A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous tidak
akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas.
Boleh guna nama samaran.]
PERDANA Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, telah pun membentangkan agenda
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
Banyak orang hadir di majlis itu dan oleh sebab ucapan beliau disiarkan
secara langsung oleh pelbagai stesen TV dan saluran Internet, maka bolehlah
saya simpulkan yang cukup banyak orang mendengarnya.
Kepada yang belum mengetahui atau yang mahu menghalusinya, di bawah ini
saya siarkan teks penuh ucapan beliau.
Saya tidak akan mengulas panjang atau membuat analisis terperinci. Apa yang
beliau bentangkan bukanlah terlalu sukar untuk difahami dan dinilai. Saya
sekadar ingin menyebut perkara berikut:
1. Ia bukanlah pembentangan dasar baru. Ia sekadar penerusan dasar dan
pendekatan yang sedia ada berteraskan ETP dan GTP dan pembangunan inklusif. Ia
lebih berupa pembentangan pentadbiran.
2. Keberkesanan rancangan, pendekatan yang terkandung dalam dokumen itu
banyak bergantung pada birokrasi. Kalau sikap, kecekapan dan komitmen para
pentadbir awam tidak berubah, harapan menjayakan ikrar pasca-PRU dan
pra-pemilihan pucuk pimpinan Umno akan berkesudahan dengan walhasil balik asal,
itu pasal tak hasil.
3. Daripada ucapan Mohd Najib itu jelas bahawa syarikat-syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) dan badan-badan pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan
peranan penting menjayakan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.
Jadi, apa pun minat dan kecenderungan Mohd Najib terhadap Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingkan, kepentingan GLC,
GLIC, Bumiputera, rakyat jelata serta nagara wajib dipertahankan. Penyerahan
kepada TPPA akan sekali gus mengehadkan kemampuan GLC membantu pemerkasaan
agenda ekonomi Bumiputera.
4. Sebelum saya memberikan endorsement dan thumbs-up, saya akan tunggu
segelas air yang dijanjikan kepada saya (baca posting lepas) dihantarkan.
Selepas meminumnya dan saya tidak keracunan, barulah saya akan menjerit
“hooray”. Sementara menunggu saat itu, saya memberi “benefit of the doubt”
kepada Perdana Menteri.
Seorang penyelidik dan penganalisis ekonomi yang saya temui berkata:
“1. PM seems to understand some of the key issues facing the community, but
unfortunately the policy initiatives announced this morning lack substance and
coherence, and more importantly they will not solve the Bumiputera economic
problems.
2. Even his first initiatives i.e MENDAYA MODAL
INSAN BUMIPUTERA is already seems misguided. He knows that the Bumi can’t get a
job because of discriminative policies in the private sector, and yet this is
conveniently not addressed. It is pointless to equip these young ambitious Bumi
students and graduates if the private sector would not employ them. In
addition, engaging ‘weak’ institutions such as Giat Mara and IKBN would not
give these kids a strong ‘premium’ in employability.
3. His second imitative - MEMANTAPKAN PEMILIKAN
EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT – is also equally misguided. It is
again pointless to set up ASB2 if majority of the Bumiputera do not have a
financial capacity to save. I am sure the PM is fully aware that not even 50%
of the Bumiputera has an account with ASB, and majority of those that do have,
only invest less than RM700. If the aim of the policy is to ensure Bumi equity
ownership in the corporate sector increases, then setting up ASB2 is not the
answer. Bumi has no money. They are still working in low-level occupations. The
strategy should instead focus on addressing how to improve their income, but we
didn’t even hear a word this morning on how this problem is to be addressed.
4. The third initiative [MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET
BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA] is again, shows how insensitive the PM to the
grouses of the rakyat. It is again pointless to ask PR1MA or SPNB and state
agencies to build ‘affordable’ houses when prices of these houses are anything
but affordable.
5. As with NEM and ETP, the focus of this speech
remains confine to the business segment of the bumiputera community. How about
the majority of the Bumiputera who are wage earners? Does this policy
specifically address the problems facing Sabah and Sarawak? How about the rural
households? Again, this morning announcement seems half-baked.
6. Finally, what is most disappointing is that the
leadership failure is not addressed. Researchers on Malay issues - from Munshi Abdullah to Zaaba to Syed
Husin Alatas – all reveal that the common theme of backwardness of the Malay
society is due to lack of quality leadership. None of the announcement this
morning addresses the incompetence of the leadership.”
Keras tetapi inilah pendapat dan tanggapan generasi
muda Bumiputera yang terpelajar dan komited kepada pemerkasaan ekonomi
Bumputera. Merek masih tidak yakin dan tidak teruja dengan janji dan kata-kata
sahaja.
TEKS Penuh Ucapan
Perdana Menteri
Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
1.
Alhamdulillah,
syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua kita
dapat berkumpul pada pagi ini, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti
Teknologi MARA, sebuah institusisimbol serta perlambangan kepada perjuangan
Melayu dan Bumiputera yang tiada pernah hentinya.
2.
Terlebih dahulu, saya,bagi pihak
Kerajaan,merakamkan setinggi-tinggipenghargaan kepada rakyat
Malaysia,terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah
menunjang,mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional padaPilihanraya Umum
Ke-13... untuk terus menerajui kepimpinan negara.Apa yang lebih mengharukan
adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepadaBarisan Nasional,telah berjaya
menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
3.
Ini membuktikan,
walau apapun rintangan, sekali apapun tohmahan, Kepimpinan Transformatif UMNO,
bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh,terus
kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat,bagi tempoh 5
tahun akan datang,.... demimeneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air
tercinta ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
4.
Setelah selesai
Pilihanraya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai
rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh
masyarakat Bumiputera, tentang
nasib, masa depan dan halatuju, bersama anak-anak cucu mereka,di bumi tanah
tumpah darah kita.
5.
Sememangnya,
kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut
nadi sertaresah gulana tuan-tuan dan puan-puan......,Yes... indeed!!!... we hear you...we hear you loud and clear.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
6.
Sejak negara
mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos tahun 1957,rakyat telah hidup
dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September
1963, Sabah dan Sarawak pula bergabung bagi membentuk Malaysia. Alhamdulillah,
penyatuan ini, membawa sejuta rahmat kepada kita. Lusa, dengan izin Tuhan jua,
kita akan menyambut genapnya lima puluh tahun, perayaan jubli emas Malaysia,
yang InsyaAllah akan saya hadiri di Bandaraya Kuching dan Kota Kinabalu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
7.
Menyonsong
populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56
peratuspenduduk. Orang Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, orang
asli pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku,
manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60etnik.
8.
Semasa
Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu
Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh
adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua
juga kira Melayu, malah muallaf bertakrif Melayu, waima.... Mamak dan Malabari
pun....... dah serap ke Melayu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
9.
Banci Penduduk
dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah
59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, 7.6 peratus bilangan
daripada rakyat keseluruhannya.Unjuran terkini, setakat 2013, menganggarkan warganegara Malaysia, adalah
seramai27.4 juta orang, yang mana Bumiputera adalah 18.6 juta atau 67.9
peratus.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
10.
Sejak Merdeka, semua perancangan serta
dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal
berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secaraprinsipnya,
perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian
lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh bapa-bapa
pengasas negara kita terdahulu,
dilindungi, dan dimaktubkandalam Perlembagaan Persekutuan melalui
Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan a.
Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b.
11.
Makanya, Melayu
dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya,
sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau mengabaikan
agenda Melayu serta Bumiputera,adalah tidak adil dan tidak saksama.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
12.
Perkara ini sangat mustahak untuk
difahami dengan baik-baik oleh semua pihak bahawa kita sentiasa menginsafi dan
beringat-ingat tentangAgenda Bumiputera
sebagai Agenda Nasional.Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera
tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak
akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian
menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada
tahun 2020.
13.
Hatta, sejarah telah membuktikan dalam
pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan,
bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia
berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama,hasil daripada pembangunan ekonomi
negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, ataumenidakkan hak sesiapa,tetapi
sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi
yang mampan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
14.
Tawarikh dunia
juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan
peranan pro-aktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama,
antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja,
antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar
biru,telah dan sedang membawa malapetaka.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
15.
Jika dihimbau
kembali,Dasar Ekonomi Baruyakni DEB telah diperkenalkan pada tahun 1971, oleh Allahyarham
Tun Abdul Razak, Ayahanda saya, untuk menanganiisu ketidakseimbangan
sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinanberikutan
tragedi 13 Mei 1969.
16.
Begitulah Dasar
Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990. Semenjak
tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka
Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.
17.
Dasar
Pembangunan Nasional pula,melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun
2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010.
Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional,semasa
membentangkan Bajet tahun 2010,sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk
mencapai Wawasan 2020 kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
18.
Sejak merdeka,
Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi demi Melayu dan
Bumiputera, antaranya,Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA,
RISDA,FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR.Perdana Menteri
Ketiga yakni, Tun Hussein Onn pula telah menubuhkanPermodalan Nasional Berhad
dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.
19.
Seperti yang
kita maklumi juga, kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi olehPerdana
Menteri Keempat,yakni Tun Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan
2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. Perdana Menteri Kelima
pula, Tun Abdullah telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan
pembangunan ekonomi wilayah.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
20.
Sejak saya
mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkan Model Baru
Ekonomi,yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju
berpendapatan tinggi,dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat
Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain pabila fajar negara maju
menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi.
21.
Selain itu, secara dasarnya,Model Baru
Ekonomimemperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip
pertumbuhan dengan kesaksamaanatau growth
with equity, bagi mempastikan
semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi
dan kekayaan negara.
22.
Manakala,
Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada tahun 2011 yanglalu hingga 2015
nanti, bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat
Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat
sama dalam semua aktiviti ekonomi. Ini,adalah berasaskan
kepada prinsip mesra pasaran,berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan
tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalahpersaingan dalam kalangan
Bumiputera.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
23.
Kerajaan juga
telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi
Ekonomi bagi membentuk satu ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan
berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi
negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak
menentu. Pada tahun 2011 dan 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang
masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus.
24.
Apa yang ingin
saya tegaskan di sini, pertumbuhan secara berterusan begini, adalah amat
penting, kerana, pertama, dengan adanya pertumbuhan, barulah kita dapat
mengagihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tuan-tuan
dan Puan-Puan,
25.
Melalui
perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera telah
meningkat. Misalnya, pendapatan purata bulanan isirumah Bumiputera telah naik
daripada 172ringgit pada tahun 1970an kepada 4,457 ringgit pada tahun 2012atau
hampir 2,500 peratus dalam jangkamasa 42 tahun.
26.
Kadar kemiskinan
Bumiputera pula,telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun 1970an
kepada 2.2 peratus pada tahun 2012.Pemilikan ekuiti syarikat korporat
Bumiputerajuga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970an
kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.
27.
Selain itu,
kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu,bilangan tenaga kerja
Bumiputera dalam kategori profesional, terutamanya golonganbertauliah seperti
doktor-doktor perubatan, para juruteradanpara peguam sudah menghampiri
peratusan komposisi kaum.
28.
Ini membuktikan,
Dasar Ekonomi Baru,sebagai langkah awal telah berjaya menangani jurang antara
kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera. Jelasnya, sepanjang
lebih 4 dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi.
Tuan-Tuan dan
Puan-Puan,
29.
Namun begitu,
Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnyajurang ketaksamaan pendapatan antara
etnik. Sebagai contoh,pada tahun 2012,
pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera
pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.
30.
Dalam konteks
pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai sasaran
sekurang-kurangnya30 peratus. Effective
control kita ke atas syarikat korporat terkini hanyalah pada sekitar 10
peratus. Kerajaan juga faham bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam
aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada
tahap usahawan kecil dan mikro.
31.
Lantaran yang
demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan....... atas sokongan dan dokongan yang
diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada Pilihanraya Umum Ke-13
baru-baru ini...., maka, ....pada hari ini........, Kerajaan memutuskan untuk
membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta
pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.
32.
Perjumpaan penuh
bermakna dan bersejarah ini, kita namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita perbuat,
demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Masyarakat Bumiputera, dari
dulu, kini dan selama-lamanya........
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberi fokus kepada lima strategi
utama.
Tuan-Tuan dan
Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL
INSANBUMIPUTERA
33.
Seperti kita
maklumi, modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan sesebuah
masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah berjaya menempatkan secara signifikan
pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam dalam negeri dan luar
negara. Oleh itu, fasa seterusnya adalah pemerkasaan modal insan Bumiputerayang
menjurus kepada pemadanan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan
pasaran.
34.
Untuk tujuan
itu, pertamanya, bagi golongan
remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran,Kerajaan akan
memperbanyakkan program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua
supayamereka memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan.
35.
Dalam aspek ini
juga, program re-skillingakan
dipergiatkan. Untuk tujuan itu, peruntukan tambahan akan diberikan kepada
GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan
program latihan.Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh
Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan
latihan dua syif.
36.
Kedua,
kepada golongan graduan Bumiputera yang mengganggur pula, Kerajaan akan
menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, agar
bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan tersebut, program-program
seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate
Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan diperluaskan
untuk menambah bilangan penerima faedah.
37.
Ketiganya,
bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti
Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluaskan Program Pendidikan
Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran terutamanya dalam bidang-bidang
kritikal dan berteknologi tinggi.
38.
Keempat,
dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera,Program Peneraju
Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta
program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini akan membantu mereka
memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah,
terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar,
arkitek, jurutera danahli sains aktuari.
Tuan-Tuan dan
Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN
EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
39.
Sehingga kini,
had maksimum bagi setiap individu dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera
adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru, bagi menggalakkan
penyertaan,terutamanya golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham,
sukacita saya mengumumkan Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 akan
dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak 10 bilion
unit saham.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH
PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
1.
Bumiputera masih
lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman,
premis industri dan kompleks komersial.Sebagai contoh, dalam tahun 2012,
transaksi rumah kediaman yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah
Negara, menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi rumah kediaman melibatkan
Bumiputera dengan nilainyahampir 18 bilion ringgit atau 26 peratus.
2.
Pada sudut lain
pula, banyak aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan masyarakat
Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan secara teratur atau terbiar menyebabkan
nilai aset berkenaan menjadi rendah. Justeru, bagi mengoptimakan nilai dan
manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan
diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat.
3.
Peranan
institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah
Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad
akan diperkukuhkan bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan
industri, terutamanya di lokasi strategik di seluruh negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
4.
Di samping itu,
kerajaan menyedari tahap kemampuan masyarakat Bumiputera untuk memiliki rumah
adalah rendah dan ditambah lagi dengan harga pasaran rumah yang semakin
meningkat. Ke arah memperkasakan pemilikan aset hartanah, bagi menjana kekayaan
Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysiaatau PR1MA
sertaSyarikat Perumahan Negara Berhaddan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan
Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputeradi
seluruh negara, termasukSabah dan Sarawak.
5.
Manakala menurut
perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus penduduk Malaysia yang menetap di
bandar adalah Bumiputera. Namun, Kerajaan tahu, peratusan pemilikan hartanah
Bumiputera di kawasan bandar adalah kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan,
bagi membetulkan keadaan ini, kedudukan pemilikan hartanah Bumiputera semakin
meruncing.
6.
Lantaran itu,
peranan UDA Corporation akan diperkukuhkanuntuk membantu membangun hartanah
termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan
perdagangan di kawasan bandar.
7.
Bersabit hal ini
juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang terlibat dalam perniagaan
hartanah untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera
terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis komersial.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus
Pemerkasaan Keempat: MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
8.
Sebagaimana kita maklum, perniagaan dan
keusahawanan merupakan aktiviti ekonomi terpenting bagi menjana pendapatan dan
kekayaan. Walau bagaimanapun, penglibatan Bumiputera dalam kegiatan tersebut
masih rendah disebabkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi termasuk
teknologi pengeluaran yang lapuk, kekurangan akses kepada dana dan modal serta
pasaran produk yang terhad.
9.
Dalammengatasi isu akses kepada dana
pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana pula, peranan agensi pembangunan
usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan
PUNB akan diperkuatkan supaya bilangan usahawan Bumiputera yang menerima akan
bertambah, termasuk di Sabah dan Sarawak.
10.
Sehubungan itu, sukacita saya umumkan,
tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysiasebanyak300 juta ringgit
untuk tempoh lima tahun. Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, yang
majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500 ribu
orang pada tahun 2015 kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
11.
Pada kesempatan ini juga, saya
mengumumkan,dana tambahan sejumlah 700 juta ringgit kepada TEKUN Nasional.Bilangan
usahawan TEKUN Nasional juga dijangkaakan meningkat daripada 270 ribu pada
tahun 2013,kepada 370 ribu pada tahun 2015.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
12.
Bagi menyahut keluhan usahawan yang mengalami
kesukaran mendapatkan akses ke pasaran, maka, saya akan mengarahkan semua
Kementerian dan GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan
vendor mestilahberasaskan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Barulah usahawan
Bumiputera dapat dipupuk menjadi berdaya maju dan mampan.
13.
Seiring dengan itu, saya juga mahukan jangka
masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik
pinjaman bank agar projek mereka dapat dijalankan dengan lancar.
14.
Berkait dengan pemerkasaan Program Pembangunan
Vendor atau VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh
rantaian bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula dalam sektor
tenaga, manakala Telekom Malaysiadan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam
sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor
perladangan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
15.
Dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini
juga, saya mahukan semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke
atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang dianugerahkan kepada vendor.
Ini wajiblah dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI kepada CEO
atau Ketua Pegawai Eksekutif syarikat masing-masing.
16.
Sehubungan itu, suka saya kongsikan dalam sektor
minyak dan gas antara sekarang sehingga tahun 2017, PETRONAS sedang dan akan menjalankan
beberapa projek utama dalam sektor upstream
dan downstream. Melalui projek-projek
tersebut, kita merangkakan supaya syarikat-syarikat Bumiputera mendapat manfaat
daripada kontrak yang bernilai 20 bilion ringgit setiap tahun untuk kerja-kerja
perkhidmatan di sektor upstream dan downstream.
17.
Jangka hayat kemudahan-kemudahan ini selalunya
mengambil masa selama 25 tahun atau lebih. Dianggarkan sekurang-kurangnya 22
skop kerja kritikal bakal diwujudkan dan dapat memberi manfaat kepada
syarikat-syarikat Bumiputera.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
18. Bagi menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui GLC dan
GLIC, akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang akan melibatkan
diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian yang berpotensi dan
mempunyai nilai tambah tinggi. Dalam konteks ini, GLC dan GLIC akan menerajui
usaha untuk mewujudkan beberapa konsortium syarikat Bumiputera dalam
sektor-sektor yang terlibat.
Tuan-Tuan dan Puan-puan,
19.
Program Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya menjadi pemangkin
bagi mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang berjaya. Oleh itu, untuk
merancakkan lagi program berkenaan, Unit
Kerjasama Awam Swasta atau UKASakanmengambil inisiatif untuk mengenalpasti
secara terpilih mana-mana perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk
diswastakankepada Bumiputera.
20. Sebagai langkah untuk mempastikan peluang
syarikat Bumiputera untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk
bersaing pada masa hadapan pula, dasar
Carve-out akan diperluaskan kepadaprojek-projek besar lain di bawah
kementerian serta GLC dan GLIC.Dasar ini telah berjaya dilakukan di dalam
projek MRT di mana sebanyak 47 peratus atau 9 bilion ringgit telah
dianugerahkan kepada syarikat Bumiputeraterpilih secara meritokrasi.
21. Sebagai contoh,
empat projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah
Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition
Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.
Tuan-Tuan dan
Puan-Puan,
22. Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina
satu Komuniti Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya
saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga perlu
mempunyai minat yang tinggi serta passionate
dalam menyertai bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau knowledge based economy seperti
teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau.
23.
Untuk tujuan ini, satu skim pembiayaan baru
lagi unik dinamakan sebagai Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau
ringkasnya SUPERBakan diperkenalkan.Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat start-up. Bagi tujuan itu, dana sebanyak
100 juta ringit akan diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun.
24.
SUPERB
ini akan menyediakan kemudahan geran sehingga500 ribu ringgit kepada
entrepreneurbaru yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang strategik yang
mempunyai potensi masa hadapan yang besar.
25.
Pemilihan entrepreneur-entrepreneurBumiputera
ini adalah berdasarkan merit danakan dibuat oleh sekumpulan panel entrepreneur
di kalangan mereka yang telah berjaya. Di samping itu, entrepreneur baru yang
terpilih akanturut mendapat perkhidmatan mentoring daripada entrepreneur yang
sudah berjaya tersebut.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kelima: MEMANTAPKAN
EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
26.
Sebagaimana yang
saya sebutkan, Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh masyarakat
Bumiputera berhubung tahap penyertaan dalam program pembangunan sosioekonomi.
Oleh itu, bagi mempastikan agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat
dilaksanakan secaraefektif, sistem penyampaian akan diperkemas dan diperkejap
untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif dan konstruktif.
27.
Untuk itu,
Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua kementerian.
Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan
melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
28.
Menjiwai kepentingan dan perjuangan
Bumiputera, saya ingin memetik Tujuh Wasiat, oleh Sembilan Raja-Raja Melayu,
semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah
Persekutuan.
Bahawasanya:
“Kami
isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan
simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan,
Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah
bersama-sama kaum lain”.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
29. Wasiat ini sangat terang
lagi bersuluh. Ia telah menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu
dan kemudiannya diperluaskan kepada Bumiputera, melalui kebersatuan Sabah dan
Sarawak pabila Malaysia dibentuk 50 tahun yang lalu.
30. Kendatipun begitu, bagi
pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak, agar
jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan
ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar ini, kita
lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang
lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa.
Ladies and Gentlemen,
31. Certainly!... We are doing what is fair,... we are doing
what is right..., and we are doing what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai
apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain.
32. Sayugia, yang tertanam di
benak sanubari saya dan kerajaan, adalah hasrat murni untuk terus gigih
mencipta serta menjana kekayaan baru. Semoga nikmat dan kemakmurannya, dapat
diraih serta dirasai oleh semua golongan sebagai rakyat Malaysia secara adil
dan saksama.
33. Bahkan, kerukunan kitatelah
diiktiraf pada tangga ke-20 sebagai negara paling stabil dan aman di
dunia..............., Begitulah istimewa dan uniknya Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
34. Pucuk pangkalnya, hendak
saya pertegaskan bahawa kita adalah kerajaan yang berhemah lagi
bertanggungjawab, ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira apa jua latar
belakang samada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam.
35. Kita juga tidak seperti
sesetengah pelaku politik, yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman
sehingga menggerun dan memesongkan pemikiran rakyat.
36. Suka tidak suka, seandainya
tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang
dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita.
Sekiranya dibiar dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa
yang berdaulat lagi merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam.... Barang
dijauhkan oleh Allah jua.....
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
37. Sebagai mana di awal ucapan
tadi, saya menyatakan kita berhimpun di sini bukan untuk saja-saja, kita
berkumpul di sini bukan untuk suka-suka......... Seperti slogan yang popular,
UiTM Dihatiku.... makanya, Universiti Teknologi MARA ini sangat dekat di hati
kita, sebagai sebuah institusi Bumiputera yang cukup membanggakan.
38. Bahkan....., masih segar
lagi dalam ingatan, sewaktu berucap sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada
Perhimpunan Agung tahun 2005........., saya telah mengumumkan supaya enrolmen
pelajar UiTM ditingkatkan daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang tahun 2015. Kini,......
Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 orang.
39. Pagi ini pula........., saya
ingin mengumumkan hasrat peningkatan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA
ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020. Penambahan ini juga termasuk penubuhan
beberapa lagi kampus baru di seluruh negara.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
40. Demi Melayu......, Demi
Bumiputera........,Saya ingin mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA yang
berjumlah 1 bilion ringgit bagi membiayai keperluan program latihan,
pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan
pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk Matching Fund nisbah satu
kepada satu antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara berperingkat.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
41.
Kita juga sedar,
masyarakat Bumiputera meletakkan harapan yang tinggi kepada TERAJU bagi
menakhoda agenda pembangunan Bumiputera. Kini, untuk membestarikan lagi TERAJU,
sebagai sebuah badan yang unggul, ia akan diletakkan langsung di bawah saya
sendiri sebagai Perdana Menteri, dengan diketuai oleh
seorang Menteri atau CEO bertaraf Menteri.
42.
Sebagai memenuhi hasrat kita untuk
mewujudkan Komuniti Entrepreneur Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa
Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan
TERAJU. Begitulah juga Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB
yang baru saya wujudkan tadi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
43.
Sebagai payung
dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuah council yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan
ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis Ekonomi
Bumiputera ini akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan Timbalan Pengerusinya
adalah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri
berkenaan. Keahliannya pula bersifat kompak, di mana pelbagai badan bukan
kerajaan dan pihak-pihak yang releven akan diundang. Majlis yang penting ini,
akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih dari
itu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
44.
Maka, berpasak dan bertunjang dengan
Majlis Ekonomi Bumiputera ini....., kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera,
usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana,...... selagi ada bulan
dan bintang,.......... selagi hayat dikandung badan,............. survival
Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai
bila-bila.
45.
Akhir kalam, saya berikrar akan terus
beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Mudah-mudahan dengan
izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai.
HIDUP MELAYU........ HIDUP BUMIPUTERA........ HIDUP
MALAYSIA.......
Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.