Friday, January 30, 2009

Sukan: Jaguh Kampung, Jaguh Dunia

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[UPDATE, 31 Januari]

DALAM kita berbincang mengenai ketidaktentuan hala tuju sukan negara dan kontroversi yang sering melandanya, izinkan saya mensemasakan berita mengenai projek KLIA EAST@Labu yang tidak kurang kontroversinya itu.

Menurut Malaysiakini, projek RM1.6 bilion itu nampaknya telah digugurkan berikutan pertemuan di antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak, dengan pencadangnya iaitu Sime Darby Berhad dan AirAsia Berhad.

Memetik sumber-sumber, portal berita bebas itu berkata, sebaliknya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pemilik dan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah diberikan keizinan untuk meneruskan rancangan asal membina terminal tambang murah (LCCT) baru di KLIA.

Tetapi Bernama memetik Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat, semalam sebagai berkata keputusan mengenai cadangan itu akan diketahui dua atau tingga minggu lagi.

Apapun, rancangan Sime Darby dan AirAsia itu mendapat tentangan hebat daripada orang ramai dan MAHB yang melihatnya sebagai persaingan yang merugikan kerana masih banyak kemudahan di lapangan terbang itu belum digunakan sepenuhnya.

Inilah cagangan kedua Sime Darby yang dibatalkan akibat tentangan hebat masyarakat. Yang pertama adalah cadangannya mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN). Reaksi negatif dan pembatalan dua cadangan ini pasti menjejas imej dan perancangan perniagaan Sime Darby.

Ini menimbulkan tanda tanya mengenai keberkesanan serta ketelusan pengurusan syarikat gergasi itu yang terbentuk hasil penggabungan tiga syarikat perladangan milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu Sime Darby, Golden Hope Plantations dan Kumpulan Guthrie dua tahun lalu.

[Posting Asal]

PEMBAHAS Sinbad kata dia tengok saya dalam Astro bercakap fasal sukan. Itu rancangan lama. Saya dan tiga ahli penal lain berbincang tajuk “Jaguh Kampung, Jaguh Dunia.”

Saudara Sinbad minta saya ulas fasal sukan. Saya tak pandai sukan. Dan saya pun bukan jenis yang kuat bersukan. Not the athletic type, kata orang putih.

Masa kanak-kanak ada kawan-kawan yang kata saya “ponen”. Tapi saya main juga bola sepak, sole, randas (rounders) dan sepak raga dengan budak-budak pondok berdekatan rumah saya.

Daripada dulu hingga sekarang saya suka berkebun. Itulah bentuk senaman yang saya buat hampir setiap hari. Saya berkebun bunga dan sayur-sayuran. Kalau memelihara ikan dan memancing boleh dianggap bersenam, saya bersenamlah seadanya.

Masa kanak-kanak dan waktu sekolah menanglah kita minat bola. Kita semua nak jadi (Datuk) Abdul Ghani Minhat, Raja Bola yang mengharumkan nama Malaysia dalam arena bola sepak Asia pada tahun 1950-an hingga penghujung 1960-an.

Waktu itu pasukan bola Malaysia hebat. Selalu di tempat teratas dalam carta bola sepak Asia. Selalu johan Merdeka Cup.

Setiap kampung ada pasukan bola. Padang bola dengan padang ragut sama. Tiang gol kita buat daripada buluh. Pada musim kemarau kita main bola dalam bendang yang kering kontang. Kita tak pakai kasut dan selalu “aim” betis kering lawan.

Budak-budak kampung waktu itu kurus dan renjong sebab makan ala kadar dan sering diserang bermacam-macam penyakit macam demam kura (malaria), lelah dan jangkitan pelbagai jenis cacing sehingga boroi perut. Kudis buta, kurap, panau, hingus dan telinga bernanah perkara biasa.

Tetapi yang selamat dan tak mati selalunya menjadi kuat, tahan lasak dan gigih – kuat bersawah, kuat menternak kerbau lembu dan kuat bersukan. Ada juga yang berjaya menjadi orang profesional.

Malangnya selepas menikmati kesenangan hasil kemajuan ekonomi, ramai kawan-kawan saya yang satu sekolah dengan saya di Sekolah Melayu Pendang, di Saint Michael School dan Maktab Sultan Abdul Hamid di Alor Star kena kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ramai sudah meninggal dunia atau kena potong sana sini.

Waktu itu kita main bola kerana minat dan kerana hendak naikkan nama kampung. Setiap kampung ada youth club, ada pasukan bola dan ada gelanggang silat.

Di Kedah, jaguh dan juara bola selalunya pasukan estet macam Harvard Estate dan Sungai Tok Pawang Estate.

Sekarang kampung tak ada padang bola lagi. Kalau ada pun ditumbuhi rumput dan lalang. Padang ragut sudah dipugar menjadi sawah atau kampung. Ada tidak pun padang sekolah dan padang di kompleks sukan daerah.

Banyak punca dan situasi yang menyebabkan mutu dan pencapaian sukan negara semakin hari semakin meragukan.

Mungkin kita boleh mempertimbangkan fakta dan faktor berikut:-

1. Sistem pendidikan yang terlampau mengutamakan peperiksaan dan pencapaian akademik;

2. Kedudukan dan keutamaan sukan yang sekadar melepas batuk di tangga dalam sistem kokurikulum;

3. Sistem persekolahan yang tidak memberi pengiktirafan yang secukupnya kepada kebolehan dan bakat istimewa (special skills and talents) murid;

4. Kegiatan sukan terlalu kerap dilanda kemelut politik, sama ada politik persatuan atau campur tangan parti-parti politik;

5. Sukan terlalu bergantung kepada naungan dan bantuan kewangan daripada kerajaan;

6. Ini memberikan alasan kepada kerajaan dan parti-parti politik masuk campur dalam pentadbiran dan urusan badan-badan dan pasukan-pasukan sukan;

7. Boleh dikatakan hampir semua badan sukan utama dipimpin atau dinaungi oleh orang politik atau isteri, anak dan menantu mereka;

8. Kerana pendedahan yang kurang profesional dan mirip kepada sensasi oleh media massa, khas televisyen, ahli sukan kita mudah dirosakkan oleh kemasyhuran, glamour, sanjungan dan kekayaan;

9. Peranan media massa, khasnya TV, adalah penting untuk memberikan galakan kepada ahli sukan dan untuk menjana penajaan dan pengiklanan;

10. Tetapi liputan yang terlalu mengutamakan aspek-aspek sensasi seperti kisah peribadi, gaya hidup dan pendapatan ahli sukan kerap menimbulkan kesan negatif;

11. Sistem pendidikan dan latihan sukan tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada aspek-aspek saintifik seperti psikologi, perubatan dan pemakanan menyebabkan ahli sukan kita kurang kekuatan fizikal dan ketahanan mental; dan

12. Pasaran sukan kita tidak cukup besar dan kuat di segi kewangan untuk menampung sukan profesional kecuali bagi sukan massa seperti bola sepak.

Sukar membuat ramalan mengenai hala tuju dan prestasi sukan negara buat beberapa waktu akan datang.

Apa yang terpaksa diterima adalah hakikat bahawa Malaysia adalah antara negara paling terkebelakang dalam carta sukan antarabangsa berbanding bilangan penduduk dan taraf ekonomi.

Pada sukan Olimpik Beijing tahun lalu, Malaysia dengan penduduk seramai 24 juta hanya memperoleh satu pingat perak dan menduduki tempat ke-74.

Bandingkan dengan Jamaica dengan penduduk 2.8 juta dan lebih miskin daripada negara kita menduduki tempat ke-13 dengan enam emas, tiga perak dan dua gangsa.

Ini sekali gus menjadikannya negara membangun paling berjaya di Sukan Olimpik.

Kita boleh belajar sesuatu daripada Jamaica yang pada Olimpik lalu mempersembahkan kepada dunia pelari sensasi, Hussain (Ussain) Bolt dan sebelum itu Merlene Joyce Ottey.

Dan siapa tidak kenal “No Woman, No Cry” Bob Marley?

41 comments:

gotahlantun said...

SALAM DATO'

BILA BACA POST NI, EDEN PUN TERINGAT MASA EDEN KOCIK2 DLU..

KITA ORANG MAIN HOKI PAKAI KAYU UBI,PELEPAH KELAPA DAN MAIN KEK BENDANG YANG KONTANG.

KEKADANG BERENANG DISUNGAI, BUAT SELAMAN SIAPA YANG PALING LAMA.

KALAU TAK PUN MELASTIK BURUNG ATAU BUAH2AN.TENGOK SAPA YANG TEROR.
KALAU DI PALESTINE EDEN RASA DAH RAMAI ORANG ISRAEL PECAH KEPALA KENA LASTIK DEK BUDAK KAMPUNG NI...

Anonymous said...

Datuk,

Terima kasih sebab penuhi permintaan saya. Saya ada banyak perkara nak cakap mengenai sukan ni, tapi bila Datuk sebut perkataan "ponen", saya jadi pecah perut, tak tahan asyik nak tergelak saja. Teringat kawan lama masa sekolah dulu. Nostalgia ... Datuk ... nostalgia ....

hehe ...

nak pi sambung gelak dulu ...


-sinbad-

Brahim Nyior said...

Betul tu, Datuk KJ.

Saya nak tambah pasal pembangunan sukan di negara kita. Setiap sekolah ada padang bola, tapi kita gagal menduduki 100 terbaik dalam ranking FIFA. Berbanding dengan Vietnam, Myanmar dan negara Timur Tengah, waima Iraq yang sedang berperang pun, kita tak mampu melawan kehebatan mereka di padang.

Apa sebenarnya masalah kita? Saya rasa sangat pelik.

Datuk tak rasa pelik ke?

Anonymous said...

Dato',

Maaf saya nak komen sikit pasal bolasepak.
Pertama pasal Presiden FAM. Jika Presiden FAM dilayan sebagai presiden dan bukannya sultan maka sudah lama ditendang keluar. Semasa baginda mengambil alih daripada Allahyarham Hamzah Abu Samah pada tahun 1980an Malaysia antara gergasi asia (layak ke olimpik 1980, juara piala-piala jemputan, pencabar utama piala asia, mendominasi sukan sea, duduk sama taraf dengan Korea, menewaskan Jepun sekurang-kurangnya 3 gol dan negara lain ketar lutut bila diundi bersama Malaysia). Tetapi sekarang Jepun dan Korea tak nak main pun lawan Malaysia (buat kotor jersey sahaja). Jika PM boleh turun kalau gagal satu pilihanraya maka kenapa Presiden tidak boleh turun kalau gagal selama 25 tahun! (Tahun : Dua Puluh Lima Sahaja).

Kedua pasal pengurusan FAM. Mereka ini seolah bekerja untuk Sultan bukannya bekerja untuk pembangunan bolasepak Malaysia. Masing-masing cuba mengekplotasi geran. Bayangkan selama 10 tahun Dunhill telah menyumbang lebih 350 juta (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Lima Puluh Juta Sahaja) tetapi pembangunan akar umbi tidak dibuat. Itu tidak termasuk sumbangan kerajaan dan tajaan lain. Tidak mengadakan liga negeri, liga daerah atau kampung sedangkan itulah tempat bakat-bakat perlu dicungkil. Setiausaha Agung FAM dibayar RM30 ribu sebulan (rujuk iklan jawatan yang dibuat FAM dua tahun lepas). Berapa pula elaun ahli majlis dan macam-macam lagi jawatankuasa yang pusing-pusing orang yang sama.

Ketiga pasal pemain. Hanya tahu menjerit 'Malaysia Boleh' semasa majlis penyerahan bendera. Semasa perlawanan tidak sempat separuh masa kedua dah pancit. Jersey cantik, kasut cantik tapi tiaad semangat untuk negara. Mereka hanya nampak apabila bermain untuk negara kadar gaji yang akan dibayar oleh persatuan negeri adalah RM8-10 ribu. Malah ada yang masih boleh bergelak ketawa dan bergurau senda semasa tamat perlawanan (berjalan masuk ke bilik persalinan) walaupun tewas teruk. Sedangkan penyokong membayar duti (tiket) untuk disakitkan hati dan kecewa.

Maaf Dato', dengan tulisan saya ini semoga dapat saya mengubat hati yang kecewa setelah ribuan ringgit dihabiskan (tiket, petrol, minuman selama lebih 25 tahun)untuk menjadi penyokong pasukan 'negara Malaysia'.

'Malaysia Boleh tetapi Sultan Ahmad Shah Dah Tak Boleh'

Bye/Roti Planta

Anonymous said...

Datuk',
Pemerhatian sambil lewa saya adalah seperti di bawah:-

1. Liga peringkat daerah di mana pasukan2 kampung di dalam daerah akan bertanding.
- Dulu di kampung saya, jersi ada sponsornya. Tiap2 minggu semangat nak berlatih sebab ada yang sudi membawa kami bermain bola. Selalunya Belia 4B yang akan sponsor. Sekarang tak tau lah siapa yang pedulikan anak2 muda di kampung.

2. Kerjaya pemain bolasepak yang tidak menjamin masa depan.
- Kalau gaji setakat RM8000 sebulan lepas tu umur 26-27 dah nak kena berhenti main, maka ramai yang berkebolehan lebih suka sambung belajar di universiti dari masuk pemilihan pasukan negeri. Yang tinggal hanyalah mereka yang tak dapat tawaran ke universiti, main bola sekadar mencari nafkah hidup. Satu lagi group yang tertinggal akan memilih sukan lumba motor di jalanan atau lumba kuda di kedai2 komputer.

3. Sistem kejurulatihan di malaysia yang pantang tengok budak yang ada 'skill' , mulalah kata dia 'individual player'. Lama2 kita tak ada satupun budak yang ada individual skill. Semua nya dibunuh oleh jurulatih2 gila ni.

4. Disiplin diri yang kurang.
Ramai budak2 bola sekarang ni dah tak kisah dari segi diciplin. Keluar malam, tidur lewat, kalau out station ke oversea (sekolah sukan), cuba pantau mereka ni di bilik2 hotel....- ini satu kisah benar yang sensasi.......macam mana nak main bola esok harinye?

Terimakasih.

Achmad said...

Saya bersetuju dengan pandangan AKJ. Kita perlu belajar dari negara-negara yang telah berjaya dalam bidang sukan. Dahulu Korea belajar dengan kita untuk menyepak Bola.....sekarang ayuh kembalikan "Dasar Pandang ke Timur dan Afrika" dalam bidang sukan.Belajar dengan mereka!!!!!!

Anonymous said...

Dato,

Macam juga cerita bab makan, begitu juga bab sukan.

budak budak sekarang dah manja, tau nak capai kejayaan cara short cut aje. Makan semua fast food sekarang sedang kita dulu kena usaha turun bendang ke, pergi masuk kebun le.

Menang sekali, lepas tu dah nak mula hisap curut RM100.

Salah ibu bapa atau pentadbir ke yang juga nak ikut jalan pintas.....sebab masing masing dah ada banyak duit.

Anonymous said...

datuk,
seprti biasa saya amat setuju dengan komen mengenai sukan, dan sekali lagi kita akan jumpa puluhan alasan samalah kekalahan bn di kt tempoh hari.kalau tiada alasan bukan melayu namanya .bagi saya kita perlu akui kelemahan dan sistem yang tidak kena.lalu kita memperbaikinya.contohnya kes campur tangan ahli politik dah bertahun saya dengarinya .dan seratus akan datang alasan ini tetap segar dan hidup
sekian.zmy

Anonymous said...

Dato,

jalan pintas adalah bawa dan sponsor team bola Iraq (yang ranking lagi tinggi )
dan atelit Afghaistan yang menag medal kat olimpik hari itu training sekali dengan budak Malaysia kat Bukit Jalil. Tak payah lah habis duit kat luar negeri.

Tengok macamana semanagt juang depa ni.

Anonymous said...

saya ada cadanggan, supaya pasukan bolasepak kita di amaturkan semula, dengan ini saya yakin mutu bolasepak kita akan kembali menyinar diperingkat antarabangsa, antara sebab saya menyatakan begini bukan apa, pekara ini telah terjadi pada saya, dimana apabila kita menggalami kecederaan, masa depan kita akan menjadi kabur dengan serta merta, kerana pasukan negeri tidak ada dana yang mencukupi untuk menampung pemain yang menggalami kecederaan. dengan ini para pemain akan berasa sedikit tertekan jika bermain untuk pasukan kebangsaan, sekiranya pasukan lawan menerjah dengan keras ini akan mengakibatkan pemain kita akan berasa sedikit gentar untuk melawan. sekiranya seperti dahulu jika cedera kita masih ada lagi pekerjaan yang menanti, dengan ini kita tidak akan merasa takut dengan kecederaan yang akan menimpa dengan itu kita akan memberi sepenuh tenaga kita untuk melawan. saya bagi satu contoh kenapa bawah 12 tahun kita amat berjaya, ini kerana mereka bermain dengan sepenuh jiwa dan tidak pernah memikirkan tentang pekerjaan ataupun kecederaan.

Anonymous said...

sekolah memainkan peranan dalam menentukan hala tuju seseorang murid sama ada cenderung kearah sukan ataupun akedamik, tapi sistem pendidikkan negara kita lebih tertumpu kepada akedamik semata-mata,
kenapa kita tidak meniru seperti jepun ataupun amerika dimana ia menumpukan keseluruhan ilmu itu sendiri, tidak hanya mencipta kepala sahaja tetapi didalam satu masa meraka mencipta tangan badan kaki dan lain-lain keperluan untuk hidup dimuka bumi ini.

slyderrose said...

Sudah jadi budaya rakyat malaysia tidak mahu the best. Takut bersaing dengan bangsa lain kununnya ketuanan mesti dipertahankan. Kepimpinan mesti disokong dan dilenakan dengan berita2 baik belaka walaupun pemimpin tersebut tidak berkerisma dan korup. Budaya second best terikut dalam hampir semua organisasi dan pertubuhan. Kalau ada pihak tertentu cuba memperkenalkan pemimpin alternatif yg bukan sebangsa, melalaklah puak-puak ini. Jadi apa nak dihairankan kalau Malaysia the best among the worse sahaja.

Quantum Metal Consultant said...

Dato jangan lupa, walaupun kita tercorot dalam sukan seperti bolasepak misalnya tetapi kita tetap No. 1 dalam bidang sukan bermotor (rempit) dan Formula 1 (speed trap) dan kita paling banyak melahirkan doktor terlatih (mat gian).

mn said...

Datuk,

1. Saya bersetuju dengan hujah Datuk di para 7, iaitu:

[Boleh dikatakan hampir semua badan sukan utama dipimpin atau dinaungi oleh orang politik atau isteri, anak dan menantu mereka]

2. Saya ingin menambah, kalau boleh "Raja-Raja" juga tidak perlu terlibat dengan kepimpinan badan sukan di negara ini.

3. Jika Raja-Raja terlibat, maka ia sedikit sebanyak akan menghalang perbincangan, mesyuarat atau kritikan pedas dan terbuka oleh ahli-ahli badan sukan berkenaan ke atas pemimpin mereka.

4. Kita mahu melihat kritikan terbuka untuk menegakkan fakta dan kebenaran seperti mana berlakunya 'pertikaman lidah' diantara PM Turki Erdogan dengan Presiden Israel, Shimon Peres dalam forum ekonomi dunia di Davos, Switzerland.

5. Satu kajian perlu diadakan untuk mengetahui "Adakah penglibatan Raja-Raja dalam kepimpinan badan sukan boleh memberi kesan positif atau negatif".

6. Jika penglibatan mereka membawa hasil 'positif' sila teruskan. Disebaliknya jika ia banyak negatif, maka ia perlu dihentikan.

anakbuah said...

Salam Dato',

Saya sokong penuh komen Sdr Roti Planta.

Kita tahu masalahnya tapi tak berani bersuara - takut dikata derhaka dan biadap. Berpuluh tahun kita korbankan bolasepak negara hanya kerana FAM masih mahu kekalkan presidennya.

FAM memang ada 'presiden seumur hidup' ke Dato'?

Anonymous said...

Salam Dato'

Pernahkah Dato' bermain SOLE . Guna bola seghalat.Awai satu sampai tiga.Kangkang satu sampai kangkang tiga.Akhirnya sepak satu hingga tiga.Kalau sukan ini dimainkan semula mungkin Malaysia akan jadi juara dunia.Nak harapkan bola sepak kena tunggu kucing bertanduk lah jawabnya.

Anonymous said...

Dato'

Betul semua komen2 tu, memang betul kalau ada politik yg berkait dgn sukan pasti sukan tu akan merudum. Saya nak kongsi cerita rakan sukan saya, saya rasa ada yg kenal atau masih ingat akan nama Abdul Rahman Kuyakuti (maaf kalau salah eja nama)pelari pecut negara, sebenarnya dia muncul agak lambat, dia timbul di Selangor setelah bekerja. Bakatnya sudah nampak dari sekolah lagi, tapi sebab orang kampung, tak ada siapa nak ketengahkan, kalau di Sekolah Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak, kalau hari sukan sekolah asik2 nama dia & kakak dia yg juara sekitar 1975-1980 itu pun tak siapa nampak.

Dari cerita tadi saya nak gambarkan bahawa kita memang ada bakat2 yg boleh digilap dari sekolah lagi, asuh mereka jangan ada politik di sebalik sukan.

Ada lagi nama besar, spt Karim Pin asal Perak tapi munculnya di mana? kenapa? Fikir2kan lah.

..AMS..

sawit futures trader said...

Salam Dato',

Masa sekolah dulu, guru sukan akan buka setor sukan pada masa rehat. Pelajar bebas nak ambil peralatan dan guna. Janji yang mengambil tu wakil sekolah (untuk memastikan pemulangan bila rehat berakhir).

Malah kapten pasukan boleh buat appointment dengan guru sukan jika nak guna peralatan/padang pada masa hujung minggu atau pada masa cuti penggal.

Pada cuti penggal, biasanya padang sekolah diguna pagi dan petang. Pagi untuk permainan bola budak-budak. Petang untuk abang dan bapak budak. Guru Besar dan cikgu tak kisah sebab kenal benar masyarakat keliling sekolah.

Kini, satu kesalahan bila pelajar berada di padang pada masa rehat.

Orang kampung keliling sekolah nak tumpang, kena buat paper work dulu; itu pun belum tentu lulus - takut rosak rumput katanya.....

Kadang-kadang, bukan salah budak-budak semata-mata tak nak main sukan waktu petang.

rocky said...

Football situation in Malaysia. simple answer. Just plot Malaysia standing over the years and then marked the date the current FAM president took over. you will see a decline. and yet his highness thinks he can crack the whip and make a difference after being unable to do so for the last 25 years.

It is not about money or less talent or population as datuk pointed out which most in power would like to put the blame on. It is also no about politician. Remember FAM before that, was headed by politicians and yet they were successful.Tan Sri Datuk Seri Raja Hamzah(pbuh) was one man who made malaysia proud and fill up the stadiums and all with less money than now. Tunku(pbuh) also did well. It is about whether you have the vision and the capability to make a positive difference. How you manage and how to execute.

Now we have the MHF president who used to be the deputy vice president of FAM. Good luck to MHF!

really politicians or their wife's or royalty who are unable to manage or make a positive difference and that goes to ordinary malaysians as well. Unfortunately sports will not be spared this wisdom. look out for some to jump on to the bandwagons of sports that are doing well like badminton, bowling more so if there is lots of money in those sports.

shaz said...

Salam Dato',

Post ini adalah antara post yang buat saya gelak bila terbayangkan Dato' yang mungkin kurus kering masa muda-muda dulu berlari mengejar bola.

Walau bagaimanapun, saya setuju dengan pandangan ramai di sini bahawa sukan negara kita dinodai dengan mereka-mereka yang duduk dikerusi tertentu hanya untuk kepentingan poket dan diri sendiri.

Pada mereka tidak penting untuk Malaysia menang sebab tiap-tiap bulan elaun mereka masuk tanpa henti.

Pada ahli sukan pula, dapat gaji sudah cukup. Mereka bermain ala kadar kerana mugkin mereka bayangkan habuan ala-David Beckham, Ronaldino dan yang lain lain. Tapi Malaysia tak boleh bayar gaji sebanyak macam tu. Jadi mereka pun main lah dengan ala kadar juga.

Perdana Menteri kita pun satu. Beliau juga menggalakkan "bersukan kerana duit" dengan menawarkan hadiah wang ringgit yang lumayan.
Tetapi disebabkan ahli sukan negara kita pun tak seberapa bagus berbanding dengan ahli sukan dari negara yang dilanda perang; tak ada siapalah yang dapat habuan besar tersebut.

Jadi secara keseluruhanya; ahli sukan Malaysia bersukan kerana

1) tak boleh buat kerja lain
2) duit
3) glamour
4) tak perlu ada konsistensi sebab yang menaung pun tak peduli sangat
5) semangat "tak kisah kalah"

Apa yang patut dibuat; tarik balik jawatan yang dipegang oleh orang orang tertentu yang tak pedulikan tahap kesukanan negara.

A KADIR JASIN said...

Sdr Rocky dan Sdr Sawit, tak boleh tidur ka?

Sdr Rocky, PBUH (peace be upon him) is used only for Prophets of Islam.

For the ordinary mortals, we use the terms Allahyarham for men and Allahyarhamah for women.

For the Royalty, it's customary to use the term Almarhum and for the non-Muslims, we use mendiang.

Hamzah that you referred to could be Hamzah Abu Samah, once the Youth and Sports Minister.

Sdr Sawit Futures Trader, sekarang agama pun digunakan sebagai alasan untuk tidak bersukan.

Sewaktu saya menjadi Presiden PIBG di Bangi pada tahun 1980's saya terpaksa bertegang leher dengan beberapa orang ibu bapa yang mahu sekolah mengharan/mengecualikan murid-murid perempuan Islam daripada bersukan.

Malah ada yang mahu mata pelajaran musik tidak diajar kepada murid-murid Islam kononya haram.

Terima kasih kepada semua.

Anonymous said...

Datuk AKJ,
Berkenaan KLCCT@labu tu, jalan keluar yang paling terhormat ialah Sime Darby menulis surat kepada Kerajaan menarik balik cadangan tersebut untuk menjaga nama baik kerajaan Pak Lah sebelum dia berhenti. Kalau tidak beliau turut akan terpalit dalam lipatan sejarah kerana Pak Najib sudah pasti akan membatalkan projek ini nanti selepas beliau mengambil alih jawatan PM. Mungkin Pak Najib akan menjadikan Kuantan sebagai hub Air Asia pantai timur dan Sime Darby pula mengendalikan Airpot Kuantan.

Lakunan yang sama oleh watak yang berlainan.

Hardy

Anonymous said...

Dato',
Untuk menjadi pemimpin badan sukan tidak perlu terhad kepada siapa-siapa. Golongan istana (Raja, Sultan, kerabat), golongan politik (kerajaan, pembangkang), golongan koporat atau marhaein pun boleh memimpin badan sukan. Apabila menjadi Presiden atau pengerusi, mereka mestilah 'simpan' status tersebut dan sedia menerima kritikan, cercaan (biasa kalau kalah) dan meletak jawatan kalau gagal. Media cukup mengawal kritikan rakyat kepada persatuan sukan tertentu seperti mereka mengawal kritikan kepada PM. Malah Berita Harian menyediakan kolum memuji Presiden FAM setiap minggu (kolum Raja Ahmad Zainudin). Suatu hari kekecewaan rakyat ini akan meletup. Semasa itu baru tersedar ianya dah terlewat dan kita sudah jauh ketinggalan.

Sikap tidak mahu berundur bila gagal seolah tiada orang lain yang boleh mengganti ini merosakkan kemajuan sukan di Malaysia. Sikap BERANI GAGAL 'dare to fail' ini bagus tetapi sekarang sudah jadi TAK KISAH GAGAL 'dont care to fail'. walaupun dah pimpin selama 25 tahun.

Malah mereka main politik dengan memasukkan undang2 kecil persatuan dengan 'presiden hanya boleh dilantik dikalangan eksekutif atau exco semasa' (MOM, FAM, KOAM dsb). Jadi seolah jika Presiden gagal akan digantikan oleh AJK gagal yang lain.

Bye/Roti Planta

Anonymous said...

Salam Dato' AKJ

Banyak pandangan yang dikemukakan menyanggah penglibatan Duli-Duli Raja-Raja Melayu sebagai penjawat dalam badan sukan dan menjadikannya sebagai salah satu punc utama kemerosotan sukan negara. Mungkin betul dan mungkin juga salah pandangan itu. Dari segi peruntukan serta penajaan, penglibatan mereka tentunya memberikan kesan yang positif. Sudut pencapaian tidak boleh dikaitkan dengan faktor kepimpinan semata-mata. Apakah dapat dipastikan bahawa tanpa penglibatan Duli-Duli Raja-Raa Melayu bidang sukan akan berubah sebaliknya, atau mungkin kemerosotannya lebih ketara.

Sebagaimana yang Dato' sendiri nyatakan, ibu bapa pelajar tidak memberikan galakan terhadap penglibatan anak-anak mereka dalam bidang sukan di sekolah. Walhal pembangunan pada peringkat itulah yang bakal menentukan hala tuju dan pencapaian masa depan bidang berkenaan. Kekurangan kemudahan sukan yang boleh digunakan oleh masyarakat, perubahan kecenderungan remaja khususnya dengan kemunculan teknologi ICT dan sebagainya juga merupakan punca-punca yang perlu diambil kira. Remaja hari ini mungkin cenderung bersukan di alam maya, bermain bola dengan menekan butang "kayu gembira" (joystick) dan seumpamanya. Mereka beroleh kepuasan daripadanya sebagaimana remaja dahulu beroleh kepuasan menendang bola di padang. Apa yang dianggap sebagai cabaran pada zaman ini berbeza dengan tanggapan pada masa lalu.

Sikap masyarakat Malaysia yang suka menuding jari sememangnya suatu kelaziman apabila sesuatu perkara menghadapi gerhana. Kambing hitam dicari dan dikorbankan. Sangat kurang yang mahu mencari rumusan penyelesaian yang bersifat amali. Itulah yang lebih mudah.

Anonymous said...

Saya juga bersukan, sebab nabi suruh, ajarlah anak kamu memanah, menunggang kuda ...tak ingat, tetapi saya bersukan lebih untuk persediaan menghadapi apa jua ....yang kita tak tahu.Dan tak pasti. Biar kita sihat dan dapat memberi sumbangan. Masalah sukan dan apa yang dihiruk pikukkan saya tak tahu. Tak minat.Cuma, Kita kena sedar fizikal kita. Kena cari sukan lain yang sesuai dengan fizikal kita. Kalau perancangan ikut hati semua nak masuk.Semua nak buat Tapi kalau perancangan ikut otak kena sesuaikan dengan fizikal. Kena sedar diri.

UMNO PARTI PENJARA said...

Pemain kampung juga perlu diketangahkan dan diberi peluang :-)

rocky said...

dakj,

tak boleh tidurla datuk. terlalu syok selepas tengok siri lost terbaru yang saya dl.

terimakasih atas tunjuk ajar tentang pbuh.Sorry and Thanks. :)

Anonymous said...

Datuk dan rakan-rakan sekalian,

Ikut pendapat saya, tidak salah kalau pihak istana atau orang politik menerajui persatuan sukan tetapi cukuplah hanya sebagai penaung dan bukan sebagai peneraju "eksekutif".

Kuasa eksekutif ini hendaklah diberi pada golongan profesional atau individu yang tidak ada kerja lain lagi selain dari kerja yang diamanahkan kepadanya dipersatuan sukan itu. Kalau persatuan tak maju, jawabnya beliau hendaklah letak jawatan atau dipecat dan serah pada orang lain.

Ini salah satu kunci untuk memajukan sukan negara.

Kesilapan besar kita, ramai yang mengurus persatuan sukan itu tidak bersikap profesional malah menggunakan kedudukan itu untuk kepentingan peribadi samada berbentuk politik ataupun perniagaan.

Sukan sekarang bukan lagi sekadar aktiviti riadah. Ia sudah jadi aktiviti perniagaan. Profesion ahli sukan sudah menyamai profesion profesional yang lain seperti peguam, akauntan, jurutera, juruterbang, doktor, arkitek dan lain-lain.

Pendekatan untuk memajukan sukan perlulah diubah dan perubahan ini hendaklah bermula dari sekolah lagi. Ibu bapa dan guru-guru janganlah berterusan membuat tafsiran sempit bahawa anak-anak yang selalu bersukan akan menyebabkan keputusan akademik jadi lemah. Ini tidak betul. Orang yang kuat bersukanlah akan membuat badan sihat dan otak jadi cerdas. Bukan jadi ponen.


-sinbad-

Anonymous said...

Salam Sejahtera buat Dato' AKJ,

Saya bukan macam Dato'. Saya peminat sukan dan wakil sekolah dalam macam-macam acara. Wakil daerah je belum sebab kalah. Tapi itu tidak buat saya putus asa dengan sukan. Saya masih minati sukan sampai hari ini.

Kita semua maklum akan impak politik dalam sukan. Kesan sumbangan politik ke atas kejayaan dan kemorosotan sukan juga kita akui. Jadi, kita nak buat macam mana? Kita semuanya seperti anjing menyalak bukit.

Individu yang tidak pernah wakil sekolah, lebih teruk lagi, tidak tahu langsung main bola, boleh jadi Presiden Persatuan Bola. Apa cerita?

Belajar lah menjadi insan yang bermoral, beretika serta bertanggung jawab seperti yang kita lihat di Negara Barat. Dari jurulatih hingga ke pengurusan tertinggi terdiri dari mereka-mereka yang punya kerjaya sukan yang hebat. Lihat Michel Platini, Presiden UEFA, lihat Sebastian Coe, bekas Menteri Sukan England, lihat Sepp Blater, Presiden FIFA, dan ramai lagi. Tidak payah pergi jauh, lihat sekeliling negara jiran kita. Bandingkan.

Atlet kita bukan atlet yang tinggi disiplin. Mereka dijamu nasi lemak, roti canai, mee hon goreng, telor mata kerbau, sambal ikan bilis, sambal sardin, teh tarik, milo tarik setiap pagi. Makan tengah hari pula termasuk ikan patin masak lemak, ayam masak merah, ayam masak kicap, rendang, sate, tom yam, nasi ayam serta berbagai sajian yang menyelerakan. Minum petang lagi. Makan malam lagi. Ini tidak termasuk yang pergi "clubbing". Merokok jangan cakaplah!! Dimana kita jika kita mahu bandingkan atlet kita dengan atlet luar yang punya diet makan yang cukup rapi. Lihat sahaja pemain bolasepak EPL. Apa mereka punya menu makan yang sama macam pemain bolasepak kita?

Kita adakan perlawanan persahabatan pun dengan negara ASEAN sahaja. Kita tiada kalendar perlawanan persahabatan yang khusus. Jadual liga pun boleh lompat-lompat. Boleh cuti-cuti. Nak beri laluan kepada pertandingan serantau. Ciri-ciri ini ada ke di negara lain. Kalau hujan, negeri yang jadi tuan rumah diberi kekalahan 3-0. Bukan 1-0!!!! 3 telor!!!!! Macam mane kawe kito tak maroh!!!!! Kejo gilo!!!! Apa "law" yang kita pakai ni!!!!!

Ahli majlis tertinggi badan persatuan juga tiada moral dan tanggung jawab. Persatuan gagal tetapi sasaran, tapi masih juga jadi Presiden, Naib-Presiden, AJK. Dah gagal, berundur dan beri laluan kepada yang mereka rasakan boleh membantu. Tapi, elemen kewangan, faedah, ganjaran siapa yang mahu lepaskan!!!!!!

Jadi, penghujungnya berbalik kepada soal moral. Apakah mereka tidak pernah terfikir akan maruah, rasa malu kepada Tuhan...... atau "go to hell with you kids, you don't know anything"

SEMOGA ALLAH MEMBERI KEJAYAAN KEPADA MEREKA-MEREKA YANG IKHLAS DALAM PERJUANGANNYA

Anonymous said...

Datuk,

Setuju cadangan supaya Raja-raja, kerabat dan orang-orang politik (kecil atau besar) jangan pegang tampuk persatuan sukan. Orang-orang politik juga jangan pegang persatuan-persatuan lain umpamanya persatuan belia.

Saya sedih dengan teguran-teguran terhadap Presiden FAM dalam akhbar-akhbar. Ada yang cukup pedas. Sebagai Sultan, baginda sepatutnya disanjung. Tetapi baginda dikritik kerana rakyat tidak puashati dengan mutu bolasepak bukan sahaja merudum tetapi amat memalukan.

Beberapa bulan lalu Malaysian Golf Association (MGA) memecat presidennya anak raja Johor. Tentunya MGA sudah hilang kepercayaan kepada bekas presidennya.Faktor-faktor pemecatan mestilah cukup kuat.

Apa dah jadi dengan arahan supaya menteri-menteri tidak pegang persatuan sukan. Bagaimana dengan menteri besar-menteri besar (MB). Sepatutnya MB juga jangan pegang Persatuan Bolasepak Negeri-negeri. Orang politik tumpukan perhatian kepada politik.

Biarlah persatuan-persatuan sukan dipegang oleh orang yang betul-betul dedikated dan cintakan sukan. Jangan jadikan persatuan-persatuan sukan untuk tempat mecari pengaruh politik dan wang.

Rakyat sebenarnya dah meluat dengan sikap orang-orang politik yang bukan sekadar tamak politik tetapi juga sukan. Kekecewaan rakyat pasti akan ditunjukkan melalui peti undi.

Anonymous said...

Salam Dato',
Saya bersetuju dengan hampir semua poin yg dato berikan. Saya nak tambah sikit. Sukan di Malaysia pada hari ini sudah diterima sebagai satu kerjaya. Saya percaya ramai yg hidup menyara keluarga melalui gaji yg diterima berkaitan aktiviti sukan. Malah jika ada yg menerima gaji pengurus sehingga RM 30k s.b. tentulah itu lebih tinggi dpd gaji pengurus kebanyakan syarikat di Malaysia. Kabarnya Dato' Misbun Sidek menerima gaji RM20k s.b. (tak termasuk perk yg lain2 - itu baru jawatan ketua jurulatih). Pegawai2 sukan yg bergaji di persatuan2 sukan jadilah orang yg rajin bekerja. Jangan malas mencari bakat baru.(Masih ingat lagi cerita dua pegawai PBSNP pergi ke Argentina cuma tengok rakaman video untuk memilih pemain impot pasukan Pahang). Kalau harapkan pegawai sukan yg bergaji tu cari bakat baru kita tak merasa ada pemain no 1 dunia Datuk Nicol David, Shalin Zulkifli, Arwah Mokhtar Dahari. Misbun Sidek & brothers adalah hasil latihan Arwah Dato' Hj Sidek. Tentu ramai lagi nama2 besar dalam sukan negara ini yg naik atas usaha keluarga sendiri tapi apabila sudah berjaya pantas sahaja mereka disambar ke persatuan sukan dan tak payahlah pegawai2 yg menerima gaji tu buat kerja scouting new talents. Mereka cukup handal mengenakan tindakan disiplin tapi tak mahu memahami jiwa atlit. Fasal undeng-undeng ni kita selalu sangat dengar persatuan sukan digantung terutama jika ada perebutan jawatan. Ya, disiplin memang penting dlm segala bidang tapi manusia perlu juga dilayan dan dibelai emosinya. Bukankah zaman ni orang sudah mula bercakap tentang emotional intelligent?
Saya rasa perlu ada mekanisme yg benar2 berkesan supaya persatuan sukan negara ini diterajui oleh orang2 yg kompeten, komited dan benar2 cintakan bidang sukan yg diterajuinya. Perlu ada anjakan paradigma; daripada percaya bahawa hanya Sultan atau figura politik diperlukan untuk mendapatkan tajaan kepada percaya bahawa bidang sukan yg mencapai tahap dunia pasti akan ada pengikutnya (peminat) dan akhirnya pasti akan ada penajanya. Satu lagi, apabila telah berjaya jangan terjebak dengan rasuah sukan (oleh kaki judi), akibatnya sangat buruk. Bolasepak Malaysia merana sejak zaman Azizul Abu Hanifa lagi .... kami di JB dah tak dengar lagi Larkin Roar sejak lebih satu dekad...
Media kita pun satu hal. Atlit yg berjaya nak dijadikan selebriti. Nampak mediocre sangat wartawan sukan kita. Entahlah...(tapi mengeluh saja tak membawa kita kemana-mana).
Pak Hj JB.

Anonymous said...

There's a saying, "Good food comes from poverty" and I would liken that to our national football team or for our entire sports overall performance for that matter..."Good sportsmen comes from being an trained an underdog".

If you treat our sportsmen and sportswomen like monarchs, then why should they bother giving it all when they already have it all?

The China athletes are trained in the most strictest manner and condition and mostly are not paid at all. Their sports attire (or the lack of it) is also much less to be desired. But how did they managed to become world's best? That's probably becoz they are being trained like an underdog and they know if they can't get through it they'll end up nowhere. Our athletes are the complete reverse except for the very minority like Nicol David who I think truly loves what she's doing even if she goes unpaid. That's the spirit other athletes need to emulate. Just like other sports veteran like Misbun Sidek, the late Mokhtar Dahari, Mumtaz Jaafar, Nurul HUda Abdullah and the likes who even though did not manage to bring Olympic gold but their spirit of tenacity lives on.
Our athletes nowadays need to be trained like an underdog. If they have to play football barefooted like how the young Brazilians do, then so be it. But most of all, erase politicians and politics away from our national sports arena.

But then again, I'm not the only Malaysian who thinks the same way. Everybody realize including the politicians themselves but Malaysia is still Malaysia la..."hangat hangat tahi ayam je"

Anonymous said...

Semasa saya kecik2 dato' kami 3 beradik dibesarkan "ditepi padang" sebabnya both of my parents aktif dlm bersukan...Ayah merupakan referee bola sepak & emak pula jurulatih bola jaring negeri & referee..Selalulah kami dibawa bila mereka ada latihan/perlawanan. Sekarang bersukan pun jarang..Duduk di ofis dr pagi hingga menjelang malam. Pulang menghabiskan sisa2 masa dgn keluarga pula.

Anonymous said...


Anak Perak said...

Rakyat sebenarnya dah meluat dengan sikap orang-orang politik yang bukan sekadar tamak politik tetapi juga sukan. Kekecewaan rakyat pasti akan ditunjukkan melalui peti undi.



Memang setuju, tapi sejak Pakatan Rakyat ambil-alih. Nampaknya sama juga di Selangor dan Pulau Pinang. Jawatan Presiden Bola Sepak state bagi pada orang politik.

Nampaknya, pangkah Pakatan Rakyat pun 2 x 5 je. Haiii, nasib! nasib!

Anonymous said...

Datuk,

Ingat tak Dali Omar bekas pemain pasukan bolasepak Kelantan dan Malaysia tahun 60an. Dali khabarnya berhijrah ke Australia untuk bermain professional awal tahun 70an. Lepas itu tidak dengar cerita lagi. Dia seorang pemain bolasepak Malaysia yang cukup hebat lebih kurang sama hebat dengan Mokhtar Dahari. Lagi satu dia hebat kerana dia merupakan pemain bolasepak Malaysia yang pertama sekali menjadi pemain profesional di luar negara.

Datuk pernah dengar tak perkembangan terakhir mengenainya.

Anonymous said...

Dato:
Dalam politik malaya, jaguhnya sekarang adalah anwar ibrahim. Dekad lepas jaguhnya dr mahathir. Yang jadi kelam kabut sekarang kerana umno tiada pemimpin sejaguh mahathir atau anwar. Satu kesilapan besar apabila memecat anwar daripada umno. Kalau anwar masih dalam umno tentu politik malaya tidak lintang pukang macam sekarang. Kita tidak boleh salahkan anwar sebab dia berhak untuk kembali dalam politik untuk membersihkan namanya, sekarang atas platform pr. Pemimpin utama umno sekarang i.e paklah, najib, muhyidin, zahid, hisham etc perlu akui mereka lemah dan tidak dapat saingi kejaguhan anwar. Kalau tidak mahu umno pupus dan politik melayu hancur kena bincang dengan jaguh politik negara ini. Walaupun pahit untuk ditelan, hakikatnya, dalam dekad ini hanya anwar yang dapat menyelamatkan melayu dan malaya. Fikir-fikirlah...

Anonymous said...

salam Dato'..saya hormati dan kagum dengan "vision" Dato..pada pandangan saya Dato' jelek dengan pemikiran sebahagian ibubapa beragama islam yang kononnya kolot..untuk lebih adil, saya harap Dato' boleh tolong ulaskan kebaikan/peri pentingnya sistem persekolahan kini yang kononnya tidak membezakan lelaki dan perempuan dan kononnya tidak mengharamkan muzik walaupun sebahagiannya disepakati haram....
(cuma tertanya-tanya)

Anonymous said...

Dato,

Kenapa tak komen atau mengkritik usaha Barisan Nasional sekarang untuk menarik dua ADUN PKR masuk BN?

Sampai perdana menteri pun dah masuk cakap dia mahukan 'perlompatan' ADUN PKR ni masuk ke BN:

"Umno president Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi also added to the intrigue by saying that "God-willing" there would be some defections from the Pakatan Rakyat in Perak to the Barisan Nasional."

Dari The Malaysian Insider.

Anonymous said...


anakmalaya said...
Dato:
Dalam politik malaya, jaguhnya sekarang adalah anwar ibrahim. Dekad lepas jaguhnya dr mahathir. Yang jadi kelam kabut sekarang kerana umno tiada pemimpin sejaguh mahathir atau anwar. Satu kesilapan besar apabila memecat anwar daripada umno. Kalau anwar masih dalam umno tentu politik malaya tidak lintang pukang macam sekarang. Kita tidak boleh salahkan anwar sebab dia berhak untuk kembali dalam politik untuk membersihkan namanya, sekarang atas platform pr. Pemimpin utama umno sekarang i.e paklah, najib, muhyidin, zahid, hisham etc perlu akui mereka lemah dan tidak dapat saingi kejaguhan anwar. Kalau tidak mahu umno pupus dan politik melayu hancur kena bincang dengan jaguh politik negara ini. Walaupun pahit untuk ditelan, hakikatnya, dalam dekad ini hanya anwar yang dapat menyelamatkan melayu dan malaya. Fikir-fikirlah...


Saya dok fikir jugak bang, tapi Anwar ni pun pandai cakap je.

Kalau setakat pandai cakap, memang ramai. Kalau pandai menulis pun ramai jugak. Datuk Kadir kita pun pandai menulis jugak. Pandai mentadbir negara, ini suatu cerita lain pulak. Cara pentadbiran yang sesuai dengan budaya sesuatu negara pun satu lagi cerita lain.

Macam China, kena dengan cara komunis (tapi ada ubah-suai sikit). Macam Amerika, dengan cara demokrasi berorientasikan kapitalisme. Malaysia macam mana? Kita nak pemimpin yang tahu cakap saja atau apa?

Siti Khadijah said...

Dear Dato' AKJ,

Bagaimana dengan kumpulan bob-sleigh dari salah satu negara carribean yang bertanding dalam sukan olimpik musim sejuk. Mereka berlatih dalam tub bilik mandi. Saya kira kita mempunyai ramai atelit yang baik.Sayang sukan juga mejadi mainan politik (pun unintended).

Che Jam said...

Salam Datuk,

Saya pun pernah main sole dan randas. Masa kecik-keciklah. Sebelum umur 9 tahun. Dua perkataan ni saya dah lama lupa, sampailah terbaca di sini. Sole ni diperkenalkan oleh pak menakan saya. Tok saya orang Singkir, dekat Merbuk. Saya ingat permainan ni orang sebelah sana saja yang tau. Tak sangka Datuk pun pernah main sole.

Ada lagi permainan lain ; tuju tin, tuju kasut, tuju biji getah dalam bulatan. Selalunya kami main sampai bergaduh baru berhenti. Masa main adalah masa yang begitu dihargai sebab jarang-jarang mak saya bagi main permainan yang lasak-lasak macam ni.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).