A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account,
OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]
PILIHAN raya bukanlah kompleks sangat. Mula mula-mula
Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Lepas itu Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Yang susah ialah memilih parti
atau calon untuk diundi. Itu pun bagi pemilih atas pagar dan pemilih baru saja. Bagi pemilih
partisan, mereka sudah buat pilihan. Buruk baik, datang hujan atau matahari
terik, mereka akan pangkah parti mereka sekalipun mereka tidak senang hati
dengan pemimpin parti.
Ada yang taasub kepada parti
kerana agama. Masih ramai penyokong PAS, contohnya, percaya iaitu ada kaitan
antara akidah dengan mengundi parti itu. Bagi segelintir daripada mereka,
mengundi PAS memisahkan antara syurga dan neraka.
Ada yang taasub kepada parti
kerana bangsa dan nasionalisme. Banyak penyokong Umno yakin parti itu masih
berpaksikan nasionalisme dan perjuangan orang Melayu walaupun ada di kalangan
pemimpinnya yang berkata agenda Melayu sudah ketinggalan zaman manakala yang lain
pula memperjuangkan keterangkuman (inclusiveness).
Ada yang taasub kepada kaum dan
kepentingan kaum. Penyokong DAP, secara sedar atau separa sedar, menganggap
parti itu sebagai parti orang Cina. Walaupun DAP memperkenalkan dirinya sebagai
parti pelbagai kaum dan melandaskan perjuangan di atas konsep Malaysian
Malaysia dan sosialisme namun kepemimpinan, keahlian dan orientasinya adalah
Cina. Sejak awal-awal lagi, orang Melayu dan India sekadar biola kedua (second
fiddle) dalam parti itu.
Sejak mencapai prestasi baik
dalam PRU 2008, DAP nampak lebih ikhlas dan tekun untuk membawa masuk orang
Melayu yang boleh memberikan wajah Malaysia kepada perjuangan, tetapi tidak
begitu berjaya. Namun dalam PRU kali ini ia mungkin meletakkan lebih banyak
calon Melayu-Bumiputera.
Ada juga pengundi yang taasub
kepada watak seperti PKR yang berkisar di sekitar perwatakan Ketua Umumnya,
Anwar Ibrahim. Tetapi unsur ketaasuban kepada pemimpin dan pemujaan kultus (cult
worshiping) tidak terhad kepada PKR saja. Ciri yang serupa wujud dalam
hampir semua parti, termasuk Umno, apabila ada pemimpin yang mengutamakan
peribadi mereka daripada dasar dan perjuangan parti.
Dalam PAS ada beberapa watak
kultus yang kuat pengaruhnya. Terulung adalah Nik Abdul Aziz Nik Mat yang
pemujaan penyokong PAS terhadapnya sudah mencapai tahap taasub dan pemujaan
kultus. Ciri yang serupa turut dipamerkan terhadap Lim Kit Siang (DAP) dan
Abdul Taib Mahmud (Parti Bumiputera Bersatu Sarawak).
Faktor Pengundi Atas Pagar
Bagi pengundi tanpa parti dan
atas pagar, membuat pilihan lebih rumit. Bilangan pengundi atas pagar dijangka
lebih besar kali ini dengan bertambahnya bilangan pemilih baru.
Ramai pemilih baru, termasuk
yang direkrut oleh parti-parti politik, tidak berparti. Selain pemilih baru,
sebahagian penyokong Umno/BN yang berpaling tadah pada PRU 2008 mungkin kekal
sebagai pengundi atas pagar.
Memperoleh undi pemilih baru ini
lebih sukar kerana mereka belum biasa mengundi dan tidak terikat dengan
mana-mana parti.
Mereka juga lebih sukar untuk
dipengaruhi kerana majoriti tidak mengikuti media arus perdana atau tidak yakin
kepada MAP. Kemungkinannya mereka lebih terdedah dan mempercayai media baru dan
media alternatif.
Dalam konteks ini, penggunaan
media baru berasaskan Internet adalah sangat penting. Siapa yang lebih
meyakinkan atau lebih lantang akan mendapat perhatian. Tuduhan dan dakwaan yang
tidak dijawab akan disimpulkan sebagai kebenaran.
Aliran Pengundian PRU 2013
Adalah tidak memeranjatkan kalau
aliran berikut berlaku pada PRU 2013:-
1. Sebahagian penyokong Umno/BN yang
merajuk pada PRU 2008 dan mengundi pembangkang akan kembali menyokong Umno/BN;
2. Yang masih berasa marah mungkin
tidak akan keluar mengundi atau membuat undi protes dengan merosakkan kertas
undi;
3. Umno/BN mungkin dibantu oleh
ahli parti yang sebelum ini tidak mendaftar sebagai pemilih tetapi kini sudah
didaftarkan dan oleh kegiatan memindahkan pengundi Melayu dari kerusi di mana
BN tidak ada harapan menang ke kerusi di mana BN ada harapan merampas balik
kerusi daripada pembangkang;
4. Majoriti pengundi baru bandar
akan mengundi pembangkang manakala pengundi baru luar bandar akan mengundi BN;
dan
5. Aliran pengundian akan
mempamerkan ciri polarisasi kaum yang lebih buruk kerana kegiatan merekrut
pemilih baru oleh parti-parti politik dibuat berasaskan perkiraan kaum.
Wallahualam.