Thursday, December 29, 2016

Eagle High: Siapa Sondakh Kepada Najib?



A Kadir Jasin


PADA mulanya saya tidak bercadang menambah apa-apa lagi kepada apa yang telah saya tulis mengenai urusan jual-beli luar biasa yang membabitkan Felda/FGV dan Rajawali Group sejak tahun lalu.

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Kalau pembaca berminat boleh rujuk tampalan bertajuk “FGV Bayar Mahal Kepada Sondakh” pada 13 Jun 2015 di pautan ini.

Berkenaan silap mata korporat memindahkan pembelian 37 peratus saham ladang Eagle High (helang tinggi) daripada Felda Global Ventures (FGV) kepada sebuah anak syarikat Felda lain bernama FIC Properties Sdn Bhd, saya rasa komen Pengerusi CIMB, (Datuk Seri) Mohd Nazir Abdul Razak, lebih daripada memadai.

Sebagai orang korporat dan adik Perdana Menteri sendiri, saya yakin kebimbangan beliau adalah berasas. Nazir mahu Felda memberi justifikasi mengapa ia membayar harga yang rata-rata dianggap terlalu tinggi dan tidak mencerminkan realiti pasaran serta potensi aset.

FeIda membayar AS$505.4 juta (kira-kira RM2.3 bilion) atau tiga kali lebih mahal daripada harga purata 2015. Saya yakin tidak ada siapa pun akan menentang pembelian oleh Felda jika harganya berpatutan, selari dengan pasaran dan telus.

Peter Sondakh: Sahamnya naik tapi FGV turun
Anehnya, boleh kata semua urusan jual-beli oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia yang membabitkan Kumpulan Rajawali dan taukenya, Peter Sondakh, diselubungi misteri dan keluarbiasaan.

Misteri Rajawali

Banyak cerita saya dengar, termasuk daripada pembahas blog ini, yang memberi maklumat atas dasar sulit & persendirian mengenai pertalian di antara Najib dengan Sondakh.

Ada sesetengah maklumat itu memang saya pun tidak berani menyiarkannya sekali pun tanpa label P&C kerana terlalu peribadi dan sukar disahkan.

Cuma yang hendak saya tambah kali ini adalah beberapa kebetulan yang sedikit sebanyak menyokong khabar-khabar angin dan kisah misteri yang melibatkan perhubungan Najib-Sondakh.

Fakta-fakta yang akan saya sebutkan di bawah adalah maklumat awam. Sesiapa pun yang berminat dan tekun boleh memperolehnya di domain awam.

Antaranya:

1. Kalau Najib berketurunan Bugis yang buminya Sulawesi, Sondakh pula dilahirkan di Manado, Sulawesi.

2. Jikalau Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953, Sondakh pun dilahirkan pada 23 Julai 1953 juga.

3. Najib beragama Islam dan sering mempamerkan keislamannya di khalayak ramai manakala Sondakh dilaporkan oleh akhbar The Star sebagai pengamal setia agama Kristian.

4. Kebugisan Najib menjadi mutakhir dengan penganugerahan gelaran tertinggi Bugis “I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil” pada tahun 2005.

5. Apabila Najib menjadi Perdana Menteri pada bulan April 2009, tidak lama selepas itu Sondakh mendapat anugerah gelaran Tan Sri (kehormat) dan muncul sebagai penasihat Najib mengenai Indonesia.

6. Antara kepakaran Sondakh, menurut laporan akhbar The Star pada 23 Jun 2015 adalah menjual-beli syarikat dan membangun semula syarikat yang rugi.

7. Catatan Wikipedia bahasa Indonesia pula berkata, bintang Sondakh menjadi terang apabila berjaya merapati gerakan Orde Baru (New Order) pimpinan Allahyarham Presiden Suharto.

8. Urus niaga terawalnya dengan GLC Malaysia adalah penjualan saham miliknya dalam firma telekomunikasi, Excelcomindo Pratama kepada Telekom Malaysia (TM) pada tahun 2005 dengan harga AS$400 juta (nilai hari ini kira-kira RM1.8 bilion) dan sekali gus menjadikannya antara orang terkaya di Indonesia.

9. Tidak lama selepas penjualan kepada TM, Sondakh mula membeli aset-aset di Malaysia, termasuk aset milik Khazanah Nasional Berhad. Ini sangat menarik – dia jual asetnya di Indonesia kepada Khazanah (melalui TM) dan beli aset-aset Khazanah di Malaysia.

10. Timbul tanda tanya apakah Sondakh lebih menghargai aset-aset Khazanah di Malaysia daripada asetnya sendiri di Indonesia? Apakah penjualan Eagle High kepada Felda juga cara beliau menukar aset mentah yang belum produktif di Indonesia dengan aset matang dan teruji di Malaysia?

11. Antara aset Malaysia milik Sondakh termasuklah Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Four Seasons Resort Langkawi, Pusat Konvensyen Langkawi dan Hotel  St Regis, Langkawi. Hampir  semua aset ini sama ada dibeli daripada Khazanah atau dibangunkan bersama Khazanah dengan kesemua atau sebahagian modalnya diperoleh dari pasaran tempatan.

12. Apakah Sondakh terlibat membantu Najib dengan apa cara jua dalam menangani skandal 1MDB/SRC, khususnya berkaitan misteri "kehilangan" orang yang terbabit langsung dengan skandal itu seperti Jho Low, Nik Faisal Arif Kamil dan Datuk Suboh Mohd Yassin?

13. Akhir sekali, apakah urus niaga Felda-Rajawali ini ulang tayang kepada skim cepat kaya dan pengumpulan tabung pilihan raya seperti yang berlaku kepada 1MDB dan FGV sebelum PRU 2013?

Kesimpulannya, sebarang penghalusan mengenai urus niaga yang melibatkan Sondakh dan Malaysia tidak lengkap tanpa mendalami apa yang tersurat dan tersirat dalam perhubungan di antara Najib, keluarganya dan Peter Sondakh.

Wallahuaklam.

Saturday, December 24, 2016

Penjualan Oleh KWSP Sumpahan Ke Atas FGV



A Kadir Jasin


MUTAKHIR, 28 Disember - Gambar menceritakan seribu perkataan tentang keakraban luar biasa Najib dengan Peter Sondakh, pemilik Rajawali, yang memiliki ladang Eagle High yang baru dibeli oleh Felda.

(Caption Bernama) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberi penerangan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Rajawali Group, Tan Sri Peter Sondakh (kanan) semasa meninjau St Regis Langkawi yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah malam ini. — fotoBERNAMA.
 POSTING ASAL

ALMADULILLAH, satu lagi kepincangan korporat membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjaya didedahkan secara meluas oleh penggiat media sosial.

Di masa yang sama, penggiat media sosial terus dikenakan tindakan undang-undang sama ada kerana kesilapan mereka sendiri atau kerana mereka menjolok sarang tebuan.

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Pendedahan kali ini tercetus berikutan penyiaran sebuah gambar beberapa orang lelaki dan seorang perempuan yang didakwa terdiri daripada eksekutif kanan Felda Global Ventures Bhd (FGV).

Gambar itu kemudiannya menjadi viral (merebak) dan mencetuskan perbahasan hangat. Ia mencapai kemuncak apabila tersebar berita mengatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menjual semua saham FGV yang dimilikinya.

Gambar penghisap cerut yang menjadi viral
Berita itu khabarnya berpunca daripada memorandum dalaman KWSP. Ia turut menyatakan yang pinjamannya kepada FGV tidak mengalami sebarang masalah pembayaran balik.

Pendedahan KWSP itu menyebabkan saham FGV yang telah pun tenat di Bursa Malaysia, menjadi semakin nazak.

Dalam masa dua hari harga sahamnya jatuh hampir enam peratus kepada RM1.53.

Ini adalah antara tahap paling rendah dideritai FGV sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun, 2012.

Pada kadar harga RM1.53 itu, nilai saham FGV telah merudum tiga kali ganda daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55 pada tahun 2012.

Harga saham GFV menrudum
Daripada keuntungan sebanyak RM980 juta pada tahun 2013, pencapaiannya merosot kepada RM306 juta (2014), RM117 juta (2015) dan rugi RM98 juta sehingga suku ketiga tahun ini.

Margin keuntungan merosot daripada 7.8 peratus pada tahun 2013 kepada 1.9 peratus (2014), 0.7 peratus (2015) dan totak 0.8 peratus sehingga suku ketiga tahun ini.

Dividen yang memuncak pada kadar 16 sen sesaham pada tahun 2013 merudum kepada hanya empar sen tahun lalu.

Amaran Jadi Kenyataan

FGV adalah syarikat GLC kedua yang diilhamkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, yang dalam krisis. Yang pertama ialah 1MDB.

Seperti 1MDB, masalah FGV bermula dari saat ia ditubuhkan kerana nawaitunya tidak lurus dan tidak telus. Niatnya lebih berupa pengisian ego Najib sebagai Perdana Menteri Transformasi dan mencari pulangan jangka pendek menjelang Pilihan Raya Umum 2013.

Kalau kita masih ingat, banyak pihak, termasuk Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, telah memberi amaran keras mengenai ancaman penswastaan aset peneroka dalam bentuk FGV.

Tetapi bagi Najib dan pihak yang bersekutu dengan beliau, kedua-dua matlamat itu tercapai. Ego Najib terangsang kerana IPO itu diuar-uarkan berjaya, FGV menjadi syarikat perladangan terbesar dunia dari aspek keluasan dan banyak duit diperoleh untuk PRU 2013.

Najib mentor Felda dan pengasas FGV
Saham-saham FGV mendapat lebih langganan hampir tujuh kali ganda tinggi dan harga pembukaan naik sehingga RM5.46 apabila mula didagangkan di Bursa Malaysia. Sesiapa yang menjual ketika itu mendapat keuntungan lumayan.

Tetapi, sama seperti mana-mana juga urus niaga yang tidak berasaskan fundamental tulen, FGV tidak lestari dan tidak dapat bertahan lama. Dalam masa yang singkat, akibat pengambil keuntungan ke atas saham-sahamnya dan prestasi perniagaan yang lemah, harga sahamnya merudum.

Penyakit Korporat GLC, GLIC

Namun, yang lebih menggerunkan adalah penyakit korporat yang sedang dideritai oleh GLC dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) mungkin tidak terhad kepada 1MDB dan FGV sahaja. Banyak lagi syarikat lain dalam kategori ini yang perlu dihalusi, khususnya GLIC yang memberi pinjaman kepada 1MDB dan FGV.

Seperti telah kita ketahui, banyak GLIC terlibat memberi pinjaman kepada 1MDB dan FGV, di samping dikerah menjadi pelabur utama (cornerstone investor) dalam IPO syarikat-syarikat GLC dan syarikat swasta yang disayangi kerajaan.

Kita juga tahu banyak wang KWSP dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah dipinjamkan kepada projek-projek kesayangan (pet projects) Najib macam 1MDB, FGV dan inisiatif pembiayaan persendirian (PFI).

KWAP yang berupa tabung pencen kakitangan awam telah memberi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd manakala skim pencen swasta (KWSP) telah meminjamkan RM25.29 bilion kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd. SRC dan Pembinaan PFI adalah milik Kementerian Kewangan.

Itu belum termasuk pinjaman, pelaburan cornerstone dan projek-projek berkaitan pembiayaan PRU yang mungkin telah atau sedang “dipaksakan” ke atas Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kesimpulannya, apa yang telah kita ketahui mengenai 1MDB dan FGV hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada kemelut korporat yang sedang berlaku di negara kita akibat urus tadbir yang menyeleweng serta campur tangan songsang oleh pentadbiran Najib.

Hal ini menjadi semakin buruk akibat kelembapan ekonomi dunia dan domestik yang berpanjangan serta tidak adanya petunjuk positif daripada kerajaan mengenai bagaimana kemelut yang semakin meruncing itu ditangani.

Wallahuaklam.

Tuesday, December 20, 2016

Cina Jho Low Berfoya-foya Melayu Jadi Kuda



A Kadir Jasin


APA yang membezakan Malaysia dengan banyak negara bekas tanah jajahan dari segi kemajuan ekonomi dan kemasyarakatan adalah kita memulakan proses perindustrian awal.

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Masa kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 industri yang ada hanyalah memproses bahan mentah untuk eksport macam kilang papan, peleburan timah, mengilang getah dan kelapa.

Segala barang keperluan pengguna seperti makanan, pakaian, alat jentera, elektrik dan ubat-ubatan diimport, khususnya dari England, United Kingdom atau dari “empire”, iaitu tanah-tanah jajahan Inggeris seperti Hong Kong dan India yang sudah ada industri.

Kita memulakan proses perindustrian secara terancang pada pertengahan tahun 1960-an dengan menjemput pelabur tempatan dan asing mengeluarkan barang-barang gantian import seperti makanan diproses, pakaian, kelengkapan elektrik dan jentera ringan.

Itulah asal-usul bertapaknya pelaburan asing selepas merdeka di negara kita. Dengan itu juga pergantungan kita terhadap modal Inggeris berkurangan dan kita memperoleh pelaburan daripada negara-negara Eropah yang lain dan, paling ketara, daripada Jepun.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya akibat jangkitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dasar pelaburan asing kita telah berubah.

Mula Jual Tanah

Kerajaan telah mula menjual industri strategik yang kita bina sendiri kepada orang asing dan sejak setahun dua ini hatta tanah pun mula dijual, dipajak dan digadai kepada orang asing.

Skandal penipuan 1MDB terus merebak jangkiti ekonomi, kewangan dan kedaulatan negara kita.

Pada awal bulan ini, akhbar Financial Times melaporkan yang 1MDB sedang bersiap sedia membayar balik hutang sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM26 bilion) dengan pertolongan negara China.

1MDB berhutang kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), tapi tak ada duit nak bayar balik. Macam mana nak bayar balik bila perniagaan tak untung. Rugi ada.

IPIC telah kemuka saman ke atas 1MDB di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London. Dua orang pegawai IPIC yang subahat tipu 1MDB telah ditangkap oleh kerajaan Abu Dhabi.

Duit sendiri memang tak ada. Bukan saja berniaga tak untung, tapi banyak dah dilesapkan dan dibawa lari ke luar negara. Pejabat Peguam Negara Switzerland yang sedang siasat pengalihan duit haram (money laundering) syak sebanyak AS$4 bilion (RM16 bilion) duit 1MDB telah disonglap.

Skandal 1MDB bukan saja memalukan negara kita malah sangat berbahaya. Singapura telah pun bicara dan dapati bersalah beberapa orang yang jadi orang tengah mencuri dan menggelapkan duit 1MDB.

Tapi Peguam Negara Malaysia (Tan Sri) Apandi Ali kata tak ada bukti perbuatan salah di Malaysia.

Apandi Ali kata tak ada bukti
Macam saya dah kata banyak kali, 1MDB adalah perniagaan atas angin ala skim cepat kaya Pak Man Telo yang direka oleh seorang Cina Pulau Pinang bernama Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Kalau dia berniaga atas angin bersendirian itu hak dia lah. Di negara kita ada macam-macam skim perniagaan atas angin dan haram sampai ketua samseng pun boleh jadi kaya-raya dan dibagi gelaran datuk oleh raja Melayu.

Tapi dalam hal 1MDB ini ia babitkan kerajaan Malaysia – ertinya kita semua – melalui Kementerian Kewangan. 1MDB adalah anak syarikat Kementerian Kewangan. Oleh sebab itu hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion jadi hutang kita semua.

Secara teknikal Malaysia dah “insolvent” atau tak cukup duit nak bayar hutang. Lebih kurang dah muflis akibat hutang 1MDB.

Jho Low sudah lama cabut dari Malaysia. Dia dan konco-konco yang termasuk anak tiri Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, berfoya-foya di pusat-pusat hiburan dan perjudian dunia di Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.

 
Jho Low (kanan sekali) dan Reza (kiri sekali)
Ikut taksiran Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ), Jho Low dan gengnya, termasuk anak (Datin Seri) Rosmah Mansor bernama Riza Shahriz Abdul Aziz, dah guna kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) duit yang dicuri dari 1MDB untuk beli harta di Amerika Syarikat saja.

Minta Sedekah Dari China

Sekarang, akibat perbuatan kaki putar Cina Pulau Pinang yang berupa sahabat akrab keluarga Mohd Najib Tun Abdul Razak itu, negara kita terpaksa minta sedekah kepada China.

Umno takut-takutkan orang Melayu terhadap DAP, tapi yang menipu kita semua adalah Cina kawan Perdana Menteri sendiri.

Kita tahu negara komunis China tak akan bantu 1MDB atau kerajaan Malaysia secara percuma atau sukarela. Mesti ada kira bicara di sebaliknya. Dalam bahasa Inggeris dia kata quid pro quo. Dalam bahasa mudah, engkau garu belakang aku, aku garu belakang engkau.

China akan bantu pasal sudah pun dibagi kontrak dan projek beratus bilion ringgit oleh kerajaan Najib macam Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur berharga RM55 bilion, pembelian 10 buah kapal peronda persisiran berharga RM300 juta tiap satu, Projek Bandar Malaysia di atas tapak Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi dan kilang penjana elektrik.

Dalam masa tak sampai 10 tahun, China muncul sebagai pelabur, pemaju hartanah dan kontraktor asing yang paling agresif dan dapat layanan istimewa di Malaysia sampai jejaskan kedudukan pemaju tempatan.

Pada 22 November lepas agensi berita ekonomi antarabangsa Bloomberg siar rencana berkenaan “bandar raya China” bernilai AS$100 bilion (RM400 bilion) yang sedang dibina di Johor.

Antara lain berita itu kata, pemaju dari China yakin Johor Baru yang dekat dengan Singapura akan jadi Shenzhen baru. Shenzhen ni adalah bandar raya baru di tanah besar China ke utara Hong Kong.

Ungkapan “the next Shenzhen” atau Shenzhen baru itu sangat  menarik. Tapi kalau kita faham, ia sangat menakutkan. Johor Baru akan jadi Shenzhen baru sebab kebanyakan harta yang sedang dimajukan di situ ditujukan khas kepada pembeli dari China dan Singapura.

Johor Baru akan jadi Shenzhen Baru
China banyak duit dan selera pelabur China sangat besar. Menurut Bloomberg, projek yang akan jadi “Shenzhen baru” itu dikenali sebagai Forest City dan mampu tempatkan 700,000 penduduk. Pembinaan bermula Februari lalu dan 8,000 unit apartmen dah dijual.

Ia adalah projek terbesar antara kira-kira 60 projek di Iskandar Malaysia yang semuanya akan menambah setengah juta kediaman yang ditujukan kepada pembeli luar negara, khususnya dari China dan Singapura.

Kalau kita tak jaga-jaga dan kita biar orang tamak bermaharajalela, boleh jadi kita akan alami masalah kependudukan dan percanggahan budaya yang sangat besar.

Sekarang pun sudah ramai rakyat tempatan, khususnya Bumiputera dan bukan Bumiputera miskin, dah terpinggir dan tertindas akibat persaingan daripada pendatang Singapura yang lebih kaya.

Sebaliknya rakyat jelata kita yang ada kemampuan tak berminat dengan harta di “next Shenzhen” sebab mereka dah ada rumah di Australia, New Zealand, England, Amerika Syarikat dan Kanada atau sedang berkira-kira berhijrah ke luar negara.

Kita juga tak boleh pandang ringan kemungkinan negara kita, khususnya Johor, dibanjiri pemastautin asing yang berbeza bahasa dan budaya dengan kita atau yang tak hormati kepelbagaian kaum kita.

Sifat tamak dan gila duit orang kita yang berkuasa boleh sebabkan negara dijajah semula melalui pemilikan ekonomi dan pemberian hutang. Akhirnya kita terpaksa hantar “bunga emas” kepada China macam raja-raja kita buat pada zaman dulu kala.

Inilah bencana yang sedang timpa kita akibat sabotaj ekonomi dalam bentuk 1MDB.

Dalam Umno berkempen menakut-nakutkan orang Melayu, orang kampung dan orang Felda terhadap Cina DAP, tapi di belakang mereka, kerajaan yang Umno pimpin dah ditipu oleh Cina Jho Low kawan keluarga Najib.

Jho Low (kiri sekali) bercuti atas kapal bersama keluarga Najib
Banyak tanah dan harta pusaka dah dijual-gadai kepada negara China kerana nak tampung hutang RM50 bilion yang Jho Low bebankan ke atas kita semua melalui skandal 1MDB.

Dia curi duit untuk bersuka-suka, negara kita yang jadi hina dan berhutang beribu-ribu juta yang kita, anak dan cucu kita jadi kuda, jadi mangsa.

Inikah wasatiyyah?

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).