A Kadir Jasin
[Update, 2 Julai]
Pendamai Sudah Temui Tun M
Pendamai yang dikatakan "dihormati" Perdana Menteri dan "disayangi" mantan Perdana Menteri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, telah membuat langkah pertama.
Semalam (Sabtu), Yang Dipertua Negeri Melaka itu menemui Tun Dr Mahathir Mohamad di rumahnya di Mines Resort, Sungai Besi, selama sejam setengah mulai jam 6 petang.
Sumber-sumber mengatakan Dr Mahathir mengulangi pendiriannya mengenai pelbagai perkara yang beliau bangkitkan selama ini dan menegaskan yang beliau tidak bercadang untuk mengubah pendiriannya.
Kata sumber-sumber itu, Dr Mahathir memberitahu Tun Khalil jika isu-isu yang dibangkitkannya itu tidak tepat, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, berhak menjawab dan menyanggahnya.
Selagi Perdana Menteri tidak menjawab, beliau akan terus berpegang kepada pendiriannya.
Secara peribadi, saya yakin bahawa Tun Khalil memahami penjelasan dan sentimen bekas ketuanya itu dan akan menyampaikannya secara terperinci kepada Perdana Menteri.
Sumber-sumber itu berkata, Tun Khalil memberi jaminan kepada Dr Mahathir yang beliau akan menyampaikan semua pandangan dan sentimen Dr Mahathir kepada Perdana Menteri.
Perdana Menteri berlepas ke Australia Rabu lalu untuk bercuti dan menjalami rawatan resedung (sinus) sementara Tun Mahathir bertolak tengah hari tadi untuk bercuti di turki.
Idea orang tengah ini dicetuskan oleh Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin. Beliau menemui Dr Mahathir seminggu lalu untuk mengemukakan ideanya itu dan dipersetujui Dr Mahathir.
[Posting Asal]
SAYA berasa cukup gembira dengan jaminan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, bahawa kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjejaskan imej dan kemampuan negara menarik pelabur asing.
Katanya, Kerajaan dan parti yang memerintah adalah teguh justeru itu mampu mengekalkan kestabilan politik.
Itulah sentimen Najib seperti yang dilaporkan oleh akhbar New Straits Times hari Rabu, 28 Jun. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas andaian bahawa kritikan Dr Mahathir terhadap Pentadbiran Abdullah akan menakutkan pelabur.
Sumber:NST, 28 Jun.
Ironisnya, antara pihak yang menyuarakan kebimbangan itu adalah akhbar New Straits Times sendiri seperti terkandung dalam rencana yang ditulis oleh timbalan pengerusi Lembaga Pengarah merangkap penasihat jabatan pengarangnya, Datuk Kalimullah Hassan, pada 27 Jun.
Dalam rencana dua muka surat mengkritik mantan Perdana Menteri itu, penulis, antara lain, berhujah: “The longer it continues, the more it runs the risk of becoming a self-fulfilling doomsday prophecy for the country.”
Dalam bahasa Melayu yang mudah, mantan Ketua Pengarang New Straits Times Press (Malaysia) Berhad itu berkata, lagi lama keadaan ini berterusan, lagi besarlah kemungkinan ia memporak-perandakan negara. Dia menyamakannya dengan ramalan mengenai hari kiamat yang akan menjadi kenyataan.
Jawapan Najib, yang kini boleh dianggap sebagai jurucakap nombor satu pemerintah, membuktikan beberapa perkara. Pertama, kestabilan politik penting. Kedua, pelaburan asing akan terus masuk dan ketiga, Dr Mahathir atau sesiapa sahaja boleh terus mengkritik kerajaan tanpa menjejaskan kestabilan politik.
Bergantung kepada perspektif mana kita mengukur kestabilan politik, keyakinan pelabur dan hak rakyat mengkritik kerajaan, kita boleh menerima atau menolak mana-mana satu daripada dua prognosis yang dikemukakan itu.
Politik Malaysia adalah yang paling stabil di Asia Tenggara jika ditolak Singapura yang berupa sebuah negara kecil yang amat terkawal politiknya dan dilandaskan di atas “fear factor”.
Rekod kestabilan inilah yang saya rasa meyakinkan Najib bahawa kritikan Dr Mahathir tidak akan menjejaskan imej negara dan justeru itu Malaysia akan terus mampu menarik pelaburan asing.
Malah, seandainya pelabur asing, penganalisis ekonomi dan penasihat pelaburan bercakap benar dan komited kepada demokrasi dan keterbukaan, mereka sepatutnya merayakan (celebrate) suasana sekarang.
Dan apakah yang lebih mutakhir untuk membuktikan bahawa Malaysia di bawah kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih terbuka, bebas dan demokratik selain daripada kritikan terbuka mantan Perdana Menteri?
Apatah lagi mantan Perdana Menteri itu pernah dan terus dituduh sebagai pemimpin yang diktatorial, autoritarian dan autokratik. Kritikan beliau terhadap pemerintahan sekarang membuktikan tanpa syak wasangka lagi bahawa Pentadbiran Abdullah adalah liberal dan terbuka.
Kestabilan politik, keselamatan negara dan keyakinan pelabur akan hanya terjejas jika Dr Mahathir mengambil keputusan radikal turun ke padang mengepalai protes jalanan yang ganas.
Tetapi jika mantan Perdana Menteri itu sekadar hadir di dewan-dewan kecil yang memuatkan 500 orang dan ucapannya tidak dilaporkan oleh media massa arus perdana, kestabilan politik, keselamatan negara dan keyakinan pelabur tidak akan terjejas.
Kalau pelabur dalam dan luar negara tidak yakin juga dengan kerajaan, sebabnya bukanlah teguran atau kritikan Dr Mahathir. Ia mungkin disebabkan faktor-faktor lain yang lebih berkait rapat dengan pengurusan ekonomi.
Sebenarnya, khalayak terbesar tidak pun tahu bahawa mantan Perdana Menteri memberi ucapan dan berdialog dengan ahli-ahli parti politik, termasuk Umno, dan wakil-wakil NGO di Taman Melawati pada 24 Jun lalu.
“Rahsia” ini terbongkar apabila seorang demi seorang pemimpin Umno, termasuk Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, tiba-tiba mengecam dan mengutuk Dr Mahathir kerana kononnya bersekongkol dengan pembangkang.
Media massa arus perdana, kecuali The Sun, tidak menyiarkan laporan peristiwa itu apabila ia berlaku, dipercayai atas arahan. Tiba-tiba tiga atau empat hari kemudian berita dan gambar “perbuatan khianat” mantan Perdana Menteri itu menjadi berita prima.
Kalau hendak dikatakan aneh pun boleh jadi sebab pada era komunikasi spontan (instantaneous) dan maya (virtual) ini, media massa arus perdana mengambil masa yang cukup lama untuk menerima khabar dari perbatasan, di suatu tempat yang jauh bernama Taman Melawati.
Mantan Perdana Menteri, yang berupa pengasas ICT negara, memanfaatkan dasar terbuka pemerintah (openness mengikut mantera akhbar New Straits Times) untuk mengemukakan pertanyaan, pendapat dan bangkangan mengenai pelbagai isu semasa.
Tindakan beliau merayakan suasana baru yang terbuka dan telus ini akan berkemungkinan menjadi ancaman kepada kestabilan politik, keselamatan negara dan keyakinan pelabur hanya jika pemerintah gagal menanganinya dengan cara yang rasional dan meyakinkan.
Jika hari ini mantan Perdana Menteri nampak seperti mempunyai pengikut dan peminat – following – ia adalah kerana tindak balas pemerintah terhadap isu-isu yang beliau bangkitkan belum sampai ke tahap yang meyakinkan dan memuaskan semua pihak.
Ini berlaku walaupun beberapa percubaan telah dibuat di peringkat tertinggi untuk menyekat penyiaran berita yang membabitkan mantan Perdana Menteri itu.
Ini disusuli pula oleh kempen sesetengah media massa arus perdana untuk membusukkan (discredit) nama beliau dan sesiapa juga yang dituduh bersekongkol (conspiring) dengan beliau.
Kalau pemerintah belum berjaya meyakinkan khalayak bahawa tindakannya betul dan terperinci, masalahnya bukan tindak-tanduk Dr Mahathir tetapi kegagalan instrumen pemerintah yang dipertanggungjawabkan untuk menjawab dan mematahkan hujah beliau.
Najib mempunyai peluang terbaik untuk melandaskan semula pendekatan pemerintah terhadap kritikan Dr Mahathir berasaskan keputusan terakhir Kabinet pada 28 Jun, mengarahkan kementerian-kementerian berkenaan menjawab hujah-hujah mantan Perdana Menteri.
Secara kebetulan, Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri akan bercuti di luar negara buat beberapa ketika. Perdana Menteri sudah berlepas ke Australia untuk bercuti dengan keluarga selama dua minggu dan mantan Perdana Menteri akan bercuti di Lautan Mediterranean antara 2 hingga 20 Julai.
Najib boleh memanfaatkan masa keemasan ini untuk mengemaskinikan jentera pentadbiran dan jentera saraf pemerintah untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh mantan Perdana Menteri.
Dan jika beliau berani dan “bersemangat Melayu Bugis” beliau boleh menjadi orang tengah yang menyelesaikan masalah antara kedua-dua pemimpin negara itu.
The past, present and future...
Ini tidak sedikit pun mustahil kerana Najib dikatakan cukup diyakini oleh Perdana Menteri dan terus “disayangi” mantan Perdana Menteri.
( PS: Tiada deskripsi yang tepat dalam bahasa Melayu untuk menyimpulkan kelakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Tetapi, dengan izin, it’s akin to the behaviour of an over-enthusiastic over-grown pup. It’s a bit too old to be a pup but loves to bite the tail of grown-up dogs. Its bite does not hurt but is annoying.)
(Perhatian: Komen yang menggunakan pengenalan "Anonymous" tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran (pseudonym) yang sesuai. Laporan daripada akhbar, laman web dan blog lain akan dilayan hanya jika perlu. Terima kasih).