Monday, November 29, 2010

AHB: Jana Pemilikan Kolektif Hartanah Oleh Bumiputera

A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KETIKA Perdana Menteri ketiga, Allahyarham (Tun) Hussein Onn, melancarkan Skim Amanah Saham Bumiputera di Ibu Negara pada tahun 1981 saya tidak menghadirinya. Sebaliknya saya berada di Batu Pahat dan sekitarnya bagi membuat liputan sambatan Bumiputera terhadap saham amanah itu.

Alhamdulillah, hari ini berjuta Bumiputera menjadi pelabur ASB dan unit-unit saham lain yang ditaja oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pelaburan saham amanah sudah menjadi kebiasaan kepada ramai Bumiputera. Melaluinya tercapailah sedikit sebanyak matlamat pengagihan kekayaan negara.

Hari ini, saya mendapat pelawaan bidan terjun menghadiri pelancaran Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di Pusat Konvensyen Sime Darby di Ibu Negara oleh Perdana Menteri, Mohd Najib (Tun) Abdul Razak.


Terima kasih kepada sahabat lama saya zaman New Zealand dan New Straits Times, (Tan Sri) Md Nor Yusof kerana menjemput. Dia adalah Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), pelaksana AHB.

Tahniah dan terima kasih kepada kerajaan kerana menubuhkan PHB pada tahun 2006 yang sejak itu telah membeli beberapa aset hartanah strategik untuk dipegang bagi pihak Bumiputera dan kepada Mohd Najib kerana mengumumkan skim AHB ketika membentangkan Belanjawan 2011 baru-baru ini.

Alhamdulillah, tidaklah sia-sia Bumiputera dari jauh dan dekat menegangkan urat tengkuk mendongak ke langit untuk melihat bangunan-bangun pencakar langit di Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya beberapa buah daripadanya adalah “milik” mereka.

Kalau skim pemilikan dan pengagihan kekayaan negara seperti AHB tidak diwujudkan, bukan leher Bumiputera sahaja yang sakit, hati mereka pun turut sakit kerana bangunan-bangunan tersergam itu bukan milik mereka.

Hari ini, dengan pelancaran AHB dapatlah mereka menjadi pemilik sah aset-aset strategik itu dengan melabur sekurang-kurangnya RM500 seorang. Yang banyak simpanan, bolehlah melabur maksimum RM200,000.

Unit-unit saham AHB boleh dibeli oleh semua Bumiputera di 400 cawangan Malayan Banking Berhad dengan syarat bakal pelabur berusia tiga bulan (ya, bulan) ke atas. Skim AHB adalah patuh syariah, berharga RM1 seunit, modal dilindungi, boleh dijual balik sekali sebulan kalau perlukan duit dan akan membayar dividen dua kali setahun. Mohd Najib berkata skim AHB menjanjikan kadar dividen yang kompetitif yang pastinya mengatasi faedah simpanan tetap.

Alhamdulillah, tidak semua aspirasi dan hak kaum Bumiputera dilunturkan atau diabaikan terus atas nama transformasi ekonomi. Kerajaan wajib membuktikan melalui tindakan bahawa hak dan kepentingan kaum induk dan majoriti tidak akan dikorbankan atas nama liberalisasi ekonomi.

Saya tidak pasti kalau Mohd Najib masih ingat, tetapi saya dan beberapa orang wartawan lama Melayu telah bertemu beliau ketika beliau Timbalan Perdana Menteri untuk merayu agar matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyakat diteruskan.

Kita bercakap mengenai jurang pendapatan yang semakin meluas antara yang kaya dengan yang miskin, antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera dan antara yang kaya dalam satu bangsa dengan yang miskin dalam bangsa yang sama.

Hari ini, Mohd Najib bercakap mengenai keperluan berlaku adil kepada semua pihak dan mengenai bahaya meminggirkan kaum majoriti dalam arus pembangunan negara. Lantaran itu, kita bolehlah melihat pelancaran AHB sebagai salah satu cara menjamin penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah.

Syabas dan terima kasih kepada semua yang terbabit.

Sunday, November 28, 2010

Sukan Asia: Tahniah Tapi Berjaga-jagalah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

TAHNIAH dan terima kasih kepada Pasukan Sukan Asia kita kerana mencatatkan kejayaan yang boleh kita banggakan.

Sebenarnya kita boleh jika kita mahu. Yang menjadi masalah adalah sikap ahli sukan kita dan pengurusan sukan negara yang terlalu dipolitikkan.

Pasukan Malaysia menduduki tempat ke-10 dalam kiraan pingat emas daripada 45 buah negara dan wilayah yang mengambil bahagian. Ahli sukan Malaysia memperoleh 41 pingat kesemuanya iaitu sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Tuan rumah, Republik Rakyat China mendahului dengan 416 pingat diikuti Korea Selatan dengan 232 pingat, Jepun (216), Iran (59), Kazakhstan (79), India (64), Taiwan (67), Uzbekistan (56) dan Thailand (52).

Hakikat bahawa China mendapat tempat pertama tidaklah memeranjatkan. Bukan sahaja ia tuan rumah, tetapi berupa negara terbesar di dunia. Kalau dikira bilangan pingat yang diperolehnya berbanding jumlah penduduk, nisbahnya adalah sebuah pingat bagi setiap 3.2 juta orang. Penduduk China dianggarkan 1.34 bilion.

Bagi Malaysia, nisbahnya adalah satu pingat bagi setiap 689,036 orang penduduk. Berdasarkan bilangan penduduk, Malaysia lebih berjaya daripada China.

Dengan 64 pingat, nisbah India adalah satu pingat bagi setiap 18.6 juta penduduk.

Di kalangan negara yang menduduki tempat 10 ke atas, Korea Selatan paling cemerlang. Ia menang 232 pingat atau sebuah bagi setiap 214,539 orang penduduk.

Tapi jangan lupa Hong Kong. Walaupun HK sebahagian daripada negeri China, tapi sebagai Wilayah Pentadbiran Istimewa (SAR) ia menghantar kontinjen sendiri. Dengan 40 pingat, nisbah Hong Kong adalah satu pingat bagi setiap 176,530 orang penduduk.

Taiwan, sebuah lagi wilayah berbangsa Cina, mendapat 67 pingat menjadikan nisbahnya satu pingat bagi setiap 345,536 orang penduduk. Manakala Singapura, juga negara majoriti Cina, nisbahnya adalah satu pingat bagi setiap 298,629 orang penduduk.

Jadi, walaupun Malaysia mengatasi China dari aspek nisbah penduduk dengan bilangan pingat, tetapi kalah kepada Hong Kong, Singapura dan Taiwan.

Nisbah Malaysia, bagaimanapun, mengatasi Indonesia (1:9,136,780), Filipina (1:5,875,820) dan Negeri Thai (1:1,289,807).

Kesimpulannya, walaupun kita berjaya memecahkan rekod kita sendiri dan menduduki tangga ke-10 dalam kiraan pingat emas, namun kita masih belum memanfaatkan sepenuh potensi yang ada.

Amaran Ketua Pengarah Majilis Sukan Negara, Kolples Embong, mengenai pergantungan kepada squash dan bowling sangat tepat.

Lima daripada sembilan pingat emas Malaysia disumbangkan oleh peserta squash dan bowling. Dua sukan ini mungkin digugurkan daripada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, pada 2014.

Takut-takut tanpa squash dan bowling, prestasi Malaysia di Incheon nanti tidak sebaik di Guangzhou.

Hanya dengan latihan yang lebih kemas dan pencarian bakat yang bersungguh-sungguh bermula dari sekolah rendah, Malaysia berpotensi menjadi negara sukan yang lebih cemerlang di arena antarabangsa.

Wednesday, November 24, 2010

The Gamble Of Early Election

A Kadir Jasin

[Please take note, ANONYMOUS comments with not be entertained. When commenting, your real identity is preferred. But a suitable pseudonym is accepted. If you have to use anonymous, please print your name or pen name at the bottom of your message. Please avoid seditious, defamatory and libelous statements. Unrelated comments will not be given priority.]

ONE of those resilient politicos, whose career I have tracked since the late 1960s when I became a reporter, is the DAP supreme leader, Lim Kit Siang.

I have not bumped into LKS for a long time. That’s because I had stop frequenting Raju’s. LKS was a Raju’s regular. I had since found a couple of good and more seasonably priced Mamak and Indian restaurants in the Petaling Jaya area.

Being a veteran, LKS’s political readings can be considered reliable although he might not often spell them out truthfully for political reasons.

But when he, on Nov. 20, he warned in Kota Kinabalu that the DAP’s political partners (PKR and Pas) and Barisan Nasional should not be too confident in thinking that the results of the next general elections have been mapped out in their respective favour, I believe him.

He was quoted by Malaysian Insiders as saying that both the Pakatan Rakyat (PR) alliance and the ruling BN were labouring under two fatal assumptions based on the recent events.

“It is a great mistake for BN to believe that its hold on Putrajaya is secure and that it could win back the Kedah and Selangor state governments from PR based on its victories in the Galas, Batu Sapi, Hulu Selangor and Bagan Pinang by-elections,” LKS said.

He noted BN leaders were brimming with confidence after reading former Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad’s comments that the ruling coalition could retake Kedah and Selangor. (Dr Mahathir was today reported as saying that it wasn’t yet the time to hold a general election.)

The Ipoh-Timur MP and DAP’s adviser said the PR was also at risk if it believed it is invincible and its march to Putrajaya was unstoppable.

“Pakatan Rakyat leaders must immediately take stock of the loss of public confidence in the PR, not only from the setbacks in Galas and Batu Sapi, but also from the internal turmoils and problems inside Pakatan Rakyat parties,” he urged.

“Pakatan Rakyat leaders must urgently address these problems to stop and reverse the erosion of public confidence as we cannot afford to be complacent or take lightly the serious challenge and threat posed by Barisan Nasional whether at the parliamentary or state assembly level,” he stressed.

The Spanner In Pakatan’s Work

THE PKR and, to a lesser degree, the DAP are facing internal problems. Anwar Ibrahim’s leadership of the PKR is being openly challenged by its Federal Territory chairman and the former BN Minister, Mohd Zaid Ibrahim.

Zaid’s status is unclear. He said he was leaving the party on Dec. 16, but the party said he did not have to loiter around. He should just vamos – Spanglish (Spanish-English) for depart quickly. Or as we say in the Malay language, berambus.

The DAP faces leadership struggle in Perak with the victory of cousins Ngeh Koo Ham and Nga Kor Ming over the faction led by V. Sivakumar and a similar bruising battle is foreseen for Selangor.

On the BN side, while the MCA and the MIC are on the mend, the Gerakan is mired in uncertainly with the leadership of Dr Koh Tsu Koon remaining under threat.

There’s also fear the grand coalition may become swollen-headed and offensive following its recent by-election victories. This could put off the voters all over again.

The Achilles heel of the PR is the PKR. The opposition alliance could buckle if the PKR tormentor, Mohd Zaid succeeds in forming his own splinter party before the coming GE. He may draw away the disgruntled PKR members and possibly entice a few from the DAP to join him.

If his party fields a sufficiently large number of candidates, he could draw away some PR votes. There’s a slim chance that PR may accept Zaid’s party or enter into a loose electoral pact to avoid an all out confrontation.

Najib’s “Lucky Number”

ON his part, the Prime Minister, Mohd Najib Abdul Razak, has to be supremely confident and 100 per cent sure that the BN has recovered to think of an early general elections.

Number 11 is said to be Mohd Najib’s lucky number, hence the widespread prediction that he will hold the GE sometime next year.

If he holds the GE next year, this will be the shortest Parliament in history. The current Parliament is just over three years.

Unless he is so very sure that the BN will do better, he is taking an unnecessary risk. On the other hand, waiting for the full term may also pose a danger as the economy could worsen and his transformation plans may not produce the expected results.

So, with the mainstream media and friendly pollsters giving him a high mark for popularity and performance, Mohd Najib may be tempted to call for an early GE to obtain his very on mandate instead of continuing with the mediocre mandate of his predecessor.

Irrespective of when the election is held, one new equation has set in. This has to do with the sudden rise in the number of new voters, presumably young first timers and the change in the media landscape.

There has been a big fall in the following of the pro-BN mainstream media in recent years. Coupled with the rising influence of the new media, it could take the battle for the hearts and minds of the voters to whole new level. Whoever is in control of the new media, could end up with the bonus.

Friday, November 19, 2010

Lagi Macam-Macam Ada di Malaysia

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

RAKYAT jelata, pengundi, pembayar cukai dan penderma tentunya mengalu-alukan keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, membatalkan hasrat berangkat ke majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor kerana murka dengan perbelanjaan tinggi untuk sambutan itu.

Hasrat Baginda itu disampaikan menerusi satu kenyataan akhbar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud. Menurut Ramli, baginda tidak memperkenankan penganjuran majlis sambutan berkenaan kerana melibatkan kos kewangan yang terlalu tinggi – melebihi RM300,000. Baginda menyifatkannya sebagai membazir dan tidak berfaedah.

Saya rasa rakyat jelata, pengundi, pembayar cukai dan pesakit juga tentunya mengalu-alukan keputusan Kabinet dalam mesyuarat mingguannya meluluskan RM5 juta bagi menaik taraf unit penjagaan rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (KLH).

Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak dirawat di situ dari 4 hingga 7 November lalu kerana demam campak (chicken pox). Nampaknya peruntukan itu ada kena mengena dengan pengalaman beliau di situ. Alhamdulillah, ada hikmat daripada keuzuran Perdana Menteri itu.

Kalau masa saya membesar di kampung dulu, budak-budak saja yang kena deman campak. Kalau orang dewasa dipanggil kayap melainkan ruam keluar seluruh badan sampai ke muka baru dipanggil campak. Saya sekali kena deman campak masa dewasa. Habis badan dan muka "bopeng". Tak pergi kerja tiga minggu.

Tetapi kita tidaklah perlu tunggu Perdana Menteri dan para pembesar yang berkuasa – VIPs with power – masuk ICU baru ICU dapat duit naik taraf atau masuk kampung baru jalan nak diturap dengan tar atau jatuh ke sungai baru nak kukuhkan jambatan.

Kalaulah para wakil rakyat kita berada di padang seperti yang semestinya, mereka tentulah tahu masalah rakyat. Tetapi kalau sekali-sekala turun padang, tak acilah. Parlimen dan DUN pun bukan bersidang setiap hari atau sepanjang tahun. Jadi tak masuk akallah kalau ada YB yang hanya sekali-sekala turun padang. Istilah turun padang tak relevan kalau para YB jalankan tugas sebab memang tugas mereka berada di padang dengan rakyat.

Kemudian ada berita mengenai presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Umno tidak patuh kepada undang-undang. Lantas dia mendesak Umno berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jika kalah dalam pilihan raya umum akan datang.” Pastilah itu bukan kenyataan yang mahu didengar oleh para pembesar Umno dan tidak syak lagi ramai yang kecut perut dengan kemungkinan itu.

Abdul Hadi berkata, Umno perlu bersikap terbuka menerima kekalahan dan tidak mencari helah untuk terus berkuasa macam di Perak tahun lalu.

“Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah,” katanya.

Tapi tembakan Abdul Hadi terhadap Umno sikit-sikit terkena PKR sebab parti rakan Pas yang memerintah Selangor itu juga sedang menghadapi krisis kepemimpinan yang runcing.

Dan Pas sendiri jatuh sikit markah apabila gagal mempertahankan kerusi DUN Galas, Kelantan dalam pilihan raya kecil 4 November lalu.

Berbalik kepada Kabinet luluskan RM5 juta untuk ICU, Hospital Kuala Lumpur, pemerintah wajib memikirkan kesesuaian melaksanakan projek-projek yang kurang mendesak seperti projek RM65 juta untuk mengubahsuai Sri Perdana.

Kalau Mohd Najib pernah suruh rakyat jelata ubah “lifestyle” (gaya atau cara hidup) masa menarik balik subsidi petrol pada tahun 2006, eloklah para pembesar negara menunjuk jalan dan jadi teladan.

RM65 juta tu banyak. Kalau tak salah, pada zaman Abdullah Ahmad Badawi duduk di situ, dia sudah belanjakan lebih RM15 juta perbaiki dan ubah suai Sri Perdana. Itulah yang dilaporkan dalam Parlimen. Sekarang khabarnya RM65 juta lagi hendak dibelanjakan.

Berita-berita macam inilah yang membuat rakyat jelata marah. Lebih-lebih lagi pada waktu perbelanjaan yang afdal macam pelajaran, kesihatan dan kebajikan masyarakat dijimatkan.

Dengan berita-berita yang tidak masuk akal ini, bolehkah para pembesar Umno dan BN menyalahkan pengundi muda yang sedang bertungkus lumus membina kehidupan dalam suasana ekonomi yang makin mencabar jika mereka memihak kepada pembangkang?

Mereka mungkin tidak benci sangat kepada Umno atau BN, tetapi mereka tidak tahan dengan kurang keprihatinan segelintir pembesar Umno/BN serta sifat hemoi sesetengah watak di sekeliling mereka yang dilihat sebagai lebih sudu dari kuah.

Alangkah elok sumber kewangan negara yang terhad digunakan secara berhemah demi kepentingan rakyat terbanyak dan bukan untuk kesenangan para YB.

Jangan sekali-kali para YB lupa siapa yang meletakkan mereka di situ. Ingatlah, ada ubi ada batas, lima tahun sekali pengundi boleh balas!

Bukan YB BN saja. YB DAP, Pas, PKR dan yang serupa pun kena juga periksa dan ikhlas mengenai perbelanjaan rasmi mereka. Kalau kemurkaan Sultan Selangor dengan perayaan ulang tahun Yayasan Selangor boleh dijadikan contoh, nampaknya kerajaan PKR pun tidak bebas daripada pembaziran.

Akan tetapi, para pembesar Umno janganlah seronok sangat membelasah kerajaan PKR Selangor kerana masih banyak perbelanjaan rasmi kerajaan Umno/BN boleh dianggap membazir dan tidak kena tempat serta masa.

Saya pun setuju dengan titah Baginda Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah, yang kecewa dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri dan semua yang terlibat membantu mangsa banjir negeri itu.

Tak payahlah kita politikkan semua hal dan keadaan, takut-takut yang menyalah dan melalak itu pun tidak lebih daripada mengata dulang paku serpih. Wallahualam.

Monday, November 15, 2010

Macam-Macam Ada -- "Pelompat, Pembohong Dan Penipu"

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]


DALAM perbahasan mengenai tajuk “Bumi Tetap Bah, Hanya Manusia Yang Berubah”, pembahas Langitbiru, antara lain, menulis:

“Semalam, 14.11.2010 Ahad, terbaca tulisan DAto' di Utusan Malaysia bertajuk: PKR:Siapa menang,siapa kalah, lebih kurang gitulah. Saya buka "The Scribe", tak ada pula artikel tu. Dato' dah jadi penulis tamu Utusan Malaysia, tapi saya baca artikel tu, sesuai sangat kalau masuk dalam blog, boleh tumpang sekaki berbahas! Bagaimana 'tiba-tiba' Dato' jadi penulis tamu Utusan?”

Betul saya ada menulis sebuah analisis untuk Mingguan Malaysia semalam, tapi saya bukan penulis tamu Utusan. Sekali sekala saya tulis untuk Utusan. Terima kasih kerana membaca analisis saya dalam Mingguan Malaysia itu.

Sejak Mingguan Malaysia menyiarkan analisis itu, Mohd Zaid Ibrahim dilaporkan oleh ahkbar The Star sebagai berkata dia keluar PKR kerana tidak tahan lagi dan “mahu menjauhkan diri daripada pembohong dan penipu.” Itu hak Zaidlah. Dia boleh keluar-masuk asalkan ada parti yang mahu menerimanya. Lagi elok kalau Zaid dan orang yang sependapat dengannya menaja parti baru.

Untuk tatapan dan perbahasan, saya siarkan semula rencana tulisan saya itu itu seperti berikut:-

“KALAU Zaid lawan Anwar, siapa akan menang? Anwar dan Zaid belum tentu menang. Yang akan menang tanpa menggerakkan se puntung jari pun adalah parti-parti dan pihak-pihak yang bersaing atau bermusuh dengan PKR.

Hakikatnya bukan soal kalau lagi. Perlawanan Mohd Zaid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim sudah pun bermula.

Apa tidaknya, Mohd Zaid secara terbuka, termasuk melalui media massa arus perdana yang tidak diyakini oleh pembangkang, telah mencabar Anwar dan orang kanannya, Mohd Azmin Ali, supaya memberi laluan kepada kepemimpinan baru.

Dan Mohd Zaid tentu tidak berjenaka, sinis atau skeptis apabila dia berkata, dia layak memimpin PKR. Yang malang adalah Mohd Zaid telah menarik dari daripada pertandingan timbalan presiden dan meletakkan semua jawatan parti.

Jadi, peluangnya memimpin PKR atau mengambil bahagian dalam proses kepemimpinan telah berakhir melainkan dia cuba memimpin parti itu dari luar melalui kaedah perang gorila atau pemberontakan.

Kemungkinan Mohd Zaid merampas kuasa melalui pemberontakan pasti tidak dipandang ringan oleh Anwar dan penyokongnya kerana bukan semua elemen dalam kepemimpinan dan keahlian PKR setia kepada Anwar.

Inilah bahana hasrat dan taktik Anwar cuba memperbesar dan memperkuatkan PKR dengan membawa masuk atau membenarkan kemasukan sesiapa saja tanpa menilai latar belakang serta kesesuaian mereka dengan aspirasi dan perjuangannya. Akhirnya keasyikan dia menambah ahli menjadi senjata makan tuan.

Adakah mampu bagi Anwar dan para penyokong setianya mengatasi pemberontakan yang sedang dianjurkan oleh Mohd Zaid ini?

Jawapannya ia, kalau dia belajar sesuatu daripada bekas mentornya Dr Mahathir Mohamad dalam menangani keadaan sebegini.

Anwar sudah pun menjadi orang kesayangan Dr Mahathir apabila Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 dan pada tahun berikutnya berpakat dengan musuh ketatnya, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menjatuhkan Dr Mahathir dalam pemilihan parti.

Musa kalah dan Ku Li tidak menang. Ku Li bawa kes ke mahkamah dan Umno diisytiharkan pertubuhan tidak sah. Dalam perebutan mendaftarkan semula Umno, Ku Li kalah lagi dan akhirnya keluar untuk menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Kalau Anwar belajar daripada pengalaman Dr Mahathir dan mahu terus menerajui PKR, dia terpaksa bertindak tegas. Dia terpaksa menyeluk pekasam hingga ke pangkal lengan atau dia berkemungkinan tersingkir daripada menjadi ketua parti yang diilhamkannya sendiri.

Tetapi, Anwar nampaknya tidak belajar daripada peristiwa lalu. Kalau dia belajar, dia tentulah lebih berhati-hati sebelum menanam modal yang besar mengalu-alukan kemasukan Zaid serta pelarian Barisan Nasional lain ke dalam PKR.

Kesilapan Anwar kini dan dahulu berpunca daripada keyakinan yang melampau terhadap dirinya sendiri. Bukan Anwar tidak kenal Zaid dan pelarian-pelarian BN, tetapi dia begitu yakin dia boleh mengubah dan mengawal sesiapa saja yang berpayung di bawah naungannya.

Ternyata dia silap. Mohd Zaid berani mencabarnya kerana dia yakin dia mempunyai sokongan sebahagian elemen Melayu dan majoriti elemen Cina dan India dalam PKR. Anasir-anasir ini tidak terlalu setia atau taasub kepada Anwar, tetapi kepada matlamat menjatuhkan BN dan menakluki Putrajaya.

Kalau Anwar berasa dirinya Perdana Menteri menunggu, Mohd Zaid pula tidak menyembunyikan matlamat dan cita-citanya menyertai PKR. Dia mahu memimpin parti itu.

Justeru itu, walaupun belum dua tahun melompat dari Umno ke PKR, dia sudah bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti itu dan sekali gus mempersoalkan kedudukan Anwar sebagai ketua yang tidak dipilih.

Dia tahu masa dan keadaan tidak memihak kepadanya setelah dia gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor bagi pihak PKR/Pakatan Rakyat. PKR/PR sangat menaruh harapan bahawa Mohd Zaid dengan namanya yang begitu tersohor dapat mempertahankan kerusi strategik itu.

Kegagalan itu bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada Mohd Zaid, tetapi menghakis harapannya untuk mara dalam kepemimpinan PKR. Maka dia terpaksa bertindak pantas dan tegas untuk membina semula imej dan prestijnya, dan jalan terbaik, dalam perkiraannya, adalah bertanding jawatan timbalan presiden.

Dia tahu dengan mencabar Mold Azmin, dia berdepan dengan Anwar, dan dia juga tahu kalau dia menyerang Mohd Azmin, dia tidak dapat lari daripada menyerang Anwar.

Maka dia memilih untuk sekali gus menyerang Mohd Azmin dan Anwar apabila dia secara terbuka berkata, Mohd Azmin dan Anwar adalah punca masalah PKR.

Strategi Mohd Zaid ini secara tidak langsung menyeret presiden parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail, ke dalam gelanggang pergaduhan dengan memberi gambaran bahawa walaupun Dr Wan Azizah ketua parti yang dipilih (tidak dicabar), tetapi kuasanya tidak sehebat kuasa Anwar yang tidak dipilih.

Setelah gagal dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, Mohd Zaid tidak mampu kalah dalam pemilihan parti. Harapan masa depannya dalam PKR dan arena politik negara serta prestijnya sebagai aktivis politik akan musnah kalau dia gagal memenangi kerusi timbalan presiden.

Tetapi trend pengundian tidak memihak kepadanya dan tercetuslah tuduhan dan dakwaan bahawa proses pengundian tidak telus serta meragukan lantas dia pun menarik diri dan meletakkan semua jawatan parti yang diberikan kepadanya.

Sejak itu, bukan saja pekasam yang diseluk, malah meminjam ungkapan Inggeris berlakulah “washing dirty linen in public.”

Kesimpulannya, apa agaknya kesudahan kepada tendang terajang politik PKR ini? Hal-hal berikut boleh difikirkan dan dianalisis dengan lebih terperinci:-

1. Buat permulaan, semua yang terbabit sudah calar-balar dan kalau gagal dibendung segera akan terlondeh baju dan seluar dan PKR mungkin berakhir dalam lipatan sejarah dengan menerima nasib yang sama seperti parti-parti pelbagai kaum yang lain, antaranya Malayan Independent Party, Parti Negara, Pekemas dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia;

2. PKR akan menjadi lebih kuat dengan peminggiran dan, boleh jadi juga, penyingkiran watak-watak yang menyebabkan krisis yang berlaku sekarang;

3. PKR akan menjadi ibarat kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu;

4. Seandainya PKR kembali kuat, harapannya kekal sebagai pemangkin PR adalah cerah dan PR mungkin boleh mengekalkan cabaran yang kuat terhadap BN pada pilihan raya umum akan datang; dan

5. Pendaftaran PR sebagai pakatan politik yang sah mungkin tergendala atau menghadapi masalah kerana Mohd Zaid adalah pengerusi penaja yang mengepalai proses pendaftaran pakatan itu.”

Bumi Tetap Bah, Hanya Manusia Yang Berubah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SAYA balik kampung baru-baru ini berjumpa emak. Sejak ayah meninggal dua raya puasa lalu, saya lebih kerap balik melawat emak. Alhamdulillah, emak sihat dan semakin biasa hidup tanpa ayah.

Pada mula-mula menang susah. Di mana saja dia lihat, dia “nampak” wajah ayah dan di mana saja dia menghalakan telinga, dia “mendengar” suara ayah. Maklumlah, mereka berumah tangga, dalam damai dan sengketa, susah dan senang, suka dan duka selama lebih 65 tahun.

Alhamdulillah, rumah emak terselamat daripada bah. Sejak rumah kami dipindahkan dari pinggir Sungai Pendang ke tepi jalan raya Pendang-Langgar, di Pekan Tanah Merah, lebih 40 tahun lalu, hanya sekali dua saja dinaiki banjir. Itu pun taklah teruk sangat.

Tapi boleh kata semua jiran yang kekal di tebing Sungai Pendang atau yang berpindah ke tepi sungai untuk memugar tanah padang ragut menjadi bendang, ditenggelami air. Ramai juga yang berpindah ke dewan sivik.

Saya bawa kereta Pajero mengharung air di bandar Alor Star, Kampung Tok Keling dan Tajar. Kereta biasa tak boleh lalu. Orang kampung mengambil kesempatan memancing, menahan taut, memukat, merawai, menangguk dan menangkul.

Meminjam loghat Kedah, ikan keli dan haruan jenoh (banyak). Tapi macam tak acilah pasal ikan itu khabarnya ikan peliharaan yang berenang keluar apabila kolam ternakan ditenggelami banjir.

Saya pun beli beberapa kilo. Gaul dengan garam kunyit dan goreng garing-garing. Makan dengan sambal belacan berulamkan pucuk cemumar, cekur, terung rapuh dan pucuk janggus (gajus).

Sekarang banjir berita besar. Satu negara heboh. Dulu banjir perkara biasa dan tak siapa pun peduli. Jarang sangat kena pindah sebab rumah dibina tinggi atas tiang. Kalau setakat bah empat, lima kaki tak jadi hal.

Tapi dulu kita tak ada kereta, motosikal, peti ais, TV dan sofa empuk. Paling hebat basikal atau gerek, kata orang Utara. Bila banjir kita guna perahu (sampan) atau kita tebang buluh buat rakit.

Bila dah senang kerana Projek Pengairan Muda, rumah kayu bertiang tinggi dirobohkan dan diganti dengan rumah batu atas tanah. Bila banjir sekaki dua pun dah panik. Kalau empat lima kaki sahlah kena pindah.

Dulu kita tunggu musim bah. Kalau jalan putus atau sekolah tutup kita “yahoo” tak payah pergi sekolah. Lagipun bahaya. Boleh kata setiap kali banjir, ada budak sekolah lemas dalam Sungai Pendang dan hantu air akan dipersalahkan.

Hantu air atau tidak, kaki cari ikan dan jerat burung tetap akan harung banjir. Kegemaran saya adalah menahan taut (joran) berumpan anak ikan puyu dan anak keli untuk menangkap ikan haruan.

Kalau sekilo kita tak bising takut dipanggil ponen atau darai. Hanya ponen dan darai tangkap ikan sebesar itu. Anak jantan sejati tangkap haruan sebesar betis.

Sebenarnyalah, banjir tidak lebih daripada sungai menakluki semula wilayah asalnya yang cuba dikepung dan dibendung oleh manusia dengan membina tambak, lencongan dan pintu air.

Sebelum ada Projek Pengairan Muda, pada musim banjir Sungai Pendang akan melimpah tebingnya sehingga empat atau lima batu bergantung kepada permukaan bumi. Lagi rendah dan mendatar, lagi jauhlah dinaiki air.

Tetapi hari ini orang sangat percaya dan bergantung kepada tambak sungai, ban dan pintu air. Maka ada yang berumah di bawah paras sungai dengan dilindungi tambak dan ban. Apabila hujan lebat di hulu dan air melimpah tambak, maka tenggelamlah kampung halaman mereka.

Lagi pun, dengan pemusnahan hutan belantara dan penyelenggaraan sungai yang sambil lewa, banjir hanya menunggu masa untuk berlaku.

Apatah lagi gaya hidup dan hubungan manusia dengan alam semula jadi sudah berubah. Dulu banjir dinanti dan disambut sebagai kemestian alam -- pusingan musim antara kemarau dan hujan. Kini banjir menjadi mala petaka yang dibenci.

Apa pun, kalau manusia berfikir, bersyukur dan bersabar menerima kejadian alam, mereka akan tahu selepas banjir sawah akan menjadi lebih subur, ikan akan menjadi lebih sihat dan racun kimia yang tertanam di dalam bumi akan dibersihkan.

Salah satu punca hasil padi semakin merosot adalah kerana sawah diracuni oleh penggunaan baja dan racun kimia yang melampau. Dulu kalau padi atau tanaman diserang serangga, kita guna racun tuba saja. Dosnya kecil ikan pun tak mati. Sekarang silap-silap manusia pun mati.

Namun kita bersimpati dengan mangsa-mangsa banjir di atas kehilangan, kerugian dan penderitaan mereka. Sehebat mana pun teknologi dan wang ringgit yang ada kepada manusia, alam semula jadi lebih hebat dan berkuasa.

Wednesday, November 10, 2010

Anson Wong Is the Product of Our Reticence

A Kadir Jasin

FROM the political animals, let’s us now shift to people with animalistic instinct preying on fellow humans and helpless animals.

But let me first explain myself. I am not calling politicians animals. I am merely echoing Aristotle’s political theory and philosophy, where he said human beings are by nature political animals.

I joined the Bar Council and other parties in welcoming the recent decision by the Shah Alam High Court to impose a 5-year jail sentence on international wildlife smuggler, Anson Wong Keng Liang.

This man, like all other Malaysian criminals, is bringing a bad name to our beloved country. This man had pleaded guilty to trafficking in wildlife in the US in 2000 and was sentenced to 71 months’ jail.

On Sept. 6, the Sepang Sessions Court sentenced this international wildlife smuggler to six months jail and a fine of RM190,000 for illegally exporting 95 boa constrictors.

On Nov. 4, the Shah Alam High Court enhanced the jail sentence to five years after allowing an appeal filed by the Attorney-General's Chambers for a heavier sentence.

It’s incumbent upon our learned judges to help salvage our sagging international reputation by imposing deterrent sentences on convicted criminals, in particular those engaged in cross-border crimes.

On Nov. 1, the newspaper The Australian reported that a mother and her son had been charged with organising one of Australia's biggest heroin smuggling attempts. Ying Ma and her son Bin Xiao were arrested along with 33-year-old Hong Kong national Nam Leung Lau in Sydney after the police seized 168kg of heroin in a shipping container sent from Malaysia to Sydney.

Because of people like these that our country is being profiled as a centre for money laundering, drug, human and wildlife trafficking, and the transit point for illegal immigrants, and innocent Malaysians travelling abroad are often viewed with suspicion by airport officials.

The ease with which people like Wong were able to carry out their illegal trade past our ports’ and airports’ officials suggests something fishy. Either they are sleeping on the job or are being paid to fall asleep.

And it does not help to boost our morale that the AG, the police and the Malaysian Anti-Corruption Commission had lost so many high profile criminal and corruption cases on technicality.

A sample of what outsiders thinks of us: “MALAYSIA (TIER 3) [Extracted from U.S. State Dept Trafficking in Persons Report, June 2009]. Malaysia is a destination and, to a lesser extent, a source and transit country for women and children trafficked for the purpose of commercial sexual exploitation and for men, women, and children trafficked for the purpose of forced labor. Malaysia is mainly a destination country for men, women, and children who migrate willingly from Indonesia, Nepal, Thailand, the People’s Republic of China (PRC), the Philippines, Burma, Cambodia, Bangladesh, Pakistan, India, and Vietnam for work – usually legal, contractual labor – and are subsequently subjected to conditions of involuntary servitude in the domestic, agricultural, food service, construction, plantation, industrial, and fisheries sectors……”

It does not help that some animalistic Malaysians are raping, beating, scalding, starving and murdering their foreign maids and workers. These people do not deserved being Malaysians or, for that matter, human beings.

I know some people will be angry. But let’s face fact. We can do better if we want to. Unfortunately we are not. We allow the “tidak apa” attitude, corruption, laziness and a misplaced sense of superiority to get the better of us. We are becoming less humane.

Monday, November 08, 2010

Pemilihan PKR: Zaib Ibrahim Tarik Diri

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

RINGKAS sahaja. Hendak maklumkan kepada pembahas dan pembaca blog (kalau belum) bahawa Mohd Zaid Ibrahim, pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan dan bekas Menteri Kabinet Abdullah Ahmad Badawi telah menarik diri daripada pertandingan Timbalan Presiden PKR yang berlangsung sekarang.

Portal berita Malaysian Insider memetik Zaid, sebagai barkata: “Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti.”

Dia berkata demikian dalam posting terbaru blognya awal pagi ini.

Malaysian Insider berkata, Zaid menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden berikutan dakwaan pemilihan kepemimpinan parti itu telah dicemari dan tidak telus.

Zaid dilaporkan berkata, dia mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

Menurut Malaysian Insider lagi, selepas 87 cabang telah menyelesaikan proses pengundian, Azmin (Ali) berada jauh di depan khususnya selepas pemilihan cabang-cabang Sabah kelmarin dan semalam.

Saya tidak mahu tambah apa-apa sebab saya kenal siapa Zaid sejak dia menjadi peguam kepada Renong/UEM pada tahun 1980an dan kemudian cergas dalam Umno hingga menjadi Ahli Parlimen Kota Baru dan kemudian menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Umno, tetapi gagal mendapat pencalonan yang mencukupi.

Selain itu, saya juga tidak mahu bercakap banyak sebab kes saman Zaid terhadap saya berikutan tulisan saya dalam blog ini berada di mahkamah.

Jadi, saya harap Saudara dan Saudari pun berhati-hatilah. Tolong saya. Bukan mudah dan bukan murah kena saman oleh peguam dan politikus macam Mohd Zaid.

Sekarang ini politikus di negara kita, tak kira di pihak kerajaan atau pembangkang, cepat menggunakan undang-undang dan saman ke atas blogger dan pembahas blog. Jadi, berhati-hatilah.

Friday, November 05, 2010

PRK: BN Menyerlah Tapi PM Masuk Hospital

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[UPDATE, 6 Nov.] – TERIMA kasih kepada para pembahas kerana memberi reaksi kepada keputusan pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas tanpa menunggu petunjuk dari saya. Saya setuju dengan sebahagian besar pendapat para pembahas sekalian.

Secara ringkas, reaksi saya adalah seperti berikut:

1. Kemenangan besar Barisan Nasional di kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah membayangkan kesepaduan BN negeri, simpati pengundi terhadap calonnya, kerana kematian suaminya yang berupa Ahli Parlimen kawasan itu dan undi pembangkang yang berpecah antara PKR dan SAPP;

2. Kejayaan BN merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan, adalah berpunca daripada:

i. Ketepatan lantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya BN;

ii. Dengan ekonomi rakyat jelata semakin tidak menentu dan kos sara hidup semakin meningkat, janji pembangunan dan bantuan kewangan oleh BN mengatasi pertimbangan ideologi dan emosi;

iii. BN/Umno juga mendapat faedah daripada masalah dalaman Pas. Walaupun Nik Abdul Aziz Nik Mat terus karismatik di kalangan akar umbi Pas, namun peranannya sebagai ketua pentadbir Kelantan dan ketua Pas negeri semakin dipertikaikan;

iv. Ada kebenaran kepada tanggapan bahawa kepemimpinan Pas Kelantan tidak (atau belum) menampakkan barisan pewarisan yang jelas. Terdapat andaian wujudnya persaingan hebat antara golongan konservatif dan progresif dalam kepemimpinan Pas Kelantan;

v. Pas menanggung beban yang berat mempertahankan perkongsian kuasa dengan DAP dan PKR yang memperjuangkan sekularisme dan secara terbuka menolak konsep Negara Islam dan Hukum Hudud Pas;

vi. Dalam jangka masa sederhana – sehingga pilihan raya umum akan datang – BN mempunyai peluang lebih cerah memperkukuhkan kedudukannya jika ia berjaya membawa perubahan positif kepada taraf ekonomi dan sosial rakyat jelata seperti dijanjikannya di bawah pelbagai slogan, model, program dan projek; dan

vii. Tetapi jika BN agal melaksanakan ikrar-ikrar ini, sebaliknya menjadi angkuh, terus memandang remeh korupsi dan tidak membuat pembaharuan kepemimpinan, pengundi akan menghukumnya dengan lebih teruk pada PRU akan datang, apatah lagi dengan bertambahnya bilangan pemilih muda.

[Posting Asal]



HARI ini perayaan Deepavali atau Divali. Zaman saya jadi pengarang di New Straits Times Press dulu, kita terbitkan akbar 365 hari setahun. Tak boleh jual banyak pada cuti umum, kita jual sedikit. Peranan akhbar untuk memberi maklumat tetap dilaksanakan.

Sekarang cuti umum akhbar tutup kedai. Nasib baik ada radio, TV dan pada akhir-akhir ini Internet. Jadi yang ada radio, TV dan Internet tak putus berita. Bayangkan selepas lebih 50 tahun merdeka, pengedaran akhbar masih dimonopoli oleh kaum India. Mereka mahu cuti atau mogok, akhbar tak boleh diedarkan.

Malaysia kita ni dah jadi negara cuti -- negara siasta. Banyak sangat cuti sampai dah mula jejas produktiviti. Kalau nak tahu jadilah majikan. Gaji pekerja jalan, tapi tak dapat penghasilan. Lepas tu kena bayar kerja lebih masa pula untuk kejar deadline.

Antara maklumat yang kita hendak tahu hari ini adalah keputusan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan. Barisan Nasional menang kedua-duanya.

Di Batu Sapi, calon Barisan Nasional, Linda Tsen Thau Lin mengekalkan kerusi itu dengan kelebihan suara 6,359 setelah mendapat 9,773 undi. Beliau mengalahkan calon PKR, Ansari Abdullah yang memperoleh 3,414 undi dan calon SAPP, Yong Teck Lee yang mendapat 2,031 undi.

Manakala di Galas, BN merampas semula kerusi itu daripada Pas dengan kelebihan undi 1,190 undi. Calonnya Abdul Aziz Yusof mendapat 5,324 undi manakala calon Pas Dr Zulkefli Mohamed memperoleh 4,134 undi.

Sementara itu, Bernama melaporkan yang Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi setelah bersungut sakit perut.

Pemeriksaan mendapati beliau menderita “superficial ulcers” dan gastrik ringan. Respons kepada perubatan adalah baik dan beliau dijangka berada di hospital beberapa hari. Sebelum ini beliau bercuti kerana deman campak (chicken pox).

Kita harap beliau makan ubat betul-betul seperti diarahkan doktor dan jangan tersalah makan. Bila dah berusia ni, kita kena jaga makan. Tanya dulu apa yang orang jamu. Saya dah lama tak makan melulu.

Saya sikit-sikit tahulah sebab saya pun ada “mild gastrics”. Semalam perut meragam. Saya kunyah pucuk jambu batu, Alhamdulillah baik. Pucuk jambu batu baik untuk ceret-beret.

Monday, November 01, 2010

Terima Kasih Kepada Pengikut Tetap Blog Ini

A Kadir Jasin

HARI ini, bilangan pengikut tetap (followers) yang membuat pautan blog ini kepada blog mereka melepasi 1,000 orang. Terima Kasih.

Saya harap, sedikit sebanyak tampalan saya dan perbahasan dalam blog ini memberi faedah kepada Saudara dan Saudari sekalian.

Saya jemput Saudara dan Saudari berbahas dengan lebih cergas dalam blog ini. Adalah lebih lagi kalau lebih ramai turut berbahas daripada bergantung kepada pembahas yang sama yang mungkin mempunyai cita rasa dan agenda tersendiri.

Saya perhatikan ramai "followers" adalah orang muda. Tahniah. Justeru itu, saya galakkan pengikut muda blog ini agar memberani dan membiasakan diri dengan perbahasan dan penghujahan.

Masa depan negera ini adalah untuk anda. Jadi Saudara dan Saudari wajib mengambil tahu dan bertindak agar ia terjamin sejahtera.

Jangan serahkan bulat-bulat masa depan Saudara dan Saudari kepada orang lain.

You must learn to take charge of your future wisely and with sense of responsibility, humility and commitment.

Terima kasih.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).