Tuesday, July 19, 2011

Tegur Pemimpin Hak Rakyat Jelata


A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KITA belajar daripada ibu bapa kita. Bernasib baiklah anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang sempurna – akal, tubuh badan, kesihatan, iman dan moral. Jadi, benarlah kata pepatah, bapa borek anak rintik. Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

Saya adalah anak emak dan ayah saya. Salah satu ilmu dan panduan yang ayah saya ajarkan ialah “dengar teguran dan jangan takut menegur.”

Dulu kita jaga tepi kain orang. Apabila di masjid atau surau, kita memang jaga tepi kain orang. Kalau tepi kain orang kena najis dan lumpur atau carik sehingga dedah aurat, kita tegur. Kita tidak mahu najis dan kekotoran seorang jemaah mencacat solat berjemaah.

Kita jaga tepi kain jiran-jiran kerana kita tidak mahu anak-anak mereka jadi budak jahat dan ganggu ketenteraman kampung.

Kita bagi tahu mereka dan kita tegur anak-anak mereka. Mereka tidak marah kepada kita. Silap hari bulan, anak yang diadukan itu yang kena tempeleng. Saya pun pernah ditegur atau, dalam bahasa jalanan hari ini, kena sound, oleh jiran-jiran kerana buat bising, curi buah rumia (kundang) Pak Su Salleh atau kurang sopan di majlis kenduri. Saya terhutang budi kepada mereka kerana menjaga tepi kain keluarga saya.

Hari ini, jaga tepi kain menjadi ungkapan kotor. Silap-silap kena maki atau penumbuk di muka. Dulu kita jaga tepi kain orang demi kebaikan kerana adat berjiran saling tegur-menegur dan ingat-mengingati.

Hasil ajaran itu, saya tidak berasa bersalah menegur, apatah lagi menegur orang yang kita pilih, kita upah dan kita restui untuk memimpin kita.

Sama ada secara sulit atau secara terbuka, secara lisan atau melalui tulisan, saya sentiasa menjaga tepi kain mereka kerana kalau kain mereka penuh najis, bagaimanakah mereka boleh “mengimamkan” kita.

Tidak kira Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Daim Zainuddin, Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Najib Abdul Razak, Muhammad Muhammad Taib, Abdul Rahim Tamby Chik atau Dr Khir Toyo dan ramai lagi saya tegur.

Saya mulakan dengan “menegur” mereka secara sulit. Seelok-eloknya secara bersemuka kerana saya perlu menjaga air muka mereka. Ada kalanya saya mengutus surat.

Ketika pilihan raya umum 1999 dan selepasnya saya “menegur” pendekatan dan cara kerajaan dan Barisan Nasional menangani isu Anwar.

Saya terpaksa “menegur” kerana selama hampir 16 tahun – sebagai wartawan dan pengarang – antara tugas wajib saya adalah mempromosikan Anwar.

Ketika di puncak kemasyhurannya, Anwar adalah “untouchable” dan “could do no wrong” – tidak boleh dicuit dan tidak mungkin melakukan kesalahan. Segala bisikan saya – seperti bisikan ramai orang lain – ditolak sebagai iri hati dan fitnah.

Apabila saya menulis sebuah pojok mengenai Brutus menikam Julius Caesar dari belakang dalam kolum “Kunta Kinte” Berita Harian, ia diberhentikan serta-merta. Waktu itu, media massa difrancaiskan kepada Anwar. Pengarang lantikan Anwar amat berkuasa.

 Menegur dan Ditegur

Saya “menegur” mengenai beban peribadi pemimpin BN akibat gerak-geri mereka, campur tangan ahli keluarga mereka dan perniagaan anak-anak mereka.

 Selepas PRU 1999, giliran saya pula “disound” kerana “menegur” kaedah kempen iklan BN dan ingkar arahan.  Turut kena “sound” adalah Quek Leng Chan yang ketika itu menguasai kumpulan akhbar Nanyang.

Menjelang pertengahan tahun 2000 saya mendapati saya tidak dapat lagi meneruskan tugas sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP tanpa kehilangan saki-baki kredibiliti saya. Maka saya pun meletakkan jawatan. Quek pula menjual kepentingannya dalam Kumpulan Nanyang.

Apabila Anwar berucap kepada badan pemikir swasta Amerika, Council on Foreign Relations di New York ketika Krisis Kewangan Asia sedang memuncak (September, 1998 ), saya berada di situ dan “menegur” beliau.

Saya berkata, walaupun penghujahan beliau mengenai teori “constructive destruction” ciptaan Joseph Schumpeter dalam tesisnya mengenai kapitalisme, sosialisme dan demokrasi pada tahun 1942 mendapat sambutan hangat daripada audiens Amerika, ia mungkin tidak disenangi bosnya di Kuala Lumpur.Ringkasnya, Anwar dan penulis ucapannya menganggap Krisis Kewangan Asia 1997/98 sebagai kemusnahan yang membina.

Kemudian, ketika saya bersama beliau di dalam kamarnya di hotel JW Marriott, Washington DC, Anwar mendapat panggilan daripada kawan akrabnya, Michel Camdessus, yang ketika itu menjadi Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Sekali lagi saya “sound” beliau dengan mengatakan yang bosnya di Kuala Lumpur tidak begitu senang hati dengan percubaan campur tangan IMF.

Saya “sound” Abdullah mengenai cara beliau mengawal media massa, Mohd Najib mengenai rumah tangganya (seperti pernah saya katakan, saya kenal Mohd Najib sejak 1977), Muhammad Taib dan Dr Khir Toyo mengenai pengagihan tanah negeri untuk pembangunan dan Abdul Rahim mengenai gaya hidupnya.

Saya mengingatkan Muhammad Taib dan Dr Khir Toyo mengenai pendahulu mereka yang jatuh kerana skandal dan rasuah.

Tegur Bukan Kerana Benci

Saya tegur kerana saya berasa itu tanggungjawab saya. Sebagai wartawan dan pengarang media arus perdana ketika itu, beban mereka adalah beban saya.

Tentulah tidak semua mereka suka saya menegur mereka. Apatah lagi apabila teguran itu menyentuh hal-hal peribadi dan keluarga mereka. Dan kita tentulah tidak popular dengan membuat teguran itu.

Tetapi bagi saya mudah saja, seorang pemimpin yang tidak bersedia ditegur atau tidak mengendahkan teguran lambat-laun akan tersesat jalan, ditolak oleh rakyat jelata dan mungkin juga diheret ke muka pengadilan, lebih-lebih lagilah apabila berlaku pertukaran parti yang memerintah.

Lihatlah apa yang berlaku di Thailand dan Taiwan, dan kini di negara-negara Arab. Lihatlah apa yang terjadi kepada Hosni Mubarak di Mesir dan Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia. Atau yang lebih dekat, Suharto di Indonesia.

Pendek kata, pendirian saya mudah saja dan saya kerap mengulanginya. Kita pilih pemimpin melalui pilihan raya. Kita beri mereka kepercayaan. Kita beri mereka upah. Kita bayar cukai. Kita tidak pernah pilih isteri, anak-pinak, suku-sakat dan sahabat-handai mereka.

Kita beri kuasa kepada mereka bukan untuk difrancaiskan kepada kaum keluarga, sahabat-handai dan FOPM.

PS: Mengenai Mohd Najib menjalin perhubungan diplomatik dengan Vetican, saya dapati berita pesanan rungkas The Star yang berbunyi “Najib meets Pope and announces diplomatic ties with the Vetican to help promote values of moderation and harmony” sangat memeranjatkan.

  1. Adakah selama ini kita tidak mempromosi dan mengamalkan  nilai-nilai sederhana dan harmoni?
  2. Apakah Islam, agama rasmi Persekutuan, dan budaya Melayu, teras budaya kebangsaan, tidak menekankan kesederhanaan dan keharmonian;
  3. Apakah kita memerlukan bantuan Vetican untuk mempromosikan nilai-nilai sederhana dan harmoni?; dan
  4. Bukan semua orang Kristian Malaysia berkiblatkan Vetican. Bancian penduduk tahun 2000 menunjukkan ada 9.1 peratus penganut Kristian yang terdiri daripada Anglican, Baptist, Bretheren, Lutheran, Methodist, Presbyterian dan Roman Katolik.
Wallahualam.


216 comments:

«Oldest   ‹Older   201 – 216 of 216
Zainal Ariffin Ashari said...

Datuk,
Kadang2 saya tertanya-tanya berapa ramaikah pembaca Datuk yang budiman telah berpindah drpd berhenti menyokong parti pembangkang kepada parti pemerintah ataupun sebaliknya setelah membaca hujah2 drpd pembahas2 di ruangan komen Datuk?

Saya yang pasti masih belum berganjak drpd pendirian politik saya sebelum ni walaupun telah mengikuti blog Datuk sejak 2008 sehingga kini.

Sebagai bakal pengundi di PRU13, semua maklumat yang disalurkan disini akan dinilai, sikap parti itu sendiri juga terserlah melalui drpd jawapan yang diberikan selain drpd perkembangan secara fizikal yang boleh dilihat oleh anak mata saya sendiri.

Walaupun kebanyakkan mempunyai matlamat yang sama ingin memperkasakan Malaysia mengikut acuan parti politik sokongan mereka tetapi jelas kelihatan jurang perpaduan semakin jauh mendalam, mungkin saya silap.

Disini pemimpin yang benar2 ikhlas inginkan perpaduan serta langsung ingin membela nasib anak bangsa dan rakyat adalah pilihan saya. Tinggal di JB, kita akan hanya boleh mencemburui dengan nasib kaum mendatang yang berkemampuan berdagang serta memperbaiki hidup keluarga masing2.

Terima kasih.

Zainal Ariffin Ashari

maae said...

Salam Datuk,

1.Saya lihat ulasan2 untuk tulisan Datuk dah bertukar jadi medan fana politik masing-masing.....Bukan lagi untuk membina minda positif...

2.Apa yang boleh saya katakan ibarat PLO dengan Hamas. Kemudian di sertai pemimpin2 arab walaupun sudah beraku-janji di hadapan Kaabah kebebasan Palestin. Gagal lagi kerana sikap keangkuhan, riak taksub falsampah masing-masing. Zionis sedikit pun tidak gentar malah makin kuat mencengkam, tindas sehingga misi flotila 2 hanya mampu terjelepok di Greece. Kelicikan taktik zionis. Palestin bertambah derita dalam penjara besar ciptaan zionis. Siapa berani?

3.Anda semua nampak permainan kafir harbi dan kafir zimmi? Berhujah lah pun lagu mana, tak jadi apa. BAYANG ganas mereka sudah mula ada di sini. SEDAR LAH. Berbeza pendapat ok saja tetapi ada muhasabah nya. Jangan ada perpecahan dan kerugian nyata. Kembali kepada Allah yang SATU, bersyukur, tekadkan iman dan semangat, berakal, berjihad untuk menjaga amanah berat Anugerah NYA tidak ternilai kepada Bangsa Melayu, ia itu NEGARA MALAYSIA.

4.Turun nya Al Quran, Nabi Muhammad di lantik sebagai"pembawa rahmat ke seluruh alam" maka kitab-kitab dan agama2 terdahulu "TERBATAL" seperti Firman Allah SWT(tidak dalam HAQ NYA lagi)Jangan sesekali anda semua merujuk bible atau taurat atau zabur (kecuali jika terdapat yang asli, silakan) kerana kitab-kitab tersebut telah di ubahsuai mengikut selera dan fahaman zaman-zaman penganut nya) Jangan jadi orang-orang yang fasik, sesat dan menyesatkan.

5.Al Quran, Allah SWT janjikan kebenaran nya. Al Quran TETAP TERPELIHARA hingga ke akhir zaman. Allah SWT akan ambil kembali (hilangkan) ayat surah-surah satu demi persatu, petanda kiamat sudah tiba.

6. Akhir nya, jawab penuh ikhlas kuasa siapa, hingga kini yang menjaga penuh kebajikan, selesa, bahagia bersama, bebas bergaul sesama manusia, bebas mencari rezeki di corok mana, bebas ibadat tanpa rasa was-was dan takut, wujud nya puluhan intitusi Islam dan hak-hak nya, menyediakan prasarana lengkap kehidupan dan pendidikan untuk masa depan anda semua? Adakah anda semua peminta sedekah, tidak terbela di negara sendiri?

7. Ingat lah tangan-tangan ghaib kejam yang sudah mula mencaturkan masa depan anda semua... Jika itu pilihan anda semua, bersedia lah membilang helaian-helaian rambut di kepala sendiri....

Mat Lopong said...

Sdr Don

"Renung-renungkan lah !! Nak percaya, percayalah. Nak nafikan, nafikalah! Tapi saya rasa jika ianya belaku orang Melayu pun sama-sama melopong dan terlopong. Mereka yang selama ini beria-ia nakkan "CHANGE" akan lebeh terasa lagi MELOPONG dan TERLOPONG !!! "

nak cerita pasal MELOPONG dan TERLOPONG ni, sekarang pun saya dah MELOPONG dan TERLOPONG.

pergi kedai cari lauk, semua barang naik harga. ayam, ikan, telur dll. MELOPONG.

nak buat kuih muih utk dijual bagi menambah pendapatan yg tak seberapa - harga barang dah naik. gula, majerin, telur dll. MELOPONG.

sekarang ni nak dptkan bekalan tepung gandum pun susah. dah tiga hari keluar masuk 2-3 kedai tak ada stok. padahal puasa pun belum lagi. MELOPONG.

Yangretibase said...

Assalamualaikum,

Don, Jinah dan sesiapa yang seideologi serta sefaham dengan mereka berdua,

Sudah sah serta sohih tuan-tuan sekalian tidak beramal dengan al-Quran daripada Surah al-Maidah: 44, 45, 47, 48 dan 49.

Saya yakin, tuan-tuan tentu tahu akan status serta kedudukan tuan-tuan pada sisi Allah SWT akibat daripada ketidakpatuhan tuan-tuan terhadap Ayat-Ayat al-Quran berkenaan.

Seorang Islam yang mukmin WAJIB beriman dan beramal dengan kesemua 6236 Ayat al-Quran. Menjadi munafiq dan fasiqlah tuan-tuan dan saya jika kita mengambil ringan atau acuh tak acuh sahaja terhadap al-Quran, walaupun satu Ayat.

Tolong renungkan maksud Ayat 36 dan 37 daripada Surah al-Zukhruf:

"Dan barang siapa yang berpaling atau tidak mempedulikan pengajarn Allah Yang Maha Pengasih (al-Quran), Kami (Allah) akan membiarkan syaitan menyesatkan mereka dan menjadi teman karib mereka". (36)

"Dan sesungguhnya syaitan tersebut akan menghalang-halangi mereka daripada mengikuti jalan yang benar, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk". (37)

Wassalam.

saji said...

Sdr harulfitri

Bercakap mengenai negara maju spt Australia yang terkenal mempunyai kerajaan yg sangat bersih yang banyak sdr tahu seperti contoh2 yang sdr berikan itu, saya nak tanya sama ada wujud atau tidak undang2 di Australia yang mencegah dan melarang penjawat awamnya di kalangan institusi penguatkuasaan undang2nya khasnya seperti polis, pencegah rasuah, pendakwa raya yang bersekongkol dengan parti politik yang memerintah khasnya dari segi melindunginya melakukan penyelewengan ke atas dasar awam seperti apa yang diwujudkan di Amerika Syarikat atau sepertinya?

saji said...

Sdr Dan Kajang

Berdasarkan kepada komen2 yang sdr berikan setakat ini dan beberapa pelawat dan pembahas baru dalam blog ini yang senada dengan sdr berkenaan, sdr jenis dan kumpulan menusia yang suka menyimpan benda lama yang ada disekeling sdr yang masyarakat setempat sama2 miliki yang, dari sudut ilmu konservasi bangunan bersejarah, mempunyai sama ada nilai emosi/ emosional value atau budaya/ cultural value atau kegunaan/ use value atau ketiga2nya sekali.

Benda lama yang dimaksudkan ialah parti politik orang Melayu yang dinamakan UMNO.

Bila saya mengkritik UMNO dan bila sdr mempertahankan UMNO berdasarkan komen saya dan pembahas lain ia , dari sudut ilmu konservasi bangunan bersejarah tersebut, kita telah sama2 melakukan apa yang dipanggil 'intervensi', iaitu usaha kita untuk mengkonservasikan parti UMNO supaya ia terus diterima oleh masyarakat setempat, termasuk seluruh ahli UMNO sendiri.

Cuma cara saya melakukan intervensi tersebut berbeza dengan cara yang sdr lakukan yang saya tidak perlu jelaskan.

Yang saya tahu, terdapat kalangan ahli dan pendokong UMNO serta beberapa bekas pemimpin UMNO yang caranya melakukan intervensi tersebut (terhadap UMNO) serupa dengan apa yang saya cuba lakukan.

Anonymous said...

Salam Dato' AKJ,

Bagus sungguh hujah-hujah yang ditulis oleh para penyokong setiap parti-parti politik Malaysia disini. Hampir kesemuanya boleh diterima akal. Jadi sekarang ni apakah langkah terbaik yang perlu dibuat? Tetap menyokong BN dengan cara PM yang masih dibayangi ke'popular'an Datin Seri Rosmah Mansor buat masa ni payah sikit nampaknya. Tapi tak salah juga kalau PM nak mencuba untuk percepatkan PRU13.

Atau.....jika penyokong yang di bawah rasa PM tak boleh mengendurkan ke'popular'an Datin Seri Rosmah dari bualan peminat dan lawan dari parti pembangkang ELOK juga rasanya kita bagi peluang pada Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui UMNO dan parti komponen di bawah BN selepas PRU13. Beliau kelihatan lebih berani dari PM sebagai contoh ketika mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur untuk menyelamatkan imej UMNO selepas PRU12 dari menjadi semakin teruk. Beliau juga kelihatannya dapat menasihatkan isteri beliau supaya tidak terlalu mempopularkan diri lebih dari beliau. Tahniah Tan Sri! Tak tahu lah saya sama ada saudara Don akan setuju dengan pandangan saya ini atau tidak.

Berkenaan jasa DS Najib, saya masih tak nampak jasanya yang betul-betul menjadi realiti sepenuhnya berjaya. Gagasan 1 Malaysia pun nampaknya ramai lagi tak faham dan masih ada mengambil kesempatan sehinggakan hak orang Melayu pun nak dipersoalkan kerana 1 Malaysia. Tu belum NKRA dan sebagainya. Tapi mempopularkan Datin Seri Rosmah....saya akui memang BERJAYA setakat ini!

Malik
Seksyen 13

Anonymous said...

hairulfitri,

Sdra adalah sebiji macam Mat Jenin!! Contoh yang sdra beri adalah macam hantu mimpi disiang hari. Banyak khayal pasal banyak tengok cerita saka agaknya!!

Bagilah contoh apple with apple!!

Jinah

hairulfitri said...

Aslkum dakj

Nak bertanya pd sdr Jinah kenapa Karpal Singh tak ungkap ayat over my dead body pd pemimpin UMNO sedangkan mereka juga bermati2an berkata bahawa Malaysia adalah negara Islam? Tapi hanya kpd Pas?

Orang berakal akan menjawap bahawa Islam yg diwar2kan oleh pemimpin UMNO , itulah sebenarnya palsu. Jadi kafir spt Karpal tak perlu respon dgn kenyataan over my dead body pd pemimpin UMNO.

Oleh kerana Islam mengikut kaca mata dan cuba didakwahkan oleh Pas adalah mendekati kehendak Allah dan Rasulnya maka , ia dibenci oleh orang kafir dan orang Islam yg fasik atau lebih menyedihkan yg berkelakuan seperti orang munafik.

Kalau diperhalusi kenyataan Karpal adalah suatu pengiktirafan pd perjuangan Pas

Selama ini pemimpin UMNO yg leka dgn kekuasaan dan mendewakan dunia ternyata gagal berdakwah pd isteri dan anak2, inikan pulak pd org kafir spt Karpal Singh?

Tapi kpd org2 spt sdr Jinah, tak mustahil Karpal Singh menganut Islam. Bukankah nenek moyang kita dulu pun kafir sebelum Islam?

Anonymous said...

Palanivel calls for release of six PSM members
BY A. LETCHUMANAN


KUALA LUMPUR: MIC President Datuk G. Palanivel has asked the government to free the six Parti Sosialis Malaysia (PSM) leaders who have been detained under the Emergency Ordinance since July 2.

“I spoke to Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak several days ago and have asked him to release them,” he told reporters Thursday.

comment:

If they are a threat to the security of the country don't release them, period. The police know the situation and must be able to execute their duty without fear and favour. To be transparent I suggest the police must give details why they should not be released and to what degree they are causing danger to the country, period.

G-Force

mad said...

saudara hairulfitri, tulisan saudara tentang australia mugkin ada benarnya. saya tidak tahu sebab saya belum pernah ke sana. negara luar yg pernah saya pergi hanyalah singapura, itupun sudah lebih sepuluh tahun lalu. saya org sarawak. bekas bos saya dulu yg berbangsa cina juga telah berhijrah ke australia walaupun gajinya sebagai chief engineer di sini agak lumayan. saya bayangkan gajinya disana tentulah jauh lebih tinggi kalau tidak taklah dia sanggup tinggalkan negara ini. saya juga ada mendengar banyak cerita-cerita dari org tentang bagusnya kerajaan australia yg rata-rata pemimpinnya bukan islam itu. kalau ada peluang saya pun ingin bekerja disana. walaupun dalam bidang kerja saya boleh membuat pelan rumah/bangunan dalam 3d dan kadangkala bos menyuruh membuat animasi utk suatu projek tapi gaji saya ciput saja. mungkin disebabkan kelulusan saya yg tidak tinggi membuat saya susah mendapat kerja bergaji tinggi. saya bersyukur dengan adanya internet kerana dari internetlah saya banyak mengaut ilmu dalam bidang kerja saya.

raja2u said...

Assalamualaikum,

YBhg Dato' dan Pembahas yang saya hormati. Tajuk perbincangan ini sungguh menarik dan diharap apa yang diluahkan itu memberi kesan sewajarnya. Dalam apa hal pun kita hanya boleh memberi pandangan dan terpulanglah kepada mereka yang berkenaan menerima atau menolaknya diatas pertimbangan masing-masing.Adalah harapan saya tiada siapa yang mengambil hati sehingga berdukacita .Adalah harapan saya niat kita adalah untuk kebaikan ugama , bangsa dan negara dan bukannya untuk memburuk-buruk pihak yang tidak sehaluan dengan kita.

Memandangkan Kerajaan mungkin memperkenalkan biometric dalam proses pengundian kali ini maka sila uji samada chip dalam mycard saudara/saudari berfungsi atau tidak untuk menentukan dapat menjalankan tanggungjawab mengundi kelak. Begitu juga pastikan nama masih dalam senarai pengundi dan tidak dipindahkan kekawasan mengundi lain.Semua kepincangan hendaklah dicatit dan diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk tindakan sewajarnya.

Memandangkan senarai tuntutan sudahpun di sampaikan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong maka selesailah urusan memaklumkan keperingkat tertinggi rasa tidak puas hati sebahagian dari rakyat mengenai prose mengundi negara ini.

Yang perlu dilakukan pihak berkepentingan sekarang adalah menyemak senarai pengundi dan melapurkan mana-mana yang salah untuk pembetulan.Lipat gandakan usaha berdamping dengan rakyat.PKR umpamanya hendaklah mencetak seberapa banyak buku Jingga dan menerangkan kepada kumpulan sasar matlamatnya dan mendapat feedback penambahbaikannya.PAS pula hendaklah menerangkan sejelas-jelasnya konsep negara berkebajikan seperti yang dituntut Islam supaya diyakini dan diterima rakyat sebagai sistem yang terbaik untuk negara.Adalah wajar semua pihak berhenti dari terlibat dengan fitnah kerana ianya tidak akan memenangkan kerana rakyat memerlukan perkara-perkara yang mengutungkan mereka.

UMNO/BN juga perlu menerangkan bagaimana rakyat luar bandar dan pertengahan boleh menjana pendapatan tinggi.Sudah sampai masanya untuk Kerajaan menerangkan apakah sebenarnya erti transformasi yang boleh difaham semua gulongan rakyat.

Mudahan-mudahan perkara yang tersebut diatas akan menunjukkan kesungguhan ahli-ahli politik kita berkerja keras untuk kebaikan ugama, bangsa dan negara.Kepada rakyat adalah tidak relevan bagi mereka melaungkan "akan menawan Putrajaya" atau "akan mempertahankan Putrajaya". Buat kerja dengan ikhlas dahulu sebelum mengharapkan hasil yang akan dituai.

Selamat Berpuasa.

Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain,
Pencetus Strategik Vision
Petaling Jaya.

saji said...

Sdr Don

"Institusi yang tidak mendatangkan hasil dan membebankan taxpayers money patut ditamatkan fungsinya. Jadi adalah wajar bagi Najib mencari formula baru dengan membuat transformasi yang berkesan supaya instutusi yang selama ini menjadi parasite patut ditutup terus. Begitu juga dengan syarikat GLC melik kerajaan yang rugi patut ditutup. Apa gunanya terus beroperasi jika CEOnya tidak dapat mengembangkan syarikat malahan ada yang bertahun-tahun rugi. Bagi gaji CEO beribu-ribu ringgit tapi hasilnya haprak!! Tidak memberikan manfaat kepada orang Melayu.
Jadi sdra ab janganlah sentimental sangat. Najib sedang membuat yang terbaik. Jika gagal juga maka jawatannya tentu sekali tergugat!!
Tidak mudah untuk membuat transformasi yang terbaik. Ianya memerlukan vision yang terang."

Komen:

Macam mana sdr tahu Najib sudah membuat yang terbaik?

Anonymous said...

Dr Mazlan.

Sdra lulusan apa?
Kalau Khazanah beri peluang kepada Dr Mazlan untuk jadi CEO MAS, bolehkah Dr Mazlan turnaround the company. Kalau Dr Mazlan ada mempunyai business plan yang lebeh handal dan cemerlang dari Idris Jala saya nak cadangkan kpd Datuk AKJ untuk membawa sdra bertemu janji dengan Najib.

Don

ku_seman said...

Datuk Kadir,
Mungkin Datuk boleh tegur lagi mengenai pemimpin tinggi turun padang melawat ke kampung-kampung. Saya tengok belanja untuk sambut pemimpin itu satu pembaziran dan saya sebagai salah seorang pembayar cukai perlu meluahkan pandangan. Saya melihat acara turun padang ini bukanlah kerana pemimpin berjiwa rakyat. Kalau Dato Onn kayuh basikal kita nampak keikhlasan dia. Tapi sekarang ini sambutan meriah bukan main lagi. Kita ada pelbagai lapisan pemimpin. Dari peringkat kampung, daerah, negeri dan sebagainya. Mereka inilah yang perlu jumpa rakyat, pemimpin tertinggi janganlah buat kerja pemimpin peringkat bawah. Saya merasa sangat geli bila ada calon dalam pilihan raya dulu yang turut menoreh getah. Kita bukan nak mencari pemimpin yang pandai menoreh getah, sebab itu bukan kerja dia. Pada pandangan saya atau teguran saya, pemimpin tinggi buat kerja di peringkat tinggi, yang rendah buat kerja di peringkat rendah. Penilaian saya kalau pemimpin tinggi buat kerja peringkat rendah, siapa pula yang nak buat kerja dia?

saji said...

Sdr Don

"Saya nak tanya sikit, di Dubai sebuah bandaraya Islam yang sedang pesat membangun dengan pencakar langitnya, adakan kontrak-kontrak berbillion US dollar yang di berikan kepada kontraktor Europa dan America mengikat kontrak secara Islam? Munkinkah ada amalan rasuah disana?

Komen:

Tolong berikan dulu nama bentuk atau jenis kontrak pembinaan konvensional ciptaan Barat bagi projek2 pecakar langitnya di Dubai yang diberikan kepada kontraktor Eropah dan Amerika?

Maksud saya, adakah ianya bentuk Lump Sum, Bills of Quantities, Turnkey dan Design and Build atau sepertinya iaitu sistem kontrak pembinaan Barat jenis Price-i-advance atau maksud Islamnya kontrak pembinaan al-Istisnaa/Tempahan?

Atau, ianya bentuk Cost Plus Percentage, Management Contract,Construction Management, Design and Construction Management atau sepertinya iaitu sistem kontrak pembinaan Barat jenis Cost Reimbursement atau maksud Islamya kontrak pembinaan al-Ijarah/ Upahan?

«Oldest ‹Older   201 – 216 of 216   Newer› Newest»

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).