Monday, August 03, 2015

Betul Cara, Ikan Belida Boleh Dipancing


A Kadir Jasin

PEMBAHAS RD – orang Baling kahwin wanita Kubur Panjang – mengulas: “Dr.M sudah agak lama mendiamkan diri. Yang paling saya risau dan hairan, mengapa JebatMustDie terus juga mendiamkan diri.”


[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Saya amat biasa dengan Baling dan Kubur Panjang; membuat liputan lawatan Almarhum Tun Tunku Abdul Rahman Putra ke Baling pada tahun 1969 dan kakak saya berkahwin orang Kubur Panjang.

Berkenaan Tun Dr Mahathir Mohamad, khabarnya beliau ke Jepun. Untuk JebatMustDie pula kita berdoa agar beliau sihat wal afiat dan akan kembali berkarya.

Dalam keadaan laut yang bergelora. Ombak dan badai menggila. Bahtera kita patah kemudi, terkoyak layar. Nakhoda cemas. Anak-anak kapal mengganas.

Orang yang arif mengenai hukum lautan berkata, siapa yang menabur angin dia akan menuai badai. He who sows the wind shall harvest the waves.

Siapa yang menabur angin akan menuai badai
Ketika bahtera merdeka kita dilanda badai, kemudi patah layar berkecai, nakhoda cemas anak kapal mengganas, tentulah ada pendeta dan tukang cerita yang buntu akalnya dan tumpul mata penanya.

Saya pun sekali-sekala berasa terancam juga. Maklumlah kita mentimun mereka durian. Kita menggolek kita kena, mereka bergolek kita kena.

Namun saya bersyukur. Alhamdulillah, dengan sokongan dan doa para pembahas serta pembaca, mata pena tua saya masih tidak kering dakwatnya.

Ini ceritera kaedah berperang. Musuh kita tidak kuat tetapi kita lemah, kita kalah. Musuh kita kuat tetapi kita pintar, belum tentu mereka menang. Kita kuat kerana azam. Kita berani kerana benar. Inilah peperangan mutakhir yang dinanti-nantikan pendekar dan pahlawan sebenar.

Jadi, mari menyusun seroja bunga seroja. Hiasan sanggul remaja puteri remaja. Rupa yang elok dimanja jangan dimanja. Pujalah ia sekadar sekadar saja. Sekarang bukan bermenung, zaman bermenung. Marilah kita bersama
memetik bunga.

Memancing Belida Ikan Belida

Dan kepada yang berminat memancing, biar saya ceritakan cara memancing ikan belida. Orang Kedah kata ikan selat. Orang putih kata, bronze featherback. Ada beberapa jenis ikan belida.

Ikan belida boleh dipancing
Ada orang kata, belida tidak makan pancing. Itu tidak tepat. Dengan cara yang betul, belida boleh dipancing. Ini cara yang diajarkan oleh Allahyarhamah nenek saya – tok, kata orang Kedah – masa saya kanak-kanak dulu.

Guna mata kail yang paling kecil sebab mulut belida sempit. Umpan cacing atau anak sepilai jeruk. Ketika banjir sedang naik, tengok di mana ikan keli dan baung mengorek cacing di gigi air. Turunkan mata kail lima atau enam kaki dari gigi air kerana di situ belida berenang. Kerana bentuk badannya, belida tidak boleh berenang di air tohor. Itu kerja keli dan baung. Turunkan mata kail sekaki atau dua kaki dalam. Insya-Allah dapat ikan belida.

Natijahnya, apa pun yang hendak kita lakukan mesti berbekalkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Dimulakan dengan bismillah dan niat yang baik, insya-Allah berhasil.

Bahtera kita kukuh dan laju. Kemudi teguh kayu jati. Layar kuat diikat tali pedati. Tiangnya tinggi menjulang. Panji-panjinya Jalur Gemilang.

Tetapi kalau nakhoda kita “landlubber” - orang yang tidak berpengalaman di laut – takut-takut bahtera kita pecah berderai dihempas badai.

Manalah tahu, nakhoda terabai meninjau ufuk kerana memantau anak kapal sudah dirasuk. Andai tidak dipantau, dipujuk dan disogok, takut-takut mereka belot, derhaka dan terjun kapal.

Wallahuaklam.

36 comments:

jumbeaux said...

Salam Datuk

Banyak berkias Datuk kali ini. Amat menarik sekali cara Datuk menulis. Ada yang saya faham maksudnya, ada yang tidak.
.
Apapun saya doakan kesihatan dan keselamatan untuk semua yang berjuang menentang ketidakadilan yang sedang berlaku di negara kita sekarang.

Insyallah.

zainal abidin awang kechik said...

satu keajaibpan jika belida makan mata pancing..

salam

Lahuma said...

Dato.

Seorang penjual ubat.
Amat mulia.
Daripada seorang pemimpin
Yang jual
Agama
Bangsa
Dan
Negara.

Terima kasih.Dato.

A KADIR JASIN said...

1. Zainal, bukan belida saja makan pancing. Hatta sepilai dan guppi pun boleh dipancing. Ambil benang. Ikat cacing kecil. Bila sepilai atau gappi makan, cepat-cepat sentak.

2. Orang Kedah kata, caaraa. Orang pulih kata method. Kalau method betul, ujian makmah berjaya. Kalau tak betul boleh meletup. Di Tanah Melayu kita sekarang lebih banyak yang meletup daripada tak meletup.

3. Kalau sepilai dan gappi boleh dipancing apakan lagi manusia. Sekarang sedang dibuat percubaan terang-terangan untuk korupkan minda ahli Umno dan sogok mereka dengan mengatakan Sang Dewa Maha Agung boleh simpan akaun peribadi dan bayang-bayangkan bahawa 1MDB adalah untuk Umno.

4. This is the worse kind of perversion and attempt at corrupting the poor, the uninformed and the gullible as if material corruption is not widespread enough they are now trying to corrupt the minds of the rakyat as well.

5. Some people argued that 1MDB has a lot of assets. Yes and no. Except for land, which it bought cheaply from the government but expensively from private vendors, plus a few aging IPPs, the value of it assets are mere estimates. They will try to hoodwink you by such clever argument as enterprise value or future value.

6. Buy cheap and revalue by 40 or 50 times (as proven by the sale of its TRX land to Tabung Haji and the issuance of Sukuk for Bandar Malaysia). 1MDB is essentially a debt-based company. It exists because of the debt-papers it sold and much of which are guaranteed by the government.

7. Another looming disaster is the fact that its debt could be rising in quantum - above the RM42-billion - due to the fall of the ringgit and the rise of the dollar. Although most of its lenders are thought to be domestic, its debt papers are denominated in dollar. So in reality its debt burden could have been much more than made public.

Wallahuaklam. Thank you.

Ummu Aiman said...

Assalamualaikum Dato' AKJ yang saya hormati,

Semoga Allah terus memberi kesihatan yang baik dan umur yang diberkati pada Dato' untuk terus menulis. Saya bersyukur anugerah istimewa yang Allah berikan pada Dato' dimanafaatkan demi amar maaruf nahi munkar.

Rakyat kecil seperti saya hanya punya doa dan satu undi. Walaupun satu undi tidak boleh merubah landskap politik negara kita tetapi dengan satu undi itulah saya akan jawab di hadapan Allah nanti bahawa saya tidak memilih pemimpin zalim yang tamak pada kekayaan negara.

Teruskan menulis Dato' sebab teguran Dato' mampu membuat Panglima Bugis tidak tidur malam. Hanya orang yang takut saja perlukan bodyguard keliling pinggang. Soalan saya 'SB tak bagitahu dia ka yang rakyat bukan nak gulingkan kerajaan tetapi nak dia ja turun?'.

Joe black said...

Dato'

What is ironical is that Najib thinks that by stalling, things will get better with 1MDB and his problems will simply vanish into thin air!

He will find out to his dismay that time is working against him regardless of how much spin he puts into 1MDB to stall for time!

It is obvious that the 1MDB team knows nothing about property development which is dictated by cycles...They are entering amidst the tail end of a property cycle with glut in office space and high end residential flooding the market. Selling raw land will not get enough to pay off even a fraction of their growing debt. The falling ringhit means they are being hit both ways...interest and depreceating ringgit.

Those old IPPS? The longer they keep them they will continue to depreceate until they end up being junk value. Nobody will buy them at their current prices and with debt burden carrying interest.

All in all, they should just own up instead of trying to deceive the rakyat for the truth will eventually bring them down.

pahit manis said...

Salam

1 - hobi saya mengail. dari dulu sampai sekarang. memang belida boleh dipancing. saya pernah dapat. ada yang besar juga, kalau ada rezeki pd hari turun mengail tu.

2 - jika satu masa dulu rata2 orang berpegang kepada kata2 "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.' hari ini situasi begitu sudah bertambah. Dengar kata Che Det ke jepun untuk rawatan mata. Mudah-mudahan beliau kembali ke tanahair dengan kebolehan menengok dengan kuasa 20/20. Bagi rakan kita Jebat Must Die, dia mungkon cuti raya yang agak panjang sikit. InsyaaAllah JMD juga akan menulis lagi dan memberi pandangan-pandangannya yang tajam.

Abdullah Ngah said...

Di Terengganu ikan belida dan ikan selat tak sama. Belida besar dan selat kecil, tetapi bentuknya seakan sama. mungkin dari jenis yang sama belida besar selat kecil sikit. Ikan belida dan ikan selat sangat tidak digemari pemancing miskipun comel rupanya.mungkin isinya kurang sedap di makan. Demikian juga ikan ubi dapat dibuang semula kedalam sungai. Hari ini ikan ubi harganya tersangat mahal, katanya ada khasiat yang menakjudkan.

Fendi Ahmad said...

Salam DAKJ,

Generasi 80an mcm saya baca tulisan kali ni memang rasa indah dan mendalam sungguh makna bahasa yang diguna.

Analogi ikan belida itu sungguh wow !

Sebut pasal wow ni Tok, macam mana rakyat mahu terbeli dengan cakap dan ideologi nakhoda kalau "wow factor" tak diketemui. Wallahuaklam.

rahimlpp@yahoo.com said...

Dato'@ Selamat raya dan Maaf zahir batin. Orang Baling mempunyai dailek bahasa yang sama dengan penduduk di dairah bersempadan dengan Thailand termasuk lah di Kroh dan Grik. Dema ada persamaan kerana keturunan Patani.
2. Orang Baling kata nampak macan huru hara sikitlah politik hari ni. Pakat dok berebok apa pun tak thu de. Pakat nak polok bagi kenyang perut dema saja. Orang kapong susah dema tak ambil thu.
3. Tak buleh ke dema berpakat molek-molek. Tok sah dok kelahi la. Tak guna seduit pon. Mariah kita berpakat seropa adik beradik.
4. Dato pon Cuba tulis bagi molek sikit pujok dema jangan dok berkelahi mu aku. Pakat bagi beradon sikit.
5. Kalau Dato tak thu apa yang ditulis, gi kelek tanya orang kapong kok sebelah Tobiar sana. Dema tu faham.Dato Othman Abdul pon mungkin faham

Iklas,
Rahim

kluangman said...

Kebimbangan yang bertali, samada putus di udara jika angin kuat atau akhirnya putus juga dibawahnya tika angin sekadar sepoi bahasa.

Orang Kampung said...

Assalamualaikum Datuk,

Setakat yang saya tahu spesis ikan yang dipanggil ustaz selat ini mulut sahaja kecil tapi temboloknya besar. Yang nak diisi tu tembolok tok, biasa lah tu. Lagipun tidak perlu guna kail lagi. Gunalah jala atau tuar. Jala campak sahaja di mana perlu , tuar tahan di mana ada gelung yang aliran airnya kuat.

zainal abidin awang kechik said...

Tok.. Tak sampai hati nak sentak takut mata pancing pelanting kena mata kita..

Tinggi tata bicara tok

ku_seman said...

As salam Datuk, kalau menulis tu jaga-jaga sikit. Kita sekarang ni dah macam police state. Sana sini dah kena angkut. Bayangkan Tan Sri Muhyiddin pun tak boleh tidur malam bimbang kena angkut. Jangan sampai blog ini kena block sudahlah Datuk.

Umar Abdul Aziz said...

Aslkum Dakj.

Satu paparan yg bergeliga penuh dengan didikan.

cincai said...

Rahim.. DAKJ dok kawasan bhs universal slang.. Nak tala mana pun buleh... Kg majapahit sebelah saja...kerkau pun buleh... Kuala ghimau tokman bedun konkor.... Asam jawa arwah pakya kapaj dah rebolusi dgn tun.. Sg lama pendang masih ada ikan selat... Bhs kot tu semuanya ada...

zahir zahir said...

Kita menulis ni kena toleh kiri toleh kanan.jangan sampai mengumpat.lain ler pahala dah bergunung2.atau kita kita sendiri memang tk pernah jadi seperti ikan belida atau selat seperti yg dicerita kan di atas sewaktu zaman kegemilangan,berlumba2 mencakup udara.
kadang2 orang boleh mencabar,semak lah acaun saya.tkder berbiliun ,duit dahulu dlm pemegang amanah.tkkan tkder acaun proksi.mustahil.
dulu2 klu pemimpin melawat kaw,atau masjid (zaman dictator dulu)tk berani ajk nk mintak sumbangan 3-4 juta. tapi zaman sekarang lain.dulu surat layang jer,anuar dulu pun buku 50 dalil jer.tapi zaman sekarang fitnah hujung jari bermaharajalela.ingat tu .hidup tidak menongkat dunia.

xrasxras said...

Salam Dato ,

Begitu terkesan dan mendalam nukilan Dato. Salam hormat daripada saya.

A KADIR JASIN said...

1. Sdr Ku Seman orang budiman
Ampun tak hazir majlis jemputan
Kalau asyik layan ketakutan
Isteri di rumah disangka syaitan.

2. Orang Kampung, Pahit Manis
Ikan belida ada berjenis
Banyak tulang tetapi masih
Goreng rangup makan habis.

3. Kluangman terbang malam
Tidur berkumpulan waktu siang
Layang-layang ada banyak macam
Kalau tak tahu tak akan terbang.

4. Pagi-pagi gatal mata
Terobek hati baca berita
Beli EyeGlo RM4.50 harga
27 sen itulah GST yang kena.

Wallahuaklam. Terima kasih.

nor ishak ismail said...

Memancing ada seninya. Memancing bukan sekadar nak dapat ikan tetapi meliputi penghayatan menikmati suasana ekologi sekitaran. Itu sebab ada orang ketagih dan seronok memancing. Menjala pun kits ok jugaklah.

Cara senang nak dapat ikan adalah dengan gunakan tuba, bateri dan bom. Cara ini hanya untuk senang sendiri, dan tidak berakhlak, ikan tak habis dimakan. Didalam satu masa akan musnahkan ekologi sekitaran dan keperluan kemanusiaan.

Zed-85 said...

Sallam Dato'

Ikan adalah satu nikmat dari Tuhan.

Dari segi khasiat, kaya dengan sumber protein dan kurang kolesterol. Rasanya pun sedap, tengok ikan. Cuma kadang-kadang makan ikan yang banyak tulang, boleh tercekik.

Zaman sekarang, nak ke turun ke sungai mungkin tidak ada kesempatan.

Orang Jepun memang suka makan ikan.

Tapi orang Jepun makan agak berlainan, cara sushi, ikan potong kecil-kecil dan dicampur dengan sayur dan wasabi.

Cara makan ikan cara orang Jepun dah semakin pupular di Malaysia dengan Restoran Sushi King. Ikan Salmon merupakan menu yang utama.

Saya setuju dengan Dato' , menangkap ikan memang perlu teknik yang betul dan orang yang menangkap ikan perlu ada sifat sabar.

Saya tak percaya Tun M akan berdiam diri kerana bukan sifat (nature) dia berdiam diri kalau ada perkara yang amat tidak betul. Termasuk juga baru-baru ini TSMY berkata akan bersuara sekiranya ada yang tidak betul. Seperti ikan, memang ikan akan berenang dalam air. Ini memang sifat (nature) ikan.

Ada juga haiwan dua alam, boleh berenang dan juga boleh duduk didarat. Ada spesis katak dan ketam yang sifat demikian.

Dalam Mazhab Syafii, haiwan dua alam adalah haram untuk dimakan.

Orang Kampung said...

Saya mohon berbanyak maaf kerana tercetak "ustaz " selat , sepatutnya ikan selat .

Umar Abdul Aziz said...

Aslkum Dakj.

Banyak ikan2 dah masuk ke jaring dan pukat pahlawan bugis.

Dah la ikan besar pun tak banyak. Yg ada pun dah dijinakkan dgn pelbagai cara.

Yg tinggal ni sedang menunggu kena ngap.Kalau tak duduk diam atau berundur ada je ikan jerung akan baham.

Tapi Datuk.

Kita bukan ikan.

Kita ada akal. Kita ada Allah.

Lawan Allah belum ada manusia akan menang.

Cuma dalam kita berjuang lawan pahlawan bugis jangan sampai bunuh diri.

Kita perlu banyak strategi.

Anak Kedah said...

Datuk, terbuai sejenak dengan bahasa Datuk kali ini, tapi yang penting apa yang nak disampaikan diharap kena pada batang hidung dan urat jantung. Terima kasih Datuk..

bulan said...

Yang Berhormat Dato'

Saya amat suka membaca setiap tulisan Dato' yang cukup indah bermutu lagi bermakna seperti juga perjuangan Dato'.

Hidup ini Dato', ada yang kita dapat, ada yang kita tidak dapat.

Biarkanlah mereka-mereka yang kemaruk kuasa ini mengelilingi harimau yang hendak dibuat bantal peluk.

Tun Dr Mahathir yang sudah menjadi Hak Milek Negara pun hendak dihapuskan suaranya tanpa rasa hormat dan berterima-kasih malah kurang ajar pula.

Semua kesalahan mereka yang sama ada benar atau tidak, kenapa hendak diletakkan ke bahu Tun Dr Mahathir sebagai pesalah pula? Ini sungguh tidak adil dan tidak bertanggong-jawab, bodoh- sombong, bangsat, tidak bermaruah malah akan dibenci rakyat buat selama-lamanya.

Terimakasih.

Umar Abdul Aziz said...

Aslkum Dakj.

Sementara nak pancing ikan belida ni banyak bapak dan ikan dah beliau rosakkan.

Mengamuk sana mengamuk sini.

Ini bukan sebarang ikan belida tuk. Siap ada anak tiri pun mengganas macam nak dia.

Dikabarkan dalam dua minggu saja rezab BNM dah lesap USD5B.

Pd 30/6/2015 bernilai USD105.5B

Menjelang 15/7/2015 dah turun ke USD100.5B sahaja.

Belida ni tak sayang rakyat Tok.

Hussein Hakim said...

BASMALLAH

Salam semua

Budaya berbahasa lagu ni, cek ingat dlm 5-10 tahun lagi abih dahh...tahniah DAKJ, semoga pahlawan bugis terbilang itu berhasil di dalam apa jua agendanya dan amatlah diharapkan rakyat dan penyambung warisan tidaklah terbeban dan termerana akibat perlakuan dan perbuatan pahlawan tersebut..hamdallah

Zed-85 said...

Sallam UUA,

Jarang-jarang kita dengar kapal Laksaman Bugis dapat tangkap ikan besar-besar.

Ikan bilis banyak ada. Lebih besar dari itu tak pernah saya dengar.

Yang heran kapal pergi ke laut, ikan sungai yang bawak balik. Ikan yang tak ada kena mengena pun kena tangkap.

Sallam

ismail muda said...

Datuk, ramai anak muda tak faham bahasa kiasan. Anak bangsawan pun tak faham...apa lagi kalau dia belajar dari kecik di negeri org putih. Tu sbb ada pemimpin kita selamba & muka toya tak faham2 rakyat menegur & menyindir.
Menangkap ikan belida bole jugak guna udang paya. Udang paya sebesar pangkal lidi penyapu sgt diminati belida. Udang ini skrg payah dicari. Kalau ada pun paya2 dlm hutan yg ditangkap pakai tangguk.
Spesis belida makin kurang. Sbbnya, pencemaran kilang buangan sisa2, minyak keladak toksid & bermacam2 yg dilimpahkan ke sungai. Jalan pintas & cara mudah org tangkap ikan sungai berjenama & sedap2 spt baung, tengalan dll ialah cara menuba. Ini byak dilakukan org Asli. Sebaik saja menuba, ikan timbul & banyak tangkapannya. Mereka berpesta kerana suka dapat ikan byak. Ikan yg pupus tak de dalam otak penuba2..
Trend & kaedah menuba ini adalah bagi yg tamak. Akal singkat. Boros & joli meriahnya sekejap. Sungai pun marah apabila airnya dicemari racun & penghuninya hidup sengsara...

aku said...

Kadiag, salaam. Hai lah...hang tulih pakai metofara ka apa ka, payah aku nak paham. Tapi, kalau pasai ikan ayag tawag, ikan puyu lah pujaan hatiku.

Tapi (sekali lagi), baguih jugak hang pakai basa orang tak paham, sebab pakai basa orang mudah paham pon depa tak paham paham...munkin elok jugak sekali sekala hang pakai basa Swahili ka basa Bhutan ka.....

Macam mana pon ada benda yg hang tulih, yg patut kia semoa ingat, cari dan cuba pakai, yagni kalu nak buat satu2, mesti kena ada ilmu.

Kalu nak masok dlm bidang politik, misainya, antara ilmu-ilmu yg kena pandai ialah:
Bahasa
Sosiologi
Sikologi
Mantik
Statistik
Ekonomi dan
Sejarah.

Wallahua'lam.

Umar Abdul Aziz said...

Wkumsalam sdr Zed-85.

Seingat saya sejak 6 tahun hampir tiada jerung masuk perangkap MACC.

Terimakasih kerana usaha keras UBN yg tak minat jadikan MACC betul2 bebas drpd eksekutif.

Nama je bertukar pd zaman AAB. Tapi substance nol/ kosong/ yelek.

Habiskan harta rakyat bila MACC diperbesar tapi diguna untuk kepentingan pemerintah termasuk dera org UMNO yg bukan satu pasukan.

Kalau Khir Toyo tak malu mungkin inilah masa beliau jadi panglima kutuk TSMY giler2.

InshaAllah masih ada harapan.....

Biar saya bodek sdr Zed-85.

Sdr bukan saja belajar tinggi hingga ke England. Tapi sdr bawa balik jugak budaya mereka yg banyak Islamik.

Zed-85 said...

Silap, saudara UAA bukan UUA.

vasantha said...

Dear Dato,
Sedap baca artikel dato.Dah baca dua kali dah.Tak jemu.The hidden meaning is marvelous. You sure have a way with words. I am smitten, all right. I am just going to enjoy the aesthetic aspect of it. Wish I could meet up with you one day to express my admiration for your literary talent and intellect.

lamatakpakai said...

Dear Datuk

On-Off ada baca tulisan Datuk, tiap-tiap kali gatal nak komen tapi dikuburkan niat ni pasal tak nak jadi satu lagi satria papan kekunci. Agak-agak dah 17 tahun tak pakai bahasa tulisan lepas ujian wajib sebab dah hijrah negeri orang.

Tapi kali ini benteng roboh pasal ikan belida ni soft-spot.
Dulu ada menyertai satu program yang UM taja kat kampung-style homestay dekat Kuantan.
Satu daripada aktiviti ia memancing kat parit/terusan.
Macam 'caaraa' Datuk, kail yang diaorang bagi kecik kurus dan umpan adalah cacing korek sendiri dari tanah. Jangan lontar dalam sangat dan tunggu.

Berpuluh-puluh orang dalam satu petang, hanya dua orang berjaya dan kedua-duanya dapat belida. Walaupun ikan belida saya sejengkal sahaja tapi banggalah.

It's the one and only fish I've ever fished. (ada trauma lepas tu pasal saya generasi chicken nugget awal-awal, takut tengok wajah asal makanan dan proses sembelehnya)

Balik topik, dalam peringatan nakhoda yang dulu-dulu ada kuasa muktamad di laut. Boleh arah hukuman mati.
Rasionalnya adalah perlu seorang authoritative untuk kebaikan semua dan nakhoda boleh korbankan satu dua kalau boleh jamin keselamatan sekapal.
Praktikalnya, kalau kat laut jauh daripada tamadun, siapa tahu apa siapa buat kalau ada orang lain sokong?

Anak kapal biasanya majoriti sokong nakhoda sebab cuma nakhoda tahu mana nak pergi, dagang dengan siapa dll.
Dan sudah tentu, bukan kebetulan nakhoda adalah orang paling bijak/pandai/ilmiah di atas kapal.

Sekian. Terima kasih tok. Memang sedap baca tulisan dwibahasa Datuk, dua-dua pun berisi, dan penuh dengan finesse.





muring.com said...

Salam dato...saya pinjam kata2 ketua bahagian saya..kita mentimun mereka durian...dato tunggu durian jadi tempoyak...mentimun tenyeh dia dgn cili kalu di kelantan cicah budu...

Kawanlama said...

Elok juga Datuk AKJ berseloka dan merasai ketenteram jiwa dan raga sambil menunggu kesemua siasatan selesai dijalankan.

Sabar itu sebahagian daripada rasa taqwa beriman.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).