[KOMEN anonymous dan
kesat tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL
untuk mengulas. Nama samaran dibenarkan.]
TAJUK berita akhbar The Star pada 11 Oktober berbunyi
"Budget boost for Khairy".
Dalam bahasa Melayu bolehlah disebut "Anjakan belanjawan untuk
Khairy".
The Star memberikan tajuk itu kerana peruntukan
Kementerian Belia dan Sukan dinaikkan daripada RM700 juta tahun ini kepada RM1
bilion tahun hadapan.
Pada hari Ahad 12
Oktober pula, akhbar yang sama menyiarkan tajuk berita "Walk the middle path, urges Khairy" (Khairy gesa ikut jalan tengah).
Daripada dua tajuk berita ini, nyata The Star mengakui kedudukan Khairy sebagai
Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia.
Ada pembahas blog ini dan peserta Persidangan Kedai Kopi
(KKA) yang berpendapat saya penyokong kuat Khairy Jamaluddin.
|
Gabungan hebat Ketua Pemuda-Menteri Belia |
Saya mengakui yang saya ada membuat beberapa ulasan
positif mengenai beliau. Itu adalah berasaskan penelitian dan pengamatan saya
terhadap gerakan beliau dalam politik Umno dan Kerajaan sejak lebih 10 tahun
lalu.
Tetapi saya tidaklah mengenali beliau secara peribadi
kecuali beberapa pertemuan dan perbualan kasual. Sepanjang ingatan saya, kali
terakhir saya bercakap dengan beliau adalah pada tahun 2000 di Rumah Terbuka
Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, (Tun) Abdullah Ahmad
Badawi.
Saya ingat peristiwa itu kerana di majlis itulah saya
mendengar "khabar angin" mengatakan hari-hari saya sebagai Ketua
Pengarang Kumpulan NST mungkin sedang dihitung. Kebetulan pada hari itu, Sabtu
8 Januari, akhbar New Straits Times menyiarkan rencana Askiah Adam yang
menggunakan istilah "dereliction of
duty" (kecuaian tanggungjawab) bagi mengulas satu tindakan kerajaan.
Pemuda Umno Sepanjang Zaman
Sebagai wartawan tua, saya membuat penilaian positif
terhadap Khairy berdasarkan pengalaman saya dengan jatuh bangun Ketua-ketua
Pemuda Umno sejak zaman Datuk Harun Idris pada akhir 1969.
Mungkin ramai tidak sedar bahawa dalam politik Umno,
pergerakan Pemuda mempunyai kedudukan yang istimewa dan unik. Buat permulaan,
ia adalah cabang Umno yang ditanam dengan doktrin dan ideologi melalui pelbagai
slogan dan pendekatan - ada yang kental dan banyak juga dangkal.
Boleh dikatakan semua Ketua Pemuda mempunyai slogan
masing-masing. Misalnya, Hidup Melayu (ketika Tun Hussein Onn menjadi ketua
1949-50), Merdeka! (Tun Abdul Razak Hussein 1950-51), Pemuda di Barisan Hadapan
(Tun Sardon Jubir 1951-64), Pemuda Harapan Bangsa (Senu Abdul Rahman 1964-71),
Pemuda Pelopor Pembangunan (Harun Idris 1971-76), Pemuda Kumpulan Halia (Syed
Jaafar Albar 1976-77), Pemuda Era Bertindak (Suhaimi Kamarudin 1977-82), Pemuda
Penggerak Zaman (Anwar Ibrahim 1982-87), Pemuda Berakar Teguh Berakal Canggih
(Mohd Najib Abdul Razak 1987-93), Pemuda Era Motivator dan Penggerak Wawasan
(Abdul Rahim Thamby Chik 1993-96) dan Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi (Ahmad
Zahid Hamidi (1996-98).
Sejak awal penubuhan Umno lagi, pergerakan Pemuda diberikan
tugas menanam semangat kebangsaan yang berteraskan Melayu serta melatih dan
menentukan hala tuju kepemimpinan negara.
Kecuali Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Dr Mahathir
Mohamad, kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah bekas Ketua Pemuda atau giat dalam pergerakan belia seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Khairy Bercita-cita Tinggi
Bagi Khairy, beliau bukan sahaja mempunyai latar belakang
keluarga dan pendidikan elit malah beliau juga mempunyai cita-cita tinggi.
Beliau tidak malu-malu kucing untuk menyatakan
cita-citanya. Beliau telah dipetik secara meluas sebagai berkata, beliau mahu
menjadi Perdana Menteri menjelang usia 40 tahun. Kini beliau berusia 38 tahun.
Kalau diikutkan latar belakang, Khairy bukanlah bahan
dunia politik. Beliau bukan daripada latar belakang siasah. Anak tunggal
diplomat Melayu dari Negeri Sembilan ini dilahirkan di Kuwait. Ibunya dari
Kedah. Beliau bersekolah di Singapura dan masuk universiti di England.
Beliau mempunyai ijazah dari Oxford dalam bidang
falsafah, politik dan ekonomi dan sarjana muda teori undang-undang dan politik
dari University of London. Pada mulanya beliau berjinak-jinak dengan dunia
kewartawanan sebagai penulis di
majalah The Economist dan pengacara TV.
Kalau saya tidak silap, kali pertama saya terserempak
dengan Khairy dan kelompok Oxford-Cambridge (Oxbridge) adalah pada awal 1990-an
dalam satu bengkel di Putrajaya bagi satu kumpulan penuntut cemerlang
universiti tempatan dan luar negara yang digelar Students for Vision 2020.
Penganjur bengkel itu ialah Allahyarham Tan Sri Dr.
Mohammad Noordin Sopiee (26 Disember 1944 - 29 Disember 2005) yang berupa
Pengerusi dan Pegawai Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan
Antarabangsa (ISIS).
Ada pemerhati melabel Khairy sebagai Anwar 2.0. Saya
tidak pasti sedalam dan seakrab mana perhubungan Anwar-Khairy, sekiranya ada.
Yang saya tahu, mentor bengkel Students for Vision 2020 adalah Tun Dr Mahathir
Mohamad. Anwar dan Tun Daim Zainuddin menjadi mentor bersekutu. Saya turut
mengambil bahagian dalam salah satu sesi bengkel itu.
Berdasarkan latar belakang keluarga, pembesaran dan
pendidikan , Khairy bukanlah calon semula keahlian Umno. Tetapi itu jugalah
ciri yang membuatkan beliau menonjol dalam Umno.
Pada ketika Khairy mengambil keputusan bergerak cergas
dalam Umno, memasuki politik apatah lagi politik Umno bukanlah sesuatu yang
"fashionable".
Pada waktu itu, ramai anggota generasi muda Melayu lebih
taasub mencari kejayaan material dan di kalangan yang berjiwa politik pula,
mereka lebih terpengaruh dengan idea-idea kontemporari seperti reformasi.
Sama ada secara kebetulan atau dirancang, Khairy berjaya
mendekati Tun Abdullah Ahmad Badawi, menjadi menentu, pembantu khas dan
penolong ketua setiausaha sulit beliau. Krisis Anwar pada 1998 membawa tuah
kepada Abdullah, dan turut memanfaatkan Khairy dalam jangka masa panjang.
Bagaimanapun, kerana monopoli Khairy dan kelompok
Oxbridge serta beberapa kerat usahawan ke atas pentadbiran Abdullah maka beliau
turut merasai tempias gerakan menjatuhkan Abdullah pada 2008/2009.
Tindak-tanduk beliau serta “budak-budak tingkat empat”
lain dalam politik, pentadbiran, perniagaan dan media massa dikritik keras.
Abdullah jatuh dan digantikan oleh Mohd Najib. Logiknya
Khairy tentulah terpelanting sama. Beliau adalah antara anggota kabinet dapur
Abdullah yang paling dibenci. Tetapi beliau sekadar menderita tempias
sementara.
Mohd Najib Penyelamat
Khairy
Kejayaan beliau membebaskan diri daripada Abdullah dan
merapati Mohd Najib sehingga diterima sebagai orang kepercayaan membuktikan
keupayaan beliau sebagai political
survivalist muda.
|
Mohd Najib perkukuh kedudukan Khairy |
Kejatuhan Abdullah tidak membantutkan kerjaya politik
Khairy. Pada tahun Abdullah dipaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri dan
Presiden Umno, Khairy menang pertandingan Ketua Pemuda dengan mengalahkan Mohd
Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir.
Hari ini, kedudukan beliau dalam politik Umno boleh
disifatkan sebagai unshakable - sukar
digoyang. Sebagai Ketua Pemuda serta Menteri Belia dan Sukan, beliau mempunyai
kedudukan yang cukup kuat dalam hierarki Umno.
Untuk itu, beliau wajar berterima kasih kepada Mohd Najib
kerana melantik beliau menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan. Saya adalah
antara orang yang mahu Khairy diberikan jawatan menteri apabila beliau menang
Ketua Pemuda. Tetapi bukan Menteri Belia. Saya mencadangkan Kementerian Luar.
Saya melihat gabungan jawatan Ketua Pemuda dengan
Kementerian Belia sebagai memberikan terlalu banyak kuasa dan kelebihan kepada
Khairy berbanding barisan kepemimpinan Umno dan kerajaan yang seangkatan dengan
beliau.
Sama ada Mohd Najib menyedarinya atau tidak, Khairy kini
muncul sebagai orang paling hadapan dalam pewarisan Umno. Selepas Presiden,
Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden adalah Khairy.
Sebab itu pada masa lampau, Presiden Umno dan Perdana
Menteri amat berhati-hati memberi jawatan dan peranan kepada Ketua Pemuda.
Tidak semua Ketua Pemuda diberikan jawatan, apatah lagi jawatan Menteri Belia.
Malah Pergerakan Pemuda dianggap begitu berpengaruh sehingga jawatan Menteri
Belia sengaja tidak diberikan kepada Ketua Pemuda kecuali orang itu diyakini
kesetiaannya atau sedang dilatih untuk kedudukan yang lebih tinggi.
Namun ada juga Ketua Pemuda yang tidak mahu jawatan
kerajaan. Mereka mahu menjadi Ketua Pemuda yang bebas dan boleh mengkritik
kerajaan sekiranya perlu. Antara mereka ialah Allahyarham Jaafar Albar dan
Suhaimi Kamaruddin.
Ada pemerhati mengatakan bahawa Tun Abdul Razak tidak
membawa Ketua Pemuda waktu itu, Datuk Harun Idris, ke Pusat sebaliknya
mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor kerana beliau tahu pengaruh
Harun di kalangan belia, khususnya dan orang Melayu, amnya. Sebaliknya Abdul
Razak melantik biras beliau, Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah menjadi
Menteri Belia.
Sama ada Mohd Najib sedar
hal ini atau tidak, tindakan melantik Khairy sebagai Menteri Belia telah
menggandakan kuasa dan pengaruh beliau sebagai pemimpin pelapis Umno dan
kerajaan.
Saya rasa Mohd Najib sedar
kerana beliau sendiri membina landasan kuasa dan mengumpul barisan penyokong
tegar ketika menjadi Ketua Pemuda dan Menteri Belia.
Jadi kita tidak perlu
hairan atau marah kepada Khairy kalau beliau nampak begitu yakin dan berani.
Pertamanya, perwakilan Pemuda telah memberi undi mutlak kepada beliau dua kali
berturut-turut. Keduanya, Presiden Umno merangkap Perdana Menteri telah
melantik beliau menjadi Menteri Belia.
Ke Mana Khairy Selepas Ini
Pertama, kalau beliau pandai dan semakin matang, beliau
akan lakukan seperti kata ungkapan Inggeris, "keep your nose clean". Jangan cari pasal dan jangan buat hal
sehingga boleh diperas ugut satu hari nanti!
|
Masuk Tentera dan hantar anak ke sekolah biasa |
Dalam dunia yang dipacu oleh media sosial, ramai orang
tahu bahawa Khairy menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan pada saat ramai
pembesar Umno, termasuk menteri sendiri curi-curi hantar anak-anak mereka ke
sekolah elit swasta. Beliau sendiri masuk menjadi anggota Tentera Wataniah.
Kedua, bila dan bagaimana perubahan kepemimpinan Umno dan
kerajaan akan berlaku. Kalau dengan takdir Mohd Najib terpaksa berundur sebelum
pilihan raya umum (PRU) akan datang, pasangan Muhyiddin Mohd Yassin dan Ahmad
Zahid Hamidi adalah alternatif yang logik.
Tetapi kalau Muhyiddin terus penat dan menderita sindrom
Timbalan Perdana Menteri maka jawatan PM mungkin jatuh ke tangan Hishammudin
Hussein dan dalam situasi itu, Khairy berpotensi naik menjadi TPM.
Dalam politik tidak ada yang mustahil. Yang tidak masuk
akal pun boleh berlaku. Jadi, suka atau tidak kita terpaksa meletakkan Khairy
di tempat yang penting dalam senario politik dan kepemimpinan negara untuk
dekad ini.
Suka atau tidak, buat waktu ini yang nampak menonjol di
kalangan barisan pelapis Umno ialah Khairy, kecuali kalau dalam masa terdekat
ini muncul watak-watak lain yang lebih karismatik, petah dan pintar.
Wallahuaklam.