A Kadir Jasin
SESIAPA juga yang hari ini mengkritik ahli politik harus lebih berwaspada. Kritikan mereka boleh menyebabkan mereka diseret ke mahkamah.
Semakin kerap berlaku di mana kritikan terhadap ahli politik yang dibuat dalam arena politik atau media massa berakhir di mahkamah.
Ahli politik hari ini, termasuk di negara kita yang dikatakan demokratik dan tambah bebas, semakin kerap menyeret pengkritik dan penyoal mereka ke mahkamah.
Dua kes besar serupa itu, yang membabitkan ahli politik secara langsung, kini berada di mahkamah.
Pertama, saman malu bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Anwar yang kini Penasihat kepada Parti Keadilan Rakyat Malaysia (Keadilan) mengemukakan saman terhadap bekas bos dan mentornya kerana menyifatkan beliau homoseksual.
Kedua, saman malu ECM Libra Bhd terhadap Naib Presiden Pas Husam Musa kerana menulis dua buah rencana mengenai pembelian saham bank pelaburan itu oleh Timbalan Ketua Pemuda Umno pusat merangkap menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.
Walaupun ECM Libra yang mengemukakan saham itu, plaintif (pengadu) sebenar kes itu adalah Khairy kerana saman ECM Libra dengan jelas mendakwa bahawa rencana Husam itu membusukkan nama Khairy.
Saman itu turut menamakan Edisi Prima Sdn Bhd, penerbit harakahdaily.net, sebagai defendan kedua kerana menyiarkan rencana berkenaan.
Walaupun pemilik dan pengurusan kanan ECM Libra seperti Datuk Kalimullah Masheerul Hassan (Pengerusi), Lim Kian Onn (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Chua Ming Huat (Ketua Pegawai Operasi) adalah rakan akrab Khairy, namun mereka mustahil akan menyeret Husam ke mahkamah tanpa persetujuan Khairy.
Dalam kedua-dua kes ini, tujuan utama dan awal pihak yang mengemukakan saman adalah menghalang semua pihak daripada terus mengulangi dan menyebarkan tuduhan terhadap mereka.
Dalam bahasa yang mudah, mereka menggunakan mahkamah untuk menyekat semua pihak daripada membincangkan tuduhan terhadap mereka kerana sesiapa juga yang melanggar perintah itu boleh dikenakan tuduhan menghina mahkamah.
Kaedah ini cukup berkesan sebagai cara termudah dan terpantas menutup mulut orang ramai. Sebelum mengemukakan saman malu itu, ECM Libra telah pun berjaya mendapatkan “ex parte injunction” (perintah sebelah pihak) yang menghalang semua pihak daripada mengulangi tuduhan terhadap Khairy.
Khairy yang sudah terkenal, menjadi lebih terkenal apabila beliau membeli tiga peratus saham ECM Libra pada 27 Disember lalu dengan bayaran RM9.2 juta.
Kedua-dua kes sivil ini mungkin dibicarakan segera kerana melibatkan dua orang kenamaan. Lazimnya kes sivil mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
Sama ada didengar segera atau ditangguhkan, matlamat awal mereka sudah tercapai – tuduhan terhadap mereka tidak boleh diulang lagi.
Dalam kes Anwar lawan Mahathir, saya nampak dua senario. Pertama, mencegah Dr Mahathir daripada mengulangi tuduhan terhadap Anwar sehingga ke suatu masa yang ia tidak lagi relevan. Misalnya sehingga pilihan raya umum akan datang selesai diadakan. Jadi selagi mahkamah tidak menyelesaikan kes berkenaan, Anwar akan terselamat daripada dilemparkan tuduhan.
Ini tentulah sangat berguna dalam percubaannya untuk kembali menyertai politik pilihan raya. Kalau pilihan raya diadakan pada tahun 2008, Anwar sudah boleh bertanding.
Senario satu lagi ialah kes ini akan lupus dengan sendirinya jika sesuatu berlaku terhadap Dr Mahathir yang tidak memungkinkan beliau mempertahankan diri.
Namun apa pun kesudahan kes ini, ia memberi peluang kepada kita semua untuk meneliti sejauh masa Mahkamah Tinggi akan dipengaruhi oleh penghujahan Mahkamah Rayuan ketika membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat September lalu.
Dalam kes ECM Libra lawan Husam, penutupan mulut orang ramai sangat berguna dan sangat perlu kerana syarikat itu sedang terbabit dalam rundingan penggabungan dengan Avenue Capital Bhd yang akan menjadikannya bank pelaburan kedua terbesar di Malaysia dan menjadikan pemilik dan pemegang sahamnya sangat berpengaruh.
Apa pun matlamat kedua-dua kes saman malu ini, implikasinya kepada demokrasi dan kebebasan bersuara adalah besar. Ia mencabar hak kita sebagai pembayar cukai dan pengundi untuk menyoal tingkah laku dan tindak-tanduk ahli politik.
Kita tidak lagi bebas membuat kenyataan di arena politik kerana kita mungkin diseret ke mahkamah. Ahli politik yang naik, mendapat kuasa dan menjadi kaya-raya kerana undi kita akan berkejar ke mahkamah untuk menutup mulut kita apabila kepentingan mereka terancam.
Manakala kita dalam ancaman, hak dan keistimewaan yang diberikan kepada kita oleh Perlembagaan akan pupus apabila ahli politik mencari perlindungan di mahkamah.
Benarlah mahkamah mutlak dan supreme. Tetapi dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia, Parlimen adalah lebih supreme. Mahkamah sekadar melaksanakan dan memberi interpretasi kepada undang-undang yang dibuat oleh Parlimen.
Kalau kita biarkan trend ini berterusan, masanya akan tiba apabila Parlimen hilang kedudukan mutlaknya dan hak demokrasi kita bukan lagi ditentukan oleh peti undi tetapi oleh hakim dalam kamar.
Wednesday, March 01, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
About Me
- A KADIR JASIN
- I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).
3 comments:
Apa takut kalau 'diseret ke mahkamah'sekiranya kita (sebagai pengkritik) mengkritik dengan fakta yang betul, yang penting perkembangan/trend sebigini adalah baik kerana ia:
i. akan membuat pengkritik mengkritik dengan fakta dan lebih bertanggunjawab dalam kritikannya. Kan masyarakat malaysia memerlukan kritikan yang berguna dan membina.
ii.Bukankah dalam Parlimen adalah bebas, ahli dewan boleh mengkritik dengan bebas kerana diperuntukan imunisasi untuk berbuat sedemikian demi maslahat dan semangat musyawarah.
Mengenai Khairy, itu hak dia untuk memiliki saham. Mengapa mahu komen hak orang lain.
As described by former American President, George Bush,
"If you can't stand the heat, get out of the kitchen".
IF you can't stand the heat, get out of politics, Khairy. Don't start a precedent to bring Lee Kuan Yew's culture.
If you need to fight, fight like a man. You do not have to resort to the cheap and cowardly ways of getting ECM Libra to do the fighting.
Menjawab anonymous 5.23 AM:
i. Membuang masa dan duit;
ii.Kritikan dalam parlimen tidak keluar ke rakyat (>3/4 pak turut);
iii. Hak dia hak dia tapi dia janganlah pulak kata kalau orang lain buat tu sebagai cronyism, nepotism dan sebagainya. Dia ni lah yang dulu kata macam-macam pada DrM.
Post a Comment