A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
SAYA balik kampung baru-baru ini berjumpa emak. Sejak ayah meninggal dua raya puasa lalu, saya lebih kerap balik melawat emak. Alhamdulillah, emak sihat dan semakin biasa hidup tanpa ayah.
Pada mula-mula menang susah. Di mana saja dia lihat, dia “nampak” wajah ayah dan di mana saja dia menghalakan telinga, dia “mendengar” suara ayah. Maklumlah, mereka berumah tangga, dalam damai dan sengketa, susah dan senang, suka dan duka selama lebih 65 tahun.
Alhamdulillah, rumah emak terselamat daripada bah. Sejak rumah kami dipindahkan dari pinggir Sungai Pendang ke tepi jalan raya Pendang-Langgar, di Pekan Tanah Merah, lebih 40 tahun lalu, hanya sekali dua saja dinaiki banjir. Itu pun taklah teruk sangat.
Tapi boleh kata semua jiran yang kekal di tebing Sungai Pendang atau yang berpindah ke tepi sungai untuk memugar tanah padang ragut menjadi bendang, ditenggelami air. Ramai juga yang berpindah ke dewan sivik.
Saya bawa kereta Pajero mengharung air di bandar Alor Star, Kampung Tok Keling dan Tajar. Kereta biasa tak boleh lalu. Orang kampung mengambil kesempatan memancing, menahan taut, memukat, merawai, menangguk dan menangkul.
Meminjam loghat Kedah, ikan keli dan haruan jenoh (banyak). Tapi macam tak acilah pasal ikan itu khabarnya ikan peliharaan yang berenang keluar apabila kolam ternakan ditenggelami banjir.
Saya pun beli beberapa kilo. Gaul dengan garam kunyit dan goreng garing-garing. Makan dengan sambal belacan berulamkan pucuk cemumar, cekur, terung rapuh dan pucuk janggus (gajus).
Sekarang banjir berita besar. Satu negara heboh. Dulu banjir perkara biasa dan tak siapa pun peduli. Jarang sangat kena pindah sebab rumah dibina tinggi atas tiang. Kalau setakat bah empat, lima kaki tak jadi hal.
Tapi dulu kita tak ada kereta, motosikal, peti ais, TV dan sofa empuk. Paling hebat basikal atau gerek, kata orang Utara. Bila banjir kita guna perahu (sampan) atau kita tebang buluh buat rakit.
Bila dah senang kerana Projek Pengairan Muda, rumah kayu bertiang tinggi dirobohkan dan diganti dengan rumah batu atas tanah. Bila banjir sekaki dua pun dah panik. Kalau empat lima kaki sahlah kena pindah.
Dulu kita tunggu musim bah. Kalau jalan putus atau sekolah tutup kita “yahoo” tak payah pergi sekolah. Lagipun bahaya. Boleh kata setiap kali banjir, ada budak sekolah lemas dalam Sungai Pendang dan hantu air akan dipersalahkan.
Hantu air atau tidak, kaki cari ikan dan jerat burung tetap akan harung banjir. Kegemaran saya adalah menahan taut (joran) berumpan anak ikan puyu dan anak keli untuk menangkap ikan haruan.
Kalau sekilo kita tak bising takut dipanggil ponen atau darai. Hanya ponen dan darai tangkap ikan sebesar itu. Anak jantan sejati tangkap haruan sebesar betis.
Sebenarnyalah, banjir tidak lebih daripada sungai menakluki semula wilayah asalnya yang cuba dikepung dan dibendung oleh manusia dengan membina tambak, lencongan dan pintu air.
Sebelum ada Projek Pengairan Muda, pada musim banjir Sungai Pendang akan melimpah tebingnya sehingga empat atau lima batu bergantung kepada permukaan bumi. Lagi rendah dan mendatar, lagi jauhlah dinaiki air.
Tetapi hari ini orang sangat percaya dan bergantung kepada tambak sungai, ban dan pintu air. Maka ada yang berumah di bawah paras sungai dengan dilindungi tambak dan ban. Apabila hujan lebat di hulu dan air melimpah tambak, maka tenggelamlah kampung halaman mereka.
Lagi pun, dengan pemusnahan hutan belantara dan penyelenggaraan sungai yang sambil lewa, banjir hanya menunggu masa untuk berlaku.
Apatah lagi gaya hidup dan hubungan manusia dengan alam semula jadi sudah berubah. Dulu banjir dinanti dan disambut sebagai kemestian alam -- pusingan musim antara kemarau dan hujan. Kini banjir menjadi mala petaka yang dibenci.
Apa pun, kalau manusia berfikir, bersyukur dan bersabar menerima kejadian alam, mereka akan tahu selepas banjir sawah akan menjadi lebih subur, ikan akan menjadi lebih sihat dan racun kimia yang tertanam di dalam bumi akan dibersihkan.
Salah satu punca hasil padi semakin merosot adalah kerana sawah diracuni oleh penggunaan baja dan racun kimia yang melampau. Dulu kalau padi atau tanaman diserang serangga, kita guna racun tuba saja. Dosnya kecil ikan pun tak mati. Sekarang silap-silap manusia pun mati.
Namun kita bersimpati dengan mangsa-mangsa banjir di atas kehilangan, kerugian dan penderitaan mereka. Sehebat mana pun teknologi dan wang ringgit yang ada kepada manusia, alam semula jadi lebih hebat dan berkuasa.
Monday, November 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
About Me
- A KADIR JASIN
- I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).
14 comments:
"Sekali bah, sekali pantai berubah"
Assalamualaikum DAto,
Semalam, 14.11.2010 Ahad, terbaca tulisan DAto' di Utusan Malaysia bertajuk: PKR:Siapa menang,siapa kalah, lebih kurang gitulah.
Saya buka "The Scribe", tak ada pula artikel tu.
Dato' dah jadi penulis tamu Utusan Malaysia, tapi saya baca artikel tu, sesuai sangat kalau masuk dalam blog, boleh tumpang sekaki berbahas!
Bagaimana 'tiba-tiba' Dato' jadi penulis tamu Utusan?
Walaubagaimnapun, kenyataan Muhyiddin dan Shahrizat seolah-olah Kerajaan Negeri Kedah lepas tangan bagi saya satu kenyataan agak melampau. Begitu juga Azeez PutraUMNO Baling, masuk TV3 naik perahu hantar sekampit beras dari rumah ke rumah, juga satu publisiti politik murahan yang agak melampau. Bah besar macam ni pun ambil kesempatan berpolitik!
Muhyiddin dan Shahrizat, KASUT PUN TAK BASAH!
Datuk,
Kenapa Datuk tulis dengan bersahaja ? Bukankah ini isu politikal, bukan isu alami. Bah dah surut, tapi hati yang bengkak lambat nak surut.
Salam DAKJ
Bercakap tentang musim tengkujuh ni, saya teringatkan cuaca mendung, hujan berhari-hari, angin kuat, ombak kasar dan air sungai melimpah bila bertemu dengan air pasang besar. Dingin, sejuk dan nyaman udaranya sehingga menusup kalbu dan terasa begitu syahdu rasanya.
Bagi sayalah, banjir ni akan datang setiap tahun selagi kita beriklim khatulistiwa dan terdedah kepada angin monsun tropika. Cuma penambahbaikian yg diperlukan. Sampah terlalu banyak sampai tengah-tengah pembahagi jalan pun ada sampah. Dah tiba masanya majlis perbandaran menubuhkan satu unit mengutip sampah ditepi jalan dan dalam longkang SETIAP HARI sebab orang kita memang tak berdisiplin membuang sampah.
Keduanya, longkang-longkang kita terlalu kecil dan selalu overflow ke jalan bila hujan lebat sikit. Dahlah kecil, banyak sampah, dan tersumbat pulak tu. Juga diharap dapat perhatian dari engineer kita untuk buatkan satu penyelidikan tentang standard dan kedalaman longkang kita menikut acuan negara kita. Jangalah asyik copy dan paste longkang negara orang je.
Ketiganya, sungai-sungai kita pun problem juga. Bukan saja cetek, penuh pasir, kotor, berkeladak dan banyak kuman pulak tu. Muara sungai kita bila air surut siap boleh berjalan kaki merentasinya. Jadi, dah sampai masanya ditubuhkan jabatan sungai disetiap negeri dikhaskan untuk jaga pantai, sungai dan saliran je. Macam dekat Mandurah di Perth Australia, kawasan paya di tepi pantainya dibangunkan menjadi kawasan perumahan elit siap ada parking boat. Malaysia Boleh !!! Sekian TQ.
Dato'
Sedikit sebanyak saya dan kawan kawan yang tidak termasuk dalam kawasan terlibat banjir kali ini,menyertai beberapa program bantuan mangsa banjir ini.Ini termasuk "menghantar sukarelawan" mencuci apa yang perlu dicuci selepas banjir surut.
Tanpa mahu menyalah mana mana parti politik,rumusan saya mudah walaupun bakal mengundang kemarahan setengah pihak.Ianya fokus pada bantuan kebendaan.
Menolong orang yang ASALNYA memang susah adalah lebih mudah dari menolong orang orang yang biasa hidup dalam kesenangan.
Ia umpama kita memberi sesuatu kepada anak kecil yang akan menerima apa saja tanpa sebarang sok sek.
Air (H2O) adalah salah satu dari keajaiban yang tidak terkira banyaknya yang secara tidak langsung membuktikan kehadiran satu kuasa "Almighty" iaitu Tuhan pencipta langit dan bumi.
Tentulah bukan satu kebetulan kalau dalam berbilion planet, bintang dan cakerawala hanya dibumi saja yang ada gabungan dua zarah H dan satu O bagi membentuk molekul air.
Apabila tidak ada air (kemarau), manusia tidak boleh hidup kerana air adalah keperluan wajib tubuh. Pada mereka yang tidak nampak kebaikan kemarau, mereka akan mengatakan kemarau lebih banyak menyusahkan mereka.
Sebaliknya kalau air berlebihan (banjir), ia tidak juga menyenangkan hati banyak pihak sebagaimana banyak pihak tidak menyenangi keadaan yang kering-kontang tadi.
Selain dari kebaikan yang telah Dato' ulas, musim tengkujuh di semenanjung Tanah Melayu pada kali ini membawa impak yang tidak disedari oleh kebanyakan kita iaitu menghalang ruang udara dari dipenuhi oleh debu dari muntahan lahar Gunung Merapi.
ALPASIKU
Salam Dato',
Teringat bah tahun 1971 di tempat saya Bota/Parit, amat dahsyat sehingga jambatan Bota runtuh disebabkan air sungai Perak bersama pokok balak melanggar tiang jambatan hingga runtuh, nasib baiklah tiada nyawa terkorban kerana pada masa tu kenderaan amat kurang di jalan raya.
Setelah siap empangan Temenggor, banjir tiada lagi di kawasan kami hanya kawasan Kg Gajah di hilir sungai Perak kerap mengalaminya di sesetengah kawasan.
Kajian tentang air larian yang berlaku bila hujan lebat perlu dilakukan dengan kerap supaya banjir kilat dapat diatasi, keadaan saliran yang tersumbat disebabkan sikap penduduk yang suka membuang sampah kedalam saliran dan akhirnya menyebabkan saliran tersekat juga amat dikesali, pihak berkuasa tempatan tidak mampu menyelenggara perparitan secara berjadual kerana kos selenggaraan yang tinggi, sepatutnya penduduk lebih prihatin dengan kawasan mereka dan membersihkannya sendiri.
Sekiranya penduduk ambil peduli tentang persekitaran, ancaman denggi juga akan terhapus bila tiada air yang bertakung didalam saliran kawasan mereka. Sikap hanya membiarkan majlis perbandaran membersihkan persekitaran kawasan kediaman kita adalah sikap yang tidak menguntungkan sesiapa dan akhirnya ia akan merugikan kita sendiri bila banjir terjadi.
Bergotong-royong dengan jiran membersihkan kawasan kediaman kita dapat menyihatkan badan, ancaman denggi berkurangan dan ancaman banjir juga dapat diatasi.
Anak Parit/Bota
Betui kata Dato...
mak saya kata orang la takut dengan bah, "pantang ayaq naik, teruih lari. Bukan macam depa dulu. jadi pesta".
Bila fikir balik, betul la orang la rasa takut sebab takut motor depa lingkup, kreta depa rosak, tv depa jahanam dll...
cuma dikesalkan orang politik... rakyat dok tengah (sedang) susah pun dok bekelai pasai polotik lagii... nak tolong rakyat pun kena tengok bendera dulu..
chemat
Assalammualaikum, Datuk telah membawa saya kembali ke akar kenangan semasa menghadapi bah semasa di kampung di Perlis suku abad lalu. Dalam masa bah, boleh juga tahan taut ikan ruan atau jala sepat ronggeng.
Salam buat Dato',
"sekali bah, pantai pun berubah",
..memang banyak perubahan di Negara kita...
...sikap kita pun sudah banyak berubah....kita tidak peduli lagi longkang di hadapan rumah yang penuh dengan sampah sarap....
...kerana ada orang Majlis yang kena bersihkan...sebab kita bayar cukai pintu....
...kerana kita bayar cukai pintu, kita buang sampah sana sini ikut suka hati....
...kerana orang Majlis tidak hirau pun...mereka tidak keluar saman pun...
...kerana kalau disaman pun, bukannya "on-line"....tiada kesan apa-apa pun....
...kerana belum ada Majlis yang rampas rumah ke, kedai ke, yang sudah disaman berkali-kali....
...kerana pegawai undang-undang Majlis sibuk mesyuarat...
...kerana ada 1 orang sahaja pegawai undang-undang dalam carta organisasi Majlis....
...kerana...KITA ADA 1001 MACAM ALASAN.......
...tidak bolehkah kita belajar dari orang putih sikit....bukan semua yang datang dari BARAT itu tidak betul...
...Lihat situasi begini...Dato' dah pergi "oversea"....beribu Ahli Parlimen kita pergi "oversea"..
...ada "monsoon drain" ke? ada "storm drain" ke?...
....belajar lah dari orang putih bagaimana mereka buat longkang....semua bertutup...mana ada longkang yang terbuka macam anak sungai seperti yang kita ada di sini...faktor kadar hujan yang turun bukan alasan kerana mereka pun terima hujan yang lebat ada ketikanya.....
....lihat sahaja bangunan yang mengapai langit di KL...mana perginya air hujan kalau tidak dibuang terus ke dalam Sungai Kelang...langsung berlakulah bah di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang....
...bukan sahaja di KL....semua tempat dalam MALAYSIA kita.....
...kita ada jurutera, beratus ribu dalam negara ini.....TAPI, semua pejam celik tunggu gaji hujung bulan......
...kita ada "town planner"...ribu-ribu....sama juga...tunggu gaji hujung bulan...
..kalau kita boleh bina bangunan tertinggi di dunia...kenapa perkara ASAS sebegini tidak dapat kita uruskan...
....kerana kita tidak hairan...perkara ASAS selalu kita tidak URUSKAN..
Salam Dato AKJ serta para komentar,
Bercakap tentang "bah" atau banjir, ini lah pertama kali sejak berpindah ke alor setar saya mengalaminya sendiri. Tak terlintas langsung pada hari yg terang benderang selepas hujan 2-3 hari (bukan lebat sgt) tiba2 air didalam parit tidak surut2 malah perlahan2 melimpah ke jalanraya depan rumah. Sedikit demi sedikit tahap air naik dengan tak di duga sehinggalah bila air mencapai "tahap bahaya" iaitu berada betul2 sama paras dengan pintu hadapan rumah saya di Taman Lumba Kuda, dan sedikit demi sedikit lah air masuk kedalam rumah bermula dari yang manja2 sampai lah naik keparas buku lali. Sempat juga seorang diri dan dibantu oleh anak2 yh masih kecil mengangkat apa2 yang patut utk diselamatkan. Amat malang sekali bila air yg setinggi buku lali itu terus naik hingga ke betis dan akhir sekali dah masuk kedalam bilik tidur dan tandas. Pihak SADA telah memutuskan sumber air dan begitu juga TNB. Maka sempatlah kami bergelap malam itu ditemani cahaya lilin dan air yg dan memenuhi seluruh rumah. Keesokan hari, sempat kami anak beranak berjalan sejauh 2km dari kediaman kami ke simpang Jalan Menteri/Jalan Sultanah. Satu pengalaman yg bercampur aduk, air telah naik sehingga paras pinggang dan dgn current yg agak kuat.
Maka dengan terjadinya banjir ini, byk pihak telah mengeluarkan "denial statement" termasuklah MMC-Gamuda JV yg tidak mengaku bahawa projek mereka adalah penyebabnya. Yang amat kecewa, tidak ada langsung bantuan dari mana2 pihak kecuali satu NGO Buddist yg datang menziarahi kami bila air dah surut dgn sumbangan berupa Makanan dalam tin serta wang RM200.. lega la sikit.
Mana NGO melayu? Hampas x nampak batang hidung. Sebenarnya bukan wang ringgit yg dipinta tapi cuma keperihatinan pihak2 tertentu bertanya khabar. Malangnya batang hidung pun tak nampak.
Apakah ini nasib atau dugaan yg maha esa? Ataupun kebodohan pihak yg menjalankan projek double track yang menyebabkan banjir ini terjadi?
entahlah.....yg pening sekarang.. tak tahu mana nak start.. rumah dah dicuci.. nak cari furniture baru.. kereta tenggelam.. pening!
1280K Taman Malik @ 2700 Taman Lumba Kuda
Datuk,
1/ Bah sudah pernah dialami dimasa kecil di Perlis. Keadaan tidak getir seperti sekarang. Airnya jernih dan tidak ingat ada rumah yang perlu ditumpangkan. Kesemua rumag bertiang tinggi. Tidak ada sesiapa gigih mencari platform politik.
2/ Sekarang keadaan getir. Rumah adik ipar sekitar Taman Uda , bah serius yang tidak perfnah berlaku sebelum ini. Pembinaan jalan keretapi berkembar dikatan meruncingkan lagi bah dikawasan itu. Mungkin tiada kajian environment.
3/ Pemimpin politik masih menggunakan platform untuk salahkan lawan dan mencari polical mileage' . Rakyat tidak lagi didahulukan?. Sewajarnya dalam persekiran tersebut politik muafakat diterjemahkan.
Salam Dato'..
Dalam masa org tgh dilanda musibah memang celakalah manusia2 yg ambil kesempatan utk "political miliage" masing2..memang oportunis politaik.
Bagi beras, duit, daging, megi dan barang dapur mentah tak pernah fikir ke situasi orang banjir?
Apa kejadah nak tunjuk bangga di media masa dan warta parti perasan konon juak2 dialah baik & prihatin di Malaysia..
Hakikatnya mentaliti org politik dari golongan bangsawan neo-aristokrat ini memang "totally detached" dari memahami rakyat marhain..dah tak pernah susah..jadi apa nak diharap kat pemimpin2 mcm ni.. hopeless!
Nampak sangat otak tak letak dalam kasut fikiran mangsa2 banjir sebab objektif utama nak populariti parti politik & memperleceh seteru masing2 semata-mata..
Rumah tenggelam, dapur tenggelam nak masak kat mana? kedai pun tenggelam tutup nak beli kat mana dgn duit yg bagi..ini kos beribu2 bukan setakat belanja balik mengundi..bengong!
Bagilah bantuan keperluan mcm air mineral, pempes bayi, tuala wanita, pakaian/selimut, biskut, susu kotak, makanan dlm tin yg boleh buka terus etc... itu baru betul membantu..
Bab nak sumbang duit kemudianlah lepas bencana reda..hah..masa tu jgn mengelat pulak nak bantu bina balik rumah, beli benih padi ganti kpd petani ..
Jgn jadi cerita Tsunami 2004 lagi.
Dan Kementerian Kerja Raya..ada plan ke RMK10 utk projek upgrade sistem saliran di Kedah, Perlis, Kelantan & Terengganu? Buat "retention pond", atau apa2 ala2 smart tunnel..asyik Selangor, KL dan negeri2 bukan majoriti Melayu je..? Apa tak dapat dijustifikasikan lagi dengan kerugian terkumpul setiap 3- 5thn ni?
Bila politik suka memilih, jgn salahkan pemilih yg akan memilih juga..
p/s: Rakyat kita mentaliti melayu kuno pun satu..masih kelas dunia ke3..asal lepas musibah hanya mampu harap bantuan kerajaan, orang ramai utk pulih..beringatlah! ambil takaful yg cover kerosakan barang rumah akibat bencana alam/kebakaran..RM90 je setahun, Cover RM20,000..tenggelam perabot/peralatan dapur boleh je "furnish baru".. lepas ni sah premium naik utk rumah2 kat A.Setar bg org yg nak baru ambik..
(ikhlas dr nasihat bapa saya..Rumah kami ayaq dah ke muka pintu..sikit lagi nak masuk rumah..dari sejak saya lahir, ini kali pertama banjir)
wallahualam
(",)
Dato'..
Ada yg menyalahkan projek keretapi MMC-Gamuda..tetapi perlu ingat..kat Hatyai yg tiada projek sedemikian pun seluruh bandar ternggelam sampai 10kaki..
Kelantan & Terengganu takde projek pun setiap tahun banjir..
Punca air naik dan susah nak surut ni pasal air dari Thailand yg turun ke negeri2 belah Utara Semenanjung..air pulak tengah pasang dekat hujung2 bulan Islam yg memang ikut peredaran bulan..air tak boleh terus ke laut di kuala..
Kat China ribut pasir sampai ke bandar..Indonesia Tsunami & Merapi..US ribut salji..
Belajarlah kita lebih muhasabah diri dari hobi menunding jari..
wallahualam
(",)
Well written,Datuk..
Post a Comment