A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan
disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh
guna nama samaran.]
MUTAKHIR - KETUA Umum PKR Anwar
Ibrahim akhirnya menarik diri daripada bertanding jawatan presiden parti itu
menentang isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR Johari
Abdul dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya
hari ini. – Malaysiakini.
Berita di atas adalah contoh
mutakhir keamaturan, keakuan dan keterdesakan pemuka politik kita, tanpa
mengira parti dan afiliasi, dalam usaha membentuk persepsi massa mengenai kewibawaan,
kematangan dan ketelusan politik mereka.
Sahih bahawa tujuan Anwar
mengemukakan pencalonannya tidak lain dan tidak bukan kecuali bagi menyekat
orang lain mencabar Dr Wan Azizah.
Peristiwa ini memperkukuhkan
lagi bukti bahawa politik kita bukan semakin matang malah semakin
kebudak-budakan, semakin dinastik dan suku-sakat.
Ada yang telus amalan dinastinya
seperti keluarga Anwar, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh tetapi ada juga
yang tersembunyi dan tidak rasmi namun kesannya kepada politik tanah air dan
negara tetap hebat.
Ini semestinya tidak sihat dalam
usaha kita mewujudkan masyarakat maju, bertamadun dan sama rata sedangkan
politik arus semasa kita di kedua-dua belah pihak semakin dinastik dan
feudalistik.
POSTING ASAL
SEMALAM (21 April) saya dijemput
oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk “bersembang” mengenai isu semasa,
khususnya yang berkaitan dengan peranan media massa.
IDR adalah badan pemikir yang
ditubuhkan oleh Menteri Besar, Zambry Abdul Kadir bagi menyemarakkan semula
tradisi berfikir serta membantu menyelidik hal-hal berkaitan siasah dan
pentadbiran negeri.
Dua majlis diadakan. Satu
membabitkan kalangan politik Barisan Nasional bertempat di kediaman rasmi MB
dan satu lagi melibatkan kakitangan kerajaan awam di Bangunan Perak Darul
Ridzuan.
Kita berbincang mengenai peranan
media baru dan lama, khususnya media sosial dalam pembentukan persepsi dan
persoalan sama ada media massa turut menjadi mangsa tragedi MH370.
Saya kata, dalam bidang maklumat
dan propaganda, persepsi sama penting dan dalam hal-hal tertentu lebih penting
daripada fakta dan realiti. Kita tidak boleh lari lagi daripada mengakui
peranan media sosial dan kewartawanan jelata dalam pembentukan persepsi – buruk
atau baik.
Pemerintah dan parti-parti
politik perlu memahami penghijrahan audiens daripada media tradisional/media
arus perdana kepada media atas talian, khususnya media sosial dalam usaha
mereka merancang strategi komunikasi masing-masing.
Konspirasi Media Asing
Menjawab hujah dan pertanyaan
peserta, saya berkata yang saya tidak nampak ada konspirasi (persekongkolan)
oleh media massa luar untuk membusukkan nama Malaysia, khususnya dalam
peristiwa kehilangan pesawat MH370 MAS pada 8 Mac lalu.
Daripada pemerhatian saya,
selain beberapa berita yang sedikit disensasikan dan disuntik dengan
unsur-unsur nasionalisme serta emosi, khususnya oleh media massa China, laporan
mengenai tragedi itu umumnya faktual.
Saya maklumkan kepada audiens
bahawa selagi pesawat itu tidak ditemui, selagi itulah media massa akan
melaporkannya dan mengisi ruang yang tidak terjawab dengan teori dan spekulasi.
Selepas itu, sekiranya pesawat berkenaan ditemui, siasatan mengenainya pula
akan menjadi tumpuan pemberitaan.
Saya katakan kepada audiens yang
kita perlu terlebih dulu melihat ke dalam diri kita sebelum menyalahkan media
massa dan pihak luar jika imej antarabangsa kita rosak.
Saya sebutkan berkenaan orang
kita yang tidak berhati perut (tapi ada duit) yang mendera pekerja asing mereka
sehingga luka parah atau mati. Patutlah kalau negara kita dicaci cerca oleh
media massa luar. Kita sendiri mengutuk kedurjanaan seperti itu.
Kemudian, dalam kita hangat
membincangkan kecekapan TUDM mengawal ruang udara kita berkaitan kehilangan
MH370, kita dikejutkan dengan berita seorang pegawainya ditangkap di Amerika
Syarikat kerana disyaki cuba menyeludup senjata.
Ini selepas seorang warganegara
kita bernama Leonard Francis atau Fat Leonard (Leonard Gemuk) yang berpangkalan
di Singapura ditangkap dan didakwa di Amerika atas tuduhan menipu Tentera Laut
Amerika.
Jadi bolehkah kita menuduh media
massa asing memburukkan imej negara kita dengan melaporkan kejadian-kejadian
seumpama itu sedangkan media massa kita pun melakukan yang sama?
Sebaliknya kita wajib mengutuk
dan, di mana yang boleh, menghukum rakyat kita yang melakukan jenayah dan
kesalahan undang-undang di luar negara sehingga membusukkan imej negara.
Orang macam inilah yang boleh
dituduh tidak patriotik, bukan orang yang menegur pemerintah demi
memperbetulkan kesalahan untuk kebaikan dan kelangsungan negara dan bangsa.
Saya ulangi mesej bahawa kita
mengundi memilih wakil untuk memerintah. Kita tidak memilih anak, bini, menantu
dan kawan rakan mereka. Adalah menjadi kewajipan ahli parti, pengundi, pembayar
cukai dan warganegara menegur wakil yang mereka pilih. Inilah inti pati demokrasi
– kerajaan rakyat, dipilih oleh rakyat untuk rakyat.
Membunuh pembawa berita (killing
the messenger) tidak akan menyelesaikan masalah kalau apa yang dikatakan itu
benar.
Seorang pembawa khabar buruk
dilenyapkan, berpuluh yang lain akan muncul. Teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT) membolehkan setiap orang yang memiliki komputer dan telefon pintar
menjadi wartawan jelata jika mereka mahu.
Kuasa membentuk persepsi dan
mengawal pengaliran maklumat bukan lagi hak mutlak pemerintah dan parti-parti
politik. Monopoli penjanaan persepsi dan penyaluran maklumat sudah dipecahkan
oleh ledakan ICT. Wallahuaklam.
Nota Kaki: Terima kasih Saudara YAB Zambry atas hidangan gulai lemak udang buah janggus (gajus). Masakan orang kampung di Utara.