A Kadir Jasin
SAYA minta izin nak cerita
panjang sikit berkenaan 1MBD kali ini. Mungkin lebih panjang dan lebih
terperinci daripada sebelum ini.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan
disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Saya tujukan rencana ini khusus kepada para penyiasat Pejabat Ketua Juruaudit Negara, Suruhanjaya
Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam
Parlimen (PAC) yang sedang dan akan memulakan siasatan ke atas 1MDB.
Saya mohon Ahli Dewan Rakyat dan
Dewan Negara yang akan memulakan sesi baru Isnin ini turut memberi perhatian
rapi terhadap perkembangan isu 1MDB.
|
Ahli Parlimen wajib ambil berat. |
Saya akan cuba bercerita dalam
bahasa paling mudah dengan harapan paling ramai orang boleh faham. Saya akan
cuba mudahkan bahasa korporat dan beri penjelasan.
Untuk mudahkan cerita, saya
mulakan dengan membuat kesimpulan berikut:
Kalau kita tak buat sesuatu dengan
segera untuk atasi masalah 1MDB ia akan muflis dan kita serta anak cucu akan
tanggung beban dan bala yang dahsyat.
Masalahnya sekarang bukan lagi
sama ada 1MDB perlu di“bailout” (diselamatkan) tapi sejauh mana kita
melaksanakan proses itu dan belanja yang terpaksa kita keluarkan.
Berikut adalah antara soalan yang wajib ditanya
oleh para penyiasat dan penjelasan mengenainya:
1. Apakah peranan wang royalti
minyak/gas negeri Terengganu dalam urus niaga Terengganu Investment Authority
(TIA) apabila ia ditubuhkan pada tahun 2008?
2. Adakah benar sejumlah besar wang
royalti minyak/gas Terengganu (berjumlah berbilion ringgit) telah dimasukkan ke
dalam sebuah bank tempatan sebagai persediaan menggerakkan TIA?
[Soalan ini wajib dikemukakan
kepada (Tan Sri) Azlan Zainol, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP/EPF, (Tan Sri) Mohd Bakke Salleh
Presiden/CEO Sime Darby, (Tan Sri) Lodin Wok Kamaruddin, Pengerusi 1MDB dan CEO
LTAT) dan (Tan Sri) Ismee Ismail (CEO Tabung Haji) yang berupa pengarah
pengasas (founding directors) TIA. Menurut bekas MB Terengganu, (Datuk Seri)
Ahmad Said wang Negeri Terengganu tidak digunakan oleh 1MDB dan Terengganu
dapat balik modal berbayar (paid-up capital) TIA/1MDB sebanyak RM1 juta.]
4. Adakah benar Bakke menarik diri
atau digugurkan daripada Lembaga Pengarah 1MDB kerana tidak bersetuju dengan
urus niaga yang membabitkan PetroSaudi?
[Wajib tanya Bakke dan ahli
Lembaga Pengarah lain, iaitu Lodin dan Ismee mengenai kemunculan Jho Low
sebagai ejen 1MDB. Azlan tidak sertai lembaga 1MDB.]
5. Adakah berasas andaian bahawa
kalau 1MDB tidak menjual saham anak syarikatnya, Edra Global Energy Sdn Berhad
melalui tawaran awam permulaan (IPO), 1MDB akan mengalami masalah aliran tunai
(cashflow) yang kronik sehingga tidak dapat menguruskan (service) hutang serta
membiayai perniagaan menjelang September ini?
6. Adakah betul T. Ananda Krishnan
(AK) telah memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MBD bagi membayar balik hutang
kepada Maybank dan RHB Capital?
|
Mungkinkah Ananda digunakan untuk mengabui mata? |
7. Atau adakah nama beliau diguna
untuk menyembunyikan hakikat sebenar bahawa wang RM2 bilion itu datangnya
daripada Perbendaharaan atau sumber-sumber kerajaan yang lain?
[Wajib siasat pembabitan AK
dalam penjualan penjana elektrik bebas (IPP) miliknya kepada Edra Global Energy, anak syarikat milik penuh 1MDB.
Daripada maklumat terbaru yang saya peroleh, andaian bahawa AK telah
mendahulukan RM2 bilion kepada 1MDB mungkin songsang. AK terlalu licik dan
pintar untuk mengambil risiko sebesar itu. Ini ada kena mengena dengan
penilaian (valuation) harta Edra yang dikatakan sangat berbeza]
8. Adakah benar bahawa atas desakan
AK penilaian telah dibuat ke atas aset Edra pada bulan November/Disember tahun
lalu oleh kumpulan perbankan Macquarie yang meletakkan nilainya pada kadar RM5 bilion?
9. Kalau ini benar, bagaimana pula Goldman
Sachs yang mengatur penjualan bon-bon 1MBD pada tahun 2012/13 meletakkan nilainya
pada kadar RM8.5 bilion?
10. Mengapakah dalam masa yang
singkat nilai aset Edra jatuh sebanyak RM3.5 bilion?
11. Adakah ini berpunca daripada perubahan kaedah
perakaunan atau, seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, berbilion-bilion hutang
1MDB tidak dapat dikesan penggunaannya?
[Beliau meletakkan angka itu
sebanyak RM27 bilion daripada RM42 bilion hutang 1MDB.]
12. Tidakkah peranan Datuk Yusof
Annuar Yaacob dalam urusan pinjaman 1MDB berupa “conflict of interest”
(percanggahan kepentingan) yang serius?
|
Siasat peranan Yusof Annuar dalam penjualan bom 1MDB |
[Apabila Goldman Sachs mengatur penjualan AS$4.75 bilion
(kira-kira RM17.1bilion pada nilai sekarang) bon 1MDB dalam dua “tranche” pada tahun 2012/13, Yusof Annuar adalah
Pengerusi dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia. Mengikut agensi berita
ekonomi Bloomberg, Goldman Sachs mendapat komisen AS$500 juta (kira-kira
RM1.8 bilion). 1MDB membayar yuran ASS$196.2 juta bagi bon bernilai
ASS$1.75 bilion yang diterbitkan pada bulan Mei 2012 dan AS$283.2 juta bagi bon
bernilai AS$3 bilion pada bulan Mac
2013].
13. Mengapakah yuran yang dibayar
kepada Goldman Sachs begitu lumayan?
[Bandingkan dengan fakta
berikut: Tahun lalu, National Commercial Bank, Saudi Arabia melakukan (IPO) AS$6
bilion (RM21.6 bilion) yang diatur oleh HSBC dan tujuh ejen lain. Menurut
laporan akhbar New Straits Times, (yang amat akur kepada Mohd Najib),
mereka hanya dibayar komisen AS$6.7 juta (RM24.1 juta) atau 0.1 peratus nilai
IPO. Bagi IPO Alibaba, juga tahun lalu, yang bernilai AS$25 bilion (RM90
bilion), Credit Suisse dan Morgan Stanley hanya dibayar yuran AS$300 juta
(RM1.08 bilion). IPO Alibaba dari Negeri China adalah IPO terbesar dalam sejarah.
Sekarang Yusof Annuar adalah
Ketua Pegawai Negeri Deustche Bank bagi Malaysia dan Deutsche Bank sedang
menuntut agar 1MDB bayar lebih awal hutang bernilai AS$975 juta (RM3.5 bilion)
yang diaturnya tahun lalu.]
Perlu disebutkan juga iaitu (1)
antara ahli konsortium Deustche Bank yang beri pinjaman kepada 1MDB adalah Aabar
Investment PJS di mana Arul Kanda Kandasamy bekerja sebelum dilantik Pengarah
Eksekutif Kumpulan dan Presiden 1MDB awal tahun ini dan (2) salah seorang ahli
lembaga pengarah Deustche Bank Malaysia adalah (Datuk) Ahmad Johari Abdul
Razak, adik Mohd Najib].
14. Adakah Deutsche Bank di bawah
Yusof Annuar cuba menggunakan alasan “force majeure” untuk paksa 1MDB bayar
balik hutang lebih awal kerana keadaaan telah berubah yang menjadikan pinjaman
kepada 1MDB lebih berisiko?
15. Wajib soal siasat AK untuk mengetahui
adakah benar khabar-khabar angin yang mengatakan satu jumlah yang sangat besar
- melebihi RM600 juta - yang dibayar oleh 1MDB bagi membeli IPP dari Tanjung
Energy PLC milik beliau, dibayar kepada pihak ketiga?
16. Apakah kedudukan undang-undang (legal status) Yayasan 1MDB Rakyat dan siapakah pemegang amanahnya?
|
Orang misteri Jho Low simpan banyak rahsia |
17. Adakah benar Jho Low dan “carpet
trader” Deepak Jaikishan kenal mengenali dan saling bantu-membantu?
[Kedua-duanya diketahui rapat
dengan Mohd Najib dan isteri beliau, (Datin Paduka Seri) Rosmah Mansor. Sekarang Deepak tidak rapat lagi.]
18. Apakah pertalian Jho Low dengan
Felda?
[Penyiasat perlu kaji
perhubungan sumbang muhrim (incestuous relationship) yang membabitkan 1MDB, TH
dan Felda serta peranan Pemandu dalam tiga entiti ini.]
19. Apakah peranan dan pendirian
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, dalam hal-hal yang melibatkan
hutang dan pergerakan wang 1MDB yang sudah pun menyebabkan nilai ringgit jatuh?
20. Apakah betul ada individu yang menyimpan RM200 juta hingga RM300 juta dalam sebuah institusi kewangan bukan bank yang tidak dikawal oleh Bank Negara?
Soalan-soalan di atas dan banyak
lagi soalan lain yang berkaitan dengan 1MDB dan pihak yang berkuasa ke atasnya wajib ditanya oleh para penyiasat.
Lebih ramai orang yang berkaitan
1MDB wajib dijejaki bagi mengetahui bagaimana krisis kewangan serta
ketidaktelusan 1MDB boleh berlaku di depan mata kita dan hanya baru-baru ini
saja terbongkar.
Unsur penipuan, subahat,
penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah adalah antara isu yang wajib
dirungkaikan oleh para penyiasat supaya yang bersalah dibawa ke muka pengadilan
dan duit serta aset negara yang digunakan ke atas 1MDB diperoleh semula.
Kesan sistemik skandal 1MDB
wajib disekat dan dihadkan demi melindungi ekonomi negara.
Kita mohon petunjuk dan perlindungan Allah Maha Esa.
Wallahuaklam.