Friday, September 29, 2006

Penangguhan Pemilihan Umno – Antara Yang Tersurat dan Tersirat

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan “anonymous” tidak akan dilayan. Penting! Bagi memastikan laman ini "current" dan tidak tersangkut (hang), sila klik "refresh" dari semasa ke semasa. Pilih antara Internet Explorer dan Mozilla Firefox yang mana satu lebih pantas dan “reliable”.]

MAJLIS Tertinggi Umno telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadualkan tahun depan sehingga selepas pilihan raya umum akan datang.

Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat MT semalam (28 September).

Menurut Abdullah, Umno menangguhkan pemilihan parti untuk membolehkan pemimpin parti itu menumpukan kepada usaha mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Abdullah tidak pula menyatakan bila pilihan raya umum akan diadakan. Pilihan raya umum lalu diadakan pada 21 Mac 2004 manakala pilihan raya umum akan datang perlu diadakan sebelum Mac 2009.

Persoalannya, apakah keputusan ini berupa petanda bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh masa singkat, katakan tahun hadapan seperti yang diramalkan oleh Utusan Malaysia hari?

Atau ia berupa taktik untuk mengelakkan keperluan mengadakan pemilihan parti tahun hadapan memandangkan keadaan tidak menentu yang sedang berlaku di dalam Umno sekarang?

Mengambil maklum mantera pentadbiran negara sekarang iaitu ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan, penangguhan pemilihan Umno hanya boleh diterima sebagai ikhlas jika pilihan raya umum diadakan di dalam jangka masa singkat.

Hakikat bahawa ia dasar dan peraturan biasa parti yang pernah dilakukan sebelum ini bukanlah alasan yang mutakhir.

Yang lebih penting adalah hak asasi ahli-ahli Umno untuk memilih pemimpin dan hak asasi rakyat jelata memilih kerajaan.

Kelewatan melaksanakan mana-mana satu hak asasi ini adalah tidak secocok dan tidak selari dengan demokrasi yang kita amalkan.

Jika pilihan raya Umum tidak diadakan hingga 2009, ini bermakna MT yang ada sekarang akan berkuasa selama hampir lima tahun, dua tahun daripadanya tanpa mandat terus (direct mandate) daripada ahli.

Tuesday, September 26, 2006

Tuntut Maaf Daripada LKY

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan “anonymous” tidak akan dilayan. Penting! Bagi memastikan laman ini "current" dan tidak tersangkut (hang), sila klik "refresh" dari semasa ke semasa.]

AGAKNYA, oleh sebab terlalu kerap dan terlalu gemar bercakap hal-hal remeh-temeh, lucu dan merapu, kepemimpinan kita di pelbagai peringkat dan kelompok tergamam apabila terserempak dengan cabaran.

Itulah yang nampaknya berlaku apabila dimaklumkan dan disedarkan mengenai fitnah dan penghinaan terhadap negara kita oleh politikus bermulut laser dari seberang Selat Teberau bernama Lee Kuan Yew.

Pada 15 September, ketika berucap dan berdialog di dalam sebuah persidangan di negara beliau, Menteri Mentor republik pulau itu telah membuat kenyataan berikut:-

1. Singapura memerlukan sebuah kerajaan yang cerdik dan mahir yang boleh mengatakan “tidak” kepada negara-negara jiran secara diam-diam dan bersopan santun agar tidak menimbulkan kemarahan mereka sehingga melakukan sesuatu yang “bodoh” (silly);

2. Jiran Singapura iaitu Malaysia dan Indonesia kedua-duanya mempunyai masalah dengan penduduk keturunan Cina mereka. Orang Cina Malaysia dan Indonesia berjaya. Mereka bekerja kuat dan sebab itu dipinggirkan secara sistematik;

3. Indonesia dan Malaysia mahu Singapura yang majoriti penduduknya Cina jadi seperti Cina mereka iaitu mengikut telunjuk;

4. Adalah penting bagi Singapura, sebagai negara majoriti rakyatnya berketurunan Cina, untuk berdepan dengan negara-negara yang lebih besar yang majoriti rakyatnya beragama Islam; dan

5. Singapura akan musnah jika pembangkang menang.

Daripada laporan agensi berita antarabangsa, jelas bahawa Kuan Yew memburuk-burukkan Malaysia dan Indonesia bagi mempertahankan dasar tidak liberal Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura.

Dalam percubaan mempertahankan pemerintahan kuku besinya, Kuan Yew secara kurang ajar membuat kenyataan yang menghasut orang Cina Malaysia dan Indonesia.

Kalau di Singapura, sesiapa sahaja yang membuat kenyataan sedemikian sudah pasti dibicarakan dan kemungkinan besar disumbat ke dalam penjara.

Malangnya bagi kepemimpinan kita, ia mengambil masa hampir seminggu untuk memberi reaksi, itu pun sekadar menyifatkan perbuatan Kuan Yew sebagai “nakal”.

Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada 21 September yang disokong pada 23 September oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekembalinya dari luar negara.

Kalau Kuan Yew kanak-kanak berusia lima atau enam tahun, saya setuju perbuatannya disifatkan sebagai “nakal”. Tetapi Kuan Yew berusia 83, menjadi Perdana Menteri selama 25 tahun dan kini, sebagai Menteri Mentor, berupa kuasa pemutus di Singapura.

Perbuatannya memfitnah Malaysia dan Indonesia dan menghasut penduduk keturunan Cina di kedua-dua buah negara adalah lebih buruk daripada buruk dan lebih jahat daripada jahat. Ia adalah perbuatan dengki.

Bagi kenyataan yang begitu jelas dan terang maksudnya, Malaysia, sebagai negara berdaulat, tidak perlu berdolak-dalik atau memberi peluang kedua kepada Kuan Yew.

Kerajaan kita hanya perlu menghantar nota bantahan dan menuntut agar Kuan Yew atau Kerajaan Singapura memohon maaf. Tidak perlu surat-menyurat, apatah lagi daripada Perdana Menteri kita kepada Kuan Yew yang berkedudukan lebih rendah.

Secara langsung Kuan Yew menggambarkan rakyat jelata Malaysia keturunan Cina sebagai daif, tidak berdaya, mengikut telunjuk dan terpinggir.

Orang Cina Malaysia tidak terpinggir dan tidak mengikut telunjuk. Tetapi seandainya mereka terpinggir dan mengikut telunjuk, apa halnya dengan orang Cina Singapura? Atau orang Melayu dan India Singapura?

Orang Melayu, Cina, Iban, Kadazan dan India Malaysia bebas berpolitik. Mereka ada parti politik sendiri yang menganggotai kerajaan dan yang menjadi pembangkang.

Benar orang Cina Malaysia adalah kaum minoriti. Tetapi peratusan mereka lebih besar (26 peratus) daripada peratusan orang Melayu Singapura (14 peratus).

Orang Cina Malaysia mempunyai parti politik mereka sendiri.

Apakah orang Melayu Singapura mempunyai parti politik mereka sendiri?

Di Singapura, bukan sahaja orang Melayu tidak mempunyai parti politik mereka sendiri, malah kaum majoriti Cina pun sukar menubuhkan parti politik yang berdaya maju kerana misi kerajaan PAP Singapura adalah menghapuskan pembangkang.

Jadi saya rasa tidak perlulah kerajaan kita membazirkan wang rakyat membeli dakwat, kertas dan setem untuk menghantar surat kepada Lee Kuan Yew.

Lebih baik kalau kita membina sebuah pemerintahan yang lebih cerdik dan lebih mahir supaya kita boleh berkata “tidak” kepada jiran-jiran kita jikalau kedaulatan, maruah dan kepentingan kita terancam.

Friday, September 22, 2006

Etong dan Ekeau Politik Moden

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan “anonymous” tidak akan dilayan. Penting! Bagi memastikan laman ini "current" dan tidak tersangkut (hang), sila klik "refresh" dari semasa ke semasa.]

TERIMA kasih kerana menyertai perbincangan kita mengenai kecenderungan sesetengah pemimpin, khasnya dalam Umno dan Barisan Nasional, bercakap hal-hal remeh-temeh, lucu dan tidak masuk akal.

Sebelum kita bercakap lebih panjang mengenainya, saya ingin mengambil maklum jawapan balas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, terhadap fitnah dan hasutan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengenai kedudukan orang keturunan Cina di Malaysia dan Indonesia.

Buat seketika saya bimbang tiada siapa di kalangan pemimpin kita akan bertindak balas terhadap perbuatan jahat Lee Kuan Yew menuduh Malaysia dan Indonesia “meminggirkan rakyat keturunan Cina secara sistematik.”

Saya tidak akan mengucapkan terima kasih atau tahniah kepada Najib kerana mempertahankan kedaulatan dan maruah negara adalah kewajipan. Najib sekadar memenuhi syarat itu sebagai pemimpin yang kita pilih.

Kembali kepada kecenderungan sesetengah orang berkedudukan pemimpin mengeluarkan kenyataan dan hujah yang menghina minda kita, apa yang diperhatikan adalah perbuatan mereka mendapat liputan yang luas dan utama daripada akhbar, televisyen dan radio.

Malah seolah-olah sudah menjadi dasar dan amalan media massa arus perdana pada akhir-akhir ini memberi ruang yang luas dan menonjol kepada kenyataan dan tindakan yang luar biasa ini.

Ada beberapa kemungkinan mengapa berita-berita remeh-temeh, lucu dan aneh ini diutamakan. Antaranya adalah:-

1. Ia selari selera semasa yang dikatakan lebih mirip kepada berita dan bahan sensasi;

2. Media massa, dengan kepemimpinan dan pemilikan baru, semakin tertekan untuk melaksanakan fungsi perniagaan sehingga terpaksa mengorbankan fungsi asal media massa iaitu memaklum, mendidik dan menghibur. Hari ini aspek menghibur menjadi begitu utama;

3. Kepemimpinan baru media massa lebih mirip kepada unsur-unsur sensasi dan remeh-temeh kerana mereka tidak terlatih di dalam pemberitaan serius, beranalisis dan kritikal;

4. Lebih mudah dan selamat menyiarkan hal-hal remeh–temeh, lucu dan sensasi daripada berita-berita serius, beranalisis dan kritikal;

5. Pihak-pihak yang menguasai media massa sendiri lebih suka jika berita-berita remeh-temeh, lucu dan sensasi diutamakan kerana berita-berita sedemikian tidak mempunyai implikasi yang serius atau rumit untuk ditangani; dan

6. Berita, ulasan dan analisis mengenai isu-isu serius boleh mencetuskan pelbagai implikasi yang mungkin sukar untuk ditangani oleh pihak-pihak yang terbabit, khasnya pemerintah.

Seperkara lagi, adalah kebiasaan bagi wartawan memilih isu atau soalan yang sesuai untuk dikemukakan kepada pemimpin tertentu berasaskan pengalaman mereka membuat liputan aktiviti pemimpin itu.

Misalnya, mereka tidak akan bertanya soalan-soalan rumit yang memerlukan jawapan yang terperinci kepada seseorang yang diketahui tidak mampu menjawab soalan-soalan sedemikian.

Jadi, kepada sumber berita seperti itu mereka akan bertanya soalan-soalan yang mudah dan umum. Misalnya mengenai kemalangan jalan raya.

Kepada sumber sedemikian mereka tidak akan bertanya soalan-soalan yang sukar, seperti apa falsafah penyertaan tentera kita dalam Pasukan Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon – adakah untuk melindungi Lebanon daripada dicerobohi Israel atau menyekat Hisbullah daripada memperjuangkan hak rakyat Palestin?

Atau mengenai mengapa prestasi ekonomi dan Bursa Saham Malaysia mengecewakan berbanding China, India, Pakistan, Indonesia dan Negeri Thai?

(Antara 30 Disember tahun lalu hingga 6 September tahun ini, Bursa Malaysia meningkat hanya 6.3 peratus berbanding China 44 peratus, Hong Kong 16 peratus, India 27 peratus, Indonesia 26.7 peratus, Filipina 14.3 peratus dan Singapura 7.6 peratus.)

Kita tidak boleh salahkan wartawan semata-mata jika mereka bertanya dan melaporkan perkara-perkara remeh-temeh, lucu, dangkal, nakal dan tidak masuk akal.

Mereka perlu menghasilkan berita. Tiada guna mereka bertanya soalan-soalan yang cerdik, bernas dan intelektual jika orang yang ditanya tidak mampu menjawabnya.

Daripada pulang dengan tangan kosong dan dimarahi Pengarang Berita (News Editor) adalah lebih baik dan selamat pulang dengan berita remeh-temeh, lucu dan luar biasa (bizarre).

Melihat aliran atau trend pemberitaan media massa hari ini, timbul tanda tanya apakah penyiaran berita-berita remeh-temeh, lucu dan luar biasa ini disengajakan atas sebab-sebab tertentu?

Antaranya supaya tidak timbul tekanan ke atas pemimpin tertentu untuk membuat kenyataan yang serius dan bernas kerana mereka memang tidak mempunyai kemampuan intelektual untuk berbuat demikian atau kerana penasihat-penasihat muda remaja mereka tidak mahu mereka bercakap perkara-perkara yang boleh mencetus masalah atau kontroversi.

Jadi salah satu cara yang mudah dan selamat ialah dengan melaksanakan proses merendahkan tahap pemikiran dan minda supaya ketidakmampuan pemimpin-pemimpin berkenaan tidak menjadi begitu ketara.

Kesimpulan ini mungkin terlalu sinis dan menghina untuk diterima umum tetapi ia pernah berlaku sebelum ini kepada seorang bekas anggota Kabinet yang kenyataannya menjadi bahan jenaka di kalangan wartawan.

Dia gemar mengumumkan peruntukan segara “berjota-jota ringgit” yang sebenarnya tidak wujud. Bukan tujuannya berdusta, tetapi itu stail beliau apabila berucap kepada orang ramai, khasnya di luar bandar.

“Jota-jota” menjadi “trademark” beliau dan wartawan menggemarinya kerana itulah maklumat yang paling selamat yang boleh mereka harapkan daripada beliau.

Namun berita-berita remeh-temeh, lucu dan luar biasa seperti cadangan menukar simbol Umno kerana dikatakan tidak serasi, menjadikan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri pelantikan sampai mati dan menyamakan sikap seseorang yang kritikal dengan iblis, beruk dan kera tidak boleh dipandang ringan.

Adalah dikhuatiri bahawa hujah-hujah sebegini mungkin mencerminkan kemuflisan idea dan kedangkalan pemikiran kelas pemerintah kita yang tentunya sangat berbahaya bagi negara dan rakyat jelata.

Justeru itu, marilah kita berdoa dan berusaha agar kenyataan remeh-temeh, lucu dan dangkal ini tidak lebih daripada percubaan untuk menghibur hati yang lara – comic break – akibat isu-isu yang lebih rumit yang masih belum terurai seperti ekonomi, guna tenaga (employment), inflasi, jenayah dan sebagainya.

Dalam persembahan wayang kulit di Utara Semenanjung Malaysia ketika saya kanak-kanak dulu, dua watak akan muncul untuk meleraikan suasana genting dengan cerita-cerita lucu, jenaka dan peran. Mereka adalah Etong dan Ekeau.

Mereka pasti membuatkan kita ketawa sehingga terlupa duka nestapa walaupun untuk seketika. Nampaknya, dalam dunia moden dan canggih hari ini pun, arena politik kita masih memberi tempat dan pangkat kepada Etong dan Ekeau.

Friday, September 15, 2006

Keris, Jawatan Seumur Hidup dan Mat Rempit

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan “anonymous” tidak akan dilayan. Penting! Bagi memastikan laman ini "current" dan tidak tersangkut (hang), sila klik "refresh" dari semasa ke semasa.]

[UPDATE, 17 September]

MOHON PERSEFAHAMAN

Saya mohon maaf kepada pelawat dan pembahas. Saya rasa tidak bijak kita menggunakan laman ini sebagai gelanggang untuk berkempen menaik atau menjatuhkan sesiapa.

Saya boleh membenarkan perbahasan mengenai buruk baik seseorang pemimpin, sama ada yang sedang berkuasa, yang mencuba mendapatkan kuasa atau yang sudah melepaskan kuasa.

Itu pun biarlah dengan sopan santun, tanpa caci, dusta dan nista, tanpa tuduhan yang tidak berasas, tanpa hasutan dan fitnah.

Justeru itu, saya telah dan akan terus tidak menyiarkan komen-komen yang menggesa agar seseorang pemimpin berhenti atau dijatuhkan. Atau menggesa agar yang telah bersara kembali cergas.

Apabila saya memulakan blog ini pada awal tahun, falsafah dan matlamatnya adalah bagi berkongsi pendapat dan pandangan melalui medium elektronik ini setelah tulisan-tulisan saya tidak lagi dianggap “politically correct” oleh media massa arus perdana yang duhulunya, sekali sekala, menyiarkan karya-karya saya.

Saya juga terpaksa memikirkan kebajikan bolg ini dan, sedikit sebanyak, kebajikan diri saya kerana blog ini adalah personal undertaking saya. Saya dan saya seorang bertanggungjawab terhadapnya.

Hakikat bahawa saya dicaci cerca, dilemparkan pelbagai tuduhan oleh blog-blog yang ditaja oleh penembak-penembak curi (meminjam ungkapan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor) boleh saya terima.

Tetapi saya perlu memastikan agar blog ini tidak menderita tindakan -- sama ada yang terbuka (overt) atau rahsia (covert), yang berbentuk tekanan, ancaman, intimidasi atau undang-undang.

Akhir kalam, saya memohon kerjasama dan simpati Saudari dan Saudara sekalian. Selamat berbahas dan terima kasih.

[Posting Asal]

SITI Nurhaliza dan Datuk Khalid Jiwa selamat diijabkabulkan menjadi isteri dan suami. Mawi dan Ina sudah sah memutuskan pertunangan. Akademi Fantasia tidak akan bermula sehingga awal tahun hadapan.

Stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta berlumba-lumba memperbaiki penarafan (rating) dengan berlumba-lumba mengadakan siaran langsung pernikahan dan persandingan bergemerlapan Datuk K dengan Datin Siti dan kisah suka duka, cinta lara Mawi dengan Ina.

Maka gembiralah rakyat jelata Malaysia yang memilih untuk menonton pernikahan dan persandingan Datuk K dengan Datin Siti.

Manakala yang memilih untuk menonton tragedi (dipopularkan menjadi komedi) percintaan dan perpisahan Ina dan Mawi banyaklah yang menitiskan air mata.

Maka buat seketika lupalah mereka akan masalah negara dan keluarga, masalah rasmi dan peribadi. Yang bergembira kerana Siti dan Datuk K sudah menjadi isteri dan suami lupa seketika mengenai kenaikan harga, kekurangan kerja, keputusan bekalan gula dan penjenayah yang bermaharajalela.

Yang berdukacita dan meratap hiba kerana kehancuran cinta pari-pari (fairy tales) dua remaja Rancangan Felda juga lupa seketika kenaikan harga, kekurangan kerja, keputusan bekalan gula dan penjenayah yang bermaharajalela.

Mudahnya dunia Malaysia. Lebih mudah lagi dunia Melayu. Mudah dibuai-lalaikan. Mudah dipukau dengan serapah dan jampi. Mudah diperkotak-katikkan. Mudah disogok dan diberi rasuah. Mudah lupa budi dan jasa.

Maka lupalah mereka kepada penggadaian maruah bangsa. Jambatan dibatalkan kerana takut disaman dan didakwa oleh Singapura.

Pelaburan ratusan juta ringgit dijual murah kerana ada penasihat yang diupah berkata ia akan membawa padah. Kerugian ratusan juta ringgit ditanggung kerana kononnya itulah nasihat, itulah firasat. Disingkatkan cerita itulah kisah Proton dan MV Agusta.

Tetapi wang rakyat jelata digunakan pula bila Khazanah dikerah membeli semula Pantai Holdings yang, kerana lalai dan alpa pihak berkuasa, terjatuh ke tangan Singapura.

Maka tidak hairanlah kalau orang yang bergelar pemimpin gemar membuat kenyataan yang bukan-bukan, yang dangkal dan tidak masuk akal. Yang berguna hanya sebagai bahan ketawa.

Gantikan keris dengan wang sebagai simbol Umno, kata mamanda Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob, kerana bersimbolkan keris Umno sering bercakaran.

Seolah-olah tidak mahu ketinggalan dalam proses membodohkan (dumbing down) minda ini, mamanda Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim mencadangkan agar jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dijadikan jawatan seumur hidup.

Kenapa harus ada cadangan dangkal sebegini? Kerana orang seperti Shahidan, yang terkenal dengan keberanian membaling batu, takut apabila dia tidak berkuasa lagi orang akan membaling batu ke arahnya.

Dan terima kasih kepada media massa arus perdana yang semakin hari semakin sensasi, proses membodohkan pemikiran ini menjadi hidangan utama.

Mungkin juga apabila ditanya soalan-soalan yang bernas para mamanda Menteri tidak dapat membalas. Maka ditanyakanlah soalan-soalan yang biasa supaya mudah dijawab sesedap rasa.

Malangnya, pemikiran dangkal kelompok ini memaksa pemimpin yang lebih cerdik dan berwibawa – seperti Mohd Najib Abdul Razak dan Rais Yatim --- turut menjadi bodoh kerana dipaksa mengulas dan memberi tindakan kepada kebodohan ini.

Keris terhunus atau tersarung bukan punca pertelagahan Umno dan tukar ganti Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri bukan punca krisis kepemimpinan.

Punca Umno bergaduh, bertelagah dan berkrisis adalah kerana mereka yang dilantik dan dipilih menjadi pemimpin tidak memimpin dengan semangat juang, dengan kesopanan dan akhlak, dengan budi dan iman dan kewarasan serta kebijaksanaan.

Dan kepada Putera Umno, Mat Rempit mungkin berupa ubat pahit yang pertama buat mereka. Inilah masalah Umno hari ini – tergesa-gesa bertindak tetapi lambat dan lembap mendalami dan memahami isu semasa.

Mat Rempit tidak akan menjadi Mat Rempit kalau tidak berlumba haram pada tengah malam di tengah-tengah bandar. Kalau mereka menunggang secara menurut peraturan atau berlumba di litar sah, mereka tidaklah lagi menjadi Mat Rempit.

Mereka tidak berminat berlumba secara sah di Litar F1 Sepang kerana mereka tidak berhasrat menjadi pengganti kepada Valentino Rossi, Loris Capirossi atau Nicky Hayden.

Mereka bangga, lega dan selesa menjadi Mat Rempit dan Minah Rempit yang berlumba haram.

Aduhai bangsa yang malang, setiap yang buruk dan daif dikaitkan denganmu. Pelumba haram dipanggil Mat Rempit dan pekerja bawahan dipanggil Mat Spana dan Minah Karan.

Akhir kalam, izinkan saya memetik hujah cucu saudara pengasas Umno Allahyarham Onn Jaafar, Mohamed Abid, mengenai bendera Umno yang menjadi objek kritikan Adnan Yaakob. Katanya:

“Banyak orang, termasuk pemimpin Umno hari ini, tidak tahu sejarah dan asal usul bendera Umno.”

Demikian adanya.

Sunday, September 10, 2006

Peluang dan Cabaran Kekalahan Dr Mahathir

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan.Penting! Bagi memastikan laman ini "current", sila klik "refresh" dari semasa ke semasa.]

SEORANG wartawan muda keturunan Cina bertanya apakah kegagalan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi wakil Umno Kubang Pasu ke persidangan agung parti di Kuala Lumpur November ini menandakan berakhirnya perjuangan politik beliau?

Pertanyaan beliau menarik kerana dia masih setahun jagung dalam kerjaya kewartawanan dan pastinya tidak begitu mengenali Dr Mahathir.

Tetapi pasti ada di kalangan orang Umno sendiri yang ingin tahu jawapan kepada soalan yang sama kerana sesetengah daripada mereka tidak pernah mengenali siapa Dr Mahathir yang sebenarnya manakala yang lain mahukan kepastian.

Dr Mahathir belum membuat sebarang kenyataan mengenai kekalahannya tetapi adalah amat memeranjatkan jika beliau berkata beliau akan berhenti bersuara.

Sebaliknya, bagi sesiapa pun yang mengenali Dr Mahathir dan mengikuti jatuh bangun perjuangannya, kekalahan di Kubang Pasu semalam (9 September) mungkin berupa peristiwa yang melegakan.

Dengan menafikan beliau platform parti, perwakilan Kubang Pasu seolah-olah memberi isyarat bahawa mereka tidak lagi mahu mendengar suara beliau dan beliau bolehlah membawa mesej beliau ke tempat lain.

Walaupun ini dibuat oleh sebuah bahagian, namun ia tetap penting kerana pelbagai percubaan dan kempen yang membabitkan kepemimpinan pusat Umno telah dilakukan untuk menggagalkan percubaan beliau.

Mengharapkan Dr Mahathir berhenti bercakap samalah dengan mengharapkan matahari tidak terbit di waktu pagi kerana kita mahu terus tidur lena atau tidak terbenam pada waktu senja kerana kita mahu terus bermain bola.

Malah apa yang terjadi semalam berupa pembebasan – liberation -- bagi bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno itu daripada segala bentuk ikatan dengan partinya.

Dr Mahathir bertanding kerana menghormati Umno. Dia membuat keputusan saat akhir bertanding kerana terdapat gesaan dan saranan agar beliau menggunakan saluran parti untuk bersuara.

Tetapi sekarang, setelah percubaan beliau ditolak oleh perwakilan Kubang Pasu, maka beliau bebas bercakap mengenai apa sahaja dan di mana sahaja yang beliau suka atau di mana pandangan beliau dihargai.

Percubaan pasti terus dibuat untuk menyekat dan menyukarkan kebebasan beliau bersuara. Kempen akan diteruskan untuk mencemarkan imej dan kewibawaan beliau kerana Umno tahu bahawa masih banyak orang mahu mendengar suara beliau.

Di pihak lain pula, apa yang berlaku di Kubang Pasu boleh dijadikan satu lagi persimpangan oleh Umno untuk mencari laluan baru menyelesaikan perbezaan pendapat di antara Dr Mahathir dan Kerajaan. Itu pun kalau Umno berasa Dr Mahathir masih relevan.

Kepada wartawan muda akhbar Oriental Daily, suatu perkara yang beliau perlu tahu ialah keagungan atau “personal glory” tidak pernah penting bagi Dr Mahathir. Yang penting adalah perjuangan.

Dan mungkin banyak daripada isu yang beliau perjuangkan dikongsi oleh banyak orang.

Tuesday, September 05, 2006

Mahathir, Terbakar Tidak Menjadi Debu

A Kadir Jasin

[Ulasan menggunakan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

[Update, 9 September]

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terpilih sebagai salah seorang wakil biasa (G7) Umno Kubang Pasu ke Persidangan Agung Umno di Kuala Lumpur November ini. Beliau menduduki tempat ke sembilan.

[Update, 8 September]

MENJELANG Mesyuarat Agung Tahunan bahagian Kubang Pasu esok yang akan menyaksikan percubaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perwakilan biasa ke Mesyuarat Agung Umno di Kuala Lumpur November ini, dua perkembangan menarik telah berlaku.

Pertama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di Bangi pada 7 September bahawa Umno tidak menghalang bekas Presidennya menjadi anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung parti itu November ini.

Utusan Malaysia memetik Timbalan Perdana Menteri itu sebagai berkata tiada sebarang usaha menyekat Dr. Mahathir menjadi perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu.

‘‘Kami (UMNO) tidak ada cubaan untuk menyekat beliau. Beliau bebas untuk menjadi anggota perwakilan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pasukan Askar Wataniah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri ditanya pendirian UMNO berhubung tindakan Dr. Mahathir untuk menjadi perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung parti itu dari 13 hingga 17 November ini.

Kedua, akhbar yang sama melaporkan dari Jitra yang Umno Bahagian Kubang Pasu, pada 7 September, membuat rayuan terakhir kepada Dr. Mahathir supaya menarik diri daripada bertanding merebut satu daripada kerusi perwakilan bahagian itu.

Ketuanya, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, sepucuk surat telah dihantarkan kepada Dr Mahathir memohon agar beliau memikirkan semula keputusan untuk bertanding.

“Ini rayuan terakhir sebelum persidangan perwakilan Sabtu ini. Dengan rendah hati saya merayu kepada Tun,” katanya yang sekali sekala sebak ketika mengadakan sidang akhbar di pejabat UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini.

[Posting Asal]

USAHA kepemimpinan Umno, termasuk Majlis Tertinggi, menyekat atau, setidak-tidaknya, menyukarkan percubaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perwakilan biasa ke Mesyuarat Agung Tahunan Umno di Kuala Lumpur November ini tidak memeranjatkan langsung.

Yang pasti memeranjatkan adalah jika usaha sedemikian tidak dilakukan kerana walaupun kepemimpinan Umno dan Kerajaan sekarang menguar-uarkan komitmen kepada ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan, namun ia nampaknya keberatan untuk menghadapi sebarang bentuk pengauditan.

Malah terdapat tanda-tanda ia mirip kepada kawalan dan pemusatan kuasa, khasnya kuasa politik dan propaganda.

Jadi apa yang Dr Mahathir lakukan, bermula dengan kritikan terhadap pembatalan projek jambatan bengkok, penjualan MV Agusta dan pengagihan permit import kenderaan bermotor (AP), mencabar prinsip kawalan ini.

Pada pandangan saya, Dr Mahathir menyedari keadaan ini dan, dengan cara beliau sendiri, mengambil kesempatan daripada suasana kelam kabut dan bercelaru itu.

Pada mulanya Dr Mahathir tidak berasa perlu untuk menyimpang daripada aliran perdana kerana kegiatan dan hujah beliau diberi pendedahan yang sewajarnya oleh majoriti media massa arus perdana.

Tetapi ia tidak kekal lama. Menyedari bahawa hujah-hujah Dr Mahathir mula mempengaruhi pendapat umum, Kerajaan, khasnya para perancang dan pelaksana komunikasi Pejabat Perdana Menteri, mula mengenakan tekanan ke atas pengarang dan pengawal berita agar tidak lagi memberi ruang kepada Dr Mahathir.

Arahan itu, pada mulanya, dipatuhi oleh majoriti media massa arus perdana, khasnya yang dimiliki oleh Kerajaan dan Umno. Tetapi kesepakatan mereka terlerai apabila Dr Mahathir memperhebatkan kritikannya yang mendapat liputan luas daripada media massa asing dan laman-laman berita Internet tempatan.

Media massa arus perdana mendapati mereka tersepit di antara politik dan profesionalisme yang menyebabkan kewibawaan mereka tercabar. Hendak tidak hendak, antara takutkan tuan-tuan muda di Tingkat Empat Kompleks Perdana Menteri dan pemberontakan pembaca, mereka kembali melaporkan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir tetapi dengan satu ‘twist’ iaitu mereka memutarbelitkan hujah-hujah beliau.

Ini memaksa Dr Mahathir mengubah strategi kepada membuat ucapan terbuka. Pilihan utama beliau adalah saluran rasmi atau yang ada kena mengena dengan Umno. Tetapi pintu kepada Umno tiba-tiba ditutup rapat.

Buat beberapa waktu beliau menerima jemputan daripada kelompok-kelompok di luar Umno dan Kerajaan. Sekali lagi percubaan dibuat untuk menggagalkannya. Beliau digambarkan sebagai pembelot parti yang bersekongkol dengan pembangkang.

Ketika semua taktik kasar (crude) ini dilakukan untuk menyekat beliau daripada bersuara, pemimpin-pemimpin tertinggi Umno dan Kerajaan tanpa segan silu berkata Dr Mahathir perlu menggunakan saluran parti jika mahu bersuara.

Mereka sekali lagi terperangkap apabila Dr Mahathir menyahut cabaran mereka dengan menawarkan diri sebagai calon perwakilan biasa Bahagian Kubang Pasu ke persidangan agung parti.

Dengan itu bermulalah kempen saraf yang rapi untuk menghalang pemilihan beliau di mesyuarat agung Bahagian Kubang Pasu pada 9 September ini.

Petikan akhbar Star Selasa, 5 September 2006

Perwakilan bahagian dinasihatkan tidak mengundi beliau kononnya “untuk menjaga maruah Dr Mahathir sebagai bekas presiden Umno.”

Mereka diberitahu bahawa adalah mengaibkan bagi Dr Mahathir dan parti jika bekas presiden itu dipilih sebagai perwakilan biasa. Jadi lebih elok beliau tidak dipilih.

Dr Mahathir menawarkan diri untuk bertanding menjadi perwakilan biasa apabila kebanyakan cawangan Umno Bahagian Kubang Pasu sudah bermesyuarat. Beliau berjaya mendapat 16 pencalonan.

Dalam sidang akhbar di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 4 September, Dr Mahathir berkata beliau tidak hairan jika percubaan saat akhir dibuat untuk menggagalkan pemilihan beliau.

Misalnya, kata bekas Perdana Menteri itu, dengan mengenakan syarat bahawa hanya calon yang memperoleh sekian peratus pencalonan cawangan sahaja boleh bertanding.

Apa pun keputusan pemilihan perwakilan Kubang Pasu Sabtu ini, satu hakikat yang terpaksa diterima ialah Dr Mahathir lebih daripada bersedia untuk terus berjuang.

Saya yakin setiap pemimpin kanan Umno yang ada kemampuan berfikir, mengakui bahawa Dr Mahathir bukan orang yang berprinsip “kalah jadi abu, menang jadi arang” atau boleh diperalatkan oleh sesiapa.

Lihat saja bagaimana beliau memberi kebebasan kepada anggota “Team B” dalam usaha mereka menjatuhkan beliau pada tahun 1987.

Dan bagaimana beliau menyelamatkan Umno pada tahun 1988, menerima kembali watak-watak yang berkerat rotan, berpatah arang dengan beliau, termasuk Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tetapi, antara abu dan arang, banyak tangan akan terbakar, mata pedih terkena asap dan hidung tersumbat terhidu debu.

Saya teringat kepada Persidangan Agung Umno tahun 1983, apabila selama tiga hari berturut-turut, Dr Mahathir diserang dan dikritik dengan hebat.

Banyak pemerhati ketika itu berasa bahawa hari-hari Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sudah terhitung.

Tetapi segala serangan dan kritikan itu tiba sepi apabila, dalam ucapan penggulungannya, beliau berhujah: “Kita dipilih untuk bekerja, jika kita tidak menjalankan kerja kita, kita boleh disingkirkan.”

Dan Dr Mahathir tidak pernah berhenti bekerja.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).