Tuesday, November 29, 2011

PRU: Kita Semua Pikul Beban

A Kadir Jasin

[KALAU mengulasmenggunakan pengenalan “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudaripada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

SAYA tertarik dengan ulasan pembahas ZMS dalam tampalan lalu (Dr Mahathir: Umno Belum Giat Berusaha) yang, antara lain, berbunyi:

“1.Saya rasa Najib terlalu obsess dengan akronim-akronim, mungkin untuk menunjukkan kelainnya dengan PM-PM yang lalu dari segi stail pengurusannya.

2.Belum sempat orang ramai dapat memahami dan menghayati sesuatu akronim yang sedia ada, beliau akan keluar dengan satu yang baru. Ada kalanya kita pun naik letih dibuatnya.”

Saya rasa, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, bukan saja perlu mempertahankan akronim ciptaan beliau, tetapi beliau juga terpaksa mempertahankan dasar, projek dan pencapaian BN dulu dan sekarang. Itu belum diambil kira beban sampingan dalam pelbagai bentuk.

Ibarat kata, Presiden Mubarak, Abdul Aziz Abdul Rahman (Datuk Seri), pemimpin Umno kenalah juga singkir imej kaca mata hitam, kereta cermin gelap dan berbaju linen.

Ikhlas cakap, saya meluat sungguh dengan gelagat macam itu. Saya pernah melihat seorang (bukan besar mana pun) Setiausaha Politik kepada seorang Menteri Umno turun kereta bercermin hitam legam, pakai baju linen keras terpacak, telefon bimbit di telinga dan berjalan lurus tidak pandang kiri atau kanan walhal dia ku pusat beli-belah.

Adakah perlu Setiausaha Politik pakai kereta cermin hitam dengan papan tanda “Setiausaha Politik”?

Tapi ada Setpol yang low profile dan tak berlagak, apatah lagi sombong.

Beban Perdana Menteri jauh lebih berat daripada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. Kerja Ketua Pembangkang, nombor satu bangkang dan nombor dua tabur janji akan reformasikan negara bila berjaya ke Putrajaya.

Janji Putrajaya dan ubah segala-galanya adalah mantera beliau sambil cari perlindungan daripada apa saja tuduhan dan beban, termasuk 16 tahun dalam Umno/BN, di sebalik tabir konspirasi.

Apa saja yang membebankan beliau atau tidak positif kepada beliau adalah konspirasi. Kalau Mohd Najib seronok dengan akronim, Anwar bijak dengan label – kronisme, nepotisme, reformasi, konspirasi dan macam-macam lagi.

Soalnya, adakah serangan kedua beliau ke atas Putrajaya semudah itu? Generasi pasca-pemecatan (1998) mungkin tidak tahu Anwar lama dan sebenarnya. Mereka hanya kenal Anwar baru – Anwar “mangsa” konspirasi dan penyelamat generasi.

Tetapi generasi-generasi pra-pemecatan lebih kenal dengan beliau daripada zaman PBMUM kepada Abim, Yayasan Anda, Pemuda Umno dan pakaian berjenama dari Paris dan Milan.

Lim Kit Siang pun tidak begitu susah. Boleh bercita-cita tinggi dan bercakap besar asalkan berjaya pertahankan Pulau Pinang untuk 30 tahun akan datang macam Gerakan pertahankan Pulau Pinang. Yang lain itu bonus.

Yang mungkin rugi besar adalah Pas. Tersepit di antara liberalisme PKR dan sekularisme DAP, Pas mungkin hilang jati diri sebagai parti berlandaskan Islam.

Apakah akan jadi kepada Pas – adakah ia kekal memperjuangkan cita-cita, aspirasi dan idealisme Islamnya atau bertolak ansur antara liberalisme PKR dan sekularisme DAP demi kuasa politik?

Adalah boleh dan patut bagi Pas terus menjadi biola ketiga – the third fiddle – dalam Pakatan Rakyat dengan mengikut rentak irama PKR dan DAP, sedangkan semua orang tahu majoriti pengundi Melayu yang memangkah PKR dan DAP adalah ahli dan penyokong Pas?

Keputusan pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak jelas menunjukkan yang momentum pilihan raya umum 2008 masih berterusan. Walaupun BN dan Pakatan Rakyat menang sama banyak kerusi dalam PRK, tetapi di peringkat Parlimen, PR mendahului 4:2.

Pilihan raya Sarawak jelas menunjukkan sokongan orang Cina kepada PR melalui DAP terus pekat. Sawarak dan Sabah yang menyelamatkan BN dalam PRU 2008, mungkin tidak seselamat dulu lagi. Dalam PRU itu, Sarawak dan Sabah menyumbangkan 54 daripada 140 kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi BN.

Tetapi, cabaran persekitaran baru ini bukan terhadap parti-parti politik sahaja. Ia turut mencabar kematangan dan daya pemikiran pemilih dan pengundi. Ungkapan Inggeris ada berkata, siapa yang kita pilih, itulah kerajaan yang kita dapat. Wallahualam.

Sunday, November 20, 2011

Dr Mahathir: Umno Belum Giat Berusaha

A Kadir Jasin

[KALAU mengulasmenggunakan pengenalan “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudaripada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

PERHIMPUNAN Agung Umno akan diadakan penghujung bulan ini dan Pilihan Raya Umum mungkin menyusul tidak lama selepas itu.

Tetapi, orang kedua paling berpengaruh dalam politik Malaysia – mengikut kaji selidik terbaru Universiti Islam Antarabangsa Malaysia – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata - sehingga kini UMNO masih belum lagi giat berusaha untuk mendapat sokongan daripada rakyat, terutamanya orang Melayu.

Bukan alang kepalang punya kata. Bukan cakap di kedai kopi atau dalam blog sendiri, tetapi kepada akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia.

Dalam temu ramah panjang lebar dengan akhbar itu, Dr Mahathir, antara lain berkata:

1. Undi bukan Melayu, khasnya undi Cina, hanyalah undi tambahan. Undi Melayu perlu diperoleh dengan cukup banyak kalau tidak Umno/Barisan Nasional tidak boleh menang;

2. Beliau tidak nampak UMNO sedang giat berusaha untuk mendapat sokongan daripada rakyat. Biasanya, hampir waktu pilihan raya banyak aktiviti diadakan bagi memberi kefahaman mengenai perjuangan Umno. Inilah gambaran yang beliau peroleh;

3. Dahulu Umno kuat. Tidak ada orang yang meninggalkan parti, tetapi sekarang Umno perlu memenangi semula hati mereka yang telah meninggalkan parti;

4. BN/Umno menang PRU lalu dengan kelebihan suara yang kecil. Jadi, kalau ada ahli yang keluar, walaupun 200 atau 300, itu sudah cukup besar. Kalau 100 orang lari, Umno kena cari balik 200 orang. Kalau tidak mendapat dua kali ganda lebih ramai daripada yang telah meninggalkan UMNO, agak susah bagi parti itu untuk dapat kemenangan;

5. Ramai orang Melayu beralih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana kecewa dengan Umno. Dulu mereka percaya UMNO akan memperjuangkan nasib mereka. Sekarang ini, mereka tidak nampak Umno memperjuangkan nasib orang Melayu. NGO tidak boleh buat apa-apa, tetapi kerana mereka mempunyai ahli dan ahli mereka tidak mengundi UMNO/BN, maka kesan kehadiran mereka kepada politik negara adalah besar;

6. Pemimpin Unmo kena tahu mengapa ramai orang Melayu beralih kepada NGO. Ada NGO Melayu, contohnya Perkasa, yang hendak sokong UMNO, tetapi kerana terdapat isu-isu orang Melayu yang tidak dimainkan UMNO, maka Perkasa terpaksa diambil alih;

7. UMNO harus ambil tahu dan tidak boleh melihat Perkasa sebagai musuh. Umno tidak boleh mempunyai banyak musuh dalam keadaan sekarang. Orang yang hendak menjadi musuh Umno pun patut pertahankan dan ambil tahu apa masalahnya;

8. Umno boleh jaga kepentingan orang bukan Melayu tanpa membelakangkan kepentingan orang Melayu. Umno harus bagi penjelasan sebab-sebab ia membuat sesuatu tindakan. Umpamanya, tempat-tempat di universiti Kerajaan Umno ambil tahu tetapi Umno tidak ambil tahu tempat-tempat di universiti swasta. Apakah orang Melayu begitu ramai di universiti swasta? Jika orang Melayu semakin kurang di universiti awam dan tidak ramai di universiti swasta, maknanya mereka semakin hilang tempat;

9. Pintu Umno semakin sempit. Masa beliau menerajui Umno, tidak banyak masalah kerana UMNO kukuh dan perwakilan memilih memimpin yang berpengalaman. Tetapi sejak beberapa tahun ini, orang yang ada kelulusan tinggi tidak diterima masuk ke dalam UMNO, sebab itu ramai masuk Pas. Jadi, di kalangan pemimpin UMNO tidak ada banyak orang yang berkaliber, tambahan lagi mereka dikaitkan pula dengan rasuah seperti menggunakan duit masa bertanding Ahli Majlis Tertinggi; dan

10. Umno rosak dengan teruk apabila Tun Abdullah Badawi mengambil alih. Ini kerana beliau mengutamakan keluarganya dan macam-macam lagi tuduhan rasuah. Orang tahu tentang penglibatan menantunya. Sekarang ini Umno yang rosak ini diwarisi oleh Datuk Seri Mohd Najib. Umno memerlukan banyak masa untuk diperkuatkan semula, tetapi Mohd Najib sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup. Pemimpin-pemimpin UMNO yang lain pula belum ada kredibiliti dan masih baru.

Saya yakin ramai pembesar Umno tidak akan senang hati dengan analisis Dr Mahathir itu, apatah lagi kerana mereka sendiri telah beria-ia menguar-uarkan pemulihan Umno.

Tetapi kalau mereka menyanggah kenyataan beliau, apatah lagi memarahi beliau, mereka akan menderita tindak balas yang negatif.

Walaupun Dr Mahathir telah bersara lapan tahun dan pelbagai percubaan dibuat untuk meminggir dan menutup mulut beliau, termasuk oleh Umno sendiri, namun beliau masih disanjung dan diyakini oleh ramai orang Melayu dan rakyat Malaysia, termasuk generasi muda.

Jadi Umno kenalah telan ubat pahit yang doktor politik itu berikan, kalau tidak maladi Umno mungkin lebih teruk.

Untuk temu ramah penuh, cuba layari http://http://www.utusan.com.my/utusan/search.asp?stype=kw&Str=Dr+Mahathir.

Wednesday, November 16, 2011

Berkenaan Pilihan Raya, Saham dan Daging


A Kadir Jasin

[KALAU mengulasmenggunakan pengenalan “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudaripada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

BARU-baru ini, ketika memberi seminar mengenai pemberitaan ekonomi, seorang peserta bertanya adakah benar harga saham akannaik apabila pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Saya jawab, ia dan tidak. Banyak faktor mempengaruhi harga di pasaran saham. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran saham dunia banyak ditekan oleh ketidaktentuan ekonomi Amerika, Eropah dan Jepun.

Dulu, memang ada aliran ke arah itu. Apabila PRU hendak diadakan, saham beberapa buah syarikat yang diswastakan dan dikaitkan dengan parti-parti politik pemerintah akan naik.

Ada orang berkata, harga saham mereka naik kerana pelabur yakin parti pemerintah akan menang lagi. Ada pula yang berkata, harga saham ditolak naik kerana pemiliknya hendak mencari wang untuk derma pilihanraya.

Menjelang PRU 2004, apabila Barisan Nasional dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi (Tun), memang benar harga saham beberapa buah syarikat, khasnya yang ada kaitan dengan ahli keluarga atau kawan-kawan beliau, naik.

Tetapi, sukar untuk meramalkan kali ini kerana pasaran saham teruk dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi Eropah di mana beberapa buah negara menghadapi kemungkinan muflis.

GLC Susah Main Di Pasaran

Lagipun, sekarang tidak banyak lagi syarikat milik individu Bumiputera yang boleh dikaitkan dengan parti-parti pemerintah pusat. Banyak sudah dimiliknegarakan semula selepas krisis mata wang Asia 1997/98 dan diubah menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Saya rasa, sukarlah sikit bagi GLC hendak “bermain”di pasaran saham bagi mencari wang untuk derma politik. Ada tak ada pun adalah syarikat-syarikat milik agensi tertentu seperti Felda, yang mungkin boleh membuat tawaran permulaan awam – initial public offering – bagi menambah modal.

Julai lepas, Felda membuat IPO bernilai RM821 juta untuk anak syarikatnya, Malayan Sugar Maufacturing Berhad yang dibelinya daripada “Raja Gula” Robert Kuok.

Ura-Ura Mengenai Felda

Bulan lalu, muncul ramalan mengatakan Felda akan membuat IPO lagi - kali ini ke atas cabang komersialnya seperti Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Felda Holdings Bhd.

Kalau ini terjadi, memanglah akan wujud bilangan saham yang banyak di pasaran dan sesiapa pun yang mendapat tawaran langsung ala “pink form” boleh membuat keuntungan modal dengan segera. IPO MSM amat berjaya.

Felda berpotensi menjadi syarikat perladangan tersenarai yang paling besar di dunia kalau IPO yang diura-urakan itu memasukkan ladang sebagai salah satu asetnya.

Soalnya, adakah mampu Kerajaan menjustifikasikan langkah itu dan bolehkah ia dilakukan sebelum PRU yang diura-urakan awal tahun depan?

“Punters” Tetap Main Di Pasaran

Apa pun, spekulator atau “punters” akan buat apa saja yang mereka jangka boleh memberikan pulangan cepat dan besar.

Itulah yang nampaknya sedang berlaku dengan sebuah syarikat perkayuan yang tidak dikenali di Bursa Malaysia bernama Harvest Court Industries Bhd.

Menurut laporan media massa baru dan lama, harga sahamnya meningkat daripada 8 sen pada 13 Oktober kepada RM2.14 pada 14 November.

Ini memaksa Bursa mengisytiharkan saham itu sebagai 'designated securities' dan menggantung dagangannya.

Menurut laporan lagi, Harvest Court sudah beberapa tahun bergelut dengan prestasi kewangan yang lemah dan pernah diisytiharkan syarikat bawah pengawasan PN17 oleh Bursa Malaysia kerana ketidakselarian keadaan kewangannya.

Tetapi, pada 28 Oktober, pengumuman dibuat yang syarikat itu telah melantik Mohd Nazifuddin bin Mohd Najib, anak nombor dua Perdana Menteri dan rakan kongsinya, Raymond Chan sebagai ahli lembaga pengarah.

Dengan sekelip mata, Harvest Court menjadi “darling” - buah hati - pasaran saham.

Menurut laporan 8 November akhbar perdagangan The Edge Financial Daily, Mohd Nazifuddin pada 4 November telah membeli 2 juta hingga 3 juta atau 1.7 peratus saham syarikat itu manakala Chan dikatakan membeli 13.83 peratus.

Siapa pun yang membeli saham syarikat itu pada harga rendah tentu sudah membuat keuntungan modal (capital gain) yang sangat besar sekarang kalau dia menjual saham pegangannya.

Inilah kesan spekulasi. Pemain pasaran tentu meramalkan sesuatu yang positif akan berlaku kepada syarikat itu, kalau tidak masakan anak seorang kenamaan hendak membeli sahamnya dan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah.

Perkembangan ini mengingatkan saya kepada kenaikan besar harga saham ECM Libra menjelang PRU 2004, bagaimana ia bergabung dengan syarikat milik kerajaan, Anevue Capital pada tahun 2006, bagaimana Khairy Jamaluddin menjadi pemegang sahamnya, bagaimana dakwaan “insider trading” dilemparkan dan akhirnya beliau menjual semula saham miliknya (kononnya) dengan mengalami kerugian. Kontroversi itu masih dibincangkan sampai hari ini.

Itulah cerita pasaran saham dan perniagaan yang melibatkan orang kenamaan atau duit negara/duit rakyat macam National Feedlot Corporation yang membabitkan ahli keluarga Menteri Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil.

NFC adalah antara projek berimpak tinggi, yang mengikut laman web rasminya akan menjadi pemangkin menaikkan kecukupan daging negara kepada 40 peratus menjelang tahun lalu (2010). Sebaliknya ia menjadi bahan kritikan Laporan Juruaudit Negara 2010.

Wallahualam.

Wednesday, November 09, 2011

Cerita Perkahwinan Zaman Dulu Kala


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

PASAL bersunat dan tandas zaman dulu kala kita sudah cerita. Orang tua nostalgia, orang muda mendapatinya sangat jenaka.

Kali ini, kita cerita pula mengenai perkahwinan dulu kala. Bukan lama sangat - tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.

Saya ingat lagi perkahwinan kakak saya. Majlis persandingan berlangsung hampir-hampir subuh. Saya ingat sangat sebab apabila abang ipar saya diusung atas bahu untuk naik ke rumah, sebab jalan lecah (becak), saya sudah bersiap untuk ke sekolah.

Jam 5.00 pagi saya sudah terpaksa berbasikal dari kampung saya ke Pendang, kira-kira lima kilometer jauhnya, untuk menaiki bas United Transport Company (UTC) ke Alor Star, kira-kira 20 kilometer dari situ.

Jadi, tidak sempatlah saya menyaksikan persandingan mereka. Waktu itu, adalah perkara biasa persandingan di buat awal pagi.

Sambil menunggu majlis persandingan, majlis membaca al-Quran, berzikir dan berzanji diadakan sepanjang malam. Pada hari sebelumnya, kenduri diadakan dari pagi sampai malam. Pada sebelah petang diadakan pula majlis bersilat (pencak silat) dengan diiringi gendang keling.

Kalau yang kaya atau moden sikit, sebelah malam diadakan persembahan ghazal parti. Di tempat saya, yang terkenal ialah Ghazal Parti Bukit Raya (kampung Allahyarham Ustaz Fadhil Noor). Tapi yang “top” ialah Ghazal Parti Kepala Batas (kampung Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Boleh kata semua lagu dalam bahasa Arab yang diiringi tarian gelek atau tarian asyik oleh (dengan izin) pondan, darai dan ponen. Mereka pakai pakaian perempuan dan bila kena bedak, celak dan gincu, ramai jantan naik gian.

Pada hari kenduri, pagi-pagi sembelih kerbau dan lembu. Selesai siang daging, menyerok (sarapan) nasi putih dengan gulai kawah daging hancur, ikan tamban asin goreng, sambal belacan dan ulam. Lepas itu, barulah tukang masak mula memasak untuk tetamu. Tok wan saya, Haji Md Hassan, ialah ketua gedohok terkenal. Dia darah campuran Pathan.

Kerana tok wan saya ketua tukang masak, saya dapat layanan istimewa. Dapat makan awal, makan sedap-sedap – daging panggang, jantung panggang, lidah panggang cicah air asam. Sebagai upah, dia dibagi sedikit duit, rokok sekerit (cigarette) Rough Rider (rokok cap tembak), gula, susu pekat manis, kopi, teh dan kuih-muih.

Sebelum sampai majlis perkahwinan, banyak adat istiadat lain kena dibuat dan dilalui. Mula mula-mula sekali upacara menengok iaitu wakil pihak lelaki pergi menengok – lebih kurang mengendap – anak dara. Ada yang curi-curi tengok masa dia mandi di telaga, menjemur pakaian atau masa membawa hidangan dari dapur.

Kalau setuju sebab cantik, tak ada cacat cela besar, parut kudis buta tak nampak sangat,  punggung lebar dan payu dara besar, diadakan pula majlis merisik.

Hal punggung dan payu dara itu penting sebab dulu tak ada klinik bidan. Bersalin dengan bidan kampung. Kepercayaannya, punggung lebar mudah bersalin. Susu ibu pula sangat penting sebab waktu itu tak ada formula bayi dan kalau ada pun tak mampu nak beli.

Kalau anak dara belum berpunya dan keluarga tidak keberatan menerima lamaran, maka dilakukan pulas majlis meminang. Bila semua setuju, dibuat pula majlis hantar cincin bagi mengesahkan pertunangan dan diputuskan hal-hal macam hantaran, emas kahwin, upacara akad nikah dan kenduri.

Selalunya pertunangan antara enam bulan hingga setahun, bergantung kepada musim bersawah dan masa yang cukup untuk mencari duit hantaran, belanja kenduri dan memperbaiki rumah.

Jarak kenduri antara pengantin lelaki dan perempuan seminggu. Perjalanan sukar. Tak ada jalan raya yang sempurna. Jalan tanah merah. Yang kaya berarak naik kereta atau gajah. Yang kurang mampu dengan naik gerak (basikal) dan, kalau tidak jauh sangat, berjalan kaki saja. Dulu tak ada kompang. Pengantin disambut oleh muzik gendang keling dan tembakan senapang patah.

Lepas bersanding, tak boleh masuk bilik dulu. Pengantin lelaki kena balik rumah dia dan tunggu sampai pengantin perempuan datang ke rumahnya seminggu kemudian baru boleh “bersatu”.

Itu pun mak andam buat sibuk nak tumpang bilik dan geng nakal cari helah hendak mengendap (mengintai). Masa itu, rumah kampung dinding papan atau buluh anyam..

Sebelah paginya, kalau pengantin perempuan mandi basah rambut, mak bapa angkat tangan ke langit berdoa dan mengucap syukur. Sembilan bulan lagi, kalau bendang subur dan benih menjadi, dapatlah mereka timang cucu. Wallahualam.

Wednesday, November 02, 2011

Dialog Kedai Kopi 2Malaysia


A kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

KELMARIN, saya mengadakan dialog kedai kopi 2Malaysia tanpa dirancang dengan seorang kawan yang pernah bekerja di bawah saya di akhbar New Straits Times selama lebih 20 tahun.

Kami pernah diseret ke mahkamah kerana tulisannya mengenai pembekalan kepada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Saya katakan 2Malaysia kerana kita adalah dua individu daripada dua bangsa berlainan. Dia berbangsa Punjabi dan saya Melayu. Ramai orang Malaysia keliru antara Punjabi dan Benggali. Mereka kerap mencampuradukkannya.

Sebagai penjelasan, Punjabi berasal dari wilayah Punjab di India dan Pakistan. Di India, ada sebuah negeri bernama Punjab yang majoriti penduduknya berbangsa Punjabi dan mereka amnya beragama Sikh. Punjab adalah antara negeri paling maju di negara dan menjadi jelapang gandumnya.

Orang Benggali pula berasal dari negeri Bengal  di Teluk Benggala. Mereka daripada berbagai agama, tetapi majoriti adalah Hindu dan Islam.

Orang Punjabi makan capati, orang Benggali makan nasi atau roti. Bila kita kata roti Benggali, ia adalah roti yang pada suatu masa dulu dibuat oleh orang Benggali Islam.

Sebelum saya sebutkan inti pati dialog 2Malaysia dengan kawan Singh itu, eloklah saya membuat penjelasan yang dia nampaknya begitu kuat menyokong Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak. Antara isi kandungan dialog kami ialah:

1. Saya mengesahkan andaian beliau yang saya bukanlah “the Oracle of Syed Putra” aka Pendeta Syed Putera yang kerap dipetik oleh SakmonkolAKA47 aka Mohd. Ariff Sabri Abdul Aziz (Datuk), bekas ADUN BN (Umno) Pekan (2004-08), dalam tulisannya;

2. Tanggapan beliau yang saya akrab dengan Perdana Menteri dan pandangan saya sering diminta oleh beliau adalah meleset;

3. Tidak ada jaringan antara Perdana Menteri dan saya. Hanya seorang dua saja pegawai-pegawai beliau yang, sekali-sekala, bersembang dengan saya, itu pun atas kapasiti peribadi kerana mereka kawan-kawan lama saya;

4. Ramai orang Melayu masih komited dan sayangkan Umno, tetapi mereka mempunyai masalah dengan kepemimpinan parti itu. Istilah benci, menyampah dan meluat kerap digunakan;

5. Kelemahan Umno, perpecahan orang Melayu sejak pilihan raya umum 2008 dan dasar-dasar Kerajaan Pusat BN serta Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang dilihat sebagai merugikan orang Melayu dan mengancam agama Islam menyebabkan orang Melayu memandang ke arah Raja-Raja mereka;

6. Aktivisme Istana semakin ketara. Raja-Raja Melayu semakin kerap bertindak dan membuat kenyataan ke atas hal-hal berkaitan orang Melayu dan agama Islam yang gagal ditangani oleh kepemimpinan politik atau sengaja digembar-gemburkan untuk tujuan politik;

7. Kalau kepemimpinan Mohd Najib tidak berusaha menangani isu-isu Melayu/Islam dan memahami pemikiran Raja-Raja Melayu,  Umno akan mengalami masalah pada pilihan raya umum akan datang, termasuk dalam menentukan kepemimpinan, khasnya di peringkat negeri;

8. Panglima-panglima perang aka warlords Umno masih berleluasa, terus bercakaran dan mempamerkan kehidupan mewah, boros dan disyaki (baru jadi Senator, dah buat rumah ibarat istana);

9. Tidak mustahil Kerajaan-Kerajaan Negeri PR enggan membubarkan DUN kalau PRU diadakan terlalu awal. Taktik mencetuskan kekeliruan adalah senjata berkesan bagi PR;

10. Dalam pada itu, Perdana Menteri mungkin terdesak untuk mengadakan PRU sebelum pertengahan tahun hadapan kalau beliau berharap untuk meraih manfaat daripada janji-janji Belanjawan 2012 dan mengelak daripada prospeks ekonomi global yang kacau-bilau;

11. Wujud kebimbangan dan ketidakpastian di kalangan pelabur, khasnya pelabur besar, terhadap ekonomi pasca-PRU ke-13, apatah lagi sekiranya ditakdirkan BN kalah. Ramai pelabur, sama ada telah “membekukan sementara” pelaburan atau membawa keluar modal mereka;

12. Antara petanda trend ini adalah kegiatan “taking private” syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia oleh pemegang saham majoriti mereka dan kurangnya kegiatan tawaran permulaan awam (Initial Public Offering/IPO). Terbaru dalam kegiatan “taking private” ini ialah tawaran billionaire Robert Kuok “menghakmilik-peribadikan” Jernih Insurance Berhad;

13. Kata kawan saya itu, Perdana Menteri tidak akan bertolak-ansur mengenai penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Secara peribadi saya tidak menyokong pemansuhan ISA dan penghapusan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik; dan

14. Akhir sekali, saya kata saya sangat bimbang Malaysia akan menjadi negara yang "dicintai" hanya oleh orang miskin yang tidak dapat lari ke mana-mana, sedangkan orang berharta cabut dengan modal mereka ke luar negara ibarat habis manis sepah dibuang. Wallahualam.

Saturday, October 29, 2011

Fake Liberalism of the WOLs


A. Kadir Jasin

(If you are commenting “anonymously”, please state your name/pseudonym at the beginning and end of your comment. Thank you.)

THE PROBLEM with the majority of Western-Oriented Liberals (WOLs) and their opposition compadres is, despite their claim to moderation and openness, they are actually pretty intolerant and easily provoked.

While they reserved the right to say whatever they like and damn whomever they choose to, they do not want to listen to opposing views and hate being opposed.

That was the key motivation in their condemnation of the Malay-based non-governmental organization Perkasa and the former IGP, Abdul Rahim Noor  as “fascist monsters.”

The sin of Perkasa is it speaks up for the non-partisan Malays. In recent years, whoever speaks in favour of or on  behalf of the Malays are viewed with suspicion and disdain. Very often they are branded racists and rightists.

Even the Deputy President of a Malay party was condemned when he said he was Malay first. What good is a Malay party (like Umno) if it does not believe in being “Malay first”?

What is so terribly wrong for Abdul Rahim, while speaking at the Perkasa Annual General Meeting on the Deepavali Day, to liken the rise of human rights movements to communism decades ago?

Human history had seen the rise and fall of countless movements and ideologies, and until today, people still make all kinds of comparisons and analysis about them.

In essence, Abdul Rahim was comparing the tactics used by the human rights movements to those of the communist and their effects on society.

Let’s face it, not all civil society movements that are now riding the human rights crest, have much to do with the good of human race as a whole. Many have their own narrow inclusive agendas that, in some instances, infringe on the rights and sensibilities of the majority.

The Malaysian Insider news portal on Oct 28 reported that “federal opposition” had branded Perkasa and Tan Sri Abdul Rahim Noor “fascist monsters” after the former IGP likened the rise of human rights movements to communism.

What’s so wrong about that? Did communism not swept much of the world in the post-colonial era and is still embraced by more than two billion people today?
The very same people who distrust the Government and frown upon its alleged victimization of civil society movements are now saying that the Prime Minister, Mohd Najib Abdul Razak, “must immediately put a stop to this fascism movement (sic).”

They even urged him to openly condemn the former IGP and Perkasa if he is sincere about his political transformation programme.

The cry-babies quoted by Malaysian Insider for wanting the Prime Minister’s executive intervention included the DAP publicity chief , Tony Pua, and  PKR vice-president Nurul Izzah Anwar.

I think, these great defenders of human rights and freedom should fight their own battle instead of trying to implicate the Government in their attempts to muzzle opposing views. I say, go fight Perkasa and Abdul Rahim yourself!

This is a free country, though people like Pua and Nurul Izzah (I hate to pick on her. She’s like “anak” to me. But she’s now a grown-up and an MP), think otherwise.

So, who are they to say that the views of Perkasa and Abdul Rahim are archaic, irrelevant and misguided?

No views and ideas are archaic, irrelevant and misguided if the people believe them and, I think, there are enough Malays out there who do.

What tragedy and what monsters are they talking about when there are non-Malay organizations in this multi-racial country of ours that fight exclusively for the rights and well being of the their own bangsa?

Of course, in the eyes of these pseudo liberals, whatever organizations and policies that favour the majority Melayus are archaic, irrelevant, misguided and monstrous.

Perhaps they do not realize that it is their constant mocking of things Malay and Islam that has given rise to these so-called archaic, irrelevant, misguided and monstrous Malay rights groups.

Maybe some Malays no longer believe in political parties and partisan politics. Maybe they too are becoming more like the Chinese who depend as much on their NGOs as they do on political parties that claim to represent them.

This is the poser that Umno, Pas and the Malay caucus of PKR may want to think about. Why do Malays joined Perkasa and attended “defend Islam” rally in Shah? 

Maybe in their minds, they think that these Malay/Muslim parties are no longer committed to fighting for them and their religion.

And don’t tell me it is archaic, irrelevant, misguided and monstrous when the Malays protect and demand their rights, but fine when other races do the same. It takes two to tango. Comprende? Ada erti ka?

Wednesday, October 26, 2011

Bazir Wang Negara Satu Pengkhianatan


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

BUKANLAH tujuan kita sepanjang masa mencari salah Kerajaan. Kita juga harus mengiktiraf perkara-perkara betul yang Kerajaan lakukan.

Tetapi kalau Kerajaan melalukan kesalahan, kita berhak mengutuknya kerana kita tidak memilih dan membiayai Kerajaan untuk melakukan kesalahan.

Atas prinsip itu, kita menyambut baik Laporan Ketua Juruaudit Negara yang memberi markah tinggi kepada kebanyakan Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan. Tetapi kita juga mengutuk kegagalan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang gagal menunjukkan prestasi baik.

Pada 24 Oktober, portal berita Malaysian Insider melaporkan yang Jawatankuasa Akaun Awam Dewan Rakyat (PAC) akan menyiasat tujuh Kementerian dan Agensi kerana pengurusan kewangan yang lemah.
Mereka adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pengangkutan, Lembaga  Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Perbadanan Stadium.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid dipetik memberitahu pemberita bahawa ini adalah tujuh yang diperakukan oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan tahunannya yang terbaru. Kata Azmi, PAC akan memutuskan minggu depan kalau bilangan yang akan disiasat akan ditambah.

Azmi yang disertai Ketua Juruaudit Negara, Ambrin Buang, berkata, pengurusan kewangan Kementerian dan Agensi Kerajaan bertambah baik dengan 43 daripadanya mendapat skor tertinggi empat bintang, 60 tiga bintang dan dua mendapat dua bintang. Tidak ada yang memperoleh penarafan bintang merah iaitu satu bintang.

Saya tidak bercadang membuat analisis laporan Ketua Juruaudit Negara itu kerana media massa arus perdana dan baru telah banyak melaporkannya.

Memadailah kalau saya katakan, kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar.

Penyalahgunaan, pembaziran dan kebocoran peruntukan kewangan negara bertentangan langsung dengan mantera 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan menggambarkan kegagalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menjadi wadah perjuangan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak.

Apatah lagi, Perdana Menteri sendiri, sebagai Menteri Kewangan, adalah ketua turus kewangan negara. Jadi, kalau ada autoriti mutakhir yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan pengurusan kewangan awam, hendak tidak hendak, orang itu adalah Perdana Menteri sendiri kerana beliau adalah Menteri Kewangan.

Sebab itulah saya dari dulu lagi, berpegang kepada prinsip bahawa Perdana Menteri tidak wajar menjadi Menteri Kewangan. Tetapi, oleh kerana Perdana Menteri memilih untuk turut menjadi Menteri Kewangan, maka  beliau perlulah menanggung padah “the buck stops here” seperti yang diungkapkan oleh Presiden Amerika, Harry S. Truman.

Dalam ingatan saya, hanya Tunku Abdul Rahman Putra tidak pernah menjadi Menteri Kewangan. Yang lain semuanya menjadi Menteri Kewangan, kalau tidak lama, sekejap. Mohd Najib menjadi Menteri Kewangan sejak beliau menerajui negara pada awal 2009.

Elok disebutkan yang dua daripada agensi yang akan disiasat oleh PAC terletak di bawah Kementerian Kewangan iaitu Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Itu belum diambil kira sembilan Kementerian dan Jabatan yang terlebih berbelanja sebanyak RM3.73 bilion. Antaranya Kementerian Pelajaran, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Secara peribadi, saya tidak membantah keras kalau kejadian terlebih berbelanja oleh Kementerian-Kementerian sosial dan ekonomi seperti Pelajaran, Kesihatan dan Pertanian bukan berpunca daripada pembaziran atau penyelewengan.

Dalam suasana ekonomi yang lembap dan inflasi yang meningkat, adalah lebih baik Kerajaan berbelanja ke atas rakyat jelata daripada untuk kesenangan beberapa kerat Menteri dan pegawai tinggi. Jadi, eloklah dijimatkan perbelanjaan mengubahsuai rumah dan pejabat Menteri, perjalanan dan keraian yang tidak perlu.

Satu lagi, saya bimbang sikap sambil lewa sesetengah pegawai awam terhadap kewangan negara bukan sahaja merugikan rakyat jelata, malah akan membawa nama buruk kepada Kerajaan.

Golongan yang paling dianakemaskan dan dijaga ibarat menatang minyak yang penuh adalah kakitangan awam. Tetapi, bukan sahaja perkhidmatan awam masih tidak cemerlang seperti yang dijanjikan di bawah GTP, malah (dengan ampun) wujud tanda-tanda ketidakpedulian dan sabotaj oleh elemen-elemen tertentu dalam perkhidmatan awam.

Akar umbi kepada kewujudan unsur-unsur negatif ini perlu didalami, difahami dan ditangani segara. Kepastian perlu dicari sama ada ia kebetulan atau disengajakan.

Antara yang sering kita dengar adalah ketidakpuasan hati kakitangan awam terhadap campur tangan pihak luar dan pihak-pihak dalam Kerajaan yang diberikan kuasa eksekutif yang mengatasi kuasa Menteri dan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi.

Wallahualam.

Friday, October 21, 2011

Gadhafi Hidup Dan Mati Dengan Pedang


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

ADA sebuah ungkapan Inggeris yang berbunyi “he who lives by the sword, dies by the sword.” Dibahasa-Melayukan secara literal, ia bermaksud, sesiapa yang hidup dengan pedang akan mati kerana pedang.

Selama 42 tahun, selepas menjatuhkan Raja Idris dengan kekuatan “pedang” pada bulan September 1969, Kolonel Moammar Gadhafi aka Muammar Gaddafi aka “King of Kingsmemerintah dengan kuasa “pedang”. Semalam, pada 20 Oktober, beliau mati di mata “pedang”.

Menurut laporan Associated Press, beliau ditarik keluar cedera daripada lubang persembunyiannya. Beliau merayu kepada penangkapnya: “Jangan bunuh aku anak-anakku.” Tetapi, sudah terlambat. Mereka bukan lagi anak-anak beliau. Mereka adalah anak-anak revolusi musim bunga Arab.

Mereka “meronyeh-ronyeh” dan mencabut rambutnya. Belum jelas sama ada beliau benar-benar mati kerana cedera atau mati dibunuh oleh penangkap-penangkapnya. Ada laporan mengatakan dia tertembak di kepala ketika pasukan yang setia kepadanya berbalas-balas tembak dengan tentera rakyat.

Tetapi apa yang berlaku selepas itu ialah, mayatnya diikat kepada bonet kereta dan diarak di jalan-jalan raya bandar kelahirannya, Sirte.

Selepas Presiden Zine El Abidine Ben Ali, Tunisia dan Presiden Hosni Mubarak, Mesir, Gadhafi adalah pemerintah kuku besi dunia Arab yang ketiga jatuh dalam masa tidak sampai setahun. Yang berbeza hanyalah darah yang mengalir di Libya. Revolusi jalanan Tunisia dan Mesir umumnya aman dan tidak mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

Soalnya sekarang ialah ke manakah Libya akan menghala selepas ini? Revolusi Tunisia dan Mesir sudah mula menampakkan kesan positif. Keamanan semakin pulih walaupun usaha mengubah kesan pemerintahan kuku besi yang berdekad-dekad lamanya bukanlah mudah dan tentunya memakan masa.

Ke Arah Mana Revolusi Arab?

Dan apa pula akan terjadi di Syria dan Yaman, di mana rakyat jelatanya juga bangun menuntut perubahan, dalam revolusi jalanan yang  berdarah?

Bagi memudahkan analisis, kita boleh menuduh kebangkitan musim bunga Arab itu sebagai satu lagi konspirasi Barat.

Tetapi kita juga perlu akui bahawa suasana politik, ekonomi dan hak asasi manusia di negara-negara yang terbabit adalah jauh daripada sempurna.

Libya kaya dengan minyak dan gas – nombor sembilan di dunia dengan rizab dianggarkan 40 bilion tong – dan antara negara Afrika paling maju. Paras kemiskinan mengikut Rancangan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) adalah 7.6 peratus pada tahun 2009 dan pengangguran 10 peratus.

Tetapi rakyat Libya nampaknya mahu lebih daripada hak ekonomi. Mereka mahu hak asasi dan hak politik. Dan dunia, khasnya Barat, mahukan bekalan minyak negara itu.

Apa yang kita saksikan di kebanyakan negara Arab, sama ada yang sedang bergolak atau yang di permukaannya nampak tenang, adalah perubahan aspirasi massa.

Antara Tirani Kuku Besi Dan Anarki

Mereka tidak boleh lagi menerima tirani kuku besi, pemerintahan oleh kelas elit dan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi.

Mereka mahu demokrasi dan ekonomi bebas, walaupun demokrasi dan kapitalisme pasaran sedang mengalami keruntuhan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Serentak dengan kematian Gadhafi di Libya, beribu penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Athens, Greece dan di New York, Amerika Syarikat.

Di Athens mereka menentang dasar jimat-cermat Kerajaan Greece yang muflis dan di New York mereka menentang tirani pasaran bebas.

Sedangkan di negara kita sendiri, pelbagai transformasi sedang dipromosikan oleh elit politik dan ekonomi atas nama pasaran bebas, globalisasi, meritokrasi dan pelbagai klise awang-awangan lagi.

Dunia tanpa sempadan dan komunikasi tanpa batasan kini menjadi wadah kepada anarki intelektual dan fizikal. Facebook dan Twitter menyebabkan London terbakar beberapa minggu lalu. Takut-takut, demokrasi yang dicari, anarki menjadi realiti. Barang dijauhkan Allah.

Wallahualam.

Monday, October 17, 2011

Hideyoshi Pemimpin Yang Berterima Kasih


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

TERIMA kasih kepada para pembahas kerana terus berdialog dan berpolemik mengenai tajuk “PM Kena Susur Akar Jumpa Pengundi Akar Umbi” yang sudah  agak lama saya tampalkan.

Mohon maaf kerana tidak berkesempatan membuat posting baru. Kalau saya kata saya sibuk, mungkin ramai tidak percaya, tetapi itulah hakikatnya. Ada tugas yang ada deadline yang terpaksa ditunaikan.

Hampir jam 4.00 pagi bila moderate blog dan terbaca komen Hanezam yang, antara lain, berbunyi: “Datuk jangan mati dulu,tau. Nanti kalau takde lagi orang tulis analisa politik macam ni, sel-sel otak saya akan mati.”

Terima kasih atas doa dan ingatan. Itu ketentuan Ilahi. Buat masa ini, Insya-Allah, “saya tidak pernah tidak sihat” yakni “I am never not OK.”

Jadi, kali ini, secara ringkas saya ingin cerita sikit menganan Hideyoshi san. Dia dilahirkan pada tahun 1536 (25 tahun selepas Portugis menduduki Melaka) dan tiada siapa menyangka yang dia akan menjadi antara orang paling berpengaruh dalam sejarah jepun.

Bukan saja dia anak petani, tetapi seorang yang hodoh. Dia pendek, badannya kecil, telinganya besar, matanya sepet dan kulitnya “macam apel kering”, lantas diberikan jolokan budak kera.

Tetapi, “budak kera” itu membesar menjadi Samurai tanpa pedang yang menyatupadukan Jepun, dilantik menjadi “imperial regent” dengan kuasa seorang Raja dan diberi gelaran Toyotomi atau menteri makmur.

Bagi menggantikan pedang, Hideyoshi mengamalkan falsafah berterima kasih. Bukan rakyat berterima kasih kepada pemerintah, tetapi pemerintah berterima kasih kepada rakyat.

Kata Hideyoshi: “Sifat berterima kasih adalah sentimen pokok yang mengilhamkan seorang pemimpin tulen bagi mengabdikan diri berkhidmat untuk rakyat jelata.”

Itu jugalah cerita dan mitos yang kita dengar mengenai Khalifah-Khalifah agung dan pemerintah Islam dulu kala.

Mereka menyusur akar atau bersembunyi di belakang batu sambil menyamar dan mengintip untuk mengetahui keadaan sebenar hidup rakyat jelata.

Mereka tidak duduk dalam rumah buat kira-kira manakala suri dalam dapur makan roti gula. Mereka tidak duduk di atas takhta kayangan bagi mendengar cerita-cerita gembira atau hasut fitnah Si Kitol sahaja.

Mengenai stail rambut yang Hanezam sebutkan, saya tidak mahu ulas. Itu cita rasa masing-masing. Cuma hendak cerita sikit mengenai wanita menggayakan rambut pada zaman dulu kala.

Masa saya membesar di kampung pada tahun 1950an dan 1960an, ada dua craze – kegilaan- wanita “moden” kampung saya. Pertama belajar naik basikal dan kedua karan rambut (kerinting rambut).

Sebab rumah keluarga saya berhampiran dua buah pondok, segala perkara dan hal yang di luar kebiasaan akan dirujukkan kepada Tok Guru bagi mendapatkan petua.

Tok Guru pro-Pas kata kedua-duanya “haram”. Tok Guru pro-Umno kata “harus”.

Tok Guru pro-Pas juga beri petua, mendengar radio “haram”. Tapi bila diberitahu, Radio Malaya siarkan bacaan al-Quran sebelum Maghrib, dia turunkan “haram” jadi “makruh”.

Jadi kita pilihlah stail rambut yang kita suka selagi ada rambut di kepala. Macam-macam stail ada. Masa saya mula-mula beruban, saya cabut uban. Sekarang, bila dah beruban, saya cabut pula rambut hitam yang tumbuh sehelai dua, sekali sekala.

Wallahualam.

Thursday, October 06, 2011

PM Kena Susur Akar Jumpa Pengundi Akar Umbi


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

SETELAH dua “posting” bercakap mengenai bersunat (masuk jawi) dan tandas dua era, izinkan saya menyentuh sedikit mengenai prospek Barisan Nasional, Umno dan Perdana Menteri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ada ramalan mengatakan PRU akan diadakan seawal April-Mei tahun depan atau pada penghujung tahun. Tetapi, semua sekata bahawa ia akan berupa PRU paling mencabar bagi BN akibat persekitaran politik dan ekonomi yang tidak merangsang.

Ramai yang menyokong atau bersimpati dengan BN berpendapat Mohd Najib Abdul Razak seolah-olah berseorangan dan keseorangan menghadapi ujian itu.

Jadi, kata mereka, beliau perlu segara turun ke padang, lembah dan luruh untuk berjumpa rakyat jelata, khasnya orang Melayu dan Bumiputera Sarawak dan Sabah.

Bukan turun macam dewata dari kayangan dengan segala adat istiadat dan dikepung para hulubalang sampai rakyat terpelanting dan terasing.

Bukan juga turun macam halilintar membelah bumi tapi hujan tidak turun dan bumi rekah dibakar kemarau seribu tahun akibat janji-janji yang mereka tidak fahami.

Turun menyusur akar berjumpa rakyat jelata bukan untuk mendengar cerita lama para panglima dan tuan-tuang perang parti yang berkata, segala-galanya OK tetapi Umno dekat-dekat KO pada PRU lalu.

Dan bukan juga perarakan jalanan berbas, berkereta atau bersampan  ala-Obama yang lebih berupa sarkas media arus perdana daripada menemui rakyat jelata.  Boleh naik bas, tetapi tengok jugalah bas jenis mana dan siapa yang Perdana Menteri bawa bersama.

 Buktikan Yang Rakyat Diutamakan

Kalau betul rakyat didahulukan, dahulukanlah rakyat bila Perdana Menteri pergi  berjalan-jalan. Bukan rombongan Umno Perhubungan, Umno Bahagian atau pegawai Kerajaan.

Dengarlah keluh-kesah rakyat bawahan – pesawah, nelayan, peniaga kecil dan Umno cawangan. Bukan cerita-cerita bermadu dan lagu merdu pegawai tinggi Kerajaan. Bukan cerita-cerita perebutan jawatan dan lobi hendak jadi calon negeri dan Parlimen.

Itu budi bicara dan hak Presiden Umno dan Pengerusi BN. Tapi kalau tidak berani buat keputusan dan hendak main selamat, janganlah cakap mengenai  “winnable candidates”. “Winnable” macam mana kalau parti sendiri tolak seperti yang sedang berlaku kepada Koh Tsu Koon?

Tapi khabarnya hendak bertanding juga, kalau di Johor pun tidak mengapa. Memanglah Johor tidak mengapa sebab itulah pun negeri yang masih selamat. Yang sudah tidak laku itu, berhenti sajalah. Politik bukan kerjaya sepanjang hayat!

Kalau Mohd Najib hendak menang, hendak mendapat mandat sendiri, beliau kenalah pisahkan era beliau daripada era (Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Mandat sekarang bukan mandat beliau. Ia adalah mandat Abdullah. Cuma kerana tidak menang besar, Umno hilang sabar dan mereka tekan Abdullah supaya lekas-lekas beredar. Natijahnya, Mohd Najib wajib peroleh mandat yang lebih besar.

Seandainya beliau tidak berani atau terlalu bersimpati sehingga tidak sanggup menggugurkan beban era Abdullah sebelum PRU akan datang, pengundi tidak akan yakin yang beliau serius membuat transformasi. (Transformasi bukan istilah saya. Ia adalah antara kata kunci Pentadbiran Mohd Najib). Beliau mesti mengotakan janji merombak Kabinet sebelum adakan PRU.

Sokongan Melayu Faktor Penentu

Kalau orang Melayu tidak sokong, Umno akan lemah. Umno yang lemah tidak akan dapat meyakinkan orang bukan Melayu yang majoritinya akan terus mengundi Pakatan Rakyat kerana DAP.

Tanggapan bahawa Mohd Najib terlalu memihak kepada bukan Melayu dan elit liberal bandar tidak membantu meyakinkan penyokong terbanyak Umno di luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin dalam bandar.

Itu belum dikira lagi beban-beban sampingan yang sepatunya tidak ada yang datangnya daripada golongan dalaman – inner circle – daripada dalam rumah tangga kepada dalam Kabinet, dalam PMO, dalam sektor swasta sehingga penasihat-penasihat dalam dan luar negara.

Ramai daripada mereka, dengan izin, adalah lembu-lembu suci (terjemahan literal the sacred cows) yang tidak boleh disentuh langsung. “Wahyu” mereka amat ditakuti.

Susun sepuluh jari memohon maaf, sama benar, dusta atau persepsi semata-mata, cerita-cerita sebegini tidak membantu menyerlahkan imej Mohd Najib sebagai Perdana Menteri yang menguasai situasi.

Nada bahasa sebegini memanglah pedih dan hanya orang bebal, orang tidak cerdik atau orang tidak berkepentingan sahaja boleh mengucapkannya. Namun risikonya tetap ada.

Jadi, terpulanglah kepada yang empunya diri untuk menilai tulisan seperti ini sebagai kerja orang dengki, orang tak sedarkan diri dan orang iri hati atau sebagai peringatan yang mungkin, di sana sini, terselit sedikit kebenaran. Wallahualam.

Tuesday, October 04, 2011

Cerita Tandas Dalam Dua Era


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

KALAU cerita bersunat atau, macam kata pembahas Hanezam, masuk jawi, zaman dulu kala asing kepada generasi Dasar Ekonomi Baru, bayangkan pula cerita buang air besar.

Buang air kecil, tak payah ceritalah. Di mana ada belukar atau semak, di situlah kita lakukan. Lelaki perempuan sama saja. Yang berbeza, sejenis berdiri, sejenis lagi bercangkung. Daripada situlah agaknya datang ungkapan, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Tapi memang pun kita kencing berlari iaitu sewaktu dikejar  kerbau atau lembu jantan tengah mengawan, dihambat orang gila dan anjing gila. Dulu, di kampung ada ramai orang gila dan banyak anjing gila – rabid dogs. Sekarang anjing liar banyak di pekan-pekan manakala kampung-kampung pula dicerobohi babi hutan.

Zaman saya kanak-kanak dulu, ramai orang kampung pelihara kerbau dan lembu sabung. Haiwan “macho” ini cukup garang. Semua hendak dikejar dan ditanduknya. Ada pun yang kena tanduk sampai mati.

Jadi, bila kita buang air kecil tepi belukar, kita kena berhati-hati dan bersedia untuk lari lintang pukang bila kerbau atau lembu pelaga muncul. Itu belum diambil kira tebuan tanah dan penyengat.

Kalau kena sengat di tangan atau dahi bolehlah sapu minyak cap kapak atau minyak geliga. Tapi kalau yang kena sengat itu senjata sulit kita, pilihlah antara sakit kena toksin penyengat atau panas minyak cap kapak.

Yang rumit ialah buang air besar. Sebab buang air besar ambil masa dan banyak anggota sulit yang terdedah, kita kenalah lebih berhati-hati pilih tempat.

Masa itu mana ada tandas tetap. Hanya bila Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Rancangan Pembangunan Luar Bandar dan beri subsidi tandas curah barulah kita bina tandas kekal dan sempurna.

Pada zaman pra-Rancangan Pembangunan Luar Bandar, kita sahut panggilan alam semula jadi di tebing sungai, di atas jambatan buluh, di pangkal pokok, di dalam hutan mengkuang dan di atas batas bendang.

Selain berjaga-jaga takut ada orang nampak, kita kena berhati-hati takut dipatuk ular, digigit pacat dan diserbu ayam yang kelaparan. Dulu itulah antara sumber makanan utama ayam.

Sekarang ayam dah jadi ayam ponen, ayam pondan dan ayam darai. Dah naik tocang sebab makan makanan import – jagung dari Thailand, gandum dari Australia dan kacang soya dari Brazil. Harga mahal tapi daging tak sedap macam ayam lepas bebas – free ranging chicken – zaman dulu kala yang makan makanan asli dan organik.

Di kampung pun dah ramai yang pakai “flush toilet” dalam rumah. Dulu jijik guna tandas duduk. Sekarang tandas cangkung tak “cool” lagi. Sebenarnya tandas duduk berguna. Tunggulah bila dah tua --  bila lutut, tumit dan punggung dah tak kuat lagi.

Akhir kalam, terima kasih dan didoakan keampunan untuk roh Tun Abdul Razak kerana memperkenalkan Rancangan Pembangunan Luar Bandar dan memberikan subsidi tandas curah. Benda kecil tapi faedahnya besar.

Thursday, September 29, 2011

Lagi Macam-Macam Ada: Bersunat Vs Ayam Jantan


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

BILA saya muncul di TV al-Hijrah baru-baru ini, pengacara mudanya, antara lain, merumuskan agar kita jangan memandang ke belakang lagi. Kita hanya memandang ke hadapan.

Dalam perbincangan panel mengenai cadangan pemansuhan ISA itu, saya membahasakan diri saya haiwan purba yang tidak pupus – the living dinosaur.

Jadi saya sarankan kepada beliau supaya membuang semua cermin pandang belakang keretanya dan cuba pandu dengan tidak ada rear view mirror. Sejarah ada cermin pandang belakang kehidupan dan tamadun manusia.

Kalau kita buta sejarah, samalah dengan memandu tanpa cermin pandang belakang. Tapi kalau kita asyik tengok cermin pandang belakang masa memandu, kita boleh langgar pokok atau jatuh sungai.

Jadi dalam posting kali ini, saya hendak ajak pembaca tengok cermin pandang belakang sebab saya baru baca balik buku Tingkatan Enam Rendah saya (tahun 1967) bertajuk “Adat Isti’adat Melayu” karangan Syed Alwi Bin Syed Sheikh Al-Hadi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam buku itu, ada macam-macam adat istiadat serta amalan orang Melayu yang diceritakan. Antara yang saya, sebagai dinosaur, boleh fahami betul-betul ialah adat istiadat bersunat. Pada zaman saya, ia berupa adat istiadat meriah bagi orang dewasa dan sangat-sangat menakutkan bagi yang akan disunatkan.

Tak ada doktor. Tak ada bius. Tak ada oksigen. Tak ada ubat. Yang ada tok mudim, pisau cukur sepanjang enam inci, batang pisang dan abu dapur. Untuk kebaskan badan supaya tak sakit sangat, kita berendam dalam telaga sepanjang pagi. Lepas itu dipakaikan kain sarung dan diusung atas bahu untuk disunatkan.

Lepas disunatkan, kita duduk terkangkang atas abu dapur yang tadah darah kita.  Abu dapur digunakan sebab ia kering dan bersih. Kita buat “dressing” sendiri guna kertas alas kotak rokok. Ada tak ada ubat hanyalah iodin.

Tiga minggu tak sembuh lagi. Silap-silap, kata orang Kedah, meliau – septik. Yang paling seksa bila saudara mara perempuan yang sudah tua selak untuk tengok dah baik atau belum. Itu tak masuk lagi upacara dilagakan dengan ayam jantan. Malu tak terkira.

Mengenai adat istiadat bersunat, Syed Alwi, antara lain,  menulis: “Kemudian maka budak itu pun di-dudokkan berchelapak di-atas batang pisang, dan to’ mudim itu pun dengan pantas menyunatkan dia, dan sa-habis sahaja di-chantas-nya maka dengan chepat to’ mudim itu mengambil bapak ayam itu dan di-acu2kan-nya kepala bapak ayam itu kepada kemaluan budak itu dan jika nampak kembang tengkok ayam itu tatkala di-acu2kan maka yang demikian itu konon, menandakan budak itu garang dan akan berbini banyak.”

Saya tak dilagakan dengan ayam jantan semasa bersunat, tapi bila sudah hampir sembuh, dengan ihsan abang-abang sepupu yang suka melawak. Kita malu tak terkira, mereka gelak terdekah-dekah. Syukur, segala-galanya berjalan lancar.

Hari ini, bagi ramai orang Melayu, bersunat bukan istiadat lagi. Ia tidak lebih daripada pembedahan kecil yang selesai dalam setengah jam. Malah dua orang cucu saya disunatkan sebaik saja lahir.

Nak lagakan dengan ayam jantan pun dah susah. Nak cari ayam jantan yang jaguh bukan mudah, kena cari Wak Jawa yang bela ayam sabung untuk judi haram di kongsi. Silap-silap kena cekup polis.

Sekarang banyak ayam jantan dah jadi ayam “ponen” atau ayam "darai" sebab kena suntik hormon ayam betina. Badan besar, kukuh nyaring tapi kena hambat ayam betina lari lintang pukang. Lagipun, ayam betina tak perlukan ayam jantan untuk bertelur, cuma telur yang tidak disenyawakan oleh ayam jantan tak menetas. Wallahualam.

Nota kaki: 1. Syed Alwi menulis permata ilmu itu pada tahun 1959 dan DBP menerbitkannya pada tahun 1960. 2. A hen does not need a rooster to lay an egg. Hens ovulate regularly, regardless of whether there is contact with a male or not. Most grocery store eggs come from hens that have never seen a rooster.

Monday, September 26, 2011

Antara "Dajal" Dan Laut Dalam


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan  “anonymously”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

DALAM bahasa Inggeris ada satu ungkapan yang berbunyi “between the devil and the deep blue sea”. Diterjemahkan literal ke bahasa Melayu ia bererti di antara dajal dan laut dalam yang biru warnanya.

Ia merujuk kepada dua pilihan saya sama besar ancamannya. Ungkapan ini tidak asing kepada kepemimpinan politik dan orang ramai yang berpendidikan Inggeris, tetapi mungkin dianggap kasar atau kesat oleh yang tidak biasa dengannya.

Dalam konteks pilihan raya umum yang akan datang, apakah ini pilihan yang ada kepada kita?

Boleh jadi kerana tanggapan umum terhadap orang politik begitu negatif maka jarang mereka mengaitkan orang politik dengan laut dalam yang biru airnya.

Mereka lebih kerap mengaitkan politik dan orang politik dengan dajal. Maka diciptakan pula frasa yang berbunyi “it’s better the devil know than the devil you don’t” – lebih baik dajal yang kita kenali dengan yang tidak kita kenali.

Di Barat yang kini menjadi “kiblat” politik ramai Melayu dan bukan Melayu liberal, mereka sangat tidak menyukai dan jarang sekali mempercayai orang politik. Jadi, jolokan “devil” itu kerap dirujukkan kepada mereka.

Hatta seorang pembesar politik yang dikagumi kerana kehebatan tindak tanduk dan tipu-helahnya pun dikaitkan juga dengan dajal. Dia dikatakan “devilishly clever” – cerdik macam dajal.
  
Pilihan Dalam PRU Akan Datang

Jadi, menjelang PRU akan datang, apakah pilihan yang ada kepada pemilih di Malaysia – adakah di antara dajal dan laut dalam yang biru warnanya atau antara dajal yang mereka kenal dengan yang tidak mereka kenal?

Minta dijauhkan Allah, pilihan yang akan dikemukakan kepada kita nanti hendaknya bukanlah dajal sebaliknya insan-insan yang boleh kita panggil pemimpin.

Barisan Nasional/Perikatan telah menguasai politik Malaysia (Malaya) sejak Pilihan Raya Dewan Perundangan Malaya tahun 1955. Di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat pula, hanya Pas mempunyai rekod yang lama mentadbir negeri. DAP dan PKR baru pada tahun 2008 berkongsi memerintah negeri.

BN menjadi sangat lemah ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Beliau menang besar pada PRU 2004 dan kalah teruk pada PRU 2008.

Abdullah menjadi mangsa liberalisasi politik yang tidak terancang dan pembawa-larian pentadbirannya oleh beberapa kerat “insider” yang digelar Budak-Budak Tingkat Empat. Mereka terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan pegawai-pegawai peribadi beliau.

Mohd Najib Abdul Razak naik menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 apabila Abdullah dihambat keluar oleh gabungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Naib Presiden kanan Umno masa itu, Muhyiddin Mohd Yassin.

Atas sebab itu, Mohd Najib terpaksa berhati-hati apabila berurusan dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin yang kini timbalan beliau merangkap Timbalan Presiden Umno.

Abdullah cuba menjadikan “Islam Hadhari” wadah perjuangannya dan jatuh tersungkur. Hari ini, Islam Hadhari hampir-hampir tidak disebut lagi.

Mohd Najib mempunyai jauh lebih banyak gagasan dan slogan. Daripada 1Malaysia kepada rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Pemandu, KPI, NKRA dan pada malam menjelang Hari Malaysia 16 September lalu, memperkenalkan pula “cool factor” dengan mencadangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) serta beberapa akta polok yang lain.

Banyak pihak menyindir dan menyelar retorik beliau, tetapi kerana kepandaian beliau dan “handlers” beliau memperkenalkan satu demi satu penjenamaan, rakyat jelata keliru dan akhirnya lupa janji-janji yang belum ditunaikan atau gagal pelaksanaannya sebaliknya gembira dengan janji-janji baru yang diperkenalkan satu demi satu.

Injit-Injit Semut Mohd Najib

Ada kalanya beliau memaksa pembangkang menari mengikut rentak beliau dan ada masanya rentak tarian beliau sama dengan rentak pembangkang.

Apabila beliau menguar-uarkan “package” liberalisasi politik yang termasuk pemansuhan AKDN, rentak beliau sama dengan rentak pembangkang sekian lama berkempen menghapuskan Akta itu.

Tetapi, pokok pangkalnya Mohd Najib, Umno dan BN akan diadili mengikut kriteria yang lebih asas dan fundamental seperti prestasi ekonomi, kenaikan kos sara hidup, pengangguran, kadar jenayah dan isu-isu harian.

Pemansuhan AKDN mungkin mempopularkan Perdana Menteri di kalangan pengundi minoriti Cina dan India, tetapi akan menimbulkan masalah di kalangan pengundi majoriti Melayu yang selama lebih 40 menjadi penyokong kuat ISA.

Jentera BN meramalkan prestasi baik pada PRU akan datang, termasuk menawan semula Selangor. Kalau keyakinan ini ada asasnya, ia bukanlah kerana BN telah menjadi lebih kuat, tetapi kerana PR menjadi lebih lemah.

Perkembangan dalam parti-parti PR dan di antara mereka memberi gambaran wujudnya masalah ideologi, dasar dan pendekatan yang luas.

Tarik tali antara Pas dan DAP mengenai Negara Islam/Hukum Hudud lawan sekularisme tidak membantu memperkukuhkan PR manakala isu kesinambungan kepemimpinan terumbang ambil akibat kes mahkamah ketua mereka, Anwar Ibrahim.

Keceloparan Timbalan Presiden baru Pas, Mohamad Sabu, membantu Umno kerana ramai anggota pasukan bersenjata dan perasanya marah kepada Pas. Undi pos polis dan tentera sudah dalam tangan BN.

Tetapi dengan mencadangkan pemansuhan ISA, Mohd Najib mungkin melukakan perasaan kelompok yang sama yang mengorbankan nyawa dan jasad mempertahankan negara daripada keganasan komunis dan pelampau-pelampau lain.

Duit Senjata Mohd Najib

Senjata utama Perdana Menteri adalah memberikan peruntukan khas kepada kelompok-kelompok tertentu yang menguasai peti undi.

Ini boleh beliau lakukan dengan mudah kerana beliau menyimpan banyak peruntukan belanjawan di JPM dan Kementerian Kewangan yang kedua-duanya beliau kawal.

Manakala senjata pembangkang pula adalah  kejayaan mereka memaksa Kerajaan menari dengan rentak dan irama mereka.


Antara senjata tajam yang berjaya mereka gunakan adalah tujuk perasaan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Akibat kecelaruan Kerajaan menangani tunjuk perasaan itu, PR yang bersekongkol dengan Bersih, mendapat faedah di luar jangkaan.

Walaupun Kerajaan menafikannya, tetapi majoriti berpendapat tunjuk perasaan itu telah memaksa Kerajaan bertindak balas dengan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai reformasi pilihan raya.

Pembangkang juga mempunyai bukti yang kuat bagi mendakwa yang kerana tekanan merekalah, Mohd Najib bertindak balas dengan mengemukakan pemansuhan AKDN dan beberapa akta lagi yang selama ini mereka tentang.

Bergantung kepada bila Kerajaan membentangkan rang undang-undang pemansuhan AKDN, Pembangkang terpaksa menyokongnya, tetapi mereka belum tentu akan menyokong rang undang-undang bagi mewujudkan dua akta keselamatan baru bagi menggantikan AKDN.

Bukanlah kemenangan bagi pembangkang kalau satu akta dimansuhkan, tetapi diganti oleh dua akta baru.

Melainkan BN memperoleh semula kelebihan suara dua pertiga di Dewan Rakyat dalam PRU akan datang, ia terpaksa meminta bantuan PR bagi meluluskan  dua rang undang-undang keselamatan itu. Ini bermakna, rang undang-undang itu perlu didrafkan sebagai rang undang-undang dua pihak yang membabitkan BN dan PR.

Pendek kata, walaupun kita tidak mahu pilihan kita dalam PRU akan datang menjadi “Pilihan Hobson” iaitu pilihan antara dua dajal  --  dajal yang kita kenal dengan dajal yang kita tidak kenal --  kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa yang akan menentunya adalah parti-parti yang bertanding.

Merekalah yang akan menentukan sama ada calon-calon yang mereka kemukakan dan manifesto yang mereka tawarkan cukup bersih untuk secara sahih mencampak jauh unsur-unsur dajal yang kita takuti itu atau mereka akan mengemukakan watak-watak dan piagam yang sama.

Wallahualam.

Friday, September 16, 2011

Antara Liberalisasi dan Reaksi Kepada Pembangkang


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan  “anonymously”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

MUKHADIMAH – Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) akan dimansuhkan dan digantikan dengan dua undang-undang keselamatan baru. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan akan dipinda. Akta Buang Negeri  akan dimansuhkan dan  Akta Kediaman Terhad disemak semula. Perisytiharan Darurat yang masih berkuat kuasa akan ditarik balik dan undang-undang kebebasan berhimpun akan dipinda bagi mengiktiraf Perkara 10 Perlembagaan.

Pada mulanya saya tidak bercadang mengulas perkembangan ini. Tapi setelah menerima beberapa pertanyaan dan komen melalui SMS, saya rasa perlu memberi sedikit ulasan awal.

1. AKDN atau Internal Security Act (ISA) ada penyokong tegarnya. Majoriti orang Melayu tidak ada masalah dengannya.  Sebahagiannya pula mempunyai kaitan emosi yang kuat dengan akta itu kerana ramai suku-sakat dan saudara-mara berjuang menentang komunis malah terkorban akibatnya;

2. Hanya Melayu liberal, Melayu muda yang tidak merasai pahit getir darurat dan peristiwa 13 Mei, 1969 atau yang buta sejarah saja yang mati-matian mahu AKDN dihapuskan;

3. Hatta Melayu di pihak pembangkang pun tidak semuanya menentang AKDN sehingga mahu ianya dihapuskan. Kalau mereka nampak mati-matian menentangnya, itu adalah “posturing” politik;

4. Ramai juga pemimpin pembangkang sekarang pernah menjadi penyokong kuat AKDN apabila mereka dalam kerajaan. Mereka adalah fait accompli kepada akta itu kerana tidak berbuat apa-apa bagi menghapuskannya ketika dalam kerajaan;

5. Kalau AKDN berguna kepada Kerajaan Barisan Nasional, ia pun berguna juga kepada Pakatan Rakyat kalau ia ditakdirkan menjadi kerajaan. Cuma sekarang, dengan cadangan pemansuhan akta itu, PR tidaklah berpeluang menggunakannya kalau berkuasa;

6. Kalau Kerajaan BN telah menggunakan AKDN ke atas pemimpin pembangkang, pemimpin pembangkang pun boleh menggunakan AKDN ke atas pemimpin BN kalau BN ditakdirkan kalah pilihan raya suatu masa nanti;

7. Pembangkang sudah pun mendakwa kemenangan. Kata mereka, kerana asakan merekalah, Perdana Menteri mengumumkan liberalisasi itu dan kalau mahu ianya ditunaikan, teruskanlah menyokong PR atau lebih baik lagi pilih PR sebagai kerajaan pada pilihan raya umum akan datang; 

8. Masalah yang sering ditimbulkan mengenai AKDN bukan undang-undang itu per se, tapi peruntukannya dan cara ia dikuatkuasakan oleh polis. Kalau itu masalahnya, cara terbaik adalah meminda akta itu;

9. Saya adalah antara penyokong AKDN. Pendirian saya tidak berubah. Tapi saya setuju yang beberapa peruntukan akta itu dipinda seperti yang dicadangkan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia bagi memendekkan tempoh siasatan dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh polis dan Menteri Dalam Negeri;

10. Suruhanjaya itu mencadangkan pindaan kepada AKDN sebagai tolak-ansur dengan PDRM yang mahu ianya dikekalkan. Saya tidak pasti kalau PDRM telah mengubah pendirian mengenai perlunya AKDN dikekalkan;

11. Mengenai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, saya setuju ia dipinda bagi mengambil kira kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) dan keberkesanan kawalan media massa dalam era komunikasi siber ini; dan

12. Akta Buang Negeri dan Kediaman Terhad umumnya ditujukan kepada penjenayah yang terbabit dengan jenayah moral macam judi haram, pelacuran dan penyeludupan manusia. Ia digunakan juga ke atas anggota kongsi gelap dan kumpulan samseng. Masalah ini mungkin boleh ditangani kalau polis lebih cekap dan cepat menyiasat. Peguam Negara lebih cekap melakukan pendakwaan dan mahkamah lebih pantas membicarakannya. Kalau tidak, penjenayah jenis ini akan bertambah berani. Sekarang mereka takut kena buang daerah.

13. Mengenai hak berhimpun secara aman, saya sudah mengulasnya dengan panjang lebar sebelum ini dan tidak bersetuju dengan cara Kerajaan menangani tunjuk perasaan Bersih 2.0 Julai lalu.

Kesimpulannya, adakah ini "ranting zaiton" Mohd Najib kepada pemilih muda dan liberal atau sekadar penerusan liberalisasi pseudo Abdullah Ahmad Badawi yang secara langsung menyumbang kepada penghakisan sokongan terhadap BN pada PRU lalu?

Wallahualam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).