A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]
BANYAK pembesar negara kini berada di luar negara mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan ke Rusia, Bosnia-Hervegovina dan Itali.
Seorang usahawan Melayu global yang terserempak dengan mereka di Bosnia-Herzegovina mengantar SMS berikut:
“You should ask who is running the country. Almost half of Cabinet Ministers and MBs follow Pak Lah to Russia, Bosnia and Italy.”
Dalam bahasa Malaysia (ya, bahasa Malaysia dan bukan lagi bahasa Melayu) ia bermaksud “Anda patut bertanya siapa yang menguruskan negara. Hampir separuh menteri kabinet dan Menteri Besar mengiringi Pak Lah ke Rusia, Bosnia dan Itali.”
Saya terfikir menjawab soalannya dengan merujuk kepada lirik lagu “We Built This City” nyanyian kumpulan Starship yang berbunyi, antara lain:
“We built this city, we built this city on rock an' roll
Built this city, we built this city on rock an' roll.”
Kalau sesebuah bandar raya atau negara dibina atas landasan rock and roll seperti dalam lagu Starship itu, tiadalah perlu pemimpin dan pembesar. Yang perlu kita menghayati rock and roll.
Setelah meminta bantuan daripada beberapa pihak rasmi dan tidak rasmi, di dalam dan luar negara, saya mengumpulkan maklumat berikut. Namun perlu secara kategorikal saya menyatakan bahawa maklumat ini tertakluk kepada perubahan dan pembetulan.
Menteri ada tujuh atau lapan orang. Antaranya Rafidah Aziz, Samy Vellu, Syed Hamid Albar, Shafie Apdal, Jamaluddin Jarjis, Khalid Nordin dan Zainuddin Maidin.
Menteri besar dan ketua menteri pula adalah Tajol Rosli Ghazali (Perak), Mahdzir Khalid (Kedah) , Adnan Yaakob (Pahang) dan Ali Rustam (Melaka). Saya tidak dapat mengesahkan jika benar bahawa Idris Jusoh (Terengganu) pun turut sama atau berada di Eropah Selatan.
Khabarnya tidak semua menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri mengekori Perdana Menteri ke semua destinasi. Lain negara yang dilawati, lain pula perwakilan pembesarnya.
Dimaklumkan juga ada seorang dua menteri besar kecil hati kerana tidak dijemput menyertai rombongan Perdana Menteri.
Pada hemat saya, Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman, patut turut sama supaya dia boleh mempromosikan WPI/IDR kepada pelabur Rusia, Itali dan Bosnia.
Tetapi sumber-sumber mengatakan dia sama ada tidak dijemput atau tidak dapat ikut serta kerana Johor kini mengalami “krisis” jenayah yang agak teruk -- sampai berlaku tunjuk perasaan oleh rakyat jelata yang menuntut perlindungan.
Saya tidak berani mengatakan sama ada bilangan pembesar yang mengekori Perdana Menteri itu kecil atau besar. Mungkin bilangan itu biasa bagi delegasi Perdana Menteri, mungkin kecil dan mungkin juga besar.
Kecil atau besar adalah perbandingan. Ia relatif kepada ukuran dan perbandingan yang digunakan.
Misalnya, relatif kepada yang mana lebih mendesak -- hakikat bahawa pesakit hospital kerajaan dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang terpaksa berkongsi sebuah mesin MRI (magnetic resonance imaging) dan empat orang pakar radiologi sehingga menyebabkan tempoh menunggu sehingga tiga bulan atau rombongan PM yang besar.
Relatif kepada perbelanjaan yang dikeluarkan dengan faedah yang diraih seperti kemasukan pelaburan dan perluasan pasaran untuk barangan negara.
Relatif kepada Kabinet mega yang mempunyai 30 anggota, rombongan Perdana Menteri yang mengandungi tujuh atau lapan menteri itu tidaklah besar.
Nota kaki: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga ke Bosnia-Herzegovina. Khabarnya dia tiba di Sarajevo, ibu negara berkenaan, sejam sebelum atau selepas Perdana Menteri bertolak ke Itali.
Mantan PM itu menghadiri mesyuarat perasmian Global Alliance for Partnership in Infrastructure Development (GAPID).
Pakatan ini bertujuan menggabungkan kepakaran negara-negara Islam dalam bidang pembangunan infrastruktur untuk membantu membangunkan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Ia adalah inisiatif sektor swasta Malaysia dengan kerjasama rakan-rakan kongsi mereka dari seluruh dunia, khasnya negara-negara Islam. Ia disokong oleh Bank Pembangunan Islam (IDB).
UPDATE, 28 JUN
13 Lawatan Ke Luar Negara Dalam Masa 6 Bulan
(Utusan Malaysia) --Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melakukan 13 lawatan rasmi dan kerja ke luar negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Jumlah delegasi yang mengikuti Perdana Menteri dalam lawatan beliau itu adalah seramai 434 orang.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, lawatan beliau (Abdullah) ke luar negara itu merangkumi usaha untuk memajukan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa, serantau dan dua hala.
Tambahnya, lawatan Perdana Menteri itu termasuklah usaha untuk mempromosikan perdagangan, pelaburan dan mengeratkan kerjasama dalam semua bidang.
‘‘Selain itu, Perdana Menteri ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa kerana beliau merupakan Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).
‘‘Beliau juga menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan ASEAN, Komanwel dan APEC,” katanya.
Syed Hamid berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, lawatan Perdana Menteri amat dialu-alu oleh pemimpin negara asing dan rakan sejawatan Abdullah untuk membincangkan pelbagai isu.
Tambahnya, kepimpinan negara ini amat dihargai dan Malaysia dilihat sebagai berupaya membentuk persepsi masyarakat antarabangsa untuk mengambil pendekatan sederhana melalui kaedah permuafakatan dalam mencari kedamaian sejagat.
‘‘Lawatan berteraskan kerjasama ekonomi telah menyumbang kepada pencapaian kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan yang ke-19 terbesar dunia,” katanya.
Menurut Syed Hamid, lawatan rasmi dan kerja Perdana Menteri kebiasaannya diiringi oleh beberapa Menteri Kabinet yang relevan dengan bidang yang ingin diadakan kerjasama ketika melawat sesuatu negara itu.