A Kadir Jasin
BANYAK orang bertanya saya: Apa akan terjadi kepada Malaysia, orang Melayu dan
agama Islam jika Barisan Nasional (BN) kalah?
[PERINGATAN:
Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau
Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Ini cerita panjang dan soalan
ini timbul sejak pilihan raya umum 2008 lagi, apabila BN di bawah pimpinan
Abdullah Ahmad Badawi hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Keadaan menjadi lebih buruk bagi
BN, apabila di bawah pimpinan Mohd Najib Abdul Razak, pencapaiannya lebih
teruk dalam PRU 2013.
Tetapi sebelum saya cuba membaca
bola kristal atau air di dalam mangkuk ala Nujum Pak Belalang untuk mencari
jawapan kepada soalan itu, izinkan saya membuat kenyataan berikut:-
1. Kemungkinan BN kalah pada
pilihan raya umum (PRU) akan datang tetap ada walaupun Pakatan Rakyat (PR)
sudah terkubur akibat ketidakserasian DAP-PAS.
2. Kalau PR kini hanya wujud
dalam bentuk prinsip, BN hampir-hampir tidak relevan lagi di bawah pentadbiran
Mohd Najib Abdul Razak. Yang wujud dan diutamakan oleh Mohd Najib hanyalah Umno
dan, buat sementara waktu ini, parti-parti BN Sarawak.
3. Parti-parti BN Sarawak
relevan kepada Mohd Najib kerana pilihan raya dewan undangan negeri Sarawak
perlu diadakan tahun ini atau hadapan dan beliau sangat-sangat memerlukan
kemenangan di negeri itu.
4. Parti-parti BN pusat
hampir-hampir tidak dipedulikan atau dibawa berunding dalam perjuangan
hidup-mati beliau. Mohd Najib hanya mengadakan perhimpunan solidariti
(perpaduan) dengan Umno – bukan sekali, tetapi berulang kali.
|
Mohd Najib gembira dijulang Pemuda Umno |
5. Ini adalah manifestasi dendam
kesumat dan Mohd Najib terhadap parti-parti bukan Bumiputera BN, khususnya MCA
dan Gerakan, kerana gagal menyekat tsunami Cina pada PRU 2013.
6. Selepas PRU 2013, status MCA,
Gerakan dan MIC setaraf dengan PPP sekadar membanyakkan bilangan. Manifestasi
ketidakpedulian Mohd Najib itu diserlahkan oleh kemelaratan krisis MIC. Ini
cerita guru “ponen”. Bila guru macan itu jaga kelas, budak-budak nakal belakang
bilik darjah bermaharajalela.
7. Mohd Najib meletakkan seratus
peratus kelangsungan (survival) politik beliau dan BN kepada Umno. Beliau
mengharapkan Umno menyokong beliau dan orang Melayu menyokong Umno.
8. Mohd Najib sangat yakin orang
Melayu-Bumiputera serta orang miskin luar bandar boleh disogok untuk terus
menyokong beliau. Yang terbaru, walaupun kewangan negara dalam keadaan genting
dengan hutang bertimbun, Mohd Najib mengisytiharkan bonus raya untuk sejuta
lebih kakitangan awam.
9. Beliau yakin mata dan telinga
orang Melayu-Bumiputera serta orang miskin luar bandar boleh ditutup dengan
BR1M agar tidak menghiraukan isu-isu genting seperti 1MDB, Felda/FGV dan PFI
serta ekonomi yang menurun, harga barang dan perkhidmatan yang semakin mahal
akibat pelaksanaan GST dan banyak lagi isu yang menekan. [Anggaran terbaru Bank
Dunia mengatakan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.5 peratus saja tahun ini
berbanding enam peratus tahun lalu.]
|
PM tenggelam dalam lautan manusia di Sabah |
10. Harapan pembangkang memenuhi
aspirasi pengundi dan rakyat jelata pudar berikutan penyingkiran golongan
profesional (umarak) daripada kepemimpinan PAS dalam pemilihan 4 Jun lalu dan
perpecahan PR ...Jun lepas.
11. PAS kini dikuasai oleh
golongan agama (agamawan) akan menguncup menjadi parti dakwah/hudud tanpa
kepakaran untuk berdakwah kepada khalayak pelbagai kaum dan agama.
12. Besar kemungkinan agamawan
yang kini menerajui PAS lebih mudah dipujuk dan digula-gulakan untuk menyertai
BN melalui gagasan perpaduan dengan Umno.
13. Akhir
sekali, kita mungkin mengalami nasib yang serupa dengan Togo. Kajian mengenai
kegembiraan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015 mendapati rakyat Togo
adalah yang paling tidak gembira di dunia. Tetapi tidak lama selepas laporan
itu terbit, Presidennya, Faure Gnassingbe menang penggal ketiga dengan mendapat
59 peratus undi. Dinasti Gnassingbe memerintah Togo sejak tahun 1967 dan Togo
adalah negara ke-26 termiskin di dunia. Natijahnya demokrasi tidak semestinya
menghasilkan kepemimpinan dan pemerintahan unggul.
|
Togo: Rakyat tak gembira, Presiden menang juga |
Kalau Ditakdirkan BN Kalah
Dengan takdir
pembangkang menang (bukan sangat kerana mereka kuat) tetapi kerana
pengundi dan raakyat jelata menyampah dengan BN, analisis saya adalah seperti berikut:-
1. Setelah menyaksikan apa yang
berlaku di Selangor (negeri pemastautin saya) dan Pulau Pinang yang diperintah
oleh pakatan pembangkang sejak 2008, tidak ada perubahan besar akan berlaku
kepada orang Melayu dan agama Islam.
2. Kita telah melihat kedaifan
orang Melayu Kelantan di bawah pemerintahan PAS sejak awal Merdeka. Setelah PAS
menyertai pakatan pembangkang pun nasib orang Melayu Kelantan sama saja –
mundur dan miskin.
3. Orang Melayu dan kaum-kaum
Bumiputera lain akan terus menikmati hak istimewa yang termaktub dalam
Perlembagaan dan dilindungi oleh institusi raja berperlembagaan.
4. Orang Melayu dan kaum
Bumiputera lain akan terus “digula-gulakan” seperti yang dilakukan oleh BN
selama ini dan sudah pun ditiru oleh pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau
Pinang demi mendapatkan undi majoriti mereka. Yang mungkin berbeza hanya
kaedahnya saja.
6. Parti atau pakatan mana pun
yang memerintah memerlukan sokongan orang Melayu-Bumiputera kerana mereka
menguasai pentadbiran awam, polis dan tentera. Kakitangan awam, polis dan tentera yang
didominasi oleh orang Melayu-Bumiputera mudah
dilembutkan hatinya melalui kenaikan gaji biarpun tidak banyak mana.
7. Orang Melayu-Bumiputera
miskin mudah diambil hatinya dan ditambat taat setianya dengan menaikkan kadar
subsidi pendapatan ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
8. Pakatan pembangkang akan
menuai hasil yang lumayan dengan mengatakan bahawa kenaikan subsidi dan gaji
adalah hasil penghapusan pemborosan, gaya hidup mewah, salah guna kuasa dan
rasuah zaman BN.
9. Sesiapa pun yang menggantikan
BN akan menjadi lebih popular dan diyakini jika berani mengambil tindakan yang
lebih tegas seperti menyiasat, mendakwa dan menghukum pemimpin BN dan tali
barut mereka atas kesalahan jenayah.
10. Penambahan subsidi pendapatan
kepada orang Melayu-Bumiputera akan juga menguntungkan orang miskin daripada
semua bangsa dan kaum kerana mereka juga akan mendapat layanan yang serupa.
11. Hal-hal berkaitan agama
Islam dan adat resam orang Melayu tidak akan dan tidak boleh disentuh sesuka
hati kerana ia berada bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu. Pengalaman kerajaan
pembangkang di Selangor dan Perak cukup untuk meyakinkan mereka bahawa “kuasa”
Raja-raja Melayu terlalu sensitif untuk diapa-apakan. Hanya pendirian Raja-raja
Melayu sahaja yang boleh menjejaskan Islam dan adat resam Melayu.
12. Apabila orang
Melayu-Bumiputera sudah diambil hatinya melalui penambahan subsidi pendapatan,
kenaikan gaji dan pembaikan syarat perkhidmatan, kerajaan baru bolehlah mengisi
tuntutan orang Cina dan India dengan lebih mudah.
13. Orang Cina dan India,
khususnya kelas perniagaan dan ikhtisas (profesional), lebih tinggi tuntutannya
dan mereka inilah yang akan mempengaruhi dasar dan pendekatan pengganti BN
dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
14. Mereka pasti menuntut hak
dan peranan yang lebih luas dalam penentuan dasar-dasar negara, khususnya yang
berkaitan ekonomi, pendidikan dan guna tenaga.
15. Mereka pasti menuntut
penyertaan yang lebih luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat
pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang kini didominasi oleh Bumiputera.
16. Dalam sfera inilah kuasa dan
pengaruh Bumiputera paling tercabar. PR pastinya tidak akan memberi keutamaan
kepada usahawan Bumiputera yang dilihat sebagai proksi atau tali barut
parti-parti BN dan akan menjadikan kegagalan korporat (corporate failure) GLC
dan GLIC sebagai alasan meminggirkan eksekutif Bumiputera.
17. Pembatalan dan perundingan
semula kontrak, konsesi dan pinjaman mudah akan menjadi amalan seperti yang
sudah dilihat berlaku kepada perjanjian air dan konsesi lebuh raya bertol di
Selangor.
18. Tanda tanya besar sekarang
hanyalah sama ada pakatan pembangkang boleh dipulihkan tanpa PAS dan kembali
kuat sebelum PRU akan datang.
19. PAS boleh memilih untuk
menjadi parti dakwah yang berharapan menang hanya di negeri-negeri miskin
seperti Kelantan atau terus berkongsi dengan DAP dan PKR untuk memerintah
negara.
20. Pakatan pembangkang masih
boleh berkuasa jika mendapat sokongan parti-parti suku kaum di Sarawak dan Sabah.
Parti-parti suku kaum ini umumnya bebas daripada pengaruh BN pusat dan mungkin
terbuka kepada kerjasama dengan pakatan pembangkang jika ditawarkan “pakej
autonomi” yang lebih baik daripada yang ada sekarang.
Nasib Melayu Pi Mai Tang Tu
Kesimpulannya, nasib orang
Melayu-Bumiputera dan orang Islam mungkin tidak lebih baik daripada di bawah BN
sekiranya pakatan pembangkang memerintah Malaysia.
Tetapi nasib mereka juga tidak
akan menjadi lebih buruk di bawah pakatan pembangkang. Tetapi orang Melayu-Bumiputera
yang pandai memainkan peranan dan tahu mengambil kesempatan mungkin mendapat
faedah daripada kerajaan baru.
|
Perkhidmatan awam, polis dan tentera kekuatan Melayu-Bumiputera |
Kalau orang Cina menggunakan
kekuatan ekonomi dan orang India menggunakan kekuatan profesional untuk mempengaruhi
kerajaan, orang Melayu-Bumiputera boleh menggunakan bilangan mereka yang ramai
dalam perkhidmatan awam, polis dan tentera sebagai pengimbang (leverage).
Bagi rakyat Malaysia amnya,
keadaan mungkin menjadi lebih baik jika politik dan ekonomi negara diuruskan
dengan lebih berhemah, pembaziran dan pemborosan wang negara diberhentikan dan
rasuah serta salah guna kuasa disekat.
Pakatan pembangkang tidak boleh
menganaktirikan orang Melayu-Bumiputera dan orang Islam jika mereka mahu
mentadbir secara adil sambil mengekalkan keamanan negara untuk jangka masa
panjang.
Wallahuaklam.