A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
![]() |
| Banyak kejayaan dalam cabaran (gambar Utusan Malayia) |
KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak gagal.
Mengambil
kira kerosakan sistemik yang dilakukan oleh pemerintahan kleptokrasi Datuk Seri
I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib
Abdul Razak, selama hampir 10 tahun, pencapaian kerajaan PH adalah memuaskan.
Ditambah
pula oleh penemuan pelbagai perbuatan jenayah dan penyelewengan yang sebelum
ini tidak diketahui.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau
samaran.]
Dengan
latar belakang itu, penunaian janji bagi tempoh daripada 10 Mei 2018 hingga 30
April 2019 sebanyak 39.01 peratus adalah baik dan memuaskan.
Demikian ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad, dalam perutusan perdana sempena satu tahun kerajaan PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC) hari ini.
Kejayaan ini diukur mengikut status kemajuan 464
Inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan spesifik yang dinyatakan dalam
setiap janji manifesto PH.
Perdana Menteri menambah, sebanyak 53 Inisiatif atau
11.42% telah ditunaikan manakala 283 Inisiatif atau 60.99% adalah di peringkat perancangan
atau belum mula.
Banyak reformasi undang-undang masa ada sudah dilaksanakan
atau dalam proses pelaksanaan. Semua undang-undang yang zalim dan menekan
rakyat sudah dibatalkan atau dihentikan penguatkuasaannya.
Pelaksanaan hukum bunuh dihentikan sementara bagi meneliti
pendapat rakyat yang tidak semuanya bersetuju dengan penghapusan hukuman itu.
Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu telah
digantung sementara menunggu penghapusan. (Penghapusan undang-undang itu gagal
setelah ditolak oleh Dewan Negara yang masih dikuasai oleh wakil-wakil lantikan
BN).
Media diberi kebebasan sepenuhnya tanpa perlu menunggu
arahan atau pesanan dari pemimpin-pemimpin atau orang suruhan mereka di
Putrajaya seperti sebelum ini.
Pada zaman Najib, pengarang dan wartawan media arus
perdana merujuk kepada arahan tersebut sebagai “wahyu’’.
Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi berterusan
dan tanda-tanda menunjuk kepercayaan pelabur sudah mula pulih.
Janji untuk kembali kepada perjanjian Malaysia tahun 1963
telah dilaksanakan dan diperakui oleh Kerajaan Pusat dengan mengiktiraf bahawa Malaysia
adalah cantuman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Pengekalan kestabilan dan keaman merupakan kejayaan besar
bagi PH kerana banyak pihak khuatir negara akan dilanda rusuhan kaum dan agama
jika PH memerintah.
“The Rule of Law” atau
pemerintahan mengikut undang-undang jelas diamalkan oleh PH. Pemisahan kuasa
antara tiga pihak iaitu pembuat, undang-undang, pelaksana pentadbiran dan
kehakiman jelas diamalkan, Tegas Dr Mahathir.
Berikut adalah ucapan
penuh Perdana Menteri
1.
Saya amat bersyukur kerana dapat bersama hadirin sekalian untuk menyampaikan
ucapan sempena satu tahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.
2.
Pertamanya saya bersyukur kerana saya dipanjangkan umur dan masih dapat terus
memberi khidmat kepada negara.
3.
Keduanya, Negara kita masih aman dan ketika umat Islam sedang menjalankan
ibadah puasa dengan sempurna.
4.
Saya juga bersyukur kerana peralihan Kerajaan tidak dicemar dengan rusuhan atau
keganasan walaupun percubaan dibuat untuk menidakkan keputusan pilihan raya.
5.
Bersyukur tidak bermakna tidak sedar akan tanggungjawab yang perlu dipikul
amatlah berat.
6.
Pakatan Harapan ditubuh sebagai satu gabungan empat buah parti lawan. Tujuan
utama hanyalah satu sahaja – untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional
pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
7.
Keempat-empat parti yang berlainan pemikiran dan objektif ini bersetuju untuk
bergabung kerana semua sedar bahawa jika berasingan Kerajaan BN tidak mungkin
dijatuhkan. Jika mereka tidak dapat ketepikan hasrat masing-masing dan berusaha
bersama untuk menyelamatkan Malaysia dari Kerajaan yang terkenal sebagai
Kleptokrasi, masa depan Negara akan menjadi amat buruk dan rakyat akan terus
menderita. Besar kemungkinan Malaysia akan menjadi apa yang di panggil sebagai
“failed state” atau Negara gagal.
![]() |
| Selamatkan Malaysia daripada cengkaman kleptokrasi |
8.
Kesedaran ini bukan di kalangan pemimpin dan ahli parti-parti tersebut sahaja
tetapi lebih kuat di kalangan rakyat. Ini ternampak jelas kerana puluhan ribu
rakyat membanjiri kempen-kempen PH. Tidak mungkin PH berjaya tanpa sokongan
majoriti rakyat.
9.
Kejayaan menjatuhkan BN dan Najib dianggap mustahil oleh hampir kesemua orang
termasuk pakar-pakar politik, ahli-ahli akademik, kolumnis-kolumnis surat
khabar dan ramai lagi yang tidak memberi peluang langsung kepada Pakatan
Harapan.
10.
Jelas, pandangan mereka tidak mengambil kira betapa rakyat sedar dan tidak
boleh menerima lagi kepimpinan yang digelar kleptokrat atau pencuri wang negara
oleh dunia.
11.
Tanpa takut kepada ugutan, tekanan dan rasuah pilihan raya, rakyat menolak
Kerajaan BN dan memberi mandat yang besar kepada Pakatan Harapan.
12.
Dengan mandat yang diterima, Kerajaan baharu Pakatan Harapan memulakan
langkah-langkah untuk memulih semula Negara tercinta ini.
13.
Langkah-langkah pertama yang diambil ialah menyiasat skandal 1MDB dan berusaha
untuk memperoleh kembali wang yang dicuri; menguatkuasakan undang-undang dengan
mendakwa mereka yang menyalahguna kuasa, melesapkan duit Kerajaan, dan menekan
rakyat. Bekas Perdana Menteri dan rakan-rakannya dituduh dalam Mahkamah.
Institusi-institusi yang telah dirosakkan oleh pentadbiran yang dahulu
termasuklah Tabung Haji dan Felda dipulih semula. Satu badan pencegah rasuah,
GIACC atau Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional
ditubuh untuk meningkat integriti dan membasmi rasuah. Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia turut diperkuat. Selain itu Kerajaan memperkenal Pelan
Anti-Rasuah Nasional. Kerajaan juga mengkaji semula projek-projek mega termasuk
ECRL yang mana harga projek tersebut melampaui nilaian sepatutnya.
14. Yang anehnya di waktu siasatan terhadap skandal 1MDB
sedang berterusan dan mereka yang terbabit telah mula dihadapkan di mahkamah
berkenaan kes 1MDB, kes SRC, Datuk Najib berlagak seperti orang yang tidak
bersalah. Demikian juga rakan-rakannya.
15. Penyelamatan institusi seperti Felda telah dilakukan.
Kertas putih mengenai Felda telah dibentang di Parlimen. Pemulihan Felda
memerlukan suntikan wang Kerajaan sebanyak RM 6.23 billion. Sesungguhnya kos
pemulihan amatlah tinggi.
16. Begitu juga dengan kerosakan teruk yang berlaku
terhadap Tabung Haji akibat salah urus dan salah tadbir. Ia memerlukan suntikan
dana sebanyak RM17.8 billion yang terpaksa dibiayai oleh Kerajaan dalam tempoh
10 tahun.
17. Tindakan telah diambil ke atas pegawai dalam
pentadbiran Kerajaan yang bersekongkol dan terlibat dalam aktiviti rasuah dan
salahguna kuasa pemimpin tertinggi Kerajaan BN.
18. Rakyat mungkin bosan dengan cerita dan laporan
berkenaan perbuatan pemerintah dahulu. Tetapi walaupun kita bosan, hakikatnya
perbuatan yang salah oleh Kerajaan BN di bawah Najib, memang menjadi masalah
besar yang mengganggu pemulihan Negara dan kesejahteraan rakyat.
19. Hasil tindakan yang diambil untuk runding semula
kontrak-kontrak yang dilulus oleh Najib sendiri, Negara berjaya menyelamatkan
RM22.8 billion. Kita juga telah dapat balik wang yang dicuri berbilion Ringgit.
20. Walaupun segala kesalahan Najib didedah, Najib dan
rakan-rakannya masih mempertikaikan berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan
penipuan oleh mereka. Demikian juga dengan pengikut mereka.
21. Kerana tidak dapat membukti kebenaran mereka, mereka
beralih kepada memburuk Kerajaan PH dengan menuduh kononnya PH tidak mendaulatkan
Islam dan Perlembagaan.
22. Kerajaan Amerika dan Singapura baru-baru ini telah
pulangkan wang 1MDB yang dicuri dan cuba bersihkan dengan membeli harta mewah
di Negara-negara berkenaan.
23. Satu soalan yang mungkin perlu mereka tanya kepada diri
mereka ialah dari mana datang wang yang sebegitu banyak yang dipulangkan oleh
Kerajaan Amerika dan Singapura. Bagaimanakah beg-beg mewah, barang kemas dan
wang tunai bermilion yang telah dikenali sebagai milik Rosmah Mansor didapati
di flat milik Rosmah.
24. Kita sedar ramai di kalangan rakyat yang tidak
berpuas hati dan menuduh Kerajaan PH telah gagal memenuhi beberapa janji-janji
yang terdapat di dalam manifesto.
25. Pertamanya, telah saya terangkan sebelum ini bahawa
apabila kita mengambil-alih Kerajaan, kita dapati kerosakan yang berlaku begitu
besar sehingga kita dapati kita tiada berkeupayaan untuk memenuhi janji-janji
itu seberapa segera yang mungkin.
26. Malahan, keutamaan kita berubah apabila kita dapati
kerosakan yang berlaku itu terlampau parah dan perlu kita selesaikan terlebih
dahulu. Umpamanya untuk hapus tol Plus sahaja, 30 billion Ringgit diperlukan,
dan beberapa billion lagi untuk memperbaiki jalan tiap tahun. Jika jalan-jalan
baru diperlukan Kerajaan perlu bangunkan, sedangkan Kerajaan terpaksa bayar
hutang berbilion Ringgit setahun untuk puluhan tahun.
27. Namun begitu, walaupun terdapat sedikit kelewatan
tetapi kita telah terus berusaha untuk memenuhi janji-janji kita seperti yang
terkandung di dalam Buku Harapan – Membina Negara Memenuhi Harapan.
![]() |
| Hampir RM18 bilion bagi sematkan Tabung Haji |
28. Alhamdulillah, kita telah berhasil dalam banyak
perkara. Di sini saya ingin mengambil peluang untuk melaporkan kepada rakyat
apa yang telah kita lakukan.
29. Pertamanya, prestasi pencapaian Janji Kerajaan bagi
tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April 2019 untuk "Membina Negara dan
Memenuhi Harapan" adalah sebanyak 39.01%. Prestasi ini diukur melalui
status kemajuan 464 Inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan
spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji.
30. Sebanyak 53 Inisiatif atau 11.42% telah ditunaikan
dari 128 Inisiatif. Manakala 283 Inisiatif atau 60.99% adalah di peringkat
Dalam Perancangan atau Belum Mula. Prestasi ini menunjukkan peningkatan
sebanyak 29.34 % berbanding 9.67% pada 31 Disember 2018.
31. Reformasi dalam undang-undang sudah dilaksana atau
sedang dilaksana. Semua undang-undang yang zalim dan menekan rakyat sudah
dibatal atau dihenti penguatkuasaannya. Pelaksanaan hukum bunuh dihenti
sementara meneliti pendapat rakyat yang tidak semuanya bersetuju hukum ini
dihapuskan.
32. Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu
telah digantung sementara menunggu penghapusan. Media diberi kebebasan
sepenuhnya tanpa perlu menunggu arahan atau pesanan dari pemimpin-pemimpin atau
orang suruhan mereka di Putrajaya seperti sebelum ini.
33. Pertumbuhan ekonomi masih berterusan dan tanda-tanda
menunjuk kepercayaan pelabur sudah meningkat.
34. Janji mengembali kepada perjanjian Malaysia tahun
1963 telah dilaksana dan diperakui oleh Kerajaan Pusat dengan pengiktirafan
Malaysia sebagai cantuman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
35. Pengekalan Malaysia sebagai stabil dan aman merupakan
kejayaan yang besar bagi PH kerana ramai yang khuatir Negara ini akan dilanda
rusuhan kaum dan agama jika PH memerintah.
36. The Rule of Law atau pemerintahan mengikut
undang-undang jelas diamalkan oleh PH. Pemisahan kuasa antara tiga pihak iaitu
pembuat, undang-undang, pelaksana pentadbiran dan kehakiman jelas diamalkan.
37. Inisiatif-inisiatif spesifik telah dilaksanakan untuk
kesejahteraan warga Felda dan masyarakat India dan usaha ini sedang
dipergiatkan.
38. Begitu juga Inisiatif untuk kaum Wanita turut
dipertingkatkan. Walaupun Kerajaan masih tidak berpuas hati dengan usaha untuk
menempatkan lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar, beberapa perlantikan
memperlihatkan komitmen Kerajaan terhadap inisiatif ini. Buat julung-julung
kalinya, Malaysia mendapat Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama. Selain
dari beberapa jawatan penting di dalam Kabinet, Malaysia, buat pertama kalinya,
kita baru sahaja mendapat seorang wanita sebagai Ketua Hakim Negara. Bank
Negara Malaysia sekali lagi diterajui oleh seorang wanita. Selain itu, beberapa
syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) turut diterajui wanita. Ramai pegawai tinggi
Kerajaan terdiri daripada wanita.
39. Inisiatif-inisiatif untuk memberi peluang untuk
anak-anak muda memain peranan penting di dalam pembuatan dasar turut
ditekankan. Kerajaan juga telah melantik seorang anak muda menjadi ahli Kabinet
dan ini memperlihatkan kesediaan dan kepercayaan Kerajaan kepada kebolehan anak
muda di dalam membantu membangun Negara. Kita percaya perlantikan itu akan
memberi keyakinan kepada anak-anak muda bahawa mereka dihargai dan pandangan
mereka di beri perhatian.
40. Salah satu isu yang memerlukan perhatian Kerajaan
ialah perumahan mampu milik. Salah satu strategi yang telah dilaksana ialah
mewujudkan Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan yang menyatukan gerak kerja
semua agensi yang berkaitan di bawah satu bumbung, dan dipengerusi oleh Perdana
Menteri.
41. Majlis ini, antara lain, akan mengambil
langkah-langkah membina satu juta rumah mampu milik dalam masa dua penggal dan
menyelenggara satu pengkalan data terbuka rumah mampu milik yang belum terjual,
untuk mengelak penyembunyian maklumat oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab.
42. Kita yakin kita akan dapat membangunkan 100,000 rumah
mampu milik bagi 2019.
43. Pencapaian ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan
untuk membina Negara dan Memenuhi Harapan rakyat. Kita ada empat (4) tahun lagi
untuk memastikan semua janji-janji tersebut dapat dilaksanakan dan kita yakin
kesemuanya akan tercapai sebelum mandat pemerintahan kita berakhir.
44. Permasalahan yang kita hadapi hari ini bukanlah
semata-mata berkaitan dengan tekanan kos hidup yang tinggi. Ianya satu perkara
yang sedang kita tangani dan akan kita tangani.
![]() |
| Keluarga Felda: RM6 bilion lebih untuk selamatkan legasi Tun Razak ini |
45. Yang lebih menekan ialah wujud satu gerakan, pastinya
di dalangi oleh mereka yang tewas di dalam pilihanraya dan agak ketakutan menghadapi
proses undang-undang yang telah mula membelenggu mereka.
46. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kerajaan
diperlihatkan sebagai sebuah Kerajaan yang tidak peduli mengenai Islam dan
Melayu. Kerajaan hari ini digambarkan sebagai akur kepada kehendak golongan
bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan
orang Islam.
47. Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu
melupuskan sistem beraja.
48. Atas sebab-sebab ini, mereka bergabung dan dasar yang
mereka pegang ialah untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan
orang Melayu dan kedaulatan Islam.
49. Amatlah menghairankan bagaimana PAS dan UMNO boleh
bergabung dan bekerjasama.
50. Semua tahu UMNO selama ini telah dikafirkan oleh PAS
dan pemimpin PAS terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik
balik amanatnya.
51. Kerana itu bertahun-tahun lamanya sehinggalah ke
pilihan raya ke-14 orang Melayu yang percaya kepada PAS tidak akan mengundi
UMNO walaupun di kerusi yang PAS tidak bertanding.
52. Mereka lebih rela mengundi DAP, PKR, PBS dan
mana-mana parti pimpinan orang Islam ataupun tidak, asalkan bukan UMNO.
53. UMNO pula ditolak oleh rakyat pada pilihan raya ke 14
kerana mereka telah dipimpin oleh seorang kleptokrat dan bertanggungjawab
membenar penjarahan secara besar-besaran dilakukan terhadap institusi-institusi
Melayu dan Islam seperti Tabung Haji, Felda, Mara dan sebagainya.
54. Pakatan Harapan telah tampil ke hadapan dan bersama
dengan rakyat dari semua kaum untuk menyekat kebatilan yang dilakukan oleh
Kerajaan UMNO dan BN.
55. Apabila ini tercapai, hari ini PAS menyeru
penyokongnya untuk bersama dengan UMNO untuk mempertahankan Melayu dan Islam.
56. Dimanakah mereka ketika pemimpin UMNO mencuri dan
menjarah harta Negara menerusi 1MDB, Tabung Haji dan Felda serta lain-lain
institusi Kerajaan seperti KWAP dan EPF?
57. Kerana itu, perjuangan yang kononnya untuk
mempertahankan Melayu dan Islam tidak lain dari mempertahankan
perompak-perompak Negara yang berharap jika Kerajaan ini jatuh maka kes-kes
yang mereka hadapi akan gugur dan mereka tidak perlu bertanggungjawab dengan
dosa dan kerosakan yang mereka telah lakukan.
58. Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu
perkauman dan agama untuk kepentingan politik.
59. Selain memberi penekanan untuk memastikan semua
janji-janji pilihan raya dapat dipenuhi, Kerajaan ini juga mempunyai
perancangan untuk masa depan Negara dan rakyatnya.
60. Inisiatif yang akan kita perkenalkan ini akan dapat
memastikan rakyat dan Negara menikmati Kemakmuran Bersama.
61. Sepanjang dekad lalu, ekonomi negara telah berubah
secara radikal dan ini telah menyebabkan hasrat menjadi Negara Maju seperti
disandarkan di dalam Wawasan 2020 tidak tercapai.
62. Pendapatan tinggi tidak bermakna mewah. Realitinya
walaupun KDNK dan nilai pendapatan negara meningkat, namun nikmat kekayaan
negara tidak dapat dirasai oleh rakyat kerana dengan hanya berpendapatan tinggi
tetapi daya keluaran (produktiviti) ditahap lama, maka kos barangan dan khidmat
akan menjadi tinggi, sara hidup akan meningkat. Dengan ini pendapatan yang tinggi
tidak akan menaikkan daya beli kita.
63. Model Ekonomi dekad lalu hanya menumpukan kepada
penambahan hutang negara untuk projek-projek mega, peningkatan jumlah pekerjaan
yang 70% darinya adalah terdiri dari pekerjaan berkemahiran rendah, pemilikan ekuiti
negara lebih banyak bertukar kepada pemilikan asing, pertumbuhan ekonomi hanya
terfokus kepada beberapa bandar raya utama negara dan mengenepikan pertumbuhan
dan pemilikan ekuiti dan peluang kepada rakyat tempatan.
64. Ini menjadi lebih parah apabila nilai integriti
menjunam dan rasuah melambung tinggi kerana ramai mencontohi kepimpinan utama
negara yang lalu. Akibatnya, penyampaian kerajaan kepada rakyat tidak efektif
dan juga tidak ikhlas serta berlaku ketirisan dan penyalahgunaan yang
berleluasa.
65. Kepimpinan terdahulu pula tanpa malu dan secara
berleluasa menggunakan jenama “Bumiputera” untuk kepentingan peribadi dan
kemewahan diri.
66. Ini adalah legasi buruk yang diwarisi kepimpinan
Kerajaan Baharu PH setelah mendapat tampuk kuasa setahun yang lalu dan
kerosakan yang banyak menekan dana Kerajaan sehingga sedikit sahaja untuk
pembiayaan Negara dan kesejahteraan rakyat.
67. Sekarang, setelah pembaikan dilakukan oleh Kerajaan,
usaha-usaha tersebut sudah mula menampakkan hasil tetapi tempoh setahun tidak
mencukupi untuk memperbetulkan kesemuanya.
68. Di masa yang sama rakyat pula tertanya-tanya tentang
rancangan baharu ekonomi negara yang seterusnya untuk menyelesaikan kemelut
sekarang.
69. Masyarakat dunia, pelabur dan pasaran juga, yang
meletakkan harapan tinggi kepada kestabilan politik baharu, bebas kleptokrat
dan potensi baharu yang ada di Malaysia, ingin melihat hala tuju Malaysia yang
lebih jelas.
70. Dengan itu, kita telah mengambil pendekatan bahawa
pembangunan negara pada hari ini bermaksud memberi Kemakmuran Bersama ataupun
Shared Properity kepada semua rakyat dengan meningkatkan kuasa
beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum,
wilayah dan rantaian bekalan yang melampau (extreme disparity in supply
chain).
71. Kita berhasrat untuk negara bangun dengan lebih pesat
dan makmur, namun pembangunan ini tidak hanya dinilai melalui angka-angka KDNK.
Pembangunan dan kekayaan ini harus diagihkan dengan lebih adil supaya semua
rakyat dapat merasainya.
72. Dalam definisi yang ringkas; Kemakmuran Bersama adalah
usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “yang terus menerus
membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan
inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas,
kaum dan geografi” sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di
kalangan rakyat menjelang tahun 2030.
73. Rakyat yang bersatu tanpa prasangka dengan meraikan
kepelbagaian bangsa dan budaya adalah asas kepada penyatuan negara bangsa.
74. Matlamat Kemakmuran Bersama adalah untuk menyediakan
taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat
Malaysia.
75. Hasrat Kemakmuran Bersama ini adalah dengan tujuan
memastikan seluruh rakyat merasai nikmat dengan lebih adil dan teragih.
Kemakmuran Bersama ini dibangunkan untuk memastikan ia mencapai 3 objektif
utama
i.Kemakmuran bersama adalah untuk memastikan jurang pendapatan
dan kekayaan rakyat dapat ditangani. Ia bermaksud kita berhasrat untuk
merapatkan jurang kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan
bagi membawa bersama rakyat yang ketinggalan supaya terbela dan diperkasakan.
ii.Kemakmuran Bersama adalah Model Pembangunan Baharu
untuk semua. Ia bermaksud mencipta ekonomi yang lebih terstruktur, progresif,
berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang
menyeluruh di semua peringkat.
iii.Kemakmuran Bersama adalah untuk Malaysia yang lebih
cemerlang dan menjadi salah satu paksi ekonomi penting di Asia. Ia bermaksud
menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya
muncul sebagai paksi ekonomi Asia.
76. Bagi mencapai matlamat Kemakmuran Bersama ini kita
memikirkan ada sekurang-kurangnya 7 Teras Strategik yang perlu ada bagi
memastikan matlamat Kemakmuran Bersama ini dapat dicapai iaitu:
i.Pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan
dan industri negara. Ekosistem Perniagaan dan Industri negara perlu ditambah
baik supaya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa depan. Penggunaan
teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pengurusan yang lebih terkini dan efektif,
pemakaian ekonomi digital secara menyeluruh dan peningkatan kemahiran pekerja
yang bernilai tinggi adalah penting untuk melonjakkan ekonomi negara ke aras
yang lebih tinggi.
ii.Sektor pertumbuhan baharu. Bagi menjana ekonomi
negara kepada aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman,
Malaysia harus meneliti dan mempelopori sektor-sektor pertumbuhan baharu. Kita
tidak boleh terperangkap dalam sektor tradisional dan cara kerja yang lama.
Pelaburan dan pewujudan kapasiti dalam sektor-sektor pertumbuhan baharu amat
penting dalam ekonomi dunia yang terus berubah secara radikal. Kita tidak harus
menjadi negara pengguna tetapi sebaliknya menjadi Negara yang mampu
mengeluarkan lebih banyak produk sendiri yang bertaraf antarabangsa.
iii.Reformasi bakat dan sumber tenaga negara. Proses
peningkatan keupayaan dan kemahiran pekerja Malaysia memerlukan perubahan yang
radikal bagi memastikan kita boleh menghasil tenaga kerja yang lebih produktif
yang memberikan nilai pendapatan yang tinggi. Program-program peningkatan
keupayaan dan kemahiran di sektor swasta mahupun yang disediakan oleh Kerajaan
akan dilihat semula secara menyeluruh bagi melahirkan tenaga kerja yang
kompetitif, produktif dan relevan dengan kehendak industri dan dunia pada hari
ini dan masa depan.
iv.Memperbaiki Pasaran Buruh dan Pendapatan Pekerja.
Pekerja kita harus mempunyai pendapatan yang lebih tinggi bagi memastikan mereka
mendapat kehidupan yang lebih baik. Selain memperkenalkan sektor pertumbuhan
baharu, pembaikan ekosistem perniagaan dan perindustrian dan peningkatan
keupayaan sumber manusia; kita akan menentukan polisi dan program yang dapat
memberi pendapatan yang lebih adil kepada pekerja supaya kenikmatan dapat
dirasai oleh mereka. Penyediaan peluang yang lebih menyeluruh kepada pekerja
tempatan di semua peringkat harus menjadi keutamaan.
v.Memperkukuhkan Kesejahteraan Sosial. Negara mempunyai
tanggungjawab kepada golongan yang kurang berkemampuan, terpinggir dan
berpendapatan rendah. Polisi dan program ke arah kesejahteraan sosial yang
lebih menyeluruh harus diperkukuhkan berdasarkan prinsip memenuhi ekonomi
keperluan (need-base). Kita tidak mahu semasa mengejar kemakmuran negara ada
kalangan rakyat yang tertinggal. Walaupun begitu; usaha ini bukan bermaksud
untuk negara menyuap nasi ke mulut mereka namun dengan tujuan membantu
membangun keupayaan mereka keluar dari kekurangan dan keadaan yang berisiko.
vi.Pembangunan wilayah yang inklusif. Pembangunan ekonomi
negara bukan bermaksud hanya beberapa wilayah negara yang dibangunkan namun ke
arah pembangunan ekonomi yang inklusif dan teragih (distributive).
Pembangunan pusat-pusat ekonomi yang lebih menyeluruh diseluruh pelusuk negara
harus diusahakan supaya jurang dalam bandar, antara bandar dan desa, negeri
yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan Negeri-negeri Borneo
harus dikurangkan.
vii.Peningkatan modal sosial masyarakat. Bagi menyokong
pembangunan ekonomi dan pertumbuhan kita memerlukan masyarakat yang matang,
berilmu, bekerja keras dan mementingkan perpaduan dikalangan kita. Peningkatan
modal sosial dan struktur sokongan sosial yang utuh adalah penting untuk
memastikan negara dapat pesat membangun. Jati diri dan patriotisma golongan
muda juga adalah amat penting bagi memastikan masa depan negara yang cemerlang.
77. Selain dari 7 TERAS Strategik di atas kita juga telah
mengenalpasti pemangkin lain bagi memastikan matlamat TERAS Strategik ini dapat
dicapai. Pemangkin (enablers) lain seperti dasar fiskal yang progresif,
aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi, penghasilan Pendidikan dan TVET
bernilai tinggi, modal sokongan kewangan kompetitif, penyampaian institusi
kerajaan yang efektif, kestabilan monetari, big data yang komprehensif
dan terangkum dan masyarakat sivil dan berpengetahuan dan sedar adalah penting
untuk menyokong matlamat dan program Kemakmuran Bersama untuk mencapai
keberhasilan yang terbaik.
78. Kejayaan Dasar Ekonomi Baharu dalam menstrukturkan
ekonomi diukur melalui pembanterasan kemiskinan dan meningkatkan penguasaan
ekuiti negara. Pada zaman pasca moden hari ini, mengukur pembangunan dan
kemakmuran menjadi lebih kompleks.
79. Kerana itu Kemakmuran Bersama tidak harus diukur
hanya dengan KDNK yang tidak memberi banyak makna kepada rakyat biasa.
Kemakmuran Bersama seharusnya dinilai kepada apa yang dimiliki oleh rakyat
seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset
kewangan, fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian bekalan, nilai jurang
antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen pengukuran lain yang dapat
mengukur bahawa kemakmuran bersama ini telah dikongsi oleh semua rakyat secara
adil dan saksama.
80. Saya ucap terima kasih kepada semua yang telah
bersama-sama kerajaan membantu menyediakan asas-asas kepada Wawasan Kemakmuran
Bersama ini.
81. Kita harap konsep dan perancangan yang difikirkan ini
dapat diteliti dengan lebih mendalam oleh semua peringkat dan kumpulan rakyat
Malaysia dan akan dibawa ke peringkat akar umbi untuk mendapat maklum balas dan
idea-idea yang lebih baik sebelum ia dapat dimasukkan di dalam Rancangan
Malaysia ke 12 dan 13 bagi mencapai matlamat Kemakmuran Bersama 2030.
82. Kehebatan sesuatu perancangan, tidak memberi apa-apa
makna jika perlaksanaan tidak dilakukan dengan baik dan pemantauan bagi
memastikan keberhasilannya. Ia juga menuntut kita untuk bekerja bersama-sama
secara bersungguh-sungguh sebagai satu negara supaya rakyat seluruhnya dapat
menikmati Kemakmuran Bersama dalam sebuah negara Malaysia yang betul-betul
maju, bermaruah dan merdeka.
83. Oleh itu, Kerajaan akan terus berusaha bagi
memastikan semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian
pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan
yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat
berlandaskan shared prosperity (perkongsian kemakmuran).
84. Kerajaan ini tidak lupa dengan tanggungjawab dan
amanah yang telah diserahkan oleh rakyat kepadanya.
85. Kerajaan ini akan terus bekerja keras untuk memenuhi
janji-janji dan keperluan-keperluan yang boleh menyenangkan hidup rakyat.
86. Setakat ini, dalam tempoh setahun, Kerajaan ini telah
berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi seberapa banyak tanggungjawab itu.
Memang ada kekurangan dan kesilapan dan untuk itu Kerajaan ini akan terus
berusaha untuk memperbaikinya.
87. Sokongan rakyat amat penting untuk menjayakan
pelbagai program dan inisiatif dan kerana itu, pada hari ini Kerajaan ini
kembali kepada rakyat untuk melaporkan pencapaian dan usaha-usaha yang telah,
sedang dan akan dilaksanakan.
Sekian, terima kasih.




