A Kadir Jasin
بِسْمِ
اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Hina LGBT: Terlepas cakap atau petanda gangguan minda |
SEJAK akhir-akhir ini,
dengan kemungkinan ke penjara semakin hari semakin nyata, bekas Perdana Menteri,
(Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul
Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, menjadi semakin pelik dan mengejutkan.
Yang terbaru beliau
tiba-tiba menonjolkan dirinya sebagai seorang yang pakar dalam hal hantu, orang
mabuk dan LGBT.
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Dalam percubaan menyangkal
kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meringankan beban tol lebuh raya,
Najib dilaporkan berkata cadangan kerajaan itu akan hanya menguntungkan hantu,
orang mabuk dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual.
Rasanya banyak orang
tidak hairan kalau Najib nampak begitu pakar dalam hal hantu, makhluk ghaib,
serapah jampi dan mandram.
Sebagai orang yang lama
belajar di England dan mengamalkan gaya hidup hedonis – makmur dan berfoya-foya
- kita tidak hairan kalau dia biasa dengan pemabuk.
Tapi apabila Najib melibatkan
LGBT sebagai kumpulan yang akan mendapat manfaat daripada sistem baru tol yang
dicadangkan itu, jelaslah dia juga pakar dalam hal gaya hidup
kumpulan itu.
Yang mengeluarkan nada menghina
dan merendahkan pengguna lebuh raya tol adalah Daeng Najib walaupun selepas itu
dia memohon maaf kerana kononnya terlepas cakap.
Alasan terlepas cakap
ini sudah menjadi terlalu biasa sehingga tidak membawa apa-apa erti lagi.
Mencarut dan menggunakan
bahasa kesat sudah menjadi kebiasaan, sama ada kerana dia dilahirkan bermulut celupar
atau kerana gangguan mental yang semakin meningkat.
Dalam keadaan yang terdesak
dan tersepit seperti yang dia hadapi itu, kita telah lihat bagaimana orang bertindak di luar batas kesiuman.
Malah ada antara mereka
yang menggunakan alasan ketidakstabilan mental (mental instability), tidak
siuman (insanity) dan kemurungan (depression) sebagai alasan untuk tidak
dibicarakan.
“Insanity defense” atau pembelaan
diri atas alasan tidak siuman (gila) adalah pembelaan yang dibenarkan dalam
perbicaraan.
Propaganda murahan ini ditujukan kepada remaja Melayu |
Malangnya yang menjadi
mangsa kepada kempen murahan “Malu Apa Bossku” ini adalah orang Melayu,
khususnya golongan remaja, yang tohor pengetahuan dan pengalaman mengenai
diayah dan muslihat politik.
Tol Janji PH
Di pihaknya kerajaan
tidaklah bertujuan memperkecilkan atau memberi gambaran buruk mengenai
mana-mana kumpulan orang.
Semua pihak dipedulikan,
termasuklah yang mabuk. Mereka tidak dibenarkan memandu ketika mabuk. Berkenaan
hantu pula, ia tidak termasuk dalam pertimbangan kerajaan PH kerana kita tidak
mengamalkan sihir dan ilmu hitam.
Matlamat kerajaan PH adalah
memenuhi janji pilihan raya, khususnya dalam usaha meringankan beban sara hidup
rakyat.
Yang dicadangkan adalah merundingkan pengambilan alih empat lebuh raya tol di Lembah Klang yang akan memanfaatkan pengguna, pembayar cukai dan kerajaan.
Empat laluan bertol yang dimaksudkan itu ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan media semalam berkata, pengguna akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun.
Penjimatan ini akan menyumbang kepada pendapatan isi rumah dan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
Apabila dilaksanakan, kerajaan dapat mengurangkan pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak RM5.3 bilion setahun.
Jadi manakala “bossku” ke hulu hilir tanpa malu sambil mencerca kerajaan PH, memperlekeh golongan tertentu dan menipu remaja Melayu, kerajaan terpaksa bertungkus-lumus membersihkan timbunan najis yang beliau dan Barisan Nasional (BN) tinggalkan.
Wallahuaklam.