A Kadir Jasin
KALAU boleh saya meminjam
ungkapan bahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu bolehlah
saya katakan bahawa banyak air telah mengalir di bawah jambatan di muktamar Pas
ke-63 baru-baru ini.
|
Muktamar Pas di Kedah 29 April-1Mei lalu |
Dalam bahasa Inggeris, ungkapan itu berbunyi "A lot of water has flowed
under the bridge."
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan.
Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Banyak perkara dan hal diperkatakan, dibincangkan dan diputuskan dalam
persidangan di Kota Sarang Semut berhampiran Alor Setar itu.
Soalnya sekarang, adakah keputusan yang dibuat di muktamar itu muktamad dan
pimpinan baru yang dipilih di persidangan itu berbeza daripada yang sebelumnya?
Mungkin tidak kerana ada
proses-proses lain yang terpaksa dilalui sebelum ketetapan-ketetapan itu
dikuatkuasakan dan kepimpinan baru pula tidaklah homogen dan monolitik.
Pas adalah antara parti politik
paling banyak lapisan hierarkinya. Ada Muktamar, ada Majlis Syura, ada
Mursyidul Am, Dewan Ulama, barisan kepemimpinan, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda
dan banyak lagi cabang yang tindih menindih dan sokong menyokong.
Di sebalik baju Melayu dan
ketayap, jubah dan serban terdapat pelbagai pandangan dan pendekatan yang
kadang kalanya umpama langit dengan bumi. Dalam kata lain, Pas adalah parti
dalam parti.
Walaupun perwakilan dan pemimpin
Pas mempamerkan sikap keras berkaitan kerjasama dengan parti-parti lain namun
ia bukanlah sesuatu yang dipahat di atas batu dan tidak boleh diubah.
Masih Ada Unsur Pragmatik
Sekalipun banyak tindak-tanduk,
pidato serta retorik Pas sukar didalami dan difahami namun saya yakin Pas
tidaklah dangkal atau keras seperti dipamerkan.
Tentunya setelah kebakaran
semangat dan tunjuk berani (posturing) di Muktamar reda, kepemimpinan Pas
terpaksa berfikir secara lebih rasional mengenai kelangsungan (survival) parti
mereka.
Walaupun mereka bercakap besar di khalayak tentang kekuatan Pas, realitinya mereka tahu bahawa Pas lemah apabila bersendirian. Banyak kajian bebas dan analisis mengatakan Pas
akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang jika ia bertanding
bersendirian.
Kecuali Pas sudah mengambil
sikap bunuh diri atau menjadi “suicidal” – tidak mahu hidup lagi – ia terpaksa
menimbang semula pendiriannya.
Macam mana benci sekalipun Pas
terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dan
Parti Tindakan Demokratik (DAP) di dalamnya, Pas terpaksa mengakui bahawa
kekuatan PH lebih besar daripada kekuatannya.
Bayangkanlah, kalau PH pun
mendapati sukar menandingi kekuatan wang dan jentera Umno, bagaimana agaknya
Pas yang bersendirian?
Suka atau tidak – kecualilah Pas
telah sebulat suara memilih jalan kemusnahan – ia terpaksa memilih untuk berpakat
sama ada dengan PH atau Barisan Nasional.
Atau ia boleh cuba menjalin
kerjasama bersaingan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mengelak pertandingan pelbagai penjuru.
Walaupun Pas sudah lafaz talak terhadap
PKR dan DAP di peringkat pusat, di Selangor ia masih bersekedudukan dengan
kedua-dua buah parti itu dalam kerajaan negeri.
Melainkan Pas secara diam-diam
telah menjalin hubungan sulit dengan BN dan memperoleh sumber kewangan baru
yang besar, ia memerlukan rakan kongsi yang ada kemampuan kewangan dan
berpotensi untuk menang.
Bersendirian Pas akan kalah
teruk. Perjuangan Islamnya selama ini akan tinggal nama saja. Jadi yang mana
lebih baik bagi Pas – berpakat dengan parti-parti PH atau BN?
Jarum Beracun Umno
Pas benci kepada Amanah kerana
parti baru itu adalah serpihan Pas. Tapi perwakilan Pas sendiri yang menolak
pemimpin-pemimpin yang kini menganggotai Amanah. Pas mahu menjadi parti yang khusus untuk golongan agama.
Berkenaan DAP pula, Pas sudah
termakan racun dan masuk perangkap Umno apabila ia berpecah dengan DAP. Pas
takut kepada kempen Umno yang menuduhnya mengkhianati Melayu dan Islam kerana
bekerjasama dengan DAP melalui Pakatan Rakyat. DAP pula renggang dengan Pas
kerana takutkan kempen MCA yang kononnya ia mengorbankan kepentingan orang Cina.
Apa yang tidak disedari atau jarang
diperkatakan adalah DAP berupa parti pelbagai kaum sedangkan MCA adalah parti
perkauman eksklusif orang Cina. DAP tidak pernah tuntut jawatan Timbalan
Perdana Menteri, tetapi MCA mahu jawatan itu. DAP tidak bekerjasama dengan
Parti Komunis China (PKC), tapi MCA sudah jadi abang-adik dengan PKC.
Pendapat umum ialah ahli dan penyokong akar umbi Pas
akan memberontak jika pemimpin mereka berpakat dengan BN.
Presiden Pas, (Datuk Seri) Haji
Abdul Hadi Awang mungkin sehati sejiwa baju sewarna dengan Perdana Menteri, (Datuk
Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd
Najib Abdul Razak, tetapi bagi ahli dan
penyokong akar umbi Pas, Umno adalah musuh hidup mati mereka.
Hal yang sama akan berlaku
dengan ahli dan penyokong akar umbi Umno kecuali yang makan dedak. Permusuhan
antara mereka terlalu lama, sengit dan mendalam untuk berpelukan semata-mata
kerana Abdul Hadi dan Najib berpelukan.
|
Najib dan Abdul Hadi sehati sejiwa baju pun sewarna |
Kalau Pas dan Umno bergabung,
siapa akan mempengaruhi siapa? Pas akan mengalimkan Umno atau Umno akan mengkorupsikan
Pas?
Hatta parti-parti bukan Melayu
dan bukan Islam dalam BN pun, khususnya di Sarawak, akan menolak kerjasama
dengan Pas berdasarkan penentangan mereka terhadap Rang Undang-undang
Persendirian Haji Abdul Hadi (RUU355) baru-baru ini.
Pilihan bagi Pas adalah sukar dan
sempit. Bersendirian, ia akan kalah teruk dan memberi kemenangan percuma kepada BN.
Menyertai PH, ia akan dituduh menjilat semula ludahnya dan akan dijadikan modal
fitnah oleh BN.
Namun jalan selamat masih separuh terbuka bagi Pas. Caranya
adalah dengan menjalin kerjasama dengan salah satu parti anggota PH atau lebih,
misalnya dengan PKR dan PPBM atau kedua-duanya sekali.
Kalau kerjasama ini tidak boleh dilakukan di seluruh negara setidak-tidaknya
pun di beberapa buah negeri.
Wallahuaklam.