A Kadir Jasin
[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara
dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk
mengulas. Terima kasih.]
BERIKUT adalah pesanan ringkas
(SMS) daripada seorang muda yang saya kenal sejak hampir sedekad hasil
mempengerusikan sidang memperingati Dasar Pandang Ke Timur yang menampilkan
(Tun) Dr Mahathir Mohamad dan Profesor di Raja Ungku Abdul Aziz.
“Salam tok, sy rasa seronok dpt
belanja dato tempohari dan kembali ikuti the scribe walaupun ‘geram’ dengan
tulisan dato sejak setahun lepas tapi buku dato tetap saya beli cuma ‘tak
baca’. Sejak pertemuan kita temphari saya kemabli membaca dan mengikuti. Hatta.”
Memang benar, baru-baru ini,
dalam perjalanan mencari benih ikan, saya berhenti makan tengah hari di Batang
Kali dengan Hatta. Dia bawa anak saudaranya kerana remaja itu tidak percaya
bapa saudaranya kenal saya. Hatta belanja saya makan di restoran Melayu yang
terkenal di pekan itu.
Hatta adalah aktivis muda Umno
yang kembali selesa dengan partinya selepas diambil alih oleh Mohd Najib Abdul
Razak. Kerana itulah dia kurang selesa dengan tulisan saya yang pada
pandangannya terlalu kritikal terhadap kepemimpinan Umno dan kerajaan.
Kata Hatta, dia positif terhadap
harapan Barisan Nasional menawan semula Selangor. Dia orang Selangor tinggal di
Serendah.
Berkenaan tanggapan beliau
bahawa saya kritikal terhadap kepemimpinan Umno dan negara, itu adalah pandangan
beliau. Beliau berhak terhadap pendapatnya dan saya berhak terhadap penilaian
saya ke atas Umno, sebuah pertubuhan yang kenali sejak budak-budak lagi.
Orang Tak Benci Kepada Umno
Sebenarnya, orang Melayu khasnya
dan rakyat Malaysia amnya, tidaklah terlalu benci kepada Umno. Orang Melayu
yang sedar dan rasional, mengakui bahawa Umno banyak menyumbang kepada orang
Melayu, negara dan agama Islam manakala orang bukan Melayu tumpang berteduh dan
makmur di bawah pimpinan Umno.
Cuma, banyak orang Melayu, khasnya
generasi tua dan generasi muda terkilan dengan kepemimpinan Umno yang dilihat
sebagai tidak cukup Melayu dan terlalu mementingkan diri sendiri atau kelompok
masing-masing.
Generasi tua yang sudah
“bersara” dan tidak dipedulikan lagi oleh kepemimpinan Umno berasa Umno bukan
lagi perjuangan yang mereka kenali. Malah mereka sangsi kalau perjuangan masih
menjadi wadah Umno.
Mereka berasa kepemimpinan Umno
telah terpesong daripada perjuangan asal – untuk agama, bangsa dan negara.
Mereka melihat kepemimpinan atasan Umno sebagai terlalu tunduk kepada tuntutan
dan asakan pihak-pihak di luar Umno dan orang bukan Melayu.
Generasi muda pula melihat
kepemimpinan Umno sebagai elitis, mabuk kuasa, korup dan tidak telus.
Yang nampaknya terus taasub dan
terasuk dengan kepemimpinan Umno adalah generasi pertengahan yang masih relevan
dalam minda dan tindakan Umno. Mereka ini masih boleh dibawa berunding dan sesetengahnya terus mendapat faedah
ekonomi daripada keakraban mereka dengan kepemimpinan Umno. Mungkin Hatta dalam
kelompok itu.
Punca Tanggapan Negatif
Tanggapan yang negatif terhadap
kepemimpinan Umno tidak dapat dinafikan. Malah, dalam hal-hal tertentu, amat
teruk.
Salah satu yang nampak jelas
kepada umum ialah campur tangan ahli keluarga dalam politik dan pentadbiran
serta sistem pewarisan dari satu generasi ke satu generasi.
Tetapi hal ini tidak terhad
kepada Umno sahaja. Ia berlaku dalam semua parti politik utama di negara kita
dan di dunia, di mana pembabitan cergas bapa, ibu dan anak dalam politik sudah
menjadi kebiasaan.
Ini mengingatkan saya kepada
temu ramah saya dengan Tsutomu Hata, reformis Liberal Democratic Party (LDP)
Jepun sebelum parti itu ditumbangkan dalam pilihan raya umum 1993 setelah
memerintah selama lebih 50 tahun.
LDP adalah parti tertua yang
ditubuhkan pada tahun 1955 bagi “mendemokrasikan” Jepun selepas Perang Dunia Kedua. Ia menjuarai pemecahan kuasa
golongan feudal dan “merakyatjelatakan”
pemerintahan Jepun. Ia mempelopori pembangunan semula Jepun sehingga
menjadi kuasa industri global.
Tetapi, menjelang tahun 1990an,
LDP menjadi berat di atas (top heavy), feudalistik dan korup. Kepemimpinannya
terpisah dari rakyat biasa, khasnya pekerja dan generasi muda.
Bencana Politik Wang
Salah satu punca feudalisme dan
keterpisahan LDP ialah proses pemilihan dan pewarisan jawatan parti di mana
kebanyakan jawatan diperturunkan dari generasi ke generasi. Menjelang tahun
1990an, majoriti ketua bahagian dan Ahli Parlimen LDP adalah dari generasi
ketiga.
Kawasan pilihan raya dan kerusi
Parlimen diperturunkan dari datuk kepada ayah dan ayah kepada anak. Politik
wang menjadi amalan. Untuk menguruskan sebuah bahagian, ketuanya memerlukan
hingga AS$2 juta (kira-kira RM6.4 juta) setahun.
Bagi mengisi tabung, mereka
bersekongkol dengan pemodal dan usahawan, khasnya pemaju hartanah dan
kontraktor. Banyak juga yang secara sedar atau tidak terlibat dengan Yakuza
iaitu sindiket jenayah Jepun.
Saya menulis mengenai temu bual
dengan Hata itu dalam akhbar New Straits Times. Hata menjadi Perdana Menteri Jepun
selama sembilan minggu pada tahun 1994.
Hari ini, orang tidak lagi
terlalu taasub kepada parti. Hatta parti raksasa seperti Parti Komunis China
yang memonopoli kuasa pun telah secara terbuka mengakui bahawa rasuah,
penyalahgunaan kuasa dan elitisme akan menyebabkan rakyat jelata hilang
keyakinan.
Jadi, kalau Hatta begitu kasih
dan sayangkan Umno (taasub dan terasuk, kata seorang pensyarah kewartawanan),
dia kenalah meyakinkan kepemimpinan partinya agar membuat perubahan besar
membersihkan Umno daripada unsur-unsur yang merosakkan.
Dan, pada pilihan raya umum akan
datang, bukan sekadar meletakkan calon “winnable” (boleh memang), tetapi lebih
daripada itu, calon yang boleh menyatupadukan semula orang Melayu dalam satu
pertubuhan kebangsaan yang utuh. Wallahualam.
Bagi saya, sebagai penulis, saya
berpegang kepada falsafah “published and be damned” - saya akan terus menulis,
insya-Allah, dan saya bersedia dikutuk.