A Kadir Jasin
[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen
saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL
untuk mengulas. Terima kasih.]
KALAU kita dengar dan percaya
kepada perangkaan, sama ada awam atau swasta, ekonomi kita tidaklah seteruk
Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK/GDP) kita tahun ini dianggarkan 5% berbanding AS sebanyak 1.5% dan Zon
Euro dalam 0.3%. Tapi pertumbuhan ekonomi kita lebih rendah daripada China,
India, Indonesia dan banyak lagi negara di rantau ini.
Bukan sahaja pertumbuhan ekonomi
kita tidak lagi sepesat sebelum Krisis Kewangan Asia 1997/98, malah telah
mengalami beberapa krisis kecil selepas itu. Sejak krisis 1997/98, KDNK kita
berkembang di bawah paras 5% sedangkan kita memerlukan pertumbuhan purata 7%
setahun dari awal 1990-an hingga tahun 2020 untuk mencapai taraf negara maju.
Jurang Ekonomi Melebar Semula
Seperti saya nyatakan dalam
ruangan Kunta Kinte Original, Berita Harian 28 Disember bahawa perangkaan menunjukkan
pada 2009, jurang pendapatan antara kaum sudah berbalik kepada yang asal
yakni pada permulaan Dasar Ekonomi Baru atau lebih teruk. Jurang pendapatan bandar
dan luar bandar sudah kembali kepada waktu kita mencapai kemerdekaan pada 1957.
Walaupun jurang pendapatan
bulanan isi rumah Bumiputera dan Cina misalnya, telah menguncup pada1990, tapi ia melebar semula pada 2009.
Pada 1990, bagi setiap RM1
pendapatan Bumiputera, Cina memperoleh RM1.70. Menjelang 2009, jurang ini
meluas menjadi dua kali ganda.
Ambil contoh simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (EPF) pula. Orang Cina menyimpan 2.4 kali lebih banyak daripada
Bumiputera. Orang Cina miliki 5.6 kali lebih banyak bangunan. Pada 2005, hanya
7.4 peratus syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia milik Bumiputera
berbanding 58.6 peratus oleh orang Cina. Jumlah ekuiti Bumiputera hanya 18
peratus berbanding 35.8 peratus oleh orang Cina.
Dalam pasaran buruh pula, pekerja Cina peroleh gaji
purata 1.77 kali lebih tinggi daripada Bumiputera. Ini tidak menghairankan kerana
majoriti Bumiputera bekerja dengan Kerajaan yang lebih rendah gajinya manakala
majoriti Cina bekerja dalam sektor swasta yang dikuasai oleh bukan Bumiputera.
Bumiputera Warga Ekonomi Kelas
Tiga
Kalau diukur mengikut pekali
Gini (Gini coefficient), orang Cina dan India secara purata makin jauh meninggalkan
Bumiputera dari segi pendapatan.
Saya tidak menolak ada orang Cina dan
India miskin, tetapi bilangan mereka jauh lebih kecil daripada Bumiputera.
Dalam konteks ekonomi, Bumiputera sudah menjadi rakyat kelas ketiga selepas orang Cina dan India.
Kerana ekonomi negara kini tidak
berkembang sepesat tempoh DEB Baru dan dasar pembahagian kekayaan melalui
pembasmian kemiskinan serta penyusunan semula masyarakat tidak lagi diamalkan
dengan serius malah sudah diganti dengan keterangkuman dan meritokrasi, maka
kesan lelehan (trickle-down effect) semakin perlahan.
Manifestasi kemunduran ekonomi
Bumiputera ini boleh dilihat di mana-mana saja. Beberapa hari lalu, ketika
bersarapan di sebuah kedai India bukan Islam, saya ternampak sekeluarga India
(yang tentunya kaya) masuk dengan diiringi seorang pengawal keselamatan Melayu
berpakaian seragam biru.
Kasihan pula melihat dia
berdiri terpacak di belakang majikannya sepanjang mereka bersarapan. Tetapi apa nak
buat, itu cara dia mencari rezeki halal dan itulah agaknya yang diperintahkan
oleh majikannya.
Boleh kata semua orang India dan Cina
kaya yang ada pesaing perniagaan dan takut diculik, apatah lagi yang ada musuh akan
mengambil orang Melayu, khususnya bekas anggota Unit Tindakan Khas polis sebagai
pengawal peribadi.
Ada sesetengahnya sampai
berbelas-belas orang. Apabila mereka ke mana-mana, mereka akan bergerak dalam konvoi
tiga atau empat buah kereta. Cermin kereta mereka tentulah gelap gelemat. Kadang-kadang mereka tidak pun ada di dalam kenderaan. Sekadar helah mengelak daripada ancaman.
Kerana Melayu Taat
Alhamdulillah, kerana ramai orang Cina
dan India kaya di negara kita ini dan kerap berlaku keganasan yang melibatkan
mereka maka ramailah bekas anggota polis dan tentera Melayu dapat kerja
jadi pengawal keselamatan.
Lagi-lagilah sekarang apabila jenayah bunuh, culik, peras ugut dan rompakan makin menjadi-jadi. Bukan tauke saja yang ketakutan, sengkeh pun ketakutan juga.
Saya perhatikan tauke Cina
dan India yang saya kenali jarang sekali mengambil orang Cina atau orang India
jadi pengawal peribadi mereka. Ramai orang India jadi pemandu. Lagipun tidak ramai orang Cina yang mahu jadi
pengawal keselamatan – berbahaya dan gaji tidaklah besar mana. Lebih baik
buat kerja lain.
Tetapi orang Melayu dan India yang rendah
pelajaran dan tidak pandai berniaga terpaksalah buat apa saja yang
mereka layak untuk mencari rezeki halal. Itu pun sudah ramai orang Melayu dan India yang
menjadi penjenayah, khasnya bekas tahanan Ordinan Darurat yang dimansuhkan. Dalam hal ini, saya salahkan Kerajaan dan Parlimen yang memansuhkannya.
Tapi dalam jenayah pun, Melayu kalah kepada kaum-kaum lain. Ramai Melayu diambil menjadi
pegawai keselamatan dan pengawal peribadi tauke Cina dan India kerana orang
Melayu taat serta setia hasil pembabitan mereka dalam pasukan bersenjata.
Lagipun, jarang sekali Melayu terbabit dengan jenayah seperti culik dan peras
ugut. Kalau terbabit pun cepat kena tangkap.
Wallahualam, saya pun tidak tahu
sama ada orang Melayu dan Bumiputera seronok atau tidak menjadi warga ekonomi
kelas tiga serta mempertaruhkan nyawa sendiri untuk melindungi nyawa dan kekayaan orang lain.