Tuesday, November 28, 2017

UiTM Untuk Budak-budak Lembap, Kata Adnan Mansor



A Kadir Jasin


NAK mudahkan cerita, saya kata macam inilah: Kalau parti-parti pembangkang, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), “kuchalana” tak perlulah bapak-bapak kepala Umno/Barisan Nasional terus terdesak dan membuat kenyataan yang menyakitkan hari rakyat jelata.

 
Adnan Mansor kata UiTM untuk "slow learners"
Maksud saya macam Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak menggunakan makian "kepala bapak kau" terhadap pembangkang.

Tapi kalau mereka nak buat juga, teruskanlah. Manalah tahu mulut celupar mereka itu baik untuk pembangkang. Dan yang pasti media massa arus perdana macam Utusan akan tolong nafikan bagi pihak mereka apabila mereka kena hentam.


[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]


Apa yang jelas adalah maki hamun dan cacian mereka berterusan. Semakin terdesak semakin kerap dan keras caci maki mereka.

Yang terbaru adalah leteran Adnan Mansor bahawa Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) ditubuhkan bagi menampung pelajar Melayu/Bumiputera yang lembab (slow learners).

Kalau pembangkang kacau-bilau, huru-hara, caca-marba maka yang seelok-eloknya dibuat oleh bapak-bapak kepala Umno/BN adalah relaks. Mengapa harus gila-gilaan bikin kepala pusing pak?

Guna sajalah duit rakyat jelata dan pembayar cukai yang beratus bilion ringgit yang dipungut melalui GST itu untuk beli undi. Bukankah itu yang akan dilakukan sebaik saja Belanjawan 2018 lulus di Parlimen?

Tak payahlah maki hamun rakyat jelata serta perkecilkan pelajar dan lulusan UiTM semata-mata kerana ada siswazah yang dibiayai kerajaan tidak bersetuju dengan Umno.

Mereka sudah cukup derita. Ramai tak ada kerja dan bagi yang bekerja pula mereka kena VSS dan MSS kerana ekonomi lembap. Lembap ini betul. Ekonomi lembap dan pertumbuhan tidak berkualiti. Kalau berminat boleh baca DI SINI.

Sebagai penjelasan, saya sengaja guna pakai istilah Indonesia “bapak kepala” bagi merujuk kepada ketua-ketua Umno/BN kerana saya hendak bezakannya dengan istilah “kepala bapak” yang Najib gunakan ke atas pembangkang baru-baru ini.

Lagi pun, pada akhir-akhir ini bapak-bapak kepala Umno/BN sangat bangga dengan asal usul mereka dari Indonesia - sama ada Bugis seperti Najib, Jawa (Ahmad Zahid Hamidi) dan Aceh (Adnan Mansor). Jadi bagus kalau sekali-sekala kita ngomong bahasa Indonesia.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang bebelan Adnan Mansor mengenai pelajar Melayu/Bumiputera yang dituduhnya benci kepada Umno tanpa sebab. Kalau berminat boleh baca DI SINI.

Kalau pembangkang kuchalana (loghat Kelantan), bapak-bapak kepala Umno/BN relaks sajalah dan, kalau mahu, boleh kembali berfoya-foya macam Adnan Mansor sebelum bertemu “hidayah” Umno.

Hujung tahun semakin dekat. Krismas dan tahun baru akan menjelang. Macam yang sudah jadi adat, Najib dan keluarga serta kroni dan “hangers-on” tentulah sedang merancang ke mana hendak pergi berfoya-foya.

Bukan Najib saja kerja kuat dan berhak kepada percutian di luar negara. Para isteri pun berhak juga kerana macam kata Najib, kejayaan pemimpin BN bergantung kepada peranan isteri. Kalau berselera bolehlah baca DI SINI.

Bagi pelajar dan alumni UiTM pula, saya rasa eloklah mereka rasionalisasikan kedudukan mereka.

Konvokasi UiTM: Kalau ikut Adnan Mansor graduan ini lembab
Adakah mereka pelajar lembab yang masuk universiti semata-mata kerana ihsan atau mereka masuk universiti kerana mereka berhak, layak dan berwibawa?

Atau mereka adalah orang bertongkat yang tidak akan sampai ke mana-mana tanpa bantuan kelas dedak daripada Umno.

Wallahuaklam.

Wednesday, November 22, 2017

Panduan ROS Dalam Pematuhan PPBM



A Kadir Jasin


KEPEMIMPINAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), secara terbuka atau tertutup, telah mengakui masalah pematuhan dan mengharapkan panduan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) memandangkan parti itu masih baru.

Muhyiddin bercakap kepada wartawan selepas menemui ROS semalam
Yang mutakhir adalah pengakuan dan penjelasan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa PPBM memerlukan tunjuk ajar dan nasihat JPPM, khususnya berkaitan mesyuarat agung tahunan.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Muhyiddin berkata, pertemuan perwakilan PPBM dengan Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim pada 21 November di Putrajaya berjaya mencapai kata putus.

Katanya, pihak JPPM memberi ruang kepada PPBM untuk membentangkan cadangan penyelesaian urusan pembentukan parti itu yang masih belum selesai. Muhyiddin berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan 'positif' antara kedua-dua belah pihak. (Baca lanjutdi sini).

Antaranya adalah PPBM diberi masa untuk mengemukakan saranan bagi menyelesaikan masalah kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan di peringkat pusat dan bahagian.

Sebenarnya, masalah pematuhan yang dialami oleh PPBM bukanlah sesuatu luar biasa atau khusus kepadanya sahaja.

Dari semasa ke semasa parti-parti politik lain pun menghadapi masalah sama, termasuk parti-parti lama seperti Umno, MCA, MIC dan DAP.

Sebahagian daripada kita tentu masih ingat bagaimana akibat kes mahkamah yang dibawa oleh penyokong Tengku Razaleigh Hamzah berikutan pemilihan tahun 1987, Umno telah diharamkan dan pendaftarannya dibatalkan pada tahun 1988.

Walaupun pendaftaran Umno sebagai Umno (Baru) diperoleh dalam masa yang singkat namun usaha mengatur semula struktur di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan serta mengadakan mesyuarat, mengambil masa.

Bagi yang sudah lupa atau tidak tahu, akibat pengharaman itu segala harta benda milik Umno seperti bangunan pejabat dan perniagaan diambil alih oleh pemegang amanah. Proses mendapatkan balik harta tersebut, khususnya aset perniagaan, mengambil masa dan memerlukan ratusan juta ringgit.

Hal itu berlaku walaupun Umno adalah parti pemerintah. Jadi bagi sebuah parti pembangkang setahun jagung seperti PPMB, mengalami masalah pematuhan bukanlah luar biasa atau disengajakan.

Apa yang berlaku itu sepatutnya dijadikan iktibar oleh majlis pimpinan tertinggi (MPT) PPBM seperti yang dibangkitkan dalam mesyuarat MPT baru-baru ini.

Kepemimpinan PPBM harus mendalami kemungkinan berlaku kelalaian dan kecuaian dalam pengurusan dan pentadbiran parti.

Harapan peribadi saya adalah apa jua yang sedang dilalui oleh PPBM tidak akan menjejaskan semangat perjuangan ahli-ahli dan penyokong di semua peringkat.

Mereka inilah yang perlu diutamakan kerana sokongan ikhlas merekalah yang menjadi ilham kepada penubuhan PPBM dan seterusnya menjadikannya parti pilihan untuk mencabar hegemoni Umno.

Walaupun Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, yakin Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menyingkirkan beliau, tetapi rakyat jelata boleh.

Rakyat jelata yang semakin terbeban akibat salah urus ekonomi, penyelewangan dan rasuah, insya Allah boleh menumbangkan Mohd Najib dan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang. 

Wallahua'lam.

Tuesday, November 14, 2017

Angan-Angan Mat Jenin Rampas Pulau Pinang



A Kadir Jasin


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

MEDIA massa melaporkan Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi, mahu Parti Gerakan Rakyat Malaysia melihat banjir Pulau Pinang sebagai “petanda Tuhan” bahawa parti itu boleh menawan balik negeri tersebut.

Zahid (baju biru) ramal Gerakan tawan Pulau Pinang
Kata pemangku Timbalan Presiden Umno itu, bencana yang turut menyaksikan tanah runtuh, pokok tumbang dan kerosakan harta benda merupakan isyarat negeri itu sedia untuk diambil semula oleh Barisan Nasional (BN).

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Saya sikit pun tak hairan dengan tindakan Zahid mengaitkan banjir di negeri itu dengan harapan Gerakan merampasnya kembali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang atas dua sebab.

Pertama, Umno/BN akan menggunakan apa saja untuk menaikkan semangat penyokong akar umbi BN yang sudah putus asa, kecuali apabila disogok dengan duit. Kedua, kerana dia berpidato di Persidangan Agung Gerakan.

Saya tidak berani hendak kata ramalan dan rujukan Zahid kepada “petanda Tuhan” itu tepat atau tidak.

Manalah tahu ketua Umno keturunan Jawa itu mewarisi sifat para wali dan kiyai Jawa yang dikatakan boleh membaca nasib dan mengetahui apa yang akan berlaku pada masa mendatang.

Ikut cerita, banyak juga ketua-ketua politik dan orang kaya di negara kita yang percaya kepada kuasa tilikan dan ramalan para kiyai Jawa itu dan ada yang sering ke sana mencari tangkal azimat.

Soalnya, kalau banjir Pulau Pinang adalah “petanda Tuhan” bahawa Gerakan akan kembali berkuasa di negeri itu, apa pula petanda banjir yang melanda negeri-negeri lain?

Apakah PAS akan kalah di Kelantan kerana banjir besar melanda negeri itu pada tahun 2014 dan BN akan kalah di semua negeri perintahnya yang juga dilanda banjir, termasuk Putrajaya yang banjir pada 8 Mei 2016?

Banjir Putrajaya 2016
Kalau hendak rujuk kepada “petanda Tuhan”, sebenarnya pada zaman (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak ini sangat banyak petunjuk seperti itu - sebuah kapal terbang MAS hilang tanpa kesan, sebuah lagi hancur musnah ditembak peluru berpandu, skandal 1MDB dan SRC, kadar tukaran ringgit yang merudum, kos sara hidup yang melambung, tragedi merangut nyawa macam runtuhan batu Gunung Kinabalu, kebakaran tahfiz dan serangan pengganas di Sabah.

Gerakan Tewaskan DAP?

Berkenaan ramalan ala kiyai Jawa yang Zahid buat mengenai harapan kemenangan Gerakan di Pulau Pinang, ia membawa ingatan saya kembali ke zaman gemilang parti itu.

Banyak orang mungkin tidak tahu atau sudah lupa sejarah Gerakan. Asas parti itu bermula pada akhir dekad 1980-an akibat radikalisme MCA.

Apabila mendiang Tun Lim Chong Eu menang tipis jawatan Presiden MCA pada tahun 1958 dengan mengalahkan mendiang Tun Tan Cheng Lock, MCA berpecah dua.

Perselisihan di antara Lim dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra meluas apabila menjelang PRU 1959, Lim menuntut bertanding 40 kerusi Parlimen dan bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi.

Tunku yang memihak kepada Tan dalam pertandingan MCA menawarkan untuk menaikkan kerusi MCA daripada 28 kepada 31, tetapi ditolak oleh Lim. Dia membantah dengan meletakkan jawatan Presiden MCA dan Dr Cheah Toon Lock dilantik menjadi Pemangku Presiden.

Lim merantau ke London dan hanya pulang beberapa tahun kemudian untuk menubuhkan United Democratic Party (UDP) pada tahun 1962. Dalam PRU 1964 UDP bertanding, tetapi tidak berjaya.

Tunku mempersendakan UDP dengan memanggilnya parti “udang dalam parit”. Udang hidup di sungai dan laut. Jadi udang di dalam parit adalah kecil dan rendah martabatnya.

Kegagalan itu mengubah pendirian Lim. Daripada seorang radikal Cina, dia berubah menjadi seorang “Malaysian” dengan menaja parti berbilang kaum bersama tokoh-tokoh bangsa lain.

Maka pada 24 Mac, 1968 tertubuhlah Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Singkatan awalnya Geram yang kemudian ditukar menjadi Gerakan. Antara penaja Gerakan ialah Almarhum (profesor) Syed Hussein Alatas, Mendiang Dr Tan Chee Khoon dan (profesor) Wang Gungwu.

Lebih sedikit setahun selepas penubuhannya, Gerakan menang besar dalam PRU 1969 dengan mengalahkan Perikatan di Pulau Pinang dan serentak dengan itu menamatkan 12 tahun hegemoni MCA di Pulau Pinang dan seluruh Semenanjung.

Lim (kiri) dan Alatas merayakan kemenangan 1969
Bagaimanpun, peristiwa 13 Mei 1969 dan keikhlasan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein menaja konsep karajaan perpaduan nasional menyebabkan Gerakan, PAS dan beberapa buah parti pembangkang lain menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan, dan menjelang PRU 1974 bergabung menubuhkan BN.

Ironinya, dengan menyertai BN, Gerakan sedikit demi sedikit bertukar daripada parti pelbagai kaum kepada parti yang didominasi oleh kaum Cina dan dengan itu menjadi saingan langsung kepada MCA dan DAP.

DAP yang ditubuhkan pada tahun 1966 juga bermula sebagai parti berbilang kaum, tetapi akhirnya menjadi parti majoriti kaum Cina.
  
Walaupun Gerakan membawa kemajuan dan mentranformasikan ekonomi Pulau Pinang namun ia hilang sinar dan hormat rakyat jelata tanpa ketua yang berwibawa dan kuat seperti Lim Chong Eu dan Lim Keng Yaik. Maka dalam PRU 2008 Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP.

Sejak itu, Gerakan tidak lebih daripada rumput di tengah jalan, hidup segan mati tak mahu. Ia sudah menjadi lebih kurang macam PPP.

Jadi adakah dengan dua orang ahli Dewan Rakyat dan tiga ahli Dewan Undangan Negeri, Gerakan mampu memacu ramalan Zahid untuk kembali berkuasa di Pulau Pinang?

Kalau Umno sendiri dalam keraguan dan hanya berani bercakap besar di hadapan khalayak yang diupah maka adalah mustahil bagi parti-parti kelas dua macam MCA, Gerakan, MIC dan PPP membuat sebarang kejutan seperta merampas semula Pulau Pinang.

Ia tidak lebih daripada kata-kata manis buat perwakilan Gerakan atau sekadar angan-angan Mat Jenin.

Wallahuaklam.

Wednesday, November 08, 2017

Leksikon Bahasa Najib Semakin Kesat



A Kadir Jasin


RASA-RASANYA tidak ada Perdana Menteri Malaysia yang lebih taasub dengan asal keturunannya melainkan (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.

 
Najib (tengah) berpakaian adat Bugis
Beliau sangat fanatik dengan etnik Bugis dan darah keturunannya. Tanpa segan silu beliau mengisytiharkan dirinya pahlawan Bugis.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Saya pernah menyiarkan sebuah rencana dalam blog ini pada 29 April 2015 menceritakan bagaimana, dalam satu lagi majlis serius iaitu pembentangan laporan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Najib mengisahkan hal orang Bugis dan kapal mereka.

Merujuk kepada diri beliau sebagai berketurunan Bugis, Najib berkata, pantang orang Bugis meninggalkan kapalnya walaupun karam dilanda badai. Kalau berminat boleh baca DI SINI.

Ketaasuban kepada darah Bugis ini mungkin ada kena mengena dengan gelaran tertinggi Bugis daerah Gowa yang dianugerahkan kepadanya iaitu I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil.

Anugerah itu diberikan kepadanya pada tahun 2005 ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi ada satu lagi aspek menarik mengenai Najib yang muncul sejak beliau diangkat menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, iaitu khazanah katanya.

Bagi saya yang mengenali beliau sejak tahun 1977, perubahan bahasa itu agak memeranjatkan kerana ia bercanggah dengan perwatakan beliau yang saya ketahui.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, leksikon bahasa beliau menjadi semakin berwarna – orang putih kata “colourful” – yang membawa maksud kasar, kesat atau lucah.

Antara yang terkenal adalah:

Haram jadah - ditujukan kepada peneroka Felda yang dituduhnya tidak menyokong Barisan Nasional.

Bangang – ditujukan kepada blogger/laskar siber Umno yang bergaduh sesama sendiri.

Kepala bapak kau – kepada yang menyuarakan kebimbangan pergantungan kepada China akan menjejaskan kedaulatan negara, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Stupid (bodoh) – juga kepada yang menyuarakan kebimbangan pergantungan kepada China akan menjejaskan kedaulatan negara, khususnya Tun Dr Mahathir.

Bangsat – amaran kepada orang Melayu sekiranya Barisan Nasional kalah.

Pedoman Bugis

Sepanjang yang saya tahu, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, Almarhum Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir tidak pernah menggunakan bahasa seperti itu di khalayak ramai atau dalam sidang akhbar.

Hatta Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang terkenal dengan watak “kelolo” (lawak) itu pun tidak mengguna istilah seumpama itu dalam nada yang Najib gunakan.

Tunku menggunakan bahasa seperti secara berjenaka, berseloroh dan selalunya di kalangan kenalan rapat atau di majlis-majlis tertutup.

Dalam carian saya mengenai leksikon Bugis, saya tidak pula menemui contoh atau bukti bahawa mereka adalah suku kaum yang suka mencarut atau menggunakan bahasa kasar.

Sebaliknya saya mendapati orang Bugis kaya dengan khazanah bahasa yang lembut dan petua yang penuh falsafah.

Misalnya, mereka sangat rapi dan terperinci mengenai sifat-sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin atau ketua.

Disebutkan di dalam kitab nasihat orang Bugis, Lontara Attorioloang bahawa seorang pemimpin haruslah memiliki kriteria berikut (dalam bahasa Bugis dengan terjemakan bahasa Indonesia):-

a. Maccai Na Malempu = Cekap, Jujur dan Pintar.

b. Waranipi Namagetteng = Teguh Pendirian serta Berani dan tegas, .

c. Paulle Watakkalepi = Sehat dari jasmani dan rohani.

d. Ke’nawa-Nawapi = Harus memiliki pandangan, visi dan missi, pikiran yg cemerlang.

e. Naetau Masiripi Dewata Sewwae = Bertaqwa kepada Tuhan Yang Maha Esa.

f. Nasiri’I Alena, Nasiri Toi Padanna Rupatau = Menjaga harkat dan martabat dirinya, serta menghormati harkat martabat orang lain disekitarnya.

Kemudian ada lagi petua dan petunjuk yang berbunyi:-

“Tellui somperenna lino: “Lempuu, Getteng, Ada Tongeng na Appasikua. Narimakkuannanaro aaja’ laalo musaala panguju, aja’to mutettangngi sempajangmu, aja’laalo mucapa-capai pappasekku, nasaba’ anu maddupa tu matti”.

Artinya: Ada tiga hal yang menjadi kiat utama merantau yakni; Kejujuran, Keteguhan hati, tutur kata yang berlandaskan kebenaran, dan keikhlasan menerima apa adanya. Oleh sebab itu, janganlah kamu salah rencana dan salah melangkah, dan juga janganlah kamu pernah meninggalkan sembahyang lima waktu, serta janganlah kamu memandang remeh petuah ini, karena itu mengandung kebenaran yang akan menjadi kenyataan kelak.

Ritomainge’e eppa’ masero madecceng : mula mulanna namaiseiwi topurae mamaseiwi, maduanna tenri ellauwi nabbere, temmattajeng pamale’, matellunna tulung ngengngi sukara’na taue risingangka-gangkanna pattulung, maeppa’na mappangaja’ lettu’ riperu’e.

Artinya : Bagi orang yang panjang ingatannya ada empat hal yang sangat baik. Permulaannya mengasihani orang yang pernah mengasihaninya, kedua memberi tanpa diminta dan tidak menunggu pembalasan, ketiga menolong kesukaran orang dengan sepenuhnya, keempat memberi nasihat dengan tulus.

Limai uwangenna riallolongengi deceng, seuwani pakatunai alemu risilasannae, maduanna saroko maserisilasannae, matellunna makkareso patujue, maeppa’na moloie roppo roppo narawe’, malimanna molae laleng namatike’ nappa sanre’ ri Allah SWT.

Artinya: Lima jenis sifat manusia menghasilkan kebaikan, pertama merendahkan diri sepatutnya, kedua mencari kawan/sahabat sepatutnya, ketiga berbuat/bekerja yang baik dan benar, ke empat kembali apabila menghadapi rintangan, kelima waspada dalam perjalanan sambil berserah diri kepada Allah SWT.

Upaseng tokko, tellu ritu riapparentang riakkarungengnge, mula mulanna riaparentai sibawa cenning ati, maduanna riparentai sibawa siri’, matelluna riparentai sibawa tau’na.

Artinya: Juga saya pesankan, ada tiga jenis perintah dalam jabatan, permulaannya diperintah dengan ketulusan hati, kedua diperintah dengan mengingat harga diri, ketiga diperintah dengan rasa takut/taat.

Riparentai sibawa siri, riamasei riolo temmaresona, riraiyang pulana pappalece rimunri akkaresona. Riaddampengangngi asalanna risitinajannae, rininiriyangngi ada ada enrengnge pangkaukeng bati’ todeccengnge, bettuana aja’ mupegaukengi maka naposiri’e, apa siri’namitu ripoatangngi. Werengi ada ada enrengnge inninawa marilelang, apa iyatu todeccengnge, narekko engkai patuju mapetu innokkinnongngi ritu.

Artinya: Diperintah dengan harga diri, dikasihani terlebih dahulu sebelum bekerja, diperbanyak belas kasih sesudah bekerja, dimaafkan kesalahan yang pernah dibuat sewajarnya, dipilihkan kata kata dan perbuatan bagi orang yang baik artinya jangan bertindak kepadanya yang dapat menyinggung harga dirinya (siri’na), karena dia mengikut hanya karena untuk menjaga harga dirinya. Berikanlah kata kata dan tingkah laku tulus, sebab orang baik itu putih/suci bersih kalau dia dalam kebenaran.

Riparentai sibawa tau’, iyana ritu riassekiyangngi ade’ pura onrona, dipalalowangngi ade’ abiasanna, terrilukkai bicara puranna, tenriala pada olona, rialangngi atongengenna ritanrereangngi asalanna, tenriwawa ritengngelo’na.

Artinya: Diperintah karena takut/ketaatannya, yaitu diperteguh adat yang sudah dibakukannya dan diizinkan pada adat kebiasaannya. Tidak dibatalkan hukum yang telah diselesaikan/diputuskan, tidak dirampas haknya, diberikan kebenarannya tidak di bawah tanpa persetujuannya.

Pangaderengnge temmakkullei sia riappassan apa’ lanro alenai arajangnge. Pada toisa temmakkulleni risui’ matae risappe’ daucculie, riteppe’ lilae enrenge aje nariabbeyang.

Artinya: Adat istiadat itu tidak mungkin dilaksanakan secara paksa, sebab dia adalah tubuh dari kebesaran kekuasaan. Sama saja dengan tidak mungkinnya dicungkil mata, dipotong daun telinga, dipotong lidah dan kaki kemudian dibuang.

Iyatopa upoadakko, appujio sio mumadeceng kalawing ati, apa’ sininna decengnge enrengnge upe’e polemanengngi rideceng kalawing atie. Aja’ sio mualai pompola to mapperumae riwatakkalemu, iyana ritu matae, daucculie, lilae inge’e. Tomapperuma maneng ritu riwatakkale. Iyasa muala pompola mattungka engkae riwatakkalemu, iyana ritu kalawing ati madecengnge. Aja’ sio namasero muatepperi pangkau kenna tomaperrumae. Iyana ritu pakkitanna matae, parengkalinganna acculie, ada adanna lilae, paremmaunna inge’e. Gau’na kalawing ati madecengnge madecengngi riakkatenning, matanna kalawing atie de’ nakaita-ita, lilana kalawing ati madecengnge de’ nakapau pau, dacculinna kalawing ati madecengnge de’ nakaengka engkalinga, inge’na kalawing ati madecengnge de’ nakaemma emmau mainge’ tongeng tongeng. Naengngerangngi sininna pura naengkalingae, naengngerangngi pura naitae pura napoadae.

Artinya: Juga saya katakan, cintai dan berbaiksangkalah kepada sesamamu, sebab semua kebaikan dan kemujuran bersumber dari baik sangka/ketulusan hati. Janganlah hendaknya menjadikan pimpinan, penumpang dalam tubuhmu, yaitu mata, telinga, lidah, hidung. Jadikanlah pimpinan yang memang ada di dalam tubuhmu ialah ketulusan hati yang baik. Jangan terlalu mempercayai tingkah laku penumpang dalam tubuhmu yaitu penglihatan mata, pendengaran, pendengarang telinga, perkataan lidah, penciuman hidung. Perbuatan hati yang tulus baik dipegang, matanya hati yang tulus tidak sembarang melihat, lidahnya hati yang tulus tidak sembarang berkata, telinganya hati yang tulus tidak sembarang mendengar, hidungnya hati yang tulus tidak sembarang mencium. Mengingat semua yang pernah didengarnya, mengingat semua yang pernah dilihatnya, mengingat semua pernah dikatakannya.

Kebetulan dalam carian saya pada tahun 2015, saya mendapati bahawa bahawa ramai artis terkenal Malaysia, antaranya Ella, Ziana Zain, Anuar Zain, Noraniza Idris dan Lisa Surihani adalah juga daripada keturunan Bugis. 
Sumber: Wikipedia bahasa Indonesia.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).