Saturday, August 19, 2006

Manifestasi Dilema Seorang TPM

A Kadir Jasin

[Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai untuk Komen. Ulasan menggunakan “anonymous” tidak akan dilayan.]

KENYATAAN “tegas” Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bahawa isu jambatan bengkok sudah selesai dan Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berhenti mengungkitnya boleh dimengerti dan dianalisis daripada beberapa sudut.

Pertama, ia sememangnya sudah selesai. “Sudah ada finality,” kata Najib. Pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan melaksanakan semula projek itu biar sehebat mana pun ditekan;

Kedua, ia berupa mesej terakhir dan muktamad kepada bekas Perdana Menteri serta pihak-pihak yang sependapat dengan beliau supaya memberhentikan kempen mereka;

Ketiga, ia sebagai bukti paling jelas bahawa Najib berdiri kukuh di belakang Abdullah menentang gerakan Dr Mahathir; dan

Keempat, menggabungkan semua kesimpulan-kesimpulan di atas dengan apa jua prasyarat yang boleh kita fikirkan untuk meyakinkan umum bahawa Kerajaan adalah sekata dalam isu ini.

Tetapi (saya ulangi penggunaan istilah “tetapi”), ia juga boleh dilihat sebagai manifestasi dilema seorang Timbalan Perdana Menteri yang tersepit antara dua watak yang sama penting dalam kerjaya politiknya.

Meniti perjalanan kerjaya politik Najib sejak dia menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Pekan pada tahun 1976 ketika berusia 23 tahun hingga ke saat ini, dua watak yang saya maksudkan itu adalah Dr Mahathir dan Abdullah.

Dalam suasana berlainan, Dr Mahathir, Abdullah dan Najib berupa pakatan paling unggul bagi orang Melayu, Umno dan Malaysia. Ia menggabungkan pemimpin veteran (Dr Mahathir) dengan pemimpin semasa (Abdullah) dan pemimpin akan datang (Najib).

Abdullah, Najib Matang Pada Era Mahathir

Buat permulaan, tiada siapa boleh menafikan bahawa kerjaya politik Abdullah dan Najib mekar di bawah pimpinan Dr Mahathir selama 22 tahun walaupun laluan yang mereka lalui berbeza.

Di sini jugalah bermulanya dilema politik Najib. Manakala dia dididik dan dilindungi oleh Dr Mahathir dan kesetiaannya sentiasa bersama mentornya, namun takdir menentukan bahawa dia tidak dipilih sebagai pengganti Mahathir.

Sebaliknya, Abdullah yang diberi muka dan kepercayaan oleh Dr Mahathir tetapi belot dan menentang Dr Mahathir pada tahun 1987 dipilih sebagai pewaris.

Saya katakan begitu kerana Abdullah adalah antara pemimpin muda yang terawal yang mendapat pengiktirafan Dr Mahathir. Tetapi kerana Melayu cepat lupa dan membelakangkan sejarah, maka mungkin banyak orang sudah lupa atau tidak pun tahu bahawa Dr Mahathirlah yang sebenarnya mentor Abdullah.

Pertimbangkan fakta ini -- dua hari selepas menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, melalui rombakan kecil kabinet, Dr Mahathir menaikkan pangkat Abdullah menjadi menteri penuh dan diletakkan di bawah sayapnya di Jabatan Perdana Menteri.

Tidak sampai tiga tahun kemudian – pada 1984 -- Dr Mahathir memberikan satu lagi anjakan kerjaya yang penting kepada Abdullah dengan melantiknya Menteri Pelajaran, satu jawatan kritikal kepada seorang Menteri Umno.

Manakala Abdullah berupa watak politik dalam percaturan siasah Dr Mahathir, Najib pula menduduki tempat yang berbeza dan istimewa kerana dia menghuni hati Dr Mahathir.

Dr Mahathir berasa perlu mendidik Najib sebagai anak politiknya – the political son -- kerana rasa terhutang budi dan penghormatan tinggi beliau terhadap bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussain.

Abdullah Ikon Islam Ganti Anwar

Tetapi krisis politik tahun 1998/99 yang berkesudahan dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan Kerajaan, mengubah segala-galanya.

Dr Mahathir memerlukan ikon Islam yang baru bagi menggantikan Anwar dan dengan sekelip mata, bintang Abdullah kembali bersinar.

Dr Mahathir melantik Abdullah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan “memaksa” Umno “menerima” beliau sebagai pemangku Timbalan Pengerusi dan bakal Presiden Umno.

Antara emosi, iaitu sayangkan Najib, dengan realiti politik semasa, iaitu kepemimpinan yang berperisa Islam – Islamic flavour – Dr Mahathir memilih untuk berdepan dengan realiti. Beliau melantik Abdullah sebagai penggantinya.

Pada awalnya, ternampak jelas beliau telah membuat pilihan yang tepat apabila pada tahun 2004, Abdullah memimpin Umno dan Barisan Nasional untuk mendapat kemenangan cemerlang dalam pilihan raya umum.

Serentak itu bermulalah dilema Najib. Seperti yang sudah dilihat, Dr Mahathir seolah-olah terpaksa “memaksa” Abdullah membuat komitmen yang dia akan melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Abdullah dari awal lagi cuba menepis dan menangkis tekanan Dr Mahathir dengan mengatakan dia akan membuat pelantikan itu apabila sah menjadi Perdana Menteri. Beliau menepati janjinya dan jadilah Najib Timbalan Perdana Menteri.

Hampir tiga tahun telah berlalu. Air jernih yang mengalir di bawah jambatan yang menghubungkan era Mahathir dengan era Abdullah sudah bertukar menjadi keruh. Para oportunis dan penasihat jalanan hebat menangguk. Dr Mahathir sudah tersingkir daripada politik arus perdana dan media massa arus perdana dikerah “merobohkan” mitos beliau.

Abdullah menang besar dalam pilihan raya dan berulang kali berkata: “Saya Perdana Menteri. Saya lakukan apa yang baik untuk rakyat jelata dan negara.”

Kalau inilah prinsip ada ubi ada batas Abdullah bagi menebus maruah Team B yang kecundang tahun 1987 dan memutlakkan kedudukannya sebagai “I am the Prime Minister”, di manakah letaknya politik Najib?

TMP Kerusi Paling Hangat

Tanpa Dr Mahathir sebagai mentor dan pelindung adakah mampu Najib mempertahankan kedudukannya di dalam arus politik Umno dan nasional yang amat cair sekarang?

Apakah politik main selamat yang sinonim dengan beliau masih boleh menjadi penjamin dan pemangkin kepada kemaraan kerjaya politiknya?

Dalam catatan sejarah politik semasa Malaysia, tidak ada jawatan yang lebih panas dan paling tidak terjamin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Abdullah pasti berasa begitu lega dan bangga kerana berjaya menyelamatkan diri daripada jerangkap samar politik yang telah mematikan karier politik Tun Musa Hitam, Tun Abdul Ghafar Baba dan Anwar.

Kini giliran Najib menyelidik siapa yang sedang memasangnya dan di mana dan seterusnya mengatur langkah untuk menyeberangi zon berbahaya itu tanpa kecederaan teruk atau kematian kariernya.

Kalau dengan turut memusnahkan setiap cebisan mimpi jambatan bengkok dan projek-projek lain era Mahathir yang dibatalkan oleh Abdullah boleh menjadi jambatan menuju ke Pejabat Perdana Menteri Malaysia, siapakah kita untuk memberitahu Najib untuk tidak menyusuri jalan itu?

Dalam politik, garis yang memisahkan antara kawan dan lawan tipis dan kabur. Siapa tahu dalam kekaburan itu, Najib mampu membezakan antara kawan dan lawan.

Siapa tahu?

7 comments:

Ir. Hanafi Ali said...

I have just realized one thing after reading what you said that "Mahathir is actually Abdullah Badawi's mentor".

Are we reading it wrongly: That Pak Lah is a shrewd and calculative politician instead of a napping old man that we thought he is? Is Khairy Jamaluddin just a proxy, a hatchet man, for Pak Lah? Khairy do all the dirty work, and Pak Lah claim ignorance.

Have we all been reading Pak Lah wrongly?

Anonymous said...

pesanan saya untuk najib...

when you leave it to chance, then all of a sudden you dont have anymore luck......

Berita dari gunung said...

Not that i disagree with TRUST, but it does provide another perspective to it. Right or wrong, i guess history will tell.

What i disagree is the way BERSEMUKA was conducted. Something wasnt right about the whole thing. If public confidence is the agenda of the program, then i must say, it leaves alot to be desired. I cant exactly pinpoint the gist of the matter, but if politic is a game, then surely i didnt see any goal scored!

Anonymous said...

Sebagai peminat isu politik, saya dapati analisa Dato´ amat menarik. Minggu ini, saya baca juga tulisan Hishamuddin Aun dalam kolum dia, Kaca Mata dalam Berita Minggu. Saya juga baca tulisan Syed Imran dalam kudaranggi.blogspot.com. Saya nak tanya Dato´, siapa dia ni Hishamuddin Aun ni. Saya tak nampak dia ni seorang penulis politik. Dato´ yang latih dia dulu ke? Saya rasa tulisan dia jenis Half Past Six, jarum jam yang tak bergerak langsung. Tulisannya langsung tidak merangsang minda. Berbeza dengan tulisan Syed Jamil. Saya rasa dia adalah penulis yang berpotensi walau pun tak pernah dengar nama dia. Maklumat yang diberikan adalah perkara baru yang kita dengar. Kaca Mata susah nak faham apa yang dia kata dan dia terlalu bodeking.

Unknown said...

Tiada pilihan untuk mengganti Pak Lah buat masa ini kecuali DS Najib.

Satu lagi menteri suka main golf.

Anonymous said...

datuk sesungguhnya kami di peringkat bawah sudah amat tawar hati dengan kepimpinan hari ini yang begitu biadap,angkuh,sombong dan kurang ajar terhadap bekas pemimpin yang telah banyak menabur jasa kepada bangsa dan negara,mesej ini akan sampai bila pilihanraya umum nanti,tunggu!!

Anonymous said...

Tewasnya TUN DR M tidak bermakna menangnya orang orang yang mahu mengunci mulut beliau.....

Percayalah, semakin ramai orang yg dulu tidak menyukai Dr M kini telah merasakan bahawa DR M sebenarnya selalu betul drpd tidak betul.....

Malaysia memerlukan seorang diktator bijak yg kelihatan diktator tetapi sebenarnya berprinsip dan percaya kepada tindajannya demi kepentingan dan masa depan org yang dipimpinnya.....

TUN DR M..... kau tetap idolaku sejak 24 tahun kewujudanku di bumi Allah ini !

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).