A Kadir Jasin
PENDAPAT umum adalah
semua parti politik dan calon pilihan raya bertanding untuk menang walaupun sekali-sekala
ada juga yang bertanding bukan untuk menang.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan
disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Ada yang bertanding
untuk mencipta sejarah, kerana marah dan ada juga sebab mendapat upah daripada
pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Untuk Pilihan Raya Umum
(PRU) akan datang, matlamat parti-parti yang menentang Umno/Barisan Nasional
adalah mengalahkan parti itu dan menubuhkan sebuah kerajaan pakatan bagi
menyelamatkan negara yang sedang dirobek-robekkan oleh pentadbiran Perdana
Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan
Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.
Buat masa ini sudah wujud gabungan yang melibatkan parti-parti Pakatan Harapan (PH) dengan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Mereka menandatangani
perjanjian kerjasama pada 13 Disember baru lalu.
PH seperti kita ketahui
dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan
Parti Amanah Negara (Amanah).
![]() |
| Penandatanganan Pakatan Harapan-PPBM, 13 Disember |
PAS telah “bersumpah”
tidak akan menyertai mana-mana gabungan yang dianggotai DAP dan Amanah. Amanah
dan DAP pun sama. Mereka tidak akan bekerjasama dengan PAS.
Jadi hanya tinggal PKR
dan PPBM yang masih boleh menerima PAS. Atas sebab itulah kedua-dua buah parti sedang
berbincang dengan PAS. Matlamat pokoknya adalah mengalahkan Umno/BN melalui
pertandingan satu-lawan-satu.
Di antara PPBM dengan PKR,
PPBM lebih bebas untuk berunding dengan PAS sebab ia bukan anggota PH. Ia hanya
menjalin kerjasama dengan PH.
Jadi dalam hal rundingan dengan PAS ini, PPBM
mengambil peranan utama.
Rombongan PPBM yang
dipimpin oleh presidennya, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin, telah pun menemui
pasukan PAS yang diketuai oleh timbalan presidennya, (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan
Man pada 9 November lalu di Kuala Lumpur.
Rundingan PAS-PPBM itu tidak
ditentang oleh DAP dan Amanah. Seperti PKR dan PPBM, Amanah dan DAP juga sekata, iaitu kerajaan Umno/BN wajib ditumbangkan demi menyelamatkan Malaysia.
Cuma kita harus faham
sensitiviti dan permusuhan di antara PAS dengan Amanah dan DAP.
Kunci katanya adalah
berpakat bagi mengalahkan Umno/BN melalui pertandingan satu-lawan-satu.
Premis Kerjasama
Maka atas premis bertanding
untuk menang secara satu-lawan-satu inilah kita perlu mengukur dan mengadili tindak-tanduk
PAS seterusnya.
Di kalangan kepemimpinan
PPBM, mereka telah pun sekata bahawa rundingan dengan PAS sangat dialu-alukan, tetapi wajiblah ada tolak-ansur dan jadual.
Oleh sebab PRU mungkin
diadakan secara mengejut, semua pihak kesuntukan masa. Justeru itu rundingan dengan
PAS tidak boleh berlarutan.
Keputusan harus dibuat menjelang
pertengahan bulan depan, iaitu sebulan dari sekarang. Itulah mandat yang
diberikan kepada Muhyiddin dan pasukannya.
Kalau selepas tarikh itu
persetujuan belum dicapai atau PAS menolak kerjasama maka andaiannya adalah PAS
sebenarnya bersama Umno/BN atau setidak-tidaknya pun Abdul Hadi bersama Najib.
Soalnya, kalau bukan dengan PH-PPBM
dengan siapa lagi PAS akan bergabung untuk mempertahankan kedudukannya sekiranya bukan dengan Umno?
Bersendirian PAS akan kalah
teruk melainkan memang tujuan PAS untuk membunuh diri dengan melakukan harakiri.
Dalam bahasa yang mudah,
kalau PAS tidak bersama PH-PPBM maka ia bersama Umno/BN tidak kiralah secara
tersurat atau tersirat, dihebahkan atau berselindung.
Mengapa Umno?
Kalau PAS bersama Umno/BN persoalan seterusnya yang pasti timbul, apakah dorongannya?
Adakah kerana PAS telah
dijanjikan sesuatu yang fundamental (seperti sokongan kepada Hudud/Negara Islam)
atau kerana PAS sudah termakan budi?
Kalau motivasinya adalah berkaitan yang pertama, kita sudah lihat bagaimana kerajaan Umno/BN telah mempersendakan PAS dengan melengah-lengahkan Rang Undang-Undang Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta
355.
Pada mulanya Umno/BN membuat
berbagai-bagai helah bagi menyekat pembentangan rang undang-undang itu.
Kemudian ia membenarkan pula bil itu dibentangkan sebagai Rang
Undang-Undang Ahli Persendirian oleh Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang,
(Datuk Seri) Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi melakukannya pada 26 Mei lalu.
Seterusnya, menteri Umno/BN
cuba mensabotaj dengan mengatakan masa tidak cukup untuk membahaskannya dalam
sesi yang baru berakhir.
Sekonyong-konyong, Abdul
Hadi sendiri “menangguhkan” penerusan perbahasan rang undang-undang itu atas
alasan mengelak kekeliruan.
Beliau dilaporkan
sebagai berkata, perbahasan perlu ditangguhkan kerana gangguan oleh bukan Islam
walaupun bil itu hanyalah untuk orang Islam.
Langkah mengejut Abdul
Hadi itu membingungkan ramai orang sehingga tercetus semula cakap-cakap bahawa
PAS sudah termakan budi dan sedang diperas ugut oleh Umno/BN.
![]() |
| Najib dan Abdul Hadi: Baju sewarna tanda mesra |
Apatah lagi apabila pada
8 Ogos lalu PAS mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita Sarawak Report (SR) kerana
mendakwa kononnya PAS menerima derma RM90 juta daripada Najib, tetapi sampai
hari ini tidak mengotakannya.
Kalau SR berdusta,
mengapa tidak kemukakan saman?
Gertak PAS itu sama dengan
gertak Najib yang mengancam mengemukakan saman ke atas Wall Street Journal Julai
tahun lalu mengenai RM2.6 bilion duit 1MDB yang masuk ke dalam akaun peribadinya.
Hari ini, tuduhan WSJ itu
menjadi kenyataan dengan pelbagai kes mahkamah dan pembekuan aset berkaitan
1MDB yang sedang berjalan di merata dunia.
Tindakan PAS berdiam
diri mengenai ancaman terhadap SR itu menyebabkan perasaan syak berlegar di
fikiran banyak orang bahawa PAS, atau setidak-tidaknya pun individu tertentu
dalam PAS, telah menerima sumbangan daripada Najib atau Umno.
Kesimpulannya, PAS perlu berunding
dan bercakap berlandaskan keikhlasan dan berhenti daripada memberi isyarat yang
bercanggah – lain dalam rundingan dan lain di hadapan penyokong.
Kalau tidak, syak wasangka bahawa ia sedang bersekongkol dengan Umno akan menjadi lebih kuat dan berleluasa .
Wallahuaklam.








