A Kadir Jasin
[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]
PADA 31 Ogos ini genaplah 55 tahun negara kita merdeka. Saya ucapkan selamat memperingati Hari Kebangsaan. Buruk baik inilah negara kita.
Sejak dulu lagi, saya tidak begitu mengambil berat hal-hal berkaitan slogan atau lambang Hari Kebangsaan kerana saya ada cara tersendiri memperingati ulang tahun kemerdekaan.
Jadi kali ini pun saya tidak terpengaruh atau tersentuh dengan debat mengenai lambang, cogan kata dan grafik ulang tahun Hari Kebangsaan.
Dalam loghat utara, saya sudah mangli dengan kecenderungan sesetengah orang atau pihak yang suka tunjuk pandai, mengampu dan mencari habuan politik.
Akibatnya, peristiwa yang sepatutnya menyatupadukan rakyat jelata menjadi punca perbalahan dan polemik politik murahan.
Inilah bahana apabila ada pihak yang cuba campuradukkan upacara rasmi negara dengan politik parti dan sebagainya.
Akibatnya muncullah bermacam-macam slogan, simbol dan interpretasi ulang tahun kemerdekaan. Hina sungguh apabila hendak tunjuk kecintaan kepada negara dan patriotisme pun jadi isu dan masalah.
Dalam hal ini, saya rasa saya bernasib baik kerana diajar sejak kecil lagi menyayangi negara dan cara memperingati Hari Kebangsaan. Untuk itu, sekali lagi saya terhutang budi dan terhutang kasih kepada Allahyarham ayah saya.
Dia kata, siapa pun yang memerintah negara ini, kita tetap kena sayang dan pertahan negara. Tiap tahun sebelum sampai 31 Ogos, ayah saya akan naikkan bendera negara menggunakan batang buluh.
Bagi saya, masa menaikkan bendera itulah antara saat paling gembira dan patriotik sampailah ke hari ini.
Jadi, apa pun kecenderungan politik kita, marilah sama-sama kita memperingati ulang tahun kemerdekaan negara kita dengan rasa tanggungjawab dan penuh patriotisme.
Kenangan Peribadi Hari Kebangsaan
Bagi saya, memperingati Hari Kebangsaan adalah memperingati susur-galur hidup saya dan perjalanan negara kita.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, saya berumur 10 tahun tujuh hari dan dalam darjah tiga sekolah Melayu. Waktu itu darurat masih berkuatkuasa kerana pengganas komunis masih cuba merampas kuasa secara kekerasan.
Tentera Komanwel dari United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada yang membantu angkatan tentera dan polis kita kerap berkhemah di padang sekolah saya. Setiap hari dan malam mereka membedil dan mengebom rimba belantara yang disyaki sarang pengganas.
Bukan mudah membedil dan mengebom pengganas dalam hutan belantara, tetapi bunyi meriam dan letupan bom adalah cara berkesan meyakinkan orang ramai yang keselamatan mereka terjamin. Inilah antara kaedah perang saraf yang British gunakan bagi memenangi hati dan fikiran orang ramai supaya tidak menyokong komunis.
Tetapi hari ini, banyak orang tidak tahu atau sudah lupa sejarah hitam negara seperti darurat (1948-1960) dan pergaduhan kaum 13 Mei 1969. Malah, ramai yang sanggup bakar kelambu dan tilam kerana marahkan nyamuk dan pijat. Atau sudah ramai tidak tahu apa itu pijat? Wallahualam.