Wednesday, October 09, 2019

Sukar Tapi Usaha Selamatkan Utusan Perlu Diteruskan


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Tekatsuban kepada Umno rosakkan Utusan
APABILA timbul cakap-cakap bahawa penerbitan versi cetak akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo milik syarikat Utusan Melayu Malaysia Berhad (Utusan) akan diberhentikan Ogos lalu kerana kehabisan modal maka dikatakan berduyun-duyunlah orang Melayu menderma bagi menyelamatkannya.

Maka parti Melayu yang memiliki Utusan dan yang menjadi punca akhbar ikonik itu ditolak oleh pembaca, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) pun menyuntik RM1.6 juta.

Tetapi sebagai seorang yang pernah terlibat dengan penerbitan akhbar dan majalah, saya tahu jumlah sebanyak itu untuk sebuah pertubuhan media yang besar seperti Utusan, ia tidak lebih daripada tahi hidung.

Terbaru, timbul berita mengatakan kakitangannya telah diarahkan supaya mengosongkan kerusi mereka mulai hari ini. Khabar lain pula mengatakan pemilik sekarang mungkin mengambil tindakan mengisytiharkannya muflis.

Secara ringkas dan “brutal” (kejam), saya terpaksa katakan bahawa Utusan telah hilang momentum dan dinamik perniagaan.

Maksudnya tahap kebolehpercayaan telah jatuh dengan teruk sehingga tidak lagi menarik minat pembaca dan penjualan yang rendah menyebabkan pengiklan menarik diri.

Apabila pembaca tidak membeli sesebuah akhbar maka tidak adalah sebab pengkilan hendak terus mengiklan. Tidak ada surat khabar, besar atau kecil, yang boleh hidup tanpa iklan.

Pendapatan daripada jualan akhbar tidak pernah mencukupi untuk menampung kos apatah lagi membuat keuntungan. Keuntungan dibuat dengan menjual ruang akhbar kepada pengiklan.

Dari dulu lagi Utusan tidak sekuat New Straits Times atau Star dari segi sokongan iklan. Salah satu sebabnya adalah pembaca akhbar Melayu dianggap tidak mempunyai kuasa membeli yang sama kuat dengan pembaca akhbar Inggeris dan Cina.

Ini tidak bermakna Utusan tidak pernah untung. Di puncak pengedarannya pada tahun 1990-an dan awal abad ke-21, Utusan untung tetapi itu pun kerana dibantu oleh kegiatan bukan percetakan.

Umno membantu Utusan dengan berbagai-bagai cara, termasuk memberi saham IPO dan lesen penyiaran yang akhirnya habis dijual.

Penjualan akhbar di Malaysia, termasuk dari Kumpulan Utusan, memuncak sekitar tahun peralihan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, iaitu 2003.

Waktu itu penjualan Utusan Malaysia melebihi 300,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia lebih setengah juta. Ada laporan mengatakan edaran Utusan Malaysia pernah mencecah 350,000 naskhah sehari.

Tetapi tidak lama selepas itu, penjualan akhbar mula turun dan salah satu puncanya adalah pelantikan muka-muka baru untuk mengetuai jabatan pengarang media berkaitan Umno dan campur tangan kerajaan yang melampau dalam pemberitaan.

Budak Tingkat 4

Di sini, apa yang digelar sebagai “fourth floor boys” (budak-budak tingkat empat) di Jabatan Perdana Menteri pada zaman pemerintahan Abdullah terpaksa dipersalahkan.

Mereka inilah yang berkuasa ke atas media massa berkaitan Umno, khasnya dan media massa arus perdana, amnya.

Campur tangan mereka yang berlebihan dan tidak profesional menyebabkan pembaca menghidu bahawa akhbar, televisyen dan radio milik syarikat-syarikat berkaitan Umno tidak lagi berkecuali dan kurang kredibiliti.

Salah satu kesilapan paling besar mereka adalah menggunakan media massa untuk mematikan legasi Dr Mahathir dan menonjolkan Abdullah.

Itulah permulaan kepada kemerosotan mutu kewartawanan dan kemerosotan penjualan akhbar Kumpulan Utusan dan NSTP.

Hal ini diburukkan lagi oleh perkembangan pesat teknologi digital dan kegagalan sistem pendidikan nasional mengekalkan minat membaca di kalangan pelajar.

Berbalik kepada Utusan Melayu (jawi) dan Utusan Malaysia (rumi), dua akhbar itu adalah roh orang Melayu.

Bagi majoriti orang Melayu, khususnya selepas kemerdekaan, dua akhbar itu adalah pelengkap kehidupan seharian mereka.

Malah pada beberapa tahun selepas Merdeka, kalau di utara Semenanjung, kita akan dengar ungkapan seperti “jom pi kedai kopi baca Utusan” atau “hang dah baca Utusan hari ni?”

Saya membesar dengan hidangan minda Utusan Melayu kerana itulah akhbar langganan tetap Almarhum ayah saya. Sekali-sekala dia membeli Warta Negara (juga jawi) terbitan Pulau Pinang dan saya membeli New Sunday Times setiap Ahad.

Utusan Melayu akhirnya terkubur (pada tahun 2006) kerana orang Melayu generasi baru tidak lagi tahu membaca dan menulis jawi.

Itulah antara kegagalan besar sistem pendidikan kita. Jadi sebab itulah saya tidak berapa berselera cakap kosong mengenai maruah Melayu atau tulisan khat. Macam kata P. Ramlee, masuk angin keluar asap.

Kalau “budak-budak tingkat empat” era Abdullah memulakan proses penghapusan profesionalisme kewartawanan media berkaitan Umno, “budak-budak tingkat empat” zaman Najib lagi teruk.

Dengan bantuan “perunding” dari dalam dan luar negara yang diwakili oleh nama-nama seperti Habibul Rahman Kadir dan Paul Stadlen, mereka melakukan proses pugar dan bakar (slash and burn) ke atas media arus perdana.

Kesudahannya, akhbar utama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times serta stesen televisyen TV3 ditolak oleh pembaca dan penonton.

Ironinya, semua akhbar ini dan kumpulan yang menerbitkannya “dimalaysianisasikan” (Malaysianised) pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, pelopor pemikiran dan maruah Melayu.

Kini semuanya bernyawa ikan akibat kebebalan anaknya, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib, bekas Perdana Menteri.

Cabaran Pemulihan

Saya tidak nampak jalan bagaimana Utusan boleh diselamatkan melainkan muncul pemilik baru yang komited kepada idealisme kewartawanan era baru dan mempunyai poket yang dalam.

Usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah mengambil alih kawalan ke atas Media Prima Berhad (pemilik New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro dan TV3) daripada proksi Umno.

Beliau dipercayai akan turut menyelamatkan Utusan di mana beliau sudah pun memegang saham yang banyak untuk beberapa tahun.

Pengambilan alih oleh Syed Mokhtar atau sesiapa saja yang mempunyai kemampuan kewangan pasti memberi nafas baru kepada Media Prima dan Utusan, tetapi jawapan mutakhir terletak di tangan para pengarang dan wartawan.

Kalau mereka berjaya mengembalikan keyakinan orang ramai dengan mengamalkan kewartawan yang profesional dan bermutu tinggi, harapan menyemarakkan semula pembacaan akhbar adalah lebih cerah dan modal baru yang disuntik oleh pemilik baru tidak sia-sia.

Khusus kepada sahabat lama saya, budak Saint Michael petang (saya Saint Michael pagi) dan pengembala lembu serta peniaga beras, Tan Sri Syed Mokhtar, saya tabik spring kepada beliau.

Saya harap orang ramai, khususnya Melayu, kembali membaca akhbar.

Amalan membaca atas talian atau berkongsi maklumat melalui kumpulan WhatsApp (bukan wassap atau wassup) tidak memadai dan membaca dari media sosial tidak lengkap.

Dunia tanpa pengarang adalah berbahaya dan memesongkan. Media sosial tidak boleh menggantikan peranan media arus perdana yang ada pengarang, penyunting dan wartawan.

Wallahuaklam.

7 comments:

Anees Khan said...

Salam DAKJ,

persoalan saya;

1. berbaloi ka untuk selamatkan Utusan, karatnya dah terlalu berkarat dan akan mengambil masa yang sangat lama untuk diperbaiki. Saya rasa ada baiknya kalau dilupuskan saja.

2. Realitinya, hampir semua Media, termasuk media cetak sudah tenggelam dengan media elektronik. Walaupun Utusan juga ada upgrade ke media elektronik tetapi beritanya tidak mempunyai nilai-nilai berita yang berkualiti. sudah lama media-media tidak menjadi pemangkin pemikiran, lebih kepada propaganda politik yang memualkan. Biarkanlah luncai terjun dengan labu-labunya Dato.

3. Cerita Budak-Budak tingkat 4 ni dah lama tapi heran jugak tak dak sapa pun pernah kena caj. Depa ni kalau buat salah, apa depa kebalkah dari undang-undang? Atau undang-undang kita masih pilih bulu sehingga sekarang? Jika tidak ada kesalahan maka adalah lebih baik jangan diungkit-ungkit lagi isu-isu penjualan saham-saham korporat di dalam dan luar negara yang mereka usahakan.

4. Ada banyak pihak di luar sana yang mula komen bahawa sebenarnya tidak ada banyak sangat masalah dengan orang Melayu tetapi yang banyak bermasalah adalah Pemimpin Melayu yang gunakan isu Melayu untuk 'cari makan', sama macam Pemimpin Islam yang guna Islam untuk 'cari makan'. Apa pendapat Dato?

awang kualaberang said...

Salam DATO,
apa kata kalau digabungkan Utusan dengan Harakah atas prinsip taawun lidah assobiyyah UMNO-PAS

herman adnan said...

Pak Kadir yang sangat saya hormati,
Pada hemat saya
SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH...
dinamika zaman (perubahan masa) lambat-laun akan membentuk suatu niche menjadi fenomena; pada sisi yang lain, media arus perdana sekadar Syok Sendiri... maka hasilnya apa yang berlaku tepat 1 tengah hari tadi.
Individu tidak mampu mengawal PASARAN (market) kerana PASARAN ditentukan oleh KEHENDAK Khalayak.
Tidak dapat tidak, WE MUST HONOUR and RESPECT kuasa khalayak! Tanpa ragu-ragu.

budak jawa said...

Assslamualaikum DAKJ,

Garbage in garbage out. Menyelamatkan utusan daripada dibungkus satu perkara, memastikan kelangsungan hidupnya pada masa depan pula adalah satu perkara yang lain. Kalau berita palsu yang dihidangkan, fitnah, propaganda yang mengangkat penyangak, melemah minda dan jiwa serta tidak mempunyai nilai komersial, matilah kesudahannya. Dato telah menjelaskan dengan baik dalam tulisan di atas.

azhar rangkuti said...

Ingat semasa saya masih di sekolah rendah , sekitar tahun 70 an, akhbar yg saya selalu baca adalah Utusan Malaysia yg dibeli oleh Atuk saya.

Malangnya, anak2 saya dari zaman sekolah sehingga peringkat universiti, jarang saya lihat mereka membaca surat khabar walaupun ada di depan mata

Handphone dan Internet telah menjadi sumber utama sbg bahan bacaan dan rujukan dewasa ini

OKJ said...

Salam DAKJ

Alamak. Dato’ kena marah dgn YB KJ hari ni ye. Hihihi………. YB KJ kata Dato’ Kadir dan dia sama je, dua dua serupa. Dua-dua menyebabkan bilangan pembaca utusan merundum. Dato’ masa zaman Anwar dipecat dulu, dia pula masa zaman Pak lah. Betul jugak YB KJ ni cakap. DAKJ & YBKJ. Kikiki…… Dato’ kena jawab tu, jangan berlindung belakang Tun pulak. Sekian TQ.

Mak Na said...

DAKJ....firstly mohon maaf post ni Tak bertujuan menyinggung sesiapa....saya 4 beradik dibesarkan dengan hasil gaji abah bekerja di utusan ...masa tu in the 70's 80's rasa bangga sebut my dad is with utusan..

Saya sendiri rasa incomplete my hari minggu without reading mingguan malaysia....not only that ....urtv & majalah wanita pun a must read. mastika saya memang tak beli.
Berita harian pun Tak leh lawan utusan punya reporting...
column astora jabat,auntie BAM, uncle ABI,Awang Selamat,senyum kambing were my favourite.

Lepas tu Saya rasa macam article dah tak macam dulu ....takde kepuasan membaca...takde umph....that's around Budak tingkat 4 punya time la.....it got worst later...felt like a fool reading it..
I totally stopped reading & buying utusan since the last 3 years

So dakj,I agree with you....
Rasa hairan bin pelik bila ada orang sekarang kata budak tingkat 4 ada PM material....lagi hancur ada kot...

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).