berjaya dibebaskan daripada cengkaman
kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN).
Pakatan Harapan menamatkan rompak samun Barisan Nasional |
Jadi dari sini pun kita
boleh lihat mengapa beliau tidak boleh menerima Umno seperti yang cuba
dipaksakan ke atas beliau oleh Bersatu.
Sejarah Pahit
Pada malam 21 Februari sesuatu yang luar biasa berlaku.
Majlis Presiden PH telah memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk terus
menjadi Perdana Menteri sehingga selesai sidang kemuncak APEC November ini.
Bukan itu saja malah ia juga
tidak meletakkan sebarang tarikh selepas itu bagi Dr Mahathir memindahkan kuasa
kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selepas mesyuarat itu, Dr
Mahathir memberitahu sidang media: “Saya kata peralihan lepas APEC
(Asia-Pacific Economic Cooperation). Tidak ada masa (ditetapkan)…tidak ada tarikh…
tiada apa-apa. Terpulang kepada saya tentukan masa. Keputusan kepada saya, bila
akan letak jawatan.” (Bernama).
Jadi pada pendapat beliau dan
daripada sudut pandangan umum, beliau telah diberikan mandat baru oleh PH untuk
terus mentadbir. Cerita kononnya beliau akan dipaksa undur diri Mei ini tidak
benar dan tidak terjadi.
Matlamat Dr Mahathir tidak lain kecuali membersihkan negara daripada najis kerajaan BN dan akibat
wabak Covid-19 yang sedang berlaku sekarang.
Tetapi kegembiraan beliau
singkat. Pada pagi hari Ahad, 23 Februari parti beliau, Bersatu mengadakan
mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di mana Dr Mahathir dikejutkan oleh tekanan
bertubi-tubi daripada majoriti ahli supaya menarik Bersatu keluar daripada PH
dan bergabung dengan Umno dan Pas.
Dr Mahathir menerangkan
dengan panjang lebar apa yang berlaku dalam mesyuarat 21 Februari dan berkata,
beliau tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan kepercayaan yang diberikan oleh Majlis
Presiden PH itu.
Malah beliau merayu
berulang kali kepada ahli agar memberikan beliau peluang dan tidak mamaksa
beliau melanggar prinsip beliau dan mungkir janji kepada Anwar.
Dengan izin, saya
memaklumkan yang saya sebelah Dr Mahathir dan saya bangun meminta ahli
majlis supaya menghormati pendirian beliau dan jangan terus mengasak beliau.
Pokok pangkalnya, Dr
Mahathir hanya merayu diberi peluang untuk berpegang kepada prinsip beliau dan
menunaikan janji beliau.
Dan dengan jelas
mengulangi pendirian beliau, iaitu beliau boleh terima pemimpin Umno sebagai
individu tetapi beliau tidak akan terima Umno.
Akhirnya keputusan diambil
untuk keluar PH dan dengan itu runtuhlah Kerajaan PH. Pada hari Isnin Dr
Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.
Meletakkan jawatan sebagai
Perdana Menteri adalah wajib kerana beliau bukan lagi ahli PH dan PH hilang
majoriti dalam Dewan Rakyat.
Beliau tidak perlu letak jawatan
sebagai Pengerusi Bersatu tetapi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana
tidak mendapat sokongan MPT.
Pada 27 Februari
beliau terima semula jawatan Pengerusi Bersatu atas rayuan melutut MPT.
Bagi saya, itulah latar
belakang politik yang menyebabkan Dr Mahathir tidak mahu lagi memimpin berasaskan
parti. Kalau masih diperlukan, beliau akan memimpin kerajaan tanpa parti.
Praktikal atau tidak,
itulah pilihan beliau buat masa ini dan terpulanglah kepada ahli Dewan Rakyat
memutuskannya Isnin ini.
Malah secara terbuka
beliau memberitahu sidang media semalam bahawa beliau bersedia kalah kepada Tan
Sri Muhyiddin Yassin dan menerima Presiden Bersatu itu sebagai calon Perdana
Menteri jika itulah keputusan Dewan Rakyat.
Perlu disebutkan bahawa
Muhyiddin adalah pemimpin Bersatu yang bercakap bagi pihak ahli MPT yang mahu
Bersatu keluar PH dan menyertai Umno dan Pas.
Anugerah seorang Raja prihatin, bijaksana |
Apa-apa pun kita kena
bersyukur dan berterima kasih kerana di saat-saat genting ini, kita mempunyai
seorang Raja yang prihatin, bijaksana dan berperikemanusiaan.
Menjunjung kasih ke bawah
duli Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in
Billah.
Inilah sebabnya saya
selalu memetik lirik lagu Negaraku yang berbunyi:
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja kita
Selamat bertakhta.
Dan kita jangan lupa kakitangan
Perkhidmatan Awam, Polis dan Tentera yang secara tersurat dan tersirat
mentabdir dan melindungi negara kita, Malaysia, yang dicintai ini.
Tanpa prejudis saya
memohon maaf. Wallahuaklam, Terima kasih.