A Kadir Jasin
[KALAU mengulas
menggunakan pengenalan “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari
pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]
PASAL bersunat dan tandas zaman dulu kala kita
sudah cerita. Orang tua nostalgia, orang muda mendapatinya sangat jenaka.
Kali ini, kita cerita pula mengenai perkahwinan
dulu kala. Bukan lama sangat - tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.
Saya ingat lagi perkahwinan kakak saya. Majlis
persandingan berlangsung hampir-hampir subuh. Saya ingat sangat sebab apabila
abang ipar saya diusung atas bahu untuk naik ke rumah, sebab jalan lecah
(becak), saya sudah bersiap untuk ke sekolah.
Jam 5.00 pagi saya sudah terpaksa berbasikal dari
kampung saya ke Pendang, kira-kira lima kilometer jauhnya, untuk menaiki bas
United Transport Company (UTC) ke Alor Star, kira-kira 20 kilometer dari situ.
Jadi, tidak sempatlah saya menyaksikan
persandingan mereka. Waktu itu, adalah perkara biasa persandingan di buat awal
pagi.
Sambil menunggu majlis persandingan, majlis
membaca al-Quran, berzikir dan berzanji diadakan sepanjang malam. Pada hari
sebelumnya, kenduri diadakan dari pagi sampai malam. Pada sebelah petang
diadakan pula majlis bersilat (pencak silat) dengan diiringi gendang keling.
Kalau yang kaya atau moden sikit, sebelah malam
diadakan persembahan ghazal parti. Di tempat saya, yang terkenal ialah Ghazal
Parti Bukit Raya (kampung Allahyarham Ustaz Fadhil Noor). Tapi yang “top” ialah
Ghazal Parti Kepala Batas (kampung Tun Abdullah Ahmad Badawi).
Boleh kata semua lagu dalam bahasa Arab yang
diiringi tarian gelek atau tarian asyik oleh (dengan izin) pondan, darai dan
ponen. Mereka pakai pakaian perempuan dan bila kena bedak, celak dan gincu,
ramai jantan naik gian.
Pada hari kenduri, pagi-pagi sembelih kerbau dan
lembu. Selesai siang daging, menyerok (sarapan) nasi putih dengan gulai kawah
daging hancur, ikan tamban asin goreng, sambal belacan dan ulam. Lepas itu,
barulah tukang masak mula memasak untuk tetamu. Tok wan saya, Haji Md Hassan,
ialah ketua gedohok terkenal. Dia darah campuran Pathan.
Kerana tok wan saya ketua tukang masak, saya dapat
layanan istimewa. Dapat makan awal, makan sedap-sedap – daging panggang,
jantung panggang, lidah panggang cicah air asam. Sebagai upah, dia dibagi
sedikit duit, rokok sekerit (cigarette) Rough Rider (rokok cap tembak), gula,
susu pekat manis, kopi, teh dan kuih-muih.
Sebelum sampai majlis perkahwinan, banyak adat
istiadat lain kena dibuat dan dilalui. Mula mula-mula sekali upacara menengok
iaitu wakil pihak lelaki pergi menengok – lebih kurang mengendap – anak dara.
Ada yang curi-curi tengok masa dia mandi di telaga, menjemur pakaian atau masa
membawa hidangan dari dapur.
Kalau setuju sebab cantik, tak ada cacat cela
besar, parut kudis buta tak nampak sangat,
punggung lebar dan payu dara besar, diadakan pula majlis merisik.
Hal punggung dan payu dara itu penting sebab dulu
tak ada klinik bidan. Bersalin dengan bidan kampung. Kepercayaannya, punggung
lebar mudah bersalin. Susu ibu pula sangat penting sebab waktu itu tak ada
formula bayi dan kalau ada pun tak mampu nak beli.
Kalau anak dara belum berpunya dan keluarga tidak
keberatan menerima lamaran, maka dilakukan pulas majlis meminang. Bila semua
setuju, dibuat pula majlis hantar cincin bagi mengesahkan pertunangan dan
diputuskan hal-hal macam hantaran, emas kahwin, upacara akad nikah dan kenduri.
Selalunya pertunangan antara enam bulan hingga
setahun, bergantung kepada musim bersawah dan masa yang cukup untuk mencari
duit hantaran, belanja kenduri dan memperbaiki rumah.
Jarak kenduri antara pengantin lelaki dan
perempuan seminggu. Perjalanan sukar. Tak ada jalan raya yang sempurna. Jalan
tanah merah. Yang kaya berarak naik kereta atau gajah. Yang kurang mampu dengan
naik gerak (basikal) dan, kalau tidak jauh sangat, berjalan kaki saja. Dulu tak
ada kompang. Pengantin disambut oleh muzik gendang keling dan tembakan senapang
patah.
Lepas bersanding, tak boleh masuk bilik dulu.
Pengantin lelaki kena balik rumah dia dan tunggu sampai pengantin perempuan datang
ke rumahnya seminggu kemudian baru boleh “bersatu”.
Itu pun mak andam buat sibuk nak tumpang bilik dan
geng nakal cari helah hendak mengendap (mengintai). Masa itu, rumah kampung
dinding papan atau buluh anyam..
Sebelah paginya, kalau pengantin perempuan mandi
basah rambut, mak bapa angkat tangan ke langit berdoa dan mengucap syukur.
Sembilan bulan lagi, kalau bendang subur dan benih menjadi, dapatlah mereka
timang cucu. Wallahualam.