A Kadir Jasin
JIKA Ketua Juruaudit Negara
(KJN), (Tan Sri) Ambrin Buang benar-benar berkuasa dan mempunyai kebebasan
untuk menyiasat akaun 1MDB, beliau hendaklah dengan segera memecahkan ruyung
sebelum maklumat dan bukti kering atau dirosakkan.
Inilah pendapat beberapa orang
pakar undang-undang, kehakiman dan ekonomi veteran yang saya temui sejak
tersiar berita mengatakan KJN telah diberi mandat “mengesahkan” akaun syarikat
milik Kementerian Kewangan itu.
PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak
akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama
samaran.]
Mereka berkata, KJN dan
pihak-pihak lain yang terbabit seperti Polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah
Malaysia dan Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC) perlu menyelidik akaun dan urus
niaga syarikat itu mulai tarikh penubuhannya sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2008.
|
KJN perlu cepat menyiasat | |
Ini, kata mereka adalah kerana
dari awal lagi TIA/1MDB telah mewujudkan pembiayaan melalui hutang (debt
financing) dengan meminjam dari dalam dan luar negara dengan menggunakan
khidmat orang tengah.
Mengikut sumber yang mengetahui
dan mengenali rapat pengasas-pengasas TIA/1MDB, pinjaman permulaan syarikat itu sebanyak RM5 bilion dikatakan merosot
sebanyak RM500 juta secara “misteri” dalam masa tidak sampai setahun.
Sumber-sumber itu percaya “orang
misteri” Jho Low muncul dalam urus niaga TIA/1MDB sejak awal lagi dan menjadi
“pemudah” perhubungan di antara pengasas-pengasas TIA/1MDB dengan pelabur,
khususnya dari negara-negara Teluk.
|
Jho Low Orang Misteri 1MDB |
Apabila (Datuk Seri) Mohd Najib
Abdul Razak naik menjadi Perdana Menteri pada 2009, beliau mengubah TIA
daripada syarikat kerajaan negeri menjadi syarikat pelaburan strategik negara
dengan nama 1Malaysia Development Berhad.
Sejak itu peranan pihak-pihak
yang mewakili negeri Terengganu dikatakan berakhir. Maka jadilah 1MDB
syarikat milik negara di bawah Kementerian Kewangan.
Sumber-sumber itu menekankan
bahawa Jho Low adalah “saksi utama” (prime witness) kalau pun bukan yang disyaki utama (prime suspect) dalam usaha menjejaki
pengaliran wang (money trail) 1MDB.
PM Saksi Penting
Saksi-saksi lain, kata
sumber-sumber itu bermula dengan Mohd Najib sendiri sebagai Pengerusi Lembaga
Penasihat 1MDB diikuti oleh semua ahli lembaga penasihat, ahli lembaga pengarah
dan pengurusan kanan sama ada mereka masih berkhidmat atau telah meletakkan
jawatan.
Sumber-sumber itu berkata lagi,
ramai anggota pengurusan kanan 1MDB telah meletak jawatan atau diberhentikan.
Tentu ada sebab mereka meletak jawatan atau diberhentikan.
Juruaudit luar 1MDB yang ada
sekarang (Deloitte) dan juruaudit yang ditamatkan khidmat (KPMG) juga berupa saksi penting. Mengapa khidmat KPMG ditamatkan masih menjadi misteri.
Sumber-sumber itu menambah,
adalah mustahil bagi sebuah syarikat besar dan berstruktur seperti 1MDB tidak
meminitkan setiap keputusan dan tindakannya yang melibatkan jumlah wang begitu
besar.
Kata mereka, adalah mustahil
minit mesyuarat lembaga penasihat, lembaga pengarah dan exco 1MDB hilang atau
tidak boleh dikesan kerana setiap orang yang terbabit dalam hierarki 1MDB menyimpan salinan masing-masing. Begitu juga dengan institusi-institusi
kewangan yang memberi pinjaman kepada 1MDB.
Sumber-sumber itu mengatakan
bahawa memang wujud pertalian istimewa di antara Perdana Menteri dan isi
rumahnya dengan beberapa pembesar Arab dan Teluk seperti yang pernah
didakwa oleh isterinya, (Datin Paduka
Seri) Rosmah Mansor. Jho Low dipercayai berperanan mengasaskan perhubungan itu
melalui rakan-rakan kongsi beliau di negara-negara Arab dan Teluk.
|
Rosmah Akrab Dengan Pembesar Arab |
Laman Web rasmi 1MDB mempamerkan
dua orang kenamaan Teluk sebagai ahli Lembaga Penasihatnya, iaitu Sheikh Hamad
Bin Jassim Bin Jabr Al-Thani, bekas Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar dan Khaldoon
Khalifa Al Mubarak, Pengerusi Pihak Berkuasa Hal-Ehwal Eksekutif (Abu Dhabi
Executive Affairs Authority) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah
Urusan, Mubadala Development Company.
Turut dipamerkan sebagai anggota
Lembaga Penasihat 1MDB ialah warganegara Perancis Bernard Arnault, Pengerusi
Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif syarikat fesyen dan arak antarabangsa,
LVMH Moet Hennessy Louis Vuitton. (Lihat di sini)
Sumber-sumber itu berkata, pihak
penyiasat juga perlu membuat pencerahan mengenai peranan T Ananda Krishnan
“membiayai” 1MDB sebanyak RM2 bilion dan dakwaan mengenai kaitan di antara 1MDB
dengan sebuah syarikat bernama SRC International Sdn Bhd.
Baru-baru ini tercetus dakwaan
bahawa Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah “dipaksa” memberi pinjaman RM4
bilion kepada syarikat Kementerian Kewangan itu. Khabarnya, SRC International
Sdn Bhd pada asalnya dimiliki oleh 1MDB.
|
KWAP pegang amanah pesara awam |
Kemudian pada 12 Mac, tersiar
berita mengatakan sebuah lagi syarikat milik Kementerian Kewangan berhutang
besar dengan KWSP. Ini bukan dongengan seorang blogger, tetapi pengakuan terbuka
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, (Tan Sri) Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Belau dilaporkan oleh akhbar The
Sun sebagai berkata, Pembinaan PFI Sdn
Bhd yang dimiliki 99.9% oleh Kementerian Kewangan terhutang RM19.48 bilion kepada
KWSP sehingga bulan Ogos 2014.
Bagi tahun kewangan berakhir 31
Disember 2013 ia mencatat keuntungan bersih RM31.18 juta daripada pendapatan
sebanyak RM1.11 bilion dengan harta bernilai RM26.66 bilion dan tanggungan
RM26.6 bilion.
Soalnya, kalau syarikat ini
adalah syarikat PFI (private financing initiative/inisiatif pembiayaan
peribadi) mengapakah ia dimiliki oleh Kementerian Kewangan dan dibiayai oleh
KWSP? Mohon maaf kalau soalan saya bangang (meminjam istilah Perdana Menteri).
Cerita Penglipur Lara
Pada 11 Mac, (Datuk Seri) Syed
Ali Alhabshee, Ketua Umno Bahagian Cheras, menangkis dakwaan pembangkang bahawa
kerajaan akan meminjamkan RM900 juta lagi kepada 1Malaysia Development Berhad
(1MDB)
Beliau menafikan dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa Perdana Menteri
(Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak akan menambah bantuan kepada 1MDB.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen
Pandan dilaporkan mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa hal itu telah
dinyatakan oleh Mohd Najib sewaktu pertemuan dengan 160 Ketua Bahagian Umno
Ahad lalu.
Rafizi mendakwa beliau mendengar daripada salah seorang Ketua Bahagian yang
hadir dalam pertemuan tertutup itu.
|
Syed Ali: Dongeng Rafizi jadi realiti |
Syed Ali yang berupa salah seorang penganjur perhimpunan perpaduan baju merah itu menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai "satu lagi cerita dongeng pembangkang."
Portal berita Malaysiakini memetik Syed Ali sebagai berkata: "Saya
mencabarnya menamakan ketua bahagian Umno itu. Saya menafikan ini
berlaku."
Maksudnya, sepanjang apa yang
Syed Ali ketahui dan dengar di perhimpunan itu, Mohd Najib tidak memberitahu
atau membayangkan yang kerajaan akan menyediakan bantuan kewangan tambahan
RM900 juta kepada 1MDB.
Tak Sebut atau Tak Dengar?
Perdana Menteri tak sebut atau
Syed Ali tak dengar? Mungkin Perdana Menteri sebut, tetapi Syed Ali tak dengar
atau tak perasan.
Yang kita orang luar dengar,
semua 160 Ketua Bahagian yang hadir sangat puas hati dengan penjelasan Presiden
dan beliau tidak melayan pertanyaan dari bawah.
Sehari selepas Syed Ali
melabelkan kenyataan Rafizi sebagai “satu lagi cerita dongeng pembangkang", kebenaran menjelma. Syed Ali silap, Rafizi betul.
Menteri Kewangan II, (Datuk
Seri) Ahmad Husni Hazadlah dalam kenyataan di Parlimen pada 12 Mac mengesahkan
yang kerajaan telah menyediakan kredit tunggu sedia (stand-by credit) RM950
juta untuk bantu 1MDB.
Beliau dilaporkan berkata, buat
permulaan hanya RM60 juta akan digunakan bagi menampung aliran tunai (cashflow)
syarikat kerajaan itu.
Saya tidaklah mahu mengatakan
yang Syed Ali sudah kena kelentong atau tidak menyatakan kebenaran. Tetapi
kekangan macam inilah yang menyebabkan maklumat kerajaan semakin hari semakin
tidak diyakini.
Kepada Ahmad Husni saya ucapkan
syabas dan terima kasih kerana akhirnya mengakui secara terbuka bahawa nisbah
hutang (gearing ratio) 1MDB tidak lestari (unsustainable).
Cabaran Kepada Menteri Celik Ekonomi
Saya cabar dan gesa anggota
kabinet yang celik ekonomi supaya bercakap benar. Saya tahu ramai anggota
kabinet yang lebih tahu mengenai ekonomi, kewangan dan perniagaan berbanding
Perdana Menteri.
Saya harap menteri celik ekonomi
dan tahu hal perniagaan, termasuklah Timbalan Perdana Menteri, (Tan Sri)
Muhyiddin Mohd Yassin, tidak terus membisu dan menjadi menteri tunggul.
Khusus mengenai Muhyiddin, beliau
akan hilang kewibawaan dan akan mengecewakan ramai penyokongnya kalau beliau
tidak terus tegas mengenai 1MDB, khasnya berkenaan penyelamatan (bail-out)
syarikat itu.
Saya setuju dengan pandangan
Ahmad Husni bahawa penyenaraian aset penjanaan elektrik 1MDB akan menyelesaikan
sebahagian hutangnya. Tetapi saya kurang yakin dengan sambutan pelabur terhadap
cadangan tawaran umum permulaan (IPO) 1MDB itu memandangkan kontroversi dan
siasatan yang sedang dilakukan ke atasnya.
Saya sangat bimbang
syarikat-syarikat dan tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC)
seperti Khazanah, PNB, Tabung Haji, LTAT, KWSP dan KWAP akan dipaksa membeli
saham 1MDB.
Kita sudah pun melihat bagaimana
sukarnya 1MBD membayar balik RM2 bilion pinjaman kepada bank-bank tempatan,
termasuk yang dimiliki PNB dan Kumpulan Wang KWSP.
1MDB Bukan Ibu Duit
Sebagai syarikat pelaburan
strategik milik negara, 1MDB adalah berdaulat dan suci. Ia milik rakyat jelata.
Kalau boleh, Insya-Allah, kita hendak jadikan ia sebagai legasi kejayaan.
1MDB tidak boleh dijadikan
operasi gelap, operasi sembunyi-sembunyi atau operasi “fly-by-night” bagi
membolehkan pihak-pihak tertentu, di dalam dan luar negara, membuat duit segara
(fast bucks).
Hasil yang dijanakannya bukan
untuk membiayai kerjaya politik atau
menampung gaya hidup keluarga dan kawan rakan sesiapa. Ia adalah untuk rakyat
jelata.
Kalau 1MDB adalah angsa yang
bertelur emas, seperti kata Setiausaha Agong Umno, Tengku (dulu Teuku) Adnan
Mansor, telur emas itu adalah untuk rakyat jelata. Cuma itik angsa Tengku Adnan
itu berhutang besar dan tahun lalu rugi RM665.4 juta. Atau beliau
terlepas cakap mengenai sesuatu yang sepatutnya rahsia mengenai 1MDB?
Kesimpulannya, apa yang Syed Ali
Alhabshee tidak tahu dan Mohd Najib tidak beritahu, tidak semestinya Rafizi tidak tahu. Bila Rafizi tahu, ramai rakyat akan tahu.
Adalah amat berbahaya dan
merugikan kalau orang Umno sendiri tidak tahu atau tidak berminat ambil tahu
kerana percaya bulat-bulat kepada ketua nombor satu.
Jadi orang Umno, termasuk yang
makan tak lalu, tidur tak lena dan mandi tak basah kerana rindu berahi kepada
Presiden, perlu juga ambil tahu kalau mereka mahu parti mereka terus memegang
teraju.
Wallahuaklam.