Saturday, September 29, 2018

Perdana Menteri di PBB: Mesej Beliau Sejagat dan Selari


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Tun Dr Mahathir berucap buat kali ke-11 di PBB


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakhiri ucapannya di Persidangan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat, semalam dengan menyatakan betapa berat tugas beliau berdiri dan membuat ucapan.

Katanya: “Selepas 15 tahun dan pada usia 93, saya kembali ke pentas ini dengan tugas yang berat untuk memberi suara dan harapan kepada Malaysia baru di persada dunia.

“Rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan demokratik yang mereka capai baru-baru ini dan menaruh harapan yang tinggi bahawa di seluruh dunia akan melihat keamanan, kemajuan dan kemakmuran.”

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Saya yakin ramai rakyat Malaysia dan, tidak kurang juga, penduduk dunia teruja dengan ucapan beliau.

(Teks lengkap ucapan beliau boleh dibaca DI SINI). 

Kalau seorang insan berusia 93 tahun dan yang menceburi politik sejak zaman remaja masih boleh mengubah sejarah negaranya serta cergas di pentas dunia, ia tentunya sedikit sebanyak memberi ilham kepada generasi yang lebih muda daripada beliau.

Dr Mahathir menyentuh banyak perkara dalam ucapannya dan sesiapa saja yang mengikuti siri ucapan beliau di Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mendapati bahawa beliau amat teliti dan konsisten dengan isu-isu yang dibangkitkannya.

Saya bernasib baik dapat mengikuti siri ucapan beliau bermula dengan kehadiran pertamanya di UNGA, sebagai Perdana Menteri, pada tahun 1982. Itu jugalah kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi Amerika.

Ucapan beliau pada tahun ini membuatkan kami, wartawan Malaysia, terpinga-pinga mendengar hujah beliau mengenai isu-isu yang pada pandangan kami tidak kena mengena dengan Malaysia.

Satu isu yang saya dapati mengejutkan yang beliau bangkitkan pada sesi sulung beliau di PBB itu ialah gesaan agar benua beku Antartika dijadikan warisan sejagat dan bebas daripada eksploitasi oleh mana-mana negara.

Saya bertanya kepada Menteri Luar ketika itu, Almarhum Tun Muhammad Ghazali Shafie, mengapa Perdana Menteri sebuah negara tropika peduli kepada isu benua beku?

Kena Tengking

Seperti biasa, Ghazali atau lebih terkenal dengan jolokan “King Ghaz” tidak akan menjawab sebelum “berkhutbah” memperkecilkan pengetahuan wartawan Malaysia.

Malah beliau pernah menengking saya di hadapan puluhan para pembesar, termasuk Dr Mahathir, di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada tahun 1981 kerana bertanya soalan kepadanya secara mengejut.

Sekadar nasihat. Wartawan muda hari ini harus berani dan sanggup dimaki hamun jika mereka mahu menjadi wartawan tulen bukan sekadar pencatat dan pelapor. Pernah sekali saya diperintah keluar dari pejabat Permodalan Nasional Berhad (PNB) oleh bekas Pengerusinya, Almarhum Tun Ismail Ali. Masa itu ibu pejabat PNB adalah di Bangunan MIDF.

Ghazali menjelaskan bahawa Dr Mahathir melihat isu Antartika dan Persidangan Undang-undang laut (Law of the Sea Conference) sebagai amat kritikal kepada kedudukan Malaysia sebagai negara persiaran pantai (litoral state).

Apa yang Dr Mahathir bangkitkan dan dijelaskan oleh Ghazali itu akhirnya menjadi kenyataan dan amat menguntungkan Malaysia. Kini, di bawah Perjanjian Undang-undang Laut, kita mempunyai hak ke atas khazanah laut di kawan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).

EEZ mencakupi kawasan hingga 200 batu nautika dari pantai sesebuah negara. Hasil pelaksanaan perjanjian itulah kita kini memiliki banyak telaga minyak dan gas jauh dari pantai kita di Laut China Selatan.

 
Pelantar minyak Petronas di Laut China Selatan
Demikianlah pandangan jauh dan terperinci Dr Mahathir mengenai hal-hal dalam negara dan antarabangsa yang mempunyai kesan kepada kehidupan rakyat jelata.

Bagi beliau, lawatan ke PBB setahun sekali atau ke mana-mana juga negara bukanlah sekadar menerima jemputan – jauh sekali untuk berfoya-foya – tetapi adalah untuk mengibarkan panji-panji negara dan mendapatkan faedah terbaik untuk Malaysia dan penduduknya.

Hatta dalam kunjungan ke PBB kali ini pun – dalam usia lanjut – beliau masih berbahas dengan kakitangan beliau cara paling murah untuk pergi-balik New York.

Beliau mahu guna penerbangan komersial kerana lebih murah. Tetapi memikirkan perjalanan yang sangat jauh – lebih daripada 15,000 kilometer dan mengambil masa kira-kira 23 jam sehala – beliau akhirnya bersetuju menggunakan perkhidmatan jet peribadi.

PBB bukanlah persidangan yang asing kepada beliau. Sejak kunjungan pertama pada tahun 1982, Dr Mahathir telah hadir dan berucap di UNGA sebanyak 11 kali – termasuk kali ini.

Saya rasa beliau adalah antara pemimpin dunia yang paling banyak berucap di Persidangan Agung PBB.

Wartawan Malaysia yang membuat liputan di New York memberitahu saya yang beliau telah diberikan jolokan “the patron saint of politik comeback”.

Maksudnya Dr Mahathir dianggap seperti keramat yang menjadi penaung kepada ahli-ahli politik yang bersara atau disingkirkan tetapi kembali berkuasa.

Apa pun gelaran dan sanjungan yang diberikan kepada beliau, tindakan mutakhir kita bagi menghormati dan menghargai beliau adalah dengan meneruskan perjuangan beliau yang belum selesai.

Wallahuaklam.

Tuesday, September 25, 2018

NST and Rosmah’s Date with Justice


A Kadir Jasin


PREAMBLE: Views expressed herein are entirely mine. I am writing in my personal capacity as a blogger. It has nothing to do with whatever position I may hold.

Rosmah and Azeez: The cozy old days of kissing hand are about over
DATIN Seri Rosmah Mansor must be in real big trouble.

What could be worse for her than being announced “exclusively” by the New Straits Times newspaper that she is on the verge of being indicted to face up to 20 criminal charges.

[Anonymous comments will not be published. Please use real or pseudonym. Thank you.]

The news that she would be charged for her part in the 1MDB scandal does not come as a big shock. That has been widely speculated.

The situation becomes increasingly more desperate by the day. Today, Rosmah’s and her husband’s close collaborator, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim – the former Tabung Haji Chairman – had been arrested by the Anti-Corruption Commission of Malaysia (MACC).

The fact that the NST should headline Rosmah’s impending date with justice is sensational. I am used to being surprised. But on this particular occasion, I am super surprised.

This is because Rosmah is no ordinary woman and NST is no ordinary backer of the former government.

She was feared by the NST (and other media organisations). I was told a long time ago that her “wahyu” - directly or indirectly transmitted – were treated with greater urgency than those of her husband.

“Wahyu” was the term used by editors and journalists to describe instructions from Putrajaya.

Editors were more afraid of her than Najib. Her pictures were closely scrutinised.

Only the “most beautiful” would see print. The glossy magazines airbrushed them to make her look young and beautiful.

So, for the NST to publish an exclusive story stating that she would be charged with up to 20 criminal charges is hugely significant.

NST Changing?

It could signal that the NST has finally unshackled itself from the past and acknowledged that the world around it has changed since the Pakatan Harapan victory on May 9.

It is possible that the NST executives and editors finally realised that Umno isn’t anymore in power. In fact, for some time, ceased to be the largest shareholder of Media Prima Berhad – their corporate owner.

Maybe they now realise that if they don’t change their pro-Umno/BN editorial stance to something more balanced, the paper risks losing its relevance and they risk losing their jobs to further cost cutting.

Has the NST changed?
So what better way to mark the departure from the past to the present than by headlining Rosmah’s impending arrest and her date with justice.

It is also possible that the source of the NST report had deliberately chosen the paper in order to drive home the message that Rosmah would indeed be arrested and charged.

What better way to do that than to use the NST that is known for its loyalty to Rosmah and Najib.

Rosmah is indeed in trouble. NST report on her impending date with the law was corroborated by Bernama.

On September 24, the national news agency, quoted the Chief Commissioner of MACC, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, as saying that the investigation on Rosmah has been completed and the report has been submitted to the Attorney-General.

Wallahuaklam.

Saturday, September 22, 2018

Lewat, Liwat dan Undang-Undang Lapuk


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Isu berkaitan seks dan jantina jadi tajuk berita
SOAL lewat tidak timbul apabila kita membincangkan apa saja hal yang membawa kebaikan atau yang relevan kepada masyarakat.

Sama ada isu warna kasut murid yang melancarkan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik ke stratosfera atau undang-undang hubungan seks sejenis yang dikatakan ketinggalan zaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, hal seperti itu tidak pernah lewat untuk dibincangkan.

Cuma jangahlah disensasikan seolah-olah warna kasut murid dan seks sesama jenis adalah isu hidup mati.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Berkenaan warna kasut, saya kata macam inilah: apa yang ada di kaki tidak sepenting apa yang ada di kepala.

Zaman saya dulu, ramai berkaki ayam ke sekolah sebab miskin atau kerana jalan berlumpur tapi jadi cerdik pandai sebab guna otak.

Berkenaan liwat, saya sudah sentuh secara tidak langsung dalam tampalan 5 September berjudul “Berpada-padalah Sensasikan Isu LGBT”.

Jadi saya tidak akan bahas isu undang-undang liwat atau mana-mana undang-undang berkaitan hubungan seks sesama jenis yang dikatakan ketinggalan zaman itu.

Saya serahkan tajuk itu kepada pihak-pihak yang pakar mengenainya.

Cuba Jangan Lewat

Yang hendak saya bahaskan adalah masalah lewat. Masalah lewat ini sudah menjadi tabiat dan maladi yang teruk di negara kita.

Dalam memilih tajuk lewat, saya tidak sekali-kali bertujuan mengatakan bahawa isu berkaitan liwat tidak penting. Tapi pada pandangan saya, isu lewat lebih penting sebab ramai yang terlibat.

Menteri lewat, guru lewat, murid lewat, polis lewat, doktor lewat, kereta api lewat, kapal terbang lewat, bas Rapid KL lewat, mesyuarat lewat, habis mesyuarat lewat, lewat klimaks dan macam-macam lagi. Ada pula yang lewat bayar hutang sampai lupa terus.

Salah satu sebab kita susah hendak jadi negara maju adalah kerana kita tidak ada disiplin. Menepati waktu adalah ciri disiplin yang sangat penting.

Negara maju sangat mengutamakan waktu dan disiplin. Islam pun mengutamakan waktu dan disiplin. Sembahyang fardu lima kali sehari adalah penanda aras disiplin dan menepati waktu.
Tapi ia nampaknya tidak sikit pun membantu orang Islam berdisiplin dan menghormati waktu. Orang Melayu dengan orang Arab yang majoritinya Islam, sama saja.

Bila berjanji hendak berjumpa sekian-sekian waktu, berulang kali menyebut insya Allah – dengan izin Allah – tapi jarang sekali ditepati.

Hatta majlis di masjid dan surau pun selalu lewat, tersasar waktu sampai ambil waktu solat. Orang yang datang untuk solat berjemaah, ada yang terpaksa solat sendirian kerana tidak boleh tunggu sebab ada urusan lain.

Maaf cakaplah kalau saya kata, Islam nampaknya tidak mengajar apa-apa kepada ramai orang Melayu selain berlumba-lumba berjubah dan berserban supaya nampak macam orang Arab.

Zaman saya dulu, kita tidak pakai jubah dan serban. Tok guru dan tok haji saja yang pakai. Itu pun bukan semua. Ada tok guru ternama di Kedah, sampai akhir hayat mereka tak pakai macam Arab. Mereka pakai kain dan baju teluk belanga.

Pakailah fesyen apa dan kasut warna apa pun kalau tak manfaatkan “grey matter” (otak) dan tidak berdisiplin, tidak akan ke mana-mana.

Malah ramai orang Islam guna kelonggaran waktu sembahyang untuk curi tulang. Ada yang pergi membeli-belah dan ada yang tidur.

Switzerland mencipta dan mengeluarkan jam terbaik di dunia. Tetapi orang Swiss lebih yakin kepada jadual kereta api mereka bagi menentukan waktu sebab kereta api mereka jarang sekali lewat. Kelewatan maksimum adalah tiga minit.

Jadi eloklah kita tinggalkan amalan suka lewat dan kita cuba sedaya upaya untuk tepati masa.

Wallahuaklam.

Monday, September 17, 2018

Bukan Mudah Hendak Jel Najib


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Ramai akan sertai Najib ke muka pengadilan
MELAKUKAN perubahan pentadbiran dan memenjarakan seorang bekas Perdana Menteri bukanlah semudah teriakan reformasi dan pangkah kertas undi.

Ia lebih besar dan sukar daripada itu. Janji mudah dibuat, tetapi sukar dipenuhi. Reformasi mudah diteriakkan, tetapi sukar dilaksanakan.

Inilah realiti politik perubahan – the politics of change.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Rakyat jelata memilih perubahan dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) walaupun berbagai-bagai halangan dikenakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Tetapi kegigihan rakyat jelata mengatasi segala-galanya.

Maka memang patutlah rakyat jelata menuntut hak mereka. Hak untuk hidup lebih senang, aman dan tenteram. Sesukar mana pun, janji wajib ditepati.

Sebab itulah kita wajib kritikal dan bertindak tegas terhadap para pemimpin PH, khasnya yang menganggotai Kabinet dan Majlis Kerja Kerajaan Negeri (Exco), jika mereka tidak tekun menjalankan tugas apatah lagi menyeleweng dan mabuk kuasa.

Pemimpin PH wajib diawasi dan ditegur jika ternampak lebih mengutamakan kepentingan diri, kelompok, keluarga, intrigue dan persekongkolan daripada berkhidmat untuk rakyat jelata.

Sekarang adalah waktu bekerja untuk negara dan rakyat jelata bukan untuk berkomplot, memuaskan nafsu dan melakukan intrigue politik.

Serentak dengan mengisi keperluan harian rakyat jelata dan menunaikan janji-janji pilihan raya, rakyat juga perlu diberi tunjuk ajar bahawa bukan senang membuat perubahan, mereformasi institusi dan menyumbatkan penjahat ke dalam penjara.

Kita tahu rakyat jelata tidak sabar hendak melihat Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Mohd Najib Abdul Razak dan konco-konco beliau dicampakkan ke dalam penjara. Kalau boleh sekarang juga.

Perbicaraan Makan Masa

Kita wajib ceritakan kepada mereka bahawa Najib dan orang yang bersekongkol dengan beliau akan menerima balasan, tetapi bukan esok atau lusa. Proses pengadilan adalah rumit dan memakan masa.

Dua kes awal terhadap beliau, iaitu pengubahan wang haram (money laundering) dan penyalahgunaan kuasa bersabit SRC International Sdn Bhd akan hanya dibicarakan tahun depan – antara 12 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac.

Itu penetapan awal. Belum tentu lagi akan ditepati kerana pihak pendakwa dan pembela boleh memohon kepada mahkamah untuk membuat pindaan dan peguam-peguam bela Najib tentulah akan membuat berbagai-bagai helah untuk membebaskan beliau daripada tuduhan.

Kalau kita ambil kes yang melibatkan pemimpin politik, iaitu perbicaraan liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh, ia mengambil masa lebih empat tahun (2010-2015) untuk diselesaikan. Beliau didapati bersalah, dipenjarakan selama lima tahun dan mendapat pengampunan diraja pada 16 Mei lalu.

(Peringatan kepada wartawan dan penggiat media sosial. Setiap kali kes liwat Anwar disebut ia wajib dituruti oleh kenyataan bahawa beliau mendapat pengampunan diraja. Kalau tidak, anda boleh dituduh memalukan beliau.)

Justeru itu kita kena faham dan sabar sikitlah jika perbicaraan Najib dan konco-konco beliau mengambil masa yang lama.

Setakat ini baru seorang konco beliau turut dituduh bersabit wang haram 1MDB/SRC iaitu peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Shafee adalah pendakwa raya kes liwat kedua Anwar.

Pada 14 September lalu, laporan media yang memetik Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata siasatan 1MDB mendapati RM2.973 bilion (kira-kira AS$972 juta) masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Beliau juga berkata, ahli politik adalah antara 50 individu yang menerima wang haram tersebut.

Selain kes jenayah yang melibatkan 1MDB/SRC, ada banyak lagi kes rasuah yang telah dan sedang disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini termasuklah kes Felda-FGV, Tabung Haji dan Mara.

Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin, berkata beliau akan memaklumkan kepada SPRM mengenai 91 urusan jual-beli tanah kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang meragukan.

Penjualan besar-besaran tanah milik kerajaan untuk projek swasta adalah antara modus operandi zaman Najib.

Ramai Akan Ke Penjara

Jadi kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa banyak lagi konco Najib yang akan menjejaki beliau ke mahkamah dan mungkin berakhir di Sungai Buloh atau penjara-penjara lain di tanah air kita ini.

Tetapi memenjarakan penyamun, penyangak, lanun, perompak dan penyeleweng hanyalah sebahagian sahaja daripada penyelesaian masalah negara.

Boleh jadi hasil daripada pemenjaraan mereka, sebahagian harta negara yang mereka curi boleh diperoleh semula. Ini akan membantu kewangan negara yang dibebani hutang yang melebihi satu trilion ringgit.

Yang tidak kurang penting adalah menyelesaikan masalah harian rakyat jelata seperti kos sara hidup, guna tenaga, pengangguran siswazah, ketidakseimbangan kaum dan banyak lagi.

Kerosakan yang dilakukan oleh pemerintahan kleptokrat Najib begitu menular sehingga boleh dikatakan tidak ada institusi negara – daripada perkhidmatan awam kepada kehakiman, kepolisan, ketenteraan dan istana – yang tidak dicemari.

Menyusun semula dan mereformasi institusi-institusi ini serta perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan dengannya bukanlah mudah.

Benarlah seperti kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, “kita mewarisi kerajaan yang rosak.”  We inherited a broken government.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).