Monday, December 08, 2008

Perihal Banjir Dulu dan Sekarang

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KUALA Terengganu banjir. Maka bergegaslah pasukan penyelamat dan bantuan dengan kelengkapan canggih mereka.

Media massa pun menguar-uarkan pelbagai sudut kejadian alam itu. Maka termaklumlah seluruh negara.

Tanah runtuh di Ulu Klang. Empat orang mati tertimbus. Beberapa buah rumah mewah musnah.

Maka bergegaslah pasukan penyelamat dan bantuan dengan kelengkapan canggih mereka.

Media massa pun menguar-uarkan pelbagai sudut kejadian alam itu. Apatah lagi bila antara mangsa adalah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri. Maka termaklumlah seluruh negara.

Banjir bukan kejadian baru. Tanah runtuh pun begitu. Tetapi ada beza antara banjir sekarang dengan banjir dahulu. Banjir hari ini riuh satu negeri. Banjir dahulu tidak siapa pun peduli.

Saya membesar pada ketika banjir bukan tajuk berita atau satu mala petaka. Ia adalah kejadian biasa, putaran masa.

Maka tidaklah nampak polis dan tentera, penyelamat dan pelapor media massa. Kalau nampak pun polis dan tentera, ia hanyalah kebetulan. Mereka mengambil kesempatan daripada air bah untuk memburu pengganas di hutan rimba.

Buat satu jangka masa yang agak lama, kampung saya dikategorikan kawasan hitam atau “black area” iaitu kawasan yang diancam pengganas komunis.

Tetapi hari ini, ramai yang sudah lupa atau tidak tahu bahawa beribu anggota tentera dan polis dari Malaya dan negara-negara Komanwel terkorban melawan pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya.

Banjir datang dan pergi. Ia tidak lebih daripada putaran masa. Musim datang dan pergi. Sawah dan dusun tenggelam. Sekali sekala, orang yang tidak tahu atau alpa menjadi mangsa. Itu pun tidak dihebohkan atau menjadi tajuk berita.

Pada waktu itu, kita sentiasa bersedia. Kita tahu banjir tetap berlaku dan kita tahu bila ia akan tiba. Rumah kita tinggi tiangnya. Kalau empat lima kaki banjir belum apa-apa.

Di bawah rumah ada perahu. Pada musim kemarau kita tambat di sungai atau kita terbalikkan di bawah rumah atau di bangsal bersama basikal buruk dan kelengkapan bendang.

Bila banjir, kita berdayung ke hulu hilir memancing, menjala, menahan lukah, memberi makan kerbau dan lembu di banggol atau mencari itik yang dihanyutkan arus.

Kita tidak ada pegawai kaji cuaca atau Jawatankuasa Bencana Alam. Daripada hujan yang mencurah dan deras air yang mengalir, kita sudah dapat mengagak bila banjir akan melanda dan kecil atau besarnya. Kita sentiasa bersiap sedia.

Dua, tiga hari banjir bermula, ikan keli, belida (ikan selat kata orang Kedah) dan puyu (betuk) mudah dikail. Selepas itu tidak makan lagi kerana kenyang makan cacing yang tenggelam banjir.

Bila air surut, makan semula kerana lapar. Waktu itulah paling baik menahan joran berumpankan akan puyu atau sepat bagi menangkap ikan haruan.

Rumah saya di pinggir Sungai Pendang tinggi tiangnya. Lepas kepala orang dewasa. Bila berlaku banjir, kami tidak perlu berpindah ke mana-mana.

Kalau berpindah pun ke mana? Tidak ada dewan sekolah atau dewan orang ramai. Jadi masing-masinglah jaga diri, jaga ayam itik, kerbau, lembu dan kambing.

Musim banjir bawa tragedi. Tetapi ia juga membawa rezeki. Ikan dan burung mudah diperangkap. Selepas banjir sawah dan kebun subur semula.

Waktu malam, bersenjatakan lampu picit enam bateri dan jala yang dipanggil “tebah” saya dan tok wan saya, Haji Hassan , akan meredah banjir untuk ke banggol.

Banggol adalah tanah tinggi di padang ragut yang tidak ditenggelami banjir di mana kerbau lembu menyelamatkan diri. Pada waktu malam, banyak burung kembara tidur di situ.

Sekarang, setiap kali banjir ramailah penduduk pinggir Sungai Pendang yang riuh rendah dan hingar bingar berpindah.

Bukan kerana Sungai Pendang lebih mengganas. Malah ia telah dijinakkan oleh projek perairan Muda hampir 40 tahun lalu.

Mereka berpindah kerana rumah kayu bertiang tinggi telah digantikan dengan rumah batu tidak bertiang. Sekaki dua naik air, tenggelamlah ia. Perahu sudah digantikan kereta dan motosikal. Anak-anak tidak lagi pandai meredah banjir dan menangkap ikan keli dan puyu.

Maka banjir yang dulunya bukan cerita dan berita, hari ini dianggap mala petaka dan menjadi bahan muka depan serta waktu meminta dan memberi bantuan.

Rumah orang tua saya di kampung masih bertiang tinggi walaupun di bawahnya tidak lagi disimpan kerbau atau kelengkapan sawah. Sudah dijadikan dapur dan bilik tidur. Tetapi kalau banjir besar, ayah dan ibu saya masih ada atas rumah untuk berlindung.

Musim banjir adalah musim bahagia bagi saya dan budak-budak kampung yang sebaya. Ada alasan untuk tidak ke sekolah dan boleh memancing dan menjerat burung sepanjang hari dan sesuka hati.

Risikonya ada. Tetapi, umpama kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Ular, yang berbisa dan tidak berbisa, ada merata-rata. Mereka juga lari dari banjir mencari tempat selamat.

Pada satu musim banjir, Allahyarhamah nenek saya, Hajah Putih, dipatuk ular tedung yang bersembunyi di dalam guri tempat dia menyimpan beras. Nenek menyeluk untuk mengambil beras dan dipatuk.

Nasib baik dia sempat dibawa ke hospital di Alor Setar dan diberikan suntikan “anti venom” bagi melawan racun ular itu. Demikian hukum Tuhan. Penawar bisa adalah bisa juga.

Dulu pun ada tanah runtuh. Tetapi orang tidak riuh. Mereka tahu risikonya dan mereka pula adalah orang biasa yang memugar tanah untuk dijadikan kebun dan dusun.

Rumah mereka dari bahan-bahan rimba. Mereka bukan Tan Sri atau orang bernama. Jadi kalau ditimbus tanah runtuh pun, tidaklah riuh, tidaklah heboh.

Menteri pun tidaklah bergegas datang atau membuat janji tidak membenarkan rumah di lereng bukit lagi. Itulah janji yang kita dengar berulang kali apabila berlaku tragedi.

Jadi saya pun tidaklah berapa peduli kalau ada banglo (daripada perkataan Gujerat yang bermaksud rumah satu tingkat) yang ditelan bumi dan orang mati kerana berumah di lereng bukit adalah “vogue” bagi orang yang berduit.

Ibarat kata orang tua-tua, kalau takut dilanda badai jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut ditimbus tanah, di lereng bukit jangan berumah.

Nota Kaki: Terima kasih atas perbahasan hangat isu sistem sekolah satu aliran. Teruslah berbahas. Kita tidak boleh biarkan isu sepenting ini mati apatah lagi mati tanpa kubur.

35 comments:

Anonymous said...

Salam Dato' AKJ,
Nostalgic posting Dato' pasal banjir ni... saya pun mengalami pengalaman yang lebih kurang sama sewaktu zaman sekolah rendah tahun 60an di Kelantan... yahlah zaman dah berubah tapi tebiat manusia masih sama: mungkin zaman dulu2 apa jua media yang ada masih di kontrol gomen dalam ertikata sebenar, bukan di kontrol oleh mereka/individu2 tertentu dalam gomen atau syarikat seperti sekarang... yang pastinya sekarang, media masa jadi "alat" komunikasi mereka2 tertentu untuk meraih sentimen atau kontrol persepsi rakyat bagi agenda mereka... masa dah berubah, tapi tebiat manusia macam tu jugak.

ab said...

Selamat aidiladha dato',

Rumah ditanah rendah dilanda banjir.

Rumah ditanah tinggi dilanda tanah.

Jalan ditanah rendah,tenggelam dan rosak..

Jalan ditanah tinggi juga rosak dan runtuh dilanda tanah.


Mungkin kita salah bina rumah dan jalan ditempat yang merbahaya dari
mula pembinaan lagi.

Saya fikir, untuk jangka panjang lebih murah menempatkan semula rumah dan jalan ditempat yang selamat(tentu ramai jurutera
dan orang pandai dibidang kajibumi,
jurubina,juruukur,pegawai daerah, pengarah majlis tempatan dsb) yang dapat membantu...

Kalau setiap tahun dilanda banjir dan tanah runtuh berulangan mungkin binaan seteguh
piramid juga runtuh.Pembiayaan dan bantuan berulangan ini lebih mahal jika berterusan begini,tidak termasuk kematian manusia,ternakan dan tanaman.


BILA KITA NAK PANDAI NI?. tidak mungkin semua manusia dimalaysia ini bodoh,buta,pekak dan tidak beraqal?.

Bolih jadi ada yang berjaya mendorong ramai orang malaysia supaya sentiasa buta,pekak,bodoh dan tidak beraqal?.


Abu Bakar Ab Rahman

abe MIE 'TERJAH' said...

datuk.

kita masih bersyukur sebab malaysia masih berlaku banjir aje. negara luar bukan setakat banjir, bahkan puting beliung, gempa bumi dan tanah runtuh yang mengorbankan beribu2 org dalam masa beberapa jam saja.

Tuhann bagi sedikit ujian, kita dah mengeluh dan melatah macam nenek maimun yang mahu bertanding parlimen terengganu. sekadar perbandingan.

http://pkrpasdap.blogspot.com
http"//pena-picisan.blogspot.com

Anonymous said...

selagi ahli2 politik kita masih lagi ditakut lama.. minda mereka terendam didalam banjir 3 bulan sekali

Anonymous said...

Ia lah Dato' "vogue" berumah dilereng bukit, berani buat berani tanggung, itu sahaja lah yang mampu di ucapkan, sebab nak menderma pun mereka orang yang "vogue".
Itu lah kebesaran ILLAHI, pengajaran kepada semua yang mahu belajar. Sesuatu yang menggerunkan, malahan berlaku juga banjir diatas bukit tersebut. Ia lah Dato' sekarang banjir dah tak berlaku di kawasan rendah, atas bukit pun boleh banjir.
Mengikut anak saya yang terperangkap bersama teman teman bukan di kawasan yang "vouge" tapi bersebelahan, dentuman dan gegaran amat lah menakutkan, apabila saya mengambil nya di kawasan berhampiran, pertama yang diberitahu kata nya bagaikan hari kiamat tetapi lantas saya bertanya, apakah pernah menempuhi kiamat, sebenar nya melepaskan geram kerana bertandang kerumah teman hingga lewat pagi. Harap harap menjadi pelajaran kepada nya, sekira nya ALLAH mengkehendaki berlaku ia pasti berlaku tetapi sebelum berlaku buat lah persiapan yang terbaik.
Harap harap pemimpin negara dan mereka yang berkuasa pantas bertindak dalam menangani bencana alam dan mereka yang 'vogue' pun berhati hati lah.
AL Fatihah bagi mereka yang terkorban.dh9753

Anonymous said...

Zaman sudah berubah dan manusia memang senang lupa apa yang berlaku walau belum pun seabad ianya berlaku. Kita yang masih hidup juga boleh terlupa apa yang berlaku dulu, inikan pula masyarakat akan datang yang pastinya tidak akan merasai pengalaman tersebut. Mungkin dengar-dengar sahaja itupun kalau ada yang bercerita. Sebab itu jangan kita leka, kerana terbukti dalam sejarah hanya dengan satu zaman pemerintahan sahaja kita boleh tergadai dan dijajah.
Sesekali suka juga teringat jalan raya dulu, masjid dahulu, sekolah, kenderaan, jambatan..

Anonymous said...

Dato',
Antara dua darjat;

Mangsa banjir di Penang lebih banyak bantuan berbanding mangsa banjir di Kelantan (mungkin selepas Mac, mangsa banjir di Pahang pula yang beruntung)

Mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa siap mencurah wang masuk ke tabung bencana berbanding mangsa tanah runtuh Kampung Pasir yang tabung pun tak ada.

Mangsa bencana marhain tak kisah ditempatkan di Balairaya atau Sekolah tapi mangsa di Bukit Antarabangsa tak ramai yang sanggup tidur di sana.

Mangsa di Bukit Antarabangsa siap minta kerajaan ganti rumah sama taraf andai kata disuruh pindah dari situ manakala mangsa marhain dapat rumah PPRT pun syukur tak terhingga

Mangsa di Bukit Antarabangsa bimbang nak tinggalkan rumah takut banyak barang hilang tapi mangsa marhain tak kisah pindah kerana tiada 'apa2' yang akan hilang

Mangsa Bukit Antarabangsa menerima sponsor makanan daripada hotel2 (Concorde sponsor makanan) manakala mangsa marhain bantuan makanan pun tak sampai

Jadi yang beruntung akan terus beruntung.... AlFatihah kepada mangsa yang beragama Islam

Bye/Roti Planta

ChengHo said...

Menghadapi malapetaka banjir dan tanah runtuh memerlukan pengurusan yg cekap . kadang kadang kita mengambil jln pintas dgn menyatakan semuanya adalah ACT of GOD Tuhan memberi kita akal untuk berfikir
Tanah runtuh yg berulang ulang kali di Bt Antara Bangsa , Ampang dan T Melawati adalah akibat ketamakan maanusia dari Pembangun harta kepada PBT dan Kerajaan ( pelbagai agensi)
Kawasan yg sudah di gazetkan untuk kawasan tadahan hujan diganggu bagaimana pembangunan itu mendapat kelulusan bagaimana badan professional sapert Ikhram bolih meluluskan kawasan pembangunan lerengan bukit.

Unknown said...

Cerita zaman silam yang Dato bawa itu sungguh menarik dan boleh membuka mata kita.
Kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Orang kita sekarang sudah terlalu manja, semua mengharapkan subsidi dan bantuan.
Jiwa tahan lasak, daya juang, keberanian kita semacam telah hilang.
Mungkin ini akibat dari terlalu bergantung kepada subsidi.

Raison D'etre said...

Datuk

Orang Kedah mana ada pangge Banjir: depa pangge: Bah. :)

Ayiaq Bah kampung saya Alor Semadom kalau kami main selalu naik kudis sebab tercampur dengan taik lembu Gundoo sebelah rumah ngan Sikh hujung kampung.

Tu selalunya amaran daripada Tok dan Tok Wan saya, tapi kami sekawan main redah juga.

Ayiaq tak penah lebih dari ataih sikit dari tumit, jadi tak berapa syok. Setakat macam main lecah saja.

takut puchong said...

hukum tuhan hendak dilawan?
pasak dan tiang bumi digondolkan, terimalah bahananya.
orang dulu2 nak buat rumah banyak pantang larang dan petuanya. lani buat rumah, jamban menghadap kiblat, aliran angin dan pengudaraan langsung tak peduli.
agaknya nyawa manusia semurah ringgit yang bertukar tangan. dah jadi bencana, nampaklah muka2 yang kononnya sangat ambil berat. barulah nak ungkit benda2 lama yang dah basi.
kalau filem p ramlee diulang berkali2 seronok juga, tapi kalau benda kemalangan nyawa ni, ish.... tak reti-reti?

A KADIR JASIN said...

Sdr Raison D'etre,

Betoi la tu. Di Kedah depa tak pangge banjir. Depa pangge bah. Depa tak kata sampan. Depa kata perau (perahu).

Saya faham sangat. Mandi bah boleh kena macam-macam penyakit. Tapi kalu ayax jernih tak pa. Lintah beghenang pun kita nampak.

Tapi kalu dalam pekan, lain sikit la kot.

Mula-mula bah tu betoi la ayax kotox. Lepas 2, 3 hari jerneh la.

La ni,pekan dengan kampung sama. Plastik dan sampah sarap penoh dalam sungai dan parit. Bila bah, habih masuk kampung dan masuh rumah. Manusia la lagi pengotox dari masa dulu-dulu.

Pasai taih (tahi) keghebau dan lembu tu saya faham sangat.

Ayah saya dengan tok wan saya bela banyak keghebau dan lembu (lemu).

Lemu dia pengotox sikit.Mana tidox situ dia beghak.

Kerbau dia disiplin. Bila nak beghak, dia pi satu korner. Jadi kandang keghebau lebih bersih dari kandang lemu.

Teghima kasih.

Anonymous said...

Maaf Datuk

Nenek moyang pada nenek moyang kita kala membuka kampong tak besar mana tak pernah sodok bukit buat menginap.

Tak gondol hutan, tak rakus meranap sampai sungai berkeladak, kejab banjir, lazim melelih kering kontang.

Tak sapa cabar hukum angin lintang, angin pusar, angin puting beliong, tak mengamit cuaca datang bawa haba nan panas melekit. Dek bukit botak.

Angkara Harrison & Crossfield luas ladangnya sayup mata mandang. Dengan bantuan geng Si Cheng Lok Baba United. Hingga Prang Besar yang kini dah dimiliki Putera Jaya, kot.

Orang Kampong Nenek Moyang kita sebaik kawin cuma sekadar tebang sejumlah balak secukup perlu.

Malah memadai sebatang je. Genap papannya - dapat siap rumah ibu dengan berandah, berpasak, bertiang seri, bertingkap setiap sudut, berkerawang setiap pemjuru ruang lingkup, berbumbung panjang, beratapkan hanya rumbia.

Cara hidup sikap terbuka.

Nyaman. Rukun Aman. Damai. Muafakat.

Kepuk masih berisi kala padi emas menguning!

Menantu tak kebulur.

Tak berhutang buat atap yang melindung ubun ubun.

Cucu cicit oneng oneng tak merempit tak merempat. Tak lingkup.

Tak sapa mendominasi sesiapa.

Tak sapa perlu mendominasi sesiapa.

Bukankah Orang Minang Rembau dah berkampong bernegeri beradat berabad berkurun juga le lamanya tak bersultan.

Tuuu Duluuuu... Duluuu.. Zaman tak kebanjiran melimpah ruah tak cukup empang.

Namun, bila sampai kuli kang Cheng Lok Baba United dah dijemput membangsat datangnya berbondong bondong menjadi le tuan bertokchang bertandok menyondol bukit menarah hutan menggegar bumi

Lantas berubah le alam dan alam sekitar.

Satu Semenanjung sah. Yang jenuh membanting di sawah atas tanah yang dimiliki tu tulang tempatan yang memberi makan nya. Pulak Yang Empunya berkarrung karung padi tu boleh lak sempat mengkaut segala hasil mahsul - dari segala balak dalam hutan gondol dikapor, ke batu di bukit rata ditarah, ke pasir di sungai membobok dikaut, menjadi jadi sarang buaya buas membiak

Pulak lagi dikempen diajar tulang tulang tempatan mengubah menuai membanting 2 kali setahun.

Jadinya 2 kali lah hutang baja kampit. 2 kali lah hutang mesin padi. 2 kali lah beban digalas, tulang tetap dapat tulang tak juga senang kaya. Kunun mengharap pada sabsidi. Sedang nilai hasilnya saja tak dibagi naik. Kunun tak patut membeban mereka yang cuma mampu takat beras hancor.

Bukan kah yang bersilang kakinya tu bongkah yang bangun 11 pagi tu juga lah yang sempat tenggek Atuk yang 4 pagi lagi dah bangun menoreh. Menoreh makan gaji di ladang penjajah bukak -- yang walhal ketika mula celiknya dulu belum ada. Takjub heran tetiba boleh ada.

Bila mana kayu, buluh, rotan, batang pinang, nipah dan rumbia rumah limas diganti batu - dengan bata yang dimasak, simin yang dimasak, jubin yang dimasak, siling yang dimasak, besi kerangka dan batang paip yang dimasak, cat yang dimasak, kaca yang dimasak - tak ke masak juga jadinya kita yang kesemuanya nyata bukan kita ni pemiliknya dah?

Apa punca asbab musabab yang mengizinkan kerakusan camtu?

Apa ke salah kita punca kebanjirannya tu?


~ D

Anonymous said...

Salam Dato'
Saya tak pernah bela lemu mahupun kerbau. Tak tahu pula tabiat buang air kedua-dua berbeza. Di tempat saya, daging lembu lebih diminati (demand lebih) dari daging kerbau. Penjual daging kalau orang tanya daging lembu atau daging kerbau, dia akan kata daging lembu sebab kalau bagitau kerbau orang tak beli. Kita tengok pun tau sama ada lembu atau kerbau, dagingnya berbeza. Tapi bukan semua tahu beza (nasiblah). Mungkin orang tengok lembu ni tak suka berkubang kot dari kerbau. Apapun daging kerbau lagi sedap.

Anonymous said...

Salam Dato' AKJ

Dulu selalu bah, orang buat empangan, selesailah masalah. Di Perak, lepas siap Empangan Temengor, Sungai Perak tak lagi melimpah. Sebaliknya sungai jadi cetek, kena keluarkan peruntukan berjuta-juta untuk dalamkan sungai pulak. Peliknya Sungai Muar yang banjir sikit-sikit itu pun bakal menyaksikan projek tebatan banjir bernilai berpuluh bilion ringgit.

Rumah orang dulu-dulu memang bertiang tinggi. Bila ada kereta, boleh parkir di bawah rumah aja. Tak payah nak buat garaj asing. Jimat duit dan jimat kawasan. Tak ada pagar secara fizikal, tapi kalau ada yang mencuri, tak jumpa cari jalan keluar. Silap haribulan boleh berenang di atas tanah macam dalam banjir besar.

Orang sekarang makin berilmu maka buat rumah di atas tanah terus. Cuaca kita yang bermusim hujan tidak dihirau, sesekali banjir melanda, tenggelam segala-galanya. Rumah bukan sahaja berpagar bahkan setiap pintu dan tingkap dipasang grill tapi banyak juga kisah rumah dimasuki penyamun.

Komen Roti Planta tentang "antara dua darjat" memang dipersetujui banyak orang. UMNO yang senyap semasa peristiwa Kg. Pasir, tiba-tiba muncul taja makanan untuk penyelamat bila tanah runtuh berlaku di kawasan "vogue".

Orang yang tak sekolah pun tahu, kalau ada lereng bukit berpuluh meter tinggi, curamnya hingga lebih 60 darjah, menanti masa sahaja untuk mencari kestabilan walaupun tidak diusik oleh sebarang pembangunan. Pembangunan hanya mempercepatkan proses semula jadi itu, bukan menjadi punca tanah runtuh. Itu pun masih nak diputarbelitkan.

Jadi apabila YAB Menteri Besar menghadiri taklimat berkenaan pembangunan tanah bukit, dia jadi pening kepala. Mana tidaknya, boleh kata semua kawasan telah dijual kepada pemaju yang menanti masa untuk membuat keuntungan melalui pembinaan struktur di situ.

Salam Aidiladha.

dan kajang said...

As'kum Dato'

1. Seronok juga Dato' bawa kembali nostalgia kejadian banjir di kampung Dato' di Pendang.Saya juga mengalami peristiwa banjir besar di K.Lumpur pada akhir tahun 1970.

2. Saya memang tidak dapat lupa peristiwa itu kerana ia hari pertama saya lapor bertugas di Kementerian Buruh di Jalan Raja,K.L. Pada hari itu saya berpakaian kemas sebagai seorang kakitangan baru dan bersemangat untuk mula bertugas pada hari pertama. Tapi saya agak kecewa kerana disuruh oleh bos saya pulang tukar pakaian baju T-shirt lama sahaja.Sangkaan saya pada mulanya ialah mungkin jabatan itu tidak mahu kakitangannya berpakaian kemas.Tanpa legah dan tidak berani menyoal saya terus balik dan tukar pakaian saya seperti diarah.Apa yang sebenar berlaku ialah hari pertama bertugas saya ialah mencuci pejabat Kementerian Buruh yang terlibat dengan banjir besar berlumpur.Banyak fail dan alat pejabat telah rosak akibat terkena banjir lumpur.Semua kakitangan bekerja mencuci dan mengemas tanpa mengira pangkat dan kaum.Kerja2 itu dibuat sendiri tanpa diswastakan seperti yang sering dibuat sekarang.Itulah suasana jabatan Kerajaan pada zaman 70an.

3. Mengenai peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa,kita juga boleh lihat dari sedut positifnya.Yang menarik dan menyentuh perasaan saya ialah pekerja2 penyelamat dan sukarelawan adalah terdiri dari berbagai kaum.Mereka bekerja dan memberi bantuan tanpa mengira kaum dan kedudukan.Pihak berwajib juga bertindak pantas dan patut dipuji.Senario ini patut dihayati dan diambil iktibar oleh semua yangmana mencerminkan bahawa inilah suasana masyarakat majmuk di Malaysia.Kita harap suasana begini dijadikan satu standard prosedure di Malaysia jika berlaku sebarang malapetaka.Tindakan pantas oleh pihak berwajib dan lain badan sukarela bukan hanya menghulur bantuan pantas begini bagi kawasan2 elit disekitar K.L. yang dapat liputan luas pihak media sahaja.Tindakan serupa ini patut juga dilakukan jika berlaku sebarang mala petaka dimana2 kawasan dinegara ini termasuk kawasan pendalaman dan kawasan parti lawan.

4. Satu lagi pengajaran dari peristiwa tanah runtuh itu ialah kita mudah lupa dan tidak ambil pengajaran untuk memperbaiki keadaan dari pengalaman yang lalu.Kita dapati selepas sesuatu kejadian itu berbagai pihak akan tampil dengan berbagai cadangan termasuk penguatkuasa undang2.Tapi selepas beberapa bulan cadangan tinggal cadangan.Jika apa pun tindakan ia hanya untuk melepas batuk ditangga sahaja. \

5. Cuba lihat sahaja kejadian tsunami dulu.Kerajaan selepas itu membelanja berjuta ringgit untuk memasang alat pengesan tsunami.Alat yg mahal itu dipasang dibeberapa tempat tapi malangnya rakyat masih tidak tahu apakah tindakan mereka jika amaran tsunami itu dikeluarkan.Saya pasti rakyat terlibat akan menjadi kelam kabut dan peristiwa menghayat hati akan berulang lagi.

6. Rakyat sepatutnya didedah samada melalui kempen dimedia atau dibuat beberapa drill atau latihan olok2 tentang apa yang perlu mereka lakukan jika berlaku sebarang kejadian mala petaka.Dengan cara ini bukan sahaja pihak berwajib dan badan2 sukarela mudah bertindak tapi rakyat yang terlibat juga lebih bersedia menghadapinya dengan lebih teratur lagi.Pengalaman saya semasa berkursus di Jepun selama beberapa bulan,saya telah melalui dua latihan olok2 bercana.Kami diberi panduan tentang apa yang perlu dibuat jika berlaku keadaan kecemasan.Saya amat teruja dengan cara mereka mengendalikan suasana kecemasan ini.Sungguh teratur.Kita harap Kerajaan Malaysia juga patut memikir cara ini,bukan hanya bercakap dan menyedia berbagai peralatan dan undang2 tapi tiada tindakan yang praktikal untuk rakyat yang terlibat.

A KADIR JASIN said...

Sdr Dan Kajang,

1. Tanah runtuh akan berlaku lagi. Hukum alam. Orang akan mati lagi. Hukum alam. Menteri akan berjanji lagi. Hukum manusia lidah bercabang dan mungkir janji.

2.Kalau kita ingat dan hirau tentang Tsunami, kita sudah barisi pantai kita yang berlumpur dengan bakau, nipah dan polok api-api.

3.Tapi kita tidak tanam bakau,nipah dan api-api. Kita terus musnahkan bakau atas nama ekonomi.

Sdr Harman,

1. Bukan semua dasar gagal dan semua pembesar pembohong dan pencuri. Dan bukan semua Melayu malas dan merempet;

2. Kerja kuat, kerja pintar dan kerja ikhlas masih membawa hasil bagi semua orang, termasuk Melayu.

3. Saya Melayu. Dari zaman sekolah lagi saya sudah mula kerja. Tolong ibu bapa di sawah. Tanam padi, sulam padi, meremput padi, tuai padi, banting padi, mengangin padi, mengering padi.

2. Menternak ayam, itik, lembu, kerbau dan kambing. Tanam sayur atas batas bendang sampai boleh jual. Baja tahi ayam dan tahi lembu. Tahi kerbau tak subur;

3. Tolong ayah jaga kedai runcit. Tolong ayah jaga kedai lesen getah dan tolong ayah berniaga daging bawah pokok paku (pukul?) lima (rain tree);

4. Maka bila dewasa, kerja jadi macam hobi dan amalan hari-hari. Tak kerja mati akal. Tengok muka bini naik bebal. Jadi pejabat tutup kita buka, kerja di mana-mana, di kedai kopi dan bawah pokok sena (angsana);

5. Sekarang saya sudah 61 tahun tapi kerja lagi. Dapat gaji lagi. Bayat cukai lagi dan bagi kerja kepada orang lagi. Taklah banyak,ada dalam 70 orang kot;

6. Kita boleh salahkan pembesar curi. Kita boleh salahkan orang itu dan ini...Cina, India, Siam dan Benggali.

7. Tetapi kalau kita duduk goyang kaki, tengok TV sepanjang hari tonton cerita Indon dan Hindi, tak akan senang sampai mati, melainkanlah datuk nenek kita tinggalkan emas tembaga berguni-guni.

Sdr Indigo,

1. Silalah berpuisi, sesedap dan sesuka hati. Lakarlah kata-kata. Bariskan lagu dan irama. Mengukir cerita suka dan duka. Tetapi apa perlu sumpah dan maki? Mencarut, apatah lagi.

Sdr Orang Jerlun,

Bagi saya, daging kerbau lebih sedap. Tapi kerbau mudalah.Dulu kerbau diguna untuk bersawah. Jadi bila sudah tua barulah disembelih. Tentulah dagingnya keras dan pejal.

Sdr Berasiam,

1. Antara dua darjat semakin jelas dan hebat. Ramai Melayu sudah jadi kaduk naik junjung. Kaduk naik hunjung akhir layu dan mati kerana resmi kaduk menjalar di bumi;

2. Ada unsur dua darjat dan class dalam layanan terhadap mangsa bencana alam.

3. Orang mencuri di tempat kejadian juga membayangkan unsur dua darjat, unsur masyarakat berkelas dan keruntuhan law and order -- undang-undang dan peraturan.

Terima kasih.

Siti Khadijah said...

Dear Dato' AKJ,

Saya juga terasa ada yang tidak kena bila stesen TV menyiarkan cerita mangsa Bukit Antarabangsa kehilangan barang kemas bernilai RM30,000. Ramai penduduk yang mungkin akan kehilangan rumah yang dibeli dengan duit sendiri. Bagaimana dengan semua mangsa banjir yang kehilangan bermacam-macam lagi harta benda. Bila trajedi melibatkan orang yang berwang seperti dalam hal ini, petugas keselamatan mempunyai tugas tambahan pula iaitu menjaga harta benda berharga. Pada hemat saya tugas utama pihak polis dan tentera ialah menjaga keselamatan dan nyawa rakyat Malaysia dahulu tanpa mengira darjat.

P. Ramlee memang bernas dalam menyampaikan mesej "Antara Dua Darjat". Setelah 50 tahun merdeka kita masih lagi belum berubah.

Anonymous said...

Dato Kadir.

Kalau dahulu di tahun 60han dan 70 han,banjir hanya lah berlaku di kelantan.Saya maseh ingat datang musim tenkujoh bulan Dec,paras ayar di sungai Kelantan menjadi ukoran.

Apabila Malaysia makin maju kita dapati banjir mula merebak.Banjir besar berlaku di Kuala Lumpur.Kerajaan terpaksa berbelanja hanpir 3 billion untok mengatasi banjir di Kuala Lumpur.Banjir terus merebak ka Johor,Ka Pahand,ka Penang dan sekarang hampir seluroh negara.

Sebabnya mudah.Sungai2 menjadi cetek dan sempit.Di hadapan rumah saya 50 tahun dahulu mempunyai satu sungai yang besar dab berseh.Bawah sungai ada pasir lada bukab selut.ayernya jerneh,setip hari lepas balek sekolah kita mandi sungai itu beramai2 dengan kawan2.

Sekarang sungai itu hanya sabesar longkang.ayernya kotor hitam macan ayer parit,busok,kerana ada kelang kelapa sawit di buat 5 km dari rumah saya dan kotoran kelang itu terus masok dalam sungai.Bila hujan lebar kawasan rumah saya selalu banjir.

Dato.Hujan ,banjir,ribut,bencana alam semua itu atas perentah Allah.Manusia,dengan kemajuan teknologi settlite,sampai hari ini tak dapat nak meneka bila hujan dan ribut akan datang.kaji cuacha hanya tekaan,tak pernah tepat.

Oleh kerana ini kehendak Allah,maka kita jangan lah mengeloh,jangan lah marah,kita terima sahaja lah apa yang ditakdirkan.Ada hikmah nya bagi setiap bencana yang menimpa kita.

Anonymous said...

kita sudah lupa yang harta bukan segalanya.saya faham yang bukan senang nak mencari harta dan wang.tapi yang manakah yang lebih bernila- nyawa atau harta.

inilah jadinya pada mereka yang enggan berpindah kerana takut barang-barang mereka hilang dicuri.harta lebih diberi keutamaan dari nyawa mereka.tak salah hendak selamatkan harta tapi selamatkan lah harta yang benar-benar diperlukan ketika bencana.

kalau ada harta sedikit tetapi nyawa masih terlekat dibadan memang alhamdulillah sangat kerana masih ada peluang untuk mencari rezeki.tapi kalau ada harta menimbun tapi nyawa tiada hendak buat apa.duit dan harta bukan boleh dibawa ke kubur.

Anonymous said...

Dato Kadir Jasin.

Kejadian tanah runtoh di bukit antarabangsa.Kawan saya kata di sini di kenal juga dengan nama valley of sin.Bukit antarabangsa merupa satu colony masyarakat Melayu ibu kota.banyak celebrity Melayu tinggal di situ,banyak Model2 Melyu yang comel2 tinggal di sini.Banyak Pak Datok Melayu mempunyai isteri kedua ,ketiga dan keempat di situ.Ada juga yang simpan mistress di situ.

Tempat itu juga ramai ahli2 politik,yang baik dan yang jahil,tinggal disitu.Salain dari Dato Tajuddin,Dato Rause juga tinggaldi situ.Siapa yang tidak kenal dengan dato Rouse,Ahli Lobby politik nomber wahid.

Di situ juga,ada ramai kaum yang pondan dan Lisbian tinggal di situ.Kawan saya saorang Guy selalu suka pergu di sini untok berpesta.

Jadi,bila Dosa lebeh dari kebaikan,maka macam2 lah terjadi.teringat kesah nabi Shuib dengan kaum Thanmud nya dan Nabi Lut dan kaum sodominya.

Heical said...

Salam Dato' AKJ,
Selamat Hari Raya Aidiladha.

Kerajaan bersalah bila berlaku bencana Bukit Antarabangsa & highland tower.
Kenapa luluskan plan kalau sudah tahu risiko tanah disitu & kenapa keluarkan CF.
Kena korek semula siapa yg luluskan projek ini dan hantar ke Mahkamah.
Pembeli pula dah tahu bahaya lereng bukit kenapa beli juga.
Manusia yg pilih semuanya. Bukit dicipta untuk hujan,air minuman,pokok,kawal alam bukan tempat buat rumah.Kalau kacau kerana tamak maka terimalah bencana.

Abdullah Ngah said...

Bercakap pasal banjir bawa rezeki ingin saya cakap sikit prihal orang Umno.

Orang Umno bukan sahaja terlalu gembira apabila datangnya musim banjir.

Malah ada yang berdoa agar banjir yang datng itu biar besar.

Apabila banjir besar maka besarlah rezeki yang mereka daapat,terutama sekali para pemimpin Umno ysng dspst ksut rezeki mudah dan banyak.

termasuk JKKK yang dapat rezeki hasil dari pemalsuan dan penipuan yang dilakukan dengan sewenang wenangnya.

JKKK tergamak memalsukan tuntutan kerana membantu orang rumahnya tenggelam.

Bayangkan pusat pemindahan banjir disatu satu orangnya hanya 250 orang sahaja, mereka menyediakan nasi bungkus sebanyak 800.

Bayangkan berapa banyak duit yang JKKK dapat. Nasi bungkus harganya RM600 sebungkus.

Demikian juga para pemimpin Umno, tidak terkecuali dapat rezeki bertimbun timbun apabila musim banjir tiba.

sebagi bukti Di Gong Badak dekat rumah YB Ustaz Ramli Nuh salah seorang JKKK ditumbuk. Padan muka.

Mengapa dia ditumbuk? sudah tentu kerjanya ada kaitan dengan aapa yang saya sebut diatas.

Kalau beliau tidak bersalah mana mungkin kena tumbuk dengan penumbuk kering.boleh sakit sahaja.

Saya dimaklumkan peruntukan banjir memang banyak jumlahnya, sebab itu orang Umno sangat gembira.

Begitulah kerja orang Umno yang penulis sifatkan sambil menyelam sambil minum air.

Mereka tolong orang kena banjir bukan secara ikhlas, tetapi dengan harapan mendapat balassan dengan habuan yang banyak.

Yang sedihnya sanggup tipu menipu semata-mata untuk mendapat rezeki tanpa mengira halal atau haram.

Yang hairanya wang hasil tipu tolong orang banjir dibawa balik beri makan anak isteri yang menyebabkan hati mereka jati hitam legam.

changkatlobak said...

seronok membaca

seperti membaca Detik Detik Diri Di Daerah Daif karangan Shahnon Ahmad. Dato boleh jadi sasterawan unggul negara. saya seperti dibawa ke alam kanak kanak Dato

dan saya faham apa yang Dato cuba sampaikan

Anonymous said...

salam DAKJ n Bloggers,

lihatlah sendiri bagaimana kerajaan melayan mangsa bukit antarabangsa

http://www.youtube.com/watch?v=x1mSykhu1qE

p/s: pasti tiada dlm tv nasional malayISA

HAMBA ALLAH

affendi hussain said...

Pepatah Melayu dulu:

Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah ditepi pantai..

Pepatah Melayu moden:

Kalau takut ditimbus tanah,
Jangan berumah di tepi/atas bukit..

Kesimpulannya: jika takut risiko usah sebut soal perjuangan...hahaha..bunyinya mcm slogan brader Anwar kite ("/)

Segala-gala yg kita lakukan semua ada risiko..memang tak boleh lari..satu pakej..
- makan ambil risiko keracunan/penyakit
- bercinta ambil risiko kecewa
- kahwin ambil risiko bercerai
- kaya ambil risiko utk bakhil &
takut papa
- miskin ambil risiko utk melarat
& jadi kufur..
- terlebih belajar ambil risiko
utk gila
- HIDUP ambil risiko untuk MATI

Memang tiada penyelesaian..ini semua Allah tak suruh selesaikan didunia..dia suruh kita hadapi sbg ujian..org yg takut ambil risiko (ujian) kira dah awal2 lagi gagal..mana ada org tak hadir 'exam' boleh dikira lulus..?

dgn istilah lain Dia suruh kita belajar "RISK MANAGEMENT"..

Gah hebat mulia taraf mana pun anak adam reput kembali ke tanah juga akhirnya kalo tak mati dilaut...cuma cara dikembalikan sama ada mulia atau hina itu plotnya dah ditentu Allah s.w.t bergantung kpd keputusan 'ujian' kita...wallahualam.

Heical said...

Salam Dato,

Tumpang sedikit Dato'AKJ tidak puas hati dengan DBKL.

Tawaran kompaun DBKL

1. Motosikal - RM 100
2. Kereta/MPV..... - RM 100
3. Lori - RM 200

Kesalahan untuk Parking - adalah tidak adil kepada Penungang Motosikal kerana kesalahan kecil bayar sama dengan kereta.
parking untuk motor sedikit sahaja bila salah letak kena pula saman. Tapi kalau parking mencukupi saman tidak mengapa.
Kalau saman pun DBKL janganlah mencekik sampai RM 100 untuk motor bagi kesalahan parking.

sawit futures trader said...

Salam Dato',

Banjir dulu tak sama dengan banjir sekarang, Dato'.

Banjir dulu, hukum alam.

Banjir sekarang, hasil perbuatan orang yang mengabaikan hukum alam.

anakbuah said...

Masa saya kecil dan tinggal sementara di Kelantan dahulu, awal musim banjir semacam pesta air. Org tua dan muda keluar mengharung air. Rumah saya tempat laluan air, jadi bila banjir rumah kamilah yg tenggelam dahulu. Masa itu bagi kami banjir bukan suatu bencana.

Tinggal di kg setinggan di tengah2 KL selepas itu tidak lepas drp alami banjir. Bila dtg musim hujan, rumah kami yg rendah selalu tenggelam. Yg lebih sedih bila pulang dr sekolah, kesian tengok ibu tengah menimba air drp dalam rumah. Lepas tu dlm rumah penuh dgn lumpur. Habis brg2 dlm rumah rosak. Pantang banjir kilat di KL, rumah kami penuhlah dgn air. Itulah nasib kami golongan miskin. Mana ada menteri nak dtg melawat. Tidak pernah dgr pun ada org nak beri bantuan makanan atau wang ringgit. Kalau hujan tidak berhenti sekali pun, tunggulah di rumah sampai air surut. Mana nak pergi?

Semasa tragedi Highland Tower dahulu, saya dan rakan2 sedang bermain bola sepak beberapa batu saja drp Bkt. A/bangsa. Kami berhenti dan ke sana utk melihatnya dr dekat. Selepas 15 thn dan saya berada beribu2 batu dr M'sia, kawasan tersebut masih menelan nyawa. Dan saya percaya, korban akan berterusan jika kita terus tidak mahu belajar.

p.s.: Kg setinggan kami dah tiada lagi. Yg masih bertahan, dipindahkan ke flat. Tiada masalah banjir lagi tetapi masalah gayat pula terutama org tua2 yg biasa mendengar air hujan menimpa atap zink, bukan berlantai dan bersilingkan konkrit. W/b/pun bersyukur - taraf hidup meningkat dan berasa lebih selamat.

Azizahns said...

di felda-felda rumah juga didirikan dilereng-lereng bukit sejak tahun 1960-an.

mungkin tanahnya keras. mungkin rumah kg kecil.

Anonymous said...

Datuk,

Minta maaf kalau kata-kata saya menyinggung perasaan orang-orang tertentu.

Tanah runtuh ini juga memberi banyak rahmat dan membuka rahsia terpendam. Baik di highland towers dulu dan kini Bukit antarabangsa. Sejarah lama berulang kembali. Kini bila bukit antarabangsa runtuh baru kita tahu ramai orang-orang politik kanan dan tak begitu kanan termasuk pegawai keajaan duduk disitu. Ini tidak termasuk isteri kedua, perempuan simpanan dan lain-lain.

Maka tertanya-tanyalah hamba sahia dan rakyat jelata yang kempunan untuk membuat rumah di atas dan di lereng-lereng bukit berapa agaknya harga rumah-rumah itu. Air lior hamba sahia semakin meleleh dengan mata terjengol (terjengoi kata orang Utara) apabila mendengar angka-angka yang tidak boleh dibilang dengan jari sepuluh. Betapa orang-orang Melayu telah menjadi jutawan (miliana kata orang tua-tua di kampung saya zaman dulu).

Seorang pegawai kanan kerajaan yang bersara pernah memberitahu dia hanya mampu membeli sebuah apartment murah di pinggir Kuala Lumpur. Harganya tidak lebih dari RM200,000. Itulah sahaja hartanya selepas bertugas lebih dari 30 tahun di dalam dan luar negara. Namun dia bersyukur kerana anak-anaknya semuanya lulus universiti. Mereka hanya setakat mendapat pinjaman yang terpaksa dibayar balik hampir-hampir 30 tahun. Biasiswa? Forget it.

Sebagai perbandingan beberapa tahun lalu pernah bertemu dengan seorang kawan lama (orang kuat UMNO bahagian yang sekadar kelulusan LCE). Tetapi kayanya bukan main. Mempunyai beberapa biji mercedes Benz. Bini juga lebih dari satu. Apa dia buat? Business.

Dengan khabarnya dia cuma "sleeping partner". Sebagai "front man" dia digunakan oleh taukeh Cina untuk mendapatkan kontrak, permit, tender yang dikhaskan untuk kaum bumiputera di bawah DEB. Apakah orang-orang seperti ini, dan perlakuan seperti ini merupakan salah satu punca kepada berlakunya bencana alam seperti tanah runtuh dan rumah runtuh. Hanya Allah yang mengetahui.

Azizah, rumah-rumah projek felda ditepi-tepi bukit dan atas bukit tidak runtuh kerana tidak berat. Bumbung zinc atau nipah. Sementara diding dan lantai dari papan. Lagi pula penghuninya kurus-kurus maklumlah sentiasa berkeringat kerana kerja kuat dan panas. Lagi pula makan nasi dengan gulai asam ikan keli (yang dipelihara) dan ulam-ulam seperti pucuk peria pantai, selom, petai dan jering (dimakan bersama sambal tempoyak)boleh menjadi perisai kepada serangan penyakit.

(Rasa meleleh ayaq lioq (air lior). Sayangnya ditempat saya tinggal sekarang susah nak dapat durian dan tempoyak apatah lagi ulam-ulam seperti yang dikatakan tadi).

Salam.

A KADIR JASIN said...

Pak Lang,

Cakap fasal yang lain tak pa. Tapi kalau perli ikan keli, gulai asam ikan keli dan sambal belacan saya marah.

Itu makanan utama dan kegemaran keturunan saya turun temurun.

Malam tadi makan asam pedas ikan patin dengan terung hitam dan ikan tilapia goreng.

Ikan patin dan tilapia saya bela sendiri dalam kolam seluas sepetak tempat letak kereta di belakang rumah.

Terung saya taman dalam pasu. Benih anak bagi dari Switzerland. Cuba-cuba jadi juga tapi tak banyak buah. Panas kot.

Masa Highland Towers runtuh saya pergi tengok. Semua orang heboh fasal anak dan menantu bekas seorang TPM jadi korban. Macam-macamlah ikrar simpati dan janji.
Tapi, macam kata P Ramlee, wal hasil balik asal, itu fasal tak hasil.

Terima kasih.

Siti Khadijah said...

Dear Dato' AKJ,

Gulai masam ikan patin buah is the best food in the world. If you add sambal ikan bilis jering ......hmmmmhmmmm

Anonymous said...

A'kum Dato'
Memang best membaca coretan Dato' ini sehinggakan saya terlena depan komputer dan apabila buka mata semula, hari telah pun hujan dan saya teruskan juga membaca catatan pengalaman Dato.
Memang saya akui kejadian banjir ini adalah kehendak Allah tetapi tidak Allah jadikan sesuatu kejadian itu tanpa ada pengajarannya.Hanya kita manusia yang lemah dan sentiasa lupa.

Berbalik kepada kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini.Saya hanya ingin komen,hentikan double standard dalam menangani isu-isu seperti itu.Fikirkan...

Anonymous said...

Salam Dato'

Pendang, kita pula dari Rantau Panjang Kota Kuala Muda.

Pernah semasa kecil membantu Nenek menjemur padi. Hah, hasil setahun, tersusun lega di bawah rumah, berguni menunggu lori.

Jam 3pagi, bertempit riuh, AYAK PASANG! Belum sempat, semua guni hanyut dibawa arus yang deras..

Kini hanya tinggal kenangan. Geran tanah pusaka moyang masih disimpan sekadar ingatan. Kawasan situ kini sudah ditengelami sungai.

Masa dulu, kalau air pasang, ayak naik, BAH, secara automatis, sesama jiran sahaja bantu membantu.

Tapi betul tak Dato', peti ais pun zaman dulu belum ujud di Kampung, "NO LETRIK", masih mengguna lampu pelita. Stok makanan sekadar apa yang ada, IKAN PEKASAM!!

Dulunya, BERDIKARI betul kita semua??

Salam

CHE'PAH

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).