Monday, June 15, 2020

Ada Percubaan Jadikan PNB "Gravy Train"




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.

Zeti dan Abdul Jalil: Jadi mangsa kerana bongkar keburukan 
KALAU orang Melayu kenal diri dan mengamalkan ciri-ciri bangsa dan agama mereka maka jadilah mereka insan yang unggul, iaitu seorang yang berbudi kerana dia Melayu dan beriman kerana dia Muslim.

Insan budiman kerana berbudi dan beriman.

Tetapi maaf cakaplah kalau saya ulang sebut bahawa sangat banyak Melayu hari ini yang palsu budi dan imannya.

Bangsa sekadar slogan politik dan agama bahan peragaan untuk dihebahkan melalui tampalan media sosial.

Walaupun semakin ramai Melayu berpendidikan tinggi tetapi ramai tidak kenal diri. Mereka menjadi hamba kepada kejahilan dan kemiskinan, feudalisme dan kebergantungan.

Akibatnya banyak usaha murni untuk membawa kebaikan kepada bangsa Melayu dan agama Islam, khususnya dan negara, amnya bukan saja menjadi sia-sia malah ditentang habis-habisan.

Cerita Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dinyahkan daripada jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas dan Abdul Jalil Rasheed daripada kerusi yang sama di Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah petanda kehilangan budi dan iman orang Melayu.

Orang Melayu yang diuar-uarkan sebagai sabar dan bertolak ansur sedang dihasut supaya mengamuk atas nama maruah Melayu dan pemerintahan Melayu-Islam.

Dendam Neo-Kleptokrasi

Maka ahli profesional dan eksekutif Melayu taraf dunia yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) – yang ada DAP di dalamnya – untuk membersihkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada korupsi elit politik era kleptokrasi Umno-Barisan Nasional telah dan sedang dibuang secara sistematik.

Kalau kerajaan Umno-BN zaman kleptokrasi Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak korup dan hegemonik, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin adalah semberono (reckless) dan pendendam (vengeful).

Lebih malang bagi ahli profesional Melayu, kaki pukul (hatchetman) yang dihantar untuk membelasah mereka adalah teknokrat Melayu sendiri.

Maaf cakaplah kalau saya kata bahawa dalam konteks ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz, perlu menilai dirinya sendiri kerana besar kemungkinan beliau kini menjalankan peranan itu.

Ini adalah kerana sebagai Menteri Kewangan beliau mempunyai kuasa yang amat luas ke atas GLIC dan GLC. Siapa lagi kalau bukan beliau yang memecat ahli profesional Melayu dan membawa masuk ahli politik sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah?

Wan Zulkiflee ditunjukkan pintu keluar kerana mempertahankan hak Petronas daripada dijadikan pertaruhan dalam perjudian politik Muhyiddin untuk mendapat sokongan elit politik Sarawak dan mungkin juga selepas ini, Sabah. 

Dua buah negeri Borneo ini adalah pengeluar utama minyak dan gas di mana peranan Petronas adalah besar.

Abdul Jalil, anak pegawai imigresen dari Raub, Pahang telah berjaya dihambat keluar daripada PNB atas alasan keraguan mengenai persekolahannya – beza di antara London School of Economics & Politics (LSE) dan University of London. Beliau meletakkan jawatan hari ini.

Isu persekolahan beliau hanyalah alasan. Kalau pihak berkuasa pasaran modal di Singapura, Hong Kong dan United Kingdom yang lebih tinggi piawaiannya boleh memberi lesen kepada Abdul Jalil mengapakah tiba-tiba persekolahan beliau menjadi isu kepada Muhyiddin dan Zafrul serta budak-budak mereka?

Mengapa ia menjadi isu kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) sekarang apabila ia telah meluluskan permohonan beliau pada bulan September lalu?

Jumpa Najis

Jawapannya adalah Abdul Jalil dan Pengerusi baru PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, telah mula menemui dan mengambil tindakan ke atas pelaburan-pelaburan PNB yang meragukan dan bermasalah.

Di sini, saya mengutuk sekeras-kerasnya usahawan Melayu yang berjaya kerana bantuan kerajaan, termasuk melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi masih bergantung kepada kerajaan dan menjadikan PNB “gravy train” mereka.

Saya kenal ramai daripada mereka. Malah saya kenal ibu bapa mereka. Saya menulis seawal tahun 1980-an tentang bagaimana ibu bapa mereka mendapat kontrak dan konsesi di bawah DEB.

Sehingga ini, saya telah berjaya mendapat maklumat mengenai dua atau tiga kes yang mungkin menjadi punca tercetusnya usaha untuk menyingkirkan Abdul Jalil. Satu mengenai pembelian tanah dan satu lagi mengenai pelaburan dalam kegiatan minyak dan gas.

Saya akan menyebut hanya satu kes dulu kerana ia sudah pun dibincangkan secara meluas sejak 2017 lagi. Yang lain itu, tunggu dulu. Kita tengok apa pengganti Abdul Jalil akan buat.

Kes ini adalah berkaitan penjualan sebidang tanah kerajaan seluas 19.14 ekar berhampiran Istana Negara kepada Jakel Land Sdn Bhd dengan harga RM646 juta atau 22 peratus di bawah harga yang diiklankan.

Kita semua tahu bahawa Jakel adalah syarikat anak emas zaman Mohd Najib. Baru-baru ini ia menjadi berita besar apabila salah seorang adik beradiknya menuduh “orang Melayu tak pandai baca”.

Apa kena mengena Jakel dengan PNB? Jakel Land Sdn Bhd adalah perkongsian sama rata di antara Jbiz Development Sdn Bhd (mewakili Jakel) dengan Symphony Life Bhd dan PNB.

Yang menjadi masalah dan persoalan adalah mengapa hanya PNB yang mengeluarkan lebih banyak duit untuk bayar harga tanah tersebut sedangkan nisbah pegangan saham sama iaitu masing-masing 33.3 peratus. Nampak seolah-oleh peranan Jakel cuma mendapatkan kebenaran membeli tanah dan Symphony menjadi pemaju.

Saya dimaklumkan yang PNB telah memberi “pinjaman” RM225 juta kepada syarikat usaha sama itu. Keseluruhan jumlah yang ditanggung oleh PNB adalah RM250 juta manakala Symphony dan Jakel hanya mengeluarkan RM25 juta setiap satu.

Jakel mendakwa dirinya 100 peratus Bumiputera. Kepala empayar adik-beradik ini ialah Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Mohamed Feroz saudagar nombor satu Jakel
Symphony pula adalah syarikat senaraian Bursa Malaysia yang dimiliki oleh Tan Sri Azman Yahya yang terkenal sebagai Pengarah Urusan Danaharta zaman krisis ekonomi Asia 1997-98.

Diura-urakan yang Ahmad Zulqarnain dari Khazanah Nasional Berhad akan mengambil tempat Abdul Jalil. Beliau pernah bekerja di bawah Azman di Symphony (dulunya Bolton Bhd) dan Danaharta.

Azman adalah salah seorang ahli lembaga Pengarah Khazanah yang dilantik oleh Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri merangkap Pengerusi Khazanah.

Peralat PNB

Bagi usahawan Bumiputera yang cuba memperalatkan PNB dengan melobi Muhyiddin dan Zafrul supaya memecat Abdul Jalil atau bertindak dengan cara yang menguntungkan mereka, saya kata "sialan kamu".

Tidak cukup lagikah apa yang kamu dan ibu bapa kamu dapat daripada kerajaan sehingga mahu memperkudakan PNB?

PNB adalah instrumen DEB yang bertujuan memberi peluang kepada Bumiputera miskin memiliki sebahagian kecil kekayaan negara. Itu pun mereka hendak “pelekoh” juga?

Kesimpulannya, kalau inilah cara kerajaan Melayu-Islam PN mempolitikkan GLIC dan GLC, kesudahannya hanya profesional dan eksekutif yang tidak berjiwa rakyat dan “mediocre” saja akan bersedia bekerja dengannya.

Dewan Bahasa mentakrifkan “mediocre” sebagai “tidak berapa baik”.

Cuma satu saja. Kita bernasib kerana keadaan tidak seperti dahulu lagi. Kerajaan dan pesekongkolnya tidak selamat lagi bersembunyi di belakang tembok kuasa, undang-undang dan kerahsiaan.

Media sosial telah memberikan rakyat jelata kuasa untuk memperkasakan mahkamah pendapat umum – the court of public opinion – untuk melawan kerajaan kleptokrasi baru ini.

Namun saya masih ada sedikit keyakinan bahawa masih ada sebilangan kecil melayu profesional yang tidak sanggup menjadi tali barut kepada pencuri dan penyangak kerana di sanubadi mereka tersemat nilai murni untuk melakukan kebaikan kepada negara dan rakyat jelata.

Wallahuaklam. Terima Kasih.

Thursday, June 11, 2020

Harapan Kita Dr Mahathir dan Anwar Pilih Yang Terbaik



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.

 
Memperkenalkan Anwar pada tahun 1982: Cabaran mutakhir 38 tahun bersama
.
PADA 2 Disember tahun lalu, saya menulis dan menyiarkan dalam Blog ini sebuah rencana dalam bahasa Inggeris bertajuk “Succession Issue: Best Left to PM and Anwar”.

Dalam bahasa Melayu berbunyi lebih kurang “Isu Peralihan Kuasa: Elok Diserahkan kepada PM dan Anwar”.

Malangnya tidak sampai tiga bulan selepas itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dalam rampasan kuasa oleh feksyen Muhyiddin Mohd Yassin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan feksyen Mohamed Azmin Ali dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Antara sebab saya menulis rencana itu adalah kerana timbulnya gesaan oleh sekumpulan penyokong Anwar yang menggelar diri mereka “Otai Reformasi” yang mahu Dr Mahathir Mohamad segera menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

Sama ada secara kebetulan atau dirancang, salah satu alasan yang digunakan oleh Muhyiddin dan penyokongnya dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk keluar PH adalah tekanan oleh penyokong Anwar supaya Dr Mahathir bersara.

Dua alasan lain adalah mereka tidak mahu Anwar naik menjadi Perdana Menteri dan kerjasama dengan DAP menyebabkan Melayu tidak sokong Bersatu.

Rampasan kuasa Muhyiddin-Azmin dengan sokongan opotunistik dan predatori Muafakat Nasional (Umno dan Pas) itu bukan sahaja mengkhianati mandat rakyat jelata malah mula mengembalikan negara ke zaman gelap kleptokrasi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam situasi itu, keperluan untuk PH berkumpul semula dan bangkit sekali lagi menyelamatkan negara menjadi amat mendesak.

Dan sekali lagi isu kepimpinan menjadi faktor penentu sama ada PH berpeluang mengambil kembali hak rakyat jelata yang dilarikan atau kerosakan negara akan menjadi semakin teruk.

Saya difahamkan yang Majlis Presiden PH bersama Bersatu Dr Mahathir dan Warisan (Sabah) telah mencadangkan jalan penyelesaian kepada isu kepimpinan dan “timeline” di antara Dr Mahathir dengan Anwar.

Kenyataan PH selepas pertemuan dengan Dr Mahathir dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal pada 9 Jun mengatakan hasil pertemuan itu akan dimuktamadkan minggu ini.

Manakala menghormati dan menyanjung usaha gigih ahli Majlis Presiden PH dan wakil-wakil Bersatu serta Warisan, saya tetap dengan pendirian bahawa yang akhirnya akan menentukan usaha ini berjaya atau gagal adalah Dr Mahathir dan Anwar.

Untuk memahami keunikan perhubungan Mahathir-Anwar ini, izinkan saya menterjemah dan menyiarkan semula rencana 2 Disember itu. Ia mungkin panjang tetapi tidak ada cara singkat untuk memahami perhubungan yang terjalin begitu lama - 38 tahun.

Berikut terjemahannya:

BAGI seorang berusia 72 tahun yang mempunyai jadual yang sibuk dan, mungkin juga mencabar sepanjang hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim penuh bertenaga apabila muncul sebentar di majlis ulang tahun ke-20 Malaysiakini di Bangsar pada 23 November (2019).

"Ini tidak menghairankan kerana dia adalah maestro dalam hal perhubungan awam dan dikenali oleh kawan dan lawan dengan nama-nama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, AI, Brother Anwar, Saudara Anwar dan Pak Sheikh.

"Apabila saya mengucapkan selamat petang kepadanya, reaksi spontan beliau adalah mengulas tentang betapa serupanya baju yang kami pakai.

"Anwar adalah seorang yang sangat mengutamakan apa yang beliau pakai serta pakar dalam hal melega dan mententeramkan penentang tetapi tidak sehebat Dr Mahathir dalam menangani musuh.

"Saya rasa itulah juga sebab mengapa dua insan itu secara suka atau tidak mengakui kekuatan dan kelemahan masing-masing.

"Saya sekali gus bernasib baik dan tidak bernasib baik mengenali mereka secara agak rapat untuk satu jangka masa yang agak lama - Dr Mahathir sejak 1964 dan Anwar sejak 1982 – dan ada harga yang terpaksa saya bayar.

"Seperti telah saya sebutkan beberapa kali, kali pertama saya menemui Dr Mahathir adalah apabila beliau datang ke kampung saya di Kedah pada tahun 1964 untuk bertanding dalam pilihan raya umum tahun itu. Almarhum ayah saya adalah pemimpin Umno bahagian.

"Saya bersemuka dengan Anwar pada awal tahun 1982 apabila Dr Mahathir memperkenalkan beliau sebagai ahli terbaru Umno di Pejabat Perdana Menteri lama di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur.

"Pada masa itu, Dr Mahathir baru memasuki tahun pertama sebagai Perdana Menteri dan akan mengadakan pilihan raya umum yang pertama sebagai Perdana Menteri. Anwar pula baru saja meletakkan jawatan Presiden Pergerakan Belia Islam Malaysia (ABIM). Waktu itu saya Pengarang Bersekutu akhbar Business Times.

"Sebagai wartawan di Bernama dan kemudian di New Straits Times Press (NSTP), saya tidak mempunyai pandangan yang positif terhadap Anwar. Apabila saya menyertai Bernama pada tahun 1969 sebagai pemberita kadet, Anwar sedang memberontak dan menghasut di Universiti Malaya.

"Adalah biasa bagi kami di media arus perdana menggambarkan beliau sebagai “musuh negara” kerana kegiatan politiknya. Pada tahun 1974, kerajaan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas penglibatannya dalam tunjuk perasaan pekebun kecil getah di Baling. Beliau ditahan selama 22 bulan.

"Di sidang akhbar berikutnya, saya meminta beliau membuktikan keahliannya dalam Umno dengan menyatakan nombor keahlian. Setiap ahli Umno ada nombor keahlian.

"Sebelum dia sempat menjawab, Dr Mahathir mencelah dengan berkata lebih kurang “seperti anda (merujuk kepada saya), dalam Umno jika ibu bapa ahli (Umno), anak-anak pun dianggap ahli juga.”

"Almarhum bapa Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman adalah pemimpin kanan Umno Pulau Pinang yang pernah memegang jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan.

Cabaran 16 Tahun

"Di bawah didikan dan perlindungan Dr Mahathir, Anwar naik dengan pantas untuk menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993 dan bakal pengganti Dr Mahathir. Saya sering menyebut beliau sebagai Putera Mahkota Umno.

"Secara peribadi, ia adalah tempoh 16 tahun yang mencabar (1982-1998) kerana tidak sepanjang masa saya setuju dengan tindak-tanduk Anwar, khususnya bersabit dengan cara beliau membina empayar politik dan korporat.

"Namun, apabila beliau dipecat daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998, saya berpendapat harus ada had dan batasan memburuk-burukkan beliau, khususnya dalam media massa bersabit kes salah guna kuasa dan liwat. Kesalahan liwat beliau dibatalkan pada tahun 2004.

"Saya berpendapat beliau sudah cukup menderita. Lagipun Anwar pandai memperalatkan publisiti. Pendapat saya masa itu adalah lagi beliau dikutuk, lagi banyak beliau mendapat simpati dan sokongan.

"Rasanya ada lah sikit kebenaran dalam analisis saya itu. Walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kelebihan dua pertiga dalam PRU 1999 namun pembangkang menang lebih banyak kerusi dan Reformasi bertapak.

"Sebenarnya itulah antara punca utama saya meletak jawatan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP pada tahun berikutnya (2000). Saya tidak bersedia mengambil sebarang tindakan ke atas mereka yang dituduh penyokong Anwar di NSTP/TV3.

Kelahiran PH

"Dipantaskan ke hadapan ke zaman kleptokrasi Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, hampir 20 tahun selepas pemecatan Anwar daripada kerajaan dan Umno, saya menyebut kepada Dr Mahathir bahawa konsensus pembangkang mengenai PRU ke-14 tidak akan muktamad selagi beliau dan Anwar tidak bersemuka.

"Saya kata, dalam tempoh 16 tahun beliau dan Anwar berpasukan, boleh dikatakan semua perkara utama diputuskan dan dilakukan secara langsung oleh mereka berdua. Setidak-tidaknya pun itulah persepsi saya dalam berurusan dengan mereka dalam tempoh 16 tahun itu.

"Maka atas dasar yang sama, saya berpendapat adalah lebih baik isu pemindahan kuasa diserahkan kepada mereka berdua. Campur tangan luar akan hanya mengganggu gugat proses yang telah dipersetujui.

"Dan sekiranya Anwar telah mempelajari sesuatu daripada masa lampau, saya percaya beliau akan mengawal penyokong-penyokongnya yang tidak sabar.

"Setelah mengatasi keraguan dan kesukaran logistik, Dr Mahathir dan Anwar berjumpa dalam bilik Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpu pada 10 Februari 2017 di mana Anwar sedang menghadiri perbicaraan kes saman malu beliau terhadap Utusan Malaysia dan TV3.

"Sebenarnya sebelum itu mereka telah berjumpa apabila Dr Mahathir hadir di Mahkamah Tinggi yang sama bagi memberi sokongan moral kepada Anwar dalam cabarannya terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara.

"Pertemuan 10 Februari 2017 itu berkesudahan dengan persetujuan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyertai Pakatan Harapan (PH). Ini diikuti oleh pertemuan-pertemuan lain yang berkesudahan dengan Dr Mahathir dilantik Pengerusi PH.

"Di Konvensyen PH pada 7 Januari 2018 di Shah Alam, Dr Mahathir diumumkan sebagai calon Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan permohonan pengampunan diraja untuk Anwar sebaik saja PH membentuk kerajaan.

"Semua yang disebutkan itu telah dipenuhi kecuali pemindahan kuasa kepada Anwar yang tarikhnya tidak dinyatakan dalam Deklarasi 7 Januari itu.

"Hal ini disahkan (sekali lagi) pada 13 Julai 2019 oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang berupa penyokong kuat Anwar tetapi bekerja rapat dengan Dr Mahathir ketika saat genting pembentukan konsensus PH.

"Dengan Dr Mahathir memutuskan untuk merombak Kabinet berikutan kekalahan yang mengejutkan dalam PRK Tanjong Piai pada November 16 (2019) adalah sesuai difikirkan (semula) peranan Anwar.

"Rombakan Kabinet amat diperlukan bukan sahaja kerana penarafan (rating) PH telah merosot dengan teruk tetapi juga kerana beberapa orang menteri jelas tidak berprestasi.

"Perdana Menteri boleh membawa Anwar masuk sebagai Menteri Tugas-tugas Khas walaupun Anwar, secara berjenaka, berkata beliau tidak memohon jawatan dengan Kabinet.

"Ini adalah respons Anwar kepada kenyataan Dr Mahathir bahawa beliau tidak pasti sama ada Anwar akan menyertai Kabinet atau tidak.

"Adalah lebih bermanfaat kita kurangkan berpolitik dan menumpukan perhatian kepada menguruskan negara.”

Versi asal bahasa Inggeris boleh dibaca DI SINI.

Nota Kaki: Saya rasa analisis di atas masih terpakai malah ia menjadi lebih kritikal selepas PH kehilangan kuasa kepada Perikatan Nasional (PN) pada 23 Februari lalu.

Kalau PH hendak mengambil kembali mandat yang dicuri oleh PN itu, kesepakatan Dr Mahathir dan Anwar adalah kunci azimatnya.

Hanya mereka yang boleh melakukannya kerana jalan dan pilihan sudah pun dibentangkan kepada mereka oleh Majlis Presiden PH dan mesyuarat PH Plus.

Kalau mereka gagal, harapan PH mengembalikan mandat rakyat jelata adalah tipis dan PN kekal menjadi kerajaan bukan kerana ia sah atau kuat tetapi kerana tidak ada cabaran terhadap hegemoninya.

Moga-moga yang terbaik untuk negara dan rakyat jelata akan menjelma.

Wallahuaklam. Terima kasih.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).