A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Perdana Menteri telah dua kali memberi markah kepada Kabinet |
MEMANDANGKAN Kerajaan
Pakatan Harapan (PH) sudah berusia setahun dan banyak penilaian telah dibuat oleh pelbagai pihak, termasuk Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri maka eloklah satu tindakan susulan
yang menyeluruh dibuat.
Pada 6 Mei lalu, Dr
Mahathir dilaporkan berkata bahawa beliau memberikan markah 50 peratus kepada
anggota kabinet berbanding 40 hingga 50 peratus lima bulan sebelumnya.
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Tetapi sebelum saya
meneruskan perbincangan tajuk ini, izinkan saya membuat sedikit penjelasan
mengenai analisis saya bertajuk “Kerajaan PH Terdedah Kepada Sabotaj” yang tiba-tiba menular (viral) di media sosial
sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Ini rencana lama. Ia ditulis dan disiarkan dalam Blog saya pada
20 Oktober lalu – lama sebelum kerajaan PH menyambut ulang tahun pertamanya 9
Mei lalu.
Walaupun bukan perbuatan
saya menyebar semula rencana itu, namun saya memohon maaf seandainya timbul
kekeliruan dan kegusaran akibat merebaknya tulisan itu.
Kalau boleh, izinkan saya
mencadangkan kepada penggiat media sosial agar melawat Blog saya bagi memperoleh
maklumat terbaru dan terus. Kadang-kadang berita yang ditulis semula dan
disiarkan oleh media masa tidak berapa tepat dan bukan yang terbaharu.
Berbalik kepada
keperluan PH membuat penilaian komprehensif dan menjajarkan semula janji-janji
pilihan raya umum (PRU), dasar, rancangan dan pelantikannya, saya yakin ia
boleh membantu memulihkan semula keyakinan dan sokongan orang ramai.
Mana-mana janji PRU,
dasar dan rancangan yang tidak sesuai, tidak praktikal dan bertindih hendaklah
dipinda atau digugurkan langsung.
Janji PRU, dasar dan
rancangan adalah ciptaan kita sendiri. Jadi kita janganlah terlaku terikat atau
terpenjara kerananya.
Lagipun, janji-janji itu
kita rangka ketika kita pembangkang di mana banyak maklumat adalah tidak
lengkap atau tidak tepat.
Sekarang kita tahu
keadaan sebenar yang nyata lebih buruk daripada yang kita jangkakan maka kita
berhak dan wajib membuat penyesuaian.
Prestasi Menteri
Begitu juga dengan
watak-watak yang kita lantik untuk menganggotai Kabinet atau menjadi Menteri
Besar, Ketua Menteri dan Ahli Majlis Kerja (Exco) kerajaan negeri.
Jika ada yang masih
merangkak dan meraba-raba setelah setahun diberi peluang dan tanggungjawab maka
adalah kewajipan kita meminta mereka memikirkan semula kedudukan mereka dan, jika mereka berasa perlu, mengundurkan diri secara sukarela supaya orang
lain boleh dilantik menggantikan mereka.
Saya rasa masa setahun sudah
cukup lama. Mungkin tidak kepada penjawat tetapi bagi rakyat jelata yang menaruh
harapan, ia mungkin macam selama-lamanya.
Setahun – 12 bulan, 52
minggu dan 365 hari – adalah cukup lama bagi mereka kerana mereka mengharapkan perubahan
dan pembaikan apabila mereka mengundi parti kita.
Kita hanya mampu memberi
pandangan dan menaruh harapan. Selebihnya adalah hak dan budi bicara Perdana
Menteri untuk memikirkan tindakan sewajarnya.
Beliau tentu lebih arif kerana
beliau sendiri memberi markah 50 peratus sahaja kepada anggota kabinet beliau.
Pada fahaman saya, ini
adalah markah purata. Ada yang bawah 50 dan ada yang atas 50. Yang bawah
daripada 50 itu bolehlah dijadikan sasaran untuk diganti.
Rakyat jelata, khususnya
yang mengundi PH, berhak untuk membuat penilaian siapa yang pada pengetahuan
dan pandangan mereka, berjaya atau gagal memenuhi aspirasi mereka.
Pegawai Tadbir
Begitu juga dengan
lantikan penting dalam Perkhidmatan Awam, agensi amanah dan syarikat berkaitan
kerajaan.
Ada kakitangan awam yang masih setia kepada bos lama |
Semua orang tahu ramai
pegawai tinggi lantikan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) masih dalam
jawatan masing-masing. Malah ada yang dinaikkan pangkat kerana mereka layak atau kerana
proses kenaikan pangkat biasa.
Kita juga tahu, ada saki
baki lantikan bekas kerajaan BN yang masih setia kepada bos lama atau terikut-ikut
cara dahulu.
Secara langsung dan
tidak langsung mereka ini bersekongkol mensabotaj kerajaan PH demi mengekalkan
jawatan masing-masing.
Ini adalah kerana mereka
tahu bahawa hanya dengan cara itu saja mereka
boleh melindungi dan merahsiakan keterlibatan masa lampau mereka.
Pada dasarnya,
Perkhidmatan Awam adalah berkecuali dan setia kepada kerajaan yang memerintah –
the government of the day.
Tetapi virus kerajaan kleptokrasi
telah menjangkiti darah daging sebahagian daripada mereka akibat rasuah, salah
guna kuasa dan penyelewengan.
Ramai yang menggunakan “reversed
psychology” dengan mendakwa mereka dianaktirikan dan dianiaya oleh kerajaan PH.
Sudah sampailah masanya
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
bekerjasama dengan kerajaan membuang virus ini supaya cabang eksekutif dan
pentadbiran boleh berganding bahu berkhidmat untuk negara dan rakyat jelata.
Pengurusan GLC
Begitu jugalah dengan
pengurusan agensi Amanah dan GLC serta GLIC.
Mana-mana yang tidak sehati dengan
kerajaan PH atau berasa kurang layak eloklah mengundurkan diri.
Tidak terkecuali adalah
ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan yang dilantik oleh PH sendiri.
Perdana Menteri mahu gaji kakitangan GLC lebih seimbang |
Sekiranya mereka
didapati tidak memenuhi syarat dan aspirasi lantikan mereka, kerajaan wajiblah
berterus terang dan menasihatkan mereka agar berundur atau disingkirkan.
Tindakan yang sama perlu
diambil ke atas ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan yang mengutamakan
kepentingan peribadi daripada organisasi atau yang terlibat dengan jenayah
korporat.
Kita dapati ada anggota
pengurusan kanan yang membayar diri mereka sendiri gaji, elaun dan kemudahan
yang berpuluh juta ringgit nilainya setahun sedangkan gaji kakitangan bawahan
adalah pada kadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Amalan dan tabiat ini
amat tidak secocok dengan saranan Dr Mahathir di persidangan “Invest Malaysia” Mac
lalu agar pengurusan berkongsi keuntungan secara lebih adil dan saksama dengan
pekerja.
Mana-mana pengurusan
yang mengambil jalan mudah memberhentikan pekerja bagi mengurangkan kos dan
mengekalkan keuntungan wajib dianggap sebagai pengurusan yang lemah dan gagal.
Kesimpulannya, setalah
setahun memerintah, kerajaan PH wajib menilai semula keberkesanannya dalam
konteks janji pilihan raya dan aspirasi rakyat jelata dan melakukan penyesuaian.
Saya amat yakin majoriti
rakyat jelata boleh menerima realiti semasa jika kerajaan bertindak secara
bijaksana, telus dan terbuka.
Tetapi mereka akan hukum
kita kalau kita bertindak defensif, memutar-belitkan fakta dan cuba menegakkan
benang kering.
Ingatlah, benang kering
akan bertiup dalam angin dan tidak berguna. Tetapi benang basah boleh dipintal
hujungnya dan dimasukkan ke dalam lubang jarum untuk menjahit kain yang koyak.
Wallahuaklam.