A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Suka duka hidup peneroka: Rumah ditimpa pokok ketika ribut |
SEMALAM, 24 Ogos, saya dan tiga orang rakan seperjuangan ketika di
kumpulan New Straits Times Press (NSTP) melawat Felda Gugusan Chini di Pahang untuk
kenduri korban.
Terima kasih kepada sahabat
peneroka kerana memberi maklumat dan maklum balas yang berguna, daripada hal calon
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan yang didakwa tidak muncul-muncul
lagi selepas kalah Pilihan Raya Umum (PRU) sehinggalah kepada masalah pendaftaran
ahli, penubuhan cawangan dan kewangan PPBM serta harga kelapa sawit yang lembap
dan kemarau yang teruk.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan.
Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Berkenaan bekas calon, saya
masih ingat berkempen beberapa kali untuk beliau. Dia adalah dari Parti
Keadilan Rakyat (PKR).
Sejak awal lagi sudah ada
rasa terkilan di kalangan pengundi Chini sebab dia bukan orang tempatan sebaliknya
dari sebuah rancangan Felda yang lain.
Saya harap bekas calon itu muncul lah
dan kalau ada habuan yang boleh dikongsi, berkongsi lah.
Saya terkejut dengan
respons seorang peneroka apabila salah seorang rakan seperjalanan berkata bahawa
PH kena bersedia untuk pilihan raya lima tahun lagi. Seorang penduduk itu membalas, mungkin
tidak perlu tunggu selama itu.
Katanya, mungkin setahun
lagi pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan kerana Ahli Parlimen (MP) mereka
disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
Dia merujuk kepada MP
Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang sedang menghadapi beberapa
tuduhan jenayah bersabit skandal SRC Interternational. SRC International adalah
bekas anak syarikat 1MDB. Chini adalah salah sebuah daripada empat kerusi DUN
Pekan.
RCI ECRL
Bercakap pasal Najib,
saya menyokong penuh cadangannya agar kerajaan PH menubuhkan RCI projek ECRL dan
saluran gas paip Sabah TETAPI dengan dua syarat.
Nombor satu, kita
masukkan juga projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan nombor
dua, Najib mesti suruh pesekongkolnya dalam skandal 1MDB, Low Taek Jho aka Jho
Low balik ke tanah air.
Kalau Najib kata dia tak
bersalah, dia wajib bawa Jho Low balik untuk jadi saksi melainkan orang lain yang
sebenarnya berkonspirasi dengan Jho Low dan orang atau beberapa orang lain yang
bersekongkol dengan Jho Low itu adalah orang yang Najib hendak lindungi.
Sekarang keadaan menjadi
lebih mendesak bagi Mohd Najib sekiranya dia betul-betul tidak bersalah untuk
menyuruh Jho Low balik. Ini adalah kerana Jho Low sendiri sedang dalam proses
dituduh macam Najib, di mahkamah Malaysia.
Kalau Najib suruh Jho
Low balik, bolehlah mereka dan peguam-peguam mereka yang handal-handal itu berpakat
mempertahankan mereka secara bersama.
Tapi kalau Mohd Najib berdegil
juga tidak mahu bekerjasama bawa balik Jho Low, pihak pendakwa raya patut
membuka kes terhadap orang yang disyaki bersangkut-paut dengan beliau.
Ini sudah pun mula
dilakukan polis dan Peguam Negara apabila mereka menyeret bapa Jho Low, Tan Sri
(Larry) Low Hock Peng, ke mahkamah bersama-sama anaknya.
Tan Sri Larry Low (kanan) dituduh bersama anaknya Jho Low (kiri) |
Serentak itu, pihak
berkuasa percukaian macam Lembaga Hasil Dalam Negeri wajar membuka fail ke atas
orang yang diketahui atau disyaki menerima habuan daripada sumber haram 1MDB,
Umno dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk pelbagai tujuan bagi
memastikan sama ada mereka membayar cukai atau tidak ke atas pendapatan mereka
itu.
Siasatan dan dakwaan
berkaitan cukai pendapatan adalah antara senjata yang digunakan oleh Rudolph William Louis Giuliani aka Rudy Giuliana ketika menjadi Peguam Negeri New
York dalam memusnahkan sistem jenayah Mafia di bandar raya itu.
“Sihir Singapura”
Saya setuju dengan Mohd Najib
berkenaan RCI ini kerana kita nak tahu pasal apa dia atau kerajaan Barisan
Nasional (BN) buat "perjanjian bodoh" dengan China dan Singapura?
Adakah kerana kerajaan
BN dah tak ada cara lain melainkan berhutang besar-besaran untuk bayar balik
hutang 1MDB atau ada sebab-sebab lain Malaysia tunduk kepada China dan Singapura?
Misalnya apakah China dan
Singapura mempunyai satu rahsia besar atau cengkaman maut yang memaksa Mohd Najib
dan kerajaan BN tunduk kepada kehendak mereka?
Kita tahu masa HSR
dirundingkan, beberapa kes jenayah berkaitan dengan 1MDB sedang dibicarakan di
Singapura.
Apakah ini cara Mohd Najib
“memujuk” Singapura agar tidak melibatkan Jho Low atau beliau sendiri dalam
kes-kes jenayah itu?
Umno dan BN bukan saja berdiam
diri malah memberi sokongan bulat kepada Mohd Najib seolah-olah dia adalah dewa
dari kayangan kerana boleh dikatakan hampir semua ketuanya disogok dengan duit
songlap 1MDB.
Jadi RCI yang Mohd Najib
cadangkan itu boleh memberi pencerahan mengapa kerajaan BN menandatangani
perjanjian bodoh dengan negara-negara asing.
Ketua-ketua Umno yang
terima duit 1MDB itu wajib dipanggil untuk bagi keterangan sebab Mohd Najib
mungkin telah menceritakan kepada mereka tujuan beliau menubuhkan 1MDB, berhutang
secara bodoh daripada China dan tunduk kepada Singapura.
Kita jangan sekali-kali lupa. China negara besar. Singapura negara canggih. Kedua-dua mereka mempunyai sistem risikan yang luas dan rapi. Takut-takut ada rahsia pemimpin kita yang mereka simpan dan boleh digunakan untuk tujuan strategik.
Wallahuaklam.