A Kadir Jasin
BELANJAWAN atau dalam
bahasa Inggeris “budget” (baru-baru ini dimelayukan menjadi bajet) adalah
kontrak di antara kerajaan di satu pihak dengan rakyat jelata di pihak yang lain.
Bersungguh-sungguh PM cuba yakinkan sampai berbuih mulut. |
Ia adalah sebahagian
daripada proses demokrasi di mana rakyat jelata memilih kerajaan dan membayar
cukai untuk menampung pengurusan negara.
Rakyat jelata mengamanahkan pengurusan negara kepada wakil-wakil yang mereka pilih. Wakil-wakil itu pula tidak
menjalankan tugas dengan percuma. Mereka dibayar gaji, elaun dan pencen.
Mereka tidak perlu berniaga untuk hidup selesa apatah lagi mencuri, menyamun dan melanun duit rakyat jelata dan aset negara.
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Duit cukai yang dibayar oleh rakyat jelata itu
juga adalah untuk mengurus dan membangunkan negara.
Justeru itu, segala duit dan harta
negara adalah milik rakyat jelata. Kerajaan hanya menjalankan amanah yang
dibagi oleh rakyat jelata melalui peti undi lima tahun sekali.
Setiap sen duit yang
kerajaan belanjakan dan setiap inci tanah yang kerajaan jual adalah duit dan
tanah negara yang dimiliki secara bersama oleh rakyat jelata.
Ia bukan duit Perdana Menteri atau Menteri kewangan.
Rakyat jelata
mempunyai kuasa mutlak ke atas kerajaan melalui dua cara, iaitu dengan mengundi
kerajaan yang mereka sukai dan membayar cukai bagi membiayai kerajaan yang
mereka pilih itu.
Wakil rakyat dan kerajaan yang mereka pilih melalui peti undi
itu sekadar memegang amanah dan menjalankan tugas saja.
Melalui peti undi rakyat jelata pilih wakil mereka. |
Dalam sistem demokrasi macam yang kita amalkan,
kuasa rakyat adalah mutlak dan mutakhir menentukan siapa memerintah dan
mentadbir negara.
Ada YB Peduli?
Wakil yang dipilih itu
adalah Yang Berhormat kerana pengundi dan rakyat jelata memberikan penghormatan
kepadanya untuk mewakili mereka.
Yang Berhormat tidak dipilih untuk menjadi
diktator, lanun, perompak dan pencuri. Mereka tidak sekali-kali dipilih untuk membuli dan memperbodohkan rakyat jelata.
Mereka sekadar memegang
amanah rakyat jelata. Untuk itu mereka diberikan upah yang secukupnya oleh rakyat jelata dan
pembayar cukai supaya dengan itu mereka tidak perlu mengemis apatah lagi mencuri untuk hidup selesa.
Maka dalam konteks dan
landasan itulah kerajaan menyediakan belanjawan tahunan.
Belanjawan ada dua
bahagian – hasil (revenue) dan perbelanjaan (expenditure). Sebahagian besar
hasil datang daripada rakyat jelata dalam bentuk cukai.
Sejak dulu lagi rakyat jelata
bayar cukai tetapi mereka tidak mengeluh dan membantah kerana cukai tidak membebankan dan tidak juga menyusahkan. Tetapi selepas Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng
Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) mulai April 2015 rakyat menderita dan ekonomi jadi tak tentu hala.
Bala bencana zaman Najib tak
payah kiralah. Satu demi satu bala bencana dan kesialan menimpa negara dan
rakyat jelata. Kita tertanya-tanya, di manakah berkatnya?
GST Kebanggaan Najib
Sejak Najib perkenalkan GST
dengan sokongan para YB BN, semua orang yang berbelanja, tidak kira dia seorang
papa kedana atau Tan Sri yang berpendapatan beribu juta akan bayar kadar yang
sama.
Rakyat biasa dan rakyat miskin
merasa beban GST kerana cukai kebanggaan Najib itu tidak memilih bulu. Siapa
berbelanja akan kena.
Najib sangat bangga dengan
GST. Dia kata GST penyelamat negara. Saya tidak pasti sama ada negara selamat
kerana GST tapi yang pasti GST sangat lumayan bagi Najib.
Najib seronok sakan tapi rakyat bantah kerana GST membebankan |
Dalam Belanjawan 2018 yang
dibentangkan pada 27 Oktober lepas, Najib menganggarkan kutipan GST sebanyak
RM43.8 bilion. Naik daripada RM41.5 bilion tahun ini.
Selain GST ada cukai lain
macam cukai pendapatan, cukai korporat, cukai import, cukai eksport, cukai
setem, cukai jalan, tarif dan macam-macam lagi bayaran yang rakyat jelata kena bayar. Mati pun kena cukai juga dalam bentuk cukai harta peninggalan.
Hanya sebahagian kecil
saja hasil kerajaan datang daripada perniagaan macam yang dilakukan oleh
Petronas, Khazanah Nasional Berhad dan 1MDB.
Petronas ditubuhkan pada
zaman Almarhum Tun Abdul Razak (1974) dan untung. Tahun 2016 keuntungan
Petronas RM23.5 bilion.
Khazanah yang ditubuhkan
pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (1993) pun untung juga. Tahun 2016
keuntungan Khazanah RM1.56 bilion.
Tapi 1MDB yang berupa
tsunami minda Najib rugi beratus juta dan dilanda skandal bilion ringgit sampai
nak sediakan akaun tahunan pun susah. Dianggarkan RM39 bilion
duit 1MDB lesap kerana kerugian perniagaan dan penyelewengan.
Tapi Peguam
Negara pilihan Najib, (Tan Sri) Apandi Ali kata tak ada kes. Peliknya dalam tak ada
kes itu, laporan Ketua Juruaudit Negara mengenai 1MDB diOSAkan.
Parlimen pun tak boleh bincang. Kalau tak ada kes pasal apa berahsia?
Angkara penyelewengan 1MDB, Edra jadi milik negara China |
Bagi tahun 2018, Najib
menganggarkan hasil sebanyak RM239.9 bilion tapi dia bercadang belanja RM280.25
bilion.
Perbelanjaan ada dua
bahagian. Satu perbelanjaan mengurus macam bayar gaji dan pencen kakitangan
awam (termasuk menteri dan wakil rakyat), selenggara kemudahan awam dan bayar
balik hutang kerajaan.
Satu lagi perbelanjaan pembangunan macam untuk bina jalan raya, MRT, sekolah, hospital dan beli
peralatan tentera.
Dalam belanjawan 2018,
Najib cadang belanja RM234.25 bilion untuk pengurusan dan RM46 bilion untuk
pembangunan.
Perbelanjaan tahun ini
naik 7.5 peratus pasal Najib nak guna duit cukai rakyat jelata untuk pancing
undi. Akibatnya peruntukan pembangunan dibekukan pada kadar RM46 bilion.
Najib kutip cukai daripada
rakyat jelata kemudian guna duit itu untuk sogok rakyat jelata supaya undi BN. Dia kelentong kita. Dia kata kerajaan bagi duit kepada rakyat jelata.
Bukan kerajaan bagi tapi
kita sendiri yang bagi. Kita bayar GST dan macam-macam cukai lagi untuk tadbir
dan bangunkan negara. Najib ambil duit itu untuk sogok kita supaya undi parti
dia. Dia ingat kita bangang.
Persis Cash is King
Bukan itu saja. Tak
cukup dengan bayar cukai, kita kena pula tanggung hutang yang banyak yang Najib
ambil atas nama kita, anak dan cucu cicit kita.
Dalam Belanjawan 2018,
kerajaan kurang duit sebanyak RM40.35 bilion pasal hasil berjumlah RM239.9
bilion tapi belanja RM280.25 bilion. Jadi kena hutang RM40 juta lebih.
Kerana percaya duit
adalah raja (cash is king), Najib berhutang kiri kanan. Dalam zaman dialah hutang kerajaan naik melambung – daripada kira-kira RM200 bilion zaman Tun Dr
Mahathir kepada RM685.05 bilion sekarang.
Untuk jadi Raja Duit
(King of Cash), Najib cadang ambil 25 peratus daripada belanjawan 2018 untuk
Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang dia jaga.
Inilah keistimewaan
Najib berbanding semua Perdana Menteri Malaysia yang lepas. Dia bolot kewangan
negara untuk kukuhkan kedudukan dia di dalam parti dan kerajaan.
Kalau menteri mahu
peruntukan tambahan silalah sembah Najib. Itulah dasarnya. Sebab itulah, (Datuk
Seri) Shahidan Kassim dari awal-awal lagi kata Belanjawan 2018 adalah yang
terbaik dalam dunia. Ampu jangan tak ampu.
Najib kata, Zahid kawan setia sehati sejiwa |
Najib dengan penuh emosi
kata Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi kawan dia
sehidup semati sampai sebut dalam ucapan belanjawan.
Tapi bila sampai masa bagi peruntukan,
dia bagi 6 peratus saja kepada Zahid.
Zahid ni bukan
calang-calang orang. Dia keturunan Jawa. Dia TPM. Dia Menteri Dalam Negeri. Dia
jaga polis. Dia pemangku Timbalan Presiden Umno. Tapi Najib bagi dia 6 persen
saja.
(Datuk Seri) Hishammuddin Hussein, sepupu Najib yang jaga askar, dapat 7.3
peratus.
Najib berucap dekat tiga
jam sampai berbuih mulut dan kering tekak janji itu dan ini, bagi duit kepada orang itu dan ini.
Tapi adakah kita sedar bahawa dia kurangkan peruntukan pendidikan
dan latihan sebanyak 11 peratus daripada RM5.9 bilion kepada RM5.2 bilion?
Sebenarnya kalau kita
dalami belanjawan Najib itu, kita akan temui banyak lagi mantera dan jampi yang
tujuannya adalah untuk mengabui mata rakyat jelata kononnya dia simpati dan
peduli sedangkan matlamat dia adalah memancing undi dan melincirkan peti undi
dengan menggunakan duit rakyat jelata.
Itulah belanjawan "duit itu raja" dan raja duit adalah Najib.
Wallahuaklam.