Monday, December 30, 2019

Ambil Alih GLC: Niat dan Cara Wajib Bersih

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Ladang Felda: penyusunan semula FGV wajib telus dan lengkap

RENCANA ini saya padankan daripada tulisan saya dalam edisi Ahad Sinar Harian 29 Disember dengan memasukkan beberapa fakta dan hujah baru.

Seperti saya katakan sebelum ini, apa juga usaha menambah baik Felda atau mana-mana juga agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hendaklah selaras dengan dasar dan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Selain Felda, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang telah menjalani proses pemulihan, ada beberapa buah lagi agensi, GLC dan projek kerajaan yang sedang menjalani proses serupa.

Antaranya termasuklah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), lebuh raya bertol dan Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Kemudian ada pula percubaan atau cadangan sukarela oleh pihak swasta untuk mengambil alih GLC yang tidak ditawarkan untuk dijual seperti UEM Sunrise Berhad.

Walaupun jual-beli aset adalah urusan biasa agensi-agensi pelaburan berkaitan kerajaan, namun begitu ia wajiblah dilakukan dengan niat yang baik, cara yang betul dan melibatkan orang yang bersih.

Kita tidak sekali-kali mahu konco-konco Barisan Nasional (BN) yang terlibat rosakkan agensi terbabit menjadi agen komisen (commission agents) dalam urusan menyusun semula agensi yang mereka jahanamkan!

Kita tidak mahu manipulasi era kleptokrasi Datuk Seri Najib Tun Razak berulang. Sebab itu kita pertikai pembabitan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (JAG) dalam cadangan pengambilan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Walaupun kerajaan PH telah peruntukkan RM6.3 bilion untuk mengatasi masalah kewangan Felda namun begitu banyak lagi yang perlu dibuat untuk kembalikan agensi itu kepada keadaan asal setelah dirogol beramai-ramai oleh Najib dan konco-konconya.

Ada beberapa usaha besar sedang dilakukan. Pertama, kembalikan aset strategik Felda yang kerajaan BN pajak kepada FGV pada tahun 2012. Dua aset paling besar yang digadai adalah ladang seluas 350,000 hektar (kira-kira 864,868 ekar) dan 65 buah kilang perahan kelapa sawit.

Kedua, meminta usahawan Indonesia Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh laksanakan “put option” dengan membeli balik 37 peratus saham Eagle High Plantations (EHP) yang dia jual kepada Felda pada harga hampir 100 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran.

Peter Sondakh adalah sahabat karib Najib. Saya difahamkan rundingan ke arah itu sedang berjalan. Hal ini perlu segera diselesaikan kerana Sondakh juga banyak berhutang dengan Bank Pembangunan.

Ketiga, menyusun semula FGV supaya lebih lestari dan mampu membuat keuntungan.

Dokumen dan surat berkaitan pembelian saham EHP oleh Felda saya lihat dengan jelas membabitkan Johari ketika dia menjadi Menteri Kewangan II. Johari masih menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan.

Kurang Ketelusan

Yang jadi masalah dengan cadangan susun semula Felda dan FGV adalah kurangnya butir tentang apa yang hendak dilakukan dengan FGV setelah ladang dan kilang diberi balik kepada Felda.

Kita kena ingat, walaupun ladang dan kilang dibagi balik, pembabitan Felda dengan FGV tidak berakhir malah dijangka menjadi lebih besar.

Ikut apa yang saya tahu setakat ini, pemilikan saham oleh Felda dan Koperasi Pelaburan Felda Berhad (KPF) dalam FGV akan jadi lebih besar setelah FGV diambil alih oleh pelabur swasta dan dirombak.

Sekarang Felda memegang 33.67 peratus saham dalam FGV dan Koperasi Pelaburan Felda (KPF) 5.25 peratus menjadikan jumlah besarnya 38.92 peratus.

Saya difahamkan apabila disusun semula, pegangan Felda dan KPF akan naik kepada 49 peratus. Maksudnya peluang, cabaran dan risiko kepada Felda lebih besar.

Jadi kita hendak tahu apa rancangan pihak swasta untuk pulihkan FGV supaya Felda dan KPF tidak rugi sekali lagi. Yang ini saya minta peneroka Felda dan wakil-wakil mereka faham betul-betul. Jangan main tembak dalam gelap saja.

Baguslah kalau Felda dapat balik ladang dan kilang. Tapi kita nak tahu juga, dapat balik dengan percuma atau kena bayar pampasan. Kalau kena bayar pampasan, jumlahnya mungkin sampai beratus juta ringgit. Mana Felda nak cari duit? Saya harap Felda cari jalan supaya dapat balik dengan percuma.

Kita bukan hendak sekat mana-mana pihak yang banyak duit dan banyak kepakaran untuk buat cadangan ambil alih GLC.

Yang kita tak mahu adalah pihak-pihak terlibat guna kerajaan, agensi awam dan GLC untuk kepentingan korporat masing-masing.

Ikut apa yang saya tahu, apabila FGV diambil alih oleh pelabur swasta, ia akan ditukar jadi syarikat sendirian berhad dan dikeluarkan daripada Bursa Malaysia.

Lepas itu boleh jadi dibuat tawaran awam permulaan (IPO) sekali lagi. Inilah cara orang korporat cari modal dan buat duit cepat.

Kalau FGV untung besar, dividen kepada Felda pun besar tapi kalau rugi, kerugian Felda pun lebih besar juga. Kita kena ingat, Felda telah rugi besar dalam pelaburan dengan FGV setakat ini. Kalau tidak silap, Tabung Haji pun ada saham dalam FGV.

Maaf cakaplah kalau saya kata, dalam masa 50 tahun saya jadi pemberita dan menulis mengenai ekonomi, saya sudah tengok banyak usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera jadi kaya raya dalam sekelip mata kerana kontrak, projek dan konsesi kerajaan.

Saya tengok mereka naik mencanak kerana sokongan kerajaan dan jatuh merudum apabila sokongan ditarik balik atau apabila berlaku krisis ekonomi. Ini adalah kerana mereka bukanlah pandai sangat berniaga, tapi nampak kuat kerana disokong oleh kerajaan.

Malangnya apabila perniagaan mereka jatuh merudum, yang terpaksa tanggung beban adalah kerajaan dan rakyat jelata. Mereka sendiri tetap hidup senang-lenang dengan kekayaan peribadi yang melimpah-ruah.

Wallahuaklam.

Monday, December 23, 2019

Muslihat Di Sebalik Kritikan Johari Terhadap Kerajaan



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Dengan bos: Johari terlibat dalam banyak keputusan Najib
BUAT beberapa waktu, saya menahan diri daripada menulis mengenai watak Umno ini dan tindak-tanduknya walaupun kami telah bertukar-tukar mesej melalui WhatsApp.

Daripada bahas kecil WhatsApp itu, saya sudah memperoleh cukup bahan dan butir untuk melakarkan sesuatu tetapi tidak melakukannya.

Saya mahu memberi ruang kepadanya untuk mengotakan apa yang dia kata walaupun saya sedar bahawa dari awal lagi dia cuba menggula-gulakan saya dengan merendahkan diri, bercakap tentang pengorbanan dan altruisme.

Tetapi apabila dia dilaporkan mengkritik dan menyalahkan kerajaan secara terbuka di media massa, saya terpaksa bertindak.

Watak yang saya maksudkan itu ialah Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bekas Menteri Kewangan II zaman pemerintahan kleptokrasi Mohd Najib Abdul Razak.

Dia kalah pilihan raya umum 2018 kepada Pakatan Harapan tetapi masih menjadi ahli Majlis Tinggi Umno dan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.

Dalam laporan portal berita bebas Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 21 Disember yang memetik akhbar ekonomi The Edge Weekly, Johari, antara lain, menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas tiga perkara yang kononnya menyebabkan ekonomi negara tertekan. (Baca lanjut DI SINI).

Pertama, peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang katanya menyebabkan ketidakpastian dalam pasaran modal.

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berumur 94 tahun, dan orang ramai tidak tahu siapa ketua seterusnya. Orang yang dikatakan Perdana Menteri menanti, Anwar Ibrahim pun tak pasti,” katanya.

Johari berselindung di sebalik alasan pasaran modal untuk memburukkan kerajaan PH supaya dia boleh menangguk di air keruh.

Kita pun tahu banyak pemimpin Umno berangan-angan kembali berkuasa melalui pintu belakang dengan memecahbelahkan PH.

Kedua, Johari mendakwa wujud ketidaktentuan dasar, misalnya mengenai konsesi lebuh raya yang mungkin menyebabkan hutang kerajaan meningkat. Ini, katanya, tidak selari dengan agenda kerajaan mengurangkan hutang.

Soalnya siapakah yang menyebabkan kerajaan berhutang dengan begitu banyak kalau bukan bosnya Najib dan dia sendiri?

Ketiga, proses membuat keputusan yang tidak jelas. Dia dipetik sebagai berkata bahawa maklum balas yang diterimanya daripada masyarakat perniagaan menunjukkan mereka keliru mengenai siapa yang membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan.

“Adakah menteri hal ehwal ekonomi, menteri kewangan, Pejabat Perdana Menteri atau Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)?” tanya Johari.

Johari Vs CEP

Isu ketiga ini mendedahkan tujuan sebenar Johari, iaitu ketidakpuasan hatinya dengan cara kerajaan PH membuat keputusan melalui konsensus.

Boleh jadi Johari tidak selesa dengan proses konsensus kerana di bawah Barisan Nasional (BN) semua kuasa di tangan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Atau (saya ulang, atau) kerana Johari kini dipercayai terlibat dengan beberapa urusan dan percubaan pengambilalihan korporat yang melibatkan syarikat dan agensi berkaitan kerajaan?

Maklumat yang saya peroleh menjurus ke arah meletakkan Johari sebagai pemain belakang tabir yang penting dalam beberapa urusan besar korporat.

Antaranya, penjualan saham Umno dalam Media Prima Berhad, rombakan aset melibatkan Felda dan FGV, tawaran “membeli” UEM Sunrise Berhad dan penyusuan semula pemilikan sebuah hotel mewah di Langkawi.

Dia dikatakan mempunyai peranan besar dalam penyusunan semula perniagaan Media Prima di mana dia bertindak sebagai pakar pemulihan (turnaround expert).

Beberapa orang wartawan Media Prima mengesahkan bahawa ada di kalangan mereka telah dipanggil berbincang dengan Johari mengenai masa depan dan hala tuju kumpulan itu termasuklah pengecilan bilangan kakitangan.

Semua hal yang saya sebut ini sudah pun dibincangkan dengan meluas oleh media ekonomi dan portal-portal berita bebas tetapi kurang dalam media arus perdana, khususnya media bahasa Melayu.

Siapa Johari?

Sepanjang mengenai Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin, tempoh tugasnya hanya 100 hari dan dibubarkan sebaik saja laporan penyiasatannya diserahkan kepada kerajaan tahun lalu.

Tetapi adakah satu kesalahan kalau Perdana Menteri atau kerajaan terus mendapatkan nasihat daripada bekas anggota CEP?

Saya hendak tanya, siapakah Johari berbanding Daim, Robert Kuok Hock Nien, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Profesor Jomo Kwame Sundaram?

Saya tidak ada masalah dengan mana-mana pakar dan pengurus “turnaround” (atau yang mengaku pakar) mempamerkan kehebatan mereka tetapi janganlah perkecilkan kepakaran dan sumbangan orang lain, terutamanya yang berkhidmat secara sukarela.

Saya tidak sekat sesiapa pun mencari nama dan komisen. Cuma tolong beringat-ingat bahawa kerana tamak haloba “commission agents” inilah maka hari ini negara dan rakyat jelata terbeban dengan skandal 1MDB, SRC International, Felda/FGV, Tabung Haji dan banyak lagi.

Maaflah kalau saya kata, saya terbaca nama Johari yang disebut senada dengan Najib dalam laporan audit mengenai paksaan ke atas Felda supaya membeli saham Eagle High Plantations milik Peter Sondakh dengan harga berganda lebih tinggi daripada harga pasaran. (Boleh baca lanjut DISINI).


Saya tidak gembira menulis tentang Johari kerana saya mengenalinya lama dalam kapasitinya sebagai “backroom boy” kepada beberapa orang kenalan dunia korporat, sama ada masih hidup atau telah mati, khususnya dari kumpulan KFC.

Tetapi apabila beliau mengkritik kerajaan secara terbuka saya terpaksa membalasnya.

Wallahuaklam.

Wednesday, December 18, 2019

Kuala Lumpur Summit Platform Dialog Umat Islam


A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.


BANYAK kesilapan tafsiran nampaknya telah berlaku ke atas persidangan “Kuala Lumpur Summit” yang bermula hari ini dan akan dibuka secara rasmi esok sehingga ada pengkritik berkata ia bertujuan menggantikan Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC).

Malah ada laporan media antarabangsa yang mengatakan terdapat negara Islam yang memulaukan persidangan itu dan memaksa negara sekutu mereka untuk menarik diri.

Buat permulaan, sidang kemuncak ini bukanlah persidangan rasmi pelbagai negara tetapi satu dialog pelbagai hala.

Menurut risalah rasmi sidang tersebut, ia adalah platform yang bertujuan mengumpulkan pemimpin negara, pemikir dan cendekiawan Islam dari seluruh dunia bagi mencari penyelesaian terbaik kepada isu dan masalah umat Islam.

Penyelesaian yang diidamkan itu hendaklah berpandukan kefahaman komprehensif mengenai nilai-nilai terbaik dalam masyarakat Islam.

Mulai tahun 2020, persidangan ini akan dikenali sebagai “The Perdana Foundation for Civilisation Dialogue” (Dialog Peradaban Yayasan Perdana).

Matlamat

1.Menjadi peneraju utama dalam membentuk dan mengembalikan tamadun Islam.

2.Mencari dan membincangkan penyelesaian baru dan dinamik serta pelaksanaan terbaik dan relevan dalam menangani permasalahan yang dihadapi dunia Islam.

3.Menjadi penyumbang ke arah peningkatan hal ehwal dalam kalangan umat Islam dan negara.

4.Berfungsi untuk membentuk rangkaian di antara pemimpin, intelektual, ulama dan pemikir Islam seluruh dunia.

Fokus

Platform ini memilih tujuh tema sebagai fokus utama:

1.Pembangunan dan Kedaulatan.

2.Integriti dan Urus tadbir yang baik.

3.Budaya dan Identiti.

4.Kebebasan dan Keadilan.

5.Keamanan, Keselamatan dan Pertahanan.

6.Perdagangan dan Pelaburan.

7.Teknologi dan Dunia Jalur Lebar.

Kepimpinan

Platform ini dipimpin oleh:

Pengerusi
YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad

Timbalan-timbalan Pengerusi

1.YABhg Tun Ahmad Sarji bin Abd Hamid
2.YAM Shaikha Moza bint Nasser
3.TYT Prof Dr. Sheikh Muhammad Al-Hassan Al-Dadew
4.TYT Berat Al-Bayrak
5.YB Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali

Setiausaha Agung Bersama

1.TYT Dr. Abderrazak Makri
2.YBhg Tan Sri Samsudin bin Osman

(Sumber maklumat: Rasmi Kuala Lumpur Summit).



 Terima kasih.



The Official (English) Version

ABOUT KL SUMMIT 2019

Kuala Lumpur Summit is an international platform for Muslim leaders, intellectuals and scholars from around the world to discuss and exchange ideas about the issues revolving in the Muslim world. In November 2014, when the first Summit was held in Kuala Lumpur, great success was achieved in bringing together renowned Muslim figures. Between them, new and valuable solutions for the problems facing the Muslim world were introduced and discussed.

It is but a stark reminder of our failings, our inability to live by the basic tenets of Islam, of making Islam ad-deen, our way of life.
Muslims nations are in the extremes – we have rich nations far richer than the richest and poor ones that are poorer than the poorest. For far too long we have been associated with bad governance, endemic corruption and a breeding place for terrorism.
Such is the state of affairs among our nations that Muslims end up in the shores of nations governed by those from other faiths and our brethren’s fate rest solely at their mercy.
The KL Summit will be known as The Perdana Foundation for Civilisational Dialogue (Perdana Dialogue) starting from January 2020.
At the KL Summit we frankly deliberate these issues and find new and workable solutions to problems afflicting Muslims.
Guided by a comprehensive contemporary understanding towards the achievement of the highest values of Islam and the sovereignty of Ummah.
It is in the exchanging of our knowledge and experience that we will be able to pick and choose what is best for our own case, for our own countries.
We have always reflected on how great, enriching and powerful the Islamic civilisation was. It is a chapter in history and we yearn for its return. It will remain a yearning unless we do something about it !


OUR VISION

KL Summit is an international platform for dialogue, bringing together Muslim leaders, thinkers, intellectuals and scholars finding the best dynamic and action driven solutions for the problems faced by Muslim Ummah guided by a comprehensive contemporary understanding towards the achievement of the highest values of Islam and the sovereignty of Ummah.

OUR MISSION

Our mission is to contribute to identify and solve the problems afflicting the Muslim world.

We promote the exchange of ideas.

KL Summit promotes the interchange of ideas, discourse, policy making, and action driven recommendations. In a world where borders are porous, our challenges and solutions are also interlinked.

We are multi-sectoral.

KL Summit encourages hybrid coalitions by gathering old and new actors from Muslim world; states and international organisations, as well as NGOs, companies, foundations, philanthropic organisations, development agencies, trade unions, think tanks, universities, and civil society at large.

OBJECTIVES
Revival

To revive the Islamic civilisation

Contribution


To contribute to the improvement of the state of affairs among Muslims and the Muslim nations

Solutions


To deliberate and find new and workable solutions for the problems afflicting the Muslim world

Network


To form a network between Islamic leaders, intellectuals, scholars, and thinkers around the world

7 Pillars & Focus Areas
1.    Development & Sovereignty
2.    Integrity & Good Governance
3.    Culture & Identity
4.    Justice & Freedom
5.    Peace, Security & Defense
6.    Trade & Investment
7.    Technology & Internet Governance


About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).