A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
![]() |
| Ku Li (kiri) tahu banyak rahsia Najib (kanan) |
SAYA mulakan tampalan kali ini dengan mengucapkan
berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang mengucapkan
tahniah dan terima kasih kepada saya serta mendoakan keselamatan saya.
Saya tidak melakukan
apa-apa pun yang istimewa atau kepahlawanan. Saya sekadar menyuarakan apa yang
terbuku di hati saya sebagai seorang penulis.
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Kalau saya yang akan berusia
71 tahun Ogos ini dan tidak membuat kerja lain selain menulis – kebetulan hari
ini genaplah 49 tahun saya menjadi wartawan – tidak boleh bersuara dan tidak
boleh memanfaatkan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,
siapa lagi yang boleh?
Lagi pun, macam saya
nyatakan dalam tulisan saya, kalau saya silap tolong perbetulkan dan saya akan
memohon maaf.
Dalam tampalan 7 Jun, saya antara lain menulis: “Berkenaan dengan
apa yang Anwar maksudkan sebagai “fakta yang boleh dipertikaikan” itu, silalah
pertikai dan berikanlah fakta yang betul. Kalau saya silap saya akan buat
pembetulan dan saya mohon ampun.”
Cukup mengenai diri saya. Kali
ini saya ingin berbincang sikit mengenai parti Umno yang tersingkir daripada
takhta kuasa pada Pilihan Raya Umum 9 Mei lalu setelah mendominasi politik
negara bermula Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan tahun 1955.
Ku Li Sebagai Presiden
Tahun ini Umno akan mengadakan
pemilihan kepemimpinan. Dengan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, (Datuk
Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd
Najib Abdul Razak sebagai Presiden Umno, gelanggang terbuka luas dan parti tua
itu berpeluang membuat perubahan jika mahu.
Bagi saya, seorang
pemimpin Umno yang berpeluang besar melakukan perubahan ialah Tengku Razaleigh
Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas Naik Presiden Umno.
Pada usia 81 tahun, beliau adalah
muda. Kalau Tun Dr Mahathir Mohamad yang 10 tahun lebih senior daripada beliau
boleh memimpin Pakatan Harapan (PH) ke arah kemenangan dan menjadi Perdana Menteri
buat kali kedua, apalah salahnya Ku Li memimpin Umno.
Mungkin ini masa terbaik
dan peluang terakhir buat beliau. Setelah gagal menewaskan Tun Dr Mahathir
Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden Umno 30 tahun lalu, Ku Li mempunyai
peluang terbaik dipilih menjadi Presiden Umno.
Walaupun putera diraja
Kelantan itu dilaporkan masih menimbang sama ada mahu bertanding atau
tidak, secara peribadi saya yakin beliau adalah calon terbaik untuk memimpin
parti lama saya itu.
Kalau boleh saya
nasihati Ku Li, yang saya kenal secara peribadi mulai tahun 1976 dan menjadi
“bos mutakhir” saya buat seketika, cepat-cepatlah tawarkan diri.
Pada tahun 1976, saya
menyertai Kumpulan New Straits Times sebagai “Bumiputera kanan” akhbar baru tajaan
NSTP bernama “Business Times”. Waktu itu Ku Li Pengerusi Fleet Group, syarikat
induk NSTP. Saya kerap ke kediaman beliau di Nombor 20 Jalan Pinang, Kuala
Lumpur, dan Palm Manor, Kota Bharu.
Ini bukan cerita gila
talak atau nostalgia. Saya keluar Umno “secara rasmi dan tertib” pada bulan
Julai 2016. Saya hantar surat penarikan diri kepada Ketua Cawangan, Ketua
Bahagian dan Setiausaha Kerja Umno pusat.
Dan bukan juga hendak masuk
campur dalam politik Umno, tetapi kerana kita tetap memerlukan pembangkang yang
berwibawa di dalam Parlimen.
Saya katakan berwibawa
kerana Umno dengan hanya 55 kerusi (laman Web Rasmi Parlimen) tidak boleh
menjadi pembangkang yang kuat dari segi bilangan, tetapi masih boleh menjadi
pembangkang yang kuat dari segi minda.
Dalam konteks ini saya
amat bersetuju dengan Ahli Parlimen PH (DAP) Segambut, Hannah Yeoh bahawa PH
memerlukan barisan penyokong (backbenchers) yang cergas dan kritikal.
“Backbencher” PH wajib
terus berani dan tekun berbahas seperti yang mereka lakukan sewaktu menjadi
pembangkang dahulu. Mereka wajib ikhlas menasihati dan mengkritik kerajaan
mereka sendiri.
Umno Tandus Pemimpin
Berbalik kepada parti
pembangkang Umno, maaf cakaplah kalau saya kata, selain Kul Li saya tidak
nampak calon lain yang boleh memulihkan Umno dan menjadi ketua pembangkang yang
berwibawa.
Selain Dr Mahathir,
tidak ada orang lain kecuali Ku Li yang lebih berpengalaman di dalam Dewan Rakyat
dan dialah antara orang yang paling lama mengenali Perdana Menteri dalam arena
politik tanah air.
Dr Mahathir memanggil
Tengku Razaleigh “Li” dan Ku Li membahasakan Dr Mahathir “Doc”. Dr Mahathir
masuk Parlimen tahun 1964 dan Ku Li mula menjadi wakil rakyat pada tahun 1969
sebagai Ahli Dewan Undangan Ulu Kelantan Barat. Dr Mahathir berusia 92 tahun
dan Ku Li 81.
Dalam kepimpinan Umno,
selepas Najib saya tak nampak sesiapa pun yang mampu menyekat keruntuhan Umno
dan membinanya semula selain Ku Li. Selepas beliau MUNGKIN bekas Menteri Belia
dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Tetapi imej Khairy teruk
tercemar kerana “membodohkan” diri demi kuasa dan kedudukan pada zaman Najib
serta kes penyelewengan RM100 juta duit KBS yang sampai hari ini belum dijelaskan
atau diambil tindakan.
Hanya baru beberapa minggu
ini dia mula bersuara menyatakan kekesalan menafikan realiti dan tidak bersuara
sehingga Umno kalah teruk dalam PRU. Mungkin dalam pemilihan sekali lagi dia
boleh menawarkan diri sebagai calon presiden atau busuk-busuk pun Timbalan
Presiden. Kalau setakat Naib Presiden rasanya baik tidak bertanding langsung.
Yang menjadi soalan
jutaan ringgit adalah, adakah Ku Li atau sesiapa saja mampu memulihkan Umno yang sudah
sekian lama mabuk duit dan bergerak atas falsafah songsang “cash is king” (duit
itu raja) ciptaan Najib?
Tanpa kuasa, sungai wang
Umno kering. Malah ramai pemimpin dan bekas pemimpin Umno, termasuk Najib,
sedang berdepan dengan kemungkinan didakwa dan dipenjarakan kerana rasuah,
pecah amanah dan penyelewengan.
Hatta duit yang kononnya milik Umno pun disorok oleh ketua-ketua Umno di rumah masing-masing sehinggalah ditemui dalam serbuan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Maka tidaklah mustahil Umno akan
benar-benar menjadi parti keramat apabila ia mati akibat politik wang,
feudalisme dan kepentingan diri.
Wallahuaklam.





