Monday, April 30, 2007

Petunjuk Dari Ijok

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

TAHNIAH kepada Barisan Nasional kerana berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok dengan majoriti yang lebih besar.

Tahniah kepada Parti Keadilan Rakyat serta sekutu pembangkangnya kerana tidak memulaukan pilihan raya kecil Ijok dan berjaya memberi tentangan yang bermakna.

Tahniah kepada pemilih Ijok kerana dapat melaksanakan hak dan kewajipan demokratik mereka dan tahniah kerana telah dan akan mengecap nikmat durian runtuh pilihan raya.

Tahniah kepada media massa arus perdana kerana berjaya dan berkesan menggembar-gemburkan mesej BN dan menghuru-harakan mesej pembangkang.

Tahniah kepada para pengendali laman berita web bebas, para blogger dan pemilik akhbar alternatif kerana gigih memberikan liputan alternatif demi faedah para pembaca di dalam dan luar Ijok.

Daripada kenyataan para pembesar BN dan negara, parti-parti pembangkang, aktivis politik, pemerhati bebas pilihan raya, media massa arus perdana dan media massa alternatif, kesimpulan berikut boleh dibuat:

1. Politik wang yang dipersembahkan sebagai politik pembangunan terus menjadi senjata utama parti pemerintah;

2. Parti pemerintah akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihan raya, khasnya pilihan raya kecil di mana keraksasaan kewangan dan jenteranya boleh digembleng secara besar-besar;

3. Pemilih masih terpengaruh dengan janji-janji yang berbentuk kewangan dan mata benda;

4. Idea-idea sejagat seperti keadilan, kesaksamaan, ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban masih berupa slogan pilihan raya semata-mata. Akhir wang yang berkuasa;

5. Pembangkang, khasnya PKR, terus tidak mampu mengemukakan agenda perjuangan yang difahami dan diyakini umum;

6. Isu-isu peribadi semakin menjadi tumpuan sehingga meminggirkan isu-isu pokok yang menjadi manifesto pilihan raya;

7. Kempen pilihan raya semakin cetek, dangkal dan hambar. The dumbing down process atau proses pendangkalan minda berterusan;

8. Sifat atau ciri munafik/hipokrit semakin menular dan menyerlah dalam semua parti dan di kalangan majoriti mereka yang berkempen. (Seorang Timbalan Ketua Bahagian Umno yang menampilkan wajahnya di Ijok memberitahu saya yang dia kecewa prestasi PKR tidak lebih cemerlang. Katanya dia mahu PKR menang supaya boleh menjadi mesej yang kuat kepada para pembesar BN dan Umno. Tetapi dia menyalahkan PKR kerana tidak pandai berkempen.);

9. Proses pilihan raya, khasnya pendaftaran pemilih dan pengundian, terus menjadi pertikaian;

10. Umno dan majoriti orang Melayu terus bertolak ansur atas nama BN dan dalam proses itu mendedahkan diri mereka kepada kritikan yang semakin meluas;

11. Majoriti orang Melayu terus menyokong calon dari parti-parti komponen BN walaupun beberapa buah daripada parti itu telah secara terbuka mempertikaikan kontrak sosial yang menjadi teras Perlembagaan Malaysia; dan

12. Pengundi Melayu masih boleh terus dipengaruhi dengan mudah walaupun mereka dikatakan semakin canggih dan maju.
Bukan Lari Mencari Damai Abadi

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]


MOHON maaf kerana agak lama tidak melayan pelawat. Bukan lari atau sudah berasa benci. Jauh sekali rasa meluat. Cuma mengunjungi sudut, hulu negeri. Di mana tiada kemudahan IT.


Bukan kerana mahu mencari damai abadi atau menjejaki imam-imam agung dulu dan kini. Sekadar mencari, kalau-kalau kita masih boleh berbakti, menjaga saki baki bumi yang Tuhan beri. Yang masih belum menjadi mangsa jentolak dan gergaji.


Dan jika di situ ada kedamaian, biar seketika cuma, kita bersyukur kepadaNya kerana daripadaNya datang hutan belantara, haiwan dan mergastua.

Tasik Temenggor...abadikan kedamaiannya.

Maka, marilah kita pastikan Rimba Di Raja Belum kekal selama-lamanya, untuk dihayati bersama sebagai warisan setiap insan.


Terima kasih.

Thursday, April 26, 2007

Antara Jenayah dan Sikap Jenayah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

PARLIMEN, pada 24 April, diberitahu bahawa sebanyak 198,622 kes jenayah dilaporkan di seluruh negara tahun lalu. Ini berupa peningkatan sebanyak 41,163 kes.

Hal ini dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam kapasitinya sebagai menteri yang menjaga keselamatan dalam negara. Dia juga menjaga hal ehwal kewangan.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan wakil Barisan Nasional Kapit, Nanta Linggi, Abdullah berkata jenayah paling banyak dilaporkan adalah curi motosikal (64,858 kes), kecurian lain (37,128) dan pecah rumah pada waktu malam (19,060).

Tiga jenis jenayah itu adalah yang paling banyak dilaporkan sejak tahun 2002.

Laporan akhbar mengenai jawapan Perdana Menteri itu, bagaimanapun, tidak memberi perangkaan lengkap berkenaan jenayah berat selain melaporkan bahawa Selangor mencatatkan bilangan jenayah berat terbanyak iaitu 12,395 kes, termasuk pembunuhan, rogol dan rompakan tidak bersenjata.

Selangor juga mengalami paling banyak kejadian jenayah dengan 54,270 kes dilaporkan diikuti oleh Johor (28,469), Kuala Lumpur (25,236) dan Pulau Pinang (16,229).

Mengenai kes rogol sahaja, Selangor mencatatkan kadar terbesar dengan 455 kes, Johor 343 dan Kedah 223. Ada sebanyak 2,435 kes rogol di seluruh negara tahun lalu.

Bagi rompakan tanpa senjata, Selangor mengatasi negeri-negeri lain dengan 6,488 kes, Kuala Lumpur 3,476 dan Johor 3,364.

Sementara bagi jenayah ragut, bilangannya memuncak sejak lima tahun lalu dan mencatatkan jumlah terbesar pada tahun 2003 dengan sebanyak 15,798 kes. Bagaimanapun, bilangan ini turun kepada 9,617 pada tahun 2005 dan 9,551 tahun lalu.

Pengakuan Perdana Menteri ini secara tidak langsung mengesahkan hujah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharum, mengenai jenayah yang semakin menjadi-jadi di ibu negara.

Kenyataan Johari itu mencetuskan kemarahan dan penafian pihak polis dan memaksa Abdullah mengarahkan mereka, melalui kenyataan kepada media massa, agar berhenti berbalah di khalayak ramai.

Semalam, Johari memberitahu Parlimen bahawa sebanyak sembilan Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menjadi mangsa jenayah sepanjang tahun lalu.

Manakala rakyat biasa terpaksa menjaga keselamatan sendiri dalam suasana negara yang semakin tidak selamat, jawapan Johari di Perlimen menunjukkan bahawa orang kenamaan dan pembesar mendapat kawalan yang lebih rapi.

Katanya beberapa langkah pencegahan telah diambil bagi menjaga keselamatan orang kenamaan dan kediaman mereka termasuk menambah rondaan kereta peronda polis (MPV), menugaskan pengawal pengiring bagi menteri dan timbalan menteri serta menugaskan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di kediaman anggota Kabinet.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Ismail Abd. Mutalib (BN-Maran) yang meminta Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan jumlah kejadian jenayah yang menjadikan orang kenamaan, termasuk ahli Parlimen, sebagai sasaran sepanjang tempoh 2001-2006.

Menjawab dakwaan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, bahawa polis hanya menjaga keselamatan orang kenamaan dan bukan rakyat biasa, Johari berkata, ia sama sekali tidak benar.

Kalau Perdana Menteri sendiri mengaku kejadian jenayah semakin meningkat, maka apakah kita perlu berasa hairan melihat perangai, sikap dan ciri jenayah di kalangan ahli politik dan penyokong mereka ketika berkempen di ijok?

Pepatah Melayu berkata, bapa borek anak rintik.

Monday, April 23, 2007

Undi Protes Unsur Baru Pilihan Raya

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

UPDATE 26 April

Is Tun Dr M Courting Expulsion?

[A Malaysiakini Report] -- The Ijok state seat by-election this Saturday is the right time for the voters to shatter the government’s propaganda that all is well, said former premier Dr Mahathir Mohamad.

While he did not outrightly called on the 12,000-odd Ijok voters not to back the ruling Barisan Nasional coalition, he nevertheless urged them to vote wisely this Saturday.

“If you don’t think (about) what you are doing, you don’t use your vote intelligently, then of course, you are to be blamed,” he told malaysiakini yesterday.

“Unless you send a signal to the government that, ‘Look, if you don’t behave yourself, you may not get my vote at the next election,’ then the government will say, ‘You see? The people are voting for us. We are doing well,’ he said.

He added that if the Ijok voters got swayed by the by-election goodies in the form of new development in the state constituency, they will only have themselves to blame if a ‘rotten’ government is voted in.

ORIGINAL POST

ADAKAH pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok di Selangor akan memperkukuhkan aliran ini?

Kita telah melihat di Batu Talam, Pahang dan Machap, Melaka penambahan peratusan undi rosak yang sedikit sebanyak mempamerkan unsur protes atau tunjuk perasaan.

Sejak beberapa waktu kebelakangan ini, banyak pembahas dalam blog kita ini bertanya mengenai kuasa rakyat jelata menentukan hala tuju negara, khususnya peranan mereka dalam pilihan raya.

Soalan mereka banyak menjurus kepada ketidakpuasan terhadap pemerintahan negara pasca-Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sebagai tidak menepati keperluan dan aspirasi mereka serta menyimpang daripada janji pilihan raya umum 2004.

Tiada ada jawapan atau petunjuk mutakhir kepada persoalan ini. Demokrasi dan pilihan raya bukanlah penawar bagi semua penyakit pemerintahan.

Kalau pilihan raya menghasilkan pemerintahan yang unggul dan menepati kehendak setiap pengundi, maka masanya sudah lama tiba apabila pilihan raya tidak diperlukan lagi kerana sudah wujud sebuah kerajaan yang unggul.

Hakikatnya berlainan sekali. Pilihan raya tidak menghasilkan pemerintahan yang unggul. Malah ia boleh menghasilkan pemerintahan yang lebih buruk daripada pemerintahan penjajah, diktator atau feudal atau, setidak-tidaknya, lebih buruk daripada kerajaan sebelumnya.

Namun, oleh sebab Perlembagaan memberikan kita hak mutlak untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya dan bukan melalui rampasan kuasa atau revolusi maka itulah jalan yang terbaik bagi kita menentukan siapa yang kita mahu memerintah kita.

Kita harus sedar bahawa akan perbezaan yang sangat besar dan ketara antara memerintah dengan memimpin. Semua orang yang kita pilih dalam pilihan raya diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk memerintah. Tetapi tidak semua daripada mereka boleh atau tahu memimpin.

Seorang Perdana Menteri, Presiden atau Canselor boleh memerintahkan supaya parit digali. Tetapi ini tidak bermakna dia boleh memimpin para penggali parit kerana dia bukan pakar mengenai cara menggali parit.

Tetapi ada Perdana Menteri, Presiden atau Canselor yang bukan sahaja boleh mengarahkan orang menghasilkan kereta tetapi boleh memimpin kerana dia tahu selok-belok industri automotif.

Selain pilihan raya, kita tiada pilihan lain untuk menentukan siapa memerintah negara. Justeru itu, adalah amat penting kita mendaftar sebagai pemilih sebaik sahaja mencapai usia 21 tahun dan mengundi pada pilihan raya.

Kedua, kita pastikan di mana tempat mengundi kita. Sekarang kita boleh memeriksa daftar pemilih dan tempat mengundi melalui laman web Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ketiga kita pangkah calon pilihan kita. Itu saja.

Bagaimanapun, sudah ternampak wujudnya satu aliran atau trend di mana pemilih sengaja merosakkan kertas undi sebagai cara memprotes.

Cara ini dianggap lebih berkesan untuk menunjukkan ketidakpuasan terhadap parti pemerintah berbanding tidak keluar mengundi atau memulaukan pilihan raya.

Alasannya ialah kalau seseorang pemilih tidak keluar mengundi, sebab dia berbuat demikian mungkin boleh dipertikaikan. Misalnya mungkin kerana dia sakit, berada di luar kawasan mengundi atau keciciran pengangkutan.

Tetapi dengan merosakkan undi, pemilih menghantar mesej yang jelas iaitu manakala mereka tidak mengundi pembangkang kerana dia bukan ahli atau penyokong parti pembangkang, tetapi mereka juga tidak mengundi parti kerajaan kerana dia tidak puas hati dengan kerajaan.

Kita sudah boleh membayangkan bahawa pada pilihan raya akan datang, kemungkinan-kemungkinan berikut akan berlaku:

1. Pengundi baru akan mendaftar kerana mereka mahu mengubah keadaan;

2. Mereka tidak akan mendaftar kerana mereka tidak peduli politik negara atau kerana tidak yakin undi mereka akan mengubah apa-apa;

3. Banyak pemilih berdaftar tidak keluar mengundi kerana mereka tidak lagi menyokong parti kerajaan tetapi tidak berhasrat berpaling tadah kepada pembangkang; dan

4. Pemilih akan merosakkan kertas undi sebagai tanda protes terhadap parti dan calon yang bertanding, khasnya parti dan calon parti pemerintah.

Dalam pilihan raya kecil DUN Batu Talam pada 28 Januari lalu, 3,445 daripada 10,525 pemilih berdaftar tidak keluar mengundi. Daripada 7,080 yang mengundi, undi rosak berjumlah 385.

Pada pilihan raya umum 2004, sejumlah 8,322 pemilih keluar mengundi tetapi undi rosak hanya 238. Jelas daripada perangkaan ini bahawa berlaku protes di kalangan pemilih pada pilihan raya kecil Januari lalu.

Dalam pilihan raya kecil Machap pula, kita melihat bilangan pemilih yang keluar mengundi agak tinggi iaitu 74.35 peratus. Ini adalah kerana BN dicabar secara serius oleh pembangkang yang diwakili oleh DAP. Justeru itu tidak berlaku pemboikotan yang ketara.

Bilangan undi rosak pun rendah – 166 – daripada 7,142 kertas undi. Ini menunjukkan bahawa unsur protes tidak ketara kerana pemilih diberi peluang memilih calon dari dua parti politik Cina yang utama iaitu MCA dan DAP.

Komposisi pemilih DUN Machap yang pelbagai -- 39.3% Melayu, 45.9% Cina dan 14% India – turut mempengaruhi bilangan yang keluar mengundi dan corak pengundian.

Yang menarik ialah walaupun BN menggunakan segala kekuatan yang ada kepadanya – tenaga manusia, kewangan dan jentera rasmi – namun DAP masih mampu mendapat undi yang lebih tinggi berbanding pilihan raya umum 2004.

Calonnya, Liou Chen Kuang mendapat 1,452 undi berbanding calon BN, Lai Meng Chong, yang memperoleh 5,533 undi. Ini memberikan BN kelebihan undi yang lebih rendah sebanyak 4,081 berbanding 4,562 pada pilihan raya umum 2004.

Daripada aliran pengundian dalam dua pilihan raya kecil kini, kita boleh membuat kesimpulan rambang bahawa selera dan pendekatan pemilih mungkin mengalami perubahan yang ketara pada pilihan raya umum akan datang.

Manakala kekuatan BN di segi tenaga manusia, kewangan dan keupayaannya menggula-gulakan pengundi tepat tidak tercabar, namun usaha mempengaruhi pengundi mungkin lebih sukar kerana ia tidak dapat memberi tumpuan seperti dalam pilihan raya kecil.

Trend di mana seorang Perdana Menteri baru memperoleh mandat besar pada pilihan raya umum pertamanya tetapi diikuti oleh kemerosotan sokongan pada pilihan raya umum berikutnya besar kemungkinan berterusan.

Adalah sukar bagi pemerintahan sekarang mengulangi kejayaan cemerlangnya pada pilihan raya umum 2004. Soalnya ialah sama ada pemilih bersedia untuk menghantar mesej yang jelas kepada BN mengenai ketidakpuasan hati mereka.

Thursday, April 19, 2007

Development Promises Are Not Vote-Buying?

A Kadir Jasin

[Anonymous comments will not be posted. Please use your real name or a suitable pseudonym. Please avoid seditious, defamatory and libellous statements. And, if possible, don’t call anybody bodoh (stupid) ok!]

UPDATE, 20 April

Faktor Najib, Anwar dan Khairy di Ijok

Seperti diramalkan, peristiwa yang berlaku pada hari penamaan calon semalam, 19 April, membuktikan bahawa BN akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kerusi DUN ini.

Bagi BN, kekurangan hatta satu undi pun sudah cukup untuk menjejaskan imejnya kerana ia berdepan dengan musuh psikologinya yang utama iaitu PKR dan Anwar Ibrahim.

BN tidak boleh kelihatan lemah daripada PKR dalam apa aspek sekalipun. Justeru itu, janji pilihan raya yang besar akan dibuat –mungkin lebih besar daripada di Pengkalan Pasir, Batu Talam dan Machap.

Lebih banyak pembesar dan perayu undi BN akan dikerahkan ke Ijok. Makan dan minum halal dan tidak haram, lembut dan keras pasti disajikan dengan seluas-luasnya. Teringat saya kepada waktu membuat liputan pilihan raya Sabah dan Sarawak pada tahun 1970’an dan 1980an di mana minuman keras menjadi senjata utama memancing undi.

Tidak cukup dengan itu, kempen yang berkisar di sekitar perwatakan pasti berlaku dan menjurus kepada character assassination.

Malah ia sudah pun bermula pada waktu penamaan calon dengan penggunaan istilah-istilah dan slogan-slogan tertentu.

Tiada siapa akan selamat daripada kempen selak dan pamer, show and tell ini – tidak Najib, tidak Anwar, tidak Khairy dan tidak juga dua calon terbabit.

Menyedari hal inilah agaknya Timbalan Perdana Menteri, buat pertama kali, bercakap secara terbuka kepada akhbar mengenai percubaan mengaitkan kes bunuh Altantuya dengan diri, pejabat dan rumah tangga beliau.

Begitu juga Anwar. Sebagai bekas orang nombor dua Umno, BN dan negara, beliau lebih daripada arif mengenai apa yang BN akan dan tidak akan lakukan untuk memenangi pilihan raya.

Pembabitan cergas naib ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, pasti menarik perhatian umum kepada Perdana Menteri yang berupa bapa mentuanya.

Para pemerhati dan pengkaji politik mungkin berminat membuat perbandingan antara Anwar yang sudah matang dengan Khairy yang masih mentah.

Seorang bekas menteri yang pada suatu waktu dulu sangat akrab dengan Anwar membuat kesimpulan berikut selepas dikunjungi oleh Khairy:

“Dia pandai mengambil hati. Dia adalah salinan karbon (carbon copy) kepada Anwar.”

Jadi, kalau tiga watak utama ini --- Najib, Anwar dan Khairy – bertembung di Ijok maka tiada apa yang kekal suci (sacred) dan rahsia (secret). Segala-galanya akan diselak dan dipamerkan -- show and tell.

ORIGINAL POST

AT the rate that the Barisan Nasional is using taxpayers’ money to win by-elections, I am afraid that many electors, taxpayers and traders may be hoping for such an event to take place in their constituencies.

But for that to happen, vacancies must first take place either due to the death, resignation or disqualification of their incumbent Members of Parliament or State Assemblymen.

Tens of million of ringgits had been promised in the last three by-elections namely Pengkalan Pasir in Kelantan, Batu Talam in Pahang and Machap in Melaka – all of which were won by the BN.

More will be promised in the upcoming Ijok by-election in Selangor, especially after the Election Commission, which is supposed to be independent, said it was okay to make such pledges.

The Sun quoted the EC publicity-loving chairman, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, as saying that “development promises by ministers to voters during an election cannot be considered as vote-buying.”

And with Parti Keadilan Rakyat deciding to field a heavyweight in the person of its treasurer and well-known corporate figure Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, the race for Ijok will almost certainly be hotter than the last three.

PKR must, at all cost, be put down. The BN, which will again be represented by the MIC, cannot afford to do worse than in the 2004 general election.

This is a mixed constituency of 12,310 registered electors, 50.6 per cent of whom are Malays, 28.3 per cent Indians and 20.9 per cent Chinese. In the 2004 general election, the BN won by a majority of 1,649, also against PKR.

With additional development allocations to be gained and not to mention extra income from renting out rooms and selling teh tarik, roti canai and nasi lemak to election workers, I am sure many electors, taxpayers and traders welcome by-elections.

And Divinity has been fair. Of the last three BN’s state representatives to die, one each came from Umno, MCA and MIC. It’s not surprising if the next one comes from Gerakan or any of the BN component parties in the Peninsula, Sarawak and Sabah.

By-election is a good time to extract an extra pound of flesh from the BN. But you must know how to do it. For that you can learn from voters in Pendang, Kedah.

This is where Tun Dr Mahathir Mohamad first won his Parliament seat in 1964 but lost it in 1969.

When it long-serving and much loved Pas MP, Datuk Fadzil Noor, who was also Pas president, died in 2002, the BN spared no effort to recapture the coveted seat.

Thousands of BN campaigners, including ministers, menteris besar and chief ministers, set up temporary homes and projects worth hundreds of million of ringgit were pledged. For its efforts and development pledges, the BN won with a 283-vote majority.

With the promises fulfilled or in the process of being implemented, the voters said thank you to the BN and returned Pas to the constituency in the 2004 general elections with a 50-vote majority.

But that’s Pendang. It’s among the rare Malay majority seats where the voters are used to changing allegiance. It also happened in Pengkalan Pasir when the voters threw out Pas in favour of the BN.

Will the Ijok electors do likewise? The BN will apply all its financial and manpower might to make sure that it doesn’t happen.

But PKR had defeated the BN in a by-election before. Remember Lunas, Kedah in 2000 when Saifuddin Nasution of PKR (then Keadilan) defeated the BN Indian candidate?

Lunas was very much like Ijok – semi-urban, with Malay majority (43.3 per cent). Despite Chinese voters (37.2 per cent) out-numbering Indians (19.1 per cent), the BN put up an Indian candidate.

Friday, April 13, 2007

PM Marah Pegawai Berbalah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan kesat tidak akan disiarkan.]

TAJUK Berita akhbar arus perdana hari ini:

Utusan Malaysia – PM Marah Paip Bocor
Berita Harian -- PM Arah Henti Berbalah
The Star – PM: Stop It:
The New Straits Times -- Stop It, Says PM
The Sun -- Stop Bickering!

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi naik berang kerana: (1) Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum (Timbalan Menteri di kementerian beliau sendiri) berbalah dengan Polis mengenai statistik jenayah; (2) Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Adam Abdul Hamid berbalah dengan Ketua Pengarah Annas Khatib Jaafar; dan (3) Paip air di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pecah.

Berita Harian memetik Perdana Menteri sebagai berkata: “Berbalas kenyataan menerusi media apabila berhadapan dengan masalah bukan cara betul untuk menanganinya.“Bercakap kepada media tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya memburukkan lagi keadaan.”

Abdullah berkata demikian kepada wakil media massa selepas merasmikan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Kuala Lumpur semalam (12 April).

The Sun melaporkan: The Prime Minister yesterday ordered those engaged in intra-departmental quarrels via the media to desist immediately. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi said the accusations exchanged in the newspaper were tainting the government’s image and making the lose confidence in the administration.

NST melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata: “They should sit down and resolve the matter among themselves. Not talk to the media and make it public.”

Saya kita bercadang membuat sebarang kesimpulan kepada arahan terbuka Perdana Menteri itu. Saya yakin cukup banyak rakyat Malaysia yang membaca akhbar-akhbar di atas untuk memahami kenyataan beliau itu.

Saya sekadar memohon kesempatan dan meminta izin untuk mengemukakan beberapa soalan untuk memperjelaskan hal ini.

1. Kalau Johari, PRDM, Adam dan Annas Khatib Jaafar menggunakan media massa untuk mendedahkan pekung di dada, adakah Perdana Menteri juga perlu menggunakan media massa untuk mengarahkan mereka supaya pekung yang jijik itu ditutup?

2. Apakah tidak lebih baik kalau Perdana Menteri membisikkan ke telinga para-para petugas yang berbalah itu agar berhenti atau, kalau beliau mahu, beliau boleh memulas telinga mereka?

3. Apakah dengan memberhentikan perbalahan ini di muka akhbar boleh menyelesaikan soal pokok yang mencetuskannya iaitu jenayah yang semakin menjadi-jadi di Ibu Negara dan laporan rasuah Adam terhadap LKIM?

4. Sembuhkan pekung di dada dengan kita hanya menutupnya atau apakah penyakit berjangkit itu perlu didedahkan, dicuci dan diubati?

4. Which is more important -- the government’s image or the truth about the incidence of crimes in Kuala Lumpur and allegation of corruption against the Fisheries Development Authority?

5. Would the people still not lose confidence in the administration if these questions are left unanswered because a gag order has been issued?

6. Bukankah soal-jawab antara Johari dengan Polis dan antara Pengerusi LKIM dengan Ketua Pengarahnya berupa sebahagian daripada kebebasan, keterbukaan dan toleransi yang diuar-uarkan sebagai sempadan yang memisahkan Pentadbiran Abdullah yang dikatakan demokratik dengan Pentadbiran Mahathir yang kononnya autokratik?

7. And is the media to be used only to project the positive image of the government and not for seeking the truth?

Itu sahaja kemusykilan pertanyaan saya. Mohon maaf kerana tertanya. Sekadar mematuhi ungkapan malas bertanya sesat jalan.

Tuesday, April 10, 2007

Jangan Marah, Sekadar Bertanya

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan kesat tidak akan disiarkan.]

APAKAH yang telah terjadi kepada negara kita? Apakah yang sedang terjadi kepada negara kita. Dan apakah yang mungkin terjadi kepada negara kita?

Sila lapangkan sedikit masa untuk membaca berita berikut yang disiarkan oleh Gulf Daily News, akhbar berbahasa Inggeris yag diterbitkan di Bahrain berbunyi:

“Formula One boss Bernie Ecclestone was quoted saying the Sepang circuit was getting "shabby" from lack of care just hours before yesterday's Malaysian Grand Prix.


"It has become, if you don't mind, like an old house that needs a bit of redecorating," the New Straits Times quoted him as saying in an interview.

"It's starting to get a little shabby and looks a bit tired."His remarks come with wealthy neighbouring Singapore making noises about trying to host a Formula One race, something that has already drawn a sharp rebuke from Malaysia's ministry for sport.

Ecclestone acknowledged that it was difficult to keep Sepang tidy because of its large 260-hectare size but said the circuit had to put its best face forward."The circuit itself is fine, it's the general structure around," he said.

"There is rubbish all over the place and it's not really a good sign for Malaysia. We're on worldwide television and it needs to look good, much like in the beginning."Malaysia hosted its first F1 Malaysian Grand Prix in 1999 and last year promoters Sepang International Circuit (SIC) renewed the contract for another five years.

The Star daily meanwhile said Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi had met with Ecclestone on Saturday to discuss extension of the Formula One contract beyond 2010.

SIC chairman Mokhzani Mahathir said Ecclestone's Formula One Management would hand over a draft agreement soon, and that the ball was in Malaysia's court.

We will study the draft agreement and see whether it is feasible to extend," Mokhzani was quoted as saying.”

Sekitar Litar F1 Sepang “shabby” – compang-camping?

Apa sudah jadi dengan kemudahan kelas dunia itu?

Kenapakah ia mendapat ulasan yang begitu negatif dalam masa yang begitu singkat daripada seorang yang sebelum ini begitu kuat menyokong Litar F1 Sepang?

Sampah di merata tempat.

Itulah yang dikatakan oleh orang nombor satu perlumbaan F1 itu.

Sampah sarap di merata tempat di acara nombor satu negara pada Tahun Melawat Malaysia?

Apa sudah jadi? Atau apakah ini permulaan kepada kempen psikologi untuk menjatuhkan imej Sepang supaya perlumbaan F1 boleh berpindah ke Singapura?

Negara pulau yang dinobatkan sebagai jiran istimewa Malaysia dan “golf buddy” yang sangat akrab sudah pun membida untuk menjadi tuan rumah F1 mulai tahun hadapan.

Para pembesar negara begitu marah apabila blogger berkata mereka atau jabatan mereka tidak cekap. Mereka cap blogger penganggur dan pembohong.

Sekarang pembesar Zainuddin Maidin selaku kepala jentera propaganda nasional mahu blogger didaftarkan kerana kononnya ada blogger yang cuba menjatuhkan kerajaan.

Aduh, hebat dan jahatnya si blogger-si blogger ini. Goblok kamu sang blogger!

Bernie Ecclestone kata Litar F1 kita dan persekitarannya “shabby” dan sampah sarap merata-rata.

Tetapi apa pula yang hendak kita kata tentang kenaikan 40 peratus kadar jenayah di ibu negara kita pada saat-saat para pembesar dan lidah rasmi mereka mendabek dada mengatakan “the good times are here again” (saat gemilang kembali semula)?

Sila baca laporan Agensi Berita Perancis (AFP) berikut yang berbunyi:

“Malaysian police will be made to explain a 40 percent surge in crime this year in capital Kuala Lumpur, with fears it will undermine a drive to boost tourism, reports said Sunday.

Deputy Internal Security Minister Johari Baharum said he wanted an explanation for the rising rate in the first three months of the year, which coincides with the start of a campaign to attract more visitors.

Malaysia is aiming to boost tourist arrivals to 20.1 million in 2007 up from some 17.5 million last year."We are very concerned about the increase in crime. I have been informed that over the last three months, there has been a 40 percent increase in crime in Kuala Lumpur," Johari was quoted as saying in the Star daily.

The minister said crimes on the rise include bag snatch thefts, gambling and vice activities including prostitution.

"This year is Visit Malaysia Year and we do not want the problem to smear the country's image," he was quoted as saying by the Bernama news agency.

The Malaysian government has been battling a soaring crime rate amidst criticism that the country's poorly-paid police force is inept and corrupt.

According to official statistics, the number of criminal incidents jumped 45.1 percent from 2003 to 2006, with 232,620 criminal cases recorded last year.”

Apakah ini bermakna dalam masa tiga tahun masyarakat bertamadun (hadhari) dan sivil kita telah mengalami kelunturan yang begitu ketara?

Atau apakah wujud kekangan antara yang tersurat dengan yang tersirat, antara yang nyata dengan yang tersembunyi dan antara khabar dan rupa ?

Mungkin saudara saya pembesar Zam yang baru pulang dari konsultasi dengan rakan sejawatnya dari Republik Singapura tentang bagaimana menangani para blogger yang jahat-jahat itu bisa memberi penjelasan.

Mengapakah negara kita menjadi semakin kotor, persekitaran Litar F1 tidak terurus dan jenayah di ibu negara semakin menjadi-jadi?

Sekadar bertanya.

Tuesday, April 03, 2007

Bila Mahathir dan Razaleigh Berkongsi Pentas

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan kesat tidak akan disiarkan.]

PADA hari Jumaat 30 Mac dua pemimpin veteran tanah air yang pernah bermusuh – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah – berkongsi pentas.

Tempatnya ialah Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan acaranya ialah Ceramah Agung Tahunan anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu.

Tengku Razaleigh adalah ucaptamanya dan tajuk pembentangan beliau ialah “Pemikiran dan Visi Tun Abdul Razak Dalam Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia Merentas Sempadan Etnik”.

Dr Mahathir yang mendengar pidato Tengku Razaleigh dari awal hingga akhir kemudian dijemput – atau lebih tepat digesa oleh hadirin – untuk membuat ulasan.

Beliau agak terkejut kerana dia tidak dijadualkan membuat sebarang ucapan.

Dalam huraian ringkasnya Dr Mahathir menyebut mengenai perhubungan beliau yang lama dan berliku dengan Tengku Razaleigh.

Beliau bercakap mengenai turun naik, suka duka, setuju dan tidak setuju dalam politik, mengenai toleransi beliau terhadap tentangan dan perbezaan pendapat dan mengenai beliau membawa masuk semula hampir kesemua penentangnya ke dalam Umno dan Kabinet.

Tanpa menyebut nama, beliau menceritakan bagaimana beliau melantik seorang yang pernah menentangnya menjadi “putera mahkota” dan orang itu hari ini menjadi “maharaja” politik Malaysia.

Beliau bercerita bagaimana Tengku Razaleigh hampir-hampir kembali menganggotai Kabinetnya tetapi beliau dipaksa “review” keputusannya kerana Tengku Razaleigh menyerangnya dalam temu bual dengan majalah Far Eastern Economic Review (sekarang sudah ditutup).

Tengku Razaleigh dalam pidatonya yang kemas dan mantap menyesali tindakan-tindakan yang menyebabkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak gagal mencapai matlamatnya.

Beliau lebih kecewa kerana kini Umno dan pemerintahan yang dipeloporinya bukan sahaja tidak lagi komited kepada idealisme DEB, malah bulat-bulat menolak serta bertindak dengan cara yang mensabotaj keunggulan visi Tun Abdul Razak itu.

Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh merujuk kepada konsep pokok Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Development Region) dan pewujudan dua zon bebas (Free Access Zone) sebagai contoh mutakhir penolakan DEB oleh pentadbiran sekarang.

Kedua pemimpin veteran itu bimbang aset negara, khasnya yang dipegang oleh Bumiputera, akan jatuh ke tangan orang asing dan tidak mungkin boleh ditebus kembali.

Tengku Razaleigh merujuk kepada penaklukan ekonomi dan ketenteraan oleh Israel ke atas Palestin manakala Dr Mahathir kepada penjualan Singapura kepada British.

Sejak majlis itu, banyak orang bertanya apakah “significance” atau pentingnya pertemuan dua bekas pemimpin veteran itu dan hujah-hujah yang mereka ketengahkan?

Pentingnya pertemuan itu, pada hemat saya, terletak kepada faktor-faktor berikut:-

1. Ia berlaku di dalam kawasan sebuah institusi ilmu yang ulung di Malaysia di mana banyak pemimpin negara dilatih, kesedaran politik dan sivik disemai dan dasar negara diilhamkan. (Tahniah kepada kepemimpinan UM kerana terus membuka pintunya kepada percambahan idea dan penjanaan ilmu.);

2. Ia melibatkan dua pemimpin veteran yang terbukti kecerdikan, keluasan pemikiran dan sumbangan kepada negara;

3. Dua pemimpin ini pernah bersetuju dan tidak bersetuju demi perjuangan untuk agama, negara dan bangsa;

4. Dua pemimpin veteran ini kini tersingkir daripada arus perdana politik negara, khasnya politik Umno, kerana mereka terus bersuara memberi amaran dan ingatan tentang ancaman kepada masa depan bangsa Melayu, Umno dan negara;

5. Idea-idea yang mereka ketengahkan adalah idea-idea yang penting kepada penerusan kontrak sosial antara pelbagai kaum di Malaysia yang kini semakin dipertikaikan kerana orang Melayu sendiri yang berupa peribumi, bangsa induk dan kumpulan majoriti sudah tidak lagi berani, tahu atau berasa perlu untuk mempertahankan keistimewaan mereka;

6. Walaupun media massa arus perdana yang dikawal pemerintah tidak memberi pendedahan kepada pertemuan dua pemimpin itu dan kepada hujah-hujah mereka, namun cukup banyak orang mengetahuinya. Ini secara langsung membuktikan bahawa cukup ramai rakyat Malaysia kini mendapat maklumat daripada media massa alternatif seperti laman berita Internet dan blog; dan

7. Yang paling menarik dan mungkin juga terpenting ialah hakikat bahawa ada pemimpin akar umbi Umno seperti di Kulai Besar, Johor dan badan-badan bukan kerajaan Melayu seperti Persatuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu yang berani mengambil risiko menjemput dua pemimpin veteran ini untuk menjana ilmu.

Thursday, March 29, 2007

Singapura Akan Terus Gugat Kita

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan dan perkauman tidak akan disiarkan.]

UPDATE, 30 MAC

TENGKU Razaleigh Hamzah berucap. Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar dan kemudian mengulas.

Dua veteran politik tanah air yang pernah bermusuh hari ini berkongsi pentas di Universiti Malaya. Tengku Razaleigh memberi ceramah bertajuk “Pemikiran dan Visi Tun Abdul Razak Dalam Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia Merentas Sempatan Etnik” anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu.


Bekas Menteri Kewangan itu, antara lain, berhujah: “Memang bukan tugas kerajaan untuk berniaga. Tanggung jawab kerajaan, antara lain, adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara, misalnya dengan mewujudkan keadaan yang boleh menarik pelabur asing untuk melabur di negara ini.


Gambar ihsan: Malaysia Today

“Tetapi kerajaan yang dipilih oleh rakyat juga mempunyai tanggungjawab moral dan tanggungjawab memelihara kedaulatan negara dan maruah atau jati diri bangsa. Ini bererti bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa bumi atau kawasan ekonomi kita ini tidak dijadikan milik ekonomi kuasa-kuasa asing sehingga kita nanti akan menjadi tawanan kuasa-kuasa ekonomi dan politik luar, dan rakyat yang memilih kerajaan itu seolah-olah menumpang di kawasan ekonomi milik asing di tanah air mereka sendiri.

“Saya kebetulan terbaca sebuah artikel yang tersiar di dalam sebuah akhbar di Bangkok sewaktu saya berada di sana baru-baru ini. Tajuknya ialah “From Money Politics to Moral Politics’. Menurut artikel itu, negara Thai sedang pulih daripada kerosakan politik wang atau rasuah politik pentadbiran Thaksin. Penulisnya berkata “While Thailand recovers from the excesses of the previous administration, our people need to be shown that modesty, honesty, hard work and moderation are the keys to a harmonious society”.

“Tun Razak cuba mewujudkan masyarakatnya yang harmonious itu, baik dari segi kemakmuran ekonominya, lebih-lebih lagi dari segi keharmonian etnik yang cuba dibina melalui dasar pelajaran, dasar pembangunan ekonomi dan dasar kebudayaan kebangsaan seperti yang telah kita jelaskan sebelum ini. Tetapi jika ‘kemajuan ekonomi’ atau pelaburan asing digalakkan oleh politik wang seperti yang berlaku di Thailand itu, kerajaan mempunyai tanggungjawab moral politik untuk mencegah perkembangannya sebelum keharmonian masyarakat dan keselamatan negara ini tergugat.

“Kita tidak perlu takut kepada pelabur asing asal sahaja pelabur asing itu tidak dibiarkan menakluki kawasan kita seperti yang dilakukan oleh Israel yang menakluki kawasan Tebing Barat dan kawasan-kawasan lain Palestin melalui pencerobohan tentera. Pelaburan asing jangan dibiarkan berkembang menjadi penceroboh atau perampas ekonomi di negara ini.

“Yang kita khuatir ialah politik wang dan amalan rasuah yang datang dari dalam diri bangsa kita sendiri – bangsa kita yang berkuasa menentukan nasib bangsa dan negara menurut kehendak mereka (pihak yang memimpin) (dan) tidak menurut kehendak rakyat, sehingga anak cucu kita nanti tidak mempunyai apa-apa harta lagi untuk meneruskan kehidupan mereka di tanah air sendiri.”

Kebetulan Dr Mahathir juga bercakap panjang lebar mengenai bahawa memberi hak keluar-masuk tanpa pasport dan menjual hartanah kepada orang asing di dua kawasan khas di Johor dalam dialognya dengan ahli Umno dan penduduk Kulai Besar kelmarin (29 Mac).

Posting Asal

ATAS nama globalisasi, perdagangan bebas, persaingan sihat dan survival, Singapura akan terus “mensabotaj” ekonomi Malaysia.

Ranting zaitun yang pemerintah kita hulurkan dengan begitu mesra kepada negara satu parti itu tidak bermakna; ibarat bertepuk sebelah tangan.

Beberapa hari sebelum kita menjadi tuan rumah Perlumbaan F1 di Sepang, Reuters melaporkan bahawa Jumaat ini Singapura akan mengumumkan bidanya untuk menjadi tuan rumah F1.

Apa akan terjadi kepada F1 Sepang?

Kalau kita masih ingat tindak tanduk Singapura ketika krisis matawang 1997, kita tidak boleh terlalu yakin dengan masa depan F1 Sepang.

Kini mereka bersaing dengan membuka kasino mereka sendiri dan mereka mungkin setuju projek kereta api laju YTL kerana mereka maju memajukan tanah Keretapi Tanah Melayu di bumi mereka.

Tatapi meraka tidak mahu berunding mengenai perjanjian air kerana perjanjian sekarang menguntungkan mereka. Mereka mendapat bekalan air murah daripada kita.

Adakah Ini balasan sebuah negara jiran yang kononnya sangat akrab dengan kita setelah pemerintah kita menjajikan kunci emas kepada mereka di bumi Johor dengan mewujudkan SJER?

Di mana maruah dan kebijaksanaan kita?

Tuesday, March 20, 2007

Bunuh Diri Jika Najib Cabar Abdullah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur hasutan, fitnah atau kesat tidak akan disiarkan. Terima kasih.]

NAJIB cabar Abdullah?

Satu tajuk yang menarik yang pada akhir-akhir ini menjadi bahan perbualan umum.

Apakah ada kebenaran kepada cakap-cakap ini atau sekadar penyedap mulut sahaja?

Cakap-cakap seumpama ini cukup hangat sekarang sehingga memaksa Najib menafikannya.

Namun, dalam politik tiada apa yang mustahil. Ungkapan Inggeris menyifatkan politik sebagai “the art of the possible” – segala-galanya mungkin terjadi dan boleh terjadi.

Kita tidak perlu memandang jauh ke dalam sejarah. Sebelum tahun
1998 tiada banyak yang menyangka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir tahun itu, Abdullah tiada berada dalam radar pewarisan. Umum, pada waktu itu, beranggapan selepas Mahathir adalah Anwar dan selepas Anwar adalah Najib.

Tiada terlintas di fikiran mereka bahawa cinta lara Mahathir-Anwar akan porak-peranda, Abdullah dibawa balik dari pinggiran dan Najib dipinggirkan.

Takdir yang memainkan peranan mengembalikan Abdullah dari pinggiran dan meminggirkan Najib telah juga bertanggungjawab meminggirkan Mahathir dari arus perdana politik Umno dan negara.

“Keperdana-menterian” Abdullah adalah penentuan mutlak dan mutakhir takdir.

Apakah takdir sedang atau akan menentukan yang Najib akan mencabar Abdullah seperti Anwar mencabar Mahathir?

Pandangan peribadi saya (saya ulangi pandangan peribadi) mengatakan bahawa Najib tidak akan mencabar Abdullah kerana Najib bukan Anwar dan Abdullah bukan Mahathir.

Najib tidak mempunyai perwatakan peribadi dan politik seperti Anwar. Apa pun yang dikatakan mengenai Anwar, dia adalah seorang aktivis politik yang gigih, berani dan karismatik.

Anwar datang dari akar umbi. Dia membina kerjaya politiknya melalui gerakan belia, khususnya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Dia keluar masuk penjara akibat politik.

Daripada politik akar umbi inilah Anwar, secara revolusi, melahirkan banyak penyokong dan pengikut. Mereka tidak segan silu menyatakan taat setia kepada beliau dan beliau tidak segan silu mengiktiraf kesetiaan mereka.

Maka Anwar mengelilingi dirinya dengan penggerak politik, korporat, akademik, pentadbiran dan kemasyarakatan yang komited dan berani.

Najib pula dibentuk dan dicanai oleh politik kerana dia adalah anak seorang Perdana Menteri dan Orang Besar Negeri (Pahang). Dalam erti kata lain, politik membentuk Najib. Ledakan emosi akibat kematian awal Tun Abdul Razak Hussain memudahkan kemasukan Najib ke dalam arena politik.

Kalau Anwar membina landasan politiknya melalui revolusi, Najib memilih jalan evolusi. Perjalanannya dipermudahkan oleh Almarhum Tun Hussein Onn yang berupa bapa saudaranya (melalui perkahwinan) dan oleh Dr Mahathir yang terhutang budi kepada bapanya.

Melalui jalan selamat itu Najib menyemai dan membajai jaringan politiknya sehingga menjadi Naib Presiden Umno paling popular dari aspek undi.

Tetapi tidak seperti Anwar, Najib tidak mempunyai penyokong dan pengikut yang fanatik. Buat waktu ini saya tidak nampak Najib mempunyai “penyokong berani mati.” Ini tidak bermakna saya menafikan kewujudan sokongan yang tersembunyi dan meluas untuk beliau.

Najib bukan Anwar dan Abdullah bukan Mahathir. Tanpa sokongan menyeluruh dan terbuka, Najib mustahil akan atau boleh mencabar Abdullah.

Abdullah bukan Mahathir kerana sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Abdullah lebih kuat daripada Mahathir. Kuat dalam konteks ini menjurus khusus kepada kuasa politik, pentadbiran dan kewangan.

Ya, Abdullah lebih kuat daripada Mahathir kerana Mahathir secara sedar memperkuatkan kedudukan sesiapa sahaja yang menyusuri beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Ini berlaku apabila Dr Mahathir dan anggota pasukannya yang dilabelkan sebagai "Team A
terselamat dalam perebutan kuasa tahun 1987 telah meminda perlembagaan parti untuk menyukarkan cabaran terhadap penyandang, khasnya Presiden dan Timbalan Presiden.

Selaras dengan sifatnya sebagai “political survivor” yang bijak memanipulasikan suasana politik, Abdullah memperkukuhkan kedudukannya dengan memusatkan kuasa eksekutif di sekeliling jawatan Perdana Menteri dengan menyandang jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Inilah kali pertama dalam sejarah di mana Perdana Menteri memegang dua portfolio utama yang lain, khususnya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Ini diperkuatkan lagi dengan pelaksanaan “sistem presiden” (presidential system) di mana beliau melantik pegawai-pegawai khas dan pembantu-pembantu peribadi yang bukan dari Perkhidmatan Awam, Umno atau ikhtisas.

“Pembantu-pembantu Presiden” ini sangat berpengaruh di Jabatan Perdana Menteri, kementerian-kementerian, badan-badan korporat, khasnya GLC, dan organisasi-organisasi maklumat dan propaganda.

Justeru itu, adalah jelas bahawa Najib bukan sahaja tidak berupaya untuk mencabar Abdullah malah beliau tidak pun berkemampuan untuk berbeza pendapat dengan Perdana Menteri secara terbuka.

Malah sejak dua tahun kebelakangan ini Najib terpaksa memainkan peranan sebagai pelindung (defender) dasar-dasar dan tindakan-tindakan kerajaan yang tidak popular seperti menaikkan harga petrol, diesel, gas memasak, tarif elektrik dan tol lebuh raya.

Ini adalah kerana beliau lebih berkemampuan untuk berartikulasi mempertahankan dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang ditentang ramai itu. Adalah hakikat bahawa Najib mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang boleh dikatakan menyeluruh mengenai isu-isu ekonomi dan perniagaan.

Apa pun emosi dan tanggapan umum mengenai pentadbiran sekarang, baik dan buruk untung dan rugi nasib rakyat masa ini dan pada masa akan datang bergantung kepada keupayaan Najib menerima nasib dirinya sebagai orang nombor dua parti dan kerajaan.

Dia tidak boleh mengatakan tidak kerana dia juga terbabit meminda Perlembagaan Umno yang memberikan kuasa yang begitu besar kepada Presiden dan justeru itu Perdana Menteri.

Dan kalau takdir masih menghendakinya, dia masih ada harapan menjadi Perdana Menteri menggantikan Abdullah, mungkin tidak setahun dua ini tetapi satu atau dua penggal lagi.

Thursday, March 15, 2007

Bukan Penembak Curi Yang Ditakuti

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur hasutan, fitnah atau kesat tidak akan disiarkan. Terima kasih.]

UPDATE, 18 Mac

PORTAL berita Malaysiakini melaporkan bahawa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah mengarahkan akhbar di bawah kawalannya agar “tidak mencetak atau memberi sebarang pertimbangan kepada makalah Internet yang didapati tidak berasas atau berasaskan kepada spekulasi semata-mata.”

Arahan bertanggal 13 Mac memberi amaran kepada media massa arus perdana agar tidak memetik atau menyiarkan rencana portal berita dan blog yang “anti-Kerajaan.”

Malaysiakini mendakwa memperoleh salinan surat yang ditandatangani oleh seorang pegawai Unit Kawalan Penerbitan dan Al-Quran bernama Che Din Yusof bagi pihak Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan.

Ini adalah satu lagi contoh kebimbangan pemerintah terhadap pengaruh saluran maklumat Internet seperti portal berita dan blog, dan kawalan yang semakin ketat ke atas media massa arus perdana.

Namun ada juga kebaikan kepada arahan terbaru ini. Ia memaksa media massa arus perdana agar memberi perhatian kepada maklumat Internet dan mendalami kesahihannya.

Kesimpulannya media massa arus perdana boleh menyiarkan bahan portal berita dan blog jika didapati berasas seperti pendedahan bahawa Kerajaan membeli jet mewah berharga RM200 juta untuk kegunaan pembesar negara baru baru ini.

Sekadar kegusaran --- apakah baik bagi media massa arus perdana, kepada kebebasan akhbar dan kepada kewibawaan pengarang media arus perdana menerima “warkah” sedemikian dari pemerintah?


POSTING ASAL

PERBUATAN memburuk-burukkan blog dan laman berita web di akhir-akhir ini bukan kebetulan.

Ia adalah satu kempen yang diilhamkan oleh pemilik dan pengendali jentera maklumat dan propaganda rasmi.

Kalau kita masih ingat, tembakan pertama terhadap blogger dilepaskan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Air, Datuk Shaziman Abu Mansor Ogos lalu. Beliau menyifatkan sesetengah blogger dan pengulas blog sebagai penembak curi.

Saya yakin walaupun Shaziman mengherdik blogger dan pengulas blog yang menembak curi, beliau sebenarnya lebih takut kepada blogger dan pengulas blok yang memperkenalkan diri mereka.

Walaupun majoriti blogger adalah orang biasa yang mengguna Internet sebagai tempat menyimpan catatan (log) peribadi, semakin banyak wartawan dan golongan profesional lain kini menggunakan blog sebagai saluran komunikasi.

Inilah yang ditakuti oleh pemerintah dan elit politik. Mereka bimbang keupayaan mereka membentuk dan menguasai pendapat umum melalui saluran tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen dihakis oleh saluran baru maklumat ini.

Tuduhan rambang Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku (Teuku) Adnan Tengku (Teuku) Mansor bahawa blogger umumnya wanita, menganggur dan berbohong adalah manifestasi “ketakutan” elit politik parti pemerintah terhadap pengaruh blog dan laman berita web yang semakin ketara.

Bukti kebimbangan mereka menjadi mutakhir dan sahih apabila akhbar New Straits Times berasa perlu mengerah seorang penulis kolum untuk membelasah blogger.

Penulis yang diupah itu (yang makan gaji) antara lain berkata sfera blog tempatan adalah tempat bermastautin orang yang cacat kehidupan dan ahli tilik yang terpinggir.

Katanya hujah-hujah bodoh dan melulu mereka membuktikan mereka tidak berdaya dan tidak berhak untuk mendapat kerja sepenuh masa.

Penulis yang diupah itu menambah, khabar angin, tuduhan melulu, separa-kebenaran dan pembohongan mutakhir adalah barang jualan mereka dan piawaian, prinsip dan etika diketepikan.

[Malangnya dia tidak pula menyebut bahawa sampai hari ini NST tidak memohon maaf atau menyiarkan surat Tun Dr Mahathir Mohamad memperbetulkan kesilapan laporan mengenai pertemuan beliau dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Tokyo tahun lalu.)

Isunya lebih besar daripada blogger lawan media arus perdana atau Teuku Adnan lawan blogger wanita. Isunya ialah semakin banyak bekas wartawan media massa arus perdana kini menjadi blogger dan banyak wartawan media massa arus perdana membaca blog dan mencuri-curi mengulas dalam blog.

Dalam konteks yang lebih luas blog dan laman berita web berkemungkinan besar menjadi pemangkin kepada pertembungan generasi pada pilihan raya umum akan datang.

Adalah tidak mustahil bahawa pilihan raya umum nanti akan menjadi gelanggang perentapan generasi yang akan menyaksikan pertembungan antara generasi lama dengan generasi baru.

Manakala generasi lama terikat dengan norma tradisional seperti menyokong parti hidup atau mati, taasub kepada personaliti bergantung pada saluran maklumat tradisional dan buta IT, generasi baru pula bebas daripada politik kepartian, tidak bergantung pada saluran maklumat tradisional dan celek IT.

Pilihan politik generasi muda dijangka lebih menjurus kepada isu daripada taat setia kepada parti atau personaliti.

Inilah asas ketakutan yang menyebabkan orang seperti Shaziman, Teuku Adnan dan penulis kolum upahan memaki hamun blogger dan pengendali laman berita web.
Shaziman, Teuku Adnan dan elit politik tidak perlu takut kepada penembak curi yang “berbohong.” Kebenaran akan membebaskan mereka. Tetapi penembak sasar (sharpshooter) lain halnya!

Monday, March 12, 2007

Perihal GLC Yang Ingkar dan Blogger Pembohong

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur hasutan, fitnah atau kesat tidak akan disiarkan. Terima kasih.]

TIGA pembesar Umno iaitu Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Encik Khairy Jamaluddin dan ahli Majlis Tertinggi, Tan Seri Abdul Rahim Tamby Chik – dilaporkan begitu berang.

Mereka dikatakan sangat marah kepada pengurusan kanan GLC kerana gagal hadir kongres yang bertujuan membuat anjakan kepada penyertaan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Pegawai-pegawai atasan syarikat yang berkaitan kerajaan itu tidak hadir kongres bertajuk Jihad Ekonomi Melayu anjuran bersama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Pemuda Umno dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Rahim adalah presiden Gabem.

Kongres juga mendengar bagaimana GLC tidak teragak-agak bersaing dengan usahawan Melayu/Bumiputera, menarik balik kontrak Bumiputera dan menggantikan pembekal Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Saya tidak bertujuan mengulas lanjut hal ini kerana ini cerita lama. Saya sekadar ingin bertanya:

1. Mengapakah GLC begitu berani mengingkari dasar-dasar kerajaan dan memandang remeh usaha memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan perniagaan?

2. Bukanlah Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) sendiri pada awal pentadbiran Hadharinya mengarahkan GLC agar tidak bersaingan dengan Bumiputera atau mengambil jalan mudah membuat keuntungan dengan mengambil alih usaha niaga Bumiputera yang berdaya maju?

3. Bukankah kerajaan sendiri yang mengenakan Indeks Kunci Prestasi (Key Performance Index) yang antara lain menjadi keuntungan sebagai misi utama GLC?

4. [Dengan maaf dan tanpa prejudis]. Bukankah banyak daripada pengurus kanan GLC hari ini dikatakan begitu akrab dengan dan sangat hormati kepada Saudara Khairy?

5. [Dengan maaf dan tanpa prejudis]. Bukankah Tingkat Empat JPM dan Sri Perdana dikatakan begitu berpengaruh ke atas GLC dan pengurusnya?

6. Dan adakah adil bagi pembesar politik negara, termasuk Hishammuddin, Khairy dan Rahim, mengherdik pengurusan GLC kerana bersaing dengan Bumiputera sedangkan kerajaan sendiri yang mengalih hala tuju GLC daripada “pembinaan kapasiti ekonomi” (economic capacity building) kepada mencari keuntungan?

Blogger Pembohong

Laporan media massa, laman berita Internet dan blog memetik Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku (Teuku) Adnan Tengku (Teuku) Mansor Khamis lalu (8 Mac) sebagai menyifatkan pengendali blog (bloggers) “pembohong” dan 80 peratus daripada mereka adalah wanita yang tidak mempunyai pekerjaan.

"Kesemua bloggers adalah pembohong, mereka menipu orang ramai dengan menggunakan pelbagai helah. Berdasarkan apa yang saya difahamkan, dari 10,000 bloggers yang menganggur, 8,000 adalah wanita."

Saya tidak ambil hati dan tidak marah kepada pembesar Umno itu. Sekarang zaman pembesar melatah, marah-marah dan berang-berang.

Malah saya bersimpati dengan mereka kerana bloggers dan laman berita web “are really getting on their nerves.”

Jahat sungguh para blogger ini!

Saya Cuma hendak tanya bapak menteri soalan-soalan berikut:

1. Megapa banyak rakyat jelata Malaysia, khasnya wanita, menganggur?

2. Bukankah lebih baik orang menganggur atau separuh menganggur (wanita atau lelaki) menjadi blogger daripada menjadi penyalahguna kuasa, perasuah, penyamun, penyangak dan penagih dadah?

3. Kalau semua blogger “pembohong” kenapakah pembesar seperti Tengku Adnan perlu layan atau takut kepada “pembohongan” mereka?

4. Kenapa pembesar perlu takut dengan apa yang dihujahkan oleh pembohong blog sedangkan para pembesar mempunyai media massa arus perdana untuk membela dan mempertahankan mereka?

5. Adakah para pembesar khuatir bahawa tidak semua blogger penganggur dan pembohong?

Sama-samalah kita fikirkan. Saya tidak hairan jika masanya tiba apabila mereka menafikan laporan media dan menyalahkan media kerana kononnya tersalah lapor atau memutar-belitkan hujah.

Sementara itu, Selamat Bercuti-Cuti Malaysia dan terima kasih.

Sunday, March 04, 2007

Ekonomi: Antara Fakta dan Spin Media

A Kadir Jasin

[APOLOGIES, comments may not be moderated for the next 20 hours or longer. Versi yang diperbetulkan. Komen menggunakan pengenalan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur hasutan, fitnah atau kesat tidak akan disiarkan. Terima kasih.]


BERGANTUNG kepada siapa dan daripada sudut mana ekonomi negara dinilai dan dianalisis, perisytiharan pemerintah bahawa “the good times are here again” (hari-hari yang cerah kembali bertandang), mempunyai pelbagai erti dan implikasi.

Antara fakta yang meyakinkan para pembesar negara bahawa hari-hari yang semilang kembali bertandang adalah pemulihan ketara indeks komposit Bursa Malaysia (KLCI) sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan perdagangan negara yang melepasi RM1 trilion.

Antara 30 Disember 2005 dan 19 Februari lalu, indeks komposit meningkat 42.1 peratus kepada 1,278.2 mata. Tahun ini sahaja, harga di Bursa Malaysia meningkat 17 peratus menjadikan prestasinya dari aspek harga yang terbaik di Asia bagi dua bulan pertama 2007.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak kekal lama. Pada hari Selasa 27 Februari harga jatuh dengan teruk selaras dengan pasaran saham utama dunia akibat kebimbangan bahawa pertumbuhan ekonomi global mungkin merosot. Sewaktu rencana ini ditulis (Ahad 4 Mac) kejatuhan harga di Bursa Malaysia masih belum boleh disekat.

Walaupun prestasi Bursa Malaysia semakin cemerlang, namun ia tidaklah sehebat Negeri China yang meningkat 157.9 peratus, Indonesia 56.2 peratus, India 51 peratus tetapi lebih baik daripada Singapura yang naik 40.3 peratus, Hong Kong 38.8 peratus dan Taiwan 19.3 peratus.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dipetik oleh akhbar kewangan The Edge sebagai berkata asas (fundamental) ekonomi Malaysia tetap teguh dan kejatuhan harga di Bursa Malaysia tidak akan mencetuskan krisis kecairan (mata wang).

Pemerintah juga gembira dan yakin saat yang gemilang kini kembali menemui kita berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik. Keluaran dalam negara kasar (KDNK/GDP) dianggarkan berkembang antara 5.5 dan 5.9 peratus tahun lalu dan diramalkan 5.2 peratus tahun ini.

Rizab luar Bank Negara yang tinggi -- pada kadar RM290.4 bilion (pada 31 Disember 2006 lalu) -- dan indeks harga pengguna yang rendah (3.1 peratus) turut merangsang pemerintah membuat ramalan itu.

Manakala perangkaan asas dan petunjuk-petunjuk kasar ekonomi yang dikeluarkan oleh pemerintah menjurus ke arah yang positif, namun kesan sebenar kepada rakyat jelata masih menjadi tanda tanya.

Misalnya, berapa ramaikah rakyat jelata mendapat faedah daripada pemulihan pasaran saham, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan rizab negara?

Tidak dapat dinafikan bahawa pemulihan pasaran saham telah mula menampakkan kesan positif kepada pelabur saham, termasuk pelabur saham unit atau unit trust.

Tetapi majoriti pelabur jangka panjang yang membuat pelaburan sebelum krisis ekonomi serantau tahun 1997 masih menanggung kerugian yang besar.

Walaupun indeks komposit bursa meningkat tetapi kenaikan harga masih terhad kepada saham-saham komposit dan saham-saham blue chip. Banyak lagi saham barisan kedua dan ketiga, khasnya yang disenaraikan di Papan Kedua dan Mesdaq, masih berada di bawah paras sebelum krisis atau lebih rendah daripada itu.

Apa yang lebih utama kepada ekonomi adalah pengagihan kekayaan, produktiviti dan kuasa membeli. Kenaikan pasaran saham tidak akan memberi kesan yang menyeluruh kerana hanya sebahagian kecil sahaja rakyat jelata yang melabur. Lagipun majoriti daripada mereka melabur jumlah yang terlalu kecil untuk memberi kesan yang berbaloi.

Begitu juga dengan produktiviti. Walaupun produktiviti kasar meningkat, namun ia tidak menyeluruh. Malah dalam sektor-sektor tertentu seperti hartanah berlaku pembaziran sumber yang ketara.

Banyak unit kediaman, kedai, pejabat dan kilang sama ada tidak laku dijual atau tidak digunakan kerana kurang peluang perniagaan. Kita hanya perlu ke projek hartanah untuk melihat betapa banyaknya ruang perniagaan yang kosong dan mengemis penyewa.

Sebaliknya penarikan balik atau pengurangan subsidi telah mencetuskan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang sekali gus “memiskinkan” lagi golongan berpendapatan rendah.

Disebabkan itulah perangkaan rasmi mengenai indeks harga pengguna (CPI) yang digunakan untuk mengukur inflasi dan perangkaan guna tenaga terus dicurigai.

Persepsi ini diburukkan lagi oleh perkembangan semasa seperti pembatalan cadangan memperluaskan skim bantuan buku teks atas alasan ia memerlukan perbelanjaan tambahan, laporan berkaitan pengangguran siswazah dan kemuflisan kontraktor Kelas F.

Kesimpulannya, perangkaan yang lebih terperinci, fakta-fakta yang lebih konkrit dan kesan fizikal yang lebih ketara adalah diperlukan sebelum berita gembira ini akan diterima sebagai hakikat dan bukan satu lagi “spin” indah khabar dari berita oleh media massa arus perdana.

Footnote: I am on visit to a rural New Zealand town called Wanganui. It’s a quaint little riverside town --- the biggest passenger plane that lands here is the 19-seater Beech 1990D.

It was here that journalism got dirty for me, literally. The year was 1971 and the place was the office of the now defunct Wanganui Herald. As a journalism intern I was made to wait at the printing press for the first copies of the paper to come out every afternoon.

I was running errant for the paper’s News Editor, the late George Abbott. George was a fine teacher. Thanks to this mundane assignment I fell in love with printer’s ink.

I love the feel, sound and smell of the print shop. While working for the NSTP Group (1976-2000), the print shop was my favourite place away from the newsroom.

Tuesday, February 27, 2007

Should PAC Not Be Dancing With The Wolves?

A Kadir Jasin

[APOLOGIES, comments may not be moderated as regularly. I am on the move somewhere in the Middle Earth visiting my orang putih emak and bapa angkat of 1971. Thank You.]

[No anonymous comments will be posted. Please use your real name or a suitable pseudonym. Please avoid seditious and defamatory statements. And, if possible, don’t call anybody bodoh (stupid). ]

EITHER the people at Bernama had misreported or the people at the Public Accounts Committee (PAC) of the Parliament had fallen off their rockers.

The national news agency, on Feb. 26, reported that the PAC had called on the government “to set up a Cabinet committee to monitor decisions taken by government-linked companies (GLCs), including Khazanah Nasional.”

This would enable the government to "oversee" the running of these firms, said committee chairman Datuk Shahrir Abdul Samad.The Johor Baru Barisan Nasaional MP said there was now a dire need for setting up such a committee as it could not only monitor the performance of these GLCs, but also define their role in nation building.

My question to the multi-party PAC is: Isn’t monitoring the decisions taken by government-linked companies (GLCs), including Khazanah Nasional, part and parcel of the responsibility of the Cabinet?

Is PAC saying that the Cabinet, which is the highest executive body in the land, has not been monitoring the decisions of the GLCs?

If the latter is the case, does it not amount to the Cabinet failing in its responsibility to the people?

Isn’t the GLCs decisions in their finality are also the decisions of the Cabinet? More so when they are major decisions like the sale of government assets.

Is Shahrir suggesting that in the specific case of the merger between the privately-owned ECM Libra Berhad and the government-owned Avenue Capital Resources Berhad the Cabinet was not involved?

Why is the usually outspoken Shahrir so coy when explaining the controversial merger or has Bernama misrepresented facts.

According to the national news agency, the following is Shahrir’s explanation of the issue, which was supposed to be the key item on the committee’s agenda:

He said on the merger between ECM Libra and Avenue Capital, the Finance Minister had explained that there was nothing unusual about the deal since it had obtained clearance from the Securities Commission (SC).

"To say we are satisfied (with the explanation given) is not right since the PAC consists of representatives of various political parties. We all have a different degree of satisfaction. The government feels that since the SC had no objection and the majority of shareholders of the two companies wanted to merge, then the merger should take place without any interference," Shahrir added.

To be specific, it was not the Finance Minister who appeared before the committee to explain the merger but the Second Finance Minister, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Has Shahrir changed? Is he, like the majority of elected representatives these days, is dancing around the mulberry bush and leading us up the garden path instead of seeking the truth?

Has the case of the smaller privately-owned ECM Libra buying the larger Government-owned Avenue Capital “cheaply” ceased to be a questionable deal because “the Finance Minister had explained that there was nothing unusual about the deal since it had obtained clearance from the Securities Commission (SC)?”

Does it mean that everything is fine or should be fine about the deal simply because the SC has no objection? Could it not have erred in its decision to allow the merger to go through?

It had erred. And in the case of the sale of Pantai Holdings Berhad to Singapore-based Parkway Holdings Limited in 2005 it erred badly.

That oversight forced Khazanah Nasional to fork out RM394 million to re-acquire the Pantai Holdings’ privatized assets (Fomema and Pantai Medivest) when Parkway paid only RM312 million to become controlling shareholder of the hospital company.

And is Shahrir and his PAC colleagues aware that on Jan. 17 the SC had also stated that it had no objection to the plan by Kuok Group to transfer the domicile of its plantation company, PPB Group Berhad, from Malaysia to Singapore?

The question is do we need another Cabinet committee? Is it not the duty of the Cabinet, and more specifically the Ministry of Finance, to scrutinize such a matter as the ECM-Avenue merger since it involved government assets?

What about Bank Negara? What was its opinion on the merger? Or is Bank Negara so free and its leadership so independent that no mention was made of its role in the merger?

Or is Shahrir, like a lot of pembesar (dignitaries) these days, has to thread carefully when dealing with matters that affect the favoured and the powerful like those involved in the ECM-Avenue merger?

It is disappointing that Shahrir and his committee should divert public attention away from the core issue by telling the Cabinet what it should and should not do.

What Shahrir’s audience would like to hear is not his lecturing of the Cabinet. What they want to hear is the PAC ruling on the merger between ECM and Avenue.

Could it be that Shahrir and his PAC colleagues have not been keeping pace with Cabinet affairs?

Are they not aware that there are today more than 30 Cabinet Committees? How many more such committees do we need?

What are our 30-odd ministers doing that so many committees have to be set up?

Could this administration by committees be the real reason for the deterioration of the public delivery system? Too much bureaucracy and passing the buck. So in the ECM-Avenue case, blame it on the SC.

With vast parliamentary powers given to them, Shahrir and his PAC colleagues should be dancing with the wolves instead of dancing around the mulberry bush and leading the people up the garden path.

The people want answers and not more excuses.

Addendum

Following are members of PAC and their party affiliation

Chairman: Dato' Shahrir bin Abdul Samad (BN)
Vice-Chairman: Dr. Tan Seng Giaw (DAP)
Tan Sri K.S Nijhar (BN)
Dato' Hj. Mohd. Sarit bin Yusoh (BN)
Dato' Dr. Tan Kee Kwong (BN)
Datuk Wilfred Madius Tangau (BN)
Jimmy Donald (BN)
Dato' Lim Bee Kau (BN)
Datuk Ir. Hasni bin Haji Mohammad (BN)
Dato' Ismail Sabri bin Yaakob (BN)
Wong Nai Chee (BN)
M. Kula Segaran (DAP)
Dato' Kamarudin bin Jaffar (PAS)
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail (PKR)

Monday, February 19, 2007

Tahun Khinzir, Nein Schwein dan Tiada Subsidi Buku

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur-unsur lucah, perkauman, hasutan dan fitnah tidak akan disiarkan. Terima kasih]

MENGIKUT almanak Cina, tahun baru yang bermula semalam – 18 Februari – adalah tahun babi. Sesiapa yang dilahirkan pada tahun 1911, 1923, 1935, 1947, 1959, 1971, 1983 dan 1995 adalah berbintang babi.

Maka tahun ini adalah tahun saya – tahun babi. Secara kebetulan pula, babi adalah sebahagian daripada proses pembesaran saya. Saya dilahirkan dengan babi sebagai rakan kongsi persekitaran saya. Bukan babi hutan tetapi babi ternakan.

Kampung saya di pinggir Sungai Pendang, cabang kepada Sungai Kedah, berjiran dengan penempatan orang Cina. Mereka menternak babi sambil berniaga runcit, bersawah, mendayung tongkang, bertukang kayu dan menjalankan judi haram.

Seperti orang Melayu yang membiarkan kerbau, lembu dan kambing mereka berkeliaran ketika musim tidak bersawah, orang Cina membiarkan babi mereka lepas bebas.

Kalau kerbau, lembu dan kambing orang Melayu keluar masuk perkampungan orang Cina, maka babi orang Cina keluar masuk kampung orang Melayu.

Malah nenek saya (moga-moga Tuhan cucuri rahmat ke atas rohnya) begitu intim dengan jiran Cinanya, khasnya yang fasih berbahasa Siam, dia membenarkan mereka menuai keladi yang tumbuh meliar di dalam kawasan kampungnya yang luas itu untuk makanan babi mereka. Sebagai ganti mereka memberikannya gula, kopi, tepung, garam dan ikan asin.

Oleh sebab banyak orang Cina kampung saya berkahwin orang keturunan Siam, maka bahasa Siam digunakan dengan luas. Nenek saya adalah antara ramai orang Melayu di utara negeri Kedah yang segenerasi dengannya yang bertutur bahasa Siam. Sehingga ke akhir hayatnya, bahasa Siam menjadi bahasa pertuturan utamanya.

Kerana dilahirkan dalam suasana itu, saya tidak berasa janggal masuk ke rumah kawan Cina saya untuk minum “air menet” (lemonade) pada hari-hari perayaan walaupun ada kepala ‘suckling pig” (anak babi yang masih menyusu) yang disembelih untuk menjamu roh datuk nenek mereka.

Hari ini, banyak orang Melayu (Islam) di Malaysia yang bukan sahaja tidak boleh tengok babi atau dagingnya, malah menyebut nama babi pun seolah-olah jijik. Maka mereka tukar babi menjadi khinzir. Tetapi itu tidaklah pula menghalang orang Melayu (Islam) daripada bertindak membabi buta atau menderita penyakit gila babi.

Minda Melayu/Islam Malaysia mudah diselesakan kerana apa yang jijik atau kurang baik dalam bahasa Melayu menjadi tidak jijik apabila dialih bahasa kepada bahasa Arab. Maka babi yang jijik menjadi ok apabila dibahasa-Arabkan menjadi khinzir.

Bagi saya menjadi Islam di Malaysia ini sangat mudah. Islam kita disyaratkan oleh undang-undang. Kita lahir Islam dan diwajibkan mati dalam Islam. Ke mana pun kita pergi ada masjid, ada surau dan ada kedai makanan halal. Kita tidak perlu risau tentang haram dan halal. Semuanya ditentukan dan dinyatakan untuk makluman kita.

Tidak seperti cucu saya bernama Omar yang berusia tiga tahun yang pergi ke sebuah kindergarten di Zurich, Switzerland yang terpaksa mengingatkan pengasuhnya pada setiap waktu makan “nein schwein” – tidak mahu atau tidak makan daging khinzir.

Kesimpulannya, Omar Steinmann pada usia tiga tahun lebih sedar (conscious) tentang keIslamannya berbanding kebanyakan kita di Malaysia yang tidak perlu bimbang kita akan dihidangkan dengan daging schwein atau khinzir.

Umno dan Pas akan bergabung?

Itulah maklumat melalui SMS yang saya terima daripada seorang bekas ahli Exco Kerajaan Kedah dari parti Umno.

Dia berkata: “Umno-Pas merger on the way. Only Hadi disagrees so far. This is what I heard.” (Penggabungan antara Umno dan Pas akan berlaku. Hanya Hadi tidak setuju setakat ini. Inilah apa yang saya dengar.”

Saya membalas: “Rasa-rasanya tak masuk akal.” Dia membalas balik: “Politik memang tak masuk akal.”

Tidak masuk akal mengapa Umno mahu bergabung dengan Pas di saat-saat parti nombor satu negara itu diuar-uarkan sebagai berada dalam kedudukan paling kuat dalam sejarahnya.

Begitu juga dengan Pas. Mengapa harus ia memikirkan penggabungan dengan Umno di saat-saat ia menganggap Umno dan Barisan Nasional berada dalam kedudukan paling lemah.

Atau apakah Pas berasa gementar bahawa Umno dan BN akan “membeli” undi rakyat Kelantan dengan peruntukan besar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan?

Kerajaan BN memberikan peruntukan pembangunan sebanyak RM6,651 bilion, bertambah sebanyak RM2.97 bilion kepada Kelantan, lebih besar daripada pertambahan yang diberikan kepada Terengganu. Tidak mustahil pengundi Kelantan gelap mata mendengar janji yang begitu manis daripada Putrajaya.

Batal skim buku untuk jimatkan RM100 juta?

Blogger-politikus Ruhanie Ahmad (Gerbang Ruhanie) menulis: “Saya terkebil-kebil setelah membaca laporan berkenaan. Saya tanya diri saya sendiri: apa dah jadi ni? Kerajaan boleh batalkan skim buku teks yang meliputi seluruh pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara mulai 2008, semata-mata kerana tak mau menanggung kos tambahan yang melebihi $100 juta?Apa hal ni? Hari tu kata boleh, hari ni kata tak boleh? Ingat ini iklan biskut ke? Sekejap ada, sekejap tak ada? Ini masalah rakyat. Ini masalah kesejahteraan dan keselesaan rakyat.”

Reaksi saya kepada kemusykilan bekas Ahli Parlimen Umno itu lebih kurang begini: Adakah cadangan ini ada kaitan dengan pengurangan peruntukan pembangunan RMK9 yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran? [Sila rujuk kepada blog sebelum ini.]

Peruntukan pembangunan Kementerian Pelajaran dikurangkan daripada RM24.2 bilion di bawah RMK8 kepada RM17 bilion di bawah RMK9 atau daripada 14.2 peratus kepada 8.5 peratus.

Mungkin kerana peruntukan yang banyak berkurangan ini, Kementerian Pelajaran terpaksa menjimatkan perbelanjaan walaupun dengan membatalkan subsidi kepada golongan miskin.

Sunday, February 11, 2007

Peruntukan RMK9 Sumber Kuasa PM

A Kadir Jasin

Bloggers-CNY2007.jpg
(Ehsan daripada Kickdefella/Sheih)

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang mengandungi unsur-unsur lucah, perkauman, hasutan dan fitnah tidak akan disiarkan. Terima kasih]

HAKIKAT bahawa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) diuar-uarkan sebagai paksi Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sudah diakui umum.

Tetapi banyak yang masih berasa hairan mengapa ia begitu hebat digembar-gemburkan oleh jentera maklumat dan propaganda sedangkan rancangan pembangunan lima tahun bukanlah sesuatu yang baru bagi Malaysia.

Sampai hari ini banyak yang masih tertanya-tanya mengapa publisiti mengenainya begitu hebat berbanding rancangan lima tahun sebelum ini. Jawapannya terletak kepada cara rancangan itu disusun dan dikaitkan dengan Perdana Menteri.

Ia didakwa sebagai manifestasi kepekaan dan komitmen Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap kehendak dan aspirasi rakyat jelata.

Apa yang mungkin tidak sedari umum ialah bagaimana RMK9 direka bentuk sebegitu rupa untuk memberikan Perdana Menteri kuasa politik, pentadbiran dan kewangan yang tiada tolok bandingnya.

Ini adalah kerana hakikat ini “diselindungkan” (camouflage) sebegitu rupa dalam bentuk statistik sehingga terlepas daripada pandangan banyak penganalisis dan pemerhati.

[Sebelum saya meneruskan analisis ini, saya meminta sangat-sangat kepada pembahas agar tidak hilang fikiran sehingga membuat kenyataan-kenyataan yang kesat dan menghina, kasar dan tidak bersopan santun, menghasut dan menabur kebencian, memfitnah dan memaki hamun. Tidak perlu diingatkan lagi bahawa gerak-geri blogger dan pembahas blog sedang diperhatikan.]

Mula-mula mari kita pertimbangkan fakta-fakta berikut:-

1. Perbelanjaan pembangunan RMK8 (2001-2005) adalah RM170 bilion;
2. Peruntukan pembangunan RMK9 (2006-2010) adalah RM200 bilion;
3. Pertambahan peruntukan pembangunan RMK9 adalah RM30 bilion berbanding RMK8;
4. Selain peruntukan kerajaan, RMK9 memperkenalkan Inisiatif Pembiayaan Swasta (IPS) (Private Financing Initiative) yang dianggarkan berjumlah RM20 bilion; dan
5. Termasuk IPS, peruntukan pembangunan RMK9 berjumlah RM220 bilion.

Dalam RMK8, Jabatan Perdana Menteri di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad membelanjakan RM7.3 bilion atau 4.3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan.

Dalam tempoh itu, Dr Mahathir juga menjadi Menteri Kewangan. Kementerian Kewangan membelanjakan RM13.5 bilion atau 8.0 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.

Jadi jumlah besar perbelanjaan yang terletak di bawah kawalan terus Dr Mahathir dalam RMK8 adalah RM20.8 bilion.

Sekarang kita lihat pula peruntukan pembangunan RMK9. JPM di bawah Abdullah diperuntukkan RM26.5 bilion atau 13.2 peratus daripada jumlah besar peruntukan. Dicampurkan RM3.2 bilion IPS, peruntukan pembangunan JPM berjumlah RM29.7 bilion.

Tetapi Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Kementerian Kewangan mendapat peruntukan terus sebanyak RM9 bilion dan RM865 juta IPS menjadikannya RM9.9 bilion. Kementerian Keselamatan Dalam Negeri pula mendapat RM5 bilion berbanding RM3 bilion di bawah RMK8 campur RM2 bilion IPS menjadikan jumlah besarnya RM7 bilion.

Dalam bahasa yang mudah, manakala Dr Mahathir yang mengawal perbelanjaan sebanyak RM20.8 bilion di bawah RMK8, Abdullah berhak penuh ke atas peruntukan sebanyak RM46.6 bilion di bawah RMK9.

(click to enlarge)

Ini adalah ciri dan manifestasi kepada apa yang dilabelkan oleh para pengulas dan penganalisis antarabangsa sebagai “political economy" atau ekonomi yang berasaskan politik.

Jumlah peruntukan yang begitu besar sudah pasti boleh diterjemahkan kepada kuasa politik yang besar juga.

Inilah antara ciri yang menyebabkan banyak pihak yang arif mengenai “political economy” menyifatkan Abdullah sebagai Perdana Menteri yang “paling berkuasa” kerana dia menguasai peruntukan kewangan yang sangat besar.

Serentak itu, peruntukan pembangunan kepada kementerian-kementerian besar seperti Pelajaran, Pertahanan, Kerja Raya dan Pengangkutan berkurangan.

Peruntukan pelajaran dan pendidikan tinggi jatuh daripada RM37.7 bilion kepada RM33 bilion, pertahanan daripada RM18.6 bilion kepada RM14.5 bilion, kerja raya daripada RM19.3 bilion kepada RM18.6 bilion dan pengangkutan daripada RM9.7 bilion kepada RM8.2 bilion.

Oleh kerana IPS adalah unsur baru belanjawan dan belum teruji maka adalah lebih baik ia tidak dikira bersama peruntukan yang datang terus dari kerajaan. Kejayaan inisiatif ini bergantung besar kepada keyakinan pelabur swasta.

Kerajaan mengharapkan pelaburan IPS yang besar di dalam sektor pendidikan - RM6.2 bilion di bawah Kementerian Pelajaran dan RM1.5 bilion Kementerian Pengajian Tinggi. Ini masuk akal kerana pendidikan swasta dan separuh kerajaan kini semakin berkembang.

Tetapi bagaimana kerajaan bercadang menjana IPS sebanyak RM1.2 bilion untuk pertahanan dan RM2 bilion untuk keselamatan dalam negeri RM2 bilion agak menghairankan. Ada risikonya jika pihak swasta diberi keistimewaan mengemukakan inisitif yang membabitkan pertahanan dan keselamatan negara.

Seperkara lagi ialah walaupun pertanian dan sektor luar bandar diuar-uarkan sebagai matlamat utama perancangan ekonomi Era Abdullah, namun jika dilihat dari aspek peruntukan mengikut negeri, bukan sahaja negeri-negeri maju terus mendapat peruntukan yang besar malah tambahan peruntukannya juga besar.

Wilayah Persekutuan misalnya memperoleh peruntukan (tidak termasuk IPS) sebanyak RM31 bilion atau RM10.4 bilion lebih besar daripada RMK8.

Selangor pula mendapat tambahan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, Pulau Pinang RM1.3 bilion manakala Perak dan Johor masing-masing RM1 bilion.

Di kalangan negeri miskin yang majoriti penduduknya Bumiputera, Kelantan mendapat tambahan RM3 bilion, Terengganu RM2.7 bilion, Sabah RM2.5 bilion, Pahang RM2.4 bilion dan Sarawak RM500 juta.

(click to enlarge)

Tetapi Kedah hanya mendapat peruntukan tambahan RM207 juta, Negeri Sembilan RM230 juta dan Melaka RM144 juta. Hatta Perlis yang kecil itu pun mendapat tambahan lebih besar sebanyak RM402 juta.

Anehnya, manakala negeri maju seperti Pulau Pinang diperlukan menjana hanya RM494 juta IPS, negeri-negeri miskin seperti Kedah diperlukan menjana RM1 bilion, Kelantan RM976 juta, Sarawak RM1.7 bilion, Terengganu RM1.4 bilion, Sabah RM1.3 bilion dan Pahang 1.2 bilion.

Daripada analisis ini jelas bahawa Abdullah mengawal tabung rasmi yang sangat besar -- RM46.6 bilion -- yang menjadikan beliau Perdana Menteri yang sangat berkuasa dari aspek kewangan.

Kuasa kewangan yang besar ini semestinyalah menjadi ciri penting kepada penentuan kuasa politik dan kedudukan Abdullah, khasnya pada pilihan raya umum dan pemilihan Umno yang akan datang.

Ia juga berkait rapat dengan pencapaian RMK9 khasnya dan ekonomi amnya jika peruntukan raksasa ini tidak digunakan secara cekap, berkesan, berhemah, adil dan beramanah.
[Update, Feb. 13]
Addendum

For the benefit of non-Malaysian readers who are not conversant in bahasa Malaysia, following is summary of the original bahasa Malaysia version.

The 9th Malaysian Plan is proclaimed as the counterpoint of Abdullah Ahmad Bahawi’s Administration.

RM200 billion is allocated for development under 9th Plan vs RM170 billion under 8th Plan – an increase of RM30 billion.

Another RM20 billion will be raised through the so-called Private Financing Initiative (PFI), raising the estimates to RM220 billion.

Under the 8th Plan, Tun Dr Mahathir Mohamad allocated RM20.8 billion to ministries under his control – the Prime Minister’s Department and Finance Ministry.

Under the 9th Plan, Abdullah allocated RM46.6 billion to ministries under his control – the PM’s Department, Finance Ministry and Ministry of Internal Security.

This has led to those who are familiar with the so-called “political economy” to consider Abdullah as the “most powerful” Prime Minister since he has at his disposal a large amount of development funds to be spent.

Development expenditure for major ministries like education (under the two education ministries) declined from RM37.7 billion to RM33 billion, Defense from RM18.6 billion to RM14.5 billion, Public Works from RM19.3 billion to RM18.6 billion and Transport from RM9.7 billion to RM8.2 billion.

The more developed but smaller Penang received additional allocation of RM1.3 billion but its poorer but larger northern neighbour Kedah received only RM207 million additional funds. Penang is required to raise RM494 million PFI but Kedah RMI billion.

In general, richer and more developed states are given higher increases – Federal Territory RM10.4 billion, Selangor RM1.7 billion more, Penang RM1.3 billion while Perak and Johor RM1 billion each.

Among the poorer states, the Pas-ruled Kelantan receives the highest additional expenditure at RM3 billion, Terengganu RM2.7 billion, Sabah RM2.5 billion, Pahang RM2.4 billion dan Sarawak RM500 million.

In the final analysis, it is clear that Abdullah who directly controls RM46.6 billion worth of development funds and having massive influence on how PFI is raised and spent is a powerful Prime Minister in the financial aspect.

And with financial power comes political power. In short his position is unassailable.

Thursday, February 08, 2007

Suara Insan Sejagat Kuasa Baru Dunia

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang berbau perkauman dan mengandungi unsur-unsur hasutan dan fitnah tidak akan disiarkan. Terima kasih] JADIKAN pendapat umum (public opinion) sebagai kuasa besar kedua dunia bagi mengimbangi dan melawan pembolotan kuasa oleh Amerika Syarikat.

Demikian antara saranan pokok Persidangan “Dedahkan Jenayah Perang – Jadikan Peperangan Sebagai Jenayah” anjuran Pertubuhan Keamanan Global Perdana (Perdana Global Peace Organisation) yang berakhir di Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi pertubuhan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam ucapan penutupnya berkata beliau setuju dengan saranan agar pendapat umum digembleng untuk menolak dan melawan hegemoni Amerika dalam dunia pasca-Perang Dingin.

Persidangan tiga hari itu bersetuju bahawa pendekatan terbaik mencapai matlamat keamanan ialah dengan mengembleng pendapat umum agar menolak perang sebagai cara menyelesaikan sengketa dan mengisytiharkan peperangan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Serentak itu, persidangan telah menubuhkan tiga institusi bagi membicarakan penjenayah-penjenayah perang dan mendengar kes pertamanya yang membabitkan Presiden Amerika George W Bush, Perdana Menteri British Tony Blair dan Perdana Menteri Australia, John Howard.

Institusi pertama ialah Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (Kuala Lumpur War Crimes Commission) yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir dan dianggotai oleh Datuk Dr Yaacob Hussain Merican (peguam), Zainur Zakaria (bekas presiden Majlis Peguam Malaysia), Musa Ismail (bekas majistret), Prof Dr Mohd Akram Shair Mohamed (profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa) dan Prof Gurdial Singh Nijar (profesor undang-undang Universiti Malaya).

Kedua, Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (Kuala Lumpur War Crimes Tribunal) yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Kadir Sulaiman (bekas Hakim Mahkamah Persekutuan) dan dianggotai oleh Tunku Datuk Dr Sofiah Jewa (peguam), Datuk Mohd Saari Yusoff (bekas Hakim Mahkamah Rayuan), Prof Shad Faruqi (Profesor Undang-Undang Universiti Teknologi Mara), Mohamad Ariff Md Yusof (peguam).

Turut menganggotai adalah Mohd Noor Yahya (bekas presiden Mahkamah Session dan bekas pengerusi Mahkamah Perindustrian Malaysia), Datuk Abu Mansor Ali (bekas Hakim Mahkamah Persekutuan), Prof Francis Boyle (penasihat kepada PLO mengenai Penubuhan Negara Palestin) dan Prof Salleh Buang (pensyarah undang-undang dan peguam).

Ketiga pasukan peguam jenayah perang yang terdiri daripada Mathias Chang, Jacqueline Chang, Megat Shaharuddin Merican, Elaine Zarina Zainur, Avtaran Singh, Nizam Bashir and Jamal Ridzuwan.

Petisyen yang mahu tiga penganjur utama peperangan dan penaklukan Iraq itu dibicarakan atas tuduhan jenayah peperangan. Ia dikemukakan bagi pihak mangsa-mangsa oleh Mathias Chang.

“Jangan hampakan mereka. Mereka tidak ada tempat mengadu. Inilah tempat terakhir mereka meletakkan harapan,” Chang merayu.

Dr Mahathir memberitahu sidang akhbar pada akhir persidangan bahawa keanggotaan badan-badan itu masih boleh dipinda bagi memperkukuhkan tarafnya sebagai badan-badan antarabangsa.

Dalam konteks yang sama, persidangan bersetuju bahawa pendapat umum adalah senjata paling berkesan bagi mewujudkan keamanan sejagat, mengharamkan peperangan dan menghukum penjenayah perang.

Walaupun tertuduh tidak boleh dipaksa menghadiri perbicaraan atau menjalani hukuman apabila sabit kesalahan, namun pada pendapat umum mereka adalah penjenayah.

Gelaran penjenayah perang (war criminal) akan digunakan setiap kali nama mereka disebut bagi mengaibkan mereka pada pandangan dunia.
Satu aspek paling menarik persidangan kali ini adalah penyertaan begitu ramai golongan muda dari dalam dan luar negara yang mewakili badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil.


Gambar: Jeff Oii

Secara peribadi, saya berpendapat sesiapa sahaja yang cintakan keamanan dan menolak peperangan perlu membuat ketetapan untuk menyokong hanya parti politik dan pertubuhan yang menjadikan keamanan dan pengharaman peperangan sebagai salah satu unsur utama dalam agenda dan manifesto mereka.

Menyentuh mengenai para blogger, khasnya blogger Malaysia, yang jelas menyokong agenda keamanan ini dan mendapat pengiktirafan terbuka daripada penganjur dan peserta, saya cadangkan agar mereka mewujudkan pakatan Blogger Untuk Keamanan (Bloggers For Peace) atau Blogger Menentang Peperangan (Bloggers Against War).

Walaupun persidangan ini hanya mendapat liputan “melepas batuk di tangga” oleh sebahagian besar peneraju media massa arus perdana tempatan, namun saya perhatikan kesedaran di kalangan wartawan biasa mereka adalah luas dan mendalam.

Saya yakin para wartawan, blogger dan pengendali laman berita Internet boleh memainkan peranan mempelopori kesedaran global mengenai keamanan sejagat, menjadikan peperangan suatu jenayah dan membela nasib mangsa perang.

Manakala para pelawat dan pengulas boleh menjadikan blog dan laman web sebagai arena untuk mengembleng pendapat umum agar menjadi kuasa besar dunia yang baru.


Gambar: The Star

Puisi Buat Najwa

Mengalir air matamu tidak sia-sia
Esak tangismu tidak sia-sia
Pujuk rayumu tidak sia-sia
Jauh perjalananmu tidak sia-sia.

Kami nampak air matamu
Kami dengar sendu tangismu
Kami tersentuh dengan pujuk rayumu
Jauh perjalanan mu diiring doa restu.

Kami tidak ada senjata pemusnah massa
Kami tidak ada sejuta bala tentera
Tetapi kami berikrar setia
Dengan suara kita sedarkan dunia
Bahawa perang bukan caranya
Yang gagah bukan semestinya raja
Penyerang dan penakluk buka wira.

Kita akan kibarkan panji-panji keamanan
Kita akan laungkan semboyan keadilan
Bahawa suara insan semesta
Akan menjadi pemangkin kuasa
Menghukum dan mengaibkan yang berdosa
Bush, Blair dan gerombolan mereka.

Kepulanganmu kami doakan
Salam kami kepada kemanusiaan
Kepada setiap insan di barisan hadapan
Dalam perjuangan menegakkan keadilan.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).