Tuesday, March 27, 2018

Antiberita Tidak Benar: Banyak Cara Melapah Kucing


A Kadir Jasin

سْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

BANYAK orang bertanya saya mengenai Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Parlimen pada 26 Mac.

Azalina: Denda RM500,000 atau 10 tahun penjara
Saya tidak bercadang memberi jawapan khusus mengenainya kerana perkara itu boleh dibaca di banyak saluran, termasuk DI SINI dan Di SINI.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Apa yang hendak saya katakan adalah, undang-undang dan peraturan tidak sepatutnya menyekat hak bersuara dan menyatakan perasaan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu adalah menjadi tugas pihak yang arif dalam hal undang-undang memastikan sama ada undang-undang baru ini buruk atau baik dan bercanggah dengan Perlembagaan atau tidak.

Undang-undang yang tidak baik (bad law) apatah lagi yang bercanggah dengan Perlembagaan (ultra virus) wajib ditentang.

Sebagai seorang wartawan dan penulis yang telah bergiat dalam dunia penulisan hampir 50 tahun saya sudah biasa dengan undang-undang dan peraturan seperti ini sehingga saya tidak berapa peduli lagi. Alah bisa tegal biasa.

Kalau saya berasa terkongkong dan takut kerana wujud banyak undang-undang dan peraturan bersangkutan hak bersuara dan menyatakan perasaan, pastinya saya sudah lama berhenti menulis atau saya didenda dan dipenjarakan kerana menyuarakan pendapat.

Tetapi kalau kita faham undang-undang dan tahu cara-cara memaksimumkan hak serta kebebasan kita, kita masih boleh menulis dan bersuara tanpa terperangkap. Banyak cara boleh kita gunakan untuk mengelak daripada terjebak.

Sedikit sebanyak saya perpegang kepada ungkapan Inggeris “there are many ways of skinning a cat” (ada banyak cara  melapah kucing).

Maksudnya, ada banyak cara bagi kita melepaskan diri daripada kongkongan undang-undang tanpa melanggarnya. Hal ini banyak bergantung kepada kedalaman ilmu, kecerdasan minda dan pengalaman kita.

Kebenaran Pasti Muncul

Pengalaman saya mengatakan bahawa kebenaran (truth) tidak boleh disekat oleh mana-mana undang-undang dan pihak berkuasa. Ia akan menyerlah akhirnya.

Cuma pihak yang cuba menyembunyikan kebenaran akan terus berdalih dan berbohong sehinggalah pembohongan mereka menjadi perangkap maut bagi mereka.

Ambil contoh penafian mengenai skandal 1MDB. Setelah sekian lama diuar-uarkan sebagai berjaya, untung dan lestari oleh pemerintah dan agen-agen propagandanya, akhirnya kebenaran menjelma.

Pada 23 Januari lalu, Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak sendiri mengakui kegagalan 1MDB dan berkata ada sebab sah untuk berasa bimbang mengenainya.

“Sekarang, saya tidak akan menafikan isu ini. Memang berlaku kegagalan dalam syarikat itu, kelemahan tadbir urus,” katanya kepada kira-kira 1,000 hadirin di persidangan Invest Malaysia 2018. (Baca di sini).

Kesimpulannya, saya memilih untuk melihat Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar ini secara falsafah, iaitu Parlimen yang dikuasai, buat masa ini, oleh Barisan Nasional boleh melulus atau memansuhkan apa saja undang-undang dan peraturan tetapi ia tidak boleh membenamkan kebenaran dan menyekat hak asasi manusia.

Wallahuaklam.

Sunday, March 18, 2018

Percubaan Sekat PH Perkuat Tsunami Rakyat



A Kadir Jasin

سْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

SEMATKAN bunga ini di hatimu
Jangan biar ia hancur menjadi debu
Kerana ada tangan-tangan besi
Yang  mahu meramasnya mati
Jadikan ia bunga hatimu
Agar ia segar sepanjang waktu.

Usaha rasmi mematikan PPBM
UMNO sudah mati. Parti itu bukan Umno lagi. Ia sekadar jelmaan pseudo yang menjadi tunggangan ketua-ketua pemerintahan kleptokrasi.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Jho Low lebih diutamakan daripada ahli, penyokong dan rakyat jelata sehingga Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sanggup menggasak dan menggesa Penasihat Sosiobudaya kerajaan, (Tan Sri) Rais Yatim meletakkan jawatan kerana mengkritik dalang 1MDB itu.

Umno sudah hilang daya tarikan. Sudah tidak ada lagi daya saingan. Hidupnya semata-mata kerana sogokan dan ancaman. Jho Low dipertahankan seolah-olah dia topekong hidup parti itu.

Maka dalam ketakutannya ia menggunakan wang negara dan mempersundalkan kuasa untuk menghalang pencabarnya.

Walaupun Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak dan para pemimpin Umno/Barisan Nasional mempersendakan Pakatan Harapan (PH) di depan khalayak ramai tetapi di belakang tabir mereka amat bimbang dengan tsunami rakyat yang semakin hari semakin kuat.

Dalam suasana itu adalah mudah kita mengandaikan yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan dibatalkan dan PH tidak akan didaftarkan. Umno/BN tidak mahu pembangkang menggunakan simbol tunggal.

Umno/BN takut kepada lambang ini
Pelbagai halangan dan alasan telah dan sedang dibuat bagi pihak Umno/BN oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menggagalkan PPBM dan PH.

PPBM dan PH tahu segala usaha bagi mematuhi syarat ROS mungkin sia-sia namun kita terus berusaha sedaya upaya untuk memenuhinya.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim
Di mana campur tangan mahkamah diperlukan dan menawarkan harapan, biar setipis mana sekalipun, kita telah dan akan terus menggunakannya. Kita telah dan akan terus mengemukakan saman sivil.

Namun keutamaan adalah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh ROS dengan harapan jabatan itu akan bertindak secara profesional, bebas dan adil.

Pelan B, C, D...

Pada masa yang sama parti-parti anggota PH tidak berdiam diri. Pelan alternatif sedang dirangka dan beberapa persetujuan dasar telah dicapai.

Yang terpenting adalah biar apa pun terjadi, kita akan cuba menggunakan satu (atau dua) lambang sahaja dalam kertas undi bagi mengelak kekeliruan.

Hal ini telah dinyatakan secara rasmi oleh Pengerusi PH dan calon Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Felda Besout 1 Jumaat lalu.

Felda bukan lagi simpanan tetap Umno/BN
Buat masa ini kita andaikan PPBM akan dibatalkan dan PH tidak didaftarkan. Jadi lambang PPBM dan PH tidak boleh digunakan. Yang ada ialah lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Jadi kita akan memilih salah satu atau, dalam keadaan tertentu, dua daripada tiga logo ini. Untuk itu kita akan merundingkan syarat dan peraturan supaya kita bukan saja memenuhi syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga terus mengukuhkan kerjasama PH.

Walaupun ROS enggan mendaftarkan PH namun namanya boleh diguna berdasarkan pengalaman Pakatan Rakyat dan gabungan-gabungan lain seperti Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah.

Tsunami Rakyat

Untuk mencapai matlamat perubahan dan menyelamatkan negara, tsunami rakyat wajib berlaku pada tahap maksimum.

Bagi mengelak Umno/BN mensabotaj dan melarikan PRU ke-14 ini, pengundi mesti keluar beramai-ramai dan awal bagi memberikan majoriti besar kepada calon-calon PH.

Ini akan menyekat dan mengurangkan kemampuan Umno/BN menggunakan undi pos, undi awal, undi tentera dan undi polis untuk menang kerusi yang mereka sebenarnya telah kalah.

Rakyat jelata, kakitangan kerajaan dan anggota pasukan bersenjata wajib tahu bahawa selepas Parlimen dibubarkan, kerajaan yang ada menjadi sekadar kerajaan sementara (caretaker government) sahaja.

Ini amat penting disedari dan difahami oleh kakitangan awam, khususnya yang terlibat menguruskan pilihan raya. Mereka wajib bertindak secara profesional, adil dan berkecuali.

Pengundi pula wajib tahu bahawa kerahsiaan undi adalah sahih dan terjamin. Hatta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun tidak akan tahu parti atau calon mana yang kita pangkah.

Ejen-ejen pilihan raya PH wajib beri sepenuh tumpuan kepada proses pengundian dan pengiraan undi. Pendek kata mereka tidak boleh membiarkan sehelai pun kertas undi terlepas daripada pandangan mereka.

Ketika pengiraan undi, mereka wajib tegas dan tuntas dalam membuat pengesahan dan bantahan ke atas kertas undi, khususnya undi ragu, dan ketika menandatangani borang pengesahan kiraan undi. Jangan tunduk kepada tekanan wakil Umno/BN.

Kita tidak ada pilihan melainkan berubah. Sekiranya tidak, yang haram akan menjadi halal, yang salah menjadi betul, rasuah menjadi amalan harian, duit curi menjadi duit sendiri, hidup kita dan anak cucu kita akan dibebani hutang dan GST, kedaulatan negara dijual kepada yang berduit dan negara kita akan menjunam turun menjadi “failed state” – negara gagal.

PRU ke-14 adalah penentu hidup mati Malaysia sebagai negara berdaulat dan bermaruah.

Wallahuaklam.

Sunday, March 11, 2018

Pembongkaran MSNBC Burukkan Lagi Imej Malaysia



A Kadir Jasin

سْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

NAMA Malaysia menjadi semakin busuk (infamous) di persada dunia dengan pendedahan terbaru oleh stesen televisyen kabel dan satelit Amerika MSNBC.


Ia melibatkan perkembangan terbaru siasatan campur tanya Rusia dalam pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika pada tahun 2016 dan peranan Perdana Menteri Malaysia, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak, sebagai watak penting dalam drama antarabangsa itu.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Walaupun rancangan sepanjang 21 minit itu menceritakan perkembangan lanjut siasatan ke atas campur tangan Rusia, khususnya Presiden Vladimir Putin, bagi memenangkan Trump, namun lebih banyak masa diberikan kepada skandal 1MDB dan “that guy” aka Najib.

Trump dan pasukan kempennya sedang disiasat oleh peguam khas Robert Mueller dari Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) – agensi yang sama yang sedang melakukan siasatan sivil dan jenayah ke atas pengubahan wang haram 1MDB.

Rencana itu bermula dengan sindiran bahawa rakyat Amerika akan mendapat sebuah kapal persiaran mewah berharga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) hasil rampasan kapal milik Jho Low, Equanimity, di Bali pada 28 Februari lalu.

Kata penyampai program itu,Rachel Maddow dalam nada sinis bahawa sebahagian hasil rampasan kapal itu akan menyumbang kepada kekayaan Amerika.

Dia juga menyenaraikan harta-harta lain yang dibeli di Amerika oleh sahabat akrab Jho Low dan anak Najib, Riza Shahriz Aziz, melalui kegiatan pengalihan wang haram (money laundering) yang dicuri daripada 1MDB serta emas permata milik isteri Perdana Menteri, (Datin Paduka Seri Puan Puti Reno) Rosmah Mansor.

Diceritakan juga bagaimana Jho Low berjanji akan memberi komisen AS$75 juta (RM300 juta) kepada sepasang suami isteri yang menjadi pelobi kepada Trump kalau mereka berjaya membatalkan tindakan DoJ ke atasnya.

Yang menariknya ialah beberapa orang yang terlibat dengan konspirasi campur tangan Rusia yang diharapkan oleh Jho Low untuk menolongnya telah ditangkap dan bersetuju untuk menjadi saksi manakala yang lain pula dipenjarakan kerana pelbagai kesalahan.

Rancangan MSNBC itu mempersoalkan bagaimana seorang pemimpin asing yang sedang disiasat oleh DoJ (Najib) boleh dijemput untuk melawat Rumah Putih.

Najib kunjung Trump September lalu dan janji kukuhkan ekonomi Amerika
Dalam kes 1MDB, DoJ tidak menamakan Najib sebaliknya melabelkan beliau MO1 (Pegawai Nombor Satu Malaysia) dan menyifatkannya sebagai orang paling berkuasa dalam 1MDB.

Hakikat bahawa Najib dan MO1 adalah orang yang sama disahkan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, (Datuk Seri) Abdul Rahman Dahlan, dalam temu ramah dengan Badan Penyiaran Inggeris (BBC) pada tahun 2016.

Harapan Jho Low menyelamatkan dirinya, MO1 dan Riza daripada tindakan DoJ dengan menggunakan pelobi suami isteri itu adalah tipis.

Tidak seperti di kleptokrasi Malaysia di mana kerajaan boleh menjadikan penjawat awam orang suruhan, di Amerika ketua jabatan adalah bebas daripada campur tangan Presiden kerana mereka bertanggungjawab langsung kepada Kongres (Parlimen Amerika).

Natijahnya kalau DoJ bebas menyiasat Trump, apalah sangat Najib, Jho Low dan Riza.

Dalam manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan pada 8 Mac lalu, antara janji utama adalah memberi kuasa kepada Parlimen dalam pelantikan pegawai tinggi kerajaan seperti Peguam Negara, Pengerusi SPR, Ketua Polis Negara, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pakatan harapan juga menjadikan dasarnya untuk menuntut dan membawa balik pendapatan daripada harta curi 1MDB yang kini disita di Amerika, Singapura, Switzerland dan tempat-tempat lain.

Negara-negara terlibat tentulah tidak akan memulangkan hasil atau harta yang mereka rampas itu kepada kita selagi kleptokrat yang mencurinya masih berkuasa.

Di Amerika mereka guna undang-undang khas yang dipanggil “Kleptocracy Asset Recovery Initiative” atau singkatannya KARI. Dalam bahasa Melayu ia bermaksud inisiatif mendapatkan balik harta yang dicuri oleh kerajaan pencuri.

DoJ telah mendapat kelulusan mahkamah untuk merampas melalui tindakan jenayah dan sivil harta bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dipercayai dibeli dengan duit curi 1MDB.

Dengan pendedahan yang begitu luas dan sensasi oleh media antarabangsa maka tidak hairanlah negara kita menjadi bahan ejekan dan jenaka dunia.

Awal bulan ini majalah terkemuka Inggeris, The Economist telah menyiarkan sebuah rencana bertajuk “Stop, thief! Malaysia’s PM is about to steal an election” atau dalam bahasa Melayu “Tangkap pencuri! Perdana Menteri Malaysia sedang berusaha mencuri pilihan raya”.

Tangkap pencuri, kata The Economist
Maksudnya Najib akan menggunakan taktik kotor untuk menafikan hak pengundi membuat pilihan yang sah dan tulen.

Najib dan geng pemakan dedaknya mungkin tidak malu. Terlalu banyak makan dedak menjadikan muka mereka tabal. Tetapi kita rakyat jelata Malaysia malu dan dukacita negara kita dipersendakan.

Kita sudah jadi bahan jenaka dan gelak ketawa.

Wallahuaklam.

Wednesday, March 07, 2018

Apabila Speaker Bertindak Sebagai Penapis Umno/BN



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

MENGAPAKAH Speaker (Umno) Dewan Rakyat, (Tan Sri) Pandikar Amin Mulia (PAM), begitu takut untuk membenarkan isu mengenai 1MDB, Jho Low dan Pegawai Nombor Satu Malaysia (MO1) dibahaskan dalam dewan yang mulia itu?

Pandikar Amin Mulia: Jangan sampai dimakan sumpah
Kalau dia seorang Speaker yang tidak berat sebelah dan ditambah pula seorang pendekar, seorang yang sentiasa aman lagi mulia mengapakah dia begitu takut, tidak aman dan kurang mulia apabila berdepan dengan isu 1MDB, Jho Low dan MO1?

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Sikap “protective” dia terhadap isu 1MDB, Jho Low dan MO1 menjadikannya pelindung dan pembela skandal 1MDB, Jho Low, MO1 serta pesubahat mereka.

Kerana sikap dialah, rakyat jelata amnya dan pengundi khasnya disekat daripada memanfaatkan dewan yang mulia itu untuk bertanya soalan dan berbahas mengenai isu 1MDB, Jho Low, MO1 dan, yang terbaru, penahanan kepal mewah Jho Low, Equanimity.

Kapal super mewah itu adalah harta haram terbaru yang dirampas oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ). Ia adalah antara harta yang dibeli oleh Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, di Amerika dan di banyak negara lagi menggunakan duit selewang 1MDB.

Oleh sebab PAM tidak mempamerkan keberanian seorang pendekar, ketenangan seorang yang amin dan kemuliaan seorang berkedudukan tinggi, maka terpaksalah kita membawa keluar isu 1MDB, Jho Low, MO1 dan rompakan aset negara daripada dewan yang mulai ke mahkamah pendapat umum (the court of public opinion).

Untuk itu, saya perturunkan beberapa soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang ditolak atau disekat oleh PAM.

Misalnya empat daripada lima soalan untuk jawapan lisan yang ditanya oleh AP HP Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, ditolak.

Soalan-soalan itu ditujukan kepada Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak dan timbalannya, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamed Hanipa, antara lain bertanya kepada Mohd Najib dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan mengapakah dengan tiba-tiba pendirian kerajaan atau 1MDB bertukar dengan persetujuan untuk membayar kepada IPIC sedangkan sebelum penyelesaian prosiding timbangtara di Mahkamah London Timbangtara Antarabangsa itu, Timbalan Menteri Kewangan Kedua pada 1 Ogos 2016 telah dilaporkan berkata yang 1MDB akan melawan dan tidak akan membayar tuntutan IPIC (International Petroleum Investment Company) dan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS sebanyak US$6.5 bilion di London itu.

Kapal super mewah Jho Low yang dibeli dengan duit curi 1MDB
Menurut laporan media alternatif, AP PH telah bertanya sekurang-kurangnya sembilan soalan tetapi dihalang atau tidak dilayan oleh PAM.


Parlimen adalah badan pembuat undang-undang tertinggi di negara kita dan tempat di mana segala permasalahan negara dan rakyat jelata sepatutnya dibentang dan dibahaskan.

Tetapi oleh sebab kuasa tertinggi di Parlimen, khususnya di Dewan Rakyat, iaitu PAM memilih untuk menjadi penapis bagi pihak Umno/Barisan Nasional, maka kebebasan dan kesucian dewan yang mulia itu telah tercemar.

Kerana 1MDB, Jho Low dan MO1 punya hal bukan sahaja negara serta rakyat jelata menanggung risiko dan beban hutang puluhan bilion ringgit malah kemuliaan dewan turut ternoda.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).